SURAH AL-MUZZAMMIL : AYAT 10-14

\"\"

NABI S.A.W DIMINTA BERSABAR, PENJAHAT DIBIARKAN SEKETIKA & AZAB MENUNGGU DI AKHIRAT.

Full video : https://youtu.be/GPFC1-4qJeU?si=aExSUOGQHhMoSeR3

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t meminta Nabi s.a.w bersabar atas karenah jahat para kafir yang menentang & mendustakan Baginda.
  2. Allah s.w.t juga menyuruh para penjahat itu dibiarkan seketika, biarkan mereka menikmati segala kesenangan atas dunia ini!
  3. Ini kerana jika mereka tetap kufur; maka azab neraka yang dahsyat menunggu mereka di akhirat.
  4. Munasabah ayat:
    a. tugas seorang hamba ada dua perkara:
  • bagaimana cara kita berinteraksi (muamalat) dengan Allah.
  • muamalat kita dengan sesama makhluk.

i- yang pertama adalah lebih penting daripada yang kedua, Allah telah menyebutnya pada awal surah tentang hubungan kita dengan Allah iaitu dengan berzikir, solat malam dan lain-lain ibadat.

ii- lalu dalam ayat ini Allah s.w.t bawa tentang hubungan yang kedua dan Allah s.w.t berpesan kepada Rasulullah s.a.w agar bersabar atas karenah kaumnya yang menentangnya.

b. Munasabah kedua:
i- disebut khusus tentang solat & zikir dalam ayat yang lepas, betapa ia amat penting dalam kehidupan seseorang muslim. Solat malam & zikir-zikir harian ini adalah untuk menambahkan kekuatan jiwa, kecerdikan mental & tahap kesabaran.

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t suruh Nabi s.a.w agar bersabar dalam menghadapi penentangan musuh Islam dalam berdakwah & mengamalkan Syariah ini.
Untuk sabar perlu kuat semangat & jiwa dan kena rapat dengan Allah s.w.t.

c. Munasabah ketiga:
i- Allah s.w.t memerintahkan kita supaya mengambil Allah sebagai wakil (yang jaga kita) dan bertawakkal kepada Allah dengan sepenuh pergantungan.

ii- maka dalam ayat ini disuruh bersabar kerana orang yang bertawakkal kepada Allah dalam perkara di luar kemampuannya akan mampu untuk bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian!

  1. Di sini kita dapat lihat kaitan dan huraian antara ayat dengan ayat begitu mantap; kerana ia datang dari Allah s.w.t!
    Kerana itu kita kena belajar dan tadabbur al-Quran baru kita dapat lihat kehebatan & keistimewaaannya dengan lebih jelas!

AYAT 10- {DAN BERSABARLAH TERHADAP APA YANG DIKATAKAN OLEH MEREKA (YANG MENENTANGMU), DAN JAUHKANLAH DIRIMU DARI MEREKA DENGAN CARA YANG BAIK.} (AL-MUZZAMMIL 73:10)

  1. Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w bersabar { وَٱصْبِرْ} atas karenah kaumnya yang menentang, mendustakannya, mengejek dan mempermainkan segala ajaran dakwahnya.
  2. Bersabar dan menghadapi karenah mereka ini adalah yang lebih utama. Jika kita mampu menghadapi maka bercampurlah dengan masyarakat & sabar mengahadapi karenah mereka.
  3. Tetapi jika sudah tidak mampu menghadapi mereka lagi, maka; tinggalkanlah mereka {وَٱهْجُرْهُمْ } dengan cara yang baik { هَجْرًۭا جَمِيلًۭا}. Jangan berbalah & berlawan, memaki mereka jika kita tiada kemampuan.
  4. Khilaf ulama\’ tentang ayat ini samada mansukh (dibatalkan hukumnya) atau tidak:

i- Ada ulama\’ kata ayat untuk mengelakkan diri ini dimansukhkan dengan ayat peperangan yang datang dalam surah at-Taubah.

ii- Tetapi ada juga ulama\’ kata tidak; kita kena tengok kepada keadaan & realiti.
Jika kamu tidak mampu dan lemah maka ambillah langkah menjauhkan diri dari mereka jika kita tidak mampu untuk melawan & menentang mereka!
Ini untuk menjaga maslahah keselamatan diri dan harta. Islam tidak memaksa umatnya di luar kemampuan mereka sehingga terancam dan tidak selamat.

