SURAH AL-BAYYINAH : AYAT 6-8

\"\"

KEADAAN ORANG KAFIR DALAM NERAKA DAN ORANG MUKMIN DALAM SYURGA & DIREDHAI OLEH ALLAH.

Full video : https://youtu.be/U8fV900fc8k?si=46E3d2g-_gP8KgBt

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang keadaan orang kafir yang akan ditempatkan di dalam neraka dan mereka akan kekal berada di dalamnya.
  2. Manakala sebaliknya, orang mukmin akan dimasukkan dalam syurga yang mereka akan redha & gembira dengan nikmat balasannya serta mereka juga akan diredhai oleh Allah.
  3. Munasabah susunan ayat:
    i- dalam ayat sebelum ini, ayat 1-5- Allah s.w.t telah menyebut keadaan orang kafir itu tidak beriman sehinggalah kedatangan keterangan yang nyata iaitu Rasulullah s.a.w.

Kemudian Allah s.w.t juga sebut keadaan orang mukmin iaitu bahawa mereka tidak diperintahkan kecuali untuk menyembah Allah Azza wa Jalla.

Lalu pada akhir surah ini Allah s.w.t ulang balik apakah kesudahan kedua pihak ini iaitu keadaan puak kafir ini di akhirat kelak.

ii- isu kedua; Allah s.w.t nyatakan tentang keburukan ahli Kitab & orang kafir musyrikin yang tidak ada kitab.
Kita telah bincang kenapa Allah s.w.t bezakan dua golongan kafir ini dalam siri yang lepas.

Dalam ayat ini Allah s.w.t ulang sebut balik tentang ahli kitab yang menyeleweng dari kitab mereka. Juga menolak kekeliruan yang ditimbulkan oleh mereka yang menjadi ikutan kafir musyrikin Makkah yang tidak ada kitab.

Maka di akhir surah Allah s.w.t bahawa hukuman bagi kedua golongan ini iaitu sebaik manusia bagi orang yang beriman {خَيْرُ ٱلْبَرِيَّةِ} & seburuk manusia bagi orang yang kafir {شَرُّ ٱلْبَرِيَّةِ} tidak beriman kepada Allah s.w.t!

Ya Allah jadikan kami golongan yang beriman, yang takut dan sentiasa tunduk kepada Allah, yang melayakkan kami untuk masuk dalam golongan {خَيْرُ ٱلْبَرِيَّة}.

AYAT 6- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KAFIR DARI AHLI KITAB DAN ORANG-ORANG MUSYRIK ITU AKAN DITEMPATKAN DI DALAM NERAKA JAHANNAM, KEKALLAH MEREKA DI DALAMNYA. MEREKA ITULAH SEJAHAT-JAHAT MAKHLUK.} (AL-BAYYINAH 98:6)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t sebut sekali tentang semua golongan kafir samada mereka daripada golongan ahli Kitab atau kafir musyrikin – semua mereka akan dimasukkan ke dalam neraka!
  2. Mereka segala jenis kafir ini akan dicampakkan ke dalam neraka & kekal di dalam neraka! {خَـٰلِدِينَ فِيهَآ}

Ayat ini hampir sama dengan ayat ke-8 tapi ada perbezaan besar iitu pada ayat lapan ada tambahan untuk ahli syurga mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya {خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًۭا}.

  1. Allah juga nyataka bahawa mereka semua golongan yang kufur kepada Allah; ini adalah sejahat-jahat makhluk {شَرُّ ٱلْبَرِيَّةِ} dari segi sudut aqidah!
    Kerana mereka syirik kepada Allah s.w.t!
  2. Walaupun baik dengan makhluk tetapi jika kufur kepada Allah itu adalah sejahat-jahat makhluk yang tidak diiktiraf oleh Allah s.w.t!

Jangan kita pertikaikan lagi bahawa mereka itu adalah orang yang pemurah & banyak buat kebajikan sesama manusia!
Ini adalah hukum yang Allah nyatakan!

