SURAH AT-TUR : AYAT 1-8

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ALLAH S.W.T BERSUMPAH DENGAN MAKHLUK-NYA & AZAB PASTI ALLAH AKAN DITIMPAKAN KE ATAS PENDERHAKA.

Full video : https://youtu.be/pzR6Oum-qLs

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Selasa 30 Safar 1444H bersamaan 27hb September 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah At-Tur – سورة الطور
  2. Surah At-Tur adalah surah ke-52 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas surah az-Zariyat, di awal juz ke 27, mengandungi 49 ayat yang pendek-pendek. Termasuk dalam kumpulan surah Mufassal (المفصل) surah yang pendek-pendek.
  3. Para ulama\’ tafsir sepakat (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
  4. Dinamakan surah ini sebagai Surah At-Tur – سورة الطور yang bererti (bukit Tursina di Mesir) kerana Allah s.w.t bersumpah dengan perkataan itu pada ayat yang pertama dan beberapa benda suci lain untuk menegaskan bahawa azab siksa yang dijanjikan kepada orang kafir.

KELEBIHAN & ISBAT NAMA SURAH :

1- Hadis riwayat Jubair bin Mut\’im r.a: \”Aku mendengar Rasulullah s.a.w membaca surat At Tur pada waktu solat Maghrib.\” [HR Bukhari & Muslim].

  1. Hadis Riwayat dari UM Ummu Salamah r.a:
    \”Aku mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang keuzuranku.
    Lalu Baginda bersabda: Lakukanlah tawaf di belakang mereka (orang ramai) secara menunggang binatang.
    Lalu aku melakukan tawaf manakala Rasulullah s.a.w solat di tepi Kaabah sambil membaca { وَٱلطُّورِ ١ وَكِتَٰبٖ مَّسۡطُورٖ 7 } iaitu surah At-Tur. [HR Bukhari & Muslim].

Orang uzur boleh melakukan tawaf atau sae\’I dengan naik kenderaan jika diperlukan.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Memberi amaran yang menggerunkan kepada orang-orang yang ingkar bahawa mereka akan menerima akibat yang seburuk-buruknya pada hari akhirat kelak. Ketika langit bergegar runtuh dan gunung-ganang menjadi debu yang berterbangan, lalu alam ini menjadi alam baru iaitu alam akhirat.
    Serta manusia dihidupkan semula dan dibicarakan, lalu orang yang kufur akan diseret ke dalam azab neraka lalu dikatakan kepada mereka: rasalah apa yang kamu ingkari & dustai dulu kerana kamu tidak akan dibalas kecuali apa yang kamu kerjakan di dunia dulu!
  2. Juga diterangkan balasan baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh sebagaimana dalam firman Allah bahawa mereka akan ditempatkan dalam taman-taman syurga serta nikmat kesenangan yang tiada taranya.

Serta mengingatkan orang beriman supaya memberi pelajaran & didikan agama kepada anak isteri & zuriat keturunannya supaya mereka dapat berhimpun bersama di dalam syurga Jannatun-Naim kelak. Allah juga tidak akan mengurangkan sedikit pun pahala amalan mereka, setiap manusia itu itu terikat dengan amalanan masing-masing di dunia ini!

  1. Pada akhir surah Allah s.w.t dedahkan kebodohan orang kafir yang membuat tuduhan terhadap Rasulullah s.a.w bahawa tuduhan mereka bukan sahaja tidak bersas bahkan mereka sengaja tidak mahu beriman!

Dengan cabaran jika betul mereka orang yang benar dakwaannya maka datangkan kata-kata yang fasih, petah & indah seperti al-Quran ini! Pastilah mereka tidak mampu!

OBJEKTIF/ MAQASID SURAH TAFSIR MUHARRAR :

  1. Objektif utamanya ialah menetapkan kebangkitan semula (تقرير البعث) dan Allah nyatakan akibat buruk para pendusta dan eloknya akhir kesudahan bagi orang mukmin.
  2. Menolak segala tuduhan jahat yang direka oleh puak musyrikin dan pembohongan yang mereka lakukan.

