SURAH AL-QADR : AYAT 1-5

\"\"

MUQADDIMAH INTISARI SURAH, PERMULAAN TURUN AL-QURAN & KELEBIHAN MALAM LAILATUL-QADR.

Full video : https://youtu.be/bQrYPmH2N2s?si=BDxxEmGoNgN3tb9s

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Isnin 13 Muharram 1445H bersamaan 31hb Julai 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Qadr – سورة القدر.
  2. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-Qadr – سورة القدر adalah surah ke-97 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kedua-puluh dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-\’Alaq – سورة العلق .
    Mengandungi 5 ayat yang pendek.
  4. Muqaddimah Pimpinan mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

Ramai ulama\’ tafsir mengatakan surah ini Makkiyah tetapi ada juga ulama\’ tafsir lain seperti Maqatil yang mengatakan ia Madaniyyah, yakni ada sedikit khilaf.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    Surah Al-Qadr – سورة القدر yang bermakna {Kemuliaan} kerana pada awal surah Allah s.w.t menegaskan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran pada malam Lailatul-Qadr iaitu malam kemuliaan & malam kebesaran.
    Nanti dalam tafsir kita tengok perbincangan maknanya.
  2. Yakni Allah s.w.t mula menurunkan Al-Quran yang pertama pada malam Lailatul-Qadr yang mulia itu kemudian diturunkan sedikit demi sedikit bermula di Makkah selama 13 tahun kemudian 10 tahun lagi di Madinah.
  3. Maka surah yang diturunkan di Makkah sebelum Rasulullah s.a.w berhijrah dinamakan surah Makkiyyah manakala surah yang diturunkan di Madinah selepas Rasulullah s.a.w berhijrah dinamakan surah Madaniyyah.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menerangkan bahawa al-Quran yang mulia mula-mula diturunkan pada malam yang mulia iaitu Lailatul-Qadr.

Kerana hanya Allah s.w.t saja yang tahu tentang kemuliaan malam itu maka dikemukakan satu pertanyaan kepada Rasulullah s.a.w tentang kebesarannya: {Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadr itu?}

  1. Kemudian Allah s.w.t menerangkan kemuliaan & kebesaran malam itu kepada Rasulullah s.a.w. iaitu bahawa malam Lailatul-Qadr itu lebih baik daripada 1000 bulan.

Yakni pahala amal ibadat yang dikerjakan pada malam itu lebih besar pahalanya daripada pahala amal ibadat yang dilakukan pada 1000 bulan yang lain atau lebih daripada 83 tahun.

  1. Oleh kerana dalam surah al-Quran yang diterangkan bahawa al-Quran turun pada bulan Ramadhan maka dapatlah diketahui bahawa Lailatul-Qadr yang berkat itu adalah satu malam dalam bulan Ramadhan tetapi tidak diketahui pada malam yang mana.
    Tujuannya supaya Rasulullah s.a.w & umatnya pemperbanyakkan amal kebajikannya pada sepanjang bulan Ramadhan lebih-lebih lagi pada 10 malam yang terakhir.
  2. Surah ini diakhiri dengan menerangkan apa yang berlaku pada akhir malam Lailatul-Qadr. Pada malam itu turun malaikat & Jibril dengan izin Allah Azza wa Jalla kerana membawa segala perkara yang ditakdirakan pada tahun yang berikutnya.
    Maka sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah menyebut kelebihan malam Lailatul-Qadr & untuk menyatakan kedudukan al-Quran yang diturunkan padanya!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Menyatakan kedudukan al-Quran serta ketinggian & kemuliaannya.
  2. Menyatakan kelebihan malam yang turun padanya al-Quran iaitu malam Lailatul-Qadr malam yang diberkati.
    Juga menggalakkan kita yang hidup supaya memperbanyakkan amalan pada malam yang pahalanya menyamai dengan 83 tahun 4 bulan. Sesiapa yang malas rugilah, siapa yang rajin beruntunglah dia!

