SURAH AL-QALAM : AYAT 1-7

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH & ALLAH PUJI AKHLAK NABI-NYA YANG MULIA.

Full video : https://youtu.be/8ZiR37zcMfs

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Ahad 14 Rajab 1444H bersamaan 5hb Februari 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Qalam – سورة القلم
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya.
    Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-Qalam adalah surah ke-68 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-Mulk – dalam juz ke 29, mengandungi 52 ayat. Termasuk dalam kumpulan surah Mufassal (المفصل), iaitu surah yang pendek-pendek ayatnya.
  4. Ijma\’ ulama\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
  5. Surah ini adalah antara surah terawal (من أوائل) yang turun kepada Rasulullah s.a.w.
  6. Ia juga adalah surah terakhir dalam susunan tertib mushaf al-Quran, yang dimulai dengan satu huruf saja iaitu (نٓ).
    Tidak ada surah lain selepas ini yang sedemikian.
    Sebelum ini ada beberapa surah lain seperti (ق), (ص) dan lain-lain.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Qalam- سورة القلم yang bermakna {Pena} kerana pada ayat pertama surah ini Allah s.w.t bersumpah dengan Qalam- pena & tulisannya {وَٱلْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ}- yang menjadi lambang kemajuan & ilmu, untuk menegaskan bahawa Rasulullah s.a.w bukanlah seorang yang gila sebagaimana yang dituduh oleh kaum kafir musyrikin.

Bahkan Baginda adalah seorang yang bijaksana, yang tetap beroleh pahala yang tidak putus-putus sebagai balasan menyampaikan ajaran agama Islam. Baginda juga mempunyai akhlak yang sangat mulia.

ii- ada juga yang menamakannya sebagai surah

{ن.وَٱلْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ}

iii- ada yang menamakannya sebagai surah Nun (نٓ) sahaja.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Setelah membela dan menegaskan kebenaran Rasulullah s.a.w, Allah s.w.t lalu memberi semangat kepada Baginda bahawa tidak lama lagi Baginda s.a.w akan melihat kejayaan & kemenangan dalam mengembang & menegakkan Islam, sebaliknya musuhnya yang menentang Islam akan melihat kekalahan mereka dalam keadaan yang sehinanya.
    Yakni gelombang ini akan berubah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
  2. Menolak anggapan puak kafir yang mendakwa kerana mereka mempunyai kelebihan di dunia dari segi material & kebendaan berbanding dengan orang Islam; maka mereka juga akan mengatasi orang Islam di akhirat kelak!
  • Bagi menolak & menafikannya Allah s.w.t bertanya; apakah patut Kami berlaku tidak adil dengan menjadikan orang Islam yang taat sama dengan pendosa yang kufur ingkar? Banyaklah ayat-ayat dalam surah ini yang menyebut tentangnya.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah Allah mahu membatalkan tuduhan jahat puak kafir terhadap Rasulullah s.a.w dan menyatakan kesesatan mereka.
  2. Mengisbatkan kesempurnaan hidup Rasulullah s.a.w di dunia & akhirat serta tetaplah keadaan itu sehinggalah Baginda diberi kedudukan yang sesuai dengannya di akhirat kelak!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t cabar puak kafir dengan al-Quran ini. Jika mampu buat, buatlah!
  2. Allah s.w.t memuji Rasulullah s.a.w dengan sebaik pujian yang indah untuk menenangkan hati Baginda terhadap karenah musuhnya yang tidak jemu-jemu menentangnya.
  3. Allah s.w.t melarang Rasulullah s.a.w dari berlembut dengan puak kafir dalam prinsip agama. Jangan bergabung dan menerima cadangan & perancangan buruk mereka yang zahirnya nampak baik.
  4. Allah s.w.t nyatakan buruknya sifat sebahagian puak kafir Makkah & seluruhnya.
  5. Allah s.w.t buat bandingan ahli Makkah dengan ahli syurga semoga mereka mengambil iktibar pengajaran.
  6. Allah s.w.t buat bandingan akhir kesudahan orang beriman yang akan mendapat balasan syurga & kafir yang akan dihumbankan ke dalam neraka. Wal \’yazubillah.
  7. Membodohkan puak kafir & mencela mereka serta menegakkan hujjah ke atas mereka dengan amaran yang keras.
  8. Diakhiri surah ini dengan menenangkan hati Rasulullah s.a.w. Allah perintahkannya supaya sentiasa bersabar menghadapi karenah puak kafir yang sentiasa mencari jalan menyusah & mengkhianati Baginda s.a.w serta merosakkan Islam.

