SURAH AZ-ZALZALAH : AYAT 1-8

\"\"

MUQADDIMAH INTISARI SURAH, KEADAAN HARI KIAMAT, BUMI DIGONCANG & TIMBANGAN AMALAN MANUSIA.

Full video : https://youtu.be/pH0SDRPE9_E?si=aZbllRGu4VQu4IV4

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Selasa 21 Muharram 1445H bersamaan 8hb Ogos 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Az-Zalzalah- سورة الزلزلة .
  2. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Az-Zalzalah- سورة الزلزلة adalah surah ke-99 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kedua-puluh dua dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-Bayyinah – سورة البينة.
    Mengandungi 8 ayat yang pendek.
  4. Ulama\’ tafsir ramai mengatakan surah ini Madaniyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

Ada juga ulama\’ yang mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Az-Zalzalah- سورة الزلزلة yang bermakna {Gegaran} kerana pada awal surah Allah s.w.t menegaskan bahawa pada hari Kiamat, bumi akan digegarkan dengan segegar-gegarnya!
  2. Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti:
    i- diambil dari awal ayat pertamanya {إِذَا زُلْزِلَتِ}

Ibnu Asyur kata nama ini kerana para sahabat menyebut namanya sedemikian.
Demikian juga Imam Bukhari & Tirmizi menamakannya dalam kitab hadis.

ii- dengan nama surah Zilzal – {زِلْزَال} dengan makna gempa bumi juga.

iii- surah Zulzilat {زُلْزِلَتِ}- gempa atau gegaran juga.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Kerap-kali orang kafir yang menentang Rasulullah s.a.w bertanya kepada Baginda secara mengejek bilakah akan datang hari Kiamat yang dijanjikan itu?

Bagi menjawabnya Allah s.w.t menegaskan bahawa apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang dahsyat sehingga terbongkar segala isinya yang terpendam (mayat-mayat dari kubur).

Maka pada saat itu, umat manusia yang menyaksikan peristiwa itu akan bertanya sesama sendiri dengan penuh perasaan cemas takut:
Apakah yang sudah terjadi?
Apakah sebabnya berlaku sedemikian?

Tetapi bumi terus bergegar & hancur lebur semuanya sambil menegaskan bahawa semua yang terjadi itu adalah kehendak Allah s.w.t yang maha Berkuasa untuk menggantikannya dengan alam yang baru iaitu alam Akhirat.

  1. Kemudian Allah s.w.t terangkan lagi tentang peristiwa-peristiwa yang terjadi selepas itu, manusia berselerak keluar daripada kubur masing-masing untuk diperlihatkan kepada mereka amalan mereka!

Maka sesiapa yang berbuat kebaikan walaupun sebesar zarah (atom) akan melihatnya di dalam suratan amalannya!

Begitu juga sebaliknya sesiapa yang berbuat kejahatan walaupun sebesar zarah (atom) nescaya akan melihatnya di dalam suratan amalannya!

  1. Kandungan surah ini memberi galakan supaya kita jangan meninggalkan amal-amal yang baik walaupun sedikit.

Juga mengingatkan kita agar meninggalkan sebarang maksiat walaupun sekecil-kecilnya kerana amalan ini dikira dengan zarah.

Inilah perkiraan amalan yang kita kena ingat.
Zarah- atom, sebesar biji sawi atau lebih kecil daripada semut!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah untuk mengisbatkan tentang akan berlakunya Kebangkitan semula, hari Kiamat & huru-hara yang akan terjadi padanya.
  2. Serta pembalasan atas segala amalan samada baik atau buruk!
    Semuanya akan dibalas oleh Allah Azza wa Jalla!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t mahu sebut tentang hari Kiamat & huru-hara yang akan berlaku padanya.
  2. Menguatkan kepercayaan bahawa semua manusia akan dibalas oleh Allah s.w.t di akhirat menngikut amalannya di dunia samada baik atau buruk!

MUNASABAH SURAH AZ-ZALZALAH – سورة الزلزلة DENGAN SURAH AL-BAYYINAH – سورة البينة SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Bayyinah – سورة البينة:

  1. Allah telah sebut pada akhir surah yang lepas tentang janji buruk bagi orang kafir iaitu neraka & janji balasan baik bagi orang mukmin iaitu syurga.

ii- maka dalam surah ini Allah s.w.t nyatakan bilakah hari Pembalasan itu serta sebahagian tanda-tanda hari akan dikeluarkan manusia untuk dibalas.