  1. Firman Allah s.w.t:
    {Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka.} (An-Nisaa\’ 4:63)
  2. Yakni para pendakwah jangan mudah koyak, merajuk dan lari tinggalkan medan dakwah dengan sedikit halangan & tentangan, sabar itu lebih afdhal!

AYAT 11- {DAN BIARKANLAH AKU SAHAJA MEMBALAS ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN (BAWAANMU) ITU, ORANG-ORANG YANG BERADA DALAM KEMEWAHAN, DAN BERILAH TEMPOH KEPADA MEREKA SEDIKIT MASA;} (AL-MUZZAMMIL 73:11)

  1. Allah s.w.t beritahu kepada Rasulullah s.a.w agar membiarkan mereka ini dan serahkan urusan mereka kepada Allah s.w.t.
  2. Iaitu mereka yang menentang dan mendustakan Rasulullah s.a.w, mereka ini pula kaya & banyak harta serta mewah atas dunia ini { أُو۟لِى ٱلنَّعْمَةِ}.
  3. Gaya bahasa; Beza antara perkataan
    { ٱلنَّعْمَةِ} & { ٱلنِّعْمَةِ}:
    i- { ٱلنَّعْمَةِ}- dengan baris atas (na\’mat} adalah bermaksud kekayaan harta & kemewahan hidup. Orang yang kaya & mewah.

ii- { ٱلنِّعْمَةِ}: dengan baris bawa (ni\’mat) pula adalah semua nikmat secara umum, kesihatan, ketenangan hidup, kegembiraan yakni bukan khusus kepada harta & kekayaan sahaja.

  1. Firman Allah s.w.t:
    {Oleh itu, janganlah engkau segera marah terhadap mereka yang ingkar itu, kerana sesungguhnya kami hanya menghitung hari yang sedikit sahaja bilangannya untuk mereka.} (Maryam 19:84)
  2. Sabarlah, jangan gopoh, berikan mereka sedikit masa menikmati kemewahan & kekayaan mereka!
    Jika mereka terus kufur Allah s.w.t akan mengambil tindakan ke atas mereka, jika selamat di dunia, di Akhirat kelak azabnya menanti.

AYAT 12- {KERANA SESUNGGUHNYA DI SISI KAMI DISEDIAKAN (UNTUK MEREKA) BELENGGU-BELENGGU DAN NERAKA YANG MENJULANG-JULANG,} (AL-MUZZAMMIL 73:12)

  1. Sesungguhnya Allah s.w.t telah sedikan bagi mereka ini di sisi-Nya, hukuman yang amat dahsyat dan azab yang pedih!
  2. Iaitu belenggu-belenggu besi dan api neraka yang menjulang-julang & pelbagai azab lagi.
  3. Hadis riwayat dari Abdullah bin Umar r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ الَّذِي يُخَالِطُ النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنْ الْمُؤْمِنِ الَّذِي لَا يُخَالِطُ النَّاسَ وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ

\”Seorang mukmin yang bercampur dengan manusia dan bersabar atas kejahatan mereka; lebih besar ganjaran untuknya dari mereka yang tidak bercampur dengan manusia dan tidak bersabar atas kejahatan mereka [HR at-Tirmizi, Ahmad & Ibnu Majah].

