SURAH AT-TAHRIM : AYAT 3-5

\"\"

TEGURAN KEPADA ISTERI NABI S.A.W, MENGARAHKAN MEREKA BERTAUBAT & SEKIRANYA TAK DENGAR AKAN DICERAIKAN.

Full video : https://youtu.be/vlKwHXoDnlk

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t membuat teguran pula kepada sebahagian isteri Nabi s.a.w, iaitu UM (Ummul Mukminin) Aisyah & UM Hafsah r.a, yang cemburu terhadap madunya yang lain.
  2. Lalu Allah s.w.t mengarahkan agar mereka bertaubat daripada perbuatan yang tidak baik dan menyusahkan Rasulullah s.a.w itu.
  3. Mereka juga diberi amaran sekiranya tidak bertaubat dan tidak mendengar nasihat, mereka akan diceraikan dan Allah akan gantikan mereka dengan wanita lain yang lebih.

AYAT 3- {DAN (INGATLAH), KETIKA NABI MEMBERITAHU SUATU PERKARA SECARA RAHSIA KEPADA SALAH SEORANG DARI ISTERI-ISTERINYA. KEMUDIAN APABILA ISTERINYA ITU MENCERITAKAN RAHSIA YANG TERSEBUT (KEPADA SEORANG MADUNYA), DAN ALLAH MENYATAKAN PEMBUKAAN RAHSIA ITU KEPADA NABI, (MAKA NABI PUN MENEGUR ISTERINYA ITU) LALU MENERANGKAN KEPADANYA SEBAHAGIAN (DARI RAHSIA YANG TELAH DIBUKANYA) DAN TIDAK MENERANGKAN YANG SEBAHAGIAN LAGI (SUPAYA ISTERINYA ITU TIDAK BANYAK MALUNYA). SETELAH NABI MENYATAKAN HAL ITU KEPADA ISTERINYA, ISTERINYA BERTANYA: \”SIAPAKAH YANG MEMBERI TAHU HAL INI KEPADA TUAN? \” NABI MENJAWAB: \”AKU DIBERITAHU OLEH ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI, LAGI AMAT MENDALAM PENGETAHUANNYA (TENTANG SEGALA PERKARA YANG NYATA DAN YANG TERSEMBUNYI) \”.} (AT-TAHRIM 66:3)

  1. Ayat ini adalah dalil kepada ilmu Allah s.w.t yang menyatakan dalam ayat sebelumnya bahawa: {Dan Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.}
  2. Apabila Rasulullah s.a.w berbisik kepada isterinya UM Hafsah serta berpesan agar JANGAN menceritakan kepada orang lain tentang kisah janji Baginda yang samada tidak mahu bersama Mariyah atau minum madu tadi.
  3. Tetapi malanganya UM Hafsah terus menceritakan kejadian itu kepada sahabat baiknya UM Aisyah r.a pula!
  4. Allah s.w.t lalu membukakan rahsia itu dan memaklumkan kepada Rasulullah s.a.w apa yang telah berlaku.
  5. Rasulullah s.a.w lalu menegur dan memanggil isterinya Hafsah dan menyebut sebahagian dari perbuatannya iaitu mendedahkan rahsia Nabi s.a.w kepada Aisyah. Baginda tidak menyebut dan menceritakan semua perbuatan tidak baik yang dibuatnya, yang telah dimaklumkan oleh Allah s.w.t kepada Baginda. Ini untuk menjaga keharmonian rumahtangga dan menjaga air muka si isteri supaya dia tidak ulang balik kesalahan yang sama.
  6. Ini menunjukkan sifat mulia dan lemah-lembutnya Rasulullah s.a.w, Baginda tidak berdendam dan mahu menghukum dengan keras cuma mahu supaya isterinya tahu bahawa Baginda tahu dan insaf.
  7. UM Hafsah amat terkejut dan bertanya siapakah yang memberitahu Baginda s.a.w kerana dia hanya memberitahu rahsia itu kepada Aisyah sahaja!
  8. Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa Baginda diberitahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam PengetahuanNya tentang segala perkara yang nyata dan yang tersembunyi. Hafsah lupa bahawa suaminya itu adalah seorang Rasul yang mendapat wahyu dari Allah s.w.t!
  9. Kerana itu jika satu rahsia kita beritahu kepada orang kedua, tunggulah ia akan ada orang ketiga, keempat dan seterusnya bukan rahsia sekali. Susah sekali untuk mencari orang yang amanah dan jujur pada zaman ini!
  10. Untuk selamat, biarlah rahsia kita dengan Allah sahaja, tidak perlu mengadu kepada manusia kerana mereka tidak akan menyimpannya!

