SURAH AL-MUMTAHANAH : AYAT 7-9

\"\"

ALLAH HIDAYAHKAN KAUM KAFIR, CARA BERINTERAKSI DENGAN NON MUSLIM: I- YANG TIDAK MEMUSUHI ISLAM & II- YANG MEMUSUHI ISLAM

Full video : https://youtu.be/GmKUlYKq_Ss

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t peringatkan bahawa kuasa memberi hidayah kepada kaum kafir adalah hak Allah.
  2. Maka orang Islam yang telah berhijrah, yang ada kaum keluarga masih kafir, bersabarlah berdoa agar mereka akan bersama dengan kamu dalam saf Islam suatu hari nanti. Mendapat keredhaan Allah s.w.t dunia akhirat bersama di dalam syurga nanti.
  3. Kemudian Allah s.w.t ajar cara berinteraksi dengan non muslim:
    i- yang tidak memusuhi Islam
    ii- juga dengan yang memusuhi Islam.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat-ayat yang lepas Allah s.w.t memerintahkan orang mukmin agar berlepas diri daripada semua kekafiran dan orang kafir samada ahli Kitab, munafiq & kafir tulin yang menentang Islam.

ii- kemudian selepas apa yang berlaku atas seorang sahabat- Hatib r.a, Allah s.w.t memerintah agar berlepas diri juga jangan tunjukkan kasih sayang kepada orang kafir walaupun mereka kaum kerabat, ahli keluarga yang terdekat!

iii- kemudian dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut- mudah-mudahan mereka yang kafir itu akan mendapat hidayah dan dapat kembali bersama & berkasih-sayang dengan kerabat mereka yang beriman.

AYAT 7- {SEMOGA ALLAH AKAN MENGADAKAN PERASAAN KASIH SAYANG ANTARA KAMU DENGAN ORANG-ORANG YANG KAMU MUSUHI DARI KERABAT KAMU ITU (DENGAN JALAN MENJADIKAN MEREKA INSAF DAN MEMELUK ISLAM). DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA KUASA (ATAS TIAP-TIAP SESUATU), DAN ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-MUMTAHANAH 60:7)

  1. Berdoalah semoga Allah akan menjadikan suasana kembali semula perasaan kasih sayang antara orang mukmin dan orang kafir yang dimusuhi dari kalangan kaum kerabat mereka!
  2. Yakni dengan Allah menjadikan mereka insaf tidak mengkhiati orang Islam lagi atau dengan cara mendapat hidayat lalu memeluk Islam!
  3. Kata ulama\’ apabila Allah s.w.t berkata {عسى}- mudah-mudahan; maka ia bermaksud wajib, pasti akan berlaku!
  4. Telah terjadi banyak contoh ini terutamanya selepas Pembukaan Kota Makkah pada tahun ke-8H.
    Antaranya pemimpin seperti Abu Sufyan ibnu Harbi (bapa mertua Rasulullah s.a.w), Abu Sufyan ibnu al-Haris, al-Haris bin Hisyam, Suhail bin Amru, Ikrimah bin Abu Jahal, Sufyan bin Umayyah, Khalid bin al-Walid dan lain-lain lagi.
    Setelah masuk Islam mereka telah menjadi sahabat dan kita kena panggil mereka (رضي الله عنهم) semuanya.
  5. Kisah beberapa sahabat yang dulunya adalah musuh utama dan amat mebenci Rasulullah s.a.w dan Islam:
    i- Kisah Hindun bt Utbah, isteri Abu Sufyan r.a selepas memeluk Islam.
    Hindun berkata kepada Rasulullah s.a.w: \”Demi Allah, dahulu tiada seorang pun di muka bumi ini yang paling aku sukai untuk mendapatkan kehinaan melainkan engkau.
    Akan tetapi sekarang, tiada kaum pun di muka bumi ini yang paling aku sukai untuk mendapatkan kemuliaan melainkan kaummu.\” [HR Bukhari & Muslim].

ii- Ketika baru sahaja memeluk Islam, Safwan bin Umaiyah r.a pernah berkata:
\”Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memberikan apa yang diberikan kepadaku dan Baginda adalah orang yang paling aku benci (sebelum Islam), maka Baginda sentiasa memberikan kepadaku sehingga (hatiku menjadi lembut dan) Baginda menjadi insan yang paling aku kasihi.\” [HR Muslim, bab Ghazwah Hunain (3/1403 no. 1778).]

