SURAH AL-INSYIQAQ : AYAT 7-15

\"\"

PARA PENERIMA SURATAN AMAL DARI KANAN, PENERIMA DARI PIHAK KIRI & SEBAB MEREKA MENERIMA AKIBAT BURUK INI.

Full video : https://youtu.be/o3ssyo_qiek?si=8t-cU3fTe_zwCavj

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang para penerima suratan amalan terbahagi kepada dua:
    i- Pertama mereka yang terimanya dengan tangan kanan, mereka akan melalui proses hisab yang mudah.

ii- satu lagi adalah penerima dengan tangan kiri atau dari belakang. Mereka akan meraung- celakalah diri mereka yang akan binasa!

  1. Punca yang menjadi sebab mereka menerima akibat buruk ini ialah kerana tidak percaya kepada Allah, tidak percaya kepada kebangkitan semula pada hari Kiamat. Juga kejahatan yang mereka lakukan kepada Rasulullah s.a.w & orang Islam serta pelbagai keburukan lagi atas dunia ini.

AYAT 7- {KEMUDIAN SESIAPA YANG DIBERI MENERIMA SURAT AMALNYA DENGAN TANGAN KANANNYA,} (AL-INSYIQAQ 84:7)

  1. Munasabah ayat :
    i- semasa atas dunia lagi kita dapat lihat mana-mana hamba atau pekerja ada amalan & perbuatannya yang diterima dan ada yang ditolak. Ada yang lulus ada yang tidak. Yang lulus terima dengan tangan kanan, yang tidak lulus dengan tangan kiri.

ii- maka apabila atas dunia ini, seorang hamba bekerja- buat amalan dengan ikhlas, patuh kepada perintah Allah s.w.t, patuh kepada ajaran Rasulullah s.a.w maka dia akan layak untuk menerima surat amalannya dengan tangan kanan!

AYAT 8- {MAKA IA AKAN DIHISAB DENGAN CARA YANG MUDAH DAN RINGAN,} (AL-INSYIQAQ 84:8)

  1. Maka nasibnya yang menerima dengan tangan kanan ini ialah- maka hisabnya mudah & ringan!
  2. Iaitu dibentangkan suratan amalannya dengan mudah tanpa banyak soal & siasatan.
    Dengan penuh keadilan dan saksama.
  3. Allah gambarkan dalam firman-Nya ini juga:
    {(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun.} (Al-Israa\’ 17:71)
    Gembira kerana amalan baik mereka banyak.
  4. Hadis riwayat UM Aisyah r.a: \”Aku telah mendengar Rasulullah bersabda:
    \’Ya Allah, hitunglah-setiap amalku-dengan perhitungan (hisab) yang mudah\’.
    Setelah Baginda selesai, aku bertanya \’Wahai Nabi Allah, apakah perhitungan yang mudah itu?\’
    Baginda menjawab, \’Dengan melihat pada kitabnya kemudian dia diampuni.
    Sesungguhnya barangsiapa perhitungannya dipersoalkan pada hari itu-wahai Aisyah-nescaya dia akan celaka.
    Dan setiap yang menimpa seorang hamba mukmin akan dihapuskan oleh Allah dari dirinya, walaupun itu sebuah duri yang menusuknya\’\”. [HR Bukhari & Muslim].
  5. Kita sentiasa berdoa kepada Allah:
    i- pertama untuk masuk syurga tanpa hisab.
    Jika tidak lepas kita minta juga:
    ii- doa ini: اللَّهُمَّ حَاسِبْنِيْ حِسَابًا يَسِرًا
    \”Ya Allah, hitunglah-setiap amalku-dengan perhitungan yang mudah.\”
  6. Hadis Allah s.w.t bentangkan amalan hamba-Nya di akhirat….
    عن ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عنْهما قالَ: سَمِعْتُ رَسولَ اللَّهِ ﷺ يقولُ: إنَّ اللَّهَ يُدْنِي المُؤْمِنَ، فَيَضَعُ عليه كَنَفَهُ ويَسْتُرُهُ، فيَقولُ: أتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذا؟ أتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذا؟ فيَقولُ: نَعَمْ أيْ رَبِّ، حتّى إذا قَرَّرَهُ بذُنُوبِهِ، ورَأى في نَفْسِهِ أنَّه هَلَكَ، قالَ: سَتَرْتُها عَلَيْكَ في الدُّنْيا، وأَنا أغْفِرُها لكَ اليَومَ، فيُعْطى كِتابَ حَسَناتِهِ، وأَمّا الكافِرُ والمُنافِقُونَ، فيَقولُ الأشْهادُ: {هَؤُلاءِ الَّذِينَ كَذَبُوا عَلى رَبِّهِمْ أَلا لَعْنَةُ اللَّهِ عَلى الظّالِمِينَ} [هود: 18].
    عبدالله بن عمر • المحدث :البخاري
    [HR Bukhari & Muslim].
  7. Jangan mengadu & ceritakan kepada orang akan kisah lampau kita yang buruk- cukuplah dengan menyesal & bertaubat kepada Allah s.w.t dan tidak mengulanginya lagi!