AYAT 4- {JIKA KAMU BERDUA BERTAUBAT KEPADA ALLAH (WAHAI ISTERI-ISTERI NABI, MAKA ITULAH YANG SEWAJIBNYA), KERANA SESUNGGUHNYA HATI KAMU BERDUA TELAH CENDERUNG (KEPADA PERKARA YANG MENYUSAHKAN NABI); DAN JIKA KAMU BERDUA SALING MEMBANTU UNTUK (MELAKUKAN SESUATU YANG) MENYUSAHKANNYA, (MAKA YANG DEMIKIAN ITU TIDAK AKAN BERJAYA) KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH ADALAH PEMBELANYA; DAN SELAIN DARI ITU JIBRIL SERTA ORANG-ORANG YANG SOLEH DARI KALANGAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN MALAIKAT-MALAIKAT – JUGA MENJADI PENOLONGNYA.} (AT-TAHRIM 66:4)

  1. Oleh kerana kamu berdua telah menyakiti dan menyusahkan hati Rasulullah s.a.w, Allah memerintahkan mereka agar bertaubat dan jangan buat lagi perangai begitu!
  2. Ini arahan tegas agar mereka beradab dengan Rasulullah s.a.w, suka apa yang Rasulullah suka dan tidak suka apa yang Baginda tidak suka! Bukan sebaliknya.
  3. Allah s.w.t juga memberi amaran, andaikata mereka tidak mahu bertaubat- walaupun kita tahu mereka berdua ini dua orang isteri solehah, anak sahabat yang mulia dan sangat alim, mereka silap bertindak begitu kerana perasaan cemburu seorang wanita.
  4. Sekiranya mereka masih membuat sesuatu yang menyakiti hati Rasulullah s.a.w, berpakat dan berkerjasama untuk menyusahkan Baginda, mereka tidak akan berjaya.
  5. Ini kerana Allah adalah Pembela Rasulullah s.a.w; malaikat Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat juga akan bersama membela dan membantu Nabi s.a.w.
  6. Hadis- tentang kisah ini, dari Ibnu Abbas r.a yang menceritakan bahawa dia tinggal selama satu tahun (di Madinah) dengan tujuan akan menanyakan kepada Umar Ibnul Khattab r.a tentang makna suatu ayat yang dia tidak mampu menanyakannya secara langsung kerana segan kepadanya (Umar).

Sehinggalah Umar berangkat untuk menunaikan ibadah haji, dan Ibnu Abbas pun ikut berangkat bersamanya. Ketika kami berada dalam perjalanan pulang ke Madinah, di tengah jalan Umar turun di sebuah pohon Arak untuk menunaikan hajatnya.

Ibnu Abbas melanjutkan kisahnya: lalu aku berdiri menunggunya sampai menyelesaikan hajatnya. Setelah selesai, aku berjalan bersamanya, maka ku tanyakan kepadanya,
\”Wahai Amirul Mu\’minin, siapakah dua orang wanita yang membangkang terhadap Nabi?\”

Berikut ini menurut lafaz Imam Bukhari dan Imam Muslim, bahawa siapakah kedua wanita yang disebutkan dalam firman-Nya: {Dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi.} (At-Tahrim: 4)

Umar menjawab, \”Aisyah dan Hafsah,\” kemudian disebutkan hingga akhir hadis dengan panjang lebar, dan sebahagian dari mereka ada yang meringkasnya. [HR Bukhari & Muslim].

