SURAH AD-DHUHA : AYAT 5-11

\"\"

ALLAH MENYEBUT BEBERAPA NIKMAT DAN LARANGAN & SYUKURI NIKMAT.

Full video : https://youtu.be/JB4Mn-TopZg?si=Fb5HA0kT_R-N_YpZ

MUQADDIMAH :

  1. Allah s.w.t mulai surah ini dengan bersumpah dengan waktu dhuha; iaitu waktu awal hari yang cerah.
    Sebagai simbolik kepada dakwah Islam ini yang bermula pada awalnya susah kemudian semakin hari semakin cerah sehinggalah berakhinya dunia ini dengan hari Kiamat.
  2. Allah bersumpah bahawa sesungguhnya Dia sekali-kali tidak akan membiar & meninggalkan Rasulullah s.a.w keseorangan, terkontang-kanting tanpa hidayah, bimbingan, perlindungan dan kasih-sayang-Nya.
  3. ini untuk menolak & membatalkan tuduhan & tohmahan jahat oleh puak kafir untuk menyakiti & merunsingkan hati Rasulullah s.a.w apabila mereka lihat wahyu telah terhenti buat seketika.
  4. Dalam siri ini Allah s.w.t menyebut beberapa nikmat besar yang telah dianugerahkan kepada Baginda s.a.w dan beberapa larangan apabila sudah senang, Juga arahan agar sentiasa syukuri nikmat Allah Azza wa Jalla.

AYAT 5- {DAN SESUNGGUHNYA TUHANMU AKAN MEMBERIKANMU (KEJAYAAN DAN KEBAHAGIAAN DI DUNIA DAN DI AKHIRAT) SEHINGGA ENGKAU REDA – BERPUAS HATI.} (ADH-DHUHA 93:5)

  1. Allah beri jaminan & berjanji akan anugerahkan kepada Rasulullah s.a.w kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat sehingga Baginda redha dan berpuas hati.
  2. Munasabah ayat:
    i- Allah sebut dalam ayat sebelum ini bahawa akhirat itu lebih baik bagi Nabi s.a.w daripada dunia ini.
    Tetapi Allah s.w.t tidak nyatakan kadar perbezaan antara dua anugerah itu.

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan bahawa Dia akan beri anugerah yang sehingga Rasulullah s.a.w redha, tiada lagi amnugerah yang lebih daripada itu!

3. Persoalan: Kenapa Allah s.w.t nyatakan bahawa Akhirat lebih baik kepada Rasulullah s.a.w daripada dunia ini?

Jawapan: demikianlah sebenarnya kerana apa yang Rasulullah s.a.w mahu Allah akan beri & dapat. Tetapi anugerah yang hendak diberikan kepada Rasulullah itu tidak cukup untuk diberi di dunia ini, tidak cukup standardnya untuk dunia! Maka tunggulah di akhirat.

4. Walaupun kunci gedung kekayaan dunia ini di tangan Baginda, Rasulullah s.a.w tidak ambil kemewahan hidup dunia, rumah-tangganya sederhana & zuhud, pernah berlapar sehingga terpaksa ikat batu di perut.

5. Maka di Akhirat Rasulullah s.a.w akan diberi anugerah dan ganjaran pahala yang banyak sehingga Baginda berpuas hati & redha dengannya.
Inilah yang dimaksudkan dengan ayat ini.

6. Para ulama\’ tafsir berbincang tentang di manakah akan diberikan anugerah ini:
i- ada kata anugerah itu akan diberikan di akhirat, di dunia ini ada kesusahan.
ii- ada kata dua-dua dunia akh akan dapat.

