SURAH AL-GHASYIAH : AYAT 8-16

\"\"

ORANG MUKMIN DI AKHIRAT, MUKA BERCAHAYA & KEADAAN DALAM SYURGA.

Full video: https://youtu.be/3o2lVvImIKc

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang keadaan orang mukmin di akhirat, betapa muka mereka indah bercahaya.
  2. Diceritakan juga beberapa keadaan dalam syurga, dengan nikmatnya, mata air sungai yang mengalir, katil, bantal dan seumpamanya.
  3. Maka sesiapa nak wajahnya cantik berseri & menikmati nikmat syurga ini maka beramallah dengan amal soleh kepada Allah s.w.t & ikut Sunnah Nabi s.a.w.

AYAT 8- {(SEBALIKNYA) MUKA (ORANG-ORANG YANG BERIMAN) PADA HARI ITU BERSERI-SERI,} (AL-GHAASYIYAH 88:8)

  1. Muka orang yang berriman pada hari akhirat adalah bercahaya, berseri-seri.
    Kesan daripada iman & nikmat yang mereka dapat dalam syurga. Penuh kegembiraan dan kebahagiaan.
  2. Ayat ini adalah sebaliknya bagi ayat yang lepas di mana muka orang kafir penuh dalam kehinaan & kegelapan.
    Dalam surah ini dibawa kisah orang celaka dahulu.
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat:
    Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ).
    Engkau dapat melihat pada muka mereka: cahaya nikmat yang mereka perolehi.} (Al-Mutaffifiin 83: 22-24)

AYAT 9- {BERPUAS HATI DENGAN BALASAN AMAL USAHANYA (YANG BAIK YANG TELAH DIKERJAKANNYA DI DUNIA),} (AL-GHAASYIYAH 88:9)

  1. Ayat ini menerangkan sebab kenapa muka mereka indah bercahaya.
  2. Iaitu kerana mereka redha dengan segala sekatan & hukuman bagi mereka atas dunia dulu, mereka patuh dan taat kepada Syari\’ah Allah s.w.t!
  3. Maka di akhirat mereka berpuas hati & redha pula dengan balasan yang mereka dapat! Dengan pahala balasan yang Allah berikan kepada mereka!
  4. Ya Allah jadikanlah kami dari kalangan orang yang berbahagia ini; bahagia & redha di dunia maka aman & senang di akhirat.

AYAT 10- {(MEREKA TINGGAL MENETAP) DI DALAM SYURGA TINGGI (TEMPAT KEDUDUKANNYA DARJATNYA),} (AL-GHAASYIYAH 88:10)

  1. Mereka akan menjadi ahli syurga yang tinggi tempat kedudukannya & darjatnya.
  2. Bertambah mantap keimanan & kuat amalan seseorang; lagi tinggi darjat & kedudukannya dalam syurga!

AYAT 11- {MEREKA TIDAK MENDENGAR DI SITU SEBARANG PERKATAAN YANG SIA-SIA,} (AL-GHAASYIYAH 88:11)

  1. Kerana mereka orang bahagia, tidak ada dalam majlisnya sebarang perkataan yang sia-sia tanpa faedah.
  2. Tidak ada lagi kata fitnah, kejian, umpatan dan lain-lain perkataan yang buruk & tiada manfaat. Ini kerana dalam syurga hati semuanya sudah bersih dan redha.
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik; dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang (sepanjang masa).} (Maryam 19:62)

ii- {Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; –
Mereka hanya mendengar ucapan: \” Selamat! Selamat! \” (dari satu kepada yang lain).} (Al-Waaqi\’ah 56: 25-26)

iii- {Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta;} (An-Naba\’ 78:35)

AYAT 12- {DI DALAM SYURGA ITU ADA MATAIR YANG MENGALIR,} (AL-GHAASYIYAH 88:12)