  1. Jadi kita ambillah sikap untuk bercampur dengan manusia selagi mampu.

AYAT 13- {SERTA MAKANAN YANG MENJADIKAN PEMAKANNYA TERCEKIK, DAN AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.] (AL-MUZZAMMIL 73:13)

  1. Makanan yang disediakan mereka pula menjadikan pemakannya tercekik, dan pelbagai lagi azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
  2. Sempena Ramadahan ini kita perbanyakkan doa ini:

أَللّـهُمَّ أَعْتِقْ رِقاَبَناَ وَرِقاَبَ آباَئِناَ وَأُمَّهاَتِناَ مِنَ النَّارِ

Ya Allah bebaskan kami dan kedua ibu bapa kami dari api neraka.
Serta doakan semua orang yang kita sayangi, pasangan, anak cucu dan semuanya.

  1. Kerana ada hadis Rasulullah s.a.w:
    Abu Said al-Khadri r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:
    \”Sesungguhnya Allah S.W.T memberikan kebebasan dari siksa neraka pada setiap malam yakni di bulan Ramadhan.\” [HR at-Tirmizi].

AYAT 14- {(AZAB ITU TETAP BERLAKU) PADA HARI BUMI DAN GUNUNG-GANANG BERGONCANG (SERTA HANCUR LEBUR), DAN MENJADILAH GUNUNG-GANANG ITU TIMBUNAN PASIR YANG MUDAH BERSEPAH.} (AL-MUZZAMMIL 73:14)

  1. Azab itu akan datang pada hari Kiamat, ia adalah sesuatu yang pasti berlaku!
  2. Pada hari Kiamat itu bumi dan gunung-ganang bergoncang serta hancur lebur, dan jadilah gunung-ganang itu timbunan pasir yang mudah bersepah { كَثِيبًۭا مَّهِيلًا}.
  3. Firman Allah s.w.t juga:
    {Dan mereka (yang kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) dari hal gunung-ganang; maka jawablah: \”Tuhanku akan menghancurkannya menjadi debu ditiup angin.} (Taha 20:105)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 10- {Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.}- Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w bersabar atas segala kejahatan mereka yang menentangnya!

Kata ar-Razi rhm.: dalam ayat ini Allah s.w.t kumpulkan dua cara untuk kita berinteraksi dengan makhluk:
i- jika bercampur dengan mereka, maka wajib kita bersabar. Karenah & percakapan manusia tidak akan habis! Maka jika mampu lawan & hadapilah mereka.

ii- jika kamu tidak mampu menghadapinya maka tinggalkanlah mereka dengan cara baik. Diam saja, jangan berlawan dengan mereka atau menca-maki pula. Kita undur dan rehat dulu, berfikir & carilah cara dan jalan lain pula.

Kata ahli fikir: Di mana bumi yang subur; di situlah benih ditabur!
Yakni di mana orang perlukan kita maka kita pergilah tabur ilmu di situ.

  1. Ayat 10- {Dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.}- jika kamu tak mampu lari
    Ulama\’ menggariskan dua cara menjauhkan diri ini:
    I- jauhkan diri dengan tinggalkan mereka terus. Nak ubah & ingkar kemungkaran mereka kita tidak mampu, maka jangan hadir atau sertai majlis & perkumpulan mereka dari awal lagi! Seperti tempat mungkar & bercampur dengan maksiat!

Contoh seperti majilis perkahwinan:
Asalnya wajib kita hadirnya jika dijemput. Tetapi jika kita tahu ada maksiat seperti muzik & lagu yang lagha, percampuran bebas lelaki perempuan, tidak tutup aurat dan seumpamanya, kita jangan hadir!

ii- jauhkan dengan makna hukuman (عقوبة). Yakni kita tinggalkan dia dengan makna kita boikot mereka!

Seperti mana kisah Rasulullah s.a.w jatuhkan hukuman ini ke atas tiga orang sahabat: Ka\’ab bin Malik, Hilal bin Umayyah dan Murarah bin ar-Rabi\’ r.anhum yang tidak menyertai peperangan Tabuk walaupun mereka mampu & tiada halangan. Mereka ini mengaku dan tidak memberi alasan yang membolehkan mereka terlepas daripada hukuman.

