SURAH AL-MUMTAHANAH : AYAT 10-11

\"\"

HUKUM WANITA BERHIJRAH KE NEGARA ISLAM, DIUJI KEIMANAN & TIDAK BOLEH BERSAMA SUAMI YANG KAFIR.

Full video : https://youtu.be/D5FUfFP6KM8

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini perbincangan kita adalah tentang tajuk kepada surah al-Mumtahanah ini. Allah s.w.t nyatakan tentang hukum wanita berhijrah ke negara Islam iaitu mereka hendaklah diuji dulu keimanan mereka.
  2. Wanita yang berhijrah ke Madinah diuji dulu keimanan mereka, apakah benar iman mereka dan berhijrah kerana Allah bukan kerana sebab lain.
  3. Apabila terbukti keimanan wanita-wanita ini, umat Islam hendaklah membela mereka dan menahannya di Madinah, mereka tidak boleh lagi bersama suami yang masih kafir.
  4. Inilah hukum yang jelas dalam Islam tidak boleh bersama dalam perkahwinan yang berbeza agama!
    Samada suami kafir atau isteri yang kafir tidak boleh bersama pasangan yang mukmin.
  5. Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya:
    i- Ayat ini datang selepas ayat larangan daripada berwala\’, berkasih-sayang, berteman rapat serta taat memberi sokongan kepada orang kafir.

ii- lalu di sana ada kafir yang berkaitan- ada suami yang kafir isteri Muslimah atau sebaliknya.
Maka apakah hukumnya mereka ini?
Masih boleh meneruskan perkahwinan atau putus?
Dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan hukumnya tentang wanita berhijrah yang meninggalkan suaminya yang kafir.

AYAT 10- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! APABILA ORANG-ORANG PEREMPUAN YANG MENGAKU BERIMAN DATANG BERHIJRAH KEPADA KAMU, MAKA UJILAH (IMAN) MEREKA: ALLAH LEBIH MENGETAHUI AKAN IMAN MEREKA: DENGAN YANG DEMIKIAN, SEKIRANYA KAMU MENGETAHUI BAHAWA MEREKA BERIMAN, MAKA JANGANLAH KAMU MENGEMBALIKAN MEREKA KEPADA ORANG-ORANG YANG KAFIR. MEREKA TIDAK HALAL BAGI ORANG-ORANG KAFIR ITU (SEBAGAI ISTERI), DAN ORANG-ORANG KAFIR ITU PULA TIDAK HALAL BAGI MEREKA (SEBAGAI SUAMI). DAN BERILAH KEPADA SUAMI-SUAMI (YANG KAFIR) ITU APA YANG MEREKA TELAH BELANJAKAN. DAN TIDAKLAH MENJADI SALAH KAMU BERKAHWIN DENGAN MEREKA (PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG BERHIJRAH ITU) APABILA KAMU MEMBERI KEPADA MEREKA MASKAHWINNYA. DAN JANGANLAH KAMU (WAHAI ORANG-ORANG ISLAM) TETAP BERPEGANG KEPADA AKAD PERKAHWINAN KAMU DENGAN PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG (KEKAL DALAM KEADAAN) KAFIR, DAN MINTALAH BALIK MASKAHWIN YANG KAMU TELAH BERIKAN, DAN BIARKANLAH MEREKA (SUAMI-SUAMI YANG KAFIR ITU) MEMINTA BALIK APA YANG MEREKA TELAH BELANJAKAN. DEMIKIANLAH HUKUM ALLAH; IA HUKUMKAN DI ANTARA KAMU (DENGAN ADIL). DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-MUMTAHANAH 60:10)

  1. Apabila perempuan beriman datang berhijrah ke Madinah dari Makkah Allah suruh uji dulu keimanan mereka.
  2. Dalam ayat ini juga Allah s.w.t nyatakan tentang hukum perempuan Islam dan suaminya yang masih kafir, apakah hukumnya; apakah mereka masih boleh bersama atau tidak?
  3. Sebab nuzul ayat: Diriwayatkan dari dua orang sahabat Al-Miswari bin Makhramah dan Marwan bin al-Hakam menceritakan dari sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w bahawa ayat ini turun setelah Rasulullah berada di kawasan Hudaibiyyah, selepas Perjanjian Hudaibiyah- iaitu perjanjian damai dengan orang-orang kafir Quraisy Makkah pada tahun ke-6H.

