SURAH AL-QAMAR : AYAT 3-8

\"\"

PUAK KAFIR TETAP MENDUSTAKAN WALAUPUN TENGOK TANDA & KEADAAN HURU HARA DI AKHIRAT.

Full video : https://youtu.be/C0Q-dUuRY4w

MUQADDIMAH :

  1. Dalam ayat-ayat siri ini Allah s.w.t menyatakan bahawa puak kafir tetap mendustakan Nabi s.a.w walaupun mereka telah melihat tanda kekuasaan & kebenaran Baginda melalui mukjizat bulan terbelah.
  2. Dalam beberapa hadis telah jelas bahawa peristiwa itu berlaku dengan disaksikan oleh penduduk Makkah dan para musafir yang menuju ke Makkah pada malam itu.
    Tetapi apa boleh buat mereka tetap tutup mata, telinga & hati daripada menerima kebenaran, tetap degil & ingkar.
  3. Kemudian Allah nyatakan tentang huru-hara yang akan menimpa mereka yang keras kepala ini di Akhirat.
  4. Kita sebagai orang yang beriman sentiasa memohon agar selamat daripada semua kesusahan dan huru-hara ini dunia dan akhirat.

AYAT 3- {DAN (TELAH MENJADI ADAT) MEREKA MENDUSTAKAN (NABI MUHAMMAD DAN MUKJIZAT-MUKJIZAT YANG DIBAWANYA) SERTA MENURUT HAWA NAFSU MEREKA, SEDANG TIAP-TIAP PERKARA TETAP (MENURUT KEADAAN YANG DITENTUKAN OLEH ALLAH).} (AL-QAMAR 54:3)

  1. Dalam siri yang lepas kita telah mendengar dalam beberapa hadis bagaimana puak Quraisy meminta tanda & mencabar Rasulullah s.a.w agar membawa bukti jika Baginda benar!
    Maka Allah s.w.t menjadikannya satu kenyataan! Bulan lalu terbelah dua dan mereka menyaksikannya!
  2. Tetapi mereka menafi, mendustakannya & mengatakan ia adalah satu sihir khayalan yang akan hilang dengan kematian Rasulullah s.a.w nanti.
  3. Telah menjadi satu adat kebiasaan bagi mereka untuk mendustakan Rasulullah s.a.w dan apa saja mukjizat yang dibawanya walaupun jelas berlaku di depan mata mereka!
  4. Ketahuilah ya Muhammad, penolakan ini kerana mereka menurut hawa nafsu yang menolak kebenaran! Sedangkan jika mereka ikut ilmu & akal yang waras mereka tetap akan menerima dakwah Nabi s.a.w.
  5. Kita bersama Nabi s.a.w dengan mengikut ajaran dan beramal dengan Sunnahnya bukan dengan perkara yang karut & khayalan semata!
  6. Allah tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa setiap perkara yang berlaku akan mencapai kesudahannya, menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah. Iaitu yang benar akan menerima kejayaan manakala yang batil akan hilang dan buruk padahnya!

AYAT 4- {DAN SESUNGGUHNYA! TELAH SAMPAI KEPADA MEREKA (DENGAN PERANTARAAN AL-QURAN), SEBAHAGIAN DARI KISAH-KISAH DAN BERITA (UMAT-UMAT YANG TELAH LALU), YANG MENGANDUNGI PERKARA-PERKARA YANG CUKUP UNTUK MENCEGAH MEREKA (DARI PERBUATAN KUFUR ITU).} (AL-QAMAR 54:4)

  1. Allah nyatakan telah sampai kepada Quraisy tentang cerita-cerita yang boleh diambil iktibar pengajaran daripada berita maklumat orang yang terdahulu (ٱلۡأَنۢبَآءِ). Mereka telah binasa akibat pengingkaran mereka.
  2. Maklumat dalam al-Quran adalah benar, tepat, sahih dan tidak meragukan sama-sekali!
  3. Satu lagi makna (ٱلۡأَنۢبَآءِ) ialah hujjah-hujjah dalam al-Quran yang telah datang kepada mereka, tanda-tanda yang telah ada disebut dalam al-Quran.

