SURAH AL-MUMTAHANAH : MUQADDIMAH

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH ANTARA SURAH & AWAL DAN AKHIR SURAH.

Full video : https://youtu.be/a0j5H0Xj7hU

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Selasa 18 Jumadal Ula 1444H bersamaan 13hb Disember 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Mumtahanah – سورة الممتحنة
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-Mumtahanah adalah surah ke-60 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-Hasyr, dalam juz ke 29, mengandungi 13 ayat yang panjang-panjang. Termasuk dalam kumpulan surah Mufassal (المفصل), iaitu surah yang pendek-pendek.
  4. Sepakat para ulama\’ (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini Madaniiyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah. Ayatnya pun tentang ujian dan pertembungan antara taat kepada Allah & wala\’ (beri ketaatan) kepada orang kafir.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Mumtahanah – {الممتحَنة} dengan huruf (ha) berbaris atas yang bererti (Perempuan yang diuji imannya).
    Ini kerana pada ayat ke-10, Allah s.w.t memerintahkan agar Rasulullah s.a.w apabila datang wanita beriman dari Makkah yang datang berhijrah ke Madinah (ٱلْمُؤْمِنَـٰتُ مُهَـٰجِرَٰتٍۢ) maka ujilah imannya (فَٱمْتَحِنُوهُنَّ ).
    Jika benar mereka (perempuan) beriman maka jangan hantar mereka balik ke Makkah kerana suami sudah tidak layak lagi bagi mereka.
    Yakni mereka sudah tidak halal lagi bagi suami mereka yang kafir di Makkah itu!

Maka terkenallah surah ini dalam kitab-kitab tafsir dan hadis serta ditulis dalam mushaf al-Quran sebagai Surah Al-Mumtahanah- {الممتحَنة}.

ii- Ada juga yang memanggilnya sebagai al-Mumtahinah {الممتحِنة} iaitu dengan huruf (ha) berbaris bawah yang bererti {Yang menguji}.

Kata Ibnu Hajar dalam Fathu al-Bari:
i- Yang masyhurnya surah ini boleh dibaca dengan kedua-duanya iaitu samada Surah Al-Mumtahanah – { الممتحَنة}- iaitu sifat perempuan yang diuji imannya.
Dikatakan dia adalah Ummu Kulthum binti Uqbah bin Abi Mu\’ait.
Ada juga yang kata namanya Sa\’idah bint Harith ada kata Umaimah bt Bisyri. Boleh jadi terdapat beberapa wanita yang berhijrah.
Tetapi yang terpilihnya ialah yang pertama iaitu Ummu Kulthum binti Uqbah bin Abi Mu\’ait. (Arabic: أُمُّ كُلثُوم بِنْتِ عُقبَة).

ii- tetapi sesiapa yang membacanya dengan baris bawah; Al-Mumtahinah – {الممتحِنة} maka ia bermaksud surah ini sebagai Surah yang menguji iman wanita yang berhijrah.

Yang masyhur dan kita akan bacanya ialah: Surah Al-Mumtahanah – { الممتحَنة}

Bagi yang berboleh berbahasa Arab terdapat kitab yang menarik tentang nama-nama yang tidak disebut secara terus dalam al-Quran:
i- Kitab oleh Abu al-Qasim as-Suhaili –
التعريف والإعلام فيما أبهم من القرآن من الأسماء الأعلام، ألفه الحافظ أبو القاسم السهيلي

ii- ada juga kitab oleh Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi- صلاح عبد الفتاح الخالدي

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Larangan bagi orang beriman agar jangan menjadikan orang kafir sebagai teman rapat. Jangan jadi tali barut kepada mereka sehingga terdedah rahsia dan maklumat yang tidak sepatutnya didedahkan tentang rahsia tentera atau pemerintahan Islam.

Islam tidak mengajar kita agar bermusuh dengan non-muslim, cuma kita diperintahkan agar berhati-hati dengan golongan kafir yang menentang Islam. Jangan buat teman rapat dan ketua yang diberi taat setia (wala\’).

