SURAH AS-SAFF : AYAT 5-6

\"\"

NABI MUSA MENGHADAPI KARENAH BANI ISRAIL YANG SUKA MENYAKITINYA & PESANAN NABI ISA TENTANG KEDATANGAN NABI S.A.W.

Full video : https://youtu.be/2jRjet7307E

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang Nabi Musa yang menghadapi karenah kaumnya, bani Israil yang suka menyakitinya begitu dahsyat sehingga Musa mengadu kepada Allah s.w.t.
  2. Pesanan Nabi Isa a.s tentang kedatangan Nabi S.A.W. kepada kaumnya, juga supaya menerimanya. Tetapi apa boleh buat mereka keras kepala dan menyeleweng dari kebenaran ini. Maka Allah selewengkan mereka daripada menerima hidayah kebenaran.
    Itulah yang kita bimbang & takut; takut tidak dapat menerima hidayah Allah s.w.t!
  3. Munasabah ayat:
    i-Sebelum ayat ini Allah s.w.t menyebut tentang jihad untuk menentang musuh-musuh Allah yang menyekat perjalanan agama dan dakwah Rasul-Nya.

Dalam ayat ni Allah s.w.t menyebut tentang kisah Nabi Musa & Nabi Isa a.s dan kaum mereka yang menyakiti mereka.
Ini untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w supaya bersabar dalam berdakwah dan menghadapi karenah kaum Quraisy.
Ini kerana rasul-rasul terdahulu seperti Musa & Isa a.s juga telah menghadapi cabaran dan ujian yang sama bahkan ada yang lebih teruk lagi.

ii- dalam ayat yang lepas juga, Allah cela orang yang bercakap tidak serupa dengan amalannya. Ini dipanggil satu pembohongan dalam tindakan hidupnya.

  • jadi samalah juga dengan orang-orang yang membohongi & menyakiti para rasul & Rasulullah s.a.w.
    Bahkan Allah sebut perkataan Nabi Musa a.s kepada kaumnya: {Mengapa kamu menyakiti daku}.

iii- Allah s.w.t juga sebut tentang arahan supaya jihad kepada kaum muslim sebelum ini tetapi ada yang menyalahinya.

  • lalu Allah s.w.t ceritakan tentang nabi Musa yang mengajak kaumnya berjihad tetapi mereka juga lari!
    -juga tentang nabi Isa a.s yang menerangkan tentang ajarannya tetapi mereka lari.

Kedua pengikut Taurat & Injil ini lari daripada kebenaran; tidak mahu menerima kedatangan Nabi Muhammad s.a.w.

AYAT 5- {DAN (INGATLAH PERISTIWA) KETIKA NABI MUSA BERKATA KEPADA KAUMNYA: \”WAHAI KAUMKU! MENGAPA KAMU MENYAKITI DAKU, SEDANG KAMU MENGETAHUI BAHAWA SESUNGGUHNYA AKU INI PESURUH ALLAH KEPADA KAMU?\” MAKA KETIKA MEREKA MENYELEWENG (DARI KEBENARAN YANG MEREKA SEDIA MENGETAHUINYA), ALLAH SELEWENGKAN HATI MEREKA (DARI MENDAPAT HIDAYAH PETUNJUK); DAN SEMEMANGNYA ALLAH TIDAK MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA KAUM YANG FASIK – DERHAKA.} (AS-SAFF 61:5)

  1. Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk mengingati kisah Nabi Musa a.s dan kaumnya yang menyakitinya.
  2. Nabi Musa memanggil kaumnya iaitu Bani Israil, \”Wahai kaumku!\” Sebagai satu perkataan yang mendekatkan mereka dengan dirinya. Begitulah antara uslub dakwah yang elok.
  3. Nabi Musa bertanya kepada mereka kenapa mereka menyakitinya- dengan perlian & kata-kata buruk dan perbuatan khianat.

Sedangkan mereka sudah mengetahui dengan ilmu yang yakin bahawa dia adalah Rasul yang diutus oleh Allah s.w.t kepada mereka! Sepatutnya mereka menghormati dan mengikut arahannya!

