SURAH AZ-ZARIYAT : AYAT 47-51

\"\"

ALLAH S.W.T NYATAKAN QUDRAT-NYA MENCIPTA ALAM, LUAS RAHMAT-NYA & KEMBALILAH KEPADA ALLAH.

Full video : https://youtu.be/HICINYX7wCA

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan qudrat-Nya mencipta alam ini, menyediakan kemudahannya kepada kita.
  2. Maka dengan itu kembalilah kamu kepada Allah s.w.t dengan mencari keredhaan dan rahmat Allah supaya kamu selamat.
  3. Serta jauhi perbuatan syirik, menyekutukan Allah s.w.t dalam semua perkara.
  4. Munasabah ayat: Setelah Allah ceritakan tentang golongan yang ingkar akan Kebangkitan semula selepas mati, mereka anggap ia satu perbuatan mustahil orang mati boleh hidup balik. Lalu Allah s.w.t ceritakan tentang kemusnahan orang-orang yang derhaka dan ingkar.
    Maka Allah tunjukkan dalil bukti kekuasaan dalam penciptaan langit dan bumi yang begitu besar, maka pastilah Dia mampu untuk menghidupkan semula manusia.
  5. Firman Allah s.w.t:
    {Demi sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi (dari tiada kepada ada) lebih besar (dan lebih menakjubkan) daripada menciptakan manusia dan menghidupkannya semula (sesudah matinya); akan tetapi kebanyakan manusia (yang mengingkari hari kiamat) tidak mengetahui.} (Ghaafir 40:57)

AYAT 47- {DAN LANGIT ITU KAMI DIRIKAN DENGAN KEKUASAAN KAMI (DALAM BENTUK BINAAN YANG KUKUH RAPI). DAN SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH MEMPUNYAI KEKUASAAN YANG LUAS TIDAK TERHINGGA.} (AZ-ZAARIYAAT 51:47)

  1. Setelah diterangkan tentang perihal kaum yang ingkar, yang telah dimusnahkan, maka pada ayat ini dan yang berikutnya Allah s.w.t menerangkan dalil-dalil yang membuktikan kekuatan dan kekuasaan-Nya yang terdapat pada alam langit & bumi serta makhluk-makhluk yang dicipta-Nya.
  2. Allah s.w.t menyatakan bahawa Dia telah membina (بَنَيۡنَٰهَا) langit yang begitu teguh & kukuh dengan kuasa dan kekuatan-Nya (بِأَيۡدٖ).
  3. Firman Allah s.w.t: {Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh?} (An-Naba\’ 78:12)
  4. Kata Syeikh Syanqiti: maksudnya Allah bina langit itu dengan kekuatannya (بِأَيۡيْدٖ) adalah bukan ayat sifat seperti yang biasa dibicangkan kerana ia bukan jamak kepada tangan (يد), tetapi (بِأَيۡيْدٖ) dengan makna kekuatan dalam bahasa Arab.
  5. Firman Allah s.w.t: {Dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan (وَأَيَّدۡنَٰهُ) kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril).} (Al-Baqarah 2:87) Yakni kami kuatkan dia (وَأَيَّدۡنَٰهُ).
  6. Luasnya kekuasaan Allah s.w.t di ufuk langit dan bumi, Allah perluas juga rezeki-Nya kepada makhluk-makhluk-Nya, Allah s.w.t berkuasa luas untuk melakukan apa saja yang Dia mahu!
  7. Ulama\’ menghurai makna (لَمُوسِعُونَ) dengan beberapa huraian.
    Kata ar-Razi rhm., ia mengandungi beberapa makna:
    i- kami perluaskan yakni atas bumi ini ada air, ada udara serta langit di atasnya lagi besar & luas.

ii- berkuasa, kuasa Allah untuk mencipta makhluk.

iii Allah perluaskan rezeki kepada semua makhluk-Nya. Allah telah jamin semua rezeki bagi setipa makhluk dari yang sekecil-kecil sehingga yang sebesar-besarnya!

AYAT 48- {DAN BUMI PULA KAMI HAMPARKAN (UNTUK KEMUDAHAN KAMU MENDIAMINYA); MAKA KAMILAH SEBAIK-BAIK YANG MENGHAMPARKANNYA.} (AZ-ZAARIYAAT 51:48)

  1. Bumi ini pula Allah jadikannya seperti hamparan (فَرَشۡنَٰهَا) yang terbentang luas. Mudah untuk didiami oleh manusia dan segala makhluk lain.
  2. Firman Allah s.w.t: {Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan.} (Al-Baqarah 2:22)
  3. Allah adalah sebaik-baik Pencipta yang menyediakan segala nikmat dan kemudahan untuk makhluk-Nya atas muka bumi ini.