MUNASABAH SURAH AL-QADR – سورة القدر DENGAN SURAH AL-\’ALAQ – سورة العلق SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-\’Alaq – سورة العلق:

  1. Dalam surah al-Alaq; Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w supaya membaca dengan nama Tuhan yang mencipta & nama Tuhan Yang mengajar manusia ilmu yang mereka tidak tahu. Yakni baca dengan nama Allah.

ii- dalam surah al-Qadr ini pula Allah s.w.t nyatakan masa turunnya al-Quran yang diperintahkan Rasulullah bacanya. Iaitu malam Lailatul-Qadr, malam yang mulia & mempunyai kedudukan yang tinggi dengan sebab turunnya al-Quran padanya!

  1. Semua perkara yang berkait dengan al-Quran adalah mulia (شرف):

i- ia diturunkan pada bulan Ramadhan maka ia adalah bulan yang mulia,

ii- diturunkan pada malam Lailatul-Qadr maka ia adalah malam yang mulia,

iii- diturunkan oleh malaikat Jibril, maka ia adalah malaikat yang mulia,

iv- diturunkan kepada Rasulullah s.a.w, manusia & rasul yang paling mulia

v- dan al-Quran itu sendiri amat mulia!

  1. Maka jika kita nak jadi orang yang mulia maka jadilah ahlul-Quran iaitu orang yang baca al-Quran, memahami & beramal dengan isi kandungannya.

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan ahlul-Quran, orang yang mulia & layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENURUNKAN (AL-QURAN) INI PADA MALAM LAILATUL-QADAR,} (AL-QADR 97:1)

  1. Allah menyatakan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran pada Malam Lailatul-Qadar; iaitu malam yang penuh kemuliaan.

Lailatu itu sendiri maknanya malam- tetapi bahasa melayu tambah lagi malam didepannya- tidak mengapa telah jadi istilah seperti bukit Jabal Nur dan lain-lain sedangkan jabal itu ertinya bukit!

  1. Kata ulama\’ tafsir. Telah ijma\’ bahawa: Yakni Allah mula turunkan permulaan al-Quran pada Malam Lailatul-Qadar.
  2. Kata Ibnu Juzai rhm.
    i- Allah s.w.t mula turunkan al-Quran pada malam itu.

ii- al-Quran diturunkan sekaligus dari Lauh Mahfuz ke langit dunia pada malam itu. Kemudian dari langit dunia ia diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun sehinggalah Rasulullah s.a.w wafat.

iii- permulaan ia turun kepada Rasulullah juga pada malam Lailatul-Qadr.

4. Allah s.w.t sebut mengenai Lailatul-Qadr ini dalam al-Quran sebanyak 3 kali:
i- {(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,} (Al-Baqarah 2:185)

ii- {Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).} (Ad-Dukhaan 44:3)

iii- {Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,} (Al-Qadr 97:1)

5. Ibnu Abbas r.a ditanya yang mana satu, bila al-Quran diturunkan sebenarnya?
Kata Ibnu Abbas 3 ayat ini tidak bercanggah, bahkan dikembarkan sekali, disusun sebagai nama & sifat pada malam itu! Iaitu pada bulan Ramadhan yang diberkati namanya malam Lailatul-Qadr.

6. Antara maksud Malam Lailatul-Qadar {ٱلْقَدْرِ} ialah:
i- malam yang Allah s.w.t taqdirkan ditukar buku selama setahun.
Iaitu apa yang ditaqdirkan selama setahun ditetapkan pada malam itu.

Kata Ibnu Kathir rhm. kata: Orang yang beriktiqad bahawa buku ditukar pada malam nifsu Sya\’ban telah jauh daripada fakta yang sebenar!
Tukarlah jangan lagi baca doa pada malam itu kerana kita sudah tahu ia tidak tepat.

ii- malam yang penuh kemuliaan.

iii- malam yang sempit. Kenapa? Kerana {Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka,} lalu ia menjadi sempit dengan ramainya malaikat yang turun ke muka bumi pada malam itu.

7. Bilakah Lailatul-Qadr itu berlaku yang tepatnya?
i- Hadis- Riwayat daripada Aisyah R.A., bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: (Maksudnya): \”Carilah Lailatul Qadar pada malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadan.\” [HR Bukhari].

ii- Daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma beliau berkata bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

تَحَيَّنُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ

Carilah lailatul qadr itu pada 10 malam yang terakhir (bulan Ramadhan). [HR Muslim (1165)].