  1. Sesungguhnya Allah s.w.t itu berkuasa atas setiap sesuatu, Dia boleh sahaja membalikkan hati seseorang paginya kafir dan petangnya beriman! Dalam sekejap masa saja kawan boleh menjadi musuh, lawan menjadi kawan!
  2. Allah berkuasa membolak-balikkan hati manusia, kerana itulah Rasulullah s.a.w sentiasa mengamalkan doa ini dan ajar untuk kita amalkan:
    يَامُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلٰى دِيْنِكَ وَعَلٰى طَاعَتِكَ
    Maksudnya: Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati; tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.
  3. Kemudian Allah s.w.t sebut sifat-nya:
    i- Allah Maha pengampun {غَفُورٌۭ}, jika ada dosa & silap dengan Allah, langgar hak Allah; bertaubatlah dan mohon keampunan.
    Tetapi jika dosa dengan manusia dan melanggar hak manusia tidak akan hilang begitu saja tanpa meminta maaf dengan tuannya dan kembalikan hak/barangnya yang diambil!

ii- Allah s.w.t juga \”lagi Maha Mengasihani\” {رَّحِيمٌۭ}- kasihan belas dan rahmat terhadap hamba-Nya yang beriman.

AYAT 8- {ALLAH TIDAK MELARANG KAMU DARIPADA BERBUAT BAIK DAN BERLAKU ADIL KEPADA ORANG-ORANG YANG TIDAK MEMERANGI KAMU KERANA AGAMA (KAMU), DAN TIDAK MENGELUARKAN KAMU DARI KAMPUNG HALAMAN KAMU; SESUNGGUHNYA ALLAH MENGASIHI ORANG-ORANG YANG BERLAKU ADIL.} (AL-MUMTAHANAH 60:8)

  1. Allah s.w.t menyatakan dengan jelas di sini bahawa Islam tidak melarang orang mukmin daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi orang & agama Islam dan tidak menzalimi kamu.
  2. Munasabah ayat:
    i- Allah s.w.t telah menyatakan putusnya hubungan antara orang mukmin dan kafir. Iaitu kafir yang menentang dan memusuhi Islam. Kerana mereka ini ada agenda tersendiri untuk menghina dan mengkhianti Islam.

ii- tetapi jika mereka tidak menentang Islam; kafir yang baik seperti kawan sekerja atau jiran kita, tidak mengapa untuk teruskan hubungan dengan mereka, berhubung & berinteraksi jika ada keperluan.

  1. Firman Allah s.w.t tentang isu orang Islam yang ibu bapa mereka masih kafir juga:
    {Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.} (Luqman 31:15)
  2. Hadis- kisah Asma\’ bt Abu Bakar r.a dan ibunya yang kafir:
    Asma\’ binti Abi Bakar R.A mempunyai seorang ibu yang bernama Qatilah binti \’Abdil \’Uzza yang bukan Islam dan ingin menziarahinya.
    Asma; berkata: \”Ibuku mendatangiku dan dia sangat ingin aku menyambung hubungan dengannya.
    Kemudian aku bertanyakan kepada Nabi S.A.W, bolehkah aku tetap menjalin hubungan dengannya?
    Baginda pun menjawab, \”Ya boleh\”.
    Nabi S.A.W menyuruh Asma\’ untuk menerima hadiah pemberian ibunya dan mengizinkan ibunya memasuki rumahnya. [HR Bukhari & Muslim].
  3. Kisah Rasulullah s.a.w dengan budak pembantunya yang yahudi:
    Anas bin Malik R.A, meriwayatkan pernah ada seorang budak Yahudi yang menjadi pembantu kepada Nabi S.A.W yang kemudiannya jatuh sakit.
    Kemudian Baginda pun pergi menziarahi budak Yahudi tersebut dan duduk di sisi kepalanya sambil berkata, \”Terimalah Islam.\”
    Lantas budak itu memandang ke arah ayahnya yang berada di sisinya.
    Si ayah pun berkata, \”Taatlah kepada kata-kata Abu al-Qasim!\”
    Lalu budak itu pun memeluk Islam.
    Kemudian Nabi S.A.W pun keluar seraya berkata, \”Segala pujian itu adalah untuk Allah yang telah menyelamatkannya daripada api neraka.\” [HR Bukhari].
  4. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan berfirman sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
    Yakni Islam itu agama yang berada di atas keadilan & keharmonian, bukan atas kezaliman dan penindasan!
  5. Islam memang tidak akan memaksa orang kafir masuk Islam tetapi kita kena berdakwah dan mengajak mereka ke arah Islam, memperkenalkan mereka kepada Islam hakiki yang indah dan sempurna.

