SURAH AT-TAGHABUN : AYAT 5-8

\"\"

BINASA UMAT MENDUSTAKAN RASUL, SEBAB KEBINASAANNYA & BERIMANLAH AGAR SELAMAT.

Full video : https://youtu.be/a_fCvOlYmaQ

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t mengingatkan orang yang keras kepala untuk melihat kepada kebinasaan umat terdahulu yang telah mendustakan rasul mereka.
  2. Serta dinyatakan sebab kebinasaannya, Allah s.w.t bukanlah zalim, saja-saja suka membinasakan mereka tanpa sebab.
  3. Kemudian Allah memerintahkan manusia supaya beriman dengan Allah, al-Quran & Rasulullah s.a.w agar selamat di dunia & aman di Akhirat.
  4. Munasabah ayat:
    Dalam ayat sebelumnya Allah s.w.t telah perkenalkan sifat-Nya yang mulia dan maha tinggi iaitu sifat Memiliki Kerajaan yang kuat, tiada siapa yang boleh menghalang dan menyekat kekuasaan-Nya, dan Dia-lah yang berhak dipuja & dipuji!

ii- Maka Allah s.w.t nyatakan pula dalam ayat-ayat ini tentang umat terdahulu yang telah dibinasakan. Tidakkah kamu telah tahu & dengar ceritanya, maka jangan degil & sombong; ambillah iktibar & pengajaran. Jika nak selamat jangan lawan Tuhan.

AYAT 5- {BUKANKAH TELAH SAMPAI KEPADA KAMU BERITA ORANG-ORANG KAFIR YANG TELAH LALU? LALU MEREKA MERASAI KESAN YANG BURUK DARI PERBUATAN KUFUR MEREKA; DAN MEREKA (PADA HARI AKHIRAT KELAK) BEROLEH AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AT-TAGHAABUN 64:5)

  1. Wahai kaum Quraisy tidakkah telah sampai kepada kamu berita tentang kebinasaan kaum kafir terdahulu seperti kaum Ad & Thamud yang kamu telah dengar dan saksikan sendiri dalam rehlah kamu ke Syam & ke Yaman?
  2. Mereka ini telah merasai kesan buruk dari perbuatan mereka di dunia lagi kemudian di akhirat kelak mereka akan kena lagi azab yang pedih!
  3. Azab di dunia; Seperti kaum Ad yang dimusnahkan oleh angin kencang, kaum Thamud dengan suara nyaring, Firaun dengan tenggelam dalam laut, kaum Lut yang ditelan bumi, kaum Nuh yang tenggelam air banjir dan seumpamanya!
  4. Allah memberi balasan yang setimpal dengan kejahatan mereka serta berbeza-beza! Semuanya mengikut suasana tempat & dosa yang mereka buat! Ini semua balasan yang dikenakan semasa atas dunia lagi!
  5. Selain bala kemusnahan di dunia, mereka juga pada hari akhirat kelak akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
  6. Mereka menentang & sombong, inilah punca kebinasaan manusia atas dunia ini. Maka tinggalkanlah sifat yang buruk ini!

AYAT 6- {(BALASAN) YANG DEMIKIAN ITU, KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA PERNAH DIDATANGI RASUL-RASUL (YANG DIUTUS KEPADA) MEREKA DENGAN MEMBAWA KETERANGAN-KETERANGAN YANG JELAS NYATA, MAKA MEREKA BERKATA: \”PATUTKAH MANUSIA (YANG SEPERTI KAMI – MENJADI RASUL UNTUK) MEMBERI PETUNJUK KEPADA KAMI?\” LALU MEREKA KUFUR INGKAR SERTA BERPALING (DARI KEBENARAN); DAN ALLAH PUN MENYATAKAN TIDAK BERHAJATNYA (KEPADA IMAN DAN KETAATAN MEREKA LALU MEMBINASAKAN MEREKA); DAN ALLAH SEMEMANGNYA MAHA KAYA, LAGI TETAP TERPUJI.} (AT-TAGHAABUN 64:6)

  1. Segala azab yang Allah timpakan ke atas mereka ini, bala di dunia & azab di akhirat kaum terdahulu ini adalah kerana menentang rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka!
    Ini punca PERTAMA mereka di azab.
  2. Bila rasul datang mereka tolak & lawannya. Walaupun mereka datang dengan membawa keterangan dan dalil-dalil keterangan yang nyata lagi jelas. Serta Allah berikan mereka para rasul itu mukjizat yang luar biasa untuk menguatkan hujjah mereka.
  3. Tetapi mereka tetap tutup mata & hati daripada menerimanya! Bahkan mereka berkata dengan angkuh & sombong:
    {\”Patutkah manusia (yang seperti kami – menjadi Rasul untuk) memberi petunjuk kepada kami?\”}.

