SURAH AL-QAMAR : AYAT 18-22

\"\"

KISAH KEDUA: SIKAP KAUM AD TERHADAP NABI HUD & AL-QURAN DIPERMUDAHKAN MEMAHAMINYA.

Full video : https://youtu.be/9KfMcagadcU

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah kisah kedua tentang nabi-nabi iaitu: Allah ceritakan kepada kita Sikap Kaum Ad Terhadap nabi mereka iaitu Nabi Hud a.s
  2. Serta bagaimana mereka ditimpa azab yang begitu dahsyat setelah diberi peringatan dan tetapi masih degil keras kepala, lalu Allah hantar azab kepada mereka.
  3. Di akhir ayat sekali lagi Allah s.w.t ingatkan bahawa Al-Quran itu Dipermudahkan untuk kita Memahaminya supaya kita belajar, hafaz & tadabbur dengannya. Setiap habis satu kisah, Allah s.w.t bawa ayat ini.
  4. Munasabah ayat: Setelah kita selesai dengar tentang kebinasaan Kaum Nabi Nuh dalam taufan banjir yang dahsyat akibat kekufuran dan keingkaran mereka, dibawa pula kisah kaum Ad. Iaitu susunan ceritanya selepas Nuh adalah kaum Ad yang kedua, kenapa?

Sebelum ini kita baca yang susunannya lain, iaitu berdasarkan jenis azab, kaum Ad dengan sebab angin, kemudian datangnya tempikan iaitu kaum Thamud, kemudian datangnya hujan iaitu azab kaum Nuh lalu kesan air iaitu kaum nabi Lut.

Jawapan: Kisah kaum Ad ini adalah satu kisah besar yang berlaku selepas zaman Nabi Nuh, yang diketahui oleh kaum Quraisy di Makkah. Kerana ia berlaku di negeri Yaman yang menjadi laluan kafilah perdagangan mereka setiap tahun pada musim sejuk.
Jadi ia adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka.
Maka Allah s.w.t peringatkan kaum Quraisy, beringatlah jangan berani lawan nanti kamu akan menjadi seperti kaum Ad ini!

AYAT 18- {(DEMIKIAN JUGA) KAUM AAD TELAH MENDUSTAKAN RASULNYA (LALU MEREKA DIBINASAKAN); MAKA PERHATIKANLAH, BAGAIMANA BURUKNYA AZABKU DAN KESAN AMARAN-AMARANKU!} (AL-QAMAR 54:18)

  1. Kaum Ad juga telah mendustakan rasul mereka iaitu Nabi Hud a.s lalu mereka dibinasakan! Lihatlah betapa buruknya azab & kesan tidak hiraukan amaran Allah s.w.t!
  2. Allah s.w.t telah memberi amaran akan kesan akibat buruk jika kamu tidak mahu beriman degil tidak dengar kata para nabi & rasul yang diutuskan Allah s.w.t.
  3. Firman Allah s.w.t juga:
    {Dan itulah peristiwa kaum Aad mereka mengingkari ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, serta mereka menderhaka kepada Rasul-rasulnya; dan mereka menurut perintah tiap-tiap ketua yang bermaharajalela, lagi degil dalam keingkarannya.} (Hud 11:59)

AYAT 19- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENGHANTARKAN KEPADA MEREKA ANGIN RIBUT YANG KENCANG, PADA HARI NAHAS YANG BERLANJUTAN; -} (AL-QAMAR 54:19)

  1. Dengan apakah mereka itu dibinasakan?
  2. Allah s.w.t menghantar angin ribut yang sejuk lagi kencang.
    Dinamakan Sorsora (صَرۡصَرٗا) kerana desiran bunyinya yang menakutkan dan kuat sekali.
  3. Datangnya angin meruntuhkan segala binaan bangunan-bangunan tinggi kaum Ad itu!
  4. Berterusan nahas itu ke atas mereka sehingga mereka hancur binasa semuanya.
  5. Kata Ibnu Kathir apakah maksudnya hari nahas ini (نَحۡسٖ):
    i- iaitu hari yang ditimpakan musibah oleh Allah s.w.t!

ii- hari nahas mereka itu pula berterusan (مُّسۡتَمِرّٖ). Bukan berulang ya, berterusan sehingga selesai kesan natijah yang Allah tetapkan.

  1. Ada pula yang membincangkan tentang maksudnya (مُّسۡتَمِرّٖ) berterusan pula:
    i- ulama\’ kata berterusan ia di atas dunia angin nahas itu selama tujuh malam dan lapan hari ke atas kaum Ad.

ii- ada ulama\’ kata nahas yang berterusan – iaitu mati dek azab atas dunia kemudian akan berterusan azab mereka di Akhirat pula.

iii- permulaan angin itu datang kemudian berterusan selama 7 malam 8 hari sebagaimana firman Allah s.w.t ini:
{Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.} (Al-Haaqqah 69:7)

AYAT 20- {YANG MENUMBANGKAN MANUSIA GUGUR BERGELIMPANGAN, SEOLAH-OLAH MEREKA BATANG-BATANG POHON KURMA YANG TERBONGKAR.} (AL-QAMAR 54:20)