7. Kata Syeikh Ibnu al-Qayyim rhm. Allah janji untuk berikan kepada Rasulullah s.a.w sesuatu yang:
i- menenangkan hati, mencerahkan dada Baginda iaitu al-Quran,
ii- diberi kekuatan berdakwah membawa manusia dari kegelapan kekufuran kepada cahaya iman,
iii- Allah memberi kepada Baginda kemenangan yang bertalu-talu
iv- pengikut Nabi s.a.w makin hari makin ramai.
v- Allah s.w.t angkat sebutan nama Rasulullah s.a.w bersama nama-Nya dalam kalimah syahadah & kalimah azan. Angkat darjatnya walaupun sebagai seorang hamba.
Demikianlah beberapa janji-janji yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w.

8. Kemudian selepas disebut tiga anugerah nikmat ini; diberi pula tiga peringatan agar kita sentiasa mengingati bahawa laluan hidup kita tidak mudah, tetapi ia adalah anugerah Allah s.w.t., tidak mudah lupa diri & asal, tidak sombong takabbur & sentiasa bersyukur.

9. Antara keistimewaan Baginda s.a.w lagi:

  • Diberi kedudukan Nabi mengatasi para Nabi yang lain.
  • Di beri kuasa syafa\’at di padang Mahsyar kelak.
  • Mempercepatkan hisab
  • Dikurniakan Telaga Al-Kauthar.

AYAT 6- {BUKANKAH DIA MENDAPATI ENGKAU YATIM PIATU, LALU LA MEMBERIKAN PERLINDUNGAN?} (ADH-DHUHA 93:6)

  1. Bukankah Allah s.w.t dapati kamu ini seorang anak yatim wahai Muhammad s.a.w, kamu masih kecil dan tidak dapat membela diri sendiri lagi.
  2. Lalu Allah jadikan Baginda di bawah jagaan datuknya Abdul Mutalib
    ii- setelah datuknya meninggal dijaga pula oleh bapa saudaranya iaitu Abu Talib.
    iii- kemudian setelah dewasa & berkahwin meneruskan perjuangan dengan isterinya pula, Sayyidah Khadijah bt Khuwailid r.anha.

AYAT 7- {DAN DIDAPATINYA ENGKAU MENCARI-CARI (JALAN YANG BENAR), LALU IA MEMBERIKAN HIDAYAH PETUNJUK (DENGAN WAHYU – AL-QURAN)?} (ADH-DHUHA 93:7)

  1. Kemudian setelah dewasa, Allah melihat Rasulullah s.a.w terumbang-ambing mencari jalan yang benar untuk diikuti.
  2. Kata Ibnu Asyur rhm.: Para ulama\’ menegaskan bahawa makna {ضَآلًّۭا} di sini bukan bererti sesat ikut jalan yang batil- ini kerana Allah jaga para nabi & rasul sebelum dilantik menjadi Rasul, dilindungi daripada maksiat, khurafat dan kesyirikan kepada Allah s.w.t.
  3. Ini membawa Baginda kepada (التحنث) iaitu menjauhkan diri daripada benda tidak elok & buruk dengan menyendiri di Gua Hira\’.
    Ini kerana nak lari dari masyarakat musyrikin Quraisy yang huru-hara buruk amalannya pada masa itu!
  4. Lalu Allah s.w.t berikannya jalan petunjuk- turunkan wahyu al-Quran & ajarkan ajaran & perundangan Islam.
  5. Firman Allah s.w.t juga:
    i- {Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu (wahai Muhammad), nescaya berhasilah cita-cita segolongan dari mereka yang bertujuan hendak menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri; dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun; dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah besar.} (An-Nisaa\’ 4:113)

ii- {Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).} (Al-\’Ankabuut 29:48)

iii- {Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus,} (Asy-Syuura 42:52)

AYAT 8- {DAN DIDAPATINYA ENGKAU MISKIN, LALU IA MEMBERIKAN KEKAYAAN?} (ADH-DHUHA 93:8)

  1. Allah juga nyatakan pada awalnya Rasulullah s.a.w adalah seorang yang miskin {عَآئِلًۭا} lalu mengangkat kedudukannya menjadi kaya & senang!