AYAT 9- {SESUNGGUHNYA ALLAH HANYALAH MELARANG KAMU DARIPADA MENJADIKAN TEMAN RAPAT ORANG-ORANG YANG MEMERANGI KAMU KERANA AGAMA (KAMU), DAN MENGELUARKAN KAMU DARI KAMPUNG HALAMAN KAMU, SERTA MEMBANTU (ORANG LAIN) UNTUK MENGUSIR KAMU. DAN (INGATLAH), SESIAPA YANG MENJADIKAN MEREKA TEMAN RAPAT, MAKA MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (AL-MUMTAHANAH 60:9)

  1. Ayat ini pula tentang kumpulan kafir yang menentang Islam dan memerangi kaum muslimin.
  2. Allah s.w.t melarang kamu orang mukmin daripada menjadikan teman rapat, berkasih sayang dan memberi wala\’ kepatuhan kepada kafir jenis ini, yang memerangi agama Islam, yang mengusir orang Islam keluar dari negeri kamu serta yang membantunya (ini Quraisy pada zaman Rasulullah s.a.w)!
  3. Ingatlah jangan sekali-kali menjadikan mereka ini teman rapat, berkasih sayang dengan mereka; maka sesiapa yang berbuat demikian; mereka itulah orang-orang yang zalim kerana tidak dengar larangan Allah s.w.t!
  4. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
    {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.} (Al-Maaidah 5:51)
  5. Mana-mana kafir yang kita nampak riaknya menentang dan anti Islam, yang kita boleh cam dan kenal kecenderungannya, jangan kita mudah terpedaya dan terpengaruh.
    Kita orang Islam jangan gopoh dan mudah terpedaya, belajar dan lihat kepada sejarah.
  6. Cerita: Jangan lihat kepada mata yang mengalir air mata tetapi lihatlah kepada tangannya, apa yang dibuat.
    Baca ceritanya:
    https://abuanasmadani.com/tazkirah/

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 7- {Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu}- dalam ayat ini adalah isyarat kepada; bahawa dalam permusuhan dengan orang yang menentang kita dan kepada sesiapa saja; yakni jangan melampau kena berpada-pada dalam semua perkara.

Kita benci setakat perangai buruk dan jahat mereka sahaja.
Begitu juga jangan melampau dalam memuji dan mengagumi seseorang.

Kita lihat orang yang boros dalam perkataan ini, akan kembali menjilat lidahnya, tidak malu mengutip kembali kata-katanya dulu!
Memeluk mendokong orang yang dikutuknya habis-habisan dulu!

Ayat ini mengajar kita agar bersederhana (iktisad) dalam setiap perbuatan dan perkataan- yakni semua perkara!
Simpan sikit pandangan kita untuk masa depan yang tidak ketahui apa yang akan berlaku.

Sejarah telah membuktikan betapa ramai musuh kemarin telah menjadi sahabat hari ini, begitu juga sebaliknya.
Ada yang cepat ada yang lambat, sebagaimana kisah Abu Sufyan tadi.

  1. Ayat 7- {Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.}
  • Ayat ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t itu Maha Berkuasa; boleh buat apa saja dan boleh tukar hati manusia bila-bila masa sahaja.
    Boleh menukar permusuhan kepada persahabat, begitu juga sebaliknya.