Ini kerana kafir ada tiga kategori- dari dulu sehingga hari ini sama saja:
i- yang hanya iktiqadnya kafir tetapi baik dan membela Islam (seperti bapa saudara Nabi s.a.w- Abu Talib),
ii- ada kafir yang hanya berdiam diri, tidak peduli tentang Islam- tidak menyokong tidak menentang.
iii- ada kafir yang terang-terangan memusuhi Islam (seperti bapa saudara Nabi s.a.w- Abu Lahab).

Manakala bapa saudara Nabi s.a.w yang terang-terangan memeluk Islam ialah Sayyidina Hamzah & Abbas r.a.

  1. Dalam Islam tidak ada salahnya mengadakan hubungan baik dengan pihak yang bukan Islam untuk kebaikan bersama dan hidup aman. Ini juga kerana hidayah itu milik Allah.

Allah berkata bahawa Islam juga tidak melarang kita dari berbuat baik dan berlaku adil kepada kafir yang tidak memusuhi dan menentang Islam.
Allah hanya memerintah kita agar berhati-hati jangan diberi wala\’ iaitu taat setia/sokongan kepada kepada mereka yang anti-Islam dan ada agenda buruk, mengusir kamu dari negeri kamu.

Sesiapa yang berbuat demikian maka mereka adalah orang yang zalim!

  1. Surah ini diakhiri dengan menegaskan larangan itu demi keselamatan orang Islam sendiri.
    Ulangan terhadap perintah ini sekali lagi dengan firman Allah:
    {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan teman rapat mana-mana kaum yang dimurkai Allah, mereka telah berputus asa daripada mendapat kebaikan akhirat, sebagaimana berputus asanya orang-orang kafir yang ada di dalam kubur.}

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Amaran keras kepada orang yang beriman: Jangan ambil orang kafir sebagai wali, teman rapat atau penolong dalam mengalahkan umat Islam.
  2. Juga fokus kepada ujian orang yang beriman. Kita tengok dalam munasabah nanti. Setiap nama surah itu pasti ada topik khasnya di dalam surah itu.

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Larangan kepada orang mukmin daripada mengambil musuh-musuh Allah iaitu musuh mereka sendiri sebagai wali, teman rapat, orang yang diberi sokongan dan dokongan, yang disayangi- JANGAN! Ini mereka akan tetap memusuhi Allah dan undang-undang agama Islam.

Maka Allah beri peringatan sesiapa yang berwala\’kan orang kafir mereka akan menerima akibat yang buruk samada di dunia atau di akhirat.

  1. Allah s.w.t seru orang mukmin supaya mengikut jejak langkah datuk mereka Nabi Ibrahim a.s yang telah memutuskan hubungannya dengan bapanya sendiri dan kaum kerabtanya yang lain kerana mereka berterusan mahu menjadi kafir setelah segala usaha dakwah dan ajakannya tidak berjaya!
  2. Allah beri khabar gembira kepada orang mukmin bahawa mereka akan berkumpul kembali dengan keluarga mereka yang terpisah! iaitu samada terpisah kerana hijrah atau kerana berlainan ideologi & akidah.
    Akan terhasil kasih sayang sesama mereka iaitu jika kafir dengan cara Allah s.w.t beri hidayah untuk mereka beriman juga!

Bukan cepat ada yang lama jaraknya seperti Abu Sufyan dan anak-anaknya yang lebih awal memeluk Islam seperti UM Ummu Habibah- Ramlah binti Abu Sufyan r.a.