AYAT 49- {DAN TIAP-TIAP JENIS KAMI CIPTAKAN BERPASANGAN, SUPAYA KAMU MENGINGATI (KEKUASAAN KAMI DAN MENTAUHIDKAN KAMI).} (AZ-ZAARIYAAT 51:49)

  1. Setiap benda atas dunia ini Allah ciptakan berpasangan, ada pasangan samada berlawanan positif negatif atau memang pasangan sebagai teman.
    Contoh: Ada matahari & bulan, malam & siang, lelaki & perempuan, masam & manis, suka & duka, syurga & neraka, langit & bumi dan seumpamanya.
  2. Firman Allah s.w.t: {Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.} (Ar-Ra\’d 13:3)

AYAT 50- {(KATAKANLAH WAHAI MUHAMMAD KEPADA MEREKA): \”MAKA SEGERALAH KAMU KEMBALI KEPADA ALLAH (DENGAN BERTAUBAT DAN TAAT), SESUNGGUHNYA AKU DIUTUSKAN ALLAH KEPADA KAMU, SEBAGAI PEMBERI AMARAN YANG NYATA.} (AZ-ZAARIYAAT 51:50)

  1. Allah s.w.t menyeru kita lagi supaya kembali kepada Allah. Iaitu dengan bertaubat, beristighfar dan melakukan ibadat ketaatan, mendekatkan diri kepada-Nya serta meninggalkan segala perbuatan maksiat dan tidak baik.
  2. Orang yang takut kepada Allah dia akan berlari menuju kepada Allah, bukan seperti takut kepada makhluk. Takut kepada makhluk kita lari menjauhkan diri darinya.
    Kepada Allah kita mendekatkan diri kepada-nya.
  3. Doa & bacaan sebelum tidur:
    Hadis yang diriwayatkan daripada Al-Bara\’ Bin \’Azib r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda:
    \”Jika kamu datang ke tempat tidurmu maka berwudhuklah sepertimana kamu berwudhuk untuk solat. Kemudian berbaringlah dengan lambung kananmu dan bacalah:

اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ
Maknanya: \”Ya Allah aku berserah diri pada-Mu. Aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dengan penuh rasa cinta dan takut. Tidak ada tempat berlindung kecuali kepada-Mu. Aku beriman dengan kitab yang telah Engkau turunkan dan juga beriman dengan Nabi yang telah Engkau utuskan.\”

Jika kamu mati maka kamu mati dengan fitrah dan jadikanlah ia akhir ucapan yang kamu ucapkan.\” [HR Bukhari & Muslim]

Untuk bacaan penuh dan lain-lain bacaannya sila rujuk:
http://www.dartaibah.com/…

AYAT 51- {\”DAN JANGANLAH KAMU ADAKAN TUHAN YANG LAIN BERSAMA ALLAH (DALAM KEPERCAYAAN KAMU), SESUNGGUHNYA AKU DIUTUS OLEH ALLAH KEPADA KAMU SEBAGAI PEMBERI AMARAN YANG NYATA\”.} (AZ-ZAARIYAAT 51:51)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t memberi amaran agar jangan mempersekutukan Allah s.w.t, Kita wajib menyembah-Nya Azza wa Jalla semata-mata.
  2. Jangan buat syirik menyembah selain dari-Nya sekali-kali! Sembah Allah kemudian sembah syaitan atau patung-patung!
  3. Firman Allah s.w.t juga: {Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua;} (An-Nisaa\’ 4:36)
  4. Rasulullah s.a.w menyatakan tugasnya sekali lagi, bahawa dia adalah utusan (rasul) dari Allah s.w.t untuk memberi amaran dan peringatan yang sangat jelas nyata kepada manusia.
  5. Maka kita terimanya apa saja yang dibawa oleh Baginda dengan akur dan patuh, ikut suruhan & Sunnahnya, apa saja yang dilarangnya kita tinggalkan! Maka kita adalah orang yang taat kepada Allah & Rasul-Nya. Terima dan beramal dengannya bukan terima saja!
  6. Firman Allah s.w.t: {Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya.} (Al-Hasyr 59:7)
  7. Maka jadilah kita manusia yang dengar dan taat kepada Allah s.w.t, bukan manusia yang keras kepala dan payah bbaso!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 47- {Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi). Dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga.}- ayat ini Allah nyatakan kepada kita bahawa langit itu adalah satu binaan, dia ada mempunya jirim dan jisim, bukan hanya satu khayalan.

Maka ia adalah dalil jelas untuk menyangkal sangkaan puak mulhid yang mengatakan bahawa langit hanya sesuatu yang kosong dan wujud pada pandangan mata saja.

