SURAH AL-MUDDATHTHIR : AYAT 11-17

\"\"

SIFAT TAMAK SI KAFIR, BANGGA DENGAN HARTA DAN KETURUNAN & KERAS KEPALA.

Full video : https://youtu.be/sVWPK67jb7c?si=nwuaGTOILZsHYrfr

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang sifat tamak si kafir, terutamanya ketua kafir Makkah yang tidak mahu beriman, kufur tetapi masih mahu mengharapkan agar Allah s.w.t menambah kekayaan mereka.
  2. Mereka juga bangga dengan harta dan keturunan mereka sehingga merasakan bahawa merekalah yang layak menjadi Nabi bukan Nabi Muhammad s.a.w yang dianggap sebagai anak yatim yang miskin.
  3. Orang yang keras kepala akan dihumban ke dalam neraka dan mendapat azab yang pedih.
  4. Munasabah ayat:
    i- pada awal surah Allah s.w.t sebut kepada Rasulullah s.a.w ayat 1 & 2 {Wahai orang yang berselimut!} {Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).} – kemudian datanglah ayat 7 yang kita baca semalam {Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!} – serta ayat 9 di mana orang kafir akan menghadapi hari yang susah di akhirat kelak kerana kejahatan dan khianat.

Maka Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w bangun untuk pergi beri amaran & peringatan SERTA kerana menjalankan tugas dakwah: MAKA bersabarlah kerana Allah!

ii- maka dalam ayat 11- Allah s.w.t sebut pula tentang salah seorang kepala penyagak kafir , penentang tegar al-Quran & dakwah Rasulullah s.a.w. iaitu al-Walid!

Doa:

اللَّهُمَ حَبَّبْ إِلَيْنَا الْإِيمَانَ وَزَيِّنْهُ فِي قُلُوبِنَا، وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِينَ

Maksudnya: \”Ya Allah, jadikanlah kami cinta kepada keimanan dan jadikanlah ia indah di hati kami, bencikanlah kami pada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan, serta masukkanlah kami dalam golongan orang yang mendapat petunjuk.\”

AYAT 11- {(JANGAN ENGKAU BIMBANG WAHAI MUHAMMAD) BIARKANLAH AKU SAHAJA MEMBALAS ORANG (YANG MENENTANGMU) YANG AKU CIPTAKAN DIA (DALAM KEADAAN) SEORANG DIRI (TIDAK BERHARTA DAN ANAK PINAK),} (AL-MUDDATHTHIR 74:11)

  1. Allah s.w.t memberitahu Rasulullah s.a.w agar jangan bimbang dan usah memikirkan akan karenah kaum kafir yang menentangnya.
    Mereka itu asalnya Allah s.w.t ciptakan seorang diri tanpa Pembantu & sekutu serta mereka diciptakan seorang diri tanpa harta & anak. Semua urusan mereka di bawah kuasa Allah Azza wa Jalla.
  2. Tentang perkataan { وَحِيدًۭا} ini kata ulama\’ lughah, az-Zajjaj rhm. ada dua pandangan:
    i- Esa atau tunggal itu adalah sifat Allah s.w.t! Yakni biarkan Aku & manusia yang aku ciptakan sendiri, seorang diri tanpa bantuan sesiapa pun!

ii- ada kata ia adalah sifat makhluk. Yakni Allah kata: Biarkan aku dan manusia yang Aku ciptakannya sorang-sorang, keluar dari perut ibunya seorang diri kemudian akan masuk kubur sendirian juga!

  1. Allah s.w.t ceritakan kepada kita tentang seorang ketua penyangak Makkah yang sombong degil & kesar kepalanya. Namanya ialah al-Walid bin al-Mughirah al-Makhzumi.
  2. Ayat ini waktu turunnya ditujukan kepada al-Walid pada masa itu; dan terpakai kepada sesiapa saja yang degil & tidak beriman sehingga ke hari Kiamat.

AYAT 12- {DAN AKU JADIKAN BAGINYA HARTA KEKAYAAN YANG BANYAK,} (AL-MUDDATHTHIR 74:12)

  1. Dia sombong & takabbur kerana Allah menjadikan baginya harta yang banyak!
  2. Kata ulama\’ tafsir.: Tiada khilaf di kalangan ulama\’, tafsir bahawa ayat ini asalnya diturunkan kepada al-Walid bin al-Mughirah al-Makhzumi!
  3. Kata Ibnu Asyur rhm.:Dia terkenal di kalangan kaumnya sebagai \’Wahid\’- (وَحِيدًۭا) the one- kerana dia mempunyai banyak keistimewaan!
    i- harta yang banyak.
    ii- anak keturunan yang banyak.
    iii- keluarga yang berperestij. Datuk neneknya dulu juga orang hebat.
    iv- menjadi tempat rujukan kaumnya.
    v- dia lebih senior dan tua daripada Abu Jahal dan lain-lain pemuka Quraisy.

