SURAH AL-MULK : AYAT 28-30

\"\"

SETELAH MATI SIAPA YANG MENYELAMATKAN DARI AZAB, KAMI BERTAWAKKAL KEPADA AR-RAHMAN & NIKMAT AIR.

Full video : https://youtu.be/L4gsWEYntHg

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t suruh Rasulullah s.a.w bertanya kepada puak kafir bahawa setelah mati siapa yang menyelamatkan dari azab.
  2. Kita orang yang beriman, kita bertawakkal kepada ar-Rahman, Tuhan Yang Maha Mengasihani.
  3. Allah s.w.t tutup surah ini dengan menyatakan peranan dan nikmat air. Sebagaimana yang telah disebut sebelum ini bahawa air adalah sumber segala rezeki, nikmat & kehidupan manusia segala makhluk yang hidup.
  4. Munasabah ayat:
    i- antara kejahatan puak kafir ialah mereka terang-terangan mengharapkan Rasulullah s.a.w & kaum muslim binasa atau mati.
    Kerana itu mereka sentiasa membuat komplot untuk membunuh Rasulullah s.a.w. Seperti puak yahudi yang cuba menghempap batu, bagi makanan yang beracun kepada Rasulullah dan lain-lain kejahatan.

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w bertanya kepada mereka puak kafir yang sakit hati kepada Baginda yang berharap sangat agar Baginda dan orang mukmin mati dan binasa.

iv- Tanyalah kepada mereka jika kami mati siapa yang akan menyelamatkan kami daripada azab Allah atau yang akan menjaga kami (رَحِمَنَا) daripada binasa!
Bagaimana keadaan kamu pula? Akan selamatkah kamu?

AYAT 28- {TANYALAH (WAHAI MUHAMMAD, KEPADA MEREKA): \”BAGAIMANA FIKIRAN KAMU, JIKA ALLAH BINASAKAN DAKU DAN ORANG-ORANG YANG BERSAMA-SAMA DENGANKU (SEBAGAIMANA YANG KAMU HARAP-HARAPKAN), ATAU IA MEMBERI RAHMAT KEPADA KAMI (SEHINGGA KAMI DAPAT MENGALAHKAN KAMU), – MAKA SIAPAKAH YANG DAPAT MELINDUNGI ORANG-ORANG YANG KAFIR DARI AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA?\”.} (AL-MULK 67:28)

  1. Allah s.w.t menyuruh Nabi Muhammad s.a.w kepada puak kafir yang sentiasa mengharapkan kebinasaan Rasulullah s.a.w & kaum muslimin. Apa yang mereka fikir/rasa jika Allah binasakan (matikan) Rasulullah s.a.w & orang mukmin yang bersamanya?
  2. Sama saja bagi, jika kami mati, kami akan diberi rahmat Allah dan mendapat nikmat di akhirat; atau Allah tak akan matikan kami, tetapi akan melindungi kami daripada apa yang kamu harapkan (binasa) dan memberikan kepada kami kemenangan dan mengalahkan puak kafir.
  3. Ulama\’ membincangkan makna (رَحِمَنَا) ini kepada beberapa maksudnya:
    i- Allah tangguhkan kematian Rasulullah s.a.w, orang kafir dulu yang akan mati.
    ii- Allah bagi rahmat dan selamat dari azab jika mati sekalupun.
    iii- Allah bagi kemenangan dan pertolongan kepada Rasulullah & orang mukmin atas dunia sebelum mati.
  4. Tetapi siapakah pula yang akan dapat melindungi kamu pula wahai puak kafir daripada azab Allah?
    Tiada siapa yang dapat menyelamatkan kamu selagi kamu masih berterusan kufur dan keras kepala maka tunggulah azab kebinasaanya!

AYAT 29- {TEGASKAN (WAHAI MUHAMMAD, KEPADA MEREKA): \”ALLAH DIA LAH YANG MAHA PEMURAH, YANG KAMI BERIMAN KEPADANYA, DAN YANG KEPADANYA KAMI BERSERAH DIRI; OLEH ITU KAMU AKAN MENGETAHUI KELAK SIAPAKAH YANG BERADA DALAM KESESATAN YANG NYATA\”.} (AL-MULK 67:29)

  1. Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w bertegas menyatakan kepada puak kafir lagi: Bahawa Tuhan kami ar-Rahman (ٱلرَّحْمَـٰنُ), yang kami beriman kepadaNya, dan yang kepadaNya kami berserah diri kepada-Nya (تَوَكَّلْنَا).
  2. Kita sebagai orang beriman jangan bergantung hati dengan makhluk, tawakkal hanya kepada Allah. Tetapi minta tolong secara fizikal sesama manusia mengikut kemampuan dan kepakarannya adalah harus dan tidak salah.