Maksud miskin ialah kerana Baginda telah menjadi anak yatim sejak bayi lagi dan tidak dapat berdikari pada awalnya.

  1. Setelah disebut 3 nikmat yang diberi kepada Rasulullah s.a.w ini maka Allah mengingatkan agar melakukan pula 3 perkara ini dalam ayat seterusnya untuk diambil cakna supaya kita sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t & menunaikan haq sesama manusia.

AYAT 9- {OLEH ITU, ADAPUN ANAK YATIM MAKA JANGANLAH ENGKAU BERLAKU KASAR TERHADAPNYA,} (ADH-DHUHA 93:9)

  1. Pesanan pertama: Kepada anak yatim jangan kamu hina & berlaku kasar terhadapnya. Ini kerana kamu sendiri adalah anak yatim pada awalnya.
  2. Jangan kamu hina & jatuhkannya. Jangan juga menzaliminya dengan mengambil haknya atau menyakitinya. Jika kita mampu bantu tolonglah jika tidak mampu memberi apa-apa sumbangan; jangan kacau atau usiknya.
  3. Firman Allah S.W.T:
    {Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.} [An-Nisa\’: 10)

AYAT 10- {ADAPUN ORANG YANG MEMINTA (BANTUAN PIMPINAN) MAKA JANGANLAH ENGKAU TENGKING HERDIK;} (ADH-DHUHA 93:10)

  1. Jika ada orang yang meminta bantuan kamu, jangan marah herdiknya. Sudahlah tidak mahu tolong, tengking herdik pula!
  2. Munasabah ayat:
    ii- Allah s.w.t mulakan ayat ini dengan awal kehidupan Rasulullah s.a.w sebagai seorang anak yatim kemudian disudahi dengan Baginda menjadi ketua negara Madani Madinah (ini kedudukan atas dunia).

ii- lalu apabila Rasulullah s.a.w sudah dewasa & berkuasa, menjadi pemimpin negara Madinah- orang ramai (rakyat) dari semua golongan datang kepadanya- maka Allah s.w.t menasihat & beri peringatan kepada Baginda s.a.w cara untuk menyantuni mereka semua ini dengan baik samada anak yatim, orang yang minta bantuan & hukum pandangan.

  1. Ulama\’ kata maksud { ٱلسَّآئِلَ} ini adalah samada orang yang meminta harta atau minta pandangan dari ilmu yang kita ada; keduanya boleh jadi. Sedekah ini bukan duit saja, termasuk juga nasihat & bantuan tenaga.
  2. Hadis riwayat Anas r.a:
    Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w datang seorang lelaki menaiki unta. Dia ikat untanya lalu datang kepada mereka dan bertanya:
    Siapakah di antara kamu ini Muhammad (s.a.w)?
    Ketika itu Nabi s.a.w sedang duduk bersandar di antara mereka. Maka kami katakan, \”Ini orangnya, lelaki yang berkulit putih dan sedang bersandar.\” sahabat lalu menunjukkan kepada Rasulullah s.a.w yang sedang bersandar.

Lalu dia pergi kepada Baginda dan berkata: \”Wahai cucu Abdul Mutalib?\”. Nabi s.a.w berkata kepadanya, \”Ya, aku akan menyambut keinginanmu.\”
Kemudian lelaki itu berkata: \”Aku akan bertanya kepadamu beberapa soalan yang agak keras, semoga engkau tidak marah kepadaku kerananya!