Yakni apabila ditanya bilakah?
Maka jawapannya apabila digocangkan bumi maka akan bermulalah balasan.

Kemudian Allah tambhakan lagi amaran & janji siksa bagi orang kafir iaitu kamu semua akan dibalas apabila bumi ini digoncang!

  1. Persamaan pada akhir surah:
    Allah nyatakan pada akhir kedua surah bahawa semua akan dapat lihat kesudahannya; orang yang baik akan lihat & dapat balasannya, orang yang jahat begitu juga!

Ini menunjukkan bahawa al-Quran itu dari sumber & dalil yang sama iaitu dari Allah Azza wa Jalla.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {APABILA BUMI DIGEGARKAN DENGAN GEGARAN YANG SEDAHSYAT-DAHSYATNYA,} (AZ-ZALZALAH 99:1)

  1. Iaitu apabila bumi bergoncang, bergegar pada hari Kiamat dengan goncangan yang cukup dahsyat!
  2. Maka kita tahulah itu akan berlaku hari Kiamat!

AYAT 2- {SERTA BUMI ITU MENGELUARKAN SEGALA ISINYA,} (AZ-ZALZALAH 99:2)

  1. Bumi akan keluarkan dari perutnya dari kalangan orang yang mati, mereka akan hidup balik untuk perbicaraan, akan dihitung segala amalan dan akan mendapat pembalasan!
  2. Kata Ibnu Jauzi rhm. ada dua pandangan ulama\’ tentang maksud bumi akan ini:
    i- ramai dari kalangan ulama\’ kata bumi keluarkan orang mati dari perutnya!

Gedung manusia adalah dalam bumi, gedung atas bumi adalah tong sampah!

ii- ada yang kata akan dikeluarkan barang-barang berharga (khazanah) yang ada dalam perut bumi.

Pendapat ini tidak kuat kerana semua khazanah ini dikatakan sudah habis keluar pada zaman dajjal lagi (iaitu sebelum Kiamat).

  1. Pendapat kedua ini membawa beberapa pandangan ulama\’ pula:
    i- Ibnu Athiyah kata pandangan ini tidak betul kerana khazanah sudah keluar pada zaman dajjal.

ii- Al-Alusi pula kata boleh jadi betul kerana khazanah zaman dajjal adalah yang khasnya, manakala khazanah pada hari Kiamat yang lain pula!

Maka yang tidak khilafnya adalah bumi akan mengeluarkan mayat-mayat manusia yang tersimpan dalam perutnya untuk dibangkitkan semula!

AYAT 3- {DAN BERKATALAH MANUSIA (DENGAN PERASAAN GERUN); \”APA YANG SUDAH TERJADI KEPADA BUMI?\”} (AZ-ZALZALAH 99:3)

  1. Apabila bumi bergoncang dan bergegar dengan kuatnya maka manusia saling berkata & tertanya-tanya ketika itu apakah yang sudah terjadi pada bumi!!!
  2. Kata al-Mawardi, tentang manusia {ٱلْإِنسَـٰنُ} ini ada beberapa pandangan ulama\’:
    i- ada ulama\’ kata semua manusia- samada yang kafir atau beriman. Semuanya gerun belaka.

ii- kata ulama\’ lain hanya manusia yang kafir merasai segala huru-hara itu manakala manusia yang beriman dalam keadaan tenang & tidak terasa!

Yang terpilihnya semua manusia akan merasainya, hanya apabila selesai hisab & masuk syurga baru tenang!

AYAT 4- {PADA HARI ITU BUMIPUN MENCERITAKAN KHABAR BERITANYA:} (AZ-ZALZALAH 99:4)

  1. Pada hari itu bumi bercerita tentang apa yang dilakukan manusia di atas muka bumi dahulu!
  2. Bumi akan menyaksikan, menjadi saksi atas perbuatan manusia atasnya dulu. Ia menyaksikan yang buat maksiat & kejahatan, juga menjadi saksi atas perbuatan baik & soleh.
  3. Orang yang ada iman dalam dada akan sentiasa merasakan ada dosa & pahala di hadapannya, maka mestilah sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakannya.