Semoga Allah menjadikan kita termasuk dalam golongan mereka yang masuk ke dalam syurga-Nya tanpa hisab atau yang diringankan hisabnya. Amin.

AYAT 9- {DAN IA AKAN PERGI KEPADA KELUARGANYA (YANG BERIMAN) DENGAN SUKACITA.} (AL-INSYIQAQ 84:9)

  1. Selepas menerima suratannya dengan tangan kanan, mereka pun pergi kepada kaum keluarganya yang sama-sama beriman dengan penuh kegembiraan!
  2. Firman Allah s.w.t juga:
    {Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): `Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!
    \”Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)!\”
    Maka (dengan itu) tinggalah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan, –
    Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya), –
    Buah-buahannya dekat untuk dipetik.
    (Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): \”Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!\”} (Al-Haaqqah 69: 19-24)

AYAT 10- {DAN SESIAPA YANG DIBERI MENERIMA SURAT AMALNYA (DENGAN TANGAN KIRI), DARI SEBELAH BELAKANGNYA,} (AL-INSYIQAQ 84:10)

  1. Manakala golongan kafir yang celaka; menerima suratan amalan mereka dengan tangan kiri serta dari belakang pula! Mula huru-hara dari sini.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): \”Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku,
    \”Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku.
    \”Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi);}
    \”Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun; –
    Kuat kuasaku (dan hujjah-hujjahku membela diri), telah binasa dan hilang lenyap dariku\”.} (Al-Haaqqah 69: 25-27)

AYAT 11- {MAKA IA AKAN MERAUNG MENYEBUT-NYEBUT KEBINASAANNYA,} (AL-INSYIQAQ 84:11)

  1. Maka ia bertempik meraung menyebut kebinasaannya kerana sudah tahu nasib celakanya!
  2. Sesiapa yang rasa aman & tidak takut kepada Allah s.w.t semasa di dunia akan menerima kebinasaan dan kegerunan yang dahsyat di akhirat, manakala sesiapa yang takut di dunia dulu akan aman & selamat di akhirat pula.
    *Ini kerana Allah s.w.t tidak akan kumpulkan dua ketakutan dunia & di akhirat juga.
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Dan \”Kitab-kitab Amal\” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:\” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!\” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.} (Al-Kahfi 18:49)

AYAT 12- {DAN IA AKAN MENDERITA BAKARAN NERAKA YANG MARAK MENJULANG.} (AL-INSYIQAQ 84:12)

  1. Mereka kemudian dicampakkan ke dalam neraka & akan menderita azab dengan dibakar dengan api yang marak menjulang!

AYAT 13- {SEBENARNYA IA SEMASA DI DUNIA DAHULU BERSUKARIA DALAM KALANGAN KELUARGANYA (YANG JUGA KUFUR INGKAR)!} (AL-INSYIQAQ 84:13)

  1. Mereka ini semasa di dunia dahulu bersuka-ria bergembira dengan keluarga & teman mereka yang juga kafir lagi ingkar!
  2. Mereka bebas ikut nafsu & syahwat mereka apa yang nak, tidak takut kepada Allah & tidak memikirkan akan nasib mereka di akhirat kelak!
  3. Ayat ini menjadi satu galakan kepada orang mukmin supaya sentiasa bertaubat, mengingati Allah & bersedia untuk nasib di akhirat.