MUNASABAH SURAH AL-QALAM – سورة القلم DENGAN SURAH AL-MULK – سورة الملك SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah al-Mulk:

  1. Dalam Surah al-Mulk Allah s.w.t menyebut tentang kuasa mutlak-Nya serta di akhir surah Allah tanya puak kafir bagaimana keadaan mereka jika sumber air mereka menjadi kering.

ii- Dalam surah Al-Qalam ini Allah s.w.t sebut tentang kebun milik satu keluarga beriman yang musnah terbakar dalam satu malam sahaja. Turun api sebagai bala bencana dari langit membakarnya.

Inilah amaran tentang sumber rezeki yang Allah tarik sebahagian daripadanya supaya menjadi iktibar bagi mereka.

  1. Dalam Surah al-Mulk Allah s.w.t bawa dalil-dalil tentang keagungan, ilmu dan kehebatan-Nya serta amaran bagi puak kafir tentang azab yang hina di dunia & azab yang dahsyat di Akhirat.
    Serta Allah s.w.t galakkan mereka supaya beriman kepada Allah & Rasulullah s.a.w serta supaya percaya akan kebangkitan semula.

ii- dalam surah ini Allah s.w.t membebaskan Nabi-Nya segala tuduhan jahat yang mereka lemparkan ke atas Baginda seperti gila, ahli sihir, penyair dan seumpamanya.
Yang sebenarnya Baginda s.a.w adalah seorang yang mempunyai akhlak yang mulia & peribadi terpuji, serta mendapat rahmat & pahala yang tidak terputus dari Tuhannya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 1- {NUUN. DEMI PENA DAN APA YANG MEREKA TULIS,} (AL-QALAM 68:1)

  1. Surah ini dimulai dengan satu huruf saja iaitu (ن). Beberapa surah dalam al-Quran telah dimulai dengan huruf saja (المقطعة) dan surah al-Qalam ini yang terakhir.
    Ini adalah mukjizat al-Quran untuk melemahkan makhluk lain daripada menirunya.
  2. Kemudian Allah s.w.t bersumpah dengan Qalam (pena) dan apa yang ditulisnya.
  3. Kata ulama\’ tafsir; pena mana yang Allah bersumpah itu?
    i- pena yang Allah cipta untuk menulis segala taqdir perancangan ke atas dunia ini & makhluk yang Allah buat sehingga ke hari Kiamat. Ia telah siap 50 ribu Tahun sebelum dijadikan makhluk.
    Inilah didikan dari Islam, semua perkara kita kena buat rancangan ada blue printnya.

ii- Qalam yang menulis di Lauh Mahfuz.

iii- ada ulama\’ kata Qalam secara umum, semua pen yang menulis di langit atau di bumi.

  1. Apa yang ditulisnya (وَمَا يَسْطُرُونَ) pula ialah:
    i- apa yang di tulis di Lauh Mahfuz.
    ii- apa yang di tulis oleh malaikat atau
    iii- semua yang ditulis oleh pen secara umumnya!