AYAT 5- {BAHAWA TUHANMU TELAH MEMERINTAHNYA (BERLAKU DEMIKIAN).} (AZ-ZALZALAH 99:5)

  1. Lalu bumi bercakap memberitahu bahawa ia telah diperintahkan oleh Tuhannya. Iaitu dengan sebab wahyu dari Allah ia tahu dan Allah izinkan ai untuk berkata-kata.
  2. Maksudnya Allah telah memberi ilham kepada bumi {أَوْحَىٰ}- bukan bermakna memberi wahyu seperti para nabi.

Jika selain daripada nabi makna {أَوْحَىٰ} itu memberi ilham- bukan dengan makna wahyu!

AYAT 6- {PADA HARI ITU MANUSIA AKAN KELUAR BERSELERAK (DARI KUBUR MASING-MASING) – UNTUK DIPERLIHATKAN KEPADA MEREKA (BALASAN) AMAL-AMAL MEREKA.} (AZ-ZALZALAH 99:6)

  1. Manusia apabila ditiup sangkakala kedua, bumi berayak seolah penampi, menjadikan semua manusia berselerak {} keluar dari kuburnya.
  2. Manusia lalu menjadi berpuak-puak (فراقا) berbeza keadaannya, ada yang mendapat bayangan Arasy, ada yang matahari sejengkal di atas kepala, ada yang tenggelam dalam peluh- semuanya mengikut tahap amalan masing-masing.
  3. Mereka keluar untuk melihat apakah hasil amalan mereka, apakah balasan amalan yang telah mereka buat!
  4. Kata AAM: Suratan amalan yang kita nak baca di hadapan Allah di akhirat kelak, kitalah penulisnya!

Kita nak baca di Akhirat kelak, nak baca yang baik buatlah yang baik, nak lihat yang buruk buatlah yang buruk!

  1. Ya Allah kita minta Allah selamatkan kita, beri hidayah & bimbingan untuk kita melakukan ketaatan & kebaikan, agar jauh dari maksiat & kemungkaran, agar kelak kita akan menerima suratan amalan dengan tangan kanan, dalam keadaan gembira dan malaikat mengucapkan salam selamat kepada kita!

AYAT 7- {MAKA SESIAPA BERBUAT KEBAJIKAN SEBERAT ZARAH, NESCAYA AKAN DILIHATNYA (DALAM SURAT AMALNYA)!} (AZ-ZALZALAH 99:7)

  1. Maka siapa yang buat kebaikan atas dunia ini dulu walaupun sebesar biji zarah (atom).

Darah ini adalah debu berterbangan yang dapat dilihat dalam sinaran matahari.
Lebih kecil daripada semut & biji sawi.

  1. Jika kebajikan & kejahatan yang sebesar zarah pun nampak apatah lagi yang lebih besar daripada itu!
  2. Hadis riwayat Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah saw. Bersabda dalam satu hadis yang panjang, tentang zakat & hak harta, emas perak dan binatang ternakan.

Maka ditanyakan orang pula kepada Baginda; \”Kalau kuda bagaimana, ya Rasulullah?\”
Jawab Rasulullah saw., \”Kuda itu ada tiga macam : (1) Kuda sebagai barang mewah, atau yang mendatangkan dosa….

(2) Kuda sebagai keperluan. Iaitu kuda yang dipelihara untuk agama Allah. Kemudian pemiliknya tidak lupa akan hak Allah dalam mempergunakannya sebagai angkutan dan kenderaan. Maka kuda bagi orang itu adalah pakaian atau keperluan.

(3) Kuda sebagai sumber pahala. Iaitu kuda yang dipelihara untuk membela agama Allah,
Lalu ditanyakan orang pula, \”Bagaimana kalau himar (keldai), ya Rasulullah?\”
Jawab Rasulullah s.a.w: \”Allah tiada menurunkan wahyu apa-apa kepadaku mengenai himar, selain ayat yang pendek tetapi lengkap ini, iaitu:
{\”Sesiapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (pahala)nya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya pula.\”} (Al-Zalzalah: 7-8). [HR Muslim].

  1. Yakni semua benda ats dunia ini ada pahala, ada dosa, ada yang baik ada yang maksiat. Kecuali benda-benda yang harus, itupun kita akan lihat kesannya.

Seperti makan ia harus, tetapi jika makan dengan niat baik, makan untuk menguatkan badan untuk buat pahala, akan dapat pahala juga Insya\’ Allah.

