SURAH AL-QIYAMAH : AYAT 20-25

\"\"

KERANA CINTAKAN DUNIA, ORANG BERIMAN MUKA BERCAHAYA & SI KAFIR BERMUKA GELAP.

Full video : https://youtu.be/fxbYx5yV3Hg?si=13fLUJOcIwgxGKEd

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang nafsu, kerana cintakan dunia & kebendaan, puak kafir sangggup menolak dakwah & ajakan nabi s.a.w.
  2. Kemudian Allah s.w.t ceritakan tentang keadaan dua wajah yang berbeza.
    Bagaimana orang beriman muka mereka bercahaya, indah dan bergembira {وُجُوهٌۭ يَوْمَئِذٍۢ نَّاضِرَةٌ} menikmati nikmat syurga selepas mereka menahan nafsu yang buruk di dunia dulu!
  3. Manakala muka kedua ialah si kafir ahli neraka pula muram, gelap tiada keceriaan { وَوُجُوهٌۭ يَوْمَئِذٍۭ بَاسِرَةٌۭ} selepas mereka bebas gembira di atas dunia dulu, ikut hawa nafsunya. Di akhirat mereka akan dibelenggu, yakni senang awal susah kemudian!
  4. Lebih malang lagi jika atas dunia ini mereka bukan senangpun, sudahlah susah tetapi di akhirat kelak akan lebih dahsyat kesusahan & azabnya!
  5. Kita orang beriman Rasulullah s.a.w ajar kita untuk berdoa minta kebaikan dunia & akhirat sebagaimana ayat al-Quran ini:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

\”Ya Allah, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia, berikan pula kebaikan di akhirat dan lindungilah kami dari siksa neraka.\” [Al-Baqarah: 201].

  1. Munasabah ayat:
    i- Allah sudah tujukan percakapannya kepada Rasulullah s.a.w dalam ayat-ayat yang lepas sebelum ini.

ii- maka ayat ini kembali semula kepada golongan manusia yang tidak percaya kepada hari Kiamat, hari Kebangkitan semula.
Ini kerana mereka hanya mengejar dunia yang fana ini! Mereka tidak lansung cuba mengejar atau bersedia untuk akhirat kerana mereka tidak percaya!

Manakala orang beriman pun tengok kategori juag! Ada yang percaya & buat persiapan yang mantap, ada yang lemah persediaannya! Ada yang buat persiapan persedian yang sepatutnya untuk Akhirat, ada yang lemah, hanya sambil lewa atau tidak bersungguh, malap cahayanya!

AYAT 20- {SEDARLAH WAHAI ORANG-ORANG YANG LALAI. (SEBENARNYA KAMU TIDAK INGATKAN KESUDAHAN KAMU) BAHKAN KAMU SENTIASA MENCINTAI (KESENANGAN DAN KEMEWAHAN DUNIA) YANG CEPAT HABISNYA.} (AL-QIYAMAH 75:20)

  1. Sedarlah wahai orang yang lalai, kenapa kamu tidak ingat akan akhir kesudahan kamu! Di sini Allah sentap kepada manusia yang lalai supaya sedarlah! Mereka lansung tidak ingat dan bersedia untuk hari Kiamat & bangkit semula!
  2. Apa yang mereka sangkakan itu tidak percaya akan hari Akhirat, tiada kebangkitan semula, adalah tidak betul & tidak tepat!
  3. Sebab mereka menjadi begitu, tidak beriman, menentang Rasulullah s.a.w & mengingkari Kebangkitan adalah kerana mereka sibuk mengejar dunia dan isinya yang fana (tidak kekal) ini!