Allah s.w.t itu Maha Berkuasa dan Maha Pengampun, permusuhan antara orang mukmin dan orang kafir pada masa itu amat kronik dan mendalam sekali.
Tetapi selepas Pembukaan Makkah, Allah permudahkan hati mereka menerima Islam, betapa ramai sekali para pembesar Quraisy dan musyrikin Makkah yang memeluk Islam.

Maka ingatlah kita jangan terlalu berlebih-lebihan menunjukkan kecintaan kepada suami atau isteri kepada umum terutama di medsos.
Kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari.
Nanti bila berbalah akan melampau pendedahan kepada umum seperti masa bercinta juga!

  1. Ayat 8- {Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu)}- galakan untuk kita berlaku adil dalam semua perkara. Allah suka untuk kita berlaku adil.

Adil dalam menilai manusia, jika ditanya tentang sifat seseorang- sebut kebaikannya dulu sebelum dedahkan keburukannya.
Jangan lupakan kebaikannya yang ada tetapi membesarkan keburukannya yang ada.

Adil dalam memberi nafkah dan belanja kepada keluarga- mengikut keperluan dan keadaan. Bukan semua anak sama keperluan nafkahnya juga, kena nilai ikut keadaan.

  1. Ayat 8- {Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu),}- ini adalah satu ajaran berinteraksi dengan orang kafir yang amat jelas. Allah tidak melarang kita dari berbuat baik dan berlaku adil kepada kafir yang tidak menentang Islam. Bukan semua kafir kita kena musuhi!

Allah s.w.t larang kita dari berwala\’ kepada orang kafir yang memusuhi Islam yakni jika terlibat dengan agama jangan bermudah-mudah!

Contoh dalam bab perayaan agama lain: Kita wajib tahu dan belajar- biar jelas jangan keliru; perayaan non muslim yang berkaitan dengan budaya dibolehkan kita ucap tahniah atau hadiri jika perlu, TETAPI jika perayaan berkaitan agama mereka, dilarang kita ikut sama menyertai dan menyambutnya!

Kerajaan atau pejabat agama wajib keluarkan garis panduan atau fatwa tentang perayaan agama lain, mana yang ada kaitan dengan agama dan mana yang hanya budaya.
Kena buat kajian ilmiah dan minta pandangan dari pihak pakar ilmu mereka sendiri. Ini supaya masyarakat Islam jelas dan tidak keliru lalu tidak terjerumus ke dalam yang tidak sepatutnya.

Ayat ini jelas Allah s.w.t melarang kita dari berwala\’kan kepada orang kafir TETAPI tidak melarang untuk bermuamalat dan berinteraksi dengan mereka yang tidak memusuhi Islam cuma pegangan dan iktiqad mereka yang kafir kepada Allah. Bahkan wajib berlaku adil dan berbuat baik kepada mereka.

  1. Ayat 9- {Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu),}- dalam ayat ini jelas larangan daripada memberi kasih sayang, menyokong dan berwala\’kan kepada orang kafir yang mentang Islam, yang memerangi kamu!

Tetapi bagaimana kita nak kira maksud mereka yang memerangi kamu ini- (ٱلَّذِينَ قَـٰتَلُوكُمْ)?

Kita lihat kepada perbuatan mereka dan nilai dengan adil- ini kerana setiap masa ada caranya.
Jika pada zaman Rasulullah s.a.w dengan pembunuhan & pedang dan halau dari Makkah, zaman penjajah kafir- penindasan dan pembunuhan juga manakala pada zaman kita ini mungkin dengan perang saraf & pemikiran.
Mereka guna dakyah media massa dan media sosial yang amat banyak dan meluas sekarang ini. Maka kita nilailah dengan adil dan waras.

Walaupun mungkin kita tidak lawan mereka secara direct TETAPI jangan juga sokong mereka secara direct.
Ingat banyak lagi cara yang boleh menjadikan kita beri sokongan, kasih sayang, dan wala\’ taat kepada mereka, maka berhati-hatilah!
Agar kita tidak menjadi orang yang ingkar akan larangan Allah s.w.t dan dimurkai-Nya!

Hari ini hari Jumaat, ingat Jumaat ingat:
i- selawat ke atas Rasulullah s.a.w.
ii- baca surah al-Kahfi.

Powered by BetterDocs