AYAT 5- {BOLEH JADI, JIKA NABI MENCERAIKAN KAMU, TUHANNYA AKAN MENGGANTIKAN BAGINYA ISTERI-ISTERI YANG LEBIH BAIK DARIPADA KAMU, – YANG MENURUT PERINTAH, YANG IKHLAS IMANNYA, YANG TAAT, YANG BERTAUBAT, YANG TETAP BERIBADAT, YANG BERPUASA, – (MELIPUTI) YANG JANDA DAN YANG ANAK DARA.} (AT-TAHRIM 66:5)

  1. Allah s.w.t memberi amaran lagi jika mereka para isteri Nabi masih berdegil, maka mereka akan diceraikan dan Allah s.w.t akan mengganti mereka dengan isteri lain yang lebih baik.
  2. Antara sifat isteri yang akan Allah pilih untuk ganti mereka itu ialah: {Yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, samada yang janda atau yang anak dara.}
    Ulama\’ kata para isteri Rasulullah s.a.w yang sudah ada pun sudah ada sifat-sifat dan ciri-ciri ini.
  3. Hadis- para isteri Rasulullah s.a.w berkumpul kerana cemburu kepada Baginda s.a.w lalu Sayyidina Umar r.a pun datang memberi nasihat kepada mereka dan memberi amaran jika Rasulullah s.a.w menceraikan mereka, Allah akan gantikannya dengan wanita yang lebih baik. [HR Bukhari].
  4. Hadis- Allah s.w.t membenarkan cadangan Umar al-Khattab r.a sebanyak 3 kali:
    Umar R.A berkata sebagai berikut:
    \”Ada tiga cadanganku yang bertepatan dengan ketetapan Tuhanku.

Pertama, aku berkata: \’Wahai Rasulullah, bagaimana jika kita menjadikan Maqam Ibrahim (tempat Nabi Ibrahim A.S berdiri ketika membangun Ka\’bah) sebagai tempat solat?\’

Maka turunlah ayat:
وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى ۖ \’… Dan jadikanlah Maqam Ibrahim itu tempat solat…\’ (Al-Baqarah: 125).

Kedua, ayat hijab. Aku berkata: \’Wahai Rasulullah, bagaimana jika engkau memerintahkan isteri-isteri engkau untuk berhijab? Kerana orang yang baik dan yang jahat datang berjumpa dengan mereka\’. Maka, turunlah ayat hijab.

Ketiga, ketika isteri-isteri Nabi S.A.W berkumpul kerana cemburu terhadap Baginda, aku pergi kepada mereka dan berkata:
\’Jika Nabi S.A.W menceraikan kamu boleh jadi Tuhannya akan memberikan ganti dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu\’.

Maka turunlah ayat ini
عَسَىٰ رَبُّهُ إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبْدِلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِنْكُنَّ مُسْلِمَاتٍ مُؤْمِنَاتٍ قَانِتَاتٍ تَائِبَاتٍ عَابِدَاتٍ سَائِحَاتٍ ثَيِّبَاتٍ وَأَبْكَارًا

{Jika dia (Nabi) menceraikan kamu, boleh jadi Tuhan akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik dari kamu..} (At-Tahrim: 5).

Maksudnya adalah apabila dia (Nabi) menceraikan salah seorang di antara kamu, boleh jadi Tuhan akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu.

Yakni perempuan-perempuan yang patuh, yang beriman yang selalu taat, yang bertaubat, yang beribadah, yang berpuasa, yang janda maupun yang perawan. [Hadis Muttafaq \’alaihi].