AYAT 21- {DAN KAMU TIDAK MENGHIRAUKAN (BEKALAN UNTUK) HARI AKHIRAT (YANG KEKAL ABADI KEHIDUPANNYA).} (AL-QIYAMAH 75:21)

  1. Akibat sibuk dengan dunia mereka puak kafir tidak menghiraukan persediaan bekalan untuk hari akhirat yang kekal abadi!
  2. Ayat ini juga ditujukan kepada kita yang beriman tetapi sibuk juga dengan dunia, lalu lemah dalam persiapan bekalannya untuk ke akhirat.
  3. Firman Allah s.w.t juga:
    {Sesungguhnya orang-orang (yang menentangmu) itu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya, serta mereka membelakangkan (tidak menghiraukan bekalan) untuk hari akhirat yang amat berat (penderitaannya kepada orang-orang yang tidak bertaqwa).} (Al-Insaan 76:27)

AYAT 22- {PADA HARI AKHIRAT ITU, MUKA (ORANG-ORANG YANG BERIMAN) BERSERI-SERI;} (AL-QIYAMAH 75:22)

  1. Dalam ayat ini & ayat selepasnya Allah s.w.t ceritakan tentang keadaan manusia di akhirat. Ada yang bercahaya wajahanya ada yang gelap wajahnya!
  2. Pada hari Kiamat nanti, muka orang yang beriman berseri-seri bercahaya dengan nikmat anugerah Allah.
  3. Doa: اَللّٰهُمَّ بَيِّضْ وَجْهِى يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوْهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوْهٌ

\”Ya Allah cerahkan wajahku pada hari Engkau cerah & gelapkan wajah-wajah manusia!

4. Firman Allah s.w.t:
{Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat:
Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ).
Engkau dapat melihat pada muka mereka: cahaya nikmat yang mereka perolehi.} (Al-Mutaffifiin 83: 22-24)

Majlis di dalam syurga mereka saling berhadapan, tiada yang duduk di belakang orang lain!

AYAT 23- {MELIHAT KEPADA TUHANNYA.} (AL-QIYAMAH 75:23)

  1. Serta nikmat ahli syurga yang paling besar ialah anugerah memandang kepada wajah Allah Azza wa Jalla! Inilah nikmat tambahan yang tidak mereka jangka!
  2. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
    {Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.} (Yunus 10:26)
  3. Ayat ini ditafsirkan lagi oleh hadis Rasulullah s.a.w ini:
    Daripada Suhaib R.A, bahawa Rasulullah S.A.W membaca ayat surah Yunus ini lalu bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ – قَالَ – يَقُولُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى تُرِيدُونَ شَيْئًا أَزِيدُكُمْ
فَيَقُولُونَ أَلَمْ تُبَيِّضْ وُجُوهَنَا أَلَمْ تُدْخِلْنَا الْجَنَّةَ وَتُنَجِّنَا مِنَ النَّارِ –
قَالَ – فَيَكْشِفُ الْحِجَابَ فَمَا أُعْطُوا شَيْئًا أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنَ النَّظَرِ إِلَى رَبِّهِمْ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: Apabila seorang ahli syurga memasuki syurga, Allah Tabaraka wa Ta\’ala berfirman: \”Apakah kamu ingin aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?\”
Mereka menjawab: \”Tidakkah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Tidakkah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatakan kami daripada api neraka?\”

Lalu Allah S.W.T membuka hijab (dan menampakkan diri-Nya, dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka Allah \’Azza wa Jalla. [HR Muslim (181)].

4. Hadis riwayat Jarir bin Abdillah R.A:

كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذْ نَظَرَ إِلَى الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ قَالَ ‏ \” إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا الْقَمَرَ لاَ تُضَامُّونَ فِي رُؤْيَتِهِ

Maksudnya: Suatu hari kami duduk bersama Rasulullah S.A.W dan Baginda melihat kepada bulan pada malam bulan mengambang lalu bersabda:
\”Kamu akan melihat Tuhan kamu sepertimana kamu melihat bulan ini, dan kamu tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya. [HR al-Bukhari (7434) dan Sahih Muslim (633)].

Cara tengok adalah sama seperti kita tengok sekarang ini, tetapi yang dilihat itu bukan makhluk tetapi Allah Azza wa Jalla.