AYAT 13- {SERTA ANAK PINAK (YANG RAMAI), YANG SENTIASA ADA DI SISINYA.} (AL-MUDDATHTHIR 74:13)

  1. Dia juga mempunyai anak yang ramai, anak-anaknya itu pula sentiasa bersama dengannya { وَبَنِينَ شُهُودًۭا}. Lalu dia amat berbangga dengan anak-anaknya itu!
  2. Anaknya juga terlibat dalam bisnesnya, menjaga harta mereka yang banyak dan menguruskannya.
  3. Antara anaknya yang terkenal ialah:
    i- al-Walid bin al-Walid.
    ii- Khalid bin al-Walid. Pedang Allah (سيف الله) yang telah Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah. Sebelumnya dia adalah panglima perang Quraisy yang memainkan peranan besar dalam Perang Uhud terutamanya, menentang umat Islam.
    Allah buka hatinya untuk menerima Islam.
    iii- \’Umarah bin al-Walid.
    iv- Hisyam bin al-Walid.
    v- Al-\’as ibnul Walid.
    vi- Qais ibnul Walid
    vii- Abdu as-Syam bin al-Walid.
  4. Seorang bapa boleh bangga dengan anaknya kerana dua sebab:
    i- anaknya seorang yang cerdik & bijak.
    ii- apabila anaknya berjaya dalam kehidupan, seorang yang baik berkhidmat kepada ibu bapa.
    Kita banggakan kedua ibu bapa kita dengan khidmat kita kepada mereka (بر الولدين).

AYAT 14- {DAN AKU MUDAHKAN BAGINYA (MENDAPAT KEKAYAAN DAN KEKUASAAN) DENGAN SEMUDAH-MUDAHNYA.} (AL-MUDDATHTHIR 74:14)

  1. Allah s.w.t juga permudahkan baginya untuk mendapat kekayaan dengan semudah-mudahnya! Tiada siapa dapat menyekatnya hatta Abu Jahal yang lebih muda darinya!

Ayat 15- {Kemudian ia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi;} (Al-Muddaththir 74:15)

  1. Selepas mendapat semua itu, dia masih tamak dan ingin sangat agar Allah s.w.t menambah lebih banyak semua harta kekayaan dan anak cucunya!
  2. Kata al-Mawardi rhm. apa yang dia tamak (يَطْمَعُ) itu ialah:
    i- untuk tambah harta & anank.
    ii- tamak nak masuk syurga juga!

AYAT 16- {TIDAK SEKALI-KALI (AKAN DITAMBAHI) ! KERANA SESUNGGUHNYA DIA MENENTANG DENGAN DEGILNYA AKAN AYAT-AYAT KAMI (AL-QURAN, YANG DISAMPAIKAN OLEH RASUL KAMI).} (AL-MUDDATHTHIR 74:16)

  1. Tetapi Allah tidak akan menambahnya sekali!
  2. Ini kerana dia tetap menentang dengan degil dan kuatnya ayat-ayat al-Quran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w!

AYAT 17- {AKU AKAN MENYEKSANYA (DENGAN AZAB) YANG MEMUNCAK BERATNYA.} (AL-MUDDATHTHIR 74:17)

  1. Kemudian apabila mati, di akhirat kelak Allah akan menyiksanya dengan azab neraka yang yang memuncak & dahsyat!
  2. Kita berdoa agar mendapat keredhaan Allah s.w.t, agar selamat dunia & akhirat, tiada segala sifat yang dapat mengundang kemurkaan Allah s.w.t & azab nerakanya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 11- {(Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak),}- Allah peringatkan Rasulullah s.a.w agar biarkan orang kafir yang menentang itu!

Ayat ini dimula balik untuk menyatakan sebab turunnya ayat yang berkait dengan al-Walid bin al-Mughirah yang kerjanya hanya memikirkan untuk membuat tuduhan, tohmahan jahat & persepsi buruk ke atas Rasulullah s.a.w.

Antara tuduhan yang yang sering digunakan ialah pertamanya tuduh Rasulullah s.a.w sebagai orang gila, penyair tetapi ditolak kaumnya.
Akhirnya menuduh Rasulullah s.a.w sebagai ahli sihir yang berjaya memisahkan para suami isteri.

Jadi permulaan turun ayat al-Quran ini adalah menceritakan tentang al-Walid yang sentiasa membuat karenah & perancangan strategi jahat terhadap Rasulullah s.a.w.
Kemudian kepada semua penentang & mereka yang menolak ajaran Islam.

  1. Ayat 11- {Yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri}- tadi ulama\’ az-Zajjaj kata erti { وَحِيدًۭا} Wahid ini merujuk kepada sifat Allah Azza wa Jalla.