AYAT 2- {ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) – DENGAN SEBAB NIKMAT PEMBERIAN TUHANMU – BUKANLAH SEORANG GILA (SEBAGAIMANA YANG DITUDUH OLEH KAUM MUSYRIK, BAHKAN ENGKAU ADALAH SEORANG YANG BIJAKSANA).} (AL-QALAM 68:2)

  1. Allah s.w.t mulakan dengan memuji Rasulullah s.a.w, selepas bersumpah dengan Qalam yang menjadi sumber ilmu pengetahuan & maklumat.
  2. Kemudian dengan sebab al-Quran yang dibawanya, Rasulullah s.a.w dituduh dengan bermacam tuduhan jahat.
    Lalu Allah s.w.t menafikan bahawa Baginda bukanlah seorang yang gila seperti yang dituduh oleh kaum musyrikin Makkah.
  3. Bahkan Allah memuji Baginda s.a.w sebagai seorang yang bijak, mempunyai akhlak yang mulia dan peribadi yang terpuji!
    Penampilan dan rupanya adalah kemas dan indah, bukan selayaknya seperti seorang gila!
  4. Serta menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w dengan nikmat yang diberikan oleh Allah dari segi wahyu dan jawatannya adalah seorang yang mulia & terpilih!

AYAT 3- {DAN SESUNGGUHNYA ENGKAU TETAP BEROLEH PAHALA YANG AMAT BESAR, YANG TIDAK PUTUS-PUTUS, (SEBAGAI BALASAN BAGI MENJALANKAN AJARAN ISLAM);} (AL-QALAM 68:3)

  1. Allah s.w.t menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w akan mendapat pahala yang besar, yang tidak akan putus dan berkurangan sedikitpun! Kerana semua yang kita buat adalah melalui Rasulullah s.a.w, al-Quran juga melalui Baginda!
  2. Yakni pahala iman, amal soleh, kebaikan dan ilmu yang umatnya buat sejak dari awal sehingga ke akhir zaman akan mengalir juga kepada Rasulullah s.a.w.

Kerana itu kata ulama\’ tidak perlu kita sedekah atau hadiahkan al-Fatihah atau apa-apa pahala kepada Rasulullah s.a.w, kerana Allah s.w.t telah tetapkan pahala khas kepada Baginda s.a.w!

  1. Ini adalah satu anugerah yang besar kepada Rasulullah, Muhammad s.a.w! Selagi ada orang Islam beribadat atas dunia ini maka Baginda pahala yang tidak putus-putus {غَيْرَ مَمْنُونٍۢ}.

AYAT 4- {DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA ENGKAU MEMPUNYAI AKHLAK YANG AMAT MULIA.} (AL-QALAM 68:4)

  1. Satu lagi nikmat yang amat besar Allah anugerah kepada Rasulullah s.a.w ialah Allah akui & iktiraf bahawa Baginda mempunyai akhlak yang amat mulia.
  2. Iaitu tabiat, akhlak, peribadi dan adab yang amat besar & mulia.
  3. Sa\’di bin Hisham bin Amir telah datang ke Madinah dan bertemu dengan UM Sayyidah Aisyah r.a dan bertanya:

يَا أُمَّ المُؤمِنِينَ ! أَنبئِينِي عَن خُلُقِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم؟

\”Wahai Ummul Mukminin, ceritakan kami tentang akhlak Rasulullah s.a.w.\”

Lalu Aisyah menjawab dan bertanya kepadanya:
\”Apakah engkau tidak membaca al-Quran?\”
Said menjawab: Bahkan aku membacanya.

LALU UM AISYAH BERKATA :

قَالَت : فَإِنَّ خُلُقَ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ كَانَ القُرآنَ

\”Sesungguhnya akhlak Nabi s.a.w itu adalah al-Quran.\” [HR Muslim].

  1. Hadis riwayat Anas r.a:
    \”Selama sepuluh tahun aku berkhidmat untuk baginda (Rasulullah), aku tidak pernah mendengar baginda mengucapkan kata \’ah\’, sebagaimana baginda tidak pernah bertanya \’apa yang kau lakukan\’, \’kenapa kamu lakukan ini? atau \’bukankah seharusnya kamu melakukan seperti ini.\’ [HR Bukhari & Muslim].