Inilah sebab KEDUA mereka menolak dakwahnya.
Mereka sombong dan menganggap mereka lebih mulia daripada rasul yang dipilih Allah.

  1. Apatah lagi kerana rasul-rasul itu biasanya dari kalangan orang yang biasa dan lemah, bukan dari kalangan orang yang kaya & berpengaruh dari kalangan mereka. Yakni pada awalnya mereka menghina rasul yang diutus, kemudian mereka terus kufur dan berpaling daripada menerima kebenaran!
  2. Lalu Allah menyatakan bahawa Dia tidak berhajat kepada iman mereka maka membinasakan mereka! Allah tidak perlu dan tidak mahu kepada keimanan mereka!
  3. Inilah maksud perkataan (وَّٱسْتَغْنَى ٱللَّهُ ۚ)- Allah terkaya tidak perlu kepada segala makhluk dan kepada ibadat mereka. Ini kerana ibadat itu hanya kepada kepada kita untuk diberi balasan.
  4. Allah s.w.t tetap kaya & terpuji (غَنِىٌّ حَمِيدٌۭ) dalam segala kata-kata-Nya, perbuatan-Nya & sifat-Nya. Semua makhluk-Nya memujinya (لسان الحال) secara tabi\’i dan umumnya.

AYAT 7- {(DI ANTARA SEBAB-SEBAB KUFUR) ORANG-ORANG YANG KAFIR (IALAH KERANA MEREKA) MENGATAKAN BAHAWA MEREKA TIDAK SEKALI-KALI AKAN DI BANGKITKAN (SESUDAH MATI). KATAKANLAH: \”BAHKAN, DEMI TUHANKU, KAMU AKAN DIBANGKITKAN, KEMUDIAN KAMU AKAN DIBERITAHU TENTANG SEGALA YANG KAMU TELAH KERJAKAN. DAN YANG DEMIKIAN ITU ADALAH MUDAH BAGI ALLAH MELAKSANAKANNYA.} (AT-TAGHAABUN 64:7)

  1. Sebab kufur mereka yang ketiga ialah kerana mereka menganggap (زَعَمَ) bahawa mereka tidak sekali-kali akan di bangkitkan sesudah mati. (إنكار البعث)
  2. Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk bersumpah kepada mereka bahawa mereka akan tetap:
    i- mereka akan hidup balik & keluar dari kubur masing-masing.

ii- kemudian mereka akan diberitahu, didedahkan segala perbuatan mereka di atas dunia dulu. Kemudian akan dibalas dengan balasan yang setimpalnya!

  1. Semua ini bagi Allah s.w.t adalah sesuatu yang amat mudah dan senang.

AYAT 8- {OLEH ITU, BERIMANLAH KAMU KEPADA ALLAH DAN KEPADA RASULNYA SERTA KEPADA PENERANGAN CAHAYA AL-QURAN – YANG KAMI TURUNKAN. DAN (INGATLAH), ALLAH AMAT MENDALAM PENGETAHUANNYA AKAN SEGALA YANG KAMU KERJAKAN.} (AT-TAGHAABUN 64:8)

  1. Maka jika kamu mahu bangkit dalam keadaan selamat & tenang, maka berimanlah;
    i- kepada Allah- percaya kepada kekuasaan & keesaan Allah.
    ii- kepada Rasulullah s.a.w dengan ikut ajarannya & Sunnahnya.
    iii- kepada al-Quran, kitab cahaya petunjuk yang diturunkan kepada kamu!
  2. Maka kamu akan selamat daripada kesesatan & kekufuran yang nyata!
  3. Allah s.w.t itu Allah Amat Mendalam PengetahuanNya (تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ) akan segala yang kamu kerjakan. Tiada apa yang tersembunyi dari pengetahuan & ilmu Allah s.w.t!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 5- {Bukankah telah sampai kepada kamu berita orang-orang kafir yang telah lalu? Lalu mereka merasai kesan yang buruk dari perbuatan kufur mereka; dan mereka (pada hari akhirat kelak) beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.}- ayat ke-5 ini terus kepada tajuknya, Allah s.w.t bertanya terus tidakkah sampai kepada kamu berita orang yang terdahulu yang telah dibinasakan! Lalu terus dinyatakan sebab kebinasaan mereka pula.

Iaitu selepas diberi isyarat dan sentuh isunya dalam ayat 1-4 sebelum ini, maka ayat ini adalah kesimpulan & akibatnya.

  1. Ayat 6- {Maka mereka berkata: \”Patutkah manusia (yang seperti kami – menjadi Rasul untuk) memberi petunjuk kepada kami?\”}- perangai mereka buruk mereka yang suka menghina dan merendahkan, Mereka kufur (فَكَفَرُوا۟) kemudian mereka lari berpaling (وَتَوَلَّوا۟ ۚ).