Bagaimana- wallahu a\’lam.
Tunggulah kelak, sentiasalah kita berdoa semoga menjadi ahli syurga yang bertuah ini. Tak perlu kita persoal dan mencari logik dengan apa yang Allah & Rasul-Nya sendiri nyatakan!

5. Kata Ibnu Juzai rhm.: Kita akan tengok dengan mata kita, di akhirat kelak Allah s.w.t buka hijab-Nya. Di dunia ini jika terbuka hijab, akan terbakar dunia ini. Sebagaimana Nabi Musa a.s minta untuk melihat Allah, Allah kata kamu tidak dapat melihat aku.

6. Ini adalah pegangan ahli Sunnah-wal Jama\’ah bahawa ahli syurga akan dapat melihat wajah Allah s.w.t di dalam syurga nanti.
Manakala Muktazilah mengingkarinya dan mengatakan manusia tidak akan dapat melihat Tuhan!

7. Kita kata kamulah yang tidak dapat melihatnya. Manakala kita orang mukmin berdoa dan bersungguh melakukan ketaatan untuk sampai ke syurga & dapat melihat wajah Allah s.w.t yang mulia!

AYAT 24- {DAN PADA HARI ITU, MUKA (ORANG-ORANG KAFIR) MURAM HODOH,} (AL-QIYAMAH 75:24)

  1. Manakala satu kumpulan lagi, iaitu golongan kafir, wajah mereka gelap, muram lagi hodoh! Nau\’zubilah dari golongan ini!
  2. Ini kerana kecelakaan mereka yang zalim terhadap diri sendiri atas dunia dulu iaitu syirik kepada Allah s.w.t! Ini adalah kezaliman yang paling besar dalam bab aqidah.
  3. Firman Allah s.w.t juga:
    {Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.} (Yunus 10:27)
  4. Kata Ibnu Abbas r.a maksud muka gelap { وَوُجُوهٌۭ بَاسِرَةٌۭ} ini ialah: muka yang penuh stress, muram, cemas, takut dan amat buruk!

AYAT 25- {SAMBIL PERCAYA DENGAN YAKIN BAHAWA MEREKA AKAN DITIMPA MALAPETAKA (AZAB SEKSA) YANG MEMBINASAKAN.} (AL-QIYAMAH 75:25)

  1. Pada waktu itu mereka telah yakin mereka akan dikenakan azab Allah s.w.t melalui bukti yang telah ada di depan mata mereka!
  2. Kerana itulah muka mereka berubah menjadi kelam, cemas & muram!
    Tanda-tandanya telah jelas di hadapan mereka!
  3. Kita minta Allah selamatkan kita semua & keluarga kita dari bala bencana di dunia & di akhirat.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 20- {Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya.} – mereka suka nak ambil habuan segera dunia maka mereka lupa akan akhirat.

Kata ulama\’: Ayat ini mencela pendamba & pengejar dunia yang melupakan akhirat!

Sabda Rasulullah s.a.w:
\”Siapa yang dunia menjadi keinginan terbesar di hatinya, maka Allah akan cerai beraikan urusannya. Dan Allah jadikan kefakiran di antara kedua matanya. Dan dunia tidak mendatanginya kecuali yang dituliskan saja untuknya.
Dan siapa yang akhirat itu menjadi niat utamanya (keinginan terbesar di hatinya akhirat), Allah akan kumpulkan urusannya, dan Allah akan jadikan kekayaan di hatinya dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan dunia itu hina di matanya.\” [HR Ibnu Majah].

  1. Ayat 20- {Bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya.} – ayat ini adalah celaan kepada orang yang cintakan dunia sehingga meninggalkan & lupa akhirat.

Tetapi orang yang mencari kelebihan dunia (kekayaan), tetapi tetap tidak lupakan akhirat, projek dunianya banyak tetapi tidak terlibat dengan haram atau syubhah, riba atau rasuah, tidak melupakan akhirat dengan berbuat amal ibadat dan kebajikan.