AYAT 5- {(YANG DEMIKIAN IALAH) PENGAJARAN YANG CUKUP SEMPURNA; DALAM PADA ITU, SEGALA PERINGATAN DAN AMARAN TIDAK AKAN MENDATANGKAN FAEDAH (KEPADA MEREKA YANG INGKAR).} (AL-QAMAR 54:5)

  1. Ini semua adalah satu pengajaran yang cukup sempurna, hikmah yang lengkap, tidak ada kekurangan & cacat cela.
    Al-Quran itu sudah lengkap & sampai maksudnya yang mahu disampaikan!
    Tidak boleh dilawan dari apa sudut sekalipun, fakta dan ketepatannya terbukti!
  2. Tetapi apa boleh buat, semua ini tidak memberi faedah kepada mereka, kerana mereka tetap degil, segala amaran dan peringatan ini tidak memberi faedah kepada mereka yang berpaling daripadanya!
  3. Firman Allah s.w.t juga:
    {Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.} (Yunus 10:101)

AYAT 6- {OLEH ITU, BERPALINGLAH DARI MEREKA (WAHAI MUHAMMAD DAN JANGANLAH DIHIRAUKAN). (INGATLAH) MASA (MALAIKAT) PENYERU MENYERU (MEREKA PADA HARI KIAMAT) KEPADA PERKARA YANG TIDAK DIINGINI (OLEH ORANG YANG BERSALAH);} (AL-QAMAR 54:6)

  1. Apabila Rasulullah telah menyampaikan segala bukti & tanda, semua usaha dakwah dan peringatan tidak memberi kesan, maka Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk berpaling dan tinggalkan mereka. Tunggulah ketetapan Allah s.w.t, biarlah Allah yang berurusan dengan mereka.
  2. Kata Ibnu Asyur rhm.: Arahan ini untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w bahawa Baginda tidak cuai dan lalai dalam tugasnya, Baginda telah menjalankan tugasnya menyampaikan Risalah ini dengan sempurna dan sepenuh tenaga.
    Tetapi mereka yang tidak mahu mengambil faedah dan beriman, maka boleh tinggalkan mereka, cari orang lain pula.
  3. Kerana itu dalam ilmu pendidikan: Seorang guru kena cuba & usaha sepenuhnya dulu, nasihat, dakwah, amaran dan denda; kemudian jika tidak berjaya juga tinggalkan mereka.
    Ini kerana jika hanya tumpukan kepada mereka, akan tergendala tugas kita yang lain, kena beri perhatian kepada pelajar yang lain pula!
  4. Kata para ulama\’ tafsir: Ayat ini adalah satu ayatnya yang tersendiri & sempurna: {Oleh itu, berpalinglah dari mereka (wahai Muhammad dan janganlah dihiraukan).} Berhenti terus di sini. Ayat berikutnya adalah cerita lain.
  5. Ayat berikutnya- munasabah ayat: Setelah disebut dan diberi amaran tentang hari Kiamat pasti jiwa manusia akan tertanya-tanya apakah ia?

Maka Allah nyatakan ia adalah hari Kiamat di mana malaikat penyeru menyeru mereka pada hari kiamat kepada perkara yang tidak diingini oleh orang yang bersalah.
Yakni dibentangkan segala kesalahan dan dosa yang mereka lakukan untuk perhitungan & pembalasan.

AYAT 7- {(PADA SAAT ITU) MASING-MASING DENGAN KEADAAN MENUNDUKKAN PANDANGANNYA KERANA KETAKUTAN KELUAR DARI KUBUR SEPERTI BELALANG YANG TERBANG BERTEBARAN.} (AL-QAMAR 54:7)

  1. Maka dalam ayat ini Allah s.w.t sebut & ceritakan sedikit tentang apakah hari Kiamat yang dahsyat itu! Yang penuh huru-hara dan ketakutan!
  2. Pada saat itu apabila manusia hidup balik dan keluar daripada kubur masing-masing, pandangan mereka tunduk hina kerana terlalu takut & terkejut dengan suasana yang dihadapi! Tidak sanggup untuk melihatnya!
  3. Kita sebagai orang yang beriman pun harus berasa takut & gerun mendengarnya dan membuat persiapan yang sepatutnya untuk selamat dari segala huru-hara & kedahsyatan ini!
  4. Kisah ini Allah jelaskan lagi dalam firman-Nya:
    {Iaitu hari mereka segera keluar dari kubur masing-masing menuju (ke Padang Mahsyar) dengan keadaan seolah-olah mereka berkejaran ke (tempat) berhala-berhala (yang mereka sembah dahulu). Sambil pandangan mereka tunduk, serta mereka diliputi kehinaan; itulah hari yang telah dijanjikan kepada mereka.} (Al-Ma\’aarij 70: 43-44)
  5. Kemudian Allah membuat gambaran dengan membandingkan keadaan mereka keluar dari kubur itu dengan cepat seperti satu gerombolan belalang yang berterbangan dengan banyaknya sehingga gelap pandangan.