AYAT 5-{MAKA (TIDAK LAMA LAGI) ENGKAU AKAN MELIHAT, DAN MEREKA JUGA AKAN MELIHAT,} (AL-QALAM 68:5)

  1. Tunggulah tidak lama lagi akan terzahir kebenaran, kamu wahai Rasulullah s.a.w akan melihatnya, mereka puak kafir juga akan melihatnya!
  2. Jika ada orang dakwa itu ini, kita bagi masa sekejap, bagi dia peluang buktikan kebenarannya, tidak lama kemudian pasti akan terserlah pendustaan atau pembohongannya.

AYAT 6- {SIAPAKAH ORANGNYA YANG GILA DI ANTARA KAMU SEMUA.} (AL-QALAM 68:6)

  1. Iaitu akan jelas siapakah sebenarnya yang sesat atau gila { بِأَييِّكُمُ ٱلْمَفْتُونُ} seperti yang kamu dakwa wahai puak kafir!
  2. Kita akan dapat lihat siapa yang tidak betul, siapa yang menyeleweng sebenarnya di antara kamu!
  3. Kata pepatah Arab: Hulurkan kaki kamu mengikut saiz selimut kamu!
    Jika selimut kecil pandai-pandailah berselubung dengannya untuk keselesaan kamu.

AYAT 7- {SESUNGGUHNYA TUHANMU, DIA LAH JUA YANG LEBIH MENGETAHUI AKAN ORANG YANG SESAT DARI JALANNYA, DAN DIA LAH JUA YANG LEBIH MENGETAHUI AKAN ORANG-ORANG YANG MENDAPAT PETUNJUK.} (AL-QALAM 68:7)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan bahawa sesungguhnya Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan:
    i- siapakah yang sesat dari jalanNya,
    ii- dan siapa yang mendapat petunjuk!
  2. Ini bagi menjawab ayat sebelumnya iaitu; siapakah di antara kamu yang sesat sebenarnya!
    Setiap orang boleh mengaku dia yang benar, tetapi kita ada pengukurnya iaitu al-Quran & Hadis Nabi yang sahih!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis,}- kata ulama\’ tadabbur ini adalah sumpah Allah s.w.t dengan al-Quran!

Faedahnya ialah al-Quran itu sebagai Kitab Islam yang diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah s.a.w dengan tidak bertulis. Tetapi selagi akan ditulis dan dibaca di tangan orang Islam.

Kerana itulah Rasulullah s.a.w memilih dan melantik beberapa sahabat yang boleh menulis khas sebagai penulis wahyu.
Setiap kali turun ayat al-Quran, Rasulullah s.a.w akan memberitahu mereka untuk meletak/menyusunnya di mana lalu menulisnya.

Pengumpulan ayat al-Quran ini bermula pada zaman Khalifah Abu Bakar r.a dan siap pengumpulannya pada zaman Khalifah Usman r.a.
Serta siap penulisannya dan dinamakan Resam Uthmani.

Ayat ini juga menolak fahaman & tuduhan jahat orang kafir yang menuduh Rasulullah s.a.w sebagai seorang yang gila & tidak betul dengan sebab al-Quran yang dibawanya!

  1. Ayat 1- {Nuun.}- ini adalah surah yang dimulai dengan satu huruf.
    Terdapat beberapa surah dalam al-Quran ini yang dimulai dengan huruf Hija\’iyah (مقطعة) seperti:
    i- Ada yang dimulai dengan satu huruf: {ن}, {ق}, {ص}.

ii- Ada yang dimulai dengan dua huruf: {حم}, {يس} {طه}, {طس}

iii- Ada yang dimulai dengan tiga huruf seperti: {الم}, {الر}, {طسم}

iv- Ada yang dimulai dengan dua huruf: {المر}, {المص}

v- Ada yang dimulai dengan lima huruf seperti: {كهيعص}, {حم عسق}
Dan 5 ini adalah huruf yang terbanyak, tidak ada yang lebih daripadanya.