Nabi s.a.w berkata, \”Tanyakanlah apa yang dikira perlu bagimu.\”
Lalu dia bertanya, \”Aku bertanya kepadamu dengan menyebut nama Tuhanmu dan Tuhan orang-orang sebelummu, apakah benar Allah mengutusmu kepada semua umat manusia?\”
Baginda menjawab, \”Allahumma, hal itu memang benar.\”
Lalu dia berkata, \”Aku meminta kepadamu demi Allah, benarkah Allah yang memerintahkanmu supaya kami menunaikan solat lima waktu dalam sehari semalam?\”
Nabi menjawab, \”Allahumma, hal itu memang benar.\”
Lalu dia berkata, \”Aku meminta kepadamu demi Allah, benarkah Allah memerintahkanmu agar kami berpuasa pada bulan -Ramadhan- ini dalam setiap tahunnya?\”
Nabi menjawab, \”Allahumma, hal itu memang benar.\”
Lalu dia berkata, \”Aku meminta kepadamu demi Allah, benarkah Allah memerintahkanmu untuk memungut sedekah/zakat ini dari kalangan orang kaya di antara kami lalu kamu bagikan kepada orang miskin di antara kami?\”
Maka Nabi s.a.w menjawab, \”Allahumma, benar apa yang kamu ucapkan.\”

Lalu lelaki itu berkata, \”Aku telah beriman kepada semua ajaran yang kamu bawa. Dan aku adalah utusan dari kaumku yang ada di belakangku (ramai lagi orang yang akan memeluk Islam). Namaku Dhimam bin Tha\’labah, salah seorang kerabat Bani Sa\’d bin Bakr.\” (HR. Bukhari [63] dan Muslim).

AYAT 11- {ADAPUN NIKMAT TUHANMU, MAKA HENDAKLAH ENGKAU SEBUT-SEBUTKAN (DAN ZAHIRKAN) SEBAGAI BERSYUKUR KEPADANYA.} (ADH-DHUHA 93:11)

  1. Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w supaya sentiasa mengingati & menyebut nikmat yang Allah anugerahkan kepada Baginda s.a.w. juga menzahirkannya sebagai tanda bersyukur kepada Allah s.w.t!
  2. Boleh kita tunjukkan nikmat kita setakat yang sepatut dan tidak melampau untuk menunjukkan kesyukuran.
  3. Kata Ibnul Jauzi rhm.: Antara nikmat yang Rasulullah s.a.w mesti nyata & zahirkan ialah:
    i- nikmat kenabian, Rasulullah s.a.w kena maklumkan kepada orang ramai bahawa dia adalah nabi & rasul. Jika tidak bagaimana orang nak tahu!

ii- nikmat al-Quran yang Allah anugerahkan kepada Nabi- kena ajar & sebar kepada manusia.

iii- serta pelbagai lagi kebajikan yang Allah sampaikan maka Rasulullah s.a.w kena nyatakan nikmat & anugerah yang Allah berikan.

4. Contoh jika kita nak sampaikan ilmu kepada orang; kita kena nyatakan juga kelayakan & kelulusan ilmu yang kita ada, serta manhaj yang dibawa agar orang faham & mudah untuk menerimanya!

Tetapi jika apa yang kita sebut boleh membawa takabbur maka jangan sebut- bukan semua kena sebut cerita!

5. Hadis Rasulullah s.a.w:
Sesunggguhnya Allah suka melihat kesan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya. [HR Ahmad].

Allah beri kita harta- hiduplah dengan baik & nikmatinya dalam pakaian & tempat tinggal, infaq & menolong orang ramai, jika ada ilmu sampaikan kepada orang ramai dan seumpamanya. Tetapi jangan sampai riya\’ takabbur ingnin menunjuk-nunjuk.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 5- {Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati.}- ayat ini memberi peringatan kepada kita bahawa Rasulullah s.a.w telah anugerahkan kepada Rasulullah s.a.w nikmat yang sangat besar!

Nikmat & anugerah yang sangat besar sehinggakan Nabi s.a.w tidak dapat ambil & gunanya atas dunia ini.

Allah anugerahkan kepada Nabi s.a.w. nikmat yang banyak, lebih banyak untuk diterima di akhirat.
Lalu dimaklumkan supaya Nabi s.a.w redha dengan keadaan Baginda di dunia ini.