TAJUK-TAJUK SURAH :

  1. Allah s.w.t boleh bersumpah dan Dia bersumpah dalam surah ini dengan beberapa makhluk-Nya yang menunjukkan sempurnanya kuasa Allah s.w.t & indahnya ciptaan Allah.
    Dia juga bersumpah dengan Kitab-Nya samada Taurah atau al-Quran.
    Ini untuk menyatakan bahawa kebangkitan semula & pembalasan itu benar! Hari Kiamat akan berlaku!
  2. Allah s.w.t menceritakan buruknya akhir kesudahan orang yang mendustakan dan Allah ceritakan apakah kebaikan yang Allah sediakan kepada orang mukmin dan anugerah nikmat yang akan diberikan bagi mereka. Allah s.w.t puji mereka serta mereka juga memuji Allah s.w.t atas nikmat yang dikurniakan!
  3. Menolak segala kekeliruan & pembohongan yang dibuat oleh orang kafir.
  4. Allah ceritakan tentang orang zalim akan di azab di dunia sebelum di azab di akhirat.
  5. Semua cerita ini sebagai penenang hati kepada Rasulullah s.a.w dan bahawa janji Allah untuk menolongnya adalah benar.
    Lalu Allah perintahkan Baginda agar banyak bertasbih memuji Allah s.w.t!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 1- {DEMI GUNUNG TURSINA;} (AT-TUUR 52:1)

  1. Pertama Allah s.w.t bersumpah dengan bukit Tursina yang menjadi tempat Allah s.w.t berkata-kata dengan nabi Musa a.s pada malam dia bermunajat.
  2. Inilah pendapat yang disepakati oleh para ulama\’ salaf & khalaf secara jumhur ulama\’.
  3. Ibnu Kathir rhm. juga berpendapat begitu, kerana ia adalah bukit yang berpokok kerana itu disebut tur (طُّورِ) jika tidak akan di panggil jabal (جبل).
    Maka ia adalah bukit di tempat Allah s.w.t berkata-kata dengan nabi Musa a.s.
  4. Perkataan tur disebut juga dalam ayat berikut:
    i- {Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina (ٱلطُّورِ), dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami.} (Maryam 19:52)

ii- {Dan engkau juga tidak berada dekat Gunung Tursina ketika Kami menyeru (Nabi Musa dan memberi wahyu kepadanya dahulu).} (Al-Qasas 28:46)

iii- {Dan Gunung Tursina.} (At-Tiin 95:2)
iv- dan ayat surah kita ini.

AYAT 2- {DAN DEMI KITAB YANG TERTULIS DENGAN RAPI.} (AT-TUUR 52:2)

  1. Sumpah yang kedua: Allah s.w.t bersumpah dengan Kitab yang tertulis dan rapi tulisan & susunannya.
  2. Tentang apakah Kitab (وَكِتَٰبٖ) yang Allah maksudkan ada beberapa pendapat:
    i- Rekod di Lauh Mahfuz.
    Tetapi kebanyakan ulama\’ mengatakan pandangan ini tidak tepat kerana ia bukan tertulis di atas lembaran.

ii- rekod amalan anak Adam.
iii- Kitab Taurah.
iv- Kitab al-Quran al-Karim.

AYAT 3- {PADA LEMBARAN SURAT YANG TERBUKA;} (AT-TUUR 52:3)

  1. Sumpah ketiga: Atas satu kitab lembaran yang terbuka luas, tidak tertutup atau berlipat!
  2. Setiap benda atau alat tulis namanya (رَقّٖ ) iaitu lembaran bertulis yang terbuka tidak berlipat.
  3. Tentang makna ia juga ada banyak perbincangan & pandangan ulama\’.

