SURAH AL-BURUJ : AYAT 1-9

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH & KISAH ASHAB AL-UKHDUD YANG DICAMPAK KE DALAM API.

Full video : https://youtu.be/vJUd0-jSgno?si=4LPziFaIFqw0ubFg

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Selasa 03 Zulqa\’dah 1444H bersamaan 23hb Mei 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Buruj- سورة البروج.
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya.

Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita ke syurga-Nya.

  1. Surah Al-Buruj – سورة البروج adalah surah ke-85 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kelapan dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-Insyiqaq – سورة الإنشقاق.
    Mengandungi 22 ayat yang pendek-pendek.
  2. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
    Kerana ceritanya tentang ujian sesuai dengan marhalah Makkiyyah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Buruj- سورة البروج yang bermakna {Tempat Peredaran Bintang} kerana pada awal surah Allah s.w.t bersumpah dengan langit & bintang-bintangnya serta hari Pembalasan yang dijanjkan bahawa kafir yang bertindak ganas menggali parit & membakar orang beriman di dalamnya akan menerima akibat yang buruk.
  2. Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti:
    i- diambil penuh dari ayat pertamanya iaitu {وَٱلسَّمَآءِ ذَاتِ ٱلْبُرُوجِ}.

ii- dalilnya hadis riwayat Jabir bin Samurah r.a bahawa Rasulullah s.a.w membaca dalam solat zohor & asar surah {وَٱلسَّمَآءِ وَٱلطَّارِقِ} dan surah {وَٱلسَّمَآءِ ذَاتِ ٱلْبُرُوجِ} dan lain-lain surah.
[HR Abu Daud & Ahmad dan lain-lain].

Ini juga termasuk dalam ciri-ciri keistimewaan surah ini.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Membentangkan tentang kisah kekejaman kaum kafir terhadap orang yang beriman yang terjadi pada zaman nabi-mnbb yang telah lalu. Setelah itu diterangkan bahawa orang kafir yang menimpakan bencan untuk memesongkan orang-orang beriman lelaki atau perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat; mereka akan ditimpa azab api yang membakar!
    Sebaliknya orang yang beriman & beramal soleh akan diletakkan di dalam syurga yang melimpah nikmatnya.
  2. Kemudian ditegaskan bahawa azab Allah kepada mereka yang kufur ingkar adalah amat berat, kenangkanlah sahaja apa yang telah menimpa kaum yang menentang rasul-nya pada zaman silam.

Begitulah orang yang menentang Nabi Muhammad s.a.w akan menerima padah yang sama.

  1. Surah ini diakhiri dengan menegaskan tentang kebenaran al-Quran.
    Sebenarnya apa engkau sampaikan kepada mereka wahai Muhammad s.a.w, bukanlah syair atau sihir seperti yang mereka tuduh dengan tidak berasas; bahkan ia adalah al-Quran yang tertinggi kemuliaanya lagi yang terpelihara dengan sebaiknya di Lauh Mahfuz.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w & para sahabat tentang apa yang telah menimpa mereka akibat dari perbuatan musuh.
    Juga untuk menetapkan hati orang mukmin atas jalan yang benar, agar iman mereka tidak goyah, serta tdl takut untuk menghadapi kejahatan Abu Jahal & gengnya!

Juga segala taghut pada zaman kita ini; semoga Allah tetapkan hati kita di atas jalan yang benar dengan mengikut al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t mulakan surah ini dengan bersumpah dengan 3 perkara daripada kalangan makhluk-Nya.
  2. Allah ceritakan tentang kisah (Ashabul-Ukhdud- golongan parit) iaitu di satu negeri, di mana orang beriman yang dicampakkan ke dalam parit yang dinyalakan api! Allah s.w.t akan membalas azab yang setimpal dengan perbuatan kejam mereka itu!
  3. Allah s.w.t janjikan azab siksa kepada segala jenis taghut & orang yang membuat fitnah ke atas orang mukmin dengan azab neraka Jahannam yang pedih!
  4. Khabar gembira dengan nikmat syurga kepada mereka yang sabar di kalangan orang mukmin.
  5. Suatu isyarat dengan tindakan Allah s.w.t yang cukup dahsyat & Allah sebut sebahagian sifat-Nya yang mulia.
  6. Allah buat bandingan dengan kaum Firaun & Thamud serta bagaimana akhir kesudahan perjalanan hidup mereka!
  7. Satu isyarat tentang kedudukan al-Quran yang sangat mulia. Mulia di sisi Allah, mulia di sisi para malaikat & mulia di sisi orang beriman. Serta orang yang beriman menjadi mulia dengan sebab mereka ikut al-Quran.

MUNASABAH SURAH AL-BURUJ- سورة البروج DENGAN SURAH AL-INSYIQAQ- سورة الإنشقاق SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Insyiqaq – الإنشقاق سورة :

  1. Persamaan dalam permulaan surah: Dimulai dengan Allah s.w.t sebut/bersumpah dengan langit. Terdapat empat (4) surah dalam al-Quran yang Allah s.w.t mulakan dengan menyebut langit iaitu:

i- Surah al-Infitar, ii- al-Insyiqaq, iii- al-Buruj & iv- at-Toriq.
Semua 4 surah ini Allah s.w.t mulakan dengan sebut langit.

  1. Kedua surah ini juga mengandungi janji baik nikmat syurga untuk orang beriman & ancaman azab neraka untuk orang kafir serta juga menyebut tentang kedudukan & kemuliaan al-Quran.
  2. Pada surah Al-Insyiqaq yang lepas-
    i- disebut bahawa orang kafir sangat hati terhadap Rasulullah s.a.w dan menyakiti orang Islam dengan pelbagai azab fizikal seperti pukulan, bunuh, jemur bawah panas matahari dan seumpamanya. Juga azab secara mental (maknawi) seperti permusuhan, dendam, hasad, tipu-daya & takut hilang kepentingan.

ii- maka dalam surah ini:
a- Allah s.w.t sebut secara jelas perbuatan kejam orang terdahulu dari umat kafir yang membakar hangus semua orang yang beriman, tidak tinggal baka-keturunan! Ini sebagai peringatan kepada orang kafir- kamu buatlah apa yang kamu suka, tetapi Allah s.w.t akan ambik tindakan dalam masa yang terdekat.

b- ayat ini juga untuk menenangkan hati para sahabat yang disiksa & dihina bahawa mereka tidak keseorangan dalam perjuangan ini, semua yang melalui jalan ini akan dihina & diuji dengan kesusahan yang dahsyat sekali!

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {DEMI LANGIT YANG MEMPUNYAI TEMPAT-TEMPAT PEREDARAN BINTANG-BINTANG;} (AL-BURUJ 85:1)

  1. Allah s.w.t bersumpah dengan al-buruj {ٱلْبُرُوجِ }- iaitu langit tempat peredaran bintang-bintang!
  2. Ahli falak Arab memberikan buruj ini mempunyai beberapa (12) nama seperti berikut (juga nama zodiak dalam bahasa Inggeris):
    i- Aries – حمل (Hamal) : 21 Mac – 19 April
    ii- Taurus – ثور (Thaur) : 20 April – 20 May
    iii- Gemini – جوزاء (Jauza\’) : 21 May – 21 Jun
    iv- Cancer – سرطان (Sarthan) : 22 Jun – 22 Julai
    v- Leo – اسد (Asad) : 23 Julai – 22 Ogos
    vi- Virgo – سنبله (Sunbulah) : 23 Ogos – 22 September
    vii- Libra – ميزان (Mizan) : 23 September – 23 Oktober
    viii- Scorpio – عقراب (Akrab) : 24 Oktober – 21 November
    ix- Sagittarius – قوس (Qaws) : 22 November – 21 Disember
    x- Capricorn – جدي (Jadi) : 22 Disember – 19 Januari
    xi- Aquarius – دلو (Dalwu) : 20 Januari – 18 Februari
    xii- Pisces – حوت (Hut) : 19 Februari – 20 Mac
  3. Buruj-buruj ini muncul di langit pada bulan tertentu dalam setahun mengikut peredaran musim bumi samada musim panas, sejuk dan sebagainya.
  4. Buruj adalah satu gabungan kumpulan bintang-bintang yang berada di langit.

Bintang-bintang tersebut telah dibayangkan di dalam pelbagai bentuk dan ia diberi namanya yang tersebut.

Orang zaman dahulu sangat bergantung kepada bintang-bintang ini untuk tujuan penunjuk arah.

AYAT 2- {DAN HARI (PEMBALASAN) YANG DIJANJIKAN;} (AL-BURUJ 85:2)

  1. Serta sumpah Allah yang kedua dengan hari Pembalasan iaitu hari Kiamat yang lah s.w.t telah janjikan bahawa Kiamat pasti datang.
  2. Serta semua manusia akan menjalani proses Hisab perbicaraan yang cukup adil. Mereka akan dibangkitkan, dibicarakan dan diberi pembalasan yang setimpal!

AYAT 3- {DAN MAKHLUK-MAKHLUK YANG HADIR MENYAKSIKAN HARI ITU, SERTA SEGALA KEADAAN YANG DISAKSIKAN;} (AL-BURUJ 85:3)

  1. Allah bersumpah dengan semua saksi & apa yang disaksikannya.
  2. Allah s.w.t dalam ayat yang lepas telah menjanjikan bahawa semua makhluk-Nya akan dibangkitkan semula & dikumpulkan pada satu tempat untuk satu perbicaraan (hisab).
    Lalu untuk perbicaraan perlu ada saksi {وَشَاهِدٍۢ} & yang disaksikan {وَمَشْهُودٍۢ}.
  3. Ulama\’ tafsir banyak berbeza pendapat tentang apakah maksudnya saksi {وَشَاهِدٍۢ}
    & apa yang disaksikan {وَمَشْهُودٍۢ}:

i- ramai mengatakan {وَشَاهِدٍۢ} ialah hari Jumaat kerana ia menyaksikan apa yang kita buat dalam seminggu itu!

Manakala {وَمَشْهُودٍۢ} pula ialah hari Arafah kerana ramai manusia berkumpul di situ pada musim haji & malaikat hadir menyaksikan perhimpunan agung itu pada setiap tahun!

Ya Allah jadikanlah kami orang yang berada di Arafah pada musim haji dalam waktu terdekat, Aamin.

ii- pendapat kedua: {وَشَاهِدٍۢ} ialah semua makhluk, manakala {وَمَشْهُودٍۢ} ialah hari Kiamat yang disaksikan kejadiaanya yang pelik, dahsyat & cukup menakutkan!

iii- pendapat ketiga: {وَشَاهِدٍۢ} ialah semua Allah s.w.t Yang menyaksikan semua perkara, manakala {وَمَشْهُودٍۢ} ialah semua perkara yang dibentangkan untuk dikira hisab ialah apa yang disaksikan.

iv- pendapat keempat: {وَشَاهِدٍۢ} ialah saksi yang ramai antaranya:
a) ialah Rasulullah s.a.w sendiri dalil- An-Nisa\’: ayat 41.

b) anggota badan manusia, dalil An-Nur: ayat 24.

c) malaikat yang menjadi saksi ke atas perbuatan kita.

AYAT 4- {CELAKALAH KAUM YANG MENGGALI PARIT,} (AL-BURUJ 85:4)

  1. Iaitu seorang Raja yang zalim, yang percaya kepada ahli sihir & menggali parit untuk membunuh orang Islam.
    Dikatakan perkara ini berlaku di Najran, sebuah kota di hujung (barat daya) negara Arab Saudi yang dekat dengan perbatasan Yaman.
  2. Kata Ibnu Kathir rhm.: Ini adalah cerita tentang satu kaum kafir yang telah menyiksa orang beriman pada zaman mereka, siapa yang tidak mahu kembali kepada agamanya akan dihumban ke dalam api yang dinyalakan di dalam parit!

Kisah penuhnya ada dalam sebuah hadis sahih yang panjang.

  1. Hadis Rasulullah s.a.w:
    وعن صهيب : أنَّ رسولَ الله ، قَالَ : (( كَانَ مَلِكٌ فيمَنْ كَانَ قَبلَكمْ وَكَانَ لَهُ سَاحِرٌ فَلَمَّا كَبِرَ قَالَ للمَلِكِ:
    إنِّي قَدْ كَبِرْتُ فَابْعَثْ إلَيَّ غُلاماً أُعَلِّمْهُ السِّحْرَ ؛ فَبَعثَ إِلَيْهِ غُلاماً يُعَلِّمُهُ ، وَكانَ في طرِيقِهِ إِذَا سَلَكَ رَاهِبٌ، فَقَعدَ إِلَيْه وسَمِعَ كَلامَهُ فَأعْجَبَهُ، وَكانَ إِذَا أتَى السَّاحِرَ، مَرَّ بالرَّاهبِ وَقَعَدَ إِلَيْه، فَإذَا أَتَى السَّاحِرَ ضَرَبَهُ، فَشَكَا ذلِكَ إِلَى الرَّاهِب، فَقَالَ : إِذَا خَشيتَ السَّاحِرَ ، فَقُلْ: حَبَسَنِي أَهْلِي ، وَإذَا خَشِيتَ أهلَكَ، فَقُلْ: حَبَسَنِي السَّاحِرُ( ) .
    فَبَيْنَما هُوَ عَلَى ذلِكَ إِذْ أَتَى عَلَى دَابَّةٍ عَظِيمَةٍ قَدْ حَبَسَتِ النَّاسَ، فَقَالَ: اليَوْمَ أعْلَمُ السَّاحرُ أفْضَلُ أم الرَّاهبُ أفْضَلُ؟ فَأخَذَ حَجَراً، فَقَالَ: اللَّهُمَّ إنْ كَانَ أمْرُ الرَّاهِبِ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ أمْرِ السَّاحِرِ فَاقْتُلْ هذِهِ الدّابَّةَ حَتَّى يَمضِي النَّاسُ، فَرَمَاهَا فَقَتَلَها ومَضَى النَّاسُ، فَأتَى الرَّاهبَ فَأَخبَرَهُ.
    فَقَالَ لَهُ الرَّاهبُ: أَيْ بُنَيَّ أَنْتَ اليَومَ أفْضَل منِّي قَدْ بَلَغَ مِنْ أَمْرِكَ مَا أَرَى، وَإنَّكَ سَتُبْتَلَى، فَإن ابْتُلِيتَ فَلاَ تَدُلَّ عَلَيَّ ؛ وَكانَ الغُلامُ يُبْرىءُ الأكْمَهَ وَالأَبْرصَ ، ويداوي النَّاسَ مِنْ سَائِرِ الأَدْوَاء . فَسَمِعَ جَليسٌ لِلملِكِ كَانَ قَدْ عَمِيَ ، فأتاه بَهَدَايا كَثيرَةٍ ، فَقَالَ : مَا ها هُنَا لَكَ أَجْمعُ إنْ أنتَ شَفَيتَنِي ، فَقَالَ : إنّي لا أشْفِي أحَداً إِنَّمَا يَشفِي اللهُ تَعَالَى ، فَإنْ آمَنْتَ بالله تَعَالَى دَعَوتُ اللهَ فَشفَاكَ ، فَآمَنَ بالله تَعَالَى فَشفَاهُ اللهُ تَعَالَى ، فَأَتَى المَلِكَ فَجَلسَ إِلَيْهِ كَما كَانَ يَجلِسُ ، فَقَالَ لَهُ المَلِكُ : مَنْ رَدّ عَلَيْكَ بَصَرَكَ ؟ قَالَ : رَبِّي ، قَالَ : وَلَكَ رَبٌّ غَيري ؟ قَالَ : رَبِّي وَرَبُّكَ اللهُ ، فَأَخَذَهُ فَلَمْ يَزَلْ يُعَذِّبُهُ حَتَّى دَلَّ عَلَى الغُلامِ ، فَجيء بالغُلاَمِ ، فَقَالَ لَهُ المَلِكُ : أيْ بُنَيَّ ، قَدْ بَلَغَ مِنْ سِحْرِكَ مَا تُبْرىء الأَكْمَهَ وَالأَبْرَصَ( ) وتَفْعَلُ وتَفْعَلُ ! فَقَالَ : إنِّي لا أَشْفي أحَداً ، إِنَّمَا يَشفِي الله تَعَالَى . فَأَخَذَهُ فَلَمْ يَزَلْ يُعَذِّبُهُ حَتَّى دَلَّ عَلَى الرَّاهبِ ؛ فَجِيء بالرَّاهبِ فَقيلَ لَهُ : ارجِعْ عَنْ دِينكَ ، فَأَبَى ، فَدَعَا بِالمِنْشَارِ( ) فَوُضِعَ المِنْشَارُ في مَفْرق رَأسِهِ ، فَشَقَّهُ حَتَّى وَقَعَ شِقَّاهُ ، ثُمَّ جِيءَ بِجَليسِ المَلِكِ فقيل لَهُ : ارْجِعْ عَنْ دِينِكَ ، فَأَبَى ، فَوضِعَ المِنْشَارُ في مَفْرِق رَأسِهِ ، فَشَقَّهُ بِهِ حَتَّى وَقَعَ شِقَّاهُ ، ثُمَّ جِيءَ بالغُلاَمِ فقيلَ لَهُ : ارْجِعْ عَنْ دِينكَ ، فَأَبَى ، فَدَفَعَهُ إِلَى نَفَرٍ مِنْ أصْحَابهِ ، فَقَالَ : اذْهَبُوا بِهِ إِلَى جَبَلِ كَذَا وَكَذَا فَاصْعَدُوا بِهِ الجَبَل ، فَإِذَا بَلَغْتُمْ ذِرْوَتَهُ فَإِنْ رَجَعَ عَنْ دِينِهِ وَإلاَّ فَاطْرَحُوهُ . فَذَهَبُوا بِهِ فَصَعِدُوا بِهِ الجَبَلَ ، فَقَالَ : اللَّهُمَّ أكْفنيهمْ بِمَا شِئْتَ ، فَرَجَفَ بهِمُ الجَبلُ فَسَقَطُوا( ) ، وَجاءَ يَمشي إِلَى المَلِكِ ، فَقَالَ لَهُ المَلِكُ : مَا فَعَلَ أصْحَابُكَ ؟ فَقَالَ : كَفَانِيهمُ الله تَعَالَى ، فَدَفَعَهُ إِلَى نَفَرٍ مِنْ أَصْحَابِهِ فَقَالَ : اذْهَبُوا بِهِ فاحْمِلُوهُ في قُرْقُورٍ وتَوَسَّطُوا بِهِ البَحْرَ ، فَإنْ رَجعَ عَنْ دِينِهِ وإِلاَّ فَاقْذِفُوهُ . فَذَهَبُوا بِهِ ، فَقَالَ : اللَّهُمَّ أكْفِنيهمْ بمَا شِئْتَ ، فانْكَفَأَتْ بِهمُ السَّفينةُ فَغَرِقُوا ، وَجَاء يَمْشي إِلَى المَلِكِ . فَقَالَ لَهُ المَلِكُ : مَا فعلَ أصْحَابُكَ ؟ فَقَالَ : كَفَانيهمُ الله تَعَالَى . فَقَالَ لِلمَلِكِ : إنَّكَ لَسْتَ بقَاتلي حَتَّى تَفْعَلَ مَا آمُرُكَ بِهِ . قَالَ : مَا هُوَ ؟ قَالَ : تَجْمَعُ النَّاسَ في صَعيدٍ وَاحدٍ وتَصْلُبُني عَلَى جِذْعٍ ، ثُمَّ خُذْ سَهْماً مِنْ كِنَانَتي ، ثُمَّ ضَعِ السَّهْمَ في كَبدِ القَوْسِ ثُمَّ قُلْ : بسْم الله ربِّ الغُلاَمِ( ) ، ثُمَّ ارْمِني، فَإنَّكَ إِذَا فَعَلْتَ ذلِكَ قَتَلتَني، فَجَمَعَ النَّاسَ في صَعيد واحدٍ ، وَصَلَبَهُ عَلَى جِذْعٍ ، ثُمَّ أَخَذَ سَهْماً مِنْ كِنَانَتِهِ ، ثُمَّ وَضَعَ السَّهْمَ في كَبِدِ القَوْسِ ، ثُمَّ قَالَ : بِسمِ اللهِ ربِّ الغُلامِ ، ثُمَّ رَمَاهُ فَوقَعَ في صُدْغِهِ( ) ، فَوَضَعَ يَدَهُ في صُدْغِهِ فَمَاتَ ، فَقَالَ النَّاسُ : آمَنَّا بِرَبِّ الغُلامِ ، فَأُتِيَ المَلِكُ فقيلَ لَهُ : أَرَأَيْتَ مَا كُنْتَ تَحْذَرُ قَدْ والله نَزَلَ بكَ حَذَرُكَ . قَدْ آمَنَ النَّاسُ . فَأَمَرَ بِالأُخْدُودِ بأفْواهِ السِّكَكِ فَخُدَّتْ( ) وأُضْرِمَ فيهَا النِّيرانُ وَقَالَ : مَنْ لَمْ يَرْجعْ عَنْ دِينهِ فَأقْحموهُ فيهَا ، أَوْ قيلَ لَهُ: اقتَحِمْ فَفَعَلُوا حَتَّى جَاءت امْرَأةٌ وَمَعَهَا صَبيٌّ لَهَا ، فَتَقَاعَسَتْ أنْ تَقَعَ فيهَا، فَقَالَ لَهَا الغُلامُ : يَا أُمهْ اصْبِري فَإِنَّكِ عَلَى الحَقِّ ! )) رواه مسلم

Daripada Suhaib r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
\”Di zaman sebelum kamu ada seorang raja yang mempunyai seorang ahli sihir. Apabila ahli sihir tersebut telah tua, dia berkata kepada raja; \”Usiaku telah lanjut, berilah kepadaku seorang ghulam (budak/ remaja) untuk aku ajarkan kepadanya ilmu sihir.\”
Maka diberikan kepadanya seorang ghulam untuk diajarkan ilmu sihir kepadanya. Di perjalanannya menuju kepada ahli sihir terdapat seorang rahib. Maka ghulam bertemu dengannya, mendengar pengajarannya dan tertarik dengannya. Setiap kali ghulam mendatangi ahli sihir, dia akan melalui rahib dan bertemu dengannya. Apabila dia mendatangi ahli sihir, dia akan dipukul. Lalu dia mengadu perkara tersebut kepada rahib.
Rahib menjawab; \”Apabila kamu takut kepada ahli sihir, maka katakanlah; Keluargaku menyebabkan aku pulang lewat. Apabila kamu takut kepada keluargamu, maka jawablah; Ahli sihir menyebabkan aku pulang lewat.\” Keadaan tersebut berterusan sehinggalah pada suatu hari dia bertembung dengan seekor binatang besar yang menghalang perjalanan orang ramai.
Ketika itu, ghulam tersebut berkata; \”Pada hari ini, aku akan mengetahui adakah ahli sihir yang lebih afdhal ataupun rahib yang lebih afdhal.\” Maka dia mengambil seketul batu lalu berdoa;

\”Ya Allah, sekiranya urusan rahib lebih Kamu sukai daripada urusan ahli sihir, maka bunuhlah binatang ini sehingga orang ramai dapat lalu-lalang.\” Dia pun melontarnya, maka binatang tersebut mati dan orang ramai dapat lalu lalang.
Lalu dia menceritakan peristiwa tersebut kepada rahib. Maka rahib berkata, \”Wahai anakku, kamu pada hari ini adalah lebih afdhal daripadaku. Sesungguhnya aku melihat bahawa urusanmu telah sampai kepada satu peringkat. Kamu akan diuji. Sekiranya kamu diuji, janganlah kamu menceritakan tentang aku.\”
Ghulam tersebut mempunyai kebolehan untuk mengubati penyakit buta sejak lahir, sopak dan dia juga mengubati berbagai lagi penyakit.
Seorang pembesar diraja yang sentiasa bersama raja telah mendengar kisah kebolehan ghulam. Beliau adalah seorang buta. Lalu beliau mendatanginya dengan membawa hadiah yang banyak. Beliau berkata; \”Semua yang aku kumpulkan ini adalah untuk kamu sekiranya kamu dapat menyembuhkan aku.\”
Ghulam menjawab; \”Aku tidak boleh menyembuhkan seseorang pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah. Apabila kamu beriman kepada-Nya, aku akan berdoa kepada- Nya, maka Dia akan menyembuhkan kamu.\” Lalu beliau beriman, maka Allah menyembuhkan penyakitnya.
Kemudian beliau mendatangi majlis raja. Beliau duduk di sisi raja sebagaimana sebelumnya. Raja berkata kepadanya; \”Wahai Fulan, siapakah yang telah mengembalikan penglihatanmu?\” Beliau menjawab; \”Tuhanku.\” Raja bertanya lagi; \”Apakah kamu mempunyai tuhan selainku.\” Beliau menjawab; \”Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.\”
Beliau terus menerus diseksa sehinggalah beliau menceritakan tentang ghulam. Maka ghulam pun dibawa menghadap. Raja berkata kepadanya; \”Wahai anakku, sesungguhnya sihir kamu telah sampai peringkat dapat menyembuhkan penyakit buta, sopak dan berbagai lagi yang kamu lakukan.\”
Ghulam menjawab; \”Aku tidak boleh menyembuhkan sesiapa pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah.\” Maka dia pun diseksa. Dia terus menerus diseksa sehinggalah dia menceritakan tentang rahib. Maka rahib dipanggil lalu dikatakan kepadanya; \”Tinggalkan agamamu.\” Rahib enggan berbuat demikian lalu dibawa gergaji dan diletakkan di tengah-tengah kepalanya sehinggalah tubuhnya terbelah dua.
Kemudian dibawa pembesar diraja dan dikatakan kepadanya; \”Tinggalkan agamamu.\” Dia enggan lalu diletakkan gergaji di tengah-tengah kepalanya sehinggalah tubuhnya terbelah dua. Selepas itu ghulam dibawa dan dikatakan kepadanya; \”Tinggalkan agamamu.\” Dia enggan lalu dia diserahkan kepada sekumpulan tentera raja.
Raja berkata; \”Pergilah kamu semua membawanya ke bukit sekian-sekian. Dakilah ia. Apabila kamu sampai ke kemuncaknya, jika dia meninggalkan agamanya (maka jangan apa-apakan dia), jika tidak, maka campakkanlah dia. Mereka pergi membawanya dan mendaki bukit tersebut.
Ghulam pun berdoa; \”Ya Allah, selamatkanlah aku dengan apa cara yang Kamu sukai.\” Lalu bukit bergoncang dan mereka semua jatuh. Ghulam pun pulang untuk menemui raja. Raja berkata kepadanya; \”Apakah yang telah dilakukan oleh pengawal kamu?\”
Ghulam pun menjawab; \”Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka.\”
Lalu dia dihantar kepada sekumpulan tentera yang lain. Raja berkata; \”Pergilah kamu semua membawanya ke sampan. Bawalah dia ke tengah lautan, jika dia meninggalkan agamanya (maka jangan apa-apakan dia), jika tidak,campakkan dia ke laut. Maka mereka pergi membawa ghulam lalu dia berdoa; \”Ya Allah, selamatkanlah aku dengan apa cara yang Kamu sukai.\” Maka sampan pun terbalik dan mereka semua tenggelam.
Ghulam pun pulang untuk menemui raja. Raja berkata kepadanya; \”Apakah yang dilakukan oleh pengawal kamu?\” Dia menjawab; \”Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka.\”
Kemudian dia berkata kepada raja; \”Sesungguhnya kamu tidak boleh membunuh aku sehingga kamu melakukan apa yang aku suruh.\”
Raja berkata; \”Apakah dia?\”
Ghulam menjawab; \”Kamu kumpulkan orang ramai di suatu kawasan lapang dan kamu salibkan aku pada sebatang pokok. Kemudian kamu ambil anak panahku daripada bekasnya, dan letakkan pada busarnya. Selepas itu sebutlah \”Dengan Nama Allah, Tuhan ghulam,\” dan panahlah aku.
Sekiranya kamu melakukan sedemikian, kamu boleh membunuhku.\”
Maka raja pun mengumpulkan orang ramai di suatu kawasan lapang, menyalibnya pada sebatang pokok, kemudian mengambil anak panah kepunyaan ghulam daripada bekasnya dan meletakkan pada busarnya.
Selepas itu raja berkata; \”Dengan Nama Allah, Tuhan ghulam,\” sambil melepaskan anak panah menuju sasarannya.
Anak panah tersebut kena pada bahagian di antara mata dan telinga ghulam lalu dia meletakkan tangannya pada tempat panahan dan meninggal.
Orang ramai pun berkata; \”Kami beriman dengan Tuhan ghulam. Kami beriman dengan Tuhan ghulam. Kami beriman dengan Tuhan ghulam.\”
Maka raja pun datang dan dikatakan kepadanya; \”Apakah tuanku tidak melihat apa yang tuanku takuti. Sesungguhnya, Demi Allah! Ia telah menimpa tuanku. Orang ramai telah semuanya beriman.\”
Lalu raja memerintahkan supaya digali parit dan dinyalakan api. Raja berkata; \”Sesiapa yang tidak kembali kepada agama asalnya, maka humbankan dia ke dalamnya.\”
Mereka pun melaksanakan perintahnya sehingga datang giliran seorang perempuan dengan membawa bayinya. Dia berhenti kerana takut untuk terjun ke dalam api. Lalu bayinya berkata; \”Wahai ibu, bersabarlah, sesungguhnya ibu berada di atas kebenaran.\” [Sahih Imam Muslim.]