AYAT 14- {SESUNGGUHNYA IA MENYANGKA BAHAWA IA TIDAK SEKALI-KALI AKAN KEMBALI (KEPADA KAMI UNTUK MENERIMA BALASAN)!} (AL-INSYIQAQ 84:14)

  1. Ini kerana mereka dengan sangkaan buruk mereka yang tidak percaya kepada hidup & bangkit semula, tiada balasan & tiada Kiamat. Maka mereka berasa aman & bebas di dunia melakukan apa sahaja yang dikehendaki.

AYAT 15- {(SANGKAANNYA ITU TIDAK BETUL) BAHKAN IA TETAP KEMBALI! SESUNGGUHNYA TUHANNYA SENTIASA MELIHAT DAN MENGETAHUI KEADAANNYA!} (AL-INSYIQAQ 84:15)

  1. Tetapi malangnya apa yang kamu sangkakan itu tidak betul sama-sekali. Kamu pasti tetap akan dibangkitkan hidup semula untuk hisab & perhitungan serta menerima balasan yang setimpal!
  2. Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Melihat & Maha Mengetahui semua apa yang kamu buat, akan dihitung dikira semuanya di Akhirat kelak untuk satu pembalasan yang adil!
  3. Dunia tempat amalan; akhirat tempat menerima balasannya
    Maka sesiapa yang cuai waktu menanam; maka dia akan kecewa waktu menuai!
  4. Marilah kita tingkatkan amalan kita supaya kita aman & selamat di akhirat kelak!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 7- {Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya,}- ada golongan yang menerima suratan amalannya dengan tangan kanan.
    Kitabnya { كِتَـٰبَهُۥ} di sini bermakna- rekod amalan seseorang itu, bukan terima al-Quran.

Penerimaannya dengan tangan kanan, sebagaimana kebiasaan atas dunia ini, jika diterima dengan tangan kanan dikira sesuatu yang baik manakala dengan kiri sebaliknya.

Maka Allah nyatakan orang yang baik akan terima suratan amalannya dengan tangan kanan!

YA Allah jadikan kami orang yang layak menerima suratan amalannya dengan tangan kanan, serta hisablah kami dengan hisab yang mudah!

  1. Ayat 8- {Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,} & Ayat 9- {Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.}- maka dia akan menerima hisab yang mudah (sebagaimana hadis Sayyidah Aisyah r.a tadi) & pergi kepada keluarganya yang sama-sama beriman dengan gembira { مَسْرُورًۭا}.

Allah sebut di sini orang beriman akan gembira { مَسْرُورًۭا} bersama keluarganya ini adalah di akhirat kelak.

Berlawanan dengan ayat 13 selepasnya yang mana Allah berfirman:

Ayat 13- {Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria { مَسْرُورًۭا} dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)!}
Mereka orang kafir ini gembira bersukaria di dunia bersama keluarga sesama kafir. Mereka gembira dengan menghina & memerli orang beriman di dunia.

Maka sekarang di akhirat mereka berada dalam azab & kebinasaan manakala orang beriman pula yang berada dalam kegembiraan & nikmat Allah!

  1. Ayat 10- {Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya,}- manakala golongan yang celaka menerima suratan amalannya dari sebelah belakangnya { وَرَآءَ ظَهْرِهِۦ}.
    Persoalan:
    Kenapa dalam firman Allah s.w.t ini dikatakan dengan tangan kiri {بِشِمَالِهِۦ}:
    {Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): \”Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku,} (Al-Haaqqah 69:25)
    Jawapan:
    Tidak ada percanggahan kerana golongan ini memang menerima dengan tangan kiri dan tangan itu dihulur melalui belakang- bukan ambil secara berdepan.
    *ada juga ulama\’ kata setengah terima dengan tangan kiri manakala sebahagian lagi melalui belakang. Wallahu a\’lam.