  1. Allah s.w.t nyatakan kelonggaran; tidak melarang kita dari berinteraksi dengan kafir yang tidak memusuhi dan menentang Islam. Kena pilih-pilih, bukan semua kafir tidak boleh berkawan.
  2. Penjelasan hukum wanita beriman yang datang berhijrah dari Makkah meninggalkan suaminya yang kafir. Diuji keimanannya dan jika terbukti beriman akan dibenarkan tinggal di Madinah. Jika suami mereka sayang dan mahu bersama mereka kembali, sila datang ke Madinah, beriman dan masuk Islam maka baru boleh ambil balik isteri mereka.
  3. Allah s.w.t perintahkan Rasulullah untuk membuat ikat setia dengan wanita. Allah s.w.t ambil perjanjian dari wanita itu agar taat kepada Allah, taat kepada Rasul dan menjauhkan diri dari segala perkara yang dilarang.

Fakta; Rasulullah s.a.w tidak bersalam dengan wanita walaupun ketika membuat bai\’ah dengan mereka.

  1. Allah akhiri surah yang mulia ini dengan mengulang larangan daripada berkasih sayang dan memberi wala\’ kepada musuh-musuh Allah!

MUNASABAH SURAH AL-MUMTAHANAH – سورة الممتحنة DENGAN SURAH AL-HASYR – سورة الحشر SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Hasyr – terzahir melalui dua sudut:

  1. Dalam Surah Al-Hasyr; Allah s.w.t perintahkan agar orang mukmin saling berkasih sayang sesama mereka.

Hadis Rasulullah s.a.w:
المُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا
\”Mukmin dengan mukmin yang lain umpama sebuah bangunan, sebahagian mengukuhkan sebahagian lain.\” [HR Muslim].

Allah juga sebut bahawa orang munafiq berwala\’ dengan ahli Kitab kaum yahudi!

ii- Maka dalam surah ini, pada ayat pertama lagi Allah s.w.t bawa larangan agar jangan ambil orang kafir sebagai wali atau teman rapat agar kamu jangan menjadi seperti orang munafiq.
Larangan ini dibawa pada awal surah & juga diulang pada akhir surah!

  1. Dalam Surah Al-Hasyr diceritakan tentang kaum yahudi ahli Kitab di Madinah yang telah membuat perjanjian damai dengan Rasulullah s.a.w lalu mereka belot dan khianatinya.

ii- dalam surah ini Allah s.w.t tujukan kepada semua jenis kafir samada yang ada perjanjian atau tidak ada perjanjian. Kerana surah ini diturunkan semasa perjanjian Damai Hudaibiyah pada Tahun ke-6 H.

  1. Yakni dua surah ini ada persamaan dalam menyatakan etika tentang hubungan orang Islam dengan orang kafir samada ahli kitab atau kafir tanpa kitab seperti kaum musyrikin Makkah.

MUNASABAH AWAL DAN AKHIR SURAH :

  1. Pada awal surah Allah s.w.t memberi amaran kepada mukmin agar jangan mengambil orang kafir sebagai wali yang ditaati dan diberi taat setia, dijadikan teman rapat yang berkasih sayang untuk menjatuhkan orang Islam juga, maka mereka di dalam kesesatan! Samada dengan perbuatan atau perkataan.
  2. Pada akhir surah sekali lagi Allah s.w.t melarang orang mukmin daripada berwala\’kan kepada orang kafir musuh-musuh Islam semata-mata untuk menjaga kesatuan umat Islam dan kemurnian agama ini daripada tercemar.

Allah s.w.t dengan jelas berpesan dengan menurunkan ayat terakhir ini: {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan teman rapat mana-mana kaum yang dimurkai Allah, mereka telah berputus asa daripada mendapat kebaikan akhirat, sebagaimana berputus asanya orang-orang kafir yang ada di dalam kubur.}

  1. Terzahir dalam surah ini Allah akhiri ayat pada akhir surah sebagaimana pada permulaan surah itu. Yang penting semua kita mesti berpegang kepada kesatuan ummah, serta taksub kepada kebenaran dan keesaan Allah s.w.t dan menjauhkan diri perbuatan orang-orang fasiq!

Sangat nyata dan jelas surah ini adalah larangan dari pergantunggan hati kepada orang kafir!

Powered by BetterDocs