4. Pengajaran hadis ini- Ghulam (budak) itu berkorban dengan rela dibunuh raja sebagai satu cara berdakwah dan hasilnya seluruh orang ramai yang menyaksikan peristiwa itu memeluk Islam.

  1. Boleh baca kisah penuh dalam kitab ini:
    https://dartaibah.com/?page_id=179…

AYAT 5- { (PARIT) API YANG PENUH DENGAN BAHAN BAKARAN,} (AL-BURUJ 85:5)

  1. Mereka menggali parit kemudian dinyalakan dengan bahan bakaran.

Ayat 6- {(Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya,} (Al-Buruj 85:6) & AYAT 7- {SAMBIL MEREKA MELIHAT APA YANG MEREKA LAKUKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AL-BURUJ 85:7)

  1. Mereka yang zalim itu dilaknat ketika mereka duduk dikelilingnya sambil melihat orang Islam dicampak ke dalam api!

AYAT 8- {DAN MEREKA TIDAK MARAH DAN MENYEKSAKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN ITU MELAINKAN KERANA ORANG-ORANG ITU BERIMAN KEPADA ALLAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA TERPUJI!} (AL-BURUJ 85:8)

  1. Mereka membunuh dan menyiksa orang-orang itu tanpa sebab lain kecuali kerana mereka itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji.
    Bukan mereka ada salah lain, bermusuh atau mengkhianati mereka!
  2. Mereka juga membelah kepala orang yang beriman sebagaimana dalam hadis riwayat Khabbab bin al-Art r.a.
    Beliau berkata: Kami mengadu kepada Rasulullah S.A.W ketika Baginda S.A.W beralaskan sehelai kain di sisi Ka\’bah.
    Kami berkata: Tidakkah Baginda S.A.W memohon pertolongan kepada kami?
    Tidakkah Baginda S.A.W berdoa kepada kami? Lalu Baginda S.A.W bersabda:

قَدْ كَانَ مَنْ قَبْلَكُمْ، يُؤْخَذُ الرَّجُلُ فَيُحْفَرُ لَهُ فِي الأَرْضِ، فَيُجْعَلُ فِيهَا، فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُجْعَلُ نِصْفَيْنِ، وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الحَدِيدِ، مَا دُونَ لَحْمِهِ وَعَظْمِهِ، فَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ، وَاللَّهِ لَيَتِمَّنَّ هَذَا الأَمْرُ، حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ، لاَ يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ، وَالذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ، وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ

Maksudnya: \”Sesungguhnya sebelum daripada kamu, diambil lelaki lalu digali baginya lubang kemudian dihumbankan dia ke dalamnya.

Terdapat juga yang didatangkan padanya dengan gergaji lalu gergaji tersebut diletakkan di kepalanya, kemudian digergajikan kepala tersebut sehingga terbelah kepada dua.

Ada juga yang dicakar dengan cakaran besi sehingga memisahkan daging dan tulangnya. Ini semua tidak membuat mereka berpaling daripada agamanya (Islam). [HR al-Bukhari (6943)]

AYAT 9- {TUHAN YANG MENGUASAI SEGALA ALAM LANGIT DAN BUMI. DAN (INGATLAH), ALLAH SENTIASA MENYAKSIKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-BURUJ 85:9)

  1. Kemudian Allah s.w.t memperkenalkan kepada kita sifat-Nya iaitu:
    i- Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi.
    ii- Allah Tuhan yang sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang;} &Ayat 2- {Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan;} & Ayat 3- {Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan;} (Al-Buruj 85:3)-

Allah s.w.t bersumpah dengan tiga perkara ini. Apakah hubung-kaitnya?
Jawapannya- ia mempunyai satu kaitan yang rapat, Allah s.w.t bersumpah dengan alam langit bumi & Kiamat.

