SURAH ASY-SYAMS : AYAT 11-15

\"\"

KAUM THAMUD YANG TAGHUT, UNTA NABI SOLEH DISEMBELIH & SEMUA PENJAHAT DIBINASAKAN

Full video : https://youtu.be/KjISxjqQCv0?si=hXCcWHVARZZ3y95B

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang kaum Thamud yang taghut dan telah mendustakan rasul mereka iaitu Nabi Soleh a.s.
  2. Perbuatan jahat mereka juga menyembelih unta nabi Soleh iaitu salah satu mukjizatnya yang dihantar oleh Allah.
  3. Allah s.w.t menghantar ke atas mereka tempikan suara azab yang dahsyat lalu semua penjahat itu dibinasakan tidak tinggal baka.
  4. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sebut tentang kaum yang binasa akibat terpedaya & bermegah dengan kekuatan, kemewahan. Kemuliaan diri dihancurkan dengan sebab maksiat & derhaka.

ii- maka dalam ayat-ayat ini Allah datangkan contoh golongan mereka yang ikut nafsu & telah dibinasakan akibat kekufuran & sifat sombong takabbur mereka!

AYAT 11- {(INGATLAH), KAUM THAMUD TELAH MENDUSTAKAN (RASULNYA) DENGAN SEBAB PERBUATAN DERHAKA MEREKA YANG MELAMPAUI BATAS;} (ASY-SYAMS 91:11)

  1. Pertama dibawa tentang contoh kaum Thamud yang telah mendustakan Nabi mereka iaitu Nabi Soleh a.s.
  2. Mereka mendustakannya serta melakukan perbuatan derhaka yang amat melampaui batas!
    Lalu mereka dibinasakan keseluruhannya dengan tempikan suara yang dahsyat!
  3. Sebab orang menolak kebenaran ada dua:
    i- memang jahil & tidak tahu tentang kebenaran itu!

ii- tahu ianya benar tetapi menolaknya kerana ada kepentingan dan sombong takabbur.

Kerana angkuh & takabbur- inilah golongan yang jahat & melampaui.

Inilah keadaan kaum Thamud-dengan sebab taghut mereka yang melampau mereka menolak kebenaran yang dibawa oleh Nabi Soleh a.s.

  1. Firman Allah s.w.t tentang ini juga:
    {Adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan dari hidayah petunjuk; mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan.} (Fussilat 41:17)

AYAT 12- {KETIKA ORANG YANG PALING JAHAT DI ANTARA MEREKA MENERIMA PERINTAH DARI MEREKA (SUPAYA MEMBUNUH UNTA YANG MENJADI MUKJIZAT),} (ASY-SYAMS 91:12)

  1. Lalu mereka meminta orang yang paling jahat di kalangan mereka untuk mengetuai misi membunuh unta yang menjadi tanda mukjizat nabi Soleh!

Iaitu ketua pembunuh itu bernama: Qudar قدار bin Salif. Orang yang paling jahat di kalangan mereka sebagaimana yang disebut oleh ahli tafsir- nama ini tidak disebut dalam al-Quran atau hadis Rasulullah s.a.w.

  1. Firman Allah s.w.t:
    {Dan tiada yang menghalang Kami dari menghantar turun mukjizat yang mereka minta itu melainkan kerana jenis mukjizat itu telah didustakan oleh kaum-kaum yang telah lalu; dan di antaranya Kami telahpun memberikan kepada kaum Thamud unta betina sebagai mukjizat yang menjadi keterangan yang nyata, lalu mereka berlaku zalim kepadanya; dan biasanya Kami tidak menghantar turun mukjizat-mukjizat itu melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman).} (Al-Israa\’ 17:59)
  2. Hadis diriwayatkan oleh Abdullah bin Zam\’ah r.a:

أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَخْطُبُ وَذَكَرَ النَّاقَةَ وَالَّذِي عَقَرَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏\”‏ ‏{‏إِذِ انْبَعَثَ أَشْقَاهَا‏}‏ انْبَعَثَ لَهَا رَجُلٌ عَزِيزٌ
عَارِمٌ، مَنِيعٌ فِي رَهْطِهِ، مِثْلُ أَبِي زَمْعَةَ ‏\”‏‏

Bahawa dia mendengar Nabi s.a.w menyampaikan khutbah dan Baginda menyebut tentang unta betina Nabi Soleh dan mereka yang membunuhnya.
Rasulullah s.a.w membaca ayat al-Quran: {Apabila orang yang paling jahat di antara mereka keluar (untuk membunuh unta betina).} (91: 12.)
Kemudian Baginda bersabda: \”Iaitu mereka menghantar seorang lelaki yang mulia dan sangat ganas (رَجُلٌ عَزِيزٌ عَارِمٌ) di kalangan mereka dan menjadi ikutan kaumnya (مَنِيعٌ فِي رَهْطِهِ), seperti Abu Zam\’ah (di kalangan kaum Quraisy).\” [HR Bukhari: 4942].