Contoh seperti jumpa doktor untuk berubat atau mekanik untuk baiki kereta!

  1. Di akhirat kelak apabila azab di depan mata barulah puak kafir akan mengetahui kelak siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata, mereka atau golongan muslimin & Rasulullah s.a.w yang mereka dustakan!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Tiap-tiap seorang (di antara kita) sedang menunggu; maka tunggulah kamu! Kemudian kamu akan mengetahui kelak siapakah orang-orang yang berada atas jalan yang lurus, dan juga siapa yang mendapat petunjuk\”.} (Taha 20:135)
  3. Tetapi apakan daya kesedaran dan penyesalan itu tidak ada guna dan tidak dapat memberi manfaat lagi. Semasa atas dunia bolehlah mengaku benar dan tidak mengaku salah!
  4. Kerana itu kata ulama\’:
    i- Para pendakwah mesti menyatakan yang benar walaupun tidak ada orang yang mahu ikut!
    Sekurang-kurang kata-kata & nasihat kita itu telah masuk ke dalam telinga mereka walaupun tidak masuk ke dalam hati.
    Kita telah menyampaikan amanah & tanggung-jawab.
    ii- Juga supaya generasi anak-anak akan dapat mendengar dan mengetahui tentangnya agar mereka membesar dan tidak berkata bahawa: Mereka tidak tahu bahawa perkara itu tidak boleh, menyangka benda mungkar itu adalah sesuatu yang biasa dan benar! Bahkan orang yang menyatakan kemungkaran itu pula dianggap pelik dan tidak normal!
  5. Sebagai Firman Allah s.w.t ini:
    {Mereka berkata: \”Apa yang engkau bawa ini hanyalah sihir yang dibuat-buat, dan kami tidak pernah mendengar tentang perkara ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu\”.} (Al-Qasas 28:36).
  6. Jika berlaku kemungkaran kena ada orang tegur dan nyatakan bahawa itu salah supaya tidak menjadi sesuatu yang biasa & normal dalam masyarakat.
    Yakni biar tahu jangan keliru!

AYAT 30- {KATAKANLAH LAGI: \”BAGAIMANA FIKIRAN KAMU, SEKIRANYA AIR KAMU HILANG LENYAP (DI TELAN BUMI), MAKA SIAPAKAH (SELAIN ALLAH) YANG DAPAT MENDATANGKAN KEPADA KAMU AIR YANG SENTIASA TERPANCAR MENGALIR?\”.} (AL-MULK 67:30)

  1. Allah mahu sentap supaya manusia sedar tentang nikmat air!
    Sekiranya segala sumber air atas dunia ini kering hilang lenyap dari bumi ini!
    Tiada lagi air sungai yang mengalir, segala mata air kering, hujan tidak turun yakni semuanya kering!
  2. Maka siapakah yang akan membawakan kamu sumber air yang sentiasa terpancar mengalir keluar seperti yang Allah s.w.t lakukan selama ini? Di manakah kamu akan mencarinya?

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 28- {Tanyalah (wahai Muhammad, kepada mereka): \”Bagaimana fikiran kamu, jika Allah binasakan daku…}
  • kata ulama\’ pertanyaan ini sebagai satu pengingkaran terhadap apa yang orang kafir itu harapkan!

Semua itu lahir daripada hasad dengki dan dendam kesumat mereka terhadap Rasulullah s.a.w & kaum muslimin.

Maka Allah suruh Nabi s.a.w tanya dan cabar mereka: Jika kami mati seperti yang kamu harapkan lalu mendapat rahmat Allah atau tidak binasa lalu menang mengalahkan kamu; bagaimana keadaan kamu?

Yakni kita orang Islam jika mendapat tekanan dan halangan yang besar dalam dakwah & Islam, kita perlu juga jawab dan lawannya sesekali, kena ambil perhatian dan tanganinya.

Tetapi bukan semua cabaran & halangan kita kena layan dan ambil kes, seperti yang kecil dan remeh yang tidak akan menimbulkan masalah kepada masyarakat.
Jika tidak kita tidak akan habis dan tidak dapat meneruskan perjuangan dalam dakwah.