  1. Persoalan kenapa disebut juga janda dalam ciri-ciri isteri Rasulullah s.a.w?

JAWAPAN :

i- mungkin kerana seorang janda itu sudah matang umurnya, berharta dan banyak pengalaman. Yakni sebagai satu pujian kepada para janda.

ii- cici-ciri janda ini disebut supaya parta isteri Nabi s.a.w yang sedia ada tidak terasa hati. Kerana semua di kalangan mereka adalah janda kecuali UM Aisyah r.a.

  1. Kisah realiti: Seorang maulana di India yang berkahwin dengan seorang janda yang kaya sehingga dapat membantu dan memajukan pusat pengajiannya, serta memberi biasiswa dan tajaan kepada para pelajar yang miskin.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 3- {Dan (ingatlah), ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah seorang dari isteri-isterinya. Kemudian apabila isterinya itu menceritakan rahsia yang tersebut (kepada seorang madunya),}- kata ulama\’ ayat ini menjadi dalil bahawa tidak menjadi salah jika kita boleh pilih orang yang kita yakin boleh pegang rahsia untuk kita kongsikan rahsia. Ceritakan kepada orang yang baik-baik

{Maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya).}- Rasulullah s.a.w tegur dan menyatakan kepada isterinya hanya sebahagian daripada apa yang Allah s.w.t dedahkan kepada Baginda, yakni bukan semua kesalahannya dibentangkan dan dibicarakan.
Hanya yang utama sahaja diperkatakan dan ditegur, Rasulullah s.a.w sebut sebahagian & tidak sebut sebahagian.

Inilah sifat orang yang mulia. Betapa mulianya sifat Rasulullah s.a.w, Baginda tidak memberitahu semua yang Allah s.w.t bukakan rahsia kepadanya untuk menjaga maruah isterinya supaya Hafsah tidak kesipuan atau terlalu malu dalam isu ini.

Kata Al-Hasan Al-Basri rhm :
\”Orang yang mulia dia tidak akan senaraikan semua kesalahan orang lain\”.

Antara adab orang yang baik-baik, ia juga banyak buat tak tahu sahaja kesalahan orang lain.

Kata ulama\’ juga: Buat tak tahu akan kesalahan orang lain terhadap dirinya, adalah sifat orang yang mulia.

Sebagaimana kisah Nabi Yusuf a.s dengan adik-beradiknya. Selepas mereka bertemu kembali di Mesir, Yusuf a.s yang bersifat mulia, tidak mengungkit perbuatan mereka yang membuangnya ke dalam telaga dulu.
Ini untuk tidak mengeruhkan hubungan mereka yang baru bertaut serta menjaga air muka para saudaranya.

Marilah kita jadi orang yang mulia, yang melupa dan memaafkan, bukan yang suka mengungkit dan berdendam.

  1. Ayat 3- {Setelah Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya: \”Siapakah yang memberi tahu hal ini kepada tuan? \” Nabi menjawab: \”Aku diberitahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam PengetahuanNya (tentang segala perkara yang nyata dan yang tersembunyi) \”.}- Allah s.w.t membawa ayat al-Quran ini dalam bentuk hikayat atau cerita, apabila diceritakan.

Ini supaya lebih tersembunyi keadaan dan identiti isteri Rasulullah s.a.w, tidak fokus kepadanya seorang. Ini juga untuk menjaga maruah dan air-muka seseorang.

Ayat ini juga kata ulama\’ bahawa para nabi walaupun mereka nabi mereka tidak tahu benda ghaib kecuali apa yang Allah s.w.t laporkan kepada mereka.

Rasulullah s.a.w, seorang rasul & nabi tetapi Baginda tidak tahu rahsia yang tersembunyi kecuali apa yang Allah s.w.t wahyukan dan beritahu kepadanya.

Maka kita jangan melampau (ghuluw) dalam meletak dan mengangkat darjat Nabi s.a.w. Baginda s.a.w bukan tahu sendiri tetapi dari Allah s.w.t.

  1. Ayat 4- {Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi);}- ulama\’ kata ayat ini menjadi dalil bahawa membuka rahsia adalah satu dosa besar bagi orang yang membocorkan rahsia, yakni tidak amanah.

