SURAH AL-MUZZAMMIL : AYAT 15-19

\"\"

UMAT DAHULU DIBINASAKAN KERANA DERHAKA, KEADAAN HURU-HARA KIAMAT & TAZKIRAH BAGI YANG BERTAQWA.

Full video : https://youtu.be/xE6JCrapRe0?si=Z1_gHRk6ijtW-5KD

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan bahawa umat dahulu dibinasakan kerana derhaka, dimusnahkan dengan begitu dahsyat seperti Firaun & kaumnya yang tenggelam dalam Laut Qalzum.
  2. Peringatan untuk semua yang masih hidup pada zaman Rasulullah s.a.w & untuk kita semua pada zaman ini akan keadaan huru-hara pada hari kiamat.
  3. Kecuali orang yang bertaqwa akan dibangkitkan dari kubur mereka dalam keadaan tenang, aman damai di bawah rahmat Allah s.w.t.
  4. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t ceritakan tentang golongan yang menentang rasul dan amaran kepada mereka tentang hari Kiamat & azab di dunia juga.

ii- kemudian dalam ayat ini Allah s.w.t ceritakan tentang Firaun dan kaumnya yang dibinasakan atas dunia lagi dengan tenggelam dalam Laut Qalzum/Merah.
Juga diceritakan tentang huru-hara hari Kiamat yang dahsyat, langit terbelah, kanak-kanak menjadi beruban dan lain-lain.

AYAT 15- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENGUTUS KEPADA KAMU (WAHAI UMAT MUHAMMAD), SEORANG RASUL YANG MENJADI SAKSI TERHADAP KAMU (TENTANG ORANG YANG MEMATUHI ATAU MENOLAK SERUANNYA), SEBAGAIMANA KAMI TELAH MENGUTUS KEPADA FIRAUN SEORANG RASUL.} (AL-MUZZAMMIL 73:15)

  1. Wahai umat manusia, sesungguhnya Allah s.w.t telah mengutuskan seorang rasul kepada kamu iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang akan menjadi saksi kepada kamu.
  2. Sebagaimana Allah telah utuskan kepada Firaun & kaumnya, nabi Musa a.s dan saudaranya Harun a.s. Mereka mendustakan rasul mereka ini lalu mereka dibinasakan.
  3. Ini adalah peringatan kepada kaum Quraisy pada masa itu yang diutuskan kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri!
    Apakah mereka menerimanya & beriman atau menentangnya?
  4. Mereka sudah lihat kesan kebinasaan yang ada iaitu kaum Firaun, kaum Ad & Thamud dalam perjalanan mereka sebelum itu.
  5. Maka Allah peringatkan kepada mereka bahawa sekarang Allah hantar pula kepada mereka seorang Rasul itu Nabi Muhammad s.a.w; yang akan menjadi saksi siapa yang beriman kepada Allah & siapa yang kufur, melawan dan ingkar menolaknya pula!
  6. Rasul itu pula dari kalangan mereka sendiri, orang Quraisy, Makkah. Tetapi malangnya Abu Jahal & gengnya mati dalam kekufuran, terbunuh dalam peperangan Badar.
    Abu Sufyan pula setelah 20 tahun menjadi penentang Rasulullah s.a.w, akhirnya baru beriman.

AYAT 16- {MAKA FIRAUN MENDERHAKA KEPADA RASUL ITU, LALU KAMI MENYEKSAKANNYA DENGAN AZAB SEKSA YANG SEBERAT-BERATNYA.} (AL-MUZZAMMIL 73:16)

  1. Firaun telah menderhaka kepada nabi Musa & Harun a.s, tidak beriman kepada mereka & kitab Taurah yang dibawanya!
  2. Lalu Allah s.w.t telah menyiksanya dengan seberat-berat azab-siksa. Iaitu Firaun mati di hadapan pengikutnya, mereka juga mati bersama Firaun, dengan tenggelam dalam Laut Qalzum atau Laut Merah namanya hari ini!
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Lalu Kami (adakan jalan) mengambil Firaun bersama-sama tenteranya, kemudian Kami humbankan mereka ke dalam laut, sedang ia berkeadaan tercela.} (Az-Zaariyaat 51:40)

Apabila hampir mati Firaun baru isytihar bahawa dia beriman kepada Tuhan Musa & Harun. Tetapi malangnya ia sudah terlambat, pintu taubat sudah tertutup untuknya pada ketika itu.