AYAT 8- {MASING-MASING DENGAN CEPATNYA MENUJU KEPADA PENYERU ITU. (PADA SAAT YANG DEMIKIAN), ORANG-ORANG YANG KAFIR BERKATA: HARI INI IALAH HARI YANG AMAT SUKAR!} (AL-QAMAR 54:8)

  1. Mereka itu keluar daripada kubur masing-masing dengan cepat & meluru ke arah malaikat yang menyeru mereka.
  2. Orang kafir berkata: Inilah hari yang amat sukar (يَوۡمٌ عَسِرٞ)!
  3. Munasabah ayat: Biasanya manusia dalam satu perarakan berjalan dengan perlahan dan tenang, tetapi dalam ayat ini Allah jelaskan manusia apabila keluar dari kubur ini tidak begitu, mereka dalam keadaan huru-hara dan tergesa-gesa, bersegera untuk menuju kepada suara malaikat yang memanggil mereka! { مُّهۡطِعِينَ إِلَى ٱلدَّاعِۖ}

JANGAN KITA FIKIR JIKA KUBUR SESEORANG ITU JAUH DAN DI BENUA LAIN MACAMANA MEREKA KELUAR DAN NAK MENUJU KE MANA? TETAPI KITA FIKIRKANLAH APA PERSEDIAAN KITA UNTUK MENGHADAPI HARI YANG PENUH HURU-HARA ITU!

  1. Kata ulama\’; { مُّهۡطِعِينَ} adalah dengan makna bersegera & dengan cepatnya!
  2. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan adalah ia satu masa yang amat sukar keadaannya kepada orang-orang kafir.} (Al-Furqaan 25:26)

ii- {Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar –
Kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah (mengelak azabnya).} (Al-Muddaththir 74: 9-10)

  1. Betapa indahnya susunan ayat-ayat ini yang rima akhirnya seperti syair, ini adalah salah satu mukjizat keajaiban al-Quran dari Allah s.w.t. Makin dikaji makin terserlah keindahan & keajaibannya.

PENUTUP :

  1. Ayat 1- {Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.} (Al-Qamar 54:1)- kata ulama\’ tadabbur peristiwa bulan terbelah ini dapat disaksikan oleh penduduk Makkah dan orang yang bermusafir sekitar Makkah, dalam perjalanan balik dia nampak dari padang pasir yang tiada awan.

Kata para pengkaji: Tidak mungkin orang yang berakal untuk mengatakan jika bulan terbelah pasti seluruh dunia akan dapat melihatnya. Tetapi kenapa tidak ada disebut dalam sejarah Yunani, Greek atau India?

Jawapan: Tidak semestinya, kerana pebezaan zon masa atas muka bumi ini, ada yang sudah siang, ada yang malam tetapi masih terlalu awal. Perbezaan ini terbukti dengan fakta sains dan geografi dunia hari ini.

  1. Ayat 1- {Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.} (Al-Qamar 54:1)- Allah s.w.t bawa bulan terbelah ini untuk dua hikmah yang besar yang dapat kita perhatikan:
    i- Tanda benarnya dakwah Nabi s.a.w.

Sebagaimana diceritakan dalam hadis riwayat Anas r.a; apabila kaum Quraisy mencabar Rasulullah s.a.w dan meminta bukti, Allah s.w.t perkenankan berlakunya bulan terbelah ini sebagai bukti mukjizat dan kebenaran Rasulullah s.a.w!

ii- ia juga adalah dalil bahawa cakerawala & falak yang besar boleh terbelah dengan kuasa Allah s.w.t. Ini menjadi bukti akan kebenaran kepada apa yang telah diceritakan oleh para rasul a.s akan kejadian akhir zaman yang akan berlaku apabila tibanya hari Kiamat, langit akan terbelah, bukit berterbangan dan seumpamanya.

Kerana hikmah inilah Rasulullah s.a.w membaca surah al-Qamar ini semasa perhimpunan orang ramai seperti pada solat Hari Raya. Iaitu untuk memperdengarkan kepada orang ramai apa yang terkandung dalam al-Quran akan ayat-ayat tanda kekuasaan Allah s.w.t dan dalil kenabian Rasulullah s.a.w.

Apabila Nabi membacanya, Quraisy yang mendengarnya juga tidak membantah kerana mereka sendiri telah menyaksikan peristiwa bulan yang terbelah ini! Cuma mereka menolak kebenaran dan mengatakannya sebagai satu sihir.