Hidaya ada dua:
i- hidayah irsyad (هداية الإرشاد) – kerja rasul dan para pendakwah dan semua manusia selepasnya.

ii- hidayah taufik (هداية التوفيق) – manakala untuk menerima hidayah itu adalah di bawah kuasa Allah s.w.t!
Allah yang berkuasa buka pintu hati manusia dan memberinya hidayah.

Persoalan apakah pentingnya Allah sebut mereka kafir kemudian mereka lari? Dua benda yang seakan sama?

JAWAPAN :

i- pertamanya mereka kufur
ii- kemudian mereka lari tidak mahu dengar & terima lansung!
Yakni dua kesalahan yang menyebabkan mereka layak diazab.

  1. Ayat 7- {Katakanlah: \”Bahkan, demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan,} – Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk bersumpah kepada golongan kafir yang tidak percaya itu bahawa demi Allah mereka akan dibangkitkan semula!

Fakta- Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w bersumpah untuk melawan hujjah pihak kafir ini sebanyak tiga kali di dalam al-Quran:
i- ayat 7 surah ini,
ii- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku yang mengetahui segala perkara yang ghaib, hari kiamat itu sesungguhnya akan datang kepada kamu\”. (Saba\’ 34:3)

iii- {Dan mereka (yang meminta disegerakan azab) itu akan bertanya kepadamu (wahai Muhammad): \”Adakah kedatangan azab yang dijanjikan itu benar? \”Jawablah: \”Ya, demi Tuhanku!
Sesungguhnya adalah ia benar! Dan kamu tidak sekali-kali berkuasa menahan kedatangannya\”.} (Yunus 10:53)
Ini adalah sumpah yang penuh keyakinan untuk menguatkan hujjah yang benar!

  1. Ayat 8- {Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan kepada rasulNya serta kepada penerangan cahaya Al-Quran – yang Kami turunkan.}- jelas perintah Allah s.w.t di sini untuk kita beriman kepada Allah, Rasul & al-Quran, cahaya yang diturunkan-Nya.

Kenapa Allah khaskan perkataan al-Quran/an-Nur (وَٱلنُّورِ ٱلَّذِىٓ أَنزَلْنَا ۚ) dengan perkataan yang diturunkan? Kenapa tidak disandarkan (اضافة) terus nur/cahaya itu kepada-Nya (نوره)?

Jawapan:
Kata ulama\’ ini kerana alif lam (ال) pada an-Nur itu sudah membawa makna idofah (sandaran) kepada Allah s.w.t.

Ayat ini juga untuk menolak sangkaan golongan muktazilah dalam menerangkan bahawa sesuatu apabila mempunyai nama yang sama adalah sama.

Bahawa jawapannya TIDAK- hak Allah adalah hak-Nya, tiada persamaan Allah antara makhluk sama sekali. ليس كمثله شيء

Walaupun kadang-kadang Allah menisbahkan atau menggunakan sifat/ nama-Nya kepada makhluk-Nya yang mulia seperti kepada Rasulullah s.a.w & al-Quran. Tetapi itu tidak sama, hak & zat Allah lain, makhluk lain; tiada persamaan & percampuran!

Kenapa al-Quran digelar cahaya (ٱلنُّورِ)?
Jawapan:
Ulama\’ kata kerana cahaya lawannya gelap.
i- Gelap itu adalah kufur, syirik, sesat dan seumpamanya.

ii- Al-Quran adalah cahaya- (Nur) kerana ia membawa manusia keluar dari kegelapan kufur & maksiat kepada cahaya keimanan & petunjuk/hidayah Allah s.w.t.

Cahaya yang terang berderang menghapuskan kesesatan & kekufuran.

  1. Ayat 8- {Dan (ingatlah), Allah Amat Mendalam PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.}- ayat ini memberi amaran kepada manusia bahawa jangan sekali kamu buat perkara yang Allah larang, jangan buat maksiat jangan buat mungkar kerana Allah s.w.t TAHU semua perkara.

Tetapi kenapa kita masih melakukannya?
Ini menunjukan kelemahan iman dan kurang ketakutan kepada Allah s.w.t!
Orang yang kurang yakin dan lemah imannya atau lupa dan tergoda dengan hasutan syaitan; maka hanya orang yang begini berani melakukkan maksiat kepada Allah s.w.t.

Inilah kepentingan kita mengenal dan menghayati sifat-sifat Allah untuk mantapkan kefahaman & keimanan kepada Allah s.w.t! Supaya cahaya keimanan dalam hati kita sentiasa terang dan teguh!

Kita berdoa kepada Allah s.w.t dengan nama-Nya yang Indah & sifat-Nya yang Maha Tinggi semoga Allah mantapkan dalam hati kita memahami & menghayati sifat Allah, agar kita akan sentiasa buat ibadat dengan ikhlas & tidak berani buat maksiat kerana kita sedar Allah TAHU!

Powered by BetterDocs