  1. Kita pun ingatlah bahawa pintu taubat ditutup sebanyak dua kali:
    i- untuk individu- apabila nyawa sudah du halkum iaitu nak mati!

ii- untuk umum seluruh manusia- apabila matahari naik dari sebelum barat iaitu berlakuanya Kiamat.

AYAT 17- {(SEKIRANYA KAMU TIDAK DITIMPA AZAB DI DUNIA), MAKA BAGAIMANA KAMU DAPAT MENJAGA DAN MENYELAMATKAN DIRI KAMU – KALAU KAMU KUFUR INGKAR – (DARI AZAB) HARI YANG HURU-HARANYA MENYEBABKAN KANAK-KANAK MENJADI TUA BERUBAN?} (AL-MUZZAMMIL 73:17)

  1. Allah s.w.t memberi janji-Nya lagi; bagi orang yang tetap kufur jika mereka selamat di dunia ini sekalipun, mereka tidak akan sekali-kali selamat, terlepas dari azab pada hari Kiamat nanti!
  2. Pada hari Kiamat yang huru-haranya amat dahsyat sekali, kanak-kanak menjadi beruban, wanita yang hamil akan keguguran kandungannya!
  3. Munasabah ayat:
    i- setelah kita tahu Allah s.w.t akan mengambil tindakan yang keras ke atas kaum yang menentang Islam, tidak ada yang boleh selamat dari azab Allah samada kaya atau miskin, orang besar atau rakyat!

ii- maka Allah s.w.t beri amaran lagi di sini; jika kamu nak selamat jangan ikut Firaun yang menentang Allah & Rasul-Nya, kufur serta angkuh & sombong!

  1. Allah s.w.t tanya di sini bagaimana kamu nak selamatkan diri kamu pada hari Kiamat yang penuh huru-hara jika masih berdegil & kufur????
    Ayat ini adalah sebagai satu bantahan dan pengingkaran.
  2. Sebagaimana kata Syeikh Ibnul Qayyim rhm.:
    Bagaimana kamu masih ingkar & degil, tidak mahu terima dakwah Rasulullah s.a.w; sedangkan dari dulu lagi sudah ada rasul & nabi yang datang memberi khabar gembira & memberi amaran peringatan kepada kamu.

Tetapi kamu masih degil & keras kepala, maka kamu akan berada dalam keadaan buru-hara!
Kamu tidak akan dapat keamanan dan keselamatan pada hari yang begitu dahsyat nanti!

  1. Hadis Rasulullah s.a.w:

نْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى : \” يَا آدَمُ ، فَيَقُولُ : لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ ، فَيَقُولُ : أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ ، قَالَ : وَمَا بَعْثُ النَّارِ ، قَالَ : مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَ مِائَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيُّنَا ذَلِكَ الْوَاحِدُ ، قَالَ : \” أَبْشِرُوا فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلًا وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفًا

Abu Sa\’id al-Khudri r.a meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda:
\”Allah Ta\’ala berfirman: Wahai Adam!
Adam menjawab: Aku menjawab panggilan Mu (لبيك), segala kebaikan ada di kedua tangan-Mu.
Lalu Allah berfirman: Keluarkanlah rombongan penghuni Neraka.