  1. Allah menggambarkan pula cara mereka binasa; mereka diangkat dan dipusing oleh angin kemudian dicampak jatuh ke atas bumi!
  2. Lalu mereka gugur jatuh bergelimpangan, seolah-olah mereka batang-batang pohon tamar yang terbongkar, tercabut dari bumi.
  3. Kenapa Allah buat bandingan dengan batang tamar ini?
    i- kata Ibnu Juzai- kerana tubuh badan fizikal mereka yang besar dan tinggi, besar jisim mereka seperti batang pokok tamar.

ii- ada yang kata selepas dipusing badan mereka, tercabut kepala mereka tinggal badan saja yang bergelimpangan, seperti batang pokok tamar tanpa kepala juga!

iii- ada juga yang kata kerana puak ini dia gali lubang sebagai kubu, bila angin datang, mereka berlindung di dalamnya. Tetapi bila angin azab dari Allah ini datang, tiada yang selamat ia menimbus mereka kemudian terbongkar keluar dari lubang-lubang tanah itu seperti pokok yang tercabut.

AYAT 21- {MAKA PERHATIKANLAH, BAGAIMANA BURUKNYA AZABKU DAN KESAN AMARAN-AMARANKU! (AL-QAMAR 54:21)

  1. Oleh itu wahai orang yang beriman & berakal; perhatikanlah bagaimana azab Allah terhadap puak kafir itu, bagaimana Allah telah beri amaran kepada mereka sebelum itu!
  2. Jika kamu tidak mahu ambil pengajaran maka terimalah kebinasaan seperti mereka juga!

AYAT 22- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MUDAHKAN AL-QURAN UNTUK PERINGATAN DAN PENGAJARAN, MAKA ADAKAH SESIAPA YANG MAHU MENGAMBIL PERINGATAN DAN PELAJARAN (DARIPADANYA)?} (AL-QAMAR 54:22)

  1. Allah nyatakan Dia telah permudahkan al-Quran (وَلَقَدۡ يَسَّرۡنَا ٱلۡقُرۡءَانَ) bagi sesiapa yang mahu:
  • ambil pengajaran, peringatan & pelajaran, mahu belajar atau mengajar, tafsir atau tadabbur al-Quran, hatta dipermudahlan untuk menghafaznya.

2. Sesiapa yang kata al-Quran itu payah, dia adalah orang yang bermasalah & tidak mahu belajar!
i- Kanak-kanak yang masih kecil sudah boleh belajar & mula menghafaz al-Quran sebelum masuk sekolah lagi!

ii- Nenek atau datuk yang tua juga masih boleh belajar jika ada keinginan.

iii- muallaf yang baru masuk Islam juga boleh belajar al-Quran sehingga pandai & mahir.

Tetapi ambillah peringatan & hati-hati – jika mahu belajar al-Quran carilah guru yang sama jantina, bukan dengan bukan mahram & silang jantina! Kita tutup pintu-pintu fitnah, jangan biarkan syaitan masuk jarumnya, kita jauhi apa yang boleh membawa kepada sesuatu yang tidak baik!

  1. Allah tanya lagi apakah ada orang yang mahu ambil iktibar, nasihat & pengajaran dengan apa yang terkandung dalam al-Quran?
    Bahkan ya Allah- kami mahu ambil peringatan, pengajaran, kami mahu tadabbur belajar & mengamalkan al-Quran!
  2. Doa tambah ilmu:
    i- Al-Quran Surat Taha ayat 114:
    رَبِّىْ زِدْنِيْ عِلْمًـا ناَفِعًا وَرْزُقْنِـيْ فَهْمًـا
    Ertinya: \”Ya Allah, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan berikanlah aku pemahaman yang baik.\”

ii- ilmu bermanfaat:
ﺍﻟﻠﻬُﻢَّ ﻋﻠِّﻤﻨﺎ ﻣَﺎ ﻳَﻨْﻔَﻌُﻨﺎ ﻭَﺍﻧْﻔَﻌْﻨﺎ ﺑِﻤﺎ ﻋَﻠَّﻤﺘَﻨَﺎ ﻭﺯِﺩْﻧَﺎ ﻋِﻠﻤﺎ
\”Ya Allah, tolong ajari kami apa yang bermanfaat bagi kami, bantu kami mendapatkan manfaat dari apa yang Engkau bantu untuk kami pelajari, dan mudahkanlah kami untuk memahaminya.\”

ii- minta tiga kebaikan:
اللَّهُمَّ إنِّي أَسْأَلُكَ عِلْماً نَافِعاً، وَرِزْقاً طَيِّباً، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Ertinya: \”Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.\” [HR Ibnu Majah].

PENUTUP :

  1. Ayat 18- {(Demikian juga) kaum Aad telah mendustakan Rasulnya (lalu mereka dibinasakan); maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabku dan kesan amaran-amaranKu!}- dari ayat ini timbul persoalan kenapa Allah s.w.t sebut bahawa kaum Ad telah mendustakan rasulnya bukan sebut terus mereka mendustakan nabi Hud?