Yang mana salah satu syaratnya yang nampak tidak seimbang ialah jika:
i- ada penduduk Madinah yang murtad dan lari ke Makkah, mereka tidak akan menghantarnya balik.

ii- tetapi jika ada penduduk Makkah yang datang ke Madinah maka Baginda kena mengembalikannya semula kepada mereka.

Para sahabat merasakan ia adalah tidak adil tetapi Rasulullah s.a.w yang tidak berhukum kecuali adalah wahyu; mengatakan tidak mengapa kerana yang lari dari Madinah itu adalah yang telah murtad dan tidak mahu kepada Islam lagi, maka biarlah mereka pergi.

Akan tetapi, apabila yang datang hijrah ke Madinah adalah beberapa orang wanita mukminah, timbul isu dan perdebatan macamana, nak hantar balik atau tidak mereka ini?
Allah s.w.t menurunkan ayat 10 ini: {Maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih mengetahui akan iman mereka: dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir.} [HR Bukhari dan Muslim]

  1. Bagaimanakah cara mahu menguji keimanan para wanita ini?
    Para ulama\’ tafsir membawa beberapa pandangan:
    i- Kata Ibnu Abbas r.a: pertamanya minta dia bersumpah bahawa dia berhijrah semata-mata kerana Allah & agama.
    Jika dia telah bersumpah tidak perlu hantar balik dia!

Bagi masa untuk suami yang kafir berfikir dan bertindak:
a- jika mahu isterinya, sila datang ke Madinah dan beriman maka dapat bersama semula. Tidak putus buat sementara.
b- jika tidak mahu, ambil kembali maskahwin yang mereka bayar dulu kemudian carilah wanita lain. Muslimah itu tidak kan dihantar balik ke Makkah lagi.

ii- cara kedua juga kata Ibnu Abbas ra.: Suruh dia mengucap dua kalimah Syahadah- jika dia ucapkan maka sahlah keimanannnya.

iii- diuji seperti ayat 12 yang akan dibaca nanti. Iaitu supaya dia berbai\’ah, bersumpah taat-setia kepada beberapa hukum dan isu penting dalam Islam ini. Jika dia sanggup selesailah ujiannya. Ayat 12 ini menjadi bahan ujian keimanan.

Kesimpulannya ulama\’ tafsir kata ketiga-tiga ujian inilah yang perlu dilakukan. Jika terbukti keimana dia tidak akan dihantar balik lagi.

  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa hanya Dia yang lebih mengetahui hakikat keimanan mereka yang sebenarnya.
    Manusia hanya mampu menghukum mengikut apa yang zahir. Yang tersembunyi serahkan kepada Allah s.w.t, hanya Allah s.w.t yang tahu apa yang tersembunyi dalam hati & jiwa manusia.
  2. Ayat ini mengajar kepada kita jangan pandai-pandai mendakwa tahu apa yang ada dalam hati orang lain, menjatuhkan hukum berdasarkan apa yang dirasakan ada dalam hati orang!
  3. Allah nyatakan jika teruji keimanan mereka adalah benar maka peliharalah mereka di Madinah jangan hantar mereka balik ke Makkah.
  4. Ini kerana apabila berbeza agama terbatallah perkahwinan mereka, kerana wanita muslimah itu tidak halal lagi bagi suaminya yang kafir dan sebaliknya!
  5. Sesiapa yang kata Islam itu sama dengan agama lain maka terbatal agamanya, dia tiada agama lagi! Kerana agama yang diiktiraf dan diterima oleh Allah hanya agama Islam.
  6. Kata Ibnu Kathir rhm.- ayat ini mengharamkan wanita Muslimah untuk bersama suaminya yang kafir, kerana pada awal Islam ia adalah harus bagi mereka bersama.

Ini kerana Islam pada waktu itu masih lemah lagi, tetapi sekarang ini Islam diambang kemenangan, kita kena bertegas dan tidak boleh main-main lagi!