  1. Ini kerana bukti sudah jelas dan cukup, dengan mukjizatnya yang dapat mengalahkan Firaun dan menyelamatkan mereka dari kekejamannya.
  2. Sebelum menang mereka ikut dan taat kepada nabi Musa, tetapi Selepas Firaun mati & mereka selamat, terus buat perangai, tengok orang sembah berhala mereka mahu membuatnya juga. Serta pelbagai karenah buruk lagi!
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: \”Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)\”.
    (Nabi Musa berkata lagi): \”Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)\”.
    Mereka menjawab: \”Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)\”.
    Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: \”Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman\”
    Mereka (menolak dengan) berkata: \”Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu\”.
    Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: \”Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu\”.
    Allah berfirman: \”Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya – selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu\”.} (Al-Maaidah 5: 20-26)
  4. Hadis- tentang peristiwa pembahagian harta Ghanimah kaum Hawazin:
    Riwayat dari Abdullah bin Mas\’ud r.a katanya:
    \”Pada hari berlakunya peperangan Hunain, Rasulullah s.a.w telah mengutamakan beberapa orang sahabat semasa pembahagian. Baginda memberikan seratus ekor unta kepada Al-Aqra\’ bin Haabis. Begitu juga kepada Uyainah dan beberapa orang bangsawan Arab. Rasulullah s.a.w mengutamakan mereka dalam pembahagian.
    Lalu seorang lelaki berkata: Demi Allah! Sesungguhnya ini adalah pembahagian yang sama sekali tidak adil dan tidak dimaksudkan untuk mencari keredhaan Allah.
    Aku berkata: Demi Allah! Aku akan menyampaikannya kepada Rasulullah s.a.w. Aku pun datang memberitahu Rasulullah s.a.w mengenai kata-kata lelaki tersebut.
    Setelah mendengarnya wajah baginda berubah dan kemudiannya baginda bersabda:
    Siapa lagi yang mampu berbuat adil, jika Allah dan Rasul-Nya tidak berlaku adil?
    Kemudian baginda bersabda lagi: Semoga Allah memberikan rahmat kepada Nabi Musa. Dia telah disakiti oleh kaumnya lebih banyak dari ini tetapi dia tetap bersabar.
    Aku berkata: Aku tidak akan menyampaikan apa-apa pun percakapan kepada baginda lagi selepas peristiwa tersebut. [HR Bukhari & Muslim].

Yakni Rasulullah s.a.w telah membuat bandingan kata-kata orang itu dengan perkataan bani Israil tehadap nabi mereka Musa a.s yang lebih teruk & dahsyat!

  1. Apabila kaum Nabi Musa dengan sengaja lari dari landasan yang benar, maka sebagai akibatnya Allah s.w.t akan condongkan hati mereka dari mendapat petunjuk, ini kerana sebagai balasan kepada mereka yang menyeleweng selepas tahu dan ada ilmu tentangnya!
    Maka Allah s.w.t tutup hati mereka daripada menerima kebenaran!
    Yakni dosa orang yang tahu tentang hukum atau salah perbuatan mereka itu lebih besar daripada orang yang tidak tahu!
  2. Inilah yang dikatakan dosa dibalas dengan dosa! Hatinya lari kebenaran, Allah tutup pintu hidayah dari mereka!

Kita orang yang beriman jika mahu selamat di dunia & akhirat; bertaqwalah kepada Allah s.w.t dengan mengikut arahan-Nya & arahan Rasulullah s.a.w.

  1. Ayat yang sangat baik sebagai satu doa supaya Allah tetapkan hati kita atas hidayah petunjuk-Nya:
    Firman Allah s.w.t:

{رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْوَهَّابُ}

{(Mereka berdoa dengan berkata): \”Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.} (A-li\’Imraan 3:8)

  1. Supaya kita sentiasa mendapat rahmat, petunjuk hidayah Allah s.w.t lalu berada di atas landasan yang benar sehingga kita mati!
  2. Allah s.w.t nyatakan bahawa Dia tidak akan beri taufik hidayah untuk menerima petunjuk bagi kaum yang fasik dan derhaka kepada Allah s.w.t!
  3. Tamatlah kisah nabi Musa a.s yang dibawa untuk menenang hati dan memberi kesabaran kepada Rasulullah s.a.w & para pendakwah semua.