Dalil bahawa tidak dicela orang yang mencari kekayaan di dunia tetapi tidak menjadikan dunia dalam hatinya adalah firman Allah s.w.t:
{\”Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan \”.} (Al-Qasas 28:77)

Hatta Rasulullah s.a.w tidak larang menantunya Sayyidina Usman, seorang peniaga yang besar dari meneruskan perniagaannya!
Ini kerana Sayyidina Usman tidak lupakan akhiratnya, sentiasa menginfakkan hartanya fi-sabilillah dengan banyaknya.

Sebagaimana semasa perang Tabuk, Usman telah memberikan beberapa ratus ekor unta lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah.

Rasulullah s.a.w turun dari mimbar sambil bersabda: \”Maka tidak ada lagi yang dapat membahayakan Uthman setelah kebaikannya ini, tidak ada lagi yang dapat membahayakan Uthman setelah kebaikannya ini.\” [HR at-Tirmizi]

  1. Ayat 20- {Bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya.}- manusia dan nafsunya itu suka sesuatu yang cepat dan segera { ٱلْعَاجِلَة}, gopoh & tidak sabar.

Berhati-hatilah kerana benda segera ini takut kita akan terperangkap dengan permainan syaitan, kerana mungkin akan terlibat dengan rasuah, riba, penipuan dan seumpamanya.

Betapa hari ini kita dapati orang menipu dalam segenap perkara, banyak sekali penipuan yang berlaku! Skim cepat kaya salah satu cara untuk cepat rugi & hilang duit! Nak pergi umrah & haji pun kena tipu! Allahu al-Musta\’an!

  1. Ayat 22- {Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri;} & Ayat 23- {Melihat kepada Tuhannya.}- Kata ulama\’ ayat ini mengisbatkan bahawa orang mukmin boleh melihat kepada Allah di akhirat kelak. Serta menolak fahaman sesat Muktazilah yang batil yang mengatakan tidak.

Allah s.w.t sandarkan lihat itu kepada wajah-Nya. Serta digunakan perkataan kepada Tuhannya { إِلَىٰ رَبِّهَا}; menunjukkan bahawa kita lihat sungguh dengan mata kita {نَاظِرَةٌۭ} kepada lah Azza wa Jalla.

Maka kita yakin percaya dengan apa yang Allah nyatakan ini, maka kita berusahalah untuk mencapainya dengan melakukan kebaikan & ketaatan kepada Allah s.w.t!

  1. Ayat 22- {Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri;} Ayat 23- {Melihat kepada Tuhannya.} & Ayat 24- {Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram hodoh,}
    Kenapa Allah sebut muka { وُجُوهٌۭ} dalam ayat-ayat ini?

JAWAPAN :

Ini kerana wajah/muka seseorang dapat menggambarkan apa yang ada dalam hati manusia! Kita nak tengok dalam hati orang tidak boleh, maka wajahnya sebagai cerminan hati atau perasaan seseorang, boleh diteka riaknya.

Kata al-Hasan al-Basri:
i- muka yang bercahaya (وُجُوهٌ نَّاضِرَةٌ) layak untuk melihat Tuhan Penciptanya. Sudah pasti mukanya akan ceria & berseri-seri kerana menunjukkan kegembiraannya! Sudah pasti orang yang dapat lihat Allah akan ceria wajahnya!

Kita di dunia ini pun apabila gembira atau bertemu dengan orang kita sukai pasti manis dan berseri wajahnya.

Begitu juga sebaliknya! Seseorang yang takut, gerun dan cemas untuk menghadapi hukuman dan azab, bertemu dengan sesuatu yang tidak disukainya;\’ pastilah wajahnya muram, penuh kegelisahan, gelap & kusam! Wal \’iyazu billah!

Ya Allah jadikanlah kami hamba-hamba-Mu yang layak ke syurga-Mu, yang bercahaya mukanya, serta yang layak memandang kepada wajah-Mu!

Powered by BetterDocs