AYAT 8- {DAN SESIAPA BERBUAT KEJAHATAN SEBERAT ZARAH, NESCAYA AKAN DILIHATNYA (DALAM SURAT AMALNYA)!} (AZ-ZALZALAH 99:8)

  1. Sesiapa yang buat benda tak baik atas dunia ini walaupun sebesar biji zarah, dia akan dapat balasannya di akhirat kelak!
  2. Atas dunia ini tiada benda percuma, ia samada dapat pahala atau dosa!
    Jika sesiapa buat kejahatan atau keburukan, walaupun sebesar zarah, pasti akan tercatat dalam suratan amalannya!
  3. Jika ada orang bercakap: bahawa kita ini adalah bebas untuk pilih apa yang kita mahu kerana ia adalah kebebasan hak kita!
  4. Tetapi sebagai orang Islam, ini adalah isu Aqidah, depan mata kita kena ada dosa & pahala.

Contohnya: Apakah kesannya jika berkawan dengan seseorang itu, apakah kesan buruk yang berlaku, apakah mungkar maksiat akan berlaku?

  1. Kita kena tahu dari awal akibat hasil daripada perbuatan kita, apakah membawa pahala atau dosa! Kita sebagai orang beriman kena ambil-kira semua perkara!
  2. Tiada benda yang hanya dunia semata-mata; pasti akan ada kaitannya dengan akhirat, ada dosa ada pahala- jangan jadi seperti & terperangkap dengan golongan sekular yang memisahkan antara kehidupan dengan agama!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,}- kata ulama\’ tafsir & lughah; Allah s.w.t mulakan surah ini dengan keadaan masa (ظرف الزمان)- iaitu apabila {إِذَا}.

Cerita ini pula panjang iaitu beberapa ayat sehinggalah datang akan kisah yang akan terjadi selepas itu pada ayat ayat 6.

Kata para ulama\’ ayat begini untuk menggalakkan kita mendengarnnya sehingga habis, sehingga sampai kepada isu yang mahu diceritakan!

Allah s.w.t juga mengulangkan perkataan goncangan ini {زِلْزَالَ} beberapa kali, iaitu untuk menta\’kid atau menguatkan yang pertama agar kita makin faham & mantap!
Dalam ayat ini Allah s.w.t bagi amaran & menakutkan kita bahawa pada suatu hari bumi ini akan bergoncang!

  1. Ayat 4- {Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya:}-pada hari itu bumi menjadi saksi atas apa yang berlaku.

Yakni bumi menjadi saksi untuk menyatakan apa yang telah berlaku di atasnya, yakni perlakuan manusia di atasnya samada dosa atau pahala, maksiat atau mungkar.

Bumi juga sebagai saksi bagi yang imarahkannya dengan kebaikan; semuanya akan dibentangkan.

Hati-hati tuan-puan semua; bumi yang tidak ada pusat judi & maksiat ini jika ada semula kerana sebab kita maka bersedialah menerima persaksian dari bumi nanti!

Sedangkan ilmu Allah s.w.t meliputi semuanya, tetapi Allah s.w.t bawa juga saksi-saksinya seperti bumi, anggota badan manusia sendiri untuk menunjukkan keadilan Allah s.w.t agar tidak ada pertikaian lagi!
Maka jangan sesekali kita berani melakukan maksiat kemungkaran atas bumi ini!

  1. Ayat 5- {Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).}- Allah s.w.t telah beri ilham kepada bumi untuk bercakap dengan mengatakan {أَوْحَىٰ لَهَا}- yakni terus beri ilham kepadanya!

Ulama\’ lughah (bahasa) kata dari sudut bahasa sama saja dengan {أَوْحَىٰ إلَيهَا}. Cuma {أَوْحَىٰ لَهَا} dengan maksudnya Allah beri ilham terus agar bumi terus bertindak dengan perintah-Nya
Bumi akan menjadi saksi atas maksiat yang dilakukan atasnya.

Allah s.w.t telah buat bumi begitu indah & permai tetapi sayangnya manusia telah merosakkannya dengan buat perbuatan mungkar maksiat atasnya!

  1. Ayat 7- {Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!}- ini menunjukkan bahawa timbangan amalan kita mengikut zarah (atom) yang sebesar habuk itu, bukan dengan kilo, kati atau pikul.

Jika sebesar itu pun dibalas; pastilah yang lebih besar lagi pasti akan dibalas juga semuanya!