Abu Zam\’ah ini nama asalnya ialah Aswad, seorang yang kuat lawan & hina Rasulullah s.a.w di Makkah, mati dalam kekufurannya. Anaknya Zam\’ah bin Aswad pula mati dalam peperangan Badar juga dalam keadaan kafir.

Tetapi cucunya, perawi hadis ini; Abdullah bin Zam\’ah adalah seorang sahabat yang mulia, r.a.

AYAT 13- {MAKA BERKATALAH RASUL ALLAH (NABI SOLEH) KEPADA MEREKA: \” (JANGANLAH KAMU GANGGU) UNTA BETINA DARI ALLAH ITU, DAN (JANGANLAH KAMU MENYEKATNYA DARIPADA MENDAPAT) AIR MINUMNYA (SUPAYA KAMU TIDAK DITIMPA AZAB)!\”} (ASY-SYAMS 91:13)

  1. Nabi Soleh menasihati mereka dan memberi ingat agar mereka jangan kacau unta Allah itu, jangan ganggu dan halangnya daripada minum air telaga mereka.

Kisahnya apabila unta itu muncul mereka kena buat jadual untuk ambil air dari telaga negeri mereka, sehari untuk unta, sehari untuk penduduk. Lama-kelamaan mereka berasa tidak puas hati dan mahu menghapuskan unta itu!

  1. Baginda juga memberi amaran jika mereka menyakitinya mereka akan ditimpa azab dari Allah s.w.t!
  2. Firman Allah s.w.t tentang kisah ini:
    {Nabi Soleh berkata: \”Ini adalah seekor unta betina, (di antara cara-cara hidupnya ialah) air kamu hendaklah menjadi bahagian minumnya sehari, dan bahagian kamu sehari, menurut giliran yang tertentu.
    \”Dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (jika kamu menyakitinya) maka akibatnya kamu akan dibinasakan oleh azab seksa hari yang besar (huru-haranya)\”.} (Asy-Syu\’araa\’ 26: 155-156

AYAT 14- {(SETELAH NABI SOLEH MEMBERI AMARAN) LALU MEREKA MENDUSTAKANNYA SERTA MENYEMBELIH UNTA ITU. DENGAN SEBAB DOSA MEREKA, MAKA TUHAN MENIMPAKAN MEREKA DENGAN AZAB YANG MEMBINASAKAN SERTA IA MERATAKAN AZAB ITU MELIPUTI MEREKA (SEHINGGA PUNAH-RANAH SEMUANYA).} (ASY-SYAMS 91:14)

  1. Apabila Nabi Soleh memberi amaran mereka terus memerli dan mendustakannya!
    Mereka tidak takut & ambil peringatan tetapi terus membunuh unta betina itu.
  2. Selepas membunuhnya mereka tidak takut bahkan mencabar pula Nabi Soleh untuk menghukum mereka jika dia benar!
  3. Firman Allah s.w.t menafsirkan ayat ini:
    i- {Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata: \”Hai Soleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah)\”.
    Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.} (Al-A\’raaf 7: 77-78)
  4. Maka dengan sebab dosa mereka menyembelih unta itu, Allah datangkan azab ke atas mereka secara menyeluruh yang menyebabkan semua mereka mati binasa, tidak ada seorang pun yang selamat.
  5. Maksudnya {فَدَمْدَمَ عَلَيْهِمْ }- ialah letusan suara yang kuat sehingga bergoncang bumi kemudian Allah ratakan azab ke atas mereka yakni secara menyeluruh dan semua sekali kena azab itu.
  6. Firman Allah s.w.t:
    {Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara (ٱلصَّيْحَةُ) yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.
    (Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Thamud.} (Hud 11: 67- 68)

AYAT 15- {DAN ALLAH TIDAK HIRAUKAN KESUDAHAN (MEREKA) YANG DEMIKIAN, (KERANA ITU ADALAH BALASAN YANG ADIL).} (ASY-SYAMS 91:15)

  1. Allah s.w.t tidak hiraukan akan keadaan mereka, mereka semuanya musnah binasa dengan sebab perbuatan jenayah & dosa yang mereka buat!
  2. Kata Ibnu Kathir rhm.: Mereka tidak hiraukan kepada akibat buruk yang telah diberi amaran oleh Nabi Soleh a.s tentang azab Allah yang akan datang.

Manusia ini apabila hilang kesabarannya akan hilanglah kewarasannya.
Maka dia akan bertindak ikut nafsu & akhirnya akan binasa!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 11- {(Ingatlah), kaum Thamud telah mendustakan (Rasulnya) dengan sebab perbuatan derhaka mereka yang melampaui batas;}- kata ulama\’ tafsir; ayat ini untuk menjawab kepada ayat yang sebelumnya iaitu telah datang kepada mereka azab yang dijanjikan & mereka mendustakannya.

Ayat ini bermaksud untuk memberi peringatan dan amaran kepada puak kafir, jika pada zaman Rasulullah s.a.w kaum Quraisy, jika zaman ini kepada semua kafir yang bersikap taghut.

Sifat taghut ini ada dua :
i- melampaui kepada Allah s.w.t dengan syirik, buat dosa & maksiat, derhaka dan seumpamanya.

ii- taghut kepada manusia iaitu berbuat khianat dan zalim kepada manusia.
Orang yang jahat & zalim serta berkuasa.

Termasuklah perbuatan individu seperti ahli sihir, tok bomoh, pawang, tukang nujum & seumpamanya yang membawa manusia kepada kesyirikan; ini semua taghut melampaui hukum Allah s.w.t!

  1. Ayat 12- {Ketika orang yang paling jahat di antara mereka menerima perintah dari mereka (supaya membunuh unta yang menjadi mukjizat),}- orang paling jahat sanggup menerima perintah untuk membunuh unta itu.

Di sini kata ulama\’ menunjukkan bahawa kejahatan itu ada banyak peringkat dan tahapnya, bukan hanya satu jenis sahaja.

Ada penjahat biasa-biasa, hanya pengikut, ada yang paling jahat, berani buat tindakan yang bodoh & bahaya!
Kita minta dijauhkan dari mereka ini dan dari bersifat begini!

Sama seperti di kalangan orang yang beriman, ada yang benar-benar mantap keimanan dan taqwanya kepada Allah s.w.t!
Ada yang hanya beriman dalam diri tetapi tidak zahir dengan perbuatannya.
Semoga kita termasuk dalam kumpulan mukminin yang muttaqin.

  1. Ayat 13- {Maka berkatalah Rasul Allah (Nabi Soleh) kepada mereka: \” (Janganlah kamu ganggu) unta betina dari Allah itu, dan (janganlah kamu menyekatnya daripada mendapat) air minumnya (supaya kamu tidak ditimpa azab)!\”}- Nabi Soleh memberi amaran agar mereka jangan ganggu unta Allah itu!

Persoalan:
Kenapa disebut sebagai unta Allah {نَاقَةَ ٱللَّهِ}- sedangkan bukankan semua unta itu milik dan ciptaan Allah juga? Kenapa unta Nabi Soleh ini disebut khas begitu?

JAWAPAN :

Ulama\’ tafsir berkata- benda yang disandarkan kepada Allah s.w.t itu ada dua jenis:
i- sifat yang disandarkan kepada Allah s.w.t seperti: Ilmu, Kalam (berkata), Allah Maha Mendengar, Melihat, Kudrat, Iradat dan lain-lain. Ini dipanggil sifat Allah Azza wa Jalla- maka semua yang disebut itu bukan sama dengan makhluk; itu hak Allah!

Jangan kita fikirkan sama seperti makhluk- Jangan fikir bagaimana Allah melihat, bagaimana Allah mendengar- jangan kita fikir! Begitu juga jangan fikir apabila Allah s.w.t tentang wajah-Nya, tangan-Nya, jangan cuba takwil atau tukar maknanya!
Jika kita boleh terima Allah Maha mendengar & melihat kenapa kita tidak boleh terima sifat lain yang Allah s.w.t sendiri sebut dan sandarkan kepada diri-Nya?