  1. Firman Allah s.w.t juga:
    {Sesungguhnya sejahat-jahat (makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah orang-orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya). Sebab itu mereka tidak (mahu) beriman.} (Al-Anfaal 8:55)

AYAT 7- {SEUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH, MEREKA ITULAH SEBAIK-BAIK MAKHLUK.} (AL-BAYYINAH 98:7)

  1. Uslub atau gaya al-Quran ia akan sebut pula golongan yang sebaliknya; iaitu lawan bagi sejahat makhluk {شَرُّ ٱلْبَرِيَّةِ}.
  2. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mereka beramal dengan soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk {خَيْرُ ٱلْبَرِيَّةِ} yang Allah s.w.t ciptakan di atas muka bumi.
  3. Begitulah Allah s.w.t s.w.t apabila menyebut musuh Allah Dia akan sebut pula wali-wali Allah!
  4. Siapakah musuh Allah ini?
    Musuh Allah ini banyak jenis:
    i- samada mereka itu memang kafir & kufur dari segi Aqidah. Samada dia menentang Islam secara zahir atau tidak dia tetap musuh!

ii- ataupun dia orang Islam yang nak buat kerja maksiat, derhaka kepada Allah atas muka bumi maka dia telah menentang Islam.
Jika kerjanya buat & menaja maksiat, benda yang baik dalam Islam dia nak ubah kepada benda yang tidak baik maka dia juga adalah musuh Allah!

  1. Sebagaimana munafiq juga yang ada dua kategori:
    i- munafiq dari segi iktiqad- maka dia adalah kafir tulen & duduk di dasar neraka.

ii- munafiq amali- iaitu dari segi perangai & tingkah-laku. Suka berbohong, khianat tidak amanah dan seumpamanya.

PERHATIAN :

Tidak elok bubuh anak dengan nama-nama yang seolah memuji/membersihkan diri sendiri ini (tazkiyah nafsi) seperti {خَيْرُ ٱلْبَرِيَّةِ} ini dan seumpamanya.

  1. Kita kena sentiasa ingat bahawa syarat amalan itu untuk menjadi soleh dan diterima Allah adalah wajib:
    i- ikhlas kerana Allah s.w.t
    ii- ikut ajaran nabi s.a.w yang sahih!

AYAT 8- {BALASAN MEREKA DI SISI TUHANNYA IALAH SYURGA ADN (TEMPAT TINGGAL YANG TETAP), YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI; KEKALLAH MEREKA DI DALAMNYA SELAMA-LAMANYA; ALLAH REDA AKAN MEREKA DAN MEREKAPUN REDA (SERTA BERSYUKUR) AKAN NIKMAT PEMBERIANNYA. BALASAN YANG DEMIKIAN ITU UNTUK ORANG-ORANG YANG TAKUT (MELANGGAR PERINTAH) TUHANNYA.} (AL-BAYYINAH 98:8)

  1. Allah nyatakan bahawa balasan bagi mereka ini adalah syurga sebagai tempat tinggal yang kekal {جَنَّـٰتُ عَدْنٍۢ}! Syurga yang indah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai!
  2. Allah katakan bahawa {kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya}.

Tiada keraguan bahawa mereka akan keluar bahkan kekal dalam syurga selama-lamanya!

Tidak akan ada ahli syurga yang akan keluar dari syurga & masuk ke nak selepas itu.
Cuma bertambah naik darjat ada.

  1. Berbeza dengan ahli neraka yang ada iman dalam hatinya (أصل الإيمان) tetapi masuk neraka dengan sebab derhaka & maksiat, mereka akan dikeluarkan daripada neraka selepas habis tempoh hukuman ke atas perbuatan mereka dan dibawa ke syurga pula.

Tetapi kita jangan bergurau, nak masuk neraka sekejap- ia adalah neraka satu tempat yang amat dahsyat & mengerikan, azab-siksa yang amat pedih!

