SURAH AL-JUMU\’AH : AYAT 9-11

\"\"

SEGERA MENUNAIKAN SOLAT, LEPAS SOLAT CARI REZEKI & JANGAN TINGGALKAN MAJLIS ILMU.

Full video : https://youtu.be/B8eP8ARWqp8

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini arahan Allah agar segera menunaikan solat Jumaat dan segera di sini bukan bererti berlari pergi dengan gopoh, tetapi pergi awal ke masjid.
  2. Kemudian selepas solat harus sambung untuk mencari rezeki dan melakukan urusan yang diingini.
  3. Larangan meninggalkan majlis ilmu lebih-lebih lagi ketika Rasulullah s.a.w sedang berkhutbah.
  4. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t cela puak yahudi yang takutkan mati kerana cinta & tamakkan dunia. Sehingga Allah suruh Rasulullah s.a.w mencabar mereka untuk mati jika mereka benar.

ii- dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan kepada umat Islam, bahawa tidak salah untuk kita berniaga berjual beli mencari rezeki atas dunia ini, cuma apabila tiba watu solat kena berhentilah untuk tunaikan solat dulu.

AYAT 9- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! APABILA DISERUKAN AZAN (BANG) UNTUK MENGERJAKAN SEMBAHYANG PADA HARI JUMAAT, MAKA SEGERALAH KAMU PERGI (KE MASJID) UNTUK MENGINGATI ALLAH (DENGAN MENGERJAKAN SEMBAHYANG JUMAAT) DAN TINGGALKANLAH BERJUAL-BELI (PADA SAAT ITU); YANG DEMIKIAN ADALAH BAIK BAGI KAMU, JIKA KAMU MENGETAHUI (HAKIKAT YANG SEBENARNYA),} (AL-JUMU\’AH 62:9)

  1. Allah menyeru kepada orang beriman yang mukallaf iaitu kaum lelaki yang cukup syarat untuk menunaikan solat Jumaat- sihat & aqil-baligh.
    Orang uzur, Musafir, hamba, wanita & kanak-kanak tidak wajib tetapi jika mereka solat juga boleh dan diterima.
  2. Apabila mendengar azan dilaungkan semua wajib berhenti segala urusan jual beli dan apa saja pekerjaan untuk bersegera ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
  3. Pada zaman Rasulullah s.a.w azan Jumaat hanya sekali. Kemudian pada zaman Khalifah Usman bin Affan r.a; beliau melihat manusia mulai lagha dan leka dalam urusan mereka lalu dia perintahkan agar dilaungkan azan yang pertama di pasar Madinah agar orang ramai sedar awal dan segera bersiap sedia.
  4. Kata Ibnu Atiyah rhm.: Maksudnya bersegera ke masjid (فَٱسْعَوْا۟) di sini bukan bermakna berlari dan gopoh tetapi pergi awal dan berjalan tenang.
  5. Hadis Rasulullah s.a.w: jangan gopoh ke masjid.
    Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
    \”Apabila kamu mendengar seruan azan maka berjalanlah dengan tenang dan jangan terburu-buru. Apa pun bahagian solat berjemaaah yang kamu dapat, maka ikutilah dan bahagian solat yang tertinggal, maka lengkapilah.\” [HR Al-Bukhari dan Muslim)
  6. Hadis- Daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
    \”Kita adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita.

\”Hari Jumaat ialah hari difardhukan atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya.
Lalu Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya iaitu Yahudi pada hari Sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad.\” [HR al-Bukhari (836) dan Muslim (855)].

  1. Kenapa hari Jumaat dinamakan Jumaat?
    i- Kata Imam al-Baghawi: Kerana Allah s.w.t mengumpulkan penciptaan Adam pada hari Jumaat.

ii- ada juga yang kata kerana orang berkumpul setiap minggu untuk menunaikan solat Jemaah di masjid maka ia di namakan Jumaat.

iii- dikatakan orang yang pertama menamakan hari Jumaat ialah Ka\’ab bin Lu\’ay.

  1. Hadis- Nabi S.A.W bersabda:
    مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ غُسْلَ الجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الخَامِسَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ المَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ

Maksudnya: \”Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera pergi ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta,
sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu,
dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk,
dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam,
dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur
dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah)\”. [HR al-Bukhari (881) dan Muslim (850)]
Paling lewat pergi solat jumaat janganlah sampai imam naik mimbar!

