SURAH AL-MA\’ARIJ : AYAT 36-44

\"\"

SIKAP KAFIR ZAMAN NABI S.A.W, BERADA ATAS KEBATILAN & SEGERA KELUAR DARI KUBUR.

Full video : https://youtu.be/yW-lk1hGJa8?si=1mgm88Ok2pgsEDuk

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t dedahkan tentang sikap kafir zaman Nabi s.a.w, yang sentiasa berada atas kebatilan, tidak mahu menerima dakwah Baginda s.a.w.
  2. Allah s.w.t gambarkan bagaimana keadaan mereka di Akhirat apabila dibangkitkan keluar dari kubur dan dihumbankan ke dalam neraka dengan terbeliak biji mata. Wal-\’iyazubillah.
  3. Dalam ayat ini dan ayat seterusnya Allah s.w.t juga mendedahkan kesesatan mereka yang mengharapkan syurga sedangkan mereka kufur ingkar dan tidak beriman dengan hari akhirat.

AYAT 36- {MAKA APAKAH YANG MENYEBABKAN ORANG-ORANG KAFIR, YANG MENENTANGMU (WAHAI MUHAMMAD) DATANG BERKEJARAN KE SISIMU.} (AL-MA\’AARIJ 70:36)

  1. Apabila Rasulullah s.a.w duduk membaca al-Quran atau solat ditepi Ka\’bah, puak kafir itu datang berkejaran duduk di sisi Baginda s.a.w.

AYAT 37- {(SAMBIL MEREKA) BERKUMPUL BERPUAK-PUAK DI SEBELAH KANAN DAN DI SEBELAH KIRIMU.} (AL-MA\’AARIJ 70:37)

  1. Mereka berkumpul secara berpuak-puak di sebelah kanan dan kiri Rasulullah s.a.w. Yakni melingkungi Baginda dengan dekat secara mengancam dan mengejek!
  2. Mereka berkata jika Rasulullah s.a.w dan pengikutnya yang beriman dapat masuk syurga, pastilah puak mereka yang akan mendahuluinya kerana adalah dari kalangan pembesar dan terhormat!

AYAT 38- {PATUTKAH TIAP-TIAP SEORANG DARI MEREKA BERHARAP SUPAYA DIMASUKKAN KE DALAM SYURGA YANG PENUH NIKMAT (SEDANG IA TIDAK BERIMAN)?} (AL-MA\’AARIJ 70:38)

  1. Patutkan mereka berharap untuk masuk syurga yang penuh nikmat sedangkan mereka tidak beriman!
    Ini hanyalah angan-angan dan harapan kosong mereka!

AYAT 39- {TIDAK SEKALI-KALI! (MEREKA YANG KUFUR INGKAR TIDAK AKAN DAPAT MEMASUKINYA). SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENCIPTAKAN MEREKA DARI APA YANG MEREKA SEDIA MENGETAHUINