SURAH AL-HASYR : MUQADDIMAH

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISATI SURAH, KELEBIHAN SURAH & MUNASABAH ANTARA SURAH.

Full video : https://youtu.be/rKJSZVXq3V8

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Sabtu 08 Jumadal Ula 1444H = 03/12/2022 pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Hasyr – سورة الحشر.
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita ke syurga-Nya.
  3. Surah Al-Hasyr adalah surah ke-59 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-Mujadilah, dalam juz ke 28, mengandungi 24 ayat. Termasuk dalam kumpulan surah Mufassal (المفصل) surah yang pendek-pendek.
  4. Sepakat para ulama\’ (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini Madaniiyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Hasyr – { الحشر} yang bererti perhimpunan musuh pada suatu tempat. Kerana pada awal surah ini iaitu pada ayat kedua, Allah s.w.t menegaskan bahawa Allah-lah yang mengusir keluar puak yahudi dari kampung mereka di Madinah buat julung-julung kalinya kerana mereka berhimpun untuk melawan Rasulullah s.a.w.

Fakta: Yahudi dihalau keluar dari Madinah sebanyak dua kali. Pengusiran pertama ini dan pengusiran kedua pada zaman Sayyidina Umar al-Khattab r.a; dari Khaibar, pinggir bandar Madinah ke Syam.

  1. Dalil namanya- dari Said bin Jubair rhm. yang berkata: Aku bertanya kepada Ibnu Abbas r.a tentang surah al-Hasyri ini. Katanya: Surah ini diturunkan menceritakan kejahatan puak yahudi Bani Nadhir. [Riwayat Bukhari].
  2. Pengusiran kedua mereka adalah pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a yang mendengar sabda Rasulullah s.a.w: \”Tidak akan berkumpul di dua agama di Jazirah Arab!\”.

Kerana dia mahu merealisasikan sabda ini lalu yahudi yang beragama lain itu dihalau dari Khaibar, keluar dari Semenanjung Tanah Arab terus, mereka lari keluar ke Syam dan berkumpul di di situ pula.

  1. Namanya yang kedua ialah surah Bani an-Nadhir (النضير). Iaitu kerana kisah bani Nadhir yang dihalau keluar dalam surah ini.
    Kata Ibnu Hajar: Kenapa Ibnu Abbas r.a seolah tidak suka surah ini dinamakan dengan surah al-Hasyri? Ini kerana dia takut manusia keliru kerana al-Hasyri adalah salah nama atau ciri-ciri hari Kiamat juga.
  2. Kata Ibnu Asyur rhm.: Banyak perbincangan tentang isu ini. Boleh jadi juga kerana Ibnu Abbas mahu memberitahu bahawa surah ini mempunyai dua nama, iaitu:
    i- surah al-Hasyri
    ii- Surah Bani Nadhir.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Antara lain menerangkan kisah pengusiran satu puak kaum yahudi yang diusir keluar dari Madinah oleh Rasulullah s.a.w atas sebab khianatnya mereka terhadap Nabi & umat Islam.
    Kisah Bani an-Nadhir dan lain-lain yahudi yang ada di Madinah boleh baca Buku Madinah. [boleh didapati dii https://dartaibah.com/ ]
  2. Mereka ditimpa azab yang demikianlah kerana mereka menentang perintah Allah & rasul-Nya s.a.w. Ingatlah sesiapa yang menentang perintah Allah, sesungguhnya Allah s.w.t itu amat berat azab siksaan-Nya.
  3. Kemudian Allah s.w.t menerang perihal orang Islam dari kaum kaum Mujahirin & Ansar serta sifat mereka yang mulia.
    Ayat 9: {Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.} (Al-Hasy-r 59:9)
  4. Juga disebut perihal umat Islam yang berkembang & datang selepas itu:
    {Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: \”Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu\”.} (Al-Hasy-r 59:10)
  5. Setelah itu Allah memberi misal perbandingan tentang al-Quran yang mempunyai pelbagai pengajaran serta menjadi hidayah pertunjuk. Ayat 21.
    {Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.} (Al-Hasy-r 59:21)

Yakni jika al-Quran diturunkan ke atas sebuah gunung serta ia diberi akal fikiran untuk memahami al-Quran tentulah ia akan khusyuk serta pecah belah kerana takut, gerun kepada kemurkaan Allah jika ia mencuaikan suruhan-Nya dan melanggar larangan-Nya.
Bagaimana pula halnya dengan manusia yang masih keras membatu hatinya dan masih berdegil dalam keingkarannya!

OBJEKTIF/ MAQASID SURAH AL-HASYRI- سورة الحشر TAFSIR MUHARRAR :

  1. Allah ceritakan dalam surah ini kisah peperangan dengan Bani Nadhir dan pertolongan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan Allah s.w.t tinggalkan puak kafir dalam kesesatan.
  2. Menyebut sebahagian dari nama-nama Allah yang Maha Indah & sifat-Nya Yang Maha Tinggi.

TAJUK-TAJUK SURAH :

  1. Allah s.w.t buka/mulakan surah ini dengan mensucikan Allah s.w.t dari segala perkara yang tidak layak bagi-Nya { سَبَّحَ لِلَّهِ}. Serta menzahirkan kemulian Allah dan hikmah-Nya dalam mentadbir seluruh perkara ini.
  2. Allah s.w.t cerita tentang peperangan bani Nadhir dan bagaimana Allah s.w.t mudahkan urusan kaum muslim untuk menghalau mereka keluar dari Madinah. Sedangkan mereka mempunyai sebuah kota yang kukuh dan besar (مَّانِعَتُهُمْ حُصُونُهُم) dengan persiapan senjata & tentera yang begitu lengkap.

Tetapi Allah s.w.t campakkan dalam hati mereka perasaan gerun dan takut kepada Rasulullah s.a.w lalu mereka mengundur diri untuk keluar dengan hanya dibenarkan membawa harta kekayaan sekadarnya yang terpikul oleh unta mereka. Merekapun tidak dibenarkan membawa senjata.

  1. Allah menceritakan tentang pembahagian harta yang ditinggalkan oleh bani Nadhir. Bagaimana Allah s.w.t memberi bimbingan kepada Rasulullah s.a.w untuk membuat pembahagian yang cukup cantik iaitu hukum al-Fai\’ (أحكام الفيء).

Tentang harta rampasan dari puak kafir:
i- Harta yang didapati dari peperangan yang berlaku pertempuran dipangil al-Ghanimah (الغنيمة).

ii- Manakala yang ditinggalkan oleh orang kafir tanpa peperangan ialah al-Fai\’ (الفيء).

  1. Allah s.w.t puji sahabat Rasulullah s.a.w dari kaum Ansar yang amat prihatin dan bersimpati kepada para sahabat Muhajirin yang datang dari jauh meninggalkan kampung halaman dan harta. Inilah kestabilan pemerintahan Rasulullah s.a.w yang cukup harmoni.
  2. Mendedahkan konspirasi dan permainan jahat yang dibuat oleh golongan munafiq untuk melawan & khianat kepada Rasulullah s.a.w & kaum muslim. Mereka bersekongkol dengan kaum yahudi semata-mata nak lawan orang Islam. Allah s.w.t dedahkan tembelang & sifat mereka yang licik, penuh tipu-daya, suka bersumpah dusta, untuk kita tadabbur ambil pengajaran darinya.
  3. Allah s.w.t sifatkan yahudi & munafiq ini sebagai satu golongan yang penakut dan pengecut dan pemecah belah masyarakat.
    Allah buat bandingan cara kelicikan munafiq dan yahudi untuk menjatuhkan umat Islam sama seperti kelicikan tipu-daya syaitan kepada orang kafir dan mereka akan menyesal di akhirat kelak yang tiada faedah lagi!
  4. Allah s.w.t beri bimbingan supaya orang Islam sentiasa bertaqwa kepada Allah s.w.t serta larangan dari meniru perangai dan perbuatan orang fasiq yang jahat & sentiasa khianat. Mereka berpakat merancang untuk menghina & menjatuhkan Islam bahkan merancang untuk membunuh Rasulullah s.a.w.

Sangat jauh beza dan jarak antara orang yang betul-betul beriman dengan golongan munafiq & kufur ini!

  1. Allah s.w.t jelaskan keagungan dan kemuliaan al-Quran. Dinyatakan orang yang baca al-Quran dengan khusyuk, faham & tadabbur hatinya akan menjadi khusyuk dan adalah ahli Quran.
  2. Allah s.w.t akhiri seorang yang mulia ini dengan menyebut beberapa nama Allah s.w.t yang indah (أسماء الحسنى) & sifat-Nya yang Maha tinggi iaitu dalam 3 ayat yang terakhir surah ini.

هُوَ ٱللَّهُ ٱلَّذِى لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَـٰلِمُ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ ۖ هُوَ ٱلرَّحْمَـٰنُ ٱلرَّحِيمُ 77
هُوَ ٱللَّهُ ٱلَّذِى لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْمَلِكُ ٱلْقُدُّوسُ ٱلسَّلَـٰمُ ٱلْمُؤْمِنُ ٱلْمُهَيْمِنُ ٱلْعَزِيزُ ٱلْجَبَّارُ ٱلْمُتَكَبِّرُ ۚ سُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ 7٣
هُوَ ٱللَّهُ ٱلْخَـٰلِقُ ٱلْبَارِئُ ٱلْمُصَوِّرُ ۖ لَهُ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ ۚ يُسَبِّحُ لَهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ 7٤

Allah kumpulkan beberapa nama & sifat Allah s.w.t ini supaya kita tahu & kenal.

MUNASABAH SURAH AL-HASYR – سورة الحشر DENGAN SURAH AL-MUJADILAH – سورة المجادلة SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Mujadilah – terzahir melalui 3 sudut iaitu:

  1. Disebut dalam surah al-Mujadilah kumpulan yang menentang Allah & Rasul-Nya (ٱلَّذِينَ يُحَآدُّونَ) serta bagaimana dalam peperangan Badar berlaku pertembungan antara anak-beranak dan kaum keluarga yang tidak dapat dielakkan.
    Maka dalam surah ini Allah s.w.t sebut sesiapa yang menentang Allah & Rasul-Nya iaitu kaum yahudi Bani Nadhir di Madinah yang telah khianat dalam batasan perjanjian mereka selepas peperangan Badar dan membuat satu perbuatan yang tidak dapat dimaafkan.
  2. Dalam surah Mujadilah Allah nyatakan tentang akan beri pertolongan & kemenangan kepada Rasul-Nya dan kepada kaum muslimin.
    Dalam awal surah al-Hasyri dinyatakan tempat kemenangan itu iaitu dalam kepungan terhadap Bani Nadhir di mana Allah campakkan perasaan gerun dalam hati mereka lalu mereka menyerah kalah sendiri.
  3. Dalam surah al-Mujadilah; Allah s.w.t dedahkan sebahagian karenah munafiq & yahudi yang berkasih sayang sesama mereka.
    Dalam surah ini Allah s.w.t sebut apa yang terjadi kepada yahudi dan dedahkan sifat munafiq yang begitu jahat mahu membela kaum yahudi.

Untuk maklumat lanjut boleh baca buku sejarah Madinah susunan Abu Anas Madani :
https://dartaibah.com/

  1. Dalam bab Peperangan:
    i- Yahudi pertama yang khianat ialah: yahudi bani Qainuqa\’ iaitu selepas peperangan Badar. Selepas Islam bertapak di Madinah usaha pertama yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w ialah membuat perjanjian damai dengan kaum yahudi Madinah. Rasulullah s.a.w amat berhati-hati dalam perjanjian ini dan memeterainya secara bertulis. Kaum muslim tidak pernah mengkhianati dan mempertikaikan isi-kanduangannya.

Yahudi yang terkenal dengan sifat asli mereka yang berkait rapat dengan penipuan, pembelotan dan pengkhianatan mulai belot dan khianat, membuat huru-hara untuk menggoyahkan perpaduan umat Islam.

Selepas kaum Islam menang besar dalam peperangan Badar pada tahun ke-2 H, mereka mulai sakit hati dan membuat kejahatan sehingga terbatal perjanjian dan Rasulullah s.a.w memerangi mereka. Kisah lanjut mereka ada dalam surah lain.

ii- Kejahatan yahudi tidak terhenti, ia kemudian disambung oleh bani Nadhir yang juga buat perangai dan khianat tetapi Rasulullah s.a.w masih sabar atas karenah mereka. Sehinggalah berlaku satu peristiwa yang penuh pengajaran sehingga ke hari ini.

iii- Apabila Rasulullah ﷺ pergi ke perkampungan kaum Yahudi Bani An Nadhir untuk meminta supaya membayar diat berhubung dengan \’Ammar bin Umaiyah ad-Dhamri yang telah membunuh 2 orang dari kabilah Bani Kilab di mana mereka sebagai rakyat dalam negara Islam yang telah berjanji untuk memberi sumbangan sekiranya berlaku perkara seperti itu.

Nabi Muhammd ﷺ pergi ke kampung tersebut bersama dengan beberapa orang sahabat. Setelah diberitahu tujuan kedatangannya maka Bani Nadhir menyatakan kesanggupan mereka untuk menunaikan janji dalam penebusan bayaran itu dan meminta Baginda ﷺ supaya duduk menunggu di tepi sebuah rumah dalam kampung itu bersama-sama dengan Sayyidina Abu Bakar dan para sahabat yang lain.

Tiba-tiba orang yahudi itu telah membuat pakatan jahat untuk melakukan pembunuhan ke atas Nabi Muhammd ﷺ dengan dicampakkan seketul batu besar ke atas Muhammd ﷺ dari bahagian atas rumah yang ketika itu Baginda ﷺ sedang berehat di bawahnya.

Malaikat Jibril telah diperintahkan oleh Allah سبحانه وتعالى supaya memberitahu kepada nabiNya tentang perancangan jahat itu. Setelah mendapat berita tersebut lalu Rasulullah ﷺ terus bangun lalu terus keluar dari tempat tersebut dan pulang dengan segera ke Kota Madinah.

Baginda ﷺ kemudian menghantar Muhammad bin Maslamah sebagai utusan untuk memberitahu Bani Nadhir bahawa mereka tidak dibenarkan lagi tinggal di Madinah kerana mereka telah melanggari perjanjian damai bersama Nabi Muhammd ﷺ.

Mereka diberi tempoh selama 10 hari untuk meninggalkan Madinah di mana jika mereka gagal berbuat demikian maka hukumannya ialah semua akan dibunuh. Tiada lagi jalan lain untuk mereka berdalih dan melepaskan diri lalu mereka pun membuat persediaan untuk meninggalkan Madinah.

Tiba-tiba pemimpin munafiq Abdullah bin Ubai menasihatkan mereka supaya jangan keluar dari Madinah dan mereka hendaklah bertahan dan menentang habis-habisan dan kaum munafiq mempunyai 2 ribu orang yang akan bersama Yahudi Bani Nadhir dalam kota bagi menentang Rasulullah ﷺ. Abdullah bin Ubai memberi jaminan bahawa kaum munafiq bersedia untuk mati bersama-sama Yahudi Bani Nadhir.

Cerita panjang apabila tiba pada ayatnya nanti Insya\’Allah. Atau baca kisah penuh dalam buku Madinah nanti.

iv- Hadis yang diiriwayatkan oleh al-Bukhari yang bersumber dari Said bin Jubair rhm. yang bertanya kepada Ibnu \’Abbas tentang surah ini. Ibnu Abbas berkata: Bahawa surat al-Anfal turun waktu perang Badar, manakala surah al-Hasyr turun pada waktu Perang Bani Nadhir.

KELEBIHAN SURAH AL-HASYR – سورة الحشر :

  1. Hadis riwayat dari Ma\’qil bin Yasar r.q bahawa diriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda:
    \”Sesiapa yang membaca 3 ayat terakhir surah al-Hasyr (ayat 22 – 24), maka Allah menghantarkan kepadanya tujuh puluh ribu malaikat yang berselawat kepadanya sehingga masuk waktu petang. Apabila dia meninggal pada hari itu, ia meninggal sebagai seorang syahid. Dan sesiapa membaca di waktu petang, begitulah juga keadaannya.\” [HR At-Tirmizi)
    *Imam an-Nawawi rhm. & muhaqqiq yang mutakkhir mengatakan sanadnya dhaif.
  2. Daripada Fadhil Ibnu Yasar Al-Muzani R.A berkata: Nabi S.A.W telah bersabda:
    \”Sesiapa membaca ketika bangun subuh \”A\’uuzubillahis-Sami\’il-\’alimi-Minas-Syaitanir-Rajim.\” Kemudian membaca tiga ayat akhir surah Al-Hasyr maka Allah mewakilkan 70 malaikat berselawat ke atasnya hingga ke petang. Begitu juga waktu petang dan jika dia meninggal hari itu dikira mati syahid.\”
    Kata Imam al-Iraqi: sanadnya dhaif juga.
  3. Kesimpulannya jika kita nak baca surah ini bacalah berdasarkan kelebihannya sebagai ayat al-Quran dan ada riwayat ini tetapi jangan sandarkan kelebihan-kelebihan ini kepada Rasulullah s.a.w. secara mutlak kerana sanadnya lemah.

Powered by BetterDocs