  1. Ayat 29- {Tegaskan (wahai Muhammad, kepada mereka): \”Allah Dia lah Yang Maha Pemurah, yang kami beriman kepadaNya, dan yang kepadaNya kami berserah diri;}- ulama\’ tadabbur kata beginilah keadaan Rasulullah dan orang yang mengikutinya iaitu wajib bertaqwa & bertawakkal kepada Allah s.w.t!

Maka sesiapa yang nak aman di dunia & selamat bahagia di akhirat mestilah bersifat dengan dua sifat yang besar ini!

Tinggalkan tangkal azimat, kepercayaan dan pergantungan yang selain dari kepada Allah kerana ia adalah karut dan boleh membawa kepada kesyirikan.

  1. Ayat 29- {Tegaskan (wahai Muhammad, kepada mereka): \”Allah Dia lah Yang Maha Pemurah, yang kami beriman kepadaNya, dan yang kepadaNya kami berserah diri;}- ayat ini adalah galakan untuk kita bertawakkal!

Ukuran tahap keimanan seorang manusia salah satunya adalah sifat tawakkal.

Kata Syeikh Said bin Jubair rhm.: Orang yang bertawakkal kepada Allah itu ialah orang yang mengumpulkan keimanan dalam jiwanya. Tawakkallah yang akan menyebabkan kita akan bersemangat untuk beramal. Orang yang tinnggi tawakkalnya amalannya pun banyak & kuat!

  1. Ayat 29- {Tegaskan (wahai Muhammad, kepada mereka): \”Allah Dia lah Yang Maha Pemurah, yang kami beriman kepadaNya, dan yang kepadaNya kami berserah diri;}- kata ulama\’ tafsir- sifat tawakkal itu salah satu tanda ukuran akan keimanan seseorang hamba terhadap Allah.
    Kuat atau lemahnya tawakkal seseorang itu adalah bergantung kepada kekuatan & kelemahan imannya!
    Apabila imannya mantap dan kuat maka tinggilah tahap tawakkalnya, tidak takut untuk berjuang atau mati di jalan Allah.
    Firman Allah s.w.t :
    i- {Dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman\”} (Al-Maaidah 5:23)

ii- {Dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.} (A-li\’Imraan 3:122)

  1. Ayat 30- {Katakanlah lagi: \”Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?\”.}- Allah suruh kita lihat air yang kita ada, jika ia kering siapakah yang akan memberinya kepada kita jika Allah menyekatnya?

Ulama\’ tafsir Al-Biqa\’i rhm. berkata:
i- Allah s.w.t buka surah ini dengan menyatakan betapa besarnya keberkatan & rezeki yang Dia beri serta sempurnanya kekuasaan & kerajaan milik Allah s.w.t.
Juga kuasa menghidupkan & mematikan manusia juga adalah di tangan Allah Azza wa Jalla.

ii- Manusia hidup atas dunia ini dengan rezeki, dengan makan minum. Sumber rezeki pula dari Allah yang berasal dari air yang Allah turunkan dari langit.

iii- maka Allah s.w.t akhiri surah ini dengan air yang menjadi sumber kehidupan manusia dan tanpanya boleh menjadi penyebab kemusnahan & kematian manusia!

Seorang ulama\’ salaf- Soleh bin imam Ahmad rhm. berkata:
\”Adalah bapaku tidak membenarkan orang lain menimba air daripada perigi untuknya.
Jika dia mahu berwuduk dia akan pergi menimba sendiri air dari perigi.
Apabila naik timba dan melihat air yang ditimbanya penuh, wajahnya akan menjadi gembira dan berkata alhamdulillah!
Lalu aku bertanya kepadanya: Apa yang menyebabkan bapa begitu gembira apabila melihat air ini?
Bapaku menjawab: Wahai anakku tidakkah kamu ingat akan firman Allah s.w.t ini? Lalu membacakan ayat ini: (Al-Mulk 67:30).\” [Manaqib Imam Ahmad bin Hanbal rhm. Soleh adalah anaknya.]

Alhamdulillah tamatlah kita surah al-Mulk ini, semoga Allah memberi taufiq hidayah kepada kita untuk menjadikan surah yang mulia ini sebagai peneman tidur untuk kita hayati dan tadabburnya, mengingatkan kita akan nikmat & rezeki dari Allah serta akan kematian yang menunggu.

Powered by BetterDocs