Kerana itu Allah s.w.t minta mereka berdua bertaubat kerana mereka telah membuat satu kesalahan.

Betapa pada hari ini kebanyakan rahsia adalah bukan rahsia lagi. Mesyuarat tertutup pada asalnya menjadi mesyuarat terbuka, menjadi bahan rakaman yang disebarkan, perbualan peribadi menjadi pengetahuan umum yang di SS dan disebar di medsos secra umum.

Inilah perangai buruk sebahagian manusia, samada dia hendak mencari glamor atau hendak menjatuhkan seseorang dengan menjadikan rahsia itu sebagai bahan bukti!

  1. Ayat 4- {kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat – juga menjadi penolongnya.}- makna maula (مَوْلَىٰهُ) di sini adalah Penolong bukan Pemilik. Ini kerana Allah s.w.t kembarkan sekali bahawa Dia-lah sebagai penolong Rasulullah serta Jibril, para malaikat dan orang soleh semuanya.

Ayat ini menolak fahaman puak Syi\’ah Rafidhah yang mentakwilkan kata-kata Rasulullah s.a.w ini dengan fahaman mereka yang sesat & batil:
\”Wahai sekalian manusia! Siapakah yang lebih utama (أَوْلى) terhadap diri kamu dari diri kamu sendiri?
Mereka menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.
Nabi bersabda: Barang siapa yang aku adalah maulanya (مَوْلَىٰهُ) maka Ali adalah maulanya (مَوْلَىٰهُ).\”

Mereka Syiah menterjemahkan maula disini dengan makna pemilik alam ini bukan makna Penolong kepada Rasulullah s.a.w. Inilah keburukan dan kejahatan mereka yang benci kepada sebahagian dari sahabat Nabi yang lain dan mahu mengangkat darjat Ali sehingga menjadi pemilik alam ini.

Ayat ini juga menjadi dalil kemuliaan Rasulullah yang dibela dan ditolong oleh Allah s.w.t sendiri, Jibril, para malaikat lain dan semua orang mukmin. Nabi tidak keseorangan.

Maka para wanita, jangan kamu buat komplot kepada Rasulullah s.a.w, tidak akan memberi kesan kepada Baginda kerana Allah dan semua akan menyokongnya, bahkan kamu nanti yang akan menanggung akibat dari perbuatan tidak baik itu.

  1. Ayat 5- {Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, – yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, – (meliputi) yang janda dan yang anak dara. – ayat ini menjadi amaran kepada para isteri Nabi, jika mereka masih tidak mendengar nasihat, maka jalan terakhir adalah talaq (perceraian).

Sebagaimana kata ulama\’: Jalan terakhir perubatan ialah dicop dengan besi panas!
Jika hari ini dipotong anggota yang diserang penyakit itu (amputation).

Perceraian dibenarkan dalam Islam sebagai alternatif jalan keluar jika berlaku ketidakserasian dalam hidup bersama.
Setelah segala usaha untuk menyelamatkan bahtera rumahtangga tidak berjaya lagi, maka boleh berpisah untuk mencari kehidupan baru. Supaya masing-masing tidak tergantung hidupnya dan dapat mencari kebahagian sendiri.

Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah at-Talaq sebelum ini; pergilah cari limpah kurnia Allah s.w.t, sesiapa yang bertaqwa Allah akan beri rezeki & jalan yang lain untuk dari kesusahan- kepada kesenangan dan kebahagiaannya Insya\’ Allah.

Ayat ini juga menjadi dalil iman itu bertambah dan berkurangan. Ini menolak fahaman murji\’ah bahawa iman itu TIDAK bertambah dan tidak berkurangan.

Para isteri Rasulullah s.a.w itu semuanya baik dan solehah tetapi iman dan kedudukan seseorang itu bertingkat-tingkat dan ada levelnya, tidak sama mengikut keadaan dan tahap amalan soleh mereka!

Powered by BetterDocs