SURAH AR-RAHMAN : AYAT 1-9

\"\"

AR-RAHMAN; LUASNYA RAHMAT ALLAH S.W.T, MENGAJARKAN AL-QURAN DAN BAYAN & TEGAKKAN KEADILAN.

Full video : https://youtu.be/PpcLbyjpB5Y

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan betapa sifat ar-Rahman Allah, banyaknya nikmat yang Allah s.w.t anugerahkan kepada makhluk-makhluk-Nya.
  2. Nikmat kejadian manusia itu sendiri, kita diajar bercakap, beri lampu untuk kehidupan kita atas dunia ini iaitu dicipta matahari, bulan & bintang-bintang, diberinya perhiasan, pedoman petunjuk dalam perjalanan.
  3. Kemudian Allah s.w.t minta kita berlaku adil dalam semua aspek kehidupan yang kita lalui.
  4. Ada ulama\’ yang berbeza pendapat tentang jumlah bilangan ayat surah ini:
    i- ada yang kata hanya 76- kerana mereka mengatakan ayat pertama & yang kedua hanyalah satu ayat sahaja.

ii- tetapi dalam kebanyakan mashaf ia diasingkan. Ar-Rahman ayat 1 manakala selepas itu ayat kedua, maka jadilah bilangannya 78.
Kata ulama\’: Ikhtilaf tentang bilangan no ayat ini tidak menambah bilangan ayat, cuma khilaf nak letak no1 atau no2 di mana, itu sahaja.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 1- {(TUHAN) YANG MAHA PEMURAH SERTA MELIMPAH-LIMPAH RAHMATNYA.} (AR-RAHMAAN 55:1)

  1. Allah s.w.t yang Maha Lua Rahmat-Nya, yang menganugerahkan rahmat & nikmat-Nya kepada semua hamba-Nya.
    YANG kafir atau yang Islam, yang taat atau yang syirik derhaka, semua ada rezeki, dapat makan minum atas dunia ini. Bahkan ada yang kafir & derhaka yang lebih kaya & senang atas dunia ini.
  2. Sebagaimana yang Allah nyatakan dalam firman-Nya ini:
    {Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.} (Al-A\’raaf 7:56)
  3. Hadis- Allah telah sediakan 100 rahmat, Allah turunkan 1 maka semuanya berkasih sayang dengan satu rahmat itu. 99 lagi lah simpan untuk hari Kiamat:
    i- Daripada Abu Hurairah radiallahu \’anhu, Rasulullah sallallahu \’alaihi wa sallam bersabda:

جَعَلَ اللَّهُ الرَّحْمَةَ مِائَةَ جُزْءٍ فَأَمْسَكَ عِنْدَهُ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ وَأَنْزَلَ فِي الأَرْضِ جُزْءًا وَاحِدًا فَمِنْ ذَلِكَ الْجُزْءِ تَتَرَاحَمُ الْخَلاَئِقُ حَتَّى تَرْفَعَ الدَّابَّةُ حَافِرَهَا عَنْ وَلَدِهَا خَشْيَةَ أَنْ تُصِيبَهُ

Allah telah menjadikan rahmat sebanyak 100 bahagian. Dia menyimpan di sisiNya sebanyak 99 rahmat dan menurunkan ke muka bumi 1 bahagian daripada rahmat itu. Disebabkan 1 bahagian daripada rahmat itu, makhluk-makhluk saling berkasih sayang sehinggakan haiwan mengangkat kakinya daripada anaknya kerana takut akan terpijaknya. [Sahih Muslim].

ii- Imam Muslim juga membawakan riwayat daripada Salman al-Farsi radiallahu \’anhu:

عَنْ سَلْمَانَ الْفَارِسِيِّ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم \” إِنَّ لِلَّهِ مِائَةَ رَحْمَةٍ فَمِنْهَا رَحْمَةٌ بِهَا يَتَرَاحَمُ الْخَلْقُ بَيْنَهُمْ وَتِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ لِيَوْمِ الْقِيَامَةِ \”

Daripada Salman al-Farsi r.a, beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah memiliki 100 rahmat. Daripadanya terdapat 1 rahmat yang mana dengannya makhluk-makhluk saling berkasih sayang antara mereka. 99 rahmat lagi adalah untuk hari Kiamat. [Sahih Muslim].

AYAT 2- {DIA LAH YANG TELAH MENGAJARKAN AL-QURAN.} (AR-RAHMAAN 55:2)

  1. Antara nikmat Allah s.w.t ialah menurunkan al-Quran dan mengajarnya kepada manusia.
  2. Allah s.w.t turunkan al-Quran yang mudah untuk dihayati & difahami, yakni mudah dipelajari dan dihafaz, ditadabbur dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan mereka.
  3. Ayat ini adalah sambungan dari surah al-Qamar, yang telah diulang-ulang ayat ini sebanyak 4 kali, setiap habis satu kisah umat terdahulu yang telah dibinasakan:
    {Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?} (Al-Qamar 54:17)
  4. Hadis dari Usman bin Affan r.a, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: \”Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya\”. [Riwayat al-Bukhari (5027)]

  1. Apakah maksudnya Allah yang telah mengajarkan al-Quran?
    i- Allah s.w.t ajar kepada Jibril a.s.

ii- Jibril bawanya turun dan ajar kepada Rasulullah s.a.w.

iii- Rasulullah s.a.w ajar kepada para sahabatnya.

iv- sahabat ajar kepada para tabi\’en dan yang selepasnya.

v- dari para tabi\’ tabi\’en sehinggalah kepada kita hari ini.
Yakni pengajaran al-Quran ini bersambung sanadnya.

AYAT 3- {DIA LAH YANG TELAH MENCIPTAKAN MANUSIA;} (AR-RAHMAAN 55:3)

  1. Allah yang menciptakan manusia. Allah sebut khusus manusia sahaja dalam ayat ini.
  2. Munasabah susunan ayat:
    i- Allah s.w.t sebut Dia yang bersifat ar-Rahman.

ii- penuh rahmat dan penyembuh iaitu al-Quran serta nikmatnya yang banyak.

iii- Maka siapakah yang mendapat manfaat daripada al-Quran itu? Iaitu kepada siapakah Allah s.w.t ajarkan al-Quran itu (ayat 2)?

iv- jawapannya ialah dalam ayat ini; Iaitu manusia yang beriman.

  1. Allah s.w.t juga Dia telah mengajar al-Quran dalam ayat sebelum ini tetapi tidak disebut kepada siapa, kemudian datang ayat ini. Maka tahulah kita bahawa al-Quran itu diturunkan untuk diajar kepada manusia & jin. Manakala makhluk lain seperti haiwan tidak termasuk.
  2. Allah s.w.t sifatkan kejadian manusia ini dalam firman-Nya lgi:
    i- {Ia menciptakan manusia dari air benih, (setelah sempurna kejadiannya), tiba-tiba menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya.} (Al-Nahl 16:4)

ii- { Kemudian Kami jadikan \”pati\” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh;
Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.} (Al-Mu\’minuun 23: 13-14)

AYAT 4- {DIA LAH YANG TELAH MEMBOLEHKAN MANUSIA (BERTUTUR) MEMBERI DAN MENERIMA KENYATAAN.} (AR-RAHMAAN 55:4)

  1. Kemudian Allah s.w.t mengajar kita untuk bercakap, bertutur, berkata-kata samada dengan mulut (lisan), tangan (tulisan) atau isyarat, yang penting dapat melahirkan perasaan & memahami satu sama lain.
  2. Dalam ayat ini Allah menyatakan perkara yang membezakan manusia berbanding dengan makhluk lain. Keistimewaan manusia dapat berka-kata melahirkan isi hati & kehendaknya, menyata dan meluahkan apa yang dia mahu & tidak mahu!
    Dengan perkataan itulah dia menerima pelajaran dan kefahaman ajaran.
  3. Kerana itulah syarat untuk masuk Islam wajib kata dengan lidah, yakni ucapkan dua kalimah Syahadah dengan suara atau mulutnya.
  4. Kerana itu Rasulullah s.a.w ajar apabila kita sayang kepada seseorang kena nyatakan. Seperti kita sayangkan orang sekeliling kita kena nyatakan kemudian tunjukkan dengan perbuatan dan tunaikan tanggung-jawab yang sepatutnya.
    Sayang anak isteri bukan setakat beri makan & kasih sayang, wajib beri pendidikan & bimbingan agama yang baik-baik.
  5. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t:
    {Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.} (Al-Nahl 16:78)
  6. Yakni asal kita tidak tahu apa, kemudian Allah kurniakan kepada kita pancaindera serta akal fikiran, maka wajiblah kita bersyukur dengan beriman & taat kepada Allah s.w.t.

AYAT 5- {MATAHARI DAN BULAN BEREDAR DENGAN PERATURAN DAN HITUNGAN YANG TERTENTU;} (AR-RAHMAAN 55:5)

  1. Allah sebut lagi nikmat yang besar dijadikan untuk manusia iaitu matahar & bulan.
    Yang memberi sejuk panas, malam & siang untuk kita.
  2. Perjalanan mereka pula begitu teratur dan tidak pernah lari dari paksi, waktu & jadualnya.
  3. Munasabah ayat ini: Allah sebut nikmat-nikmat-Nya kepada manusia; Dia jadikan manusia, kemudian ajar bercakap kemudian manusia nak hidup, perlukan alatnya lalu Allah beri pula nikmat yang amat besar iaitu matahari yang cahanyanya panas memanncar & bulan yang lembut cahayannya pada waktu malam untuk kita berehat.

Kedua alat ini memberi manfaat yang amat banyak & besar buat manusia & bumi.

AYAT 6- {DAN TUMBUH-TUMBUHAN YANG MELATA SERTA POHON-POHON KAYU-KAYAN, MASING-MASING TUNDUK MENURUT PERATURANNYA.} (AR-RAHMAAN 55:6)

  1. Allah s.w.t juga mencipta pelbagai jenis tumbuhan untuk kegunaan manusia.
  2. Kenapa pokok, sedangkan perkataan (ٱلنَّجْمُ) yang kita tahu maknanya bintang??
    Kata ulama\’ kerana jika bawa makna bintang jauh pula bandingan antara kedua perkataan itu (وَٱلنَّجْمُ وَٱلشَّجَرُ)- bintang dan pokok.
  3. Berbeza ulama\’ tafsir dalam perkara ini. Mereka yang mengatakan ia adalah tumbuhan itu berkata kerana ia terbahagi kepada dua:
    i- berbatang lembut & menjalar (ٱلنَّجْمُ).
    ii- serta ada yang berbatang keras dan besar (ٱلشَّجَر).
  4. Ada juga ulama\’ yang mengatakan (ٱلنَّجْمُ) itu ialah bintang di langit.
    Boleh diterima keduanya, semuanya makhluk Allah s.w.t. Keduanya ada pandangan dari ulama\’ Salaf & Khalaf.

AYAT 7- {DAN LANGIT DIJADIKANNYA (BUMBUNG) TINGGI, SERTA IA MENGADAKAN UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN NERACA KEADILAN,} (AR-RAHMAAN 55:7)

  1. Allah cipta langit itu seperti bumbung yang tinggi, diangkat di atas bumi. Kemudian Allah letakkan neraca keadilan di atas bumi.
  2. Munasabah ayat dengan ayat sebelumnya dalam ayat ini:
    i- Seolah berlawan antara dua kenyataan ini, satu Allah angkat langit & satu lagi Allah letak neraca keadilan di bumi!
    Kenapa Allah tak angkat neraca itu ke langit?

JAWAPAN :
Ini kerana manusia tinggal di bumi kerana itu diletak neraca di bumi!
ii- Apakah tujuannya? Supaya kamu berlaku insof (adil & telus), maka dengan keadilan itulah tertegaknya langit & bumi.

  1. Untuk merealisasikkan keadilan ini, Allah bawa al-Quran & ajaran Rasulullah s.a.w sebagai alat mekanismanya. Maka kita jangan pilih dan ikut yang selain daripadanya, bukan undang-undang ciptaan manusia.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Katakanlah: \”Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepadaNya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepadaNya).} (Al-A\’raaf 7:29)

AYAT 8- {SUPAYA KAMU TIDAK MELAMPAUI BATAS DALAM MENJALANKAN KEADILAN;} (AR-RAHMAAN 55:8)

  1. Kemudian Allah s.w.t berpesan supaya kita tidak melampaui batas yang boleh membawa kepada kezaliman! Kita wajib berlaku adil dalam semua perkara!
  2. Adil mengikut neraca timbangan & panduan Syariah Allah s.w.t! Jika tidak berpandukan kepada wahyu maka berlakulah kekacauan yang banyak!

AYAT 9- {DAN BETULKANLAH CARA MENIMBANG ITU DENGAN ADIL, SERTA JANGANLAH KAMU MENGURANGI BARANG YANG DITIMBANG.} (AR-RAHMAAN 55:9)

  1. Serta betulkan dalam timbangan kamu dengan adil, ikut fakta dan apa yang diajar oleh Allah s.w.t!
    Jangan kita buat dacing tetapi timbang berat sebelah!
  2. Yakni berlaku adillah, jangan berlaku zalim dalam urusan sesama manusia.
    Jangan kurangkan timbangan yakni hak manusia.
  3. Kata Ibnu Asyur rhm. tentang perkataan timbangan (ٱلْمِيزَانِ) ini ada beberapa makna:
    i- jika makna al-Mizan ini ialah keadilan maka ia adalah seruan agar kita berlaku adil, telus & jangan zalim.

ii- jika kata alat penimbang: maknanya larangan dari menipu orang dalam urusan jual-beli dan seumpamanya.

  1. Allah menceritakan dalam al-Quran antara kaum yang banyak khianat dalam timbangan ini ialah:
    {Dan kepada penduduk \”Madyan\” Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib. Ia berkata: \”Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! (Sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi (orang-orang yang bersalah).} (Hud 11:84)
  2. Kaum nabi Syuaib telah binasa dimusnahkan azab seluruhnya tetapi penyakit tipu dalam timbangan ini wujud dan muncul semula pada zaman ini, banyak sekali syarikat dan urusan harian kita yang ada unsur al-Mutaffifin ini.

Syaitan menghidupkanya semula lalu manusia yang jahat nafsu menyambutnya dengan tangan terbuka; sama seperti perbuatan kaum Nabi Lut, LGBT berleluasa kembali bahkan diiktiraf di sesetengah negara!

  1. Mereka ini ialah manusia seperti dalam firman Allah s.w.t ini:
    {Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan),
    Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup,
    Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.
    Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)?
    Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya),
    Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam?} (Al-Mutaffifiin 83: 1-6)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.}- dalam ayat-ayat ini ialah perbincangan tentang nikmat Allah s.w.t yang begitu banyak, kerana itu dimulakan surah ini sifat Allah Yang Maha Pemurah & Melimpah rahmat-Nya serta dinamakan surah ini dengannya.

Allah s.w.t sebut khas salah satu nama-Nya yang indah ini untuk memberi simbol akan rahmat Allah secara bertulis serta betapa agungnya limpah kurnia Allah s.w.t kepada kita.

  1. Ayat 2- {Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran.}- mengikut sanad turutan sebagaimana yang kita sebut tadi.

Maksud Allah yang telah mengajarkan al-Quran:
i- Allah s.w.t ajar kepada Jibril a.s.
ii- Jibril bawanya turun dan ajar kepada Rasulullah s.a.w.
iii- Rasulullah s.a.w ajar kepada para sahabatnya.
iv- sahabat ajar kepada para tabi\’en dan yang selepasnya.
v- dari para tabi\’ tabi\’en sehinggalah kepada kita hari ini sehinggalah ke hari Kiamat.
Yakni pengajaran al-Quran ini bersambung sanadnya.

Ayat ini untuk menolak tohmahan orang kafir yang mengatakan Rasulullah s.a.w belajar al-Quran daripada makhluk/manusia lain. Lalu buat teori sendiri.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa Allah s.w.t berkuasa mengajar atau memberi ilmu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Anugerah Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, ada yang belajar al-Quran terus faham & beramal dengannya! Ada yang bertahun bersama al-Quran tetapi tetap tidak mengamalkan al-Quran sepenuhnya!

Ada juga yang cepat & mudah menghafaznya, ada yang lemah & lama. Al-Quran ini Kalamullah. Dia beri faedahnya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

  1. Ayat 3- {Dia lah yang telah menciptakan manusia;}- dalam ayat ini Allah sebut khas penciptaan manusia tetapi tidak makhluk lain. Kenapa?

Jawapan: Kerana dari jenis makhluk atas dunia ini manusia adalah makhluk yang paling mulia berbanding dengan haiwan & jin.
Ini secara jenis makhluk bukan secara individu kerana ada manusia yang lebih buruk perangainya daripada binatang.

Firman Allah s.w.t:
{Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.} (Al-Furqaan 25:44)

Kemudian Allah sebut Ayat 4- {Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.} – yakni Allah mengajar kita bercakap bertutur untuk melahirkan perasaan & meluahkan menjelaskan apa yang terkandung dalam hati.

  1. Ayat 7- {Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan,}- persoalan kenapa Allah campur dua benda ini dalam satu ayat sedangkan satu di langit & satu di bumi? Dimanakah kedudukan neraca timbanga itu dibandingkan dengan langit?

Jawapan:
i- bukan dilihat kepada saiz timbangan itu besar atau kecil. Ini kerana tidak akan dapat dibandingakn dengan saiz langit.

ii- Tetapi kita lihat kepada kesan & peranannya. Neraca keadilan amat besar kedudukannya di sisi Allah s.w.t kerana dengan sebabnyalah tertegak langit & bumi.
Kerana itulah dicampur diangkat langit & diletakkan neraca keadilan.

  1. Ayat 8- {Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan;}- maka jangan kamu melampaui dalam timbangan kamu. Ayat ini isyarat kepada keadilan.

Lihat kepada susunan ayat ini; Allah mula dengan ilmu. Kemudian Allah nyatakan ilmu apa yang paling baik; iaitu ilmu al-Quran. Maka sesiapa yang nak jadi manusia yang paling baik, jadilah ahli al-Quran.

Kemudian Allah sebutkan keadilan, dalam keadilan itu yang paling nampak ialah dacing/neraca timbangan.

Maka Allah s.w.t turunkan al-Quran & neraca keadilan (iaitu undang-undang yang penuh keadilan) supaya orang ramai beramal dengan al-Quran & keadilan supaya mereka melakukan timbangan dengan adil.

Baru kita nampak Islam itu adil, telus dan baik apabila kita melaksanakan undang-undang Allah s.w.t.
Kesimpulan dari ayat ini: Wajib berlaku adil & haram berlaku zalim dan tidak adil.

Kata ulama\’ salaf, Qatadah rhm. apabila menafsirkan ayat ini:
Wahai anak Adam berlakulah adil kepada orang lain sebagaimana kamu suka orang lain berlaku adil kepada kamu. Tunaikanlah sukatan, timbangan dan apa saja tugasan sebagaimana kamu suka orang lain sempurnakan kepada kamu.

Sesungguhnya keadilan itu membaik pulih keadaan & hubungan manusia.

Powered by BetterDocs