Setiap surah yang dimulai dengan huruf-huruf ini, selepas daripada huruf itu; Allah s.w.t akan sebut tentang kedudukan atau sifat al-Quran kecuali:
i- satu surah saja iaitu surah Maryam.

ii- Ada juga yang kata surah al-Qalam ini.
Tetapi ada juga ulama\’ kata ayat selepas iaitu { وَمَا يَسْطُرُونَ}- apa yang ditulisnya itu; ialah al-Quran!

  1. Ayat 4- {Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.}- akhlak Rasulullah s.a.w adalah yang terbaik, kerana itu Allah s.w.t perintahkan untuk kita ikut apa yang dibuat oleh Nabi s.a.w.

Maka kewajipan kita belajar Sirah Nabi s.a.w untuk mendalami dan memahaminya.
Kita juga wajib baca & belajar al-Quran kerana akhlak Baginda itu duduk di al-Quran.

  1. Ayat 4- {Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.}- menjadi kewajipan kepada penuntut ilmu untuk berusaha berakhlak dengan sebaik-baik akhlak, dengan akhlak yang mulia.
    Ini kerana tiada faedah kita belajar ilmu banyak-banyak jika tidak mengamalkannya!

Jauhilah sifat yang tidak layak dengan akhlak orang yang mencintai al-Quran dan sebagai penuntul ilmu.
Belajar atau mengajar al-Quran & hadis tetapi akhlaknya tidak mencerminkan ahlul-Quran!

Allah s.w.t nyatakan dan puji akhlak Rasulullah s.a.w dengan satu pengiktirafan yang sempurna dan lengkap.

Doa Rasulullah s.a.w dalam doa iftitah (permulaan solat) yang panjang termasuk memohhon untuk akhlak yang mulia:

وَاهْدِنِي لِأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ، وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لَا يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ،

\”Tunjukilah aku akhlak yang paling terbaik. Tidak ada yang dapat menunjukkannya melainkan hanya Engkau.
Jauhkanlah dariku akhlak yang buruk.
Kerana sesungguhnya tidak ada yang sanggup menjauhkannya melainkan hanya Engkau.\”

Boleh tengok bacaan penuhnya dalam kitab Perisai Muslim.

Kenapa Rasulullah s.a.w berdoa lagi kepada Allah s.w.t sedang Allah sudah iktiraf akan kemulian akhlah Baginda s.a.w?
Jawapannya:
i- supaya Baginda ditetapkan atas akhlak yang mulia itu, tidak berubah kepada yang tidak baik sekali-kali!

ii- supaya bertambah mulia akhlaknya!

iii- Rasulullah s.a.w mahu ajar kepada kita umatnya, jika Baginda s.a.w seorang Rasul yang telah diikitiraf oleh Allah s.w.t akan akhlaknya yang mulia masih berdoa kepada Allah, maka kita umatnya manusia biasa takkan tidak mahu berdoa memohon akhlak yang mulia????

Inlah contoh qudwah hasanah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w kepada kita.

Ya Allah kurniakan kepada kami akhlak yang mulia dan jauhkanlah dari kami segala akhlak yang buruk!

  1. Ayat 7- {Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.}- ayat ini menjadi ancaman kepada orang yang sesat & Allah beri janji baik bagi orang yang baik, yang mengikut petunjuk dan hidayah.

Orang yang ikut hidayah orang yang bahagia, orang yang sesat adalah orang yang celaka, wal \’iyazubillah!

Mudah-mudahan dengan usaha kita untuk menjadi orang yang baik, semoga Allah s.w.t beri kepada kita yang terbaik!

Powered by BetterDocs