AYAT 6- {DAN (INGATLAH JUGA PERISTIWA) KETIKA NABI ISA IBNI MARYAM BERKATA: \”WAHAI BANI ISRAIL, SESUNGGUHNYA AKU INI PESURUH ALLAH KEPADA KAMU, MENGESAHKAN KEBENARAN KITAB YANG DITURUNKAN SEBELUMKU, IAITU KITAB TAURAT, DAN MEMBERIKAN BERITA GEMBIRA DENGAN KEDATANGAN SEORANG RASUL YANG AKAN DATANG KEMUDIAN DARIPADAKU – BERNAMA: AHMAD\”. MAKA KETIKA IA DATANG KEPADA MEREKA MEMBAWA KETERANGAN-KETERANGAN YANG JELAS NYATA, MEREKA BERKATA: \”INI IALAH SIHIR YANG JELAS NYATA!\”} (AS-SAFF 61:6)

  1. Ayat ini sebagai ayat penenang hati yang kedua kepada Rasulullah s.a.w.
    Allah s.w.t mengingatkan kepada Baginda akan kisah Nabi Isa a.s pula.
  2. Nabi Isa a.s menyeru pengikutnya iaitu Bani Israil dengan berkata: \”Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu.\”
  3. Perbincangan: Kenapa Nabi Isa memanggil kaumnya sebagai Bani Israil bukan wahai kaumku seperti Nabi Musa a.s?

JAWAPAN :

Ini kerana walaupun nabi Isa a.s adalah dari keturunan bani Israil jua tetapi hanya dari sebelah ibunya, kerana dia tiada bapa. Sedangkan nasab keturunan seseorang dinisbahkan mengikut bapanya, jika ayahnya dari kabilah ini maka dia akan ikut kabilah babanya. Jadi Isa tidak menisbahkan dirinya melalui kabilah ibunya.

  1. Nabi Isa menyatakan sifat & tugasnya:
    i- Pesuruh Allah kepada mereka, untuk berdakwah dan ajak kamu ke arah kebaikan, beriman kepada Allah dan melarang dari keburukan.

ii- sifat yang kedua ialah mengesahkan kebenaran (مُّصَدِّقًۭا) kitab Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa sebelumnya.
Membenarkan ajarannya dan melaksanakan Syari\’ahnya.

  • ada juga yang kata membenarkan apa yang dikatakan oleh Taurat tentang kedatangannya (Isa) sebagai rasul selepas itu.

iii- sifat ketiga memberikan berita gembira (مبشرا) tentang kedatangan rasul azkhir zaman yang akan datang selepasnya yang bernama Ahmad.

  1. Kemudian dia juga memperakui dan mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumnya iaitu Kitab Taurat.
    Bahawa Taurat mengajak manusia kepada tauhid kepada Allah s.w.t dan mengamalkan syari\’ahnya.
    Ada juga yang kata membenarkan isi kandungan dalam Taurat yang menyebut tentang kedatangan Nabi Isa selepas ini.
  2. Perkataan membenar & mengesahkan { مُّصَدِّقًۭا} ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t ini:
    {Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.} (Al-Maaidah 5:46)
  3. Tugas Isa juga memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadanya- bernama: Ahmad.
  4. Rasulullah s.a.w ini mempunyai banyak namanya antaranya Ahmad dan Baginda dikenali dengan nama ini di dalam Injil.
  5. Hadis – Sahabat bertanya bilakah bermulanya perjalanan Rasulullah s.a.w?
    Rasulullah bersabda: \”Bermula dari doa & dakwah datukku Ibrahim a.s. dan khabar gembira yang disampaikan oleh nabi Isa kepada Bani Israil tentang akan datang seorang rasul selepasnya yang bernama Ahmad.
    Juga melalui mimpi ibuku- keluar darinya cahaya yang menyinari istana Kaisar Rom di Syam.\” [HR Ahmad dan lain-lain].