  1. Di dalam syurga yang tinggi itu ada air atau mata air dari pelbagai jenis minuman yang mengalir tanpa lorong, parit atau lurah.
    Macamana tunggulah di dalam syurga nanti!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya.} (Al-Hijr 15:45)

AYAT 13- {DI SITU JUGA ADA PELAMIN-PELAMIN (BERHIAS) YANG TINGGI (TEMPATNYA),} (AL-GHAASYIYAH 88:13)

  1. Mereka juga duduk berehat sambil bersandar di atas pelamin/katil yang berhias serta tinggi tempatnya.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.} (Al-Hijr 15:47)

Yakni di dalam syurga- ahlinya saling berkasih sayang tiada hasad dengki, semuanya saling berhadap dalam satu barisan saja, tidak ada barisan atau susunan kedua dalam majlis mereka.

AYAT 14- {DAN PIALA-PIALA MINUMAN YANG DISEDIAKAN (UNTUK MEREKA),} (AL-GHAASYIYAH 88:14)

  1. Terdapat piala-piala iaitu gelas yang indah, tersedia untuk ahli syurga.
  2. Apakah pula maksudnya {مَّوْضُوعَةٌۭ} tersedia ini; kata ar-Razi rhm. terdapat beberapa pandangan ulama\’ tentangnya:
    i- gelas-gelas yang sudah tersedia di tepi mereka, nak ambil saja.
    ii- gelas yang tersusun di tepi mata air.
    iii- gelas yang tersedia di hadapan mereka.
    iv- tersedia mengikut pelbagai saiz yang dikehendaki, semuanya ada.
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.} (Al-Waaqi\’ah 56: 17-18)

AYAT 15- {DAN BANTAL-BANTAL YANG TERATUR (UNTUK MEREKA BERBARING ATAU BERSANDAR),} (AL-GHAASYIYAH 88:15)

  1. Terdapat bantal (kusyen) yang indah & empuk tersusun untuk mereka berbaring atau bersandar. Lambang keselesaan & kerehatan yang sempurna.

AYAT 16- {SERTA HAMPARAN-HAMPARAN YANG TERBENTANG.} (AL-GHAASYIYAH 88:16)

  1. Juga hamparan permaidani yang terbentang.
    Yakni di dalam syurga lengkap segala persiapan & perhiasan yang indah dan sempurna.

PENUTUP & FAEDAH:

  1. Ayat 8- {(sebaliknya) muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri,}- bermula dari ayat ini allah s.w.t mula menceritakan tentang keadaan ahli syurga { نَّاعِمَةٌۭ}. Sebelumnya diceritakan tentang keadaan ahli neraka { خَـٰشِعَة}.

i-Surah ini dimulakan dengan hikayat tentang ahli neraka kerana Allah mulakan surah dengan tanya tentang { ٱلْغَـٰشِيَةِ} iaitu hari Kiamat yang penuh huru-hara, huru-hara yang meliputi segala perkara.
Jadi untuk menunjukkan kedahsyatannya supaya manusia berasa takut gerun dan ambil pengajaran dibawa hikayat tentang ahli neraka dahulu.

ii- Kemudian dibawa pula hikayat tentang ahli syurga. Begitulah uslub al-Quran pasti dia akan jalan serentak, ada lawan atau cerita sebaliknya, yang positif & negatif, baik & buruk, nikmat & azab- samada di bawa hikayat yang baik atau buruk dulu, bergantung kepada mesej yang hendak disampaikan, sesuai dengan jalan cerita sesuatu surah/ayat itu.

iii- Dua cerita ini juga tidak bersambung atau menggunakan kata hubung (dan) – {وَ}-واو العطف: yakni tidak disambung cerita keadaan ahli neraka dengan hikayat ahli syurga untuk menunjukkan ia adalah dua cerita yang berbeza- dua keadaan yang tidak sama & tersendiri.