Lalu Rasulullah mengarahkan para sahabat, untuk tidak bercakap/ berkomunikasi dengan mereka bertiga, hatta menjawab salam pun tidak.

Keadaan ini berterusan hampir selama 50 hari yang menyebabkan mereka berasa amat resah gelisah. Akhirnya Allah s.w.t menurunan ayat al-Quran mengampunkan mereka bertiga ini. Ini adalah satu khabar yang amat mengembirakan mereka dan seluruh muslimin di Madinah serta Rasulullah s.a.w sendiri.

Firman Allah s.w.t:
{Dan (Allah menerima taubat) tiga orang yang ditangguhkan (taubat), sehinggakan bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; Kemudian Allah menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah, Dialah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.} [At-Taubah: 118].
[Ringkasan dari hadis yang panjang HR Bukhari & Muslim dan lain-lain].

  1. Ayat 11- {Dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan, dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;}- ulama\’ seperti al- Biqa\’i berkata:
    Ayat ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w akan menang pada akhirnya! Allah akan jatuhkan puak kafir yang menentangnya!

Allah s.w.t tidak akan tanya kita menang atau berjaya atau tidak? Tetapi Allah s.w.t akan tanya apakah kita telah jalankan tanggung-jawab kita dengan melakukan dakwah dan berusaha sebaik mungkin!

  1. Ayat 11- {Dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan, dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa;}- ayat ini menunjukkan atas dunia ini ada orang yang kaya & mewah hidupnya walaupun mereka tidak beriman & tidak ingat kepada Allah Azza wa Jalla.

Tetapi mereka ini akan mendapat balasan yang setimpal pada hari akhirat kelak! Walaupun mungkin terlepas dan selamat di dunia tetapi tidak sekali-kali di Akhirat kelak, azab yang pedih telah disediakan bagi mereka.

Firman Allah s.w.t:
{Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.} (Al-Furqaan 25:44)

  1. Ayat 14- {(Azab itu tetap berlaku) pada hari bumi dan gunung-ganang bergoncang (serta hancur lebur), dan menjadilah gunung-ganang itu timbunan pasir yang mudah bersepah.}- dalam ayat ini Allah s.w.t gambarkan keadaan bukit-bukau dan gunung-ganang yang akan
    musnah pada hari Kiamat kelak.

KATA ULAMA\’ :

Allah s.w.t gambarkan keadaan bukit pada hari Kiamat dengan beberapa gambaran dalam al-Quran:

i- hancur-lebur;
{Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup Sangkakala dengan sekali tiup, Dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur.} (Al-Haaqqah 69: 13-14)

ii- bukit berterbangan;
{Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.} (Al-Kahfi 18:47)

iii- bukit dileburkan;
{ Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya,} (Al-Waaqi\’ah 56:5)

iv- dihancurkan menjadi debu:
{ Dan mereka (yang kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) dari hal gunung-ganang; maka jawablah: \”Tuhanku akan menghancurkannya menjadi debu ditiup angin.} (Taha 20:105)

v- seperti bulu berterbangan;
{(Iaitu) pada hari langit menjadi seperti tembaga cair,
Dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan)} (Al-Ma\’aarij 70: 8-9)

vi- seperti debu bertebaran;
{Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya,
Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran.} (Al-Waaqi\’ah 56: 5-6)

vii- seperti fatamorgana atau aling-alingan (mirage):
{Dan gunung-ganang – setelah dihancurkan – diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.} (An-Naba\’ 78:20)

Tamatlah perbincangan kita dalam siri ini semoga mendapat manfaat.

Hari ini hari Jumaat, ingat Jumaat ingat:
i- selawat
ii- Baca Kahfi
iii- Sedekah.

Untuk sumbangan terkini:
Bank Islam: 03072010142199
Tabung Pembangunan Masjid Taman Desa Tok Guru
Rujukan: Dana Masjid

Powered by BetterDocs