Ada yang salah tafsir ayat ini dengan mengatakan bahawa Rasulullah tidak redha jika Allah menyiksa umatnya yang derhaka di dalam neraka!
Ini tidak benar kerana kerana Rasulullah s.a.w akan redha dengan apa yang diredhai Allah & akan murka dengan apa yang dimurkai Allah s.w.t!

Memang Nabi tidak suka umatnya derhaka, tetapi jika buat derhaka juga pastilah Baginda s.a.w akan terima & redha untuk mereka dihukum oleh Allah s.w.t sebagaimana yang telah dijanjikan!

  1. Ayat 6- {Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?} &
    Ayat 8- {Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?}- Allah sebutkan keadaan Nabi s.a.w. yang awalnya:
    i- yatim Allah lindunginya & jaganya.
    ii- Baginda susah dan mencari-cari; lalu Allah s.w.t menolong & mengangkat kedudukan Baginda s.a.w.
    Ini supaya kita semua ingat- bila senang jangan melupai Allah, jangan mudah lupa diri & lupa daratan, ini kerana ramai manusia ini apabila senang lupa diri & takabbur.

Yang penting bersyukurlah dengan nikmat Allah & jangan sekali-kali buat perkara yang dimurkai Allah s.w.t!

Allah s.w.t sebut nikmat-nikmat ini sebagai peringatan supaya kita sedar & jangan mudah lupa diri akan asal-usul. Jangan sombong & takabbur.

  1. Ayat 7- {Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)?}
    Allah nyatakan bahawa anugerah yang paling besar ialah anugerah wahyu. Setelah dipilih menjadi nabi & Rasulullah, Baginda bertukar dari Muhammad bin Abdullah kepada Muhammad Rasulullah s.a.w.

TETAPI ingat { ضَآلًّۭا} di sini bukan bermakna Rasulullah s.a.w sesat mengikut ajaran yang batil, tetapi Nabi tercari-cari tidak ikut ajaran jahiliyah musyrikin Makkah. Rasulullah s.a.w sentiasa di atas fitrah Allah.

Firman Allah s.w.t:
{(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.}(Ar-Ruum 30:30)

  1. Ayat 9- {Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,}- ayat ini memberi peringatan bahawa perlu beri perhatian berat kepada anak yatim. Hina dan aniayai anak yatim adalah dosa besar.

Beberapa hadis yang Rasulullah s.a.w sebut antara dosa besar ialah menghina anak yatim!

Semoga kita tidak terjebak dengan perbuatan buruk & dosa besar yang amat menakutkan ini!

Manakala bagi penjaga atau pemegang amanah anak Yatim yang miskin dan memerlukan boleh menggunakan harta itu sekadar keperluan yang wajib & betul-betul untuk pengurusan dengan amanah & telus.

  1. Ayat 11- {Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.}

Ulama\’ kata maksudnya di sini ialah kedua-dua nikmat dunia & akhirat.

Sebagai seorang Islam apabila apabila dapat nikmat:
i- kita kena syukurinya dengan memuji Allah s.w.t- alhamdulillah kepada Allah yang telah memberi segala nikmat ini! Hendaklah bersyukur dengan nikmat yang diterima.

ii- kemudian kita doakan orang yang memberi barang/nikmat itu kepada kita; samada makanan, duit atau apa saja jenis pertolongan. Puji dan doakan pemberian sedekah.
Ucapkan: جزاك الله خيرا

iii- Kita sebut & zahirkan nikmat itu untuk mensyukuri nikmat Allah bukan untuk menunjuk dan riya\’ kepada manusia lain!

Nikmat disyukuri bukan ditayangi.

Berhati-hatilah dengan nikmat (نعمة) yang Allah beri, jangan sampai menjadi nikmah (نقمة) iaitu bencana, sebagaimana harta pusaka jangan sampai menjadi harta puaka!

Powered by BetterDocs