Kata para pengkaji jika ia tidak berlaku pastilah kaum Quraisy yang tidak beriman itu akan membantahnya! Cuma mereka selewengkannya dengan menafikannya sebagai mukjizat bahkan sebagai satu sihir.

  1. Ayat 3- {Dan (telah menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan mukjizat-mukjizat yang dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara tetap (menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah).}- yakni mereka lawan bukan kerana tiada maklumat dan ilmu tetapi kerana mengikut hawa nafsu.

Ulama\’ tadabbur kata mendustakan yang benar dan ikut hawa nafsu itu adalah dua sifat buruk, kembar siam yang tidak akan terpisah. Apabila ikut hawa nafsu dia akan mendustakan yang benar, apabila telah tertutup mata hati seseorang itu; dia tidak akan dapat berfikir dengan waras.

Tetapi sebaliknya orang yang menerima kebenaran mereka akan kembarkannya dengan membenarkan semuanya sebagaimana Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a.

Kita orang Islam jangan mengulangi kesilapan orang kafir, kita jangan ikut nafsu tetapi kita ikut wahyu dari Allah s.w.t. Apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w itulah yang kita terima; tidak perlulah kita mencari-cari yang lain, yang tidak sebut oleh Nabi s.a.w dan memasukkannya ke dalam ajaran agama.

  1. Ayat 7- {(Pada saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.}- pada hari Kiamat itu, mereka keluar dari kubur dengan pandangan yang tunduk ketakutan, begitulah keadaan orang yang terlalu takut, tidak berani nak tengok huru-hara dan azab di depan mata mereka.

Allah gambarkan mereka keluar dari kubur seperti belalang berterbangan- kata ulama\’ tadabbur ayat ini menjadi contoh bahawa boleh kita membuat bandingan manusia dengan bukan manusia. Ini menjadi hujjah yang digunakan oleh para penyair yang suka membuat bandingan orang dengan orang.

Begitulah manusia yang tidak pandai menghargai sesuatu akan menyalah-gunanya, benda elok jika diberi kepada orang yang tidak cerdik dia tidak akan menghargainya, benda elok dan baik jika diajar kepada orang yang tidak berakal, dia tidak akan dapat menerimanya walaupun maklumat itu jelas.

Bak kata pepatah: Seperti monyet mendapat bunga atau permata.

Allah s.w.t juga membuat bandingan tentang ulama\’ yang jahat:
{Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.} (Al-A\’raaf 7:176)

Kita boleh membuat bandingan tetapi dengan peraturan yang ketat dan munasabah, jangan mudah-mudah membuat bandingan manusia dengan binatang, membuat bandingan yang tidak kena tempat, buruk akibatnya!

Contoh- kisah seorang Badwi penyair yang tinggal bersama anjing-anjing perburuannya di padang pasir, anjing merupakan harta dan haiwan yang amat berharga buatnya.

Apabila dia dibawa ke istana untuk bersyair kepada raja.
Dia pun bersyair memuji raja:
\”Tuanku seperti anjing;
Dari segi menunaikan tanggung-jawab & kesetiaan….\”.
Pastilah marah raja itu apabila dibandingkan dengan anjing!

Kita boleh membuat bandingan yang sesuai untuk menceritakan keadaan & suasana, tetapi bukan untuk menghina atau mengejek!

  1. Ayat 8- {Masing-masing dengan cepatnya menuju kepada penyeru itu. (Pada saat yang demikian), orang-orang yang kafir berkata: Hari ini ialah hari yang amat sukar!}- dalam ayat ini Allah tidak berkata manusia seluruhnya tetapi khas untuk orang kafir.

Mereka orang kafir berkata: Hari ini ialah hari yang amat sukar.
Kerana ia adalah hari huru-hara kepada orang kafir. Sebagaimana dalam dua ayat di atas tadi, orang kafir dalam kesusahan manakala orang mukmin akan berada dalam kesenangan.

Kesenangan & nikmat itu pula bergantung kepada amal ibadat & kebaikan masing-masing yang dilakukan semasa hidup di atas dunia dulu.

Sebagaimana Rasulullah s.a.w ceritakan pada hari Kiamat matahari berada sejengkal di atas kepala manusia, tetapi terdapat tujuh golongan yang mendapat bayangan Arasy Allah s.w.t.

Ya Allah Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendapat bayangan Allah s.w.t ini, iaitu mereka ygberiman dan mendapar keredhaan Allah s.w.t!

Powered by BetterDocs