Ini adalah satu kekeliruan dan kecelaruan apabila kita tidak mahu menerima apa yang telah ditafsirkan oleh para ulama\’ Salafus-Soleh terdahulu!

ii- menyandarkan makhluk yang terpisah kepada Allah. Seperti- hamba Allah, unta Allah, Baitullah, Rasul Allah, yakni makhluk yang dicipta oleh Allah s.w.t disandarkan kepada Allah yang Penciptanya (Khaliq).

Ini adalah sandaran untuk memuliakan benda atau tempat itu; masjid sebagai rumah Allah menunjukkan kemuliaannya, unta Allah- kamu jangan main-main ia adalah unta yang istimewa Allah bawa khas untuk kamu dan seumpamanya.

  1. Ayat 14- {(Setelah Nabi Soleh memberi amaran) lalu mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Ia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya).}- mereka mendustakan Nabi Soleh & tidak dengar larangannya, apabila mereka sembelih unta itu maka datanglah azab yang begitu dahsyat itu!

Azab itu ialah letusan suara yang memusnahkan semua mereka!
Yang menyembelih itu hanya seorang (iaitu Kudar) tetapi kenapa Allah kata mereka yang sembelih?

Kata ulama\’ tadabbur: Apabila satu puak bersetuju & menyokong perbuatan jahat yang dilakukan oleh salah seorang ahlinya & mereka tidak mengingkari, tak tegur & larang perbuatan jenayahnya, maka mereka semua dikira bersalah dan melakukan jenayah yang sama!

Maka hukumannya akan dijatuhkan ke atas semua mereka yang menyokong dan tidak mengingkarinya! Inilah bahayanya kita menyokong sesuatu perbuatan maksiat! Walaupun kita tidak menyertainya secara fizikal tetapi meyokongnya walaupun dari jauh!

Kita wajib mengingkari perbuatan mungkar, jika tidak mampu dengan kuasa, dengan mulut dan pegangan!

Ulama\’ Feqah ambil instinbat daripada ayat ini untuk hukuman tentang pembunuhan secara Jemaah.

Jika 5 orang buat komplot untuk membunuh seorang manusia lain, walaupun yang melalukan pembunuhan itu hanya seorang, semua yang lain, yang hadir & menyaksikan akan tetap dikenakan hukuman bunuh balas! Mereka semua dikira bersekongkol melakukan jenayah itu!

Kaedah: حكم قتل الجماعة بالواحد
Hukum sekumpulan orang ramai membunuh seorang mangsa.

  1. Ayat 15- . Ayat 14- {( engan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Ia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya).}- Mereka semua dibinasakan seluruhnya- dalam ayat ini sekali lagi Allah s.w.t nyatakan bahawa manusia ini akan diambil tindakan dengan sebab dosa yang mereka buat!

Hukuman yang rata & menyeluruh ke atas kaum Thamud semuanya dengan sebab dosa yang dibuat oleh mereka!

Ulama\’ tafsir & ulama\’ tadabbur juga sekali lagi mencuit kita: Kamu jangan buat sebarang perkara yang boleh menjadi sebab kepada kemurkaan Allah s.w.t, apa saja yang Allah murka jangan buat. Jika datang azab semuanya akan kena!

Ayat ini memberi amaran kepada kita agar jangan berani melakukan dosa terhadap Allah Azza wa Jalla, serta kesan buruk yang akan menimpa ke atas pelaku dosa!

Maka setiap orang segeralah bertaubat kembali kepada Allah supaya dosa itu tidak melarat!

Kita jangan pandang atau kira dosa itu dosa kecil atau dosa besar, tetapi sebagai seorang muslim pandanglah kepada siapa kita melakukan dosa itu, kepada siapa kita derhaka????

Bila kita tahu kita buat dosa kepada Allah, jangan sekali-kali kita berani buat & ambil mudah tentang dosa, maksiat & perkara mungkar!

Alhamdulillah tamatlah kita surah asy-Syams ini, kita telah pelajari beberapa sifat buruk orang yang derhaka terhadap Allah.

Maka ya Allah, dengan nama & sifat-Mu yang Maha Mulia, Maha Tinggi, Engkau jadikanlah kami orang yang mengikut hidayah-Mu, jauh dari perbuatan mungkar & maksiat yang membawa kemurkaan-Mu.
Semoga kami selamat di dunia & aman di akhirat lalu layak menjadi ahli syurga-Mu!

Powered by BetterDocs