Ini menunjukkan keagungan Allah s.w.t:
i- Allah bersumpah dengan alam langit iaitu buruj. Ini adalah alam yang paling luas, yang diduduki oleh para malaikat!

ii- kemudian Allah bersumpah dengan hari yang terbaik yang mempunyai keadaan yang tinggi iaitu hari Jumaat kemudian hari Kiamat.

iii- kemudian Allah bersumpah dengan yang lebih luas lagi iaitu dengan saksi & apa yang disaksikannya!

Kemudian datang cerita Ashabul-Ukhdud iaitu
antara yang disaksikan ialah perbuatan zalim penguasan yang zalim yang telah membunuh orang yang beriman dengan membakar mereka di dalam parit.

  1. Ayat 8- {Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!} & Ayat 9- {Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.}-

Allah sebut sifat Tuhan yang sebenar- bukan mereka yang mengaku nak jadi Tuhan!

Allah s.w.t sebut dalam dua ayat ini sifat Allah yang kamu nak sembah & nak puji! Iaitu:
i- Allah Yang Maha Kuasa { ٱلْعَزِيزِ}, untuk ambil tindakan & menghukum.

ii- lagi Maha Terpuji { ٱلْحَمِيدِ} semua makhluk akan puji Allah s.w.t.

iii- Tuhan yang memilik & menguasai segala alam langit dan bumi {مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ}.

  1. Ayat 8- {Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!}-
    Mereka membunuh orang Islam tanpa ada salah lain, kecuali kerana beriman kepada Allah s.w.t!

Dalam ayat ini terdapat beberapa kesimpulan:
i- Ini adalah gaya tindakan yang dibuat oleh musuh Allah terhadap wali Allah iaitu orang yang beriman.

ii- contohnya seperti kaum Lut yang marah kepada Nabi mereka iaitu Nabi Lut dan mahu keluarkannya dari kampung mereka!

Firman Allah s.w.t:
{Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: \”Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri\”.} (Al-A\’raaf 7:82)

iii- orang yang syirik akan marah kepada orang yang mentauhidkan Allah s.w.t!

iv- penyokong & penyebar bid\’ah akan marah kepada orang yang kempen dan mengajak orang untuk kembali kepada Sunnah Rasulullah s.a.w.

v- kumpulan (Mu\’attilah- معطلة )- iaitu mereka yang memandulkan (menafikan) ayat-ayat yang menyebut sifat Allah s.w.t, akan marah kepada ahli Sunnah yang mengisbatkan sifat Allah mengikut al-Quran & Sunnah Rasulullah s.a.w serta kefahaman salafus-soleh.

v- puak Syi\’ah ar-Rafidhah akan benci kepada ahlu Sunnah yang mencintai Nabi s.a., para keluarga & sahabatnya r.anhum.

vii- ahli ra\’yi yang menggunakan logik akal, yang percaya kepada falsafah akan tidak percaya kepada orang yang menyebarkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Inilah perangai & sifat puak kafir dalam pelbagai dimensi.

  1. Ayat 8- {Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!}- mereka tidak ambil tindakan kecuali kerana beriman.

Inilah perangai puak kafir dari dulu sehingga sekarang- mereka mengganas & buat zalim terhadap orang Islam tidak mengapa, jika orang Islam akan terus dituduh terrorist dan lain-lain.

Orang yang beriman akan diuji dan dituduh, dizalimi sejak dari dulu lagi.

Maka orang beriman jangan bimbang, kena bersabar dan Allah Taala Yang Maha Kuasa akan membalasnya kejahatan itu.

Manakala jika kita buat amal ibadat Allah s.w.t Yang Maha Terpuji akan memberi balsan yang baik pula!

Di Malaysia sekarang ini terdapat lebih 60 agama anutan rasmi! الله المستعان

Untuk keterangan lanjut tentang isu ini:
Klik link ini untuk mengikuti semua media sosial Perlis Centre of Wisdom : https://linktr.ee/perliswisdom
Ayuh Sertai Group Info Perlis Centre of Wisdom :-
https://chat.whatsapp.com/IQvyh4o0IRvIXKeMntXv1r

  1. Ayat 9- {Dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.}-

Allah sebagai saksi atas semua perbuatan kita dan apa yang kita lalui, manakala malaikat sentiasa mencatat.

Kita yakin dan percaya bahawa apa yang dibuat; Allah Maha Mengetahui dan semua perkara direkod oleh Malaikat sebagai bukti yang Allah Maha Adil.

Semuanya dipersaksikan, dibawa saksi & catatan dibentangkan pada hari Kiamat kelak untuk menjadi dalil kepada manusia apabila dijatuhkan hukuman menerima balasan masing-masing mereka tidak akan dapat mempertikaikannya lagi!

Mereka tahu mereka telah melakukan jenayah di dunia dulu maka mereka berhak mendapat balasan itu!

Jika kita yakin dengan Allah s.w.t menjadi saksi maka ia menjadi peringatan kepada kita orang beriman agar jangan berani buat maksiat, jangan menipu & jangan kelentong!

Powered by BetterDocs