  1. Hadis- Rasulullah s.a.w memerintahkan untuk pergi ke masjid atau Allah akan cop atas hati mereka lalu mereka akan jadi orang yang lalai. [HR Muslim].
  2. Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui hakikat yang sebenarnya.
  3. Orang yahudi selalu bermegah dengan hari Sabtu sebagai hari besar mingguan mereka, maka Allah Taala dengan ayat ini menetapkan hari Jumaat sebagai hari besar mingguan bagi umat Muhammad serta memerintahkan umat Islam mengadakan satu solat khas yang menandakan kebesaran hari Jumaat, sebagai menggantikan solat zohor.

AYAT 10- {KEMUDIAN SETELAH SELESAI SEMBAHYANG, MAKA BERTEBARANLAH KAMU DI MUKA BUMI (UNTUK MENJALANKAN URUSAN MASING-MASING), DAN CARILAH APA YANG KAMU HAJATI DARI LIMPAH KURNIA ALLAH, SERTA INGATLAH AKAN ALLAH BANYAK-BANYAK (DALAM SEGALA KEADAAN), SUPAYA KAMU BERJAYA (DI DUNIA DAN DI AKHIRAT).} (AL-JUMU\’AH 62:10)

  1. Kemudian selepas selesai solat bolehlah kamu kembali menjalankan urusan masing-masing dan buat apa yang kamu ingini.
    Ayat ini menunjukkan keharusan (إباحة) bukan satu kewajiban untuk keluar bekerja atau berniaga selepas solat Jumaat.
  2. Sebahagian ulama\’ mengatakan adalah elok dan disukai untuk kita buat kerja selepas solat Jumaat- iaitu bukan kerja dunia tetapi kerja kebajikan seperti: ziarahi orang sakit, ziarahi sanak-saudara atau kawan-kawan, atau mencari ilmu.
  3. Kemudian jangan lupa untuk sentiasa mengingati Allah s.w.t dalam semua keadaan; yakni kita kena seimbang dalam menunaikan tugasan dunia & akhirat supaya kita berjaya di dunia dan di akhirat.

AYAT 11- {DAN APABILA MEREKA MENGETAHUI KEDATANGAN BARANG-BARANG DAGANGAN (YANG BAHARU TIBA) ATAU (MENDENGAR) SESUATU HIBURAN, MEREKA BERSURAI (LALU PERGI) KEPADANYA DENGAN MENINGGALKAN ENGKAU BERDIRI (DI ATAS MIMBAR – BERKHUTBAH). KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD:\” PAHALA – BALASAN) YANG ADA DI SISI ALLAH, LEBIH BAIK DARI HIBURAN DAN BARANG-BARANG DAGANGAN ITU; DAN ALLAH SEBAIK-BAIK PEMBERI REZEKI.} (AL-JUMU\’AH 62:11)

  1. Munasabah ayat: Ada sebahagian sahabat yang keluar dari masjid meninggalkan Rasulullah s.a.w sedang berkhutbah apabila mendengar paluan gendang yang menandakan ketibaan barang dagangan dari Syam.
    *Perbuatan mereka yang terlanjur itu telah ditegur oleh Allah s.w.t agar mengutamakan ibadat daripada hal duniawi.
  2. Sabab nuzul ayat: Dari Jabir bin Abdulla r.a:
    Pada suatu hari ketika Rasulullah s.a.w sedang berkhutbah sambil berdiri atas minbar datanglah kafilah yang membawa dagangan dari Syam. Orang-orang yang sedang mendengar khutbah keluar menjemput rombongan kafilah itu sehingga tinggal hanya 12 orang sahaja yang duduk mendengar khutbah Nabi. Maka ayat ini (Surah al Jumu\’ah: 62: 11) turun berkenaan dengan peristiwa tersebut. Ayat ini turun sebagai penjelasan bahawa apa yang ada di sisi Allah itu jauh lebih baik daripada apa yang ada pada perniagaan. [HR Bukhari & Muslim]
  3. Allah cela perbuatan sebhagian dari mereka ini, jangan takut tidak akan lari rezeki kamu. Rezeki ditangan Allah Dia-LAh sebaik Pemberinya.
  4. Diakhir ayat ini Allah s.w.t peringatkan kepada kita bahawa: Pahala – balasan yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 9- {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah..}- dinamakan hari Jumaat, diambil dari perkataan (الجمع) yakni berkumpul.