8. Ada ulama\’ kata ia berlaku pada malam 10 akhir, malam 21, malam 23, malam 25. malam 27 dan sebagainya. Tetapi malam 27 adalah malam yang paling diharapkan berlakunya Lailatul-Qadr. Wallahu a\’lam.

9. Allah rahsiakannya untuk menganugerahkannya kepada orang yang benar-benar mahu!
Siapa yang malas & cuai tetap tidak akan mengambil berat akannya biar sebanyak mana pahala yang ditawarkan!

10. Hadis daripada Anas bin Malik R.A ia berkata:
\”Ketika datang bulan ramadhan, Rasulullah S.A.W bersabda: \”Sesungguhnya bulan ini telah hadir kepada kalian. Di bulan ini ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa diharamkan darinya, maka dia telah diharamkan kebaikan semuanya. Dan tidak diharamkan kebaikannya kecuali bagi yang terhalang daripada kebaikan\” (Sunan Ibn Majah No: 1644)

11. Kita berdoa kepada Allah Azza wa Jalla agar melindungi kita daripada termasuk dalam golongan yang terhalang dari kebaikan ini!

AYAT 2- {DAN APA JALANNYA ENGKAU DAPAT MENGETAHUI APA DIA KEBESARAN MALAM LAILATUL-QADAR ITU?} (AL-QADR 97:2)

  1. Kemudian Allah s.w.t bertanya kepada Rasulullah s.a.w apakah yang kamu tahu tentang Lailatul-Qadr?
  2. Dalam al-Quran apabila di tanya dengan uslub soalan ini {وَمَآ أَدْرَىٰكَ} Allah s.w.t akan berikan jawapannya.
  3. Tetapi bila ditanya apakah kamu tahu dengan uslub ini {وَمَا يُدْرِيكَ} Allah tidak akan beri jawapan direct, kamu kena tadabbur, kaji cari sendiri jawapannya dengan belajar surah-surah yang berkaitan!

AYAT 3- {MALAM LAILATUL-QADAR LEBIH BAIK DARIPADA SERIBU BULAN.} (AL-QADR 97:3)

  1. Iaitu malam Lailatul-Qadr yang ganjaran amal kebaikan pada malam itu pahalanya lebih baik daripada 1000 bulan!
  2. Disebutkan dalam banyak hadis sahih bahawa Rasulullah s.a.w biasanya mulai dari malam 21 Ramadhan Baginda memperbanyakkan ibadat sepanjang malam kerana mengharapkan amalannya bertepatan dengan malam Lailatul-Qadr yang berkat itu, yang berlaku pada salah satu 10 atau 9 malam yang akhir dalam bulan Ramadhan.
  3. Jika semulia-mulia & sekasih-kasih hamba kepada Allah, demikianlah usahanya untuk mendapatkan kelebihan malam yang mulia itu, maka sudah sewajibnya kita yang keadaannya sentiasa diperdaya dengan pelbagai godaan hidup, menggandakan usaha mengerjakan amal ibadat untuk mencapai keampunan & keredhaan Allah s.w.t!
  4. Tetapi apa boleh buat, siapa yang Allah pilih akan menghidupkan malam itu dengan amal ibadat, siapa yang Allah tidur dan laghakan dia maka rugilah dia! Allahu al-Musta\’an.
  5. Doa:
    اَللّٰهُم‌َ أَعِنِّيْ عَلىَ ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِباَدَتِكَ

\” Ya Allah, bantulah aku untuk mengingat-Mu dan bersyukur kepada-Mu, serta agar dapat beribadah dengan baik kepada-Mu.\”

6. Hadis daripada Abu Hurairah R.anhu beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Sesiapa yang melakukan qiyam pada lailatul qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran berserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu. [HR al-Bukhari (1901)].