  1. Tetapi Islam juga memberi keadilan kepada para suami kafir itu dan tidak menganiayainya. Iaitu dibayar kembali kepada suami-suami yang kafir itu apa yang mereka telah belanjakan untuk isteri mereka itu dari segi maskahwin.
    Ambil duit dari Baitul-mal untuk membayarnya.
  2. Para wanita Muslimah yang berhijrah dan berpisah dari suami yang kafir itu, boleh dikahwini apabila selesai iddah mereka.
    Mereka juga mesti diberi mas-kahwin oleh lelaki muslim yang mahu mengahwininya. Jumlahnya adalah mengikut uruf, kesesuaian pada waktu itu.
  3. Para lelaki yang telah memeluk Islam jika ada isteri -isteri yang kekal dalam keadaan kafir, mereka hendaklah ceraikannya setelah habis tempoh iddah yang diberi.
    Jika si isteri menerima Islam dalam masa iddah boleh teruskan perkahwinan yang lama dengan tidak perlu akad baru, jika mereka terus kafir tidak mahu beriman maka terputuslah ikatan perkahwinan itu.
  4. Kisah realiti yang diriwayatkan dari Miswar r.a: \”Ketika Umar al-Khattab masuk Islam, dua orang dari isterinya masih berada dalam golongan orang-orang musyrik.

Apabila Allah s.w.t menurunkan ayat ini: {…Dan janganlah kamu tetap berpegang pada tali (pernikahan) dengan perempuan-perempuan kafir..}.
lalu Umar terus menceraikan dua orang isterinya yang masih kafir dan berada di Makkah lagi. Salah seorangnya dikahwini oleh Muawiyah dan seorang lagi diambil oleh Safwan bin Umayyah.

  1. Mereka si suami yang Islam juga berhak meminta balik maskahwin yang telah dibelanjakan kepada isterinya yang tidak mahu turut Islam itu.
  2. Inilah hukum Allah yang Maha Adil lagi sempurna- setiap suami yang berpisah dengan isteri mereka kerana berlainan agama, berhak meminta maskahwin dari para isteri mereka samada yang kafir atau yang mukmin.

Kedua belah pihak suami yang ditinggalkan isteri kerana berlainan agama berhak meminta balik maskahwin yang diberikan kepada isterinya dulu. Kedua pihak tidak akan kerugian.

  1. Kemudian Allah Azza wa Jalla nyatakan di sini bahawa Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Segala undang-undang dan hukum-Nya penuh keadilan & hikmah yang kadang-kadang tidak tercapai akal manusia.
  2. Maka sesiapa yang menentang dan mempertikaikan hukum Allah maka dia telah mendustakan kebijaksanaan & pengetahuan Allah Azza wa Jalla.

Perkara ajaib yang kelapan dalam dunia ini adalah: Anak orang Islam yang mempertikai dan menentang undang-undang & hukum Islam yang mereka anuti.

AYAT 11- {DAN SEKIRANYA KAMU TIDAK DAPAT MENERIMA BALIK SESUATU DARI MASKAHWIN ISTERI-ISTERI KAMU (YANG MENJADI MURTAD SERTA) MELARIKAN DIRI KE PIHAK ORANG-ORANG KAFIR, KEMUDIAN KAMU MENYERANG PUAK YANG KAFIR ITU SERTA MENDAPAT HARTA RAMPASAN MAKA BERIKANLAH KEPADA ORANG-ORANG (ISLAM) YANG LARI ISTERINYA ITU GANTI MASKAHWINNYA SEBANYAK YANG MEREKA TELAH BAYAR. DAN BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH YANG KAMU BERIMAN KEPADA-NYA.} (AL-MUMTAHANAH 60:11)

  1. Allah juga menjelaskan hukum dan cara jika para suami muslim itu tidak dapat menuntut balik maskahwin dari para isteri kafir yang lari itu. Jika si isteri kafir tidak membayar balik maskahwinya (mahar).
  2. Caranya ialah apabila tentera Islam berjaya mengalahkan tentera kafir dalam peperangan kemudian mendapat harta rampasan perang iaitu ghanimah; maka bayarkanlah kepada orang-orang Islam yang isterinya lari itu dari ghanimah yang diperolehi sebagai ganti mahar sebanyak yang telah mereka bayar dulu.
    Ini kerana jarang dari mahar tersebut dibayar balik oleh pihak orang-orang kafir, maka kerajaan Islam yang bayarkan balik.
  3. Kemudian pada akhir ayat ini Allah memerintahkan agar kaum Muslimin bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan perintah-perintah-Nya dan menghentikan larangan-larangan-Nya, jika mereka benar-benar beriman kepada-Nya dan kepada Rasul-Nya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 10- {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka:}- orang mukmin jika mahu berkawan, berkerjasama dalam apa pekerjaan dan terutamanya jika mahu berkahwin: kena semak dan periksa dulu bakal pasangan masing-masing. Bukan kerana kenal dan berkenan pada rupanya terus jadi.

Jika benar mereka mahu kerana iman, bukan kerana kepentingan duniawi.

