SURAH AL-HAQQAH : AYAT 19-24

\"\"

PENERIMA SURAT AMALAN DENGAN TANGAN KANAN, PENUH KECERIAAN & MENERIMA BALASAN PENUH NIKMAT.

Full video : https://youtu.be/S6LKTNAadfQ

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang orang yang menerima surat amalan dengan tangan kanan, mereka penuh keceriaan dan kebahagiaan.
  2. Orang yang bertaqwa kepada Allah (al-Muttaqin) akan menerima balasan penuh nikmat.
  3. Mereka ini mendapat kebahagiaan kerana mereka yakin akan kebangkitan semula dan akan hari perhitungan dan pengadilan.
  4. Maka mereka membuat persiapan agar hitungan amalannya diredhai Allah maka timbangannya berat yang baik lalu akan mendapat kitab dengan tangan kanan Insya\’ Allah.

Ya Allah jadikan kami daripada golongan yang kanan ini!

  1. Munasabah ayat dengan ayat yang lepas:
    i- Allah s.w.t sebut dalam ayat yang lepas bahawa semua perkara akan dibentangkan laporannya di hadapan Allah s.w.t dan Allah s.w.t sifat-Nya Yang Maha Mengetahui tiada yang tersembunyi daripada ilmu-Nya.

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t ceritakan tentang hari pembentangan dan pembalasan itu secara terperinci.
Kumpulan pertama yang Allah ceritakan ialah orang yang diberi kitab amalannya dengan tangan kanan.

Ini ialah dalil awal bahawa dia telah selamat & tidak akan ke neraka! Maka diapun bergembira dan menunjukkan Kitabnya kepada orang sekelilingnya!

AYAT 19- {MAKA SESIAPA YANG DIBERIKAN MENERIMA KITAB AMALNYA DENGAN TANGAN KANANNYA, MAKA IA AKAN BERKATA (DENGAN SUKACITANYA KEPADA SESIAPA YANG ADA DI SISINYA): `NAH! BACALAH KAMU KITAB AMALKU INI!} (AL-HAAQQAH 69:19)

  1. Maka orang yang mendapat kitab amalannya dengan tangan kanan dia amat gembira dan menunjukkan kepada orang sekelilingnya dengan sukacitanya. Amat bangga dan gembira dengan Kitabnya yang baik.
  2. Kata-kata hikmah:
    Seorang yang tidur tidak tahu bahawa dia bermimpi sehinggalah dia sedar & bangun dari tidurnya!

Demikianlah manusia yang lagha, lalai dan lupa kepada Allah; dia tidak akan sedar sehinggalah dia mati!
Bila dah mati beru teringat nak beramal dan minta hidup balik!

  1. Kata al-Biqa\’i rhm.: Maksudnya dia menunjukkan Kitabnya dengan gembira
    {هَآؤُمُ ٱقْرَءُوا۟ كِتَـٰبِيَهْ}
    kepada orang sekelilingnya hatta kepada malaikat yang ada bersama.
    Pada hari itu kita sudah boleh nampak malaikat.
  2. Ibnu Asyur rhm. kata- dia tunjuk hanya kepada orang yang baik-baik juga, iaitu kumpulan tangan kanan yang ada dekatnya sahaja. Orang celaka dan kumpulan tangan kiri sudah tidak bersama lagi ketika itu.
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya,
    Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,
    Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.} (Al-Insyiqaaq 84: 7-9)
  4. Hadis dari ibnu Uma r.a bahawa Rasulullah s.a.w:

يدنى المؤمن يوم القيامة من ربه حتى يضع كنفه عليه، فيقرره بذنوبه، فيقول‏:‏ أتعرف ذنب كذا‏؟‏ أتعرف ذنب كذا‏؟‏ فيقول‏:‏ رب أعرف قال‏:‏ فإني قد سترتها عليك في الدنيا، وأنا أغفرها لك اليوم، فيعطى صحيفة حسناته‏\”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏

Sesungguhnya di Akhirat kelak, Allah s.w.t dekat dengan hamba-hamba-Nya, kemudian Dia letakkan penutup (tudung) ke atas mereka lalu bertanya kepada mereka:
Apakah kamu tahu dosa yang kamu lakukan ini?
(Pada hari itu tidak dapat berdalih lagi) lalu diakuinya: Ya Tuhanku aku tahu, sehinggalah habis dia mengakui kesemua dosanya.
Kemudian Allah berfirman kepadanya:
Sebagaimana Aku tutup/sembunyikan dosamu semasa di dunia dulu, maka Aku ampunkannya bagimu pada hari ini. Kemudian diberikan kitab amalannya yang baik (dengan tangan kanan). [HR Bukhari & Muslim].

  1. Ya Allah sembunyikanlah kesalahan kami di dunia dan juga di akhirat, berikanlah keampunan dan rahmat-Mu!
  2. Kata ulama\’ salaf: Jikalah dosa itu berbau, tiada siapa yang sanggup duduk dekat kita!

AYAT 20- {\”SESUNGGUHNYA AKU TELAH MENGETAHUI DENGAN YAKIN, BAHAWA AKU AKAN MENGHADAPI HITUNGAN AMALKU (PADA HARI YANG DITENTUKAN)!\”} (AL-HAAQQAH 69:20)

  1. Orang yang gembira itu berkata lagi:
    i- Ini terjadi kerana aku di dunia dulu aku
    { أَنِّى مُلَـٰقٍ حِسَابِيَهْ}
    yakin bahawa aku akan dibangkitkan semula di Akhirat, segala amalanku akan dihitung dihisab dan akan menerima suratan amalan ini!

ii- Maka aku bersungguh dan bersemangat untuk melakukan amal ibadat yang baik sebagai persiapan untuk bertemu dengan Allah pada saat yang amat dahsyat ini!

  1. Ya Allah berikanlah kami hisab- kira-kira amalan yang mudah dan senang!

AYAT 21- {MAKA (DENGAN ITU) TINGGALAH DIA DALAM KEHIDUPAN YANG SENANG LENANG LAGI MEMUASKAN, -} (AL-HAAQQAH 69:21)

  1. Maka hiduplah dia dalam kehidupan yang senang-lenang dan indah, aman dari segala bencana dan azab yang mengancam. Redha dan gembiran dengan kurnia Allah s.w.t!
  2. Hadis tentang ahli syurga:
    i- riwayat dari Abu Hurairah r.a tentang keadaan ahli syurga: Sabda Rasulullah s.a.w:

مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ يَنْعَمُ وَلَا يَبْأَسُ، وَلَا تَبْلَى ثِيَابُهُ، وَلَا يَفْنَى شَبَابُهُ

Ertinya: \”Barangsiapa yang menjadi ahli syurga maka dia akan mendapat nikmat dengan tidak akan putus, pakaiannya tidak akan binasa dan tidak akan hilang mudanya.\” [HR Muslim].
Ahli syurga tidak akan tua selamanya.

ii- Hadis riwayat dari Abu Said al-Khudri & Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

Malaikat penyeru berseru kepada ahli syurga: Sesungguhnya kamu akan hidup dan tidak mati selamanya, kamu akan sihat dan tidak sakit selamanya, kamu akan muda dan tidak akan tua selamanya, kamu akan bergembira dan tidak akan bersedih selamanya.

ITULAH SYURGA SEBAGAIMANA FIRMAN ALLAH S.W.T INI :

{Dan (dikatakan lagi kepada mereka): \”Inilah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan\”.} (Az-Zukhruf 43:72). [HR Muslim].

AYAT 22- {DI DALAM SYURGA YANG TINGGI (DARJATNYA), -} (AL-HAAQQAH 69:22)

  1. Mereka berada di dalam syurga yang tinggi darjatnya, bangunan atau mahligainya tinggi, pokok-pokoknya juga tinggi.
  2. Dalam syurga juga ada kedudukan dan darjatnya yang berbeza-beza mengikut pula banyak sedikit sempurna lengkap amalan seseorang itu.

AYAT 23- {BUAH-BUAHANNYA DEKAT UNTUK DIPETIK.} (AL-HAAQQAH 69:23)

  1. Tetapi walaupun pokoknya tinggi, buah-buahannya tetap rendah dan dekat dengan kamu!
  2. Yakni buah-buahan di dalam syurga itu dekat dengan ahlinya, bila-bila masa dikehendaki mudah dipetik, senang diambil untuk dimakan.
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Dan buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya.} (Al-Insaan 76:14)
  4. Kerja kita sekarang berusaha mencari jalan mencari ibadat dan amalan yang dapat memasukkan kita ke dalam syurga, jangan tunggu mati baru nak menyesal!

AYAT 24- {(MASING-MASING DIPERSILAKAN MENIKMATINYA DENGAN DIKATAKAN): \”MAKAN DAN MINUMLAH KAMU MAKANAN DAN MINUMAN SEBAGAI NIKMAT YANG LAZAT DAN BAIK KESUDAHANNYA, DENGAN SEBAB (AMAL-AMAL SOLEH) YANG TELAH KAMU KERJAKAN PADA MASA YANG LALU (DI DUNIA)!\”} (AL-HAAQQAH 69:24)

  1. Ahli syurga itu dipersilakan untuk menikmati segala nikmat anugerah yang ada. Makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat, baik dan tidak memberi mudharat & penyakit.
  2. Yakni mereka makan bukan kerana lapar tetapi kerana untuk berseronok dan berlazat. Dalam syurga tiada kubur, tandas atau hospital!
  3. Semua nikmat ini adalah dengan sebab { بِمَآ أَسْلَفْتُمْ} amal-amal soleh yang kamu lakukan atas dunia dulu! Huruf ba yang bererti dengan sebab- (باء السببية).
  4. Ayat ini juga ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t:
    i- {Dan (dikatakan lagi kepada mereka): \”Inilah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan\”.
    \”Kamu beroleh di dalamnya berbagai jenis buah-buahan, untuk kamu makan daripadanya\”. (Az-Zukhruf 43:72-73)

ii- {(Dan dikatakan kepada mereka): \”Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang lazat serta baik kesudahannya, dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan\”.} (At-Tuur 52:19)
Ini semua menunjukkan balasan itu dengan sebab amalan yang kamu lakukan.

  1. Syurga itu nikmat besarnya, jalan kepadanya penuh berliku. Lakukanlah amal ibadat yang diperintahkan, tinggalkan segala maksiat yang dilarang, kita berpegang dengan Sunnah untuk melayakkan kita layak ke syurga yang dijanjikan Allah s.w.t ini!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 19- {Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): ` Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!}-

KATA ULAMA\’ TAFSIR DAN TADABBUR :

i- ayat ini menjadi dalil bahawa seseorang itu tidak akan panggil atau kongsi untuk tunjukkan surat amalannya kecuali apabila sudah tidak ada lagi rekod amalan buruknya di dunia.
Hanya yang ada rekod yang baik-baik sahaja, Allah sudah tutup dan buang semua yang hitam tinggal yang baik-baik saja.

Maka tenanglah hatinya dan beranilah dia tunjuk kepada orang lain.
Bahagialah orang yang diberi suratan dengan tangan kanan, orang yang taat kepada Allah & Rasul di dunia dulu.

ii- ayat ini juga menjadi dalil bahawa sunat kita menggunakan dan memulakan dengan tangan kanan dalam perkara yang baik & mulia.

Contoh dalam kehidupan seharian kita; mulakan kaki/tangan untuk masuk masjid, keluar tandas, pakai selipar, baju & terutamanya makan-minum.

  1. Hadis riwayat dari UM Aisyah :
    \”Nabi S.A.W menyukai melakukan sesuatu daripada sebelah kanan ketika memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap amalan yang dilakukannya.\” (HR al-Bukhari)
  2. Kata UM Aisyah r.a lagi- Baginda gunakan tangan kiri untuk beristinja\’ atau buat perkara-perkara lain yang sebaliknya.
  3. Sabda Rasulullah s.a.w juga orang yang makan dengan tangan kiri adalah syaitan:
    Jika seseorang di antara kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum maka hendaklah juga minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula. [HR Muslim].
  4. Ayat 19- {Maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): `Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!} & Ayat 20- {\”Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)!\”}- ini menunjukkan bahawa keyakinan orang beriman bahawa dia akan bertemu dengan Allah dan menerima rekod amalannya yang bersih.

i- kata al-Hasan al-Basri apabila menafsirkan ayat ini:
Orang mukmin kerana dia bersangka baik; yakin dia akan bertemu dengan Allah s.w.t di akhirat kelak maka diperbaikkan amalannya. Dia tidak mahu di akhirat kelak amalan buruknya akan ditayangkan!

Sebagaimana kata DAAM: Buku amalan yang kita hendak terima nanti; Kitalah penulisnya. Maka tulislah yakni isilah dengan yang baik-baik agar tidak menyesal nanti apabila bertemu Allah di Akhirat.

ii- Manakala orang munafiq kerana dia sangka buruk, tidak percaya akan hidup balik, tidak yakin akan dihisab, maka buruklah amalannya!

Kata ulama\’ lain pula: Aku dapati orang yang bijak ialah siapa yang baca ayat ini {19 & 20} maka dengan sangkaanya yang kuat dan penuh yakin itu maka dia akan buat persiapan yang sempurna maka dia akan bertemu dengan apa yang diyakininya itu!

6. Ayat 20- {\”Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)!\”}- { إِنِّى ظَنَنتُ أَنِّى مُلَـٰقٍ حِسَابِيَهْ}- timbul persoalan kenapa Allah s.w.t guna perkataan {ظَنَّ} iaitu yang bermakna sangka (zhon) kenapa tidak kata yakin terus??

JAWAPAN :

i- Sesungguhnya perkataan {ظَنَّ} itu dengan makna bahawa aku yakin.

ii- Kata ulama\’ tafsir adh- Dhohak rhm. (الضحاك); jika Allah s.w.t sebut dalam al-Quran perkataan {ظَنَّ} sangka bagi orang mukmin maka ia adalah dengan makna yakin. Manakala sangkaan bagi orang kafir adalah dengan makna syak wasangka!

a) Antara kaedah untuk membezakan makna zhon {ظَنَّ} ini antaranya ialah:
i- jika zhon yang memberikan pulangan pahala itu maknanya yakin

ii- jika zhon yang dicela dan janji siksa maka itu ragu dan tidak yakin!

b) Dari segi bahasa Arab pula:
i- Kalimah {ظَنَّ} jika selepasnya diikuti dengan perkataan { أَن/ إِن} an/in- iaitu nun mati & alif baris atas atau bawah- maka dia membawa erti syak dan ragu!

CONTOHNYA DALAM FIRMAN ALLAH S.W.T INI :

{Jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah.} (Al-Baqarah 2:230)

{(Itu bukanlah sebabnya) bahkan sebabnya kamu telah menyangka bahawa Rasulullah dan orang-orang yang beriman (yang pergi berperang akan binasa semuanya dan) tidak akan kembali lagi…} (Al-Fath 48:12)

ii- Manakala Kalimah {ظَنَّ} jika ada selepasnya perkataan { أَنِّى} anni-nun bersabdu (نون المشددة) dan hidup (ada baris) maka dia membawa makna perkataan penuh yakin.
Contoh; Ayat 20 hari ini { ظَنَنتُ أَنِّى}.

Inilah kelebihan dan keindahan ayat-ayat al-Quran yang tinggi mukjizatnya!

7. Ayat 22- {Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya), -} – persoalan: bukankah dalam syurga itu ada darjat/tingkatannya berbeza? Jadi kenapa dalam ayat ini seolah semua syurga itu tinggi?

JAWAPAN :

i- ini menunjukkan bangunan syurga itu yang tinggi. Syurga itu darjatnya semuanya tinggi, cuma ada pula tarafnya samada tingkat atau levelnya ada yang berbeza pula!
Penghuninya ditingkat yang berbeza bergantung kepada tahap kualiti dan kuantiti amalan mereka.

Contohnya kita duduk di hotal yang tinggi bangunannya, tetapi berbeza pula tingkatnya ada yang tinggi ada yang rendah, ada yang teratas dan termahal sekali iaitu penthouse.

Ya Allah jadikan kami dari ahli syurga yang tinggi!

8. Ayat 24- {(dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!\”} – yakni kamu mendapat nikmat syurga itu dengan sebab amalan kamu dulu.

Ayat ini menunjukkan sebab itu diambil kira. Kamu masuk syurga itu dengan sebab amalan kamu dulu.

Tetapi kenapa dalam hadis Rasulullah s.a.w bersabda:

عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ – رواه مسلم –

Dari Jabir r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
\”Tidak seorang pun dari kamu yang dimasukkan syurga dengan sebab amalnya semata, dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat dari Allah.\” (HR. Muslim).

Ia seolah bertentangan, jadi macamana kita nak taufikkan (satukan) ayat ini dengan hadis ini?

JAWAPAN :

i- hadis ini tidak menafikan ayat al-Quran. Ayat ini menyatakan huruf ba sebagai sebab; dengan sebab kamu beriman, kamu jadi orang baik, beramal soleh maka kamu mendapat balasannya yang baik! Dalam ayat ini huruf ba adalah ba dengan makan penyebab (باء السببية)

ii- manakala maksudnya {بِ} dalam hadis Rasulullah itu adalah dengan makna bi (dengan) ba muqabalah (باءَ المقابلةِ), iaitu seolah sebagai upah atau bayaran. Kita tidak boleh masuk syurga dengan sebab amalan kita saja kecuali dengan rahmat Allah.

Tetapi dengan sebab kita beramal kita layak mendapat balasan baik, rahmat dan kasih-sayang Allah s.w.t!

SATU CERITA UNTUK MOTIVASI :

Ibnu Umar r.a keluar ke pinggir kota Madinah dengan beberapa sahabatnya.
Mereka mengeluarkan sufrah hidangan untuk makan dan melihat seorang pengembala kambing lalu memanggilnya makan bersama.

Kata pengembala kambing itu: Maafkan aku, aku berpuasa.

TERKEJUT IBNU UMAR R.A DAN PARA SAHABATNYA DAN BERKATA :

\”Engkau berpuasa pada hari yang panas seperti ini sedangkan engkau sedang menggembala kambing di antara pergunungan?\”

Lalu dia menjawab: Aku sedang menyiapkan diriku untuk bekalan mencari pahala, sebagai persiapan di hari perhitungan dan pembalasan.

Kerana esok Allah s.w.t akan pangil sesiapa yang berbuat amalan baik semasa di dunia- {Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!}
[Kisah dikeluarkan oleh al-Baihaqi dari \”al-JamiLi Syuabil Iman\”]

Bagaimana seorang pengembala kambing, orang kampung memberi tazkirah realiti kepada seorang sahabat yang hebat.
Ia juga semoga memberi kesan yang besar kepada kita, marilah kita belajar dan ambil contoh dari mereka yang soleh dan baik amalannya.

Ya Allah, jadikanlah kami dari orang yang rajin beribadat dan mengerjakan kebaikan sebagai bekalan untuk hari Akhirat kelak, sehingga dikatakan kepada kami: Makan dan minumlah nikmat ini sebagai balasan bagi amalan kamu!

Powered by BetterDocs