AYAT 4- {PADA MALAM ITU, TURUN MALAIKAT DAN JIBRIL DENGAN IZIN TUHAN MEREKA, KERANA MEMBAWA SEGALA PERKARA (YANG DITAKDIRKAN BERLAKUNYA PADA TAHUN YANG BERIKUT);} (AL-QADR 97:4)

  1. Malaikat turun ke bumi pada Lailatul-Qadr dengan izin Allah s.w.t untuk membawa maklumat atau taqdir setahun yang telah diputuskan oleh Allah Azza wa Jalla akan berlaku!
  2. Yakni malaikat Jibril datang menyerahkan kepada malaikat yang menjaga manusia suratan taqdir ketentuan hidup kita untuk setahun! Ajal, maut, rezeki, jodoh dan sebagainya.
  3. Malaikat turun ke bumi untuk bersama kita menyambut Lailatul-Qadr tetapi apa amal ibadat yang kita buat??
    Dimanakah kita dalam menyambut tawaran yang begitu besar yang Allah s.w.t tawarkan ini?

AYAT 5- {SEJAHTERALAH MALAM (YANG BERKAT) ITU HINGGA TERBIT FAJAR!} (AL-QADR 97:5)

  1. Munasabah ayat:
    i- setelah Allah s.w.t sebut tentang kelebihan malam Lailatul-Qadr- pahala yang besar & berganda serta malaikat turun ke bumi.

ii- maka Allah s.w.t nyatakan bahawa malam Lailatul-Qadr itu malam yang penuh kesejahteraan & keselamatan sebagaimana syurga yang penuh dengan kesejahteraan & keselamatan.

  1. Adakah tanda-tanda bahawa malam Lailatul-Qadr itu malam yang selamat daripada perkara yg tidak baik bermula dari maghrib sehingga subuhnya.
  2. Kata Syeikh Ata\’ rhm.: maksudnya {سَلَـٰمٌ} itu ialah salam Allah kepada wali-walinya. iaitu sesiapa yang melakukan ketaatat & amal ibadat pada malam itu Allah s.w.t ucapkan salam kepadanya!
  3. Yang dibimbanginya ialah kita menjadi orang yang dengar tidak ikut, yang tahu tetapi tidak ambil peluang, bila diberi peluang lagha tidak merebutnya.
    Akhirnya mati ternganga, orang lain memikul amalan Lailatul-Qadr yang banyak kita kekosongan!
  4. Tidak ada tanda yang khusus menunjukkan kepada Lailatul-Qadr.
    Mungkin terasa ketenangan pada malam itu, mudah bangun beribadat, udara baik & indah.

Tanda-tanda tidak betul yang sering disebarkan banyak sekali seperti: pokok sujud, anjing tidak menyalak, air laut tidak masin, air telaga dan lain-lain itu semuanya tidak benar!

  1. Kesimpulan: Setelah kita perhatikan kepada surah yang mulia ini, kita tahulah ia membincangkan tentang keagungan al-Quran, siapa yang baca al-Quran, belajar & tadabbur tafsir & beramal dengan al-Quran maka mulialah orang itu!
  2. Malam Lailatul-Qadr ada satu malam yang Allah letakkan pada 10 akhir Ramadhan, jika kamu betul-betul nak pahalanya carilah malam itu. Malam itu juga penuh kesejahteraan iaitu keselamatan di dunia & akhirat supaya kiota benar-benar bersemangat mencarinya.
  3. Hadis dari UM Aisyah r.a: bahawa beliau bertanya Nabi S.A.W:
    \”Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan Lailatul-Qadr maka apa yang sepatutnya aku ucapkan.

Nabi S.A.W bersabda, bacalah:

اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: \”Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku\”. [HR at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad]

  1. Jika Allah maafkan maknanya dosa kita diampunkan, kesalahan kita disembunyikan & Allah akan beri rahmat & redha-Nya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Surah al-Qadr jika mengikut tertib surah ia selepas surah al-Alaq\’ yang mempunyai 19 ayat, dan sebelum surah al-Bayyinah yang mempunyai 8 ayat. Kenapa ia berada di tengah-tengah sedangkan bilangannya lebih sedikit?

JAWAPAN :

Ia datang selepas surah al-Alaq untuk meceritakan tentang wahyu yang turun itu. Ia seolah memberi isyarat kepada ganti nama (nya) dalam Ayat 1- {Sesungguhnya Kami telah menurunkannya ini pada Malam Lailatul-Qadar,} adalah Al-Quran.

Ulama\’ tafsir sepakat mengatakan ijma\’ ulama\’ bahawa Allah s.w.t turunkan al-Quran itu pada malam, Lailatul-Qadr.

Tartib ini menujukkan kepada tiga kebesaran:
i- Allah sebut bahawa Dia yang turunkan al-Quran- bukan orang lain!

ii- Allah bawa kata ganti nama (dhomir) yang kembali kepada diri-Nya. Ini isyarat yang jelas kepada orang yang cerdik bahawa Allah s.w.t sendiri yang menurunkan al-Quran!

iii- Allah s.w.t mahu membesarkan waktu al-Quran itu diturunkan. Sehinggakan malam Lailatul-Qadr itu berulang setiap tahun, dengan gandaan pahala yang begitu besar.

Maka marilah kita sama-sama berusaha merebut pahala yang begitu besar yang Allah tawarkan ini, jangan ketinggalan agar jangan kerugian, pulun habis-habisan untuk beribadat! Agar kita mendapat kemuliaan pada malam yang dimuliakan Allah Azza wa Jalla ini!

  1. Ayat 1- {Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,}- apa erti ia diturunkan pada malam Lailatul-Qadr sedangkan kita telah belajar bahawa al-Quran itu diturunkan dalam tempoh 23 tahun!

JAWAPAN :

i- malam Lailatul-Qadr adalah permulaan waktu al-Quran diturunkan.

ii- turunnya al-Quran sekaligus dari Lauh Mahfuz ke langit dunia kemudian secara berperingkat dari langit dunia kepada Rasulullah s.a.w mengikut keperluan & hajat.

iii- Lailatul-Qadr yang mempunyai kelebihan adalah malam yang ditaqdirkan segala ketentuan perkara yang akan berlaku dalam masa setahun!

Yakni pada malam Lailatul-Qadr permulaan turun- selama
Nuzul al-Quran pada malam yang tertentu untuk menunjukkan akan kemuliaan Lailatul-Qadr serta menunjukkan bahawa al-Quran turun pertama kalinya pada waktu malam.

Kerana itulah dikatakan waktu malam adalah waktu untuk al-Quran. Ilmu tadabbur yang paling baik adalah kita baca & hayati al-Quran pada waktu malam.

Hatta malaikat Jibril datang mengajar al-Quran dengan Rasulullah s.a.w pada waktu malam!

  1. Ayat 1- {Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,}- dua kali Allah sebut perkataan malam- iaitu Lailatul-Qadr adalah malam yang berkat.

Yakni al-Quran diturunkan pada malam Lailatul-Qadr pada bulan Ramadhan dan ia berlaku pada setiap tahun.

Sekaligus isyarat bahawa siapa yang kata bahawa Lailatul-Qadr itu pada bulan Sya\’ban adalah tidak benar, jangan lagi kita dok baca doa Nisfu Sya\’ban kerana ia sepatutnya dibaca pada bulan Ramadhan.

Ini kerana malam Lailatul-Qadr (malam tukar buku) berlaku pada bulan Ramadhan bukan pada malam nisfu Sya\’ban berdasarkan dalil daripada nas-nas yang jelas ini.

Hadis- pernah suatu malam Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya untuk memberitahu kepada para sahabat bilakah berlakunya Lailatul-Qadr.
Setibanya di masjid Baginda dapati dua orang sahabat berbantah-bantah!

Lalu Rasulullah s.a.w tak jadi memberitahunya dan mengatakan bahawa maklumat itu telah diangkat, tidak boleh diberitahu lagi! Tetapi carilah ia dalam 10 Ramadhan yang terakhir.

Akhir sekali Lailatul-Qadr ini tetap menjadi rahsia, sesiapa yang mahu maka carilah ia pada setiap malam 10 terakhir bulan Ramadhan, setiap tahun akan berlaku Insya\’Allah.

Bagi golongan Syi\’ah mereka berpendapat bahawa malam Lailatul-Qadr tidak berulang, ia hanya terjadi pada malam al-Quran itu diturunkan saja!

Kita kata, jika mereka tidak mahu Lailatul-Qadr tidak mengapa, alhamdulillah kita ahli Sunnah, kita mahukannya setiap tahun dan mengharapkan pahala yang berganda dari Allah s.w.t!

  1. Malam Lailatul-Qadr ini khas untuk ummat Nabi s.a.w yang pendek umurnya berbanding dengan umat-umat nabi terdahulu yang ada lebih daripada 1000 tahun. Tetapi darjat kita tinggi maka Allah s.w.t berikan kelebihan malam ini untuk kita manfaatkannya.

Sedikit persoalan timbul dalam minda:
Ada sabda Rasulullah s.a.w: Pahala yang kita buat bergantung kepada kesusahan amalan yang kita buat. Jika banyak & susah banyaklah pahalanya; jika sedikit & mudah, maka sedikit jugalah pahalanya!

Jadi takkanlah amalan dalam satu malam mendapat gandaan pahala sehingga 83 tahun!

JAWAPAN :

i- Suatu amalan kadang-kadang sedikit tetapi gandaannya besar seperti malam Lailatul-Qadr ini!
Jadi kita tengok keadaan, kerana Allah s.w.t muliakan Lailatul-Qadr maka Allah gandakan pahala kebajikan padanya sebanyak 83 tahun.

ii- Allah mahu menarik kita supaya kita gandakan, tingkatkan amalan kita. Allah nak tengok siapa yang mahu & berusaha mendapatkan tawaran ini dan siapa yang tidak endah akannya!
iii- amalan yang sama tetapi gandaan pahala dengan sebab masa atau tempat.

Contoh seperti:
a) solat subuh bersendirian 1 pahala tetapi jika solat berjemaah 27 kali ganda!

b) solat di Malaysia dan lain-lain negara 1 pahala, tapi solat di Tanah Haram Makkah 100 ribu kali ganda, di Masjid Nabi 1000 kali ganda. Ada juga yang kata di Palestin 500 pahalanya.

Namun begitu pahala tidak semestinya mengikut kesusahan, tidak syarat semua yang susah itu pahalanya lebih.

Contoh:
i- orang yang beramal dengan Sunnah pastilah pahalanya lebih besar daripada amalan yang tidak ikut Sunnah.

ii- tawaf di Ka\’bah. Jika tawaf di Mataf- paling dekat dengan Ka\’bah; pusingannya hanya lebih -kurang 10-15 min di hari biasa.
Manakala tawaf di tingkat atas yang luas & lebih jauh memakan masa hampir sejam!
Tetapi pahala yang terbaik dan lebih besar adalah yang paling dekat dengan Ka\’bah kerana itu adalah tempat aslinya!

iii- solat Jemaah- pahala yang besar pastilah berada di saf paling depan dibelakang imam, berbanding di tingkat atas yang jauh dari imam, lagi jauh saf dengan imam lagi sedikit pahalanya!

Itulah pahala itu bukan semuanya mengikut kesusahan tetapi pahala itu mengikut tempat & Sunnah. Wallahu a\’lam.

Peringatan: Kita yang diberi kesihatan & kekuatan jangan main-main nak tawaf naik skuter sambil round-round, ingatlah tawaf itu satu ibadat!

  1. Ayat 4- {Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);} & Ayat 5- {Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!}-
    Para malaikat turun ke bumi pada malam itu; untuk menumpang sama keberkatan yang dilimpahi kepada bumi pada malam itu sehinggakan sempit bumi dengan kehadiran mereka!

Maka kita manusia yang sudah berada di bumi amat malang jika tidak merebut dan memanfaatkan malam yang amat mulia ini untuk meraih pahala yang Allah janjikan!

Manusia pula sempit dada sehingga masjid menjadi kosong!

Orang berlumba ke masjid untuk beribadat & mencari Lailatul-Qadr dia tidak hiraukannya dan kerugian!

Ya Allah jangan jadikan kami orang yang Engkau tinggalkan terumbang-ambing tanpa bimbingan & kasih-sayang.

Ya Allah, jadikan kami ahli Quran, orang yang membaca, bertadabbur & beramal dengannya.

Jadikan kami orang yang mengejar dan dapat beribadat pada malam Lailatul-Qadr, yang Engkau janjikan pahala yang begitu besar!

Powered by BetterDocs