Ini kerana pada hari Jumaat umat Islam berkumpul setiap minggu di masjid-masjid yang besar untuk menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah peringatan.

Hari Jumaat adalah:
i- hari keenam Allah mencipat langit & bumi
ii- hari dicipta Nabi Adam a.s
iii- hari Adam dimasukkan ke dalam syurga & dikeluarkan dari syurga.
iv- hari berlaku Kiamat nanti.
v- hari mustajab doa sebagaimana dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Kita katakan alhamdulillah Allah s.w.t anugerahkan kepada kita hari Jumaat maka kita ambil yang terbaik darinya!

  1. Ayat 9- {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah..}- ayat ini ditujukan kepada lelaki mukallaf yang cukup syarat bahawa mereka wajib menunaikan solat Jumaat.

Manakala yang tidak wajib seperti wanita dan kanak-kanak tetap sah solat Jumaat jika pergi ke masjid.

ii- ia juga menjadi dalil bahawa tidak wajib berhenti urusan selagi sebelum seruan azan dilaungkan.
Maka disyari\’atkan seruan azan pada hari Jumaat.

  1. Ayat 10- {Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing),}- apabila selesai solat bertebaranlah atas muka bumi ini.
    Ulama\’ kata ia arahan yang menunjukkan keharusan, samada keluar untuk menyambung semula pekerjaan masing-masing, atau melakukan perkara kebajikan seperti menziarahi sanak saudara atau orang sakit, menghadri majlis ilmu dan lain-lain.

Tetapi ingat dalam masa yang sama jangan lupa berzikir kepada Allah, jangan fikir selesai solat Jumaat kita tidak perlu lagi mengingati Allah. Kita kena sentiasa berzikir mengingati Allah s.w.t setiap masa kerana itulah yang akan menjadi penggerak kepada hati kita.

Sebagaimana kata ulama\’:
Zikir kepada hati, umpama air kepada ikan;
Ikan tidak akan dapat hidup tanpa air, begitu juga hati tidak akan dapat hidup tanpa zikir kepada Allah.

  1. Ayat 10- {Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah,- ulama\’ tadabbur kata ini menunjukkan bahawa usaha tidak menafikan tawakkal.

Wajib berusaha dan bekerja untuk mencari rezeki dan mencapai sesuatu yang kita ingini, tawakkal pula dalam hati kita bergantung kepada Allah s.w.t!

Ini kerana Allah s.w.t telah buat setiap benda itu ada sebabnya! Tawakkal dengan hati, berusaha dengan tangan, kita kena ada dua-dua!

Satu perbuatan dan fahaman yang salah jika hanya bertawakkal tanpa usaha, sedangkan Rasulullah s.a.w pakai baju besi apabila keluar berperang sebagai satu usaha keselamatan.

ii- ini juga menunjukkan dalil bahawa khutbah Jumaat adalah sebelum solat bukan selepasnya. Tetapi khutbah hari Raya selepas solat.

  1. Ayat 11- {Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah).}- ayat ini menunjukkan:
    i- wajibnya hadir solat Jumaat.
    ii- dan sebelum solat ada dua khutbah.
    iii- khatib kena berdiri ketika menyampaikan khutbah kecuali uzur.

Perniagaan (تِجَـٰرَةً) adalah satu yang baik dan diharuskan, digalakkan dalam Islam tetapi ia akan menjadi sesuatu yang dicela apabila mementingkan perniagaan daripada ibadat seperti solat dan lain-lain.

Jangan runsing dan takut untuk menutup dulu kedai dan bisnis apabila masuk waktu solat, ingatlah rezeki mlik Allah, Dia yang memberi dan menjaga rezeki kamu!

Pihak berkuasa perlu membuat satu peraturan bahawa semua kedai dan premis perniagaan hendaklah ditutup pada waktu solat Jumaat. Ia juga sebagai satu uslub dakwah untuk menjadikan semua orang bersegera ke masjid apabila azan.

Tentang cara & syarat solat Jumaat boleh lihat Kuliah AAM dalam Kitab al-Mu\’tamad arau Fiqh Manhaji, iaitu bab feqah.
https://www.youtube.com/watch?v=f0qus5a9FHg…

Alhamdulillah tamatlah kita surah al-Jumu\’ah ini. Semoga mendapat manfaat dan kebaikan Insya\’ Allah.

Powered by BetterDocs