10- Hadis-hadis tentang nama Rasulullah s.a.w:
i- Hadis riwayat Jubair bin Mut\’im r.a:
Rasulullah S.A.W bersabda: \”Saya adalah Muhammad, saya adalah Ahmad, saya adalah al-Mahi yang dengan sebabku Allah S.W.T menghapus kekufuran, saya adalah al-Hasyir yang mengumpulkan manusia, saya adalah al-\’Aqib (penamat nabi) yang tidak ada nabi lagi setelahku.\” [HR Bukhari & Muslim].

ii- Abu Musa al-Asy\’ari Abdullah bin Qais berkata: \”Rasulullah S.A.W memberikan dirinya beberapa nama di antaranya ada yang kami hafal.
Baginda bersabda: \’Saya Muhammad, saya Ahmad, saya al-Muqaffi (yang mengikut jejak nabi sebelumnya), saya Nabi yang bertaubat dan Nabi yang membawa rahmat.\’
Dalam riwayat lain: \’dan Nabi Al-Malhamah – peperangan.\’ [HR Muslim].

  1. Kata Imam an-Nawawi rhm.: Setiap perkara yang banyak nama menunjukkan akan ketinggian kedudukannya.
    Seperti nana-nama Allah, nama Makkah & Madinah dan seumpamanya!
  2. Tetapi apa kata kaumnya tentang pengakuan dan peringatan Nabi Isa a.s ini? Selepas Nabi Isa membawa banyak mukjizat yang jelas menunjukkan akan kebenarannya.
  3. Mereka mengatakan itu semua adalah sihir yang jelas nyata!
    Inilah tuduhan yang sama yang dilemparkan oleh penentang para rasul sejak dari dulu sehingga kepada zaman Rasulullah s.a.w!
    Yang penting mereka tidak mahu terima dan membuat tuduhan yang sama sihir, penyair, gila dan tukang tilik!
  4. Firman Allah s.w.t:
    {Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata, berkatalah mereka (sesama sendiri): \”Orang ini (Muhammad) tidak lain hanyalah seorang lelaki yang hendak menghalang kamu daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kamu\”; dan mereka berkata lagi: (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah kata-kata dusta yang direka-reka\”; dan berkatalah orang-orang yang kafir terhadap kebenaran ketika datangnya kepada mereka: \”ini tidak lain hanyalah sihir yang terang nyata\”.} (Saba\’ 34:43)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 5- {Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: \”Wahai kaumku!…..}- ayat ini menceritakan bahawa tidak ada nabi & rasul kecuali yang akan menghadapi ujian dan karenah kaumnya!

Ini sebagai penenang hati kepada Rasulullah s.a.w dan para pendakwah & penyokong al-Quran & Sunnah yang selepasnya yang menghadapi penentangan dan cabaran.
Ada yang berat ada yang biasa, bahkan ada yang dituduh sesat dan gila serta dihalau dari kawasannya.

Ayat ini juga memberi amaran bahawa sesiapa yang menyakiti dan menentang Rasulullah s.a.w akan terpesong dan tidak mendapat petunjuk dari Allah s.w.t!

  1. {Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk);}- kata ulama\’ ayat ini menunjukkan kepada bahawa hukuman; dosa dibalas dengan dosa!
    Kamu menyeleweng dari kebenaran yang memang kamu mengetahuinya; maka Allah selewengkan hati kamu dari mendapat hidayah petunjuk.

Kata ulama\’: Kebaikan akan melahirkan kebaikan; maksiat akan melahirkan maksiat!

Jika kita tidak mahu terjebak dengan maksiat, putuskan rantaiannya, kita ber\’uzlah larilah dari ahli maksiat dan tempat maksiat!

Sebagaimana kisah seorang yang telah membunuh 99 orang kemudian mahu bertaubat, kata gurunya jika kamu mahu betul-betul bertaubat hendaklah keluar dari berpindah dari kampungnya itu yang menggalakkan maksiat.