  1. Mereka yang beriman & beramal soleh ini akan menikmati nikmat syurga ini tiada mati, tinggal di dalamnya selama-lama dengan sebab mereka beriman & melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t!
  2. Mereka redha dengan pahala balasan ini & mendapat keredhaan dari Allah dengan mendapat segala apa yang Allah sediakan bagi ahli syurga dengan nikmat yang begitu besar!
  3. Itulah pahala yang besar & nikmat yang besar bagi mereka yang takut kepada Allah di dunia, membesarkan & mengagungkan Allah dengan melakukan segala perintah Allah & menjauhkan segala larangannya! Itulah tanda bertaqwa & takut kepada Allah; kita berlari kepada-Nya dengan melakukan ketaatan & ibadat kepada Allah s.w.t!
  4. Firman Allah s.w.t:
    {Dan (ingatkanlah pula hari) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa, di tempat yang tidak jauh (dari mereka).
    (Serta dikatakan kepada mereka): \”Inilah yang dijanjikan kepada kamu, – kepada tiap-tiap hamba yang sentiasa kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadat), lagi yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah);
    \”(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat\”.} (Qaaf 50: 31-33)
  5. Yakni mereka yang takut kepada Allah ar-Rahman walaupun tidak nampak-Nya, walaupun tidak ada orang melihat mereka, mereka kemabli kepada Allah dengan hati yang beriman, tidak melakukan syirik kepada Allah s.w.t; itulah orang yang layak ke syurga!
  6. Ayat ini menolak salah-faham di kalangan kebanyakan manusia bahawa semata-mata mengakui beriman dengan menerima agama secara warisan dan menurut secara buta-tuli apa yang dilakukan oleh datuk-nenek serta melakukan ibadat secara kulit saja seperti gerak-geri dalam solat & menahan makan-minum ketika Ramadhan- boleh mendapat balasan baik; padahal hatinya penuh perasaan hasad dengki, riyak takabbur serta mulut tidak putus-putus berdusta (inilah yang kita takuti), mengumpat, membuat fitnah dan seumpamanya.
  7. Sesiapa yang demikianlah keadaannya- jauh sekali daripada mendapat balasan baik yang Allah janjikan untuk orang takut melanggar perintah Tuhannya dengan iman yang sebenarnya dengan melakukan amal ibadat dengan khusyuk sempurna serta bersih daripada maksiat zahir & batin (penyakit dalam hati).

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 6- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk.}- Allah s.w.t sebut orang kafir ahli Kitab dalam ayat ini dengan lafaz perbuatan mereka (fe\’el- فعل) iaitu {إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا}- manakala untuk musyrikin disebut dengan kata nama {وَٱلْمُشْرِكِينَ}. Kenapa berbeza?

JAWAPAN :

i- ini sebagai peringatan bahawa mereka ahli Kitab itu pada awalnya mereka beriman kepada Allah s.w.t dengan benar, beriman kepada nabi Musa & Isa tetapi mereka kafir kepada Rasul kita, Nabi Muhammad s.a.w!
Tetapi selepas itu mereka menyeleweng dan mengubah kitab & perjalanan agama mereka!

ii- manakala kafir tulen musyrikin ini mereka lahir dalam meyembah berhala, mengingkari bahawa adanya kebangkitan semula & adanya hari Kiamat. Mereka juga mengingkari kenabian.

Maka Allah s.w.t bezakan antara dua jenis kafir ini. Tetapi hukumnya tetap sama di dalam neraka Jahannam semuanya kerana mereka adalah kafir.
Cuma mungkin berbeza dari sudut tahap azabnya- wallahu a\’lam.

Serta ada juga beberapa hukum yang berlainan- seperti orang muslim boleh mengahwini perempuan mereka yang ahli kitab asli & boleh makan sembelihan mereka.
Tetapi pada hari ini tiada lagi ahli Kitab yang asli ini kecuali yang sudah diubah semuanya!

Allah s.w.t sebut orang beriman akan kekal di dalam syurga selamanya; ini kerana pahala itu berganda & orang yang masuk syurga akan kekal di dalamnya.

Dosa itu juga berbagai & berbeza tahap hukumannya, ahli neraka juga berbeza, ada kafir tulen yang kekal di dalamnya serta ada juga kaki maksiat yang beriman, maka dia akan keluar daripada neraka setelah dibakar selama tempoh hukumannya.

Ini juga menunjukkan yang rahmat Allah s.w.t lebih luas daripada kemurkaan-Nya.

  1. Ayat 6- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk.}- ayat ini satu peringatan bahawa orang jahat itulah sifatnya!

Puak kafir dari ahli Kitab ini kenapa mereka jahat sangat sehingga di gelar sebagai seburuk-buruk manusia.

JAWAPAN :

Ini kerana ada di kalangan mereka ada ulama\’ (para pendeta) yang ada ilmu, ada maklumat kerana mereka ada Kitab.

Tetapi mereka adalah ulama\’ su\’, iaitu ulama\’ yang jahat, yang menyelewengkan ajaran agama asli kemudian memutar-belitkannya kepada orang ramai dengan menjanjikan macam-macan kepada pengikutnya.