Sedangkan dalam kisah kaum Nuh sebelum ini juga Allah sebut mereka telah mendustakan hamba Kami (فَكَذَّبُواْ عَبۡدَنَا). Apakah bezanya?

Jawapannya ada dua sudut:
i- pendustaan yang dibuat oleh kaum Nuh lebih teruk & dahsyat kerana lamanya tempoh Nuh berdakwah bersama mereka iaitu selama 950 tahun. Mereka lebih degil & keras kepala daripada kaum Ad.

ii- kisah kaum Ad ini disebut secara ringkas sahaja di sini berbanding dengan kisah kaum Nuh yang lebih detail.

  1. Ayat 19- {Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang, pada hari nahas yang berlanjutan; -}- dari ayat ini kata ulama\’ tadabbur; boleh kita kata ia adalah hari nahas- bukan dengan niat mencela masa atau waktu itu, tetapi kerana untuk menceritakan atau mengingatkan tarikhnya.

Seperti kita sebut tentang hari kedatangan covid, tsunami dan lain-lain sebagai hari datangnya bencana itu.

i- Yakni bukan kita kata hari itu hari nahas (sial) tetapi peristiwa yang berlaku pada hari itu adalah nahas atau bencana!
Yang tidak boleh & haram adalah kita percaya bahawa ada hari tertentu adalah hari nahas atau sial, yang pasti akan berlaku bencana padanya.

ii- Hari bencana atau nahas bagi orang kafir yang diazab adalah hari kejayaan bagi orang mukmin! Begitulah kekalahan bagi satu pihak manakala ia adalah kemenangan bagi pihak yang lain, dalam apa jua pertandingan atau perlawan sekalipun!

iii- Yang tidak boleh ialah seperti kepercayaan bahawa hari Rabu akhir bulan Safar setiap tahun adalah hari yang sial. Dalam bulan atau minggu itu ada hari tertentu yang menjadi hari nahas.

Atau ada hari tertentu yang tidak sesuai untuk dibuat majlis kahwin, keluar musafir, nak buat apa-apa pekerjaan dan lain-lain; ini adalah iktiqad kepercayaan yang sesat & khurafat!

iv- Semua hari dan waktu adalah yang Allah buat, cuma berlakunya nahas atau bencana pada hari itu, bukan kerana hari itu sial dan tidak baik!

v- Hati-hati, perbetulkan iktiqad dan kepercayaan kita agar tidak terjerumus ke dalam perkara khurafat yang batil!

  1. Ayat 20- {Yang menumbangkan manusia gugur bergelimpangan, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang terbongkar.}- kata ulama\’ tadabbur ini menunjukkan kepada besarnya tubuh mereka, diangkat dan dihempas kembali oleh angin sehingga hancur-lebur.

Betapa badan mereka besar seperti batang pokok tamar yang teguh, kemudian diangkat pusing oleh angin lalu dihempas kembali, lalu jatuh bergelimpang seperti batang pokok tamar juga, yang tercabut dari lubang bumi!

  1. Ayat 21- {Maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu!}- Allah kata begitulah azab-Ku (singular- عَذَابِي) dan amaran-amaran-Ku yang banyak (plural- وَنُذُرِ). Kenapa begini, kenapa tidak sama?

Jawapan: INI menunjukkan rahmat & kasih sayang Allah s.w.t terhadap hamba-Nya:
i- amaran diberi berulang kali & sentiasa ada. Amaran demi amaran, peringatan demi peringatan diberi agar manusia ingat dan kembali kepada Allah.

Dengan amaran-amaran yang banyak merupakan kasih sayang Allah S.W.T pada hamba-Nya.
Kita mengalaminya sentiasa, sakit badan, sakit gigi, sakit kepala, uban dikepala dan segala perubahan fizikal yang semakin lemah adalah amaran yang Allah s.w.t berikan kepada kita untuk kita beringat bahawa kita akan mati tidak lama lagi!

ii- tetapi jika masih tak dengar & degil, maka Allah s.w.t hantar azab-Nya pula! Tetapi Azab itu hanya sekali datang, bukan banyak kali & selalu seperti amaran.

  1. Ayat 22- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?}- kenapa Allah s.w.t ulang lagi ayat ini setiap kali habis satu-satu kisah?

Kata ulama\’ terdapat dua faedahnya:
i- rahmat Allah s.w.t kepada hamba-Nya serta mengambil berat tentang mereka. Allah panggil kita untuk memperbaiki dunia kita & akhirat kita!

ii- Allah nyatakan bahawa Dia permudahkan al-Quran yang penuh dengan I\’jaz (keistimewaan yang hebat) ini menunjukkan betapa besar kasih sayang Allah, dipermudahkan untuk kita yang lemah membaca, belajar, memahami Quran yang hebat ini lalu mengamalkannya pula!

Dalam ayat ini juga ada tiga ta\’kid atau penguat kata:
i- Dan Demi sesungguhnya (وَلَقَدۡ)- menunjukkan bahawa Allah memudahkannya, bersungguh nak beri galakan kita baca, belajar & tadabbur al-Quran selalu.

Powered by BetterDocs