Ulama\’ ahli Sunnah berkata: Allah s.w.t adalah dengan nama-nama -Nya yang indah & sifat-sifat-Nya Yang Maha Tinggi.
Adapun sangkaan puak jahmiyyah (pengasasnya Jaham bin Safwan) yang sesat; mengatakan sesiapa yang mengatakan Allah s.w.t bersifat sedemikian dia telah terpengaruh dengan pegangan puak yahudi & Nasrani yang mengatakan bahawa Tuhan itu ada anak & ada isteri.

JAWAPAN :

Tidak! Ahli Sunnah wal -Jamaah mengatakan bahawa Allah itu Esa, Satu, Tunggal dengan nama & sifat-sifat-Nya.

Maka tidak boleh kita sifatkan Allah selain daripada apa yang Allah sendiri sifatkan-Nya.
Jadi di sini Allah s.w.t sifatkan diri-Nya sebagai Esa { وَحِيدًۭا}, tunggal tiada sekutu bagi-Nya.

Ini sangat penting untuk kita mengenali Allah melalui nama-nama & sifat-sifat-Nya.
Maka sesiapa yang terpengaruh dengan fahaman Jaham bin Safwan ini, mereka akan menafikan beberapa sifat Allah, iaitu dengan menta\’til, (membatalkan) beberapa sifat Allah dengan alasan bahawa jika kita mengatakan Allah bersifat begitu seumpama kita telah menyamakan-Nya dengan makhluk.

TIDAK begitu, Allah mempunyai sifat-Nya yang khas dan tidak menyerupai dan menyamai mana-mana makhluk. Allah tiada apa yang serupa dengannya-
{لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ }.
{Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan DIA dan DIAlah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.} [As-Syura 42: 11].

  1. Ayat 12- {Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak,} & Ayat 13- {Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya.}- Allah s.w.t dalam ayat ini dua sifat kepada al-Walid- iaitu Allah jadikan baginya harta yang banyak & anak yang sentiasa bersamanya.

Kata ulama\’ tadabbur- banyaknya harta & ramainya anak seseorang itu tidak menunjukkan bahawa dia disayangi Allah atau dia dekat dengan Allah!

Yakni berapa ramai di kalangan manusia yang banyak harta & anaknya tetapi dia adalah orang paling kufur, sombong, angkuh & takabbur, tidak beriman & bersyukur kepada Allah, maka dia adalah orang yang sangat jauh dengan Allah s.w.t.

Ada orang yang tidak kaya & tidak ramai anak tetapi mereka lebih dekat & disayangi Allah s.w.t seperti Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Yakni harta & anak bukan ukuran!

  1. Ayat 13- {Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya.}- dalam ayat ini Allah sebut khas- {anak-anak yang sentiasa bersama ada di sisinya- وَبَنِينَ شُهُودًۭا}. Sebagaimana kata Muqatil tadi anak-anaknya bersamanya terlibat dalam semua urusannya, perniagaan, pegangan, fahaman dan manhajnya!

Kata ulama\’ tadabbur: Antara ciri-ciri keluarga bahagia ialah apabila:
i- anak-anaknya ada disisinya, sentiasa bersamanya.

ii- satu pegangan/pemikiran (وحدة الفكر) samada dalam masalah kehidupan atau fikrah agama.
Jika bapanya pengamal Sunnah begitu juga anak-anaknya.

Maka ini adalah salah satu nikmat yang Allah s.w.t anugerahkan kepada kita.

Marilah kita sama-sama amalkan doa ini agar kita satu fikrah dalam agama yang benar ini;

اللَّهُمَ حَبَّبْ إِلَيْنَا الْإِيمَانَ وَزَيِّنْهُ فِي قُلُوبِنَا، وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِينَ

Maksudnya: \”Ya Allah, jadikanlah kami cinta kepada keimanan dan jadikanlah ia indah di hati kami, bencikanlah kami pada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan, serta masukkanlah kami dalam golongan orang yang mendapat petunjuk.\” [Al-Hujurah: 7].

  1. Ayat 15- {Kemudian ia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi;}- selepas dia kaya, selepas dia menentang dan melawan Rasulullah s.a.w dengan sepenuh hati, dia tamak berharap agar Allah s.w.t tambahkan lagi kekayaannya.

Kata ulama\’ tadabbur; Dalam kisah ini menggambarkan kepada kita sesiapa yang tidak syukur kepada nikmat Allah, kufur nikmat-Nya, maka Allah s.w.t akan potong nikmat itu.

Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: \”Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras\”.} (Ibrahim 14:7)

Sesiapa yang tidak syukur dengan nikmat yang ada, maka tunggulah nikmat itu akan hilang; samada hilang harta terus atau hilang keberkatannya!

Sesiapa yang syukur seolah dia ikat nikmat itu dengan tali yang begitu kuat & mantap!

Powered by BetterDocs