SURAH NUH : AYAT 26-28

\"\"

NABI NUH DOAKAN KEBINASAAN KAUMNYA, SEBABNYA & MENDOAKAN BAGI ORANG BERIMAN.

Full video : https://youtu.be/gIr_1gX9Yog?si=aRLj-p541hVHSTCl

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang apa yang Nabi Nuh a.s doakan selepas habisnya tempoh yang sesuai untuk berdakwah & bersabar.
  2. Kenapa Nabi Nuh a.s doakan kebinasaan kaumnya, bukan supaya mereka mendapat hidayah?
  3. Sebabnya; Allah s.w.t telah menyatakannya dalam al-Quran- bahawa tempoh yang diberi sudah cukup, mereka masih lagi degil keras kepala serta tidak akan ada lagi manusia yang akan beriman kepada Nabi Nuh. Maka Nuh tidak berdoa dengan sewenang-wenangnya!
  4. Nabi Nuh a.s juga mendoakan keampunan bagi dirinya, ibu bapa, keluarga dan bagi seluruh orang beriman.

AYAT 26- {DAN NABI NUH (MERAYU LAGI DENGAN) BERKATA: \”WAHAI TUHANKU! JANGANLAH ENGKAU BIARKAN SEORANGPUN DARI ORANG-ORANG KAFIR ITU HIDUP DI ATAS MUKA BUMI!} (NUH 71:26)

  1. Nabi Nuh a.s terus berdoa dengan merayu kepada Tuhannya: Agar membinasakan semua orang kafir dan jangan tinggalkan walau seorang pun orang kafir atas muka bumi. Yakni kemusnahan yang total, agar mati & binasa semuanya, jangan tinggalkan walaupun seorang { دَيَّارًا}!
  2. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
    {Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Nuh, ketika ia menyeru (berdoa kepada Kami) sebelum (Nabi-nabi yang tersebut) itu, lalu Kami perkenankan doanya serta Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya dari kesusahan yang besar.} (Al-Anbiyaa\’ 21:76)
  3. Doa yang besar kesannya ini dibuat oleh nabi Nuh setelah dia berdakwah sekian lama dengan begitu gigih dan pelbagai cara dakwah telah dilakukan, tempohnya pula bukan sekejap, hampir seribu tahun lamanya!

AYAT 27- {\”KERANA SESUNGGUHNYA JIKA ENGKAU BIARKAN MEREKA (HIDUP), NESCAYA MEREKA AKAN MENYESATKAN HAMBA-HAMBAMU, DAN MEREKA TIDAK AKAN MELAHIRKAN ANAK MELAINKAN YANG BERBUAT DOSA LAGI KUFUR INGKAR.} (NUH 71:27)

  1. Nabi Nuh menyatakan sebab kenapa dia berdoa sedemikian berat kerana nak jaga agama, bukan kerana dendam kesumat:

i- jika mereka kafir ini hidup; mereka akan menyesatkan orang mukmin dan menyekat orang lain daripada menerima kebenaran. Mereka akan memperhiasi apa yang batil agar kelihatan indah dan benar bagi orang mukmin.

  1. Mereka akan merosakkan agama & masyarakat, menjauhkan orang dari agama & sekat dari beriman.
  2. Ini adalah untuk menyelamatkan Aqidah orang mukmin dan bakal mukmin, iaitu maslahah agama!
    Maka boleh kita berdoa untuk kemusnahan mereka!
  3. Mereka ini juga akan melahirkan anak-anak yang kafir dan jahat seperti mereka juga.

Kenapa Nabi Nuh berani menyatakan apa yang belum berlaku lagi ini?

  1. Kata Ibnu Asyur rhm.: Nabi Nuh dapat ilmu & maklumat bahawa puak kafir ini tidak akan melahirkan anak kecuali akan menjadi kafir juga kerana mereka akan mendidik, menbentuk dan melatih anak-anak mereka untuk terus menentang Nuh dan Islam. Maka Nuh berani berdoa begini kerana berdasarkan pengalamannya sebelum ini.
  2. Kata Syeikh al-Biqa\’i rhm. pula: Nabi Nuh a.s tidak akan berani berdoa begini kecuali beliau telah mengetahuinya melalui wahyu yang diterimanya bahawa tidak akan ada lagi orang yang beriman selepas ini!
  3. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
    {Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: \”Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.} (Hud 11:36)
  4. Maka kita dapat fahami bahawa kita tidak boleh sewenang-wenangnya berdoa untuk kebinasaan orang lain kecuali mereka yang jelas & zahir zalim ke atas agama dan orang Islam dengan terang- terangan dan kekufuran yang melampau. Ini kerana kita tidak ada maklumat dari wahyu seperti Nabi Nuh.

Doa pula adalah khas kepada mereka yang zalim, angkuh & takabbur itu sahaja; bukan secara umum kepada semua kaum/jenisnya.

AYAT 28- {\”WAHAI TUHANKU! AMPUNKANLAH BAGIKU, DAN BAGI KEDUA IBU BAPAKU, SERTA BAGI SESIAPA YANG MASUK KE RUMAHKU DENGAN KEADAAN BERIMAN; DAN (AMPUNKANLAH) BAGI SEKALIAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, LELAKI DAN PEREMPUAN (DALAM SEGALA ZAMAN); DAN JANGANLAH ENGKAU TAMBAHI ORANG-ORANG YANG ZALIM MELAINKAN KEBINASAAN!\”} (NUH 71:28)

  1. Selepas berdoa ke atas orang kafir, Nabi Nuh juga berdoa minta kebaikan & keampunan bagi dirinya, kedua ibu bapanya, anak isteri (keluarganya) serta seluruh orang yang beriman. Inilah cara tertib doa yang baik, baik jangan bakhil untuk berdoa kepada orang lain juga.
  2. Kata ulama\’ maksudnya {دَخَلَ بَيْتِىَ} ini ialah:
    i- Yakni sekelian orang beriman yang ada dalam rumahnya, iaitu seluruh keluarganya.

ii- semua orang beriman yang datang berkumpul di masjid atau rumahnya.

iii- ada yang kata ikut agama & Syari\’ahnya.

iv- ada yang kata orang beriman yang naik bahteranya!
Kesimpulannya boleh dikumpulkan semuanya.

  1. Doa Nabi Nuh yang terakhir sebagai penutup ialah supaya Allah s.w.t jangan tambah apa-apa lagi kepada orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!
  2. Allah s.w.t akan binasakan sesuatu kaum itu mengikut apa dosa dan kesalahan yang mereka buat sebagaimana yang kita belajar sebelum-sebelum ini!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 26- {Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: \”Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!}- Nabi Nuh merayu agar Allah s.w.t matikan seluruh orang kafir yang ada atas muka bumi pada masa itu!

Kata ulama\’ itulah doa Nabi Nuh a.s.
Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w hanya berdoa khas ke atas kepala-kepala penyangak Quraisy, kafir yang benar-benar jahat dan mengkhianati Baginda s.a.w & orang mukmin, bukan ke atas semua kaum Quraisy yang ada di Makkah.

Inilah yang kita kena belajar dan buat. Jangan umumkan doa kebinasaan ke atas semua kecuali yang benar-benar zalim dan menyakiti Islam & orang mukmin, yang jelas & melampaui Zahir kekufurannya.

Ayat 27- {\”Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.}-
Orang yang ingin membawa kebaikan dan pembaharuan dalam masyarakat ini kena memikirkan akan masa depan (future) anak-anak kita. Apakah persekitaran yang ada baik dan sesuai untuk iman & Aqidah mereka?

Ini kerana anak itu lahir dalam rumah dan ibu bapa yang kafir maka sudah pasti secara automatik dia akan menjadi kafir juga.

  1. Ayat 26- {Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: \”Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!}-

Persoalan: Kenapa Nabi Nuh mendoakan kebinasaan ke atas kaumnya? Sedangkan dia diutus sebagai rasul, pendakwah, pendidik dan penasihat untuk kaumnya???

JAWAPAN :
Nabi Nuh tidak berdoa sedemikian kecuali setelah kaumnya mencabarnya & mereka tidak ada harapan lagi untuk beriman sebagaimana firman Allah s.w.t ini:

i- {Mereka berkata: \”Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah membantah kami lalu engkau banyakkan sangat hujjah-hujjah semasa mengemukakan bantahanmu kepada kami; oleh itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar\”.} (Hud 11:32)

ii- {Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: \”Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.} (Hud 11:36)

Yakni Nabi Nuh tidak mudah-mudah berdoa meminta kebinasaan kaumnya kecuali setelah berusaha berdakwah dengan pelbagai uslub dan cara dan segala nasihat & amaran telah diberikan serta ada wahyu dari Allah.

  1. Ayat 26- {Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: \”Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!}-
    i- Persoalan: Macamana Nabi Nuh tahu bahawa puak ini akan mati kafir tanpa beriman?

JAWAPANNYA :

i- berdasarkan kepada nas (wahyu dari Allah s.w.t)
ii- berdasarkan analisa & kajian yang dibuat oleh Nabi Nuh a.s setelah 950 tahun dia bersama mereka!
Dia kenal mereka, sifat & perwatakan mereka dengan mendalam dan jelas! Dia telah melihat macamana anak cucu mereka membesar dengan sifat zalim dan khianat sebagaimana bapa & datuk mereka juga! Yakni kaumnya itu memang zalim dan memberi ancaman terhadap agama.

Ini tidak bercanggah dengan firman Allah s.w.t ini:
{Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!\” Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).} (An-Naml 27:65)
Kerana memang Nabi Nuh mendapat wahyu & ilmu dari Allah s.w.t dan berdasarkan analisa pengalamannya.

ii- Persoalan macamana Nabi Nuh kata anak-anak mereka akan kafir & jahat juga? Ini seolah dalil kepada pandangan muktazilah yang mengatakan anak orang kafir akan menjadi kafir juga.

JAWAPAN :

Tidak, ayat ini hanya khas kepada anak-anak orang kafir dalam kaum Nabi Nuh sahaja, nabi Nuh kata tentang anak kaumnya sahaja!

Anak-anak orang kafir yang mati sebelum cukup umur; ulama\’ berbeza pandangan tentang apakah mereka akan diazab seperti ibu bapa mereka juga atau bagaimana?

Panjang sekali perbahasannya; ulama\’ berbeza pandangan, Ibnul Qayyin menyebut 8 pandangan mazhab tentangnya dalam Kitabnya.
Mazhab kelapan mengatakan mereka ini akan dikumpulkan dan diuji di akhirat nanti.
Wallahu a\’lam.

  1. Ayat 28- {\”Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman);}- Nabi nuh a.s tidak lupa untuk mendoakan untuk dirinya & semua orang yang beriman.

Ini adalah adab & cara tertib dalam berdoa: Kita berdoa dengan mulakan kepada diri kita sendiri, kemudian kepada ibu bapa, keluarga anak isteri & jangan lupa kepada semua muslimin & muslimat.

Ahli tafsir juga membuat analisa bahawa doa Nabi Nuh ini menunjukkan bahawa ibu bapanya adalah orang yang beriman, kerana itu dia berdoa agar Allah s.w.t mengampunkan mereka.

Jika kafir pasti akan dilarang berdoa untuk mereka sebagaimana kisah Nabi Ibrahim a.s yang dilarang dari berdoa kepada bapanya yang tidak beriman!

Yakni: Doa untuk mendapat hidayah tidak mengapa, doa untuk mendapat keampunan bagi orang yang tidak beriman tidak boleh!

Ayat ini juga membawa khabar gembira bagi setiap orang mukmin dan mukminat sehingga ke hari Kiamat kerana Nabi Nuh telah berdoa untuk semuanya, kemudian datang orang terkemudian, berdoa sebegini juga, maka termasuk juga kita dan semua mukmin bermula dari Nabi Adam a.s, sehingga ke hari Kiamat, Insya\’ Allah.

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa mayat mendapat manfaat daripada doa orang lain. Ittifaq ulama\’ bahawa doa sampai kepada orang mati tanpa khilaf sebagaimana sedekah atau infaq harta, sebagaimana cara yang telah ditetapkan oleh Syara\’.
Manakala baca al-Quran & sedekah pahala solat dan lain-lain ibadat ada khilafnya!

  1. Ayat 28- {\”Wahai Tuhanku! Dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!\”}
    Timbul persoalan: Kenapa Nabi Nuh a.s mendoakan secara umum, bagaimana dengan kanak-kanak yang belum cukup umur & tidak berdoa? Kenapa tidak diselamatkan mereka?

JAWAPAN :

i- kata al-Hasan al-Basri rhm.: Allah s.w.t tahu bahawa kanak-kanak itu tidak berdosa, maka mereka hanya mati tetapi tidak kena azab.

ii- mereka mati bukan atas nama siksaan tetapi atas nama bencana. Sebab kematian itu berbeza tetapi maut itu tetap sama & satu!

iii- kata Fakharuddin ar-Razi rhm.: Dikatakan ada cerita yang mengatakan sebelum berlakunya banjir itu dalam tempoh 40 atau 90 tahun, Allah s.w.t telah keringkan air mani kaum Nuh a.s maka mereka tidak melahirkan anak kecil lagi, maka yang binasa adalah orang yang dewasa & tua sahaja.
Ini hanya riwayat yang tidak dipastikan kesahihannya.

Ini berdasarkan ayat sebelum ini, di mana Nabi Nuh menyuruh mereka meminta ampun kepada Allah s.w.t:
Ayat 10- {\”Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.} ini adalah agar:

Ayat 12- {\”Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak;}

Tetapi mereka tidak melakukannya (beristighfar) maka mereka tidak mendapat anak dalam tempoh itu sehinggalah turunnya bala kemusnahan ke atas mereka. Wallahu a\’lam.

Alhamdulillah tamatlah surah Nuh ini semoga kita mendapat kefahaman dan pengajaran yang sepatutnya.

Ya Allah s.w.t cerahkan hati kami, lapangkan dada kami & buka pemikiran kami untuk menimba ilmu & beramal dengan al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w. Sebagaimana sabarnya Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya hampir 1000 tahun tanpa jemu.

Powered by BetterDocs