  1. Ayat 9- {berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia),} makna { سَعْيِهَا} usahanya, ialah:

i-Segala perbuatan, iktiqad, amalan baik kita yang diredhai { رَاضِيَةٌ} atas dunia dulu sekarang mendapat balasan yang diredhai { رَاضِيَةٌ} dan pahala nikmat di akhirat pula!

ii- ia juga untuk menunjukkan perbezaan atau makna yang sebaliknnya dengan ayat tentang ahli neraka sebelum ini iaitu perbuatan {عَامِلَةٌ}- perbuatan yang buruk dan sia-sia { نَّاصِبَةٌۭ}.
Yakni { سَعْيِ} lawannya {عَامِلَةٌ}, manakala { رَاضِيَةٌ} lawannya { نَّاصِبَةٌۭ}.

  1. Ayat 11- {mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia,} ayat ini menunjukkan syurga itu sesuatu yang serius dan hakikat yang benar. Bukan tempat yang lagha dan tiada kebaikan serta sia-sia.

Tiada percakapan yang sia-sia dan menyakiti hati orang lain seperti sindiran, perlian, fitnah, hinaan dan seumpamanyanya.
Dalam syurga tiada sifat ini kerana hati sudah bersih, dalam syurga tiada sifat yang kita mahu buang semasa di atas dunia dulu!
Angkara qalbu kotor akan keluarlah perkataan yang kotor.

Pepatah bahasa Arab: \”كل إناء بما فيه ينضح\”
Setiap bekas (kendi, teko) akan mengeluarkan isi apa yang ada di dalamnya!

Mereka tidak mengeluarkan perkataan atau perbuatan kecuali yang baik dan diredhai Allah s.w.t!

  1. Ayat 10- sehingga ayat 16- allah ceritakan kepada kita tentang nikmat syurga menggunakan nama-nama benda yang ada atas dunia ini!

Sedangkan Allah s.w.t sudah berfirman dalam hadis Qudsi bahawa nikmat dalam syurga tidak tergambar oleh manusia?

Hadis:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم\” قَالَ اللَّهُ أَعْدَدْتُ لِعِبَادِي الصَّالِحِينَ مَا لاَ عَيْنَ رَأَتْ، وَلاَ أُذُنَ سَمِعَتْ، وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ، فَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ ‏{‏فَلاَ تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُن ‏}\”‏.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda:
Allah berfirman: Aku telah menyediakan untuk hamba-hamba Ku yang soleh apa yang mata tidak pernah melihatnya, yang telinga tidak pernah mendengarnya, dan tidak pernah terlintas dalam hati manusia.
Jika kamu mahu bacalah ayat: ((Tiada sesiapa yang tahu apa yang disembunyikan untuk mereka daripada penyejuk mata [As-Sajadah: 17])). [HR al-Bukhari, hadis no: 3244]

JAWAPAN :

Ini semua hanya sebagai satu gambaran supaya kita nampak nikmat & keindahan itu, kerana jiwa manusia ini akan tenang dengan benda yang dia tahu, kenal & faham.

Firman Allah s.w.t:
{Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala dari emas; dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): \”Kamu adalah tetap kekal di dalamnya\”.} (Az-Zukhruf 43:71)

  1. Ayat 13- {di situ juga ada pelamin-pelamin (berhias) yang tinggi (tempatnya),} & ayat 14- {dan piala-piala minuman yang disediakan (untuk mereka),} – ayat ini untuk menunjukkan satu keadaan yang berlawanan.

Ahli syurga duduk di atas katil yang diangkat tinggi { مَّرْفُوعَةٌۭ}, manakala gelas minuman tersusun di letak di bawah { مَّوْضُوعَةٌۭ} yakni tidak di angkat tinggi lebih daripada katil.

Firman Allah s.w.t juga :
{Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;} (Yaa Siin 36:56)

Ya Allah berilah hidayah taufik kepada kami untuk beramal dengan amalan soleh yang Engkau redhai, yang melayakkan kami untuk menjadi ahli syurga-Mu yang penuh nikmat & kebahagian!

Powered by BetterDocs