AYAT 4- {DAN DEMI \”AL-BAITUL MAKMUR\”;} (AT-TUUR 52:4)

  1. Allah juga bersumpah demi Al-Baitul Makmur, ini juga banyak pandangan tentang maksudnyanya.
  2. Beberapa maksudnya Al-Baitul Makmur (وَٱلۡبَيۡتِ ٱلۡمَعۡمُورِ):
    i- rumah suci di langit tempat malaikat beribadat yang terletak betul-betul dengan rumah suci Allah, Ka\’bah di Makkah.
  3. Hadis Rasulullah s.a.w bersabda menceritakan kisah Mi\’rajnya:
    فَأَتَيْنَا السَّمَاءَ السَّابِعَةَ فَأَتَيْتُ عَلَى إِبْرَاهِيمَ ، فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ فَقَالَ مَرْحَبًا بِكَ مِنِ ابْنٍ وَنَبِىٍّ، فَرُفِعَ لِي الْبَيْتُ الْمَعْمُورُ فَسَأَلْتُ جِبْرِيلَ ، فَقَالَ : هَذَا الْبَيْتُ الْمَعْمُورُ ، يُصَلِّي فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ، إِذَا خَرَجُوا لَمْ يَعُودُوا إِلَيْهِ آخِرَ مَا عَلَيْهِمْ.

Kami mendatangi langit ketujuh. Lalu aku mendatangi Nabi Ibrahim, aku memberi salam kepadanya dan beliau menyambut, \”Selamat datang puteraku, sang Nabi.\”
Lalu aku melihat Baitul Makmur.
Akupun bertanya kepada Jibril.
Jawabnya: \”Ini adalah Baitul Makmur, setiap hari, tempat ini dikunjungi 70.000 Malaikat untuk melakukan solat di sana. Setelah mereka keluar, mereka tidak akan kembali lagi ke tempat ini.\” (HR. Bukhari 3207 & Muslim 162).

ii- pandangan kedua yang mengatakan Baitul-Makmur itu adalah Ka\’bah.
Kata al-Qasimi: Rumah yang banyak dikunjungi orang ramai dan tawaf padanya, maka makmurlah ia!

  1. Kata Ibnul Qayim rhm. pandangan ahli tafsir yang masyhurnya Baitul-Makmur itu adalah yang di langit.
    Jika Ka\’bah dipanggil Baitul-Atiq (rumah yang tua).

AYAT 5- {DAN DEMI BUMBUNG YANG TINGGI;} (AT-TUUR 52:5)

  1. Sumpah yang keempat: Demi bumbung yang tinggi. Yakni alam langit & segala isinya.
  2. Allah s.w.t bersumpah dengan langit yang dibina dan diangkat tinggi binaannya dan Allah jadikan langit itu sebagai atap kepada bumi keseluruhannya.

AYAT 6- {DAN DEMI LAUT YANG PENUH TEPU (DENGAN KEPANASAN);} (AT-TUUR 52:6)

  1. Sumpah yang kelima: Allah s.w.t bersumpah demi laut yang begitu panas sehingga tepu.
  2. Laut (وَٱلۡبَحۡرِ) mana ini?
    Beberapa pendapat ulama\’ tafsir:
    i. Laut di bawah Arasy Tuhan.
    ii- laut yang berada atas dunia semuanya.
    iii- kata Ibnu Asyur rhm. ia adalah khas iaitu Laut Merah (Qalzum) kerana ia adalah tempat dibinasakan Firaun dan kuncu-kuncunya!
  3. Pendapat yang kita pilih ialah: Laut yang penuh berisi air dan kegunaannya.

AYAT 7- {SESUNGGUHNYA AZAB TUHANMU TETAP BERLAKU;} (AT-TUUR 52:7)

  1. Allah s.w.t bersumpah dengan segala makhluk-Nya tadi untuk menetapkan bahawa azab yang disebut-Nya tadi tetap akan berlaku apabila tiba tempohnya.