Ulama\’ juga kata ayat in imenggalakkan manusia untuk buat amal kebaikan.
Apa saja peluang yang ada untuk buat kebaikan buatlah! Samada dari segi harta atau tenaga.

Ibrahim at-Taimi rhm. berkata dia dengar seorang ulama\’ al-Harith bin Suwaid baca surah ini sehingga kepada ayat ini kemudian dia menangis sambil berkata:
Sesungguhnya kiraan amalan kita ini amat berat; sebesar zarah pun dikira!
Alangkah menakutkannya maka dia pun menangis!

Pengalaman AAM belajar dengan Sheikh Dr Muhammad Syanqiti baca ayat ini semua orang menangis.

Sebuah kisah yang diceritakan oleh Imam al-Baihaqi dari Kitabnya (Syu\’abul Iman)- seorang peminta sedekah datang ke rumah UM Aisyah r.a untuk meminta makanan.
Lalu Aisyah menyuruh pembantunya mencari apa yang dapat diberi, tetapi tidak didapatinya. Maka Sayyidah Aisyah menyuruhnya pergi cari lagi, akhirnya dia jumpa sebiji buah tamar!
Pembantunya malu untuk memberi sedekah dengan hanya sebiji tamar!
UM Aisyah r.anha lalu berkata: Berilah, dalam sebiji tamar itu sudah ada berapa banyak zarah pahala jika Allah s.w.t menerima sedekah kita itu!

Allahu Akbar betapa tingginya fiqh UM Aisyah tentang ayat ini!

Tidak betul pandangan ahli sekular yang mengatakan semua yang kita buat tidak kira dosa pahala- kerana kita bukan nak pilih agama. Segala kerja buat, zarrah pun dikira dosa pahala- takkan perbuatan lain yang lebih besar tidak diambil kira?
Ini satu fahaman yang cukup bahaya & tidak kena!

  1. Ayat 7- {Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!} &
    Ayat 8- {Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!}- ulama\’ kata ini menunjukkan bahawa amalan kita ini akan ditimbang!

Timbul persoalan bagaimanakah amalan kita yang telah lepas itu ditimbang?
Apakah ditimbang sekali dengan kita atau bagaimana?


JAWAPAN :

i- Atas kita orang yang beriman agar menerima saja apa yang Allah s.w.t & Rasulullah s.a.w telah beritahu, kita telah beriman dengan al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.

ii- ada yang kata amalan kita ini akan dijadikan dalam bentuk jisim, kemudian ditimbang- Allah s.w.t yang berkuasa mencipta segala makhluk & alam ini, pastilah Allah juga berkuasa menjadikan amalan kita sesuatu yang dapat ditimbang!

Dalil- hadis Rasulullah s.a.w tentang maut (mati) yang akan disembelih kemudian akan mati juga!

Daripada \’Abdullah bin \’Umar pula, Nabi s.a.w bersabda:
إِذَا صَارَ أَهْلُ الْجَنَّةِ إِلَى الْجَنَّةِ، وَأَهْلُ النَّارِ إِلَى النَّارِ،
Apabila penghuni syurga sudah memasuk syurga, dan penghuni neraka sudah memasuki neraka.
جِيءَ بِالْمَوْتِ حَتَّى يُجْعَلَ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ، ثُمَّ يُذْبَحُ،
Dibawakan kematian (dalam bentuk.seekor kibasy yamg bertanduk) sehingga diletakkan di antara syurga dan neraka. Kemudian ia disembelih.

ثُمَّ يُنَادِي مُنَادٍ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ لاَ مَوْتَ، يَا أَهْلَ النَّارِ لاَ مَوْتَ،
Kemudian seorang penyeru menyeru:
Wahai penghuni syurga, tiada lagi kematian.
Wahai penghuni neraka, tiada lagi kematian.

فَيَزْدَادُ أَهْلُ الْجَنَّةِ فَرَحًا إِلَى فَرَحِهِمْ. وَيَزْدَادُ أَهْلُ النَّارِ حُزْنًا إِلَى حُزْنِهِمْ
Lalu bertambahlah kegembiraan penghuni syurga dan bertambahlah kesedihan penghuni neraka. [HR al-Bukhari].

Kita minta dengan Allah agar menjadikan kita selamat & aman atas dunia ini, beriman kepada Allah, mati dalam husnul-khatimah kemudian dibangkitkan di akhirat dengan pahala yang banyak, bersama golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat syurga-Mu pada hari Kiamat nanti.

Powered by BetterDocs