Ini kerana semasa di dunia dulu mereka ini telah membelakangi Kitab Allah & ajaran Allah & Rasulullah s.a.w; maka di akhirat kelak sesuailah mereka menerima kitab suratan melalui belakang juga.

Ini kerana Allah s.w.t telah katakan bahawa balasan itu adalah setimpal mengikut perbuatan mereka dulu:
{ جَزَآءًۭ وِفَاقًا}-
{Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk).} [An-Naba\’: 26].

YANG penting kita tidak mahu & berdoa kepada Allah jangan jadikan kita daripada kumpulan ini yang memalukan & menakutkan!

  1. Ayat 13- {Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)!}-
    Sebab mereka dikenakan azab siksa ialah:
    Ayat ini menerangkan akibat mereka yang semasa di dunia dulu bergembira bersama ahli mereka sama kafir, mereka tidak takut kepada Allah, buat apa saja yang diingini nafsu tanpa batasan.
    Maka di akhirat tiada lagi keamanan & kegembiraan untuk mereka.

Ayat ini dijelaskan dengan firman Allah s.w.t ini:
{Mereka berkata: \”Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga kami – selalu merasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada Allah),
\”Maka Allah mengurniakan kami (rahmat dan taufiqNya), serta memelihara kami dari azab neraka.} (At-Tuur 52: 26-27)

Ini adalah tentang keadaan orang beriman yang takut kepada Allah semasa di dunia.

Kata ulama\’ tadabbur, satu kaedah:
Allah s.w.t tidak akan kumpulkan ke atas seorang hamba-Nya dua ketakutan & dua kemanan.
Siapa yang aman di dunia akan takut di akhirat, sebaliknya sesiapa yang takut di dunia akan aman & selamat di akhirat kelak!

Firman Allah s.w.t:
i- {Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga,} (Ar-Rahmaan 55:46)

ii- {Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu. Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.} (An-Naazi\’aat 79: 40-41)

Yakni orang yang taat kegembiraannya di akhirat, di dunia ini tidak suka mana ada banyak kekangan & tuntutan.

  1. Ayat 15- { (Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!}) – sangkaan puak kafir bahawa akhirat itu tiada, itu tidak betul!

Bahkan mereka akan kembali menemui Tuhannya.
Ayat ini menunjukkan kepada hikmah kenapa ada hari Akhirat.
Kerana Allah s.w.t tahu semua perbuatan kita yang baik & buruk.
Setiap orang juga berbeza tingkat kejahtan & kebaikannya.

Jika sama & terlepas begitu saja antara orang yang jahat & zalim maka ia adalah satu kezaliman & penganiayaan!

Maka ia adalah untuk pembalasan sebagai tanda keadilan Allah s.w.t- balasan mengikut amalan.

Orang yang berpaling dari al-Quran & Sunnah di dunia dia akan terima surat amalan dari belakang!

Jika di dunia kita tidak dapat keadilan & dizalimi, sabarlah, tunggu di akhirat sana kita akan melalui proses keadilan yang penuh di hadapan Allah Azza wa Jalla.
Tidak akan lepas siapa yang zalim & tiada pembela lagi!

Sentiasalah minta ampun kepada Allah s.w.t agar kita hidup dalam keadaan aman & tidak takut.
Kembali kepada keluarga yang sama-sama beriman dalam keadaan gembira & bahagia!

Sesiapa yang aman di dunia, dia akan huru-hara di akhirat;
Siapa yang takut kepada Allah s.w.t di dunia, dia akan aman di akhirat.

Ya Allah jadikanlah kami dari golongan yang takutkan-Mu lalu mendapat keamanan di akhirat nanti.

Powered by BetterDocs