Apa yang Allah s.w.t jatuhkan hukum ke atas hamba-Nya ini, bukan kerana Allah zalim tetapi mereka sendiri itu yang keras hati menzalimi diri mereka dari lari menerima kebenaran.

Begitulah manusia ini apabila dia lari dari landasan yang benar; pastilah dia akan tejebak ke dalam landasan yang sesat dan tidak benar!

  1. {Dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik – derhaka.}- Allah kata Dia tidak akan memberi hidayat kepada kaum yang fasik; tetapi kenapa dalam ayat lain Allah s.w.t menggalakkan mereka supaya bertaubat?

Firman Allah s.w.t:
{Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.} (Al-Anfaal 8:38)

Macamana kita nak hubungkan dua ayat ini?
Jawapan:
Jika kamu tinggalkan kefasikan, sudah bertaubat dan insaf; kamu akan menerima hidayah Allah untuk beramal dan istiqomah atas agama yang benar ini.
Tetapi jika kamu masih dalam kekufuran dan kefasikan- Allah s.w.t sekali-kali tidak akan memberi kamu hidayah!

  1. Ayat 6 – {Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: \”Wahai Bani Israil,}- kenapa dalam ayat ini Nabi Isa tidak panggil bani Israil sebagai kaumnya? Sedangkan nabi Musa a.s memanggil mereka sebagai kaumnya?
    Jawapan:
    ini kerana Isa a.s tidak ada ayah dari kalangan Bani Israil. Walaupun ibunya Sayyidah Maryam adalah seorang wanita yang mulia dari kalangan bani Israil, tetapi dia tidak dapat dinisbahkan kepada mereka melalui ibunya! Kerana itu dia memanggil mereka sedemikian.

Ini kerana nasab keturunan hanya melalui jalur lelaki.
Sebagaimana kata penyair:
Anak cucu kita adalah datang melalui anak lelaki kita;
manakala anak-anak kepada anak perempuan adalah anak cucu kepada orang lain!

Kecuali anak cucu keturunan Rasulullah s.a.w, cucunya al-Hasan & al-Husain adalah anak kepada anak perempuan Baginda s.a.w iaitu Sayyidah Fatimah, kerana hanya dia yang ada anak.

  1. Ayat 6 – {Sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad\”}- dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan tugas dan peranan Nabi Isa a.s.

Peranan Nabi Isa ialah:
i- membenarkan {مُّصَدِّقًۭا} apa yang dibawa oleh nabi Musa a.s dan menyambung balik dakwah tauhidnya.

ii- Nabi Isa a.s juga memberi khabar gembira { وَمُبَشِّرًۢا} tentang kedatangan rasul terakhir selepasnya iaitu Ahmad.

Inilah rantaian emas, susur galur tentang keturunan para nabi, nabi yang sebelumnya akan memberitahu tentang kedatangan nabi yang selepasnya, yang baru datang akan membenarkan kenabian yang sebelumnya.

Musa beritahu kaumnya tentang kedatangan Isa, Isa beritahu kaumnya tentang kedatangan Nabi Muhammad s.a.w.

Tetapi kerana hasad dengki yahudi & Nasrani tidak menerima Rasulullah s.a.w sebagai Nabi akhir zaman kerana bukan dari keturunan mereka!

Lihat perbezaan antara dua kalimah dalam tugas Nabi Isa a.s ini:
i- membenarkan {مُّصَدِّقًۭا}- ini kerana membenarkan berita yang telah berlaku iaitu kerasulan nabi Musa a.s boleh kita kata mengesah dan membenarkannya!

ii- memberi khabar gembira {وَمُبَشِّرًۢا} tentang kedatangan Nabi Muhammad s.a.w, ini kerana ia belum lagi berlaku, pada masa akan datang!

Alhamdulillah tamat dulu kita sambung dalam siri yang akan datang.

Kuliah tafsir ini akan bercuti selama 4 pagi kerana Dr Abu Anas Madani ada rehlah jemputan untuk menghadiri muktamar \”Khayra Ummah\” di luar Malaysia.

Mungkin ada juga kuliah live tetapi bukan siri tafsir ini.

Powered by BetterDocs