Dalam umat Nabi Muhammad s.a.w juga ada ulama\’ su\’ ini iaitu mereka yang:
i-mana-mana orang selewengkan tafsir makna al-Quran & hadis Nabi s.a.w. Menjadi penunggang agama, pereka hadis palsu- menempelkan apa yang Nabi tak kata, sebagai sabda Baginda.

ii- mereka yang mengampu pemimpin yang zalim untuk mendapat tempat & menjaga kedudukan.

iii- mereka yang menyusun atur bersekongkol dengan pemimpin, membawa masuk dan beri tempat kepada mereka yang menyeleweng daripada agama & Sunnah Nabi s.a.w!

  1. Ayat 7- {Seungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.}- Allah s.w.t menyatakan bahawa orang yang baik ialah mereka yang beriman & beramal soleh.

Apabila Allah sebut tentang yang jahat pasti ada yang baik, yang negatif & positif, ancaman dari buat jahat & galakan untuk buat baik, hukuman azab & balsan pahala nikmat.

Ini untuk menggerakkan jiwa manusia untuk melakukan kebaikan
Sesiapa yang beriman dengan sempurna & baik, jaga iman & jaga amalnya maka itulah orang yang paling mulia {خَيْرُ ٱلْبَرِيَّةِ} di kalangan makhluk.

Tidak harus sesekali ke atas orang mukmin untuk menghinakan dirinya di hadapan orang kafir yang menghina Islam.

Manusia yang tolol & tidak ada jati diri ialah orang Islam yang turut bertepuk tangan sekali apabila orang menghina Islam.
Kita wajib menentang & mempertahankan agama!

Syeikh Imam Abu Hurairah & sekumpulan ulama\’ mengatakan ayat ini menunjukkan bahawa orang beriman yang baik, lebih mulia daripada malaikat. Ini kerana malaikat baik kerana mereka tiada nafsu; tetapi kita manusia terpaksa berdepan & berlawan dengan nafsu!

  1. Ayat 8- {Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya.}- Allah s.w.t itu sifat-Nya redha & suka kepada hamba-Nya yang beriman!

Ulama\’ hadis membezakan antara keredhaan Allah (الترضي) untuk para sahabat & rahmat Allah (الترحم) untuk para ulama\’ selepasnya yang bukan sahabat, sebagai pengecaman.

Contoh: Sayyidina Abu Bakar radhiyallah anhu {رضي الله عنه}
& Imam Syafei rahimahullah {رحمه الله}.

Jadi kita bezakanlah apabila sebut nama sahabat kita kata radhiyallah anhu {رضي الله عنه}, apab sebut nama ulama\’ bukan sahabat kita sebut rahimahullah {رحمه الله}.

Elok kita kekalkan untuk mengelakkan keliruan, jika digunakan tidak menjadi kesilapan cuma perlukan kepada huraian supaya tidak menimbulkan kekeliruan orang yang tidak tahu!

  1. Ayat 8- {Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.}- semua ini Allah janjikan untuk orang yang beriman & bertaqwa, mereka amat takut untuk melanggar perintah Allah s.w.t!

Dari segi bahasa (lughah):
i-Dalam ayat ini Allah sebut perkataan {خشية} untuk takut kepada Allah. Ia ada perbezaan dengan perkataan (خوف) yang bererti takut juga.

ii- takut dengan khasyah {خشية} ini lebih tinggi martabatnya daripada (خوف), kerana khauf ia seperti takut kepada harimau dan lain-lain benda yang menakutkan & bahaya lalu kita lari DARIPADA nya.

Firman Allah s.w.t:
{Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.} (Faatir 35:28)

Iaitu ulama\’ yang memahami dengan al-Quran & Sunnah, ulama\’ yang beramal dengan ilmunya!

Bukan ulama\’ Su\’ pengampu pemerintah, mentafsir ayat al-Quran ikut suka dia, menyebar atau membiarkan hadis palsu walaupun dia tahu!

Kesan daripada takut {خشية} ini kita akan menjadikan kita lebih kuat beribadat kepada Allah ini kerana orang yang takut kepada Allah akan berlari kepada-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya. Takut yang tidak boleh dipisahkan dengan cinta, hormat & patuh taat kepada Allah!

Ya Allah jadikan kami ini orang yang takut kepada engkau secara zahir & batin, yang menyebabkan kami sentiasa beribadat kepada-Mu dengan ikhlas semata-mata kerana takut kepada-Mu.

Jadikan kami sebaik makhluk-Mu {خَيْرُ ٱلْبَرِيَّةِ} di atas dunia ini lalu menjadikan kami dalam golongan mendapat keredhaan & Syurga-Mu di akhirat kelak!

Powered by BetterDocs