AYAT 8- {TIDAK ADA SESIAPAPUN YANG DAPAT MENOLAKNYA;} (AT-TUUR 52:8)

  1. Apabila turun azab itu tiada siapa yang dapat menolaknya, tiada siapa yang akan selamat darinya!
  2. Kamu akan terima azab itu, maka kita orang beriman jangan berani buat maksiat melanggar perintah Allah s.w.t kerana azab itu adalah sesuatu yang cukup dahsyat!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. {Ayat 1 sehingga Ayat 6-}- dari keseluruhan ayat yang kita baca tentang sumpah ini- untuk menyatakan dan menguatkan bahawa janji Allah s.w.t itu pasti akan berlaku.
    Allah bersumpah dengan lima makhluk-Nya yang besar, yang menunjukkan keagungan dan kudrat Allah s.w.t.
    Kemudian menyatakan bahawa janji Allah itu benar. Kita yakin dengan janji Allah itu serta azab-Nya juga akan berlaku, tiada siapa yang dapat menolaknya!
  2. Ayat 1- {Demi Gunung Tursina;}- Tur (طور) ini bermakna bukit (جبل) dalam bahasa Suryaniyyah.
    Para ulama\’ salaf & khalaf telah sepakat bahawa ia adalah bukit Tursina yang menjadi tempat nabi Musa a.s bermunajat dan berkata-kata dengan Allah s.w.t.
    Di situlah juga diturunkan lembaran-lembaran yang mengandungi usul Syari\’ah iaitu Kitab Taurah.
  3. Ayat 2- {Dan demi Kitab yang tertulis dengan rapi.} & Ayat 3- {Pada lembaran surat yang terbuka;} -dengan ejaan (وَكِتَٰبٖ) iaitu Kitab yang telah tertulis dan selesai tulisannya.
    i- Ada ulama\’ kata ia adalah kitab al-Quran. Walaupun ia turun secara berperingkat tetapi hakikatnya ia sudah selesai tertulis di Lauh Mahfuz. Ia juga berada dalam lembaran terbuka yang ada di tangan malaikat untuk diturunkan kepada Rasulullah s.a.w!

ii- ada juga ulama\’ yang kata ia adalah kitab Taurah kerana sesuai dengan bukit Tursina. Iaitu kitab yang ada di tangan nabi Musa a.s untuk membatalkan syirik.

Ayat ini juga isyarat kepada kaum kafir bahawa al-Quran itu tidaklah pelik & bukan Rasulullah s.a.w yang memulakan dakwah tauhid ini! Kitab Taurah yang kamu percaya itu wahai ahli Kitab, ia juga menolak syirik dan menyeru kepada KeEsaan Allah Azza wa Jalla.

  1. Ayat 4- {Dan demi \”Al-Baitul Makmur\”;} & Ayat 5- {Dan demi bumbung yang tinggi;}- ada beberapa pandangan ulama\’ tentangnya.
    i- Baitul-Makmur- rumah ibadat di langit, langit itu pula terangkat tinggi!
    Maka sesuai dan dekat dua ayat in.

ii- ada juga yang kata ia bermaksud Ka\’bah. Hujjah mereka kerana mahu diceritakan dua munasabah kepada orang kafir; tadi disebut Tursina tempat turunnya Taurah, maka disebut pula Ka\’bah sebagai tempat turunnya al-Quran pula.

Tidak mengapa kerana kedua-duanya adalah hujjah yang berat ke atas puak kafir belaka.
Majoriti ulama\’ mengatakan bahawa Baitul-Makmur itu adalah di langit sebagaimana yang dilihat oleh Rasulullah s.a.w semasa Mi\’raj.

  1. Ayat 6- {Dan demi laut yang penuh tepu (dengan kepanasan);}- semua itu Allah s.w.t mahu sebutkan kepada kita bahawa Dia telah peringatkan kita dengan sumpah-sumpahnya untuk menyatakan bahawa azab yang dijanjikan-Nya tetap akan berlaku dan tiada siapa yang akan selamat dan dapat menolaknya!

Demikianlah ayat-ayat yang diturunkan di Makkah, method penjelasannya berkisar tentang menguatkan aqidah umat Islam dan untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w!

Kita semua yakin dengan janji Allah s.w.t tetapi kita berdoa lagi agar dicampakkan ke dalam hati keyakinan yang tidak berbelah bagi, agar kita banyak beribadat dan takut untuk melakukan kecuaian, tidak berani derhaka kepada Allah s.w.t!

Powered by BetterDocs