Dalam ayat ini Allah s.w.t ajar kepada kita ujian itu sebagai satu cara atau jalan untuk kenal seseorang.
Manakala melalui pengalaman kita bersahabat dan bersama mereka terutama dalam musafir membolehkan kita kenal mereka baik atau tidak baik!

الإمتحان طريق إلى المعرفة
وجواهر الناس تتباين بالتجربة

Kita sebagai orang beriman jangan mudah percaya dan terima; lontaran tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan ke atas orang yang kita tidak kenal.
Uji & periksa dulu sendiri apakah kesalahan dan kekarutannya. Ini tidak, setengan masyarkat sebelum kenal dan pasti apa yang tidak kena, sudah buat tuduhan dan label yang buruk berdasarkan apa yang orang lain cakap!

Contoh kuliah AAM- belum dengar sudah jatuhkan hukum!
Dengar dulu apa yang tidak kena dan tidak betulnya!
Sesiapa yang buat sesuatu keputusan atau tuduhan sebelum buat ujian dan kajian atas dunia ini; maka dia akan menyesal!

  1. Ayat 10- {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka:}- ayat ini turun selepas Perjanjian Hudaibiyah pada tahun ke-6H, yang salah satu syaratnya ialah jika orang lelaki beriman yang lari dari Makkah datang ke Madinah mesti dihantar pulang. Tetapi mereka yang lari ke Makkah dari Madinah (murtad) tidak perlu dihantar pulang oleh Quraisy.

Tetapi wanita tidak termasuk dalam syarat ini kerana mereka ada haknya yang khas, iaitu untuk jaga kepentingan dan kebaikan wanita.

Maka jika ada pertembungan dengan perjanjian, kepenting yang lebih utama dijaga, dalam kes ini kepentingan keselamatan dan kehormatan wanita Muslimah itu lebih utama. Maka mereka tidak perlu dihantar kembali ke Makkah.

  1. Ayat 10- {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka:}- kata ulama\’ jika ada orang yang mengaku mereka beriman secara zahir sahaja, jangan terus kita terima dan percaya.

Maka kita kena uji periksa (فَٱمْتَحِنُوهُنَّ ) dulu keimanan dan kefahaman mereka tentang Islam, nilai dan siasat dulu. Kemudian wajib kita membantu jika terbukti keimanan mereka.

  1. Ayat 10- {Allah lebih mengetahui akan iman mereka:}- kenapa Allah s.w.t kata begini iaitu; Dia lebih mengetahui tentang keimanan mereka {بِإِيمَـٰنِهِنَّ}, sedangkan memang kita tahu Allah Maha Mengetahui segalanya?

JAWAPAN :

Ini untuk menyatakan bahawa kita manusia hanya mengetahui setakat yang zahir walaupun kita telah mengujinya. Kita hanya boleh jatuhkan hukum ke atas orang setakat yang zahir dan dalil yang ada, selebihnya yang rahsia, apa yang ada dalam hati manusia kita serahkan kepada Allah s.w.t.

Juga untuk mengajar kepada kita jangan mengaku tahu apa yang ada dalam hati manusia lain!
Jika ada orang/guru yang mengaku begini kita tinggalkan dan jauhkan diri darinya, cari yang lain agar lebih selamat dan tenang kerana tidak bertentangan ayat al-Quran ini.

Info: Dalam ayat ini semua dhomir (kata ganti nama) yang digunakan adalah untuk mereka wanita (هُنَّ)- bukan (هُم – mereka lelaki) seperti kebiasaannya.

  1. Ayat 10- {Dan tidaklah menjadi salah kamu berkahwin dengan mereka (perempuan-perempuan yang berhijrah itu) apabila kamu memberi kepada mereka maskahwinnya.}- ayat ini menyatakan tidak salah untuk lelaki muslim mengahwini wanita beriman yang telah berhijrah ini setelah selesai tempoh iddah mereka. Tetapi kena beri maskahwin kepada mereka seperti perkahwinan yang lain juga.

Semua proses perkahwinan kena ada mas kahwin dan Allah namakan maskahwin dalam ayat ini sebagai bayaran (أُجُورَهُنَّ ۚ). Yakni sebagai hadiah dan bayaran untuk menghalalkan perhubungan suami isteri, sebagai bayaran sebab kamu dapat berseronok dengan isteri kamu.

Jelas menunjukkan hukum bahawa lelaki mesti membayar maskahwin kepada wanita sebagai salah satu syarat pernikahan.

Powered by BetterDocs