Banyak firman Allah s.w.t yang menyebut tentang ini, iaitu bahawa langit itu adalah satu binaan:
i- {Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh – yang melambangkan kekuasaanNya);} (Asy-Syams 91:5)

ii- {(Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)!} (An-Naazi\’aat 79:27)

iii- {Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya;} (Ghaafir 40:64)

Timbul persoalannya apakah hikmahnya?
Jawapan:
i- ini kerana binaan itu sesuatu yang kukuh dan tidak akan berubah sehingga ke hari Kiamat, tidak akan rosak dan berubah.
Berbeza dengan bumi yang akan berubah, sebagaimana hamparan yang dapat kita gulung atau lipat. Ia juga boleh berubah dari darat menjadi laut atau sebaliknya.

ii- langit itu kita lihat seperti sebuah kubah (dome) yang menaungi bumi ini dari atasnya. Manakala bumi itu seperti hamparan yang boleh dilipat dan dialih. Maka binaan yang di atas pastilah lebih kukuh bukan seperti yang di bawah, sekali datang tsunami atau banjir akan berubah lanskapnya bumi!

Langit tidak berubah, bumi yang akan berubah! Ini hikmah Allah s.w.t mahu kita kaji tentang bumi, tentang langit dan tentang kekuasaan Allah s.w.t!

Berapa kali kita lihat Allah tekankan dalam al-Quran bahawa Dia yang bina langit itu sendiri, bukan dengan bantuan atau sekutu, ayat ini menunjukkan kepada tauhid, kekuasaan Allah s.w.t semata-mata.

Alhamdulillah Allah bagi anugerah kepada kita dapat tengok langit dapat tengok bumi!

  1. Ayat 47- {Dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga.}- yakni sebagaimana kita sebut tadi ia membawa tiga makna:
    i- kami perluaskan yakni atas bumi ini ada ada air, ada udara serta langit di atasnya lagi besar & luas.

ii- berkuasa, kuasa Allah untuk mencipta makhluk.

iii Allah perluaskan rezeki kepada semua makhluk-Nya. Allah telah jamin semua rezeki bagi setipa makhluk dari yang sekecil-kecil sehingga yang sebesar-besarnya!

Langit adalah ciptaan Allah yang sangat luas dengan bumi yang terhampar di bawahnya. Langit juga ada tingkat yang berlapis-lapis, semakin tinggi langit itu semakin luas.

Allah s.w.t sebut semua ini supaya kita nampak kesan penciptaan-Nya, untuk menguatkan pegangan kita betapa penciptaan Allah s.w.t yang begitu agung dan hebat!

  1. Ayat 48- {Dan bumi pula Kami hamparkan (untuk kemudahan kamu mendiaminya); maka Kamilah sebaik-baik yang menghamparkannya.}- ini menunjukkan satu sudut seni kehalusan dalam binaan, kerana orang duduk atas hamparan, orang tidak duduk dibawanya. Kerana dalam bumi tidak boleh didiami, dia ada logam, lava wap panas dan lain-lain substance yang tidak sesuai untuk kehidupan manusia. Hanya orang mati yang akan duduk dalam perut bumi.

Begitulan manusia duduk atas hamparan, dibawahnya adalah serangga halus dan lantai pula. Langit itu seperti atap rumah kita, bumi ini adalah dinding dan lantainya, bila rumah lama kita tidak tukar atapnya tetapi mungkin tukar lantai dan lain-lainnya. Begitulah langit tidak akan rosak dan musnah sehinggalah tiba hari Kiamat.

Ini menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t bahawa setiap benda itu ada kedudukannya yang sesuai dengan keadaannya.

  1. Ayat 49- {Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami).}- ayat ini untuk menolak fahaman falsafah bahawa tidak akan jadi sesuatu benda itu dari satu kecuali kepada satu sahaja.
    Allah cipta setiap benda itu berpasangan untuk menyeimbangkan dan menunjukkan setiap sesuatu perlu memerlukan antara satu sama lain. Yang berdiri dengan sendiri hanyalah Allah s.w.t yang Maha Kuasa dan Esa!

Jika sejuk saja tiada panas kita akan susah. Seperti tumbuhan yang pada musim sejuk mengeluarkan benih & berbunga kemudian pada musim panas buah-buahnya masak dengan haba & suhu panas pula.

Ada air ada api, ada anak ada ibu, ada lelaki ada perempuan dan seterusnya! Ini menunjukkan kelemahan makhluk yang saling memerlukan.

  1. Ayat 50- {(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): \”Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat),}- Allah ajar kita supaya bersegera bertaubat kembali Allah.

Kita segera kembali kepada Allah dalam apa jua keadaan. Bila ada kesusahan kita kembali kepada Allah, apabila kita tersilap berdosa segera kembali kepada Allah s.w.t dengan bertaubat dan beristighfar kepada-Nya.
Kita serahkan segala urusan dan pengaduan kita kepada-Nya.
Takut kepada Allah kita berlari kepada-Nya, tinggalkan segala larangan dan maksiat.

Semoga kita termasuk dalam golongan yang berlari kepada Allah, bersegera melakukan ketaatan, dengar benda baik terus melakukannya jangan tunggu dan tangguh sebab kita tak tahu bila kita akan mati!

Powered by BetterDocs