Dia bertanya: Berapakah jumlah rombongan penghuni Neraka?
Allah menjawab: Untuk setiap seribu orang ada sembilan ratus sembilan puluh sembilan.
Saat itu rambut anak kecil mendadak beruban, setiap orang yang hamil keguguran kandungannya, dan engkau lihat manusia mabuk padahal mereka tidak mabuk, melainkan azab Allah sangat pedih.

Para sahabat bertanya: Ya Allah, siapakah di antara kami yang termasuk satu orang itu?
Nabi menjawab: Bergembiralah, sesungguhnya satu orang daripada kalian dan seribu orang itu daripada Ya\’juj dan Ma\’juj. [HR Bukhari & Muslim].

Timbul persoalan apakah ada orang hamil pada hari Kiamat itu?
Ulama\’ kata ia mungkin ada secara hakiki atau hanya perumpamaan, jika hamil itulah yang akan berlaku- wallahu a\’lam.

  1. Maka kita perlu berusaha untuk menyelamatkan diri kita menjadi orang yang bertaqwa & diredhai Allah s.w.t.
  2. Kita perbanyakkan doa pada bulan Ramadahan yang mulia ini dengan doa minta selamat dari neraka untuk diri kita & semua orang yang kita sayangi!

أَللّـهُمَّ أَعْتِقْ رِقاَبَناَ وَرِقاَبَ آباَئِناَ وَأُمَّهاَتِناَ مِنَ النَّارِ

Ya Allah bebaskan kami dan kedua ibu bapa kami dari api neraka.
Serta doakan semua orang yang kita sayangi, pasangan anak cucu dan semuanya.

AYAT 18- {LANGIT (YANG DEMIKIAN BESARNYA) AKAN PECAH BELAH DENGAN SEBAB KEDAHSYATAN HARI ITU. (INGATLAH), JANJI ALLAH ADALAH PERKARA YANG TETAP DILAKUKANNYA.} (AL-MUZZAMMIL 73:18)

  1. Allah gambarkan keadaan langit yang akan musnah binasa pada hari Kiamat nanti.
    Langit yang demikian besarnya akan pecah belah dengan sebab dahsyatnya hari Kiamat.
  2. Firman Allah s.w.t lagi tentang keadaan langit pada hari Kiamat ini:
    i- {Apabila langit terbelah (ٱنفَطَرَتْ);} (Al-Infitaar 82:1)

ii- {Apabila langit terbelah (ٱنشَقَّتْ).} (Al-Insyiqaaq 84:1)

  1. Kiamat itu pasti akan berlaku kerana janji Allah s.w.t itu amat benar! Apa yang Allah janjikan pasti akan berlaku kerana Allah s.w.t tidak akan memungkiri janji-Nya.
  2. Maka apabila kita yakin akannya maka kita buatlah persediaan yang mencukupi untuk menghadapinya! Kita juga minta selamat daripada segala huru-hara dan kedahsyatan hari Kiamat, pada saat sakaratul maut & azab kubur juga!

AYAT 19- {SESUNGGUHNYA (KETERANGAN-KETERANGAN YANG MENGANDUNGI AMARAN) INI MENJADI PERINGATAN OLEH ITU SESIAPA YANG MAHUKAN KEBAIKAN DIRINYA DAPATLAH IA MENGAMBIL JALAN YANG MEMBAWA KEPADA TUHANNYA (DENGAN IMAN DAN TAAT).} (AL-MUZZAMMIL 73:19)

  1. Semua keterangan & amaran yang Allah bawa ini adalah tazkirah (peringatan) kepada sesiapa yang mahu kebaikan!
  2. Oleh itu sesiapa yang mahu kebaikan dan keselamatan dirinya maka hendaklah dia mengambil jalan yang membawa kepada Tuhan-Nya dengan iman dan melakukan ketaatan dengan mengikut Sunnah Nabi s.a.w. Tidak mungkin orang yang tidak ikut Sunnah untuk mendakwa dirinya ahli Sunnah; itu adalah dakwaan palsu!
  3. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Allah s.w.t sebut di awal surah ini tentang kedudukan orang yang bahagia; iaitu orang yang banyak bangun bertahajjud, baca & tadabbur al-Quran serta banyak berzikir & beristighfar.

Adapun orang yang jahat & celaka Allah s.w.t telah memberi amaran kepada mereka secara umum pada Ayat 11- {Tinggalkan kepada Aku para pendusta ini}.

ii- kemudian dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan tentang azab yang ditimpakan di dunia lagi para penderhaka, pendusta para rasul itu seperti Firaun yang mati lemas juga tentang huru-hara pada hari Kiamat nanti.

Maka tepatlah sekali ayat 18 ini menyatakan bahawa semua ini adalah tazkirah peringatan kepada kamu.

  1. Iaitu orang yang bertaqwa akan ambil peringatan, iaitu sesiapa yang mahu cari jalan yang selamat dengan ikut al-Quran & ikut Sunnah Nabi s.a.w! Mereka yang tidak dapat hidayah daripada al-Quran & Sunnah Rasulullah s.a.w maka mereka itulah orang yang sesat & rugi.
  2. Cara untuk periksa adakah sudah betul kita mengambil manfaat & faedah daripada al-Quran:
    i- Apakah al-Quran itu menjadi gaya hidup & amalan kita,

ii- atau hanya rutin bacaan serta membahagi-bahagikan pahala kepada orang lain samada yang mati atau hidup, dibaca Yaasin dalam majlis, atau kerana ada orang nak mati atau anak-anak nak periksa sahaja!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 15- {Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada kamu (wahai umat Muhammad),}- yang Allah maksudkan sebagai para rasul { رَسُولًۭا} di sini ialah rasul yang menjalankan tugas ilmu agama (رسول ديني/شرعي).

Iaitu dilantik dan dipilih untuk menjadi rasul dari kalangan manusia. Mereka pula adalah manusia terpilih dari kalangan orang yang baik, soleh & warak lalu dilantik menjadi rasul oleh Allah s.w.t.

Para rasul ini menerima wahyu dari Allah s.w.t melalui perantaraan malaikat Jibril a.s atau terima wahyu secara lansung sebagaimana Nabi Musa a.s.

Rasulullah s.a.w menerima wahyu al-Quran selama 23 tahun. Bermula dari Iqra\’ sehingga ayat terakhir sebelum kewafatan Baginda s.a.w.

Firman Allah S.W.T:
{وَٱتَّقُوا۟ يَوْمًۭا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى ٱللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍۢ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ}
{Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.} (Al-Baqarah 2:281)

ii- satu lagi jenis rasul ialah (رسول كوني) iaitu utusan secara alam – yang merujuk kepada perkara lain seperti angin dan seumpamanya sebagaimana firman Allah s.w.t ini:

{Dan Dia lah Tuhan yang menghantarkan angin (أَرْسَلَ ٱلرِّيَـٰحَ) sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya, dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci,} (Al-Furqaan 25:48)

Yakni bila angin datang kita gembira kerana tahu ia akan membawa hujan!

  1. Ayat 15- {Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada kamu (wahai umat Muhammad), seorang Rasul yang menjadi saksi terhadap kamu (tentang orang yang mematuhi atau menolak seruannya), sebagaimana Kami telah mengutus kepada Firaun seorang Rasul.}- yakni dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan bahawa Dia telah mengutuskan Rasulullah s.a.w sebagai rasul kepada kaum Quraisy & seluruh umat manusia selepas ini sebagaimana Dia telah utuskan kepada Firaun seorang rasul juga iaitu Nabi Musa a.s.

Persoalan:
Bolehkah kita jadikan ayat ini sebagai satu dalil untuk menerima qiyas sebagai satu hujjah?

Qiyas- perbandingan- ambil hukum baru dibandingkan dengan hukum asal.
Muhammad s.a.w rasul- seperti Musa a.s juga seorang rasul.
Seperti kita ambil hukum zakat beras diqiyaskan kepada zakat gandum walaupun Rasulullah s.a.w tidak sebut beras dalam hadis zakat fitrah.

JAWAPAN :

Betul & boleh. Kerana percakapan itu akan menjadi lebih teratur dan mantap jika kita jadikannya sebagai qiyas dengan percakapan yang lain.

Yakni qiyas nabi dengan nabi, rasul dengan rasul; walaupun rasul kita Muhammad s.a.w adalah yang terbaik, rasul-rasul lain pun ada kelebihannnya yang tersendiri juga.

  1. Ayat 16- {Maka Firaun menderhaka kepada Rasul itu, lalu Kami menyeksakannya dengan azab seksa yang seberat-beratnya.}- Firaun menderhaka kepada Rasulnya iaitu Nabi Musa a.s maka ia diazab dengan seksa yang berat!

Kata ulama\’: segala perkara boleh kita sandarkan kepada sebab.
Kenapa Firaun binasa? Kerana lawan Nabi Musa a.s
Kenapa Firaun tidak mahu terima dakwah nabi Musa?
Kerana takabbur & sombong, mengaku jadi Tuhan dan lain-lain.
Kenapa Abu Jahal & genganyna tidak mahu menerima dakwah Rasulullah s.a.w?
Kerana takabbur & sombong juga!

Sifat takabbur & sombong amat bahaya kerana ia boleh menyebabkan manusia menjadi binasa! Maka kita kena hilangkan sifat takabbur ini barulah kita selamat!

Maka setiap yang berlaku ada sebabnya
(مِن كُلِّ شَىْءٍۢ سَبَبًۭا).
[al-Kahfi: 84].

  1. Ayat 19- {Oleh itu sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya dapatlah ia mengambil jalan yang membawa kepada Tuhannya (dengan iman dan taat).}
    Ayat ini memberi dalil bahawa Allah s.w.t telah mentaqdirkan segala sesuatu itu dengan pilihan kita.

Peringatan: Semua kehendak kita adalah dibawah taqdir/kehendak Allah s.w.t, tetapi manusia telah diberi akal untuk memilih; nak yang baik atau buruk, nak sesat atau petunjuk!

Ini menolak & berlawanan dengan fahaman puak Jabariyah yang mengatakan manusia ini tidak ada pilihan segalanya telah ditentukan oleh Allah s.w.t! Bagi mereka manusia ini seperti robot yang hanya bergerak dengan suis kawalan.

  1. Ayat 19- {Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang mengandungi amaran) ini menjadi peringatan.}
    Ayat ini memperingatkan kepada kita tentang peranan al-Quran yang memberi peringatan serta menggalakkan kita supaya bertadabbur al-Quran.

Serta galakan supaya berfikir bagaimana cara untuk kita mengambil manfaat dari al-Quran.
Iaitu dengan menghayati & tadabbur al-Quran- ia akan menjadi alat yang nyata untuk mendapat kelebihan yang besar.

Kata Ibnu Rajab rhm.:
Antara perkara yang paling besar untuk kita mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dari segi amalan sunat ialah kita kena banyak baca & dengar al-Quran, berfikir & tadabbur untuk memahami al-Quran.

Kata Khabbab ibn al-Aratt r.a: Kita hendaklah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t sebanyak yang mampu, antara cara yang terbaik untuk mendekati diri kepada Allah s.w.t ialah denga membaca \”Kalam-Nya,\” memahami & tadabbural-Quran.

Maka kita ambillah peluang pada bulan Ramadhan yang mulia ini serta bulan-bulan yang lain, untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran serta betadabbur, berfikir untuk memahaminya mudah-mudahan kita menjadi orang yang selamat di dunia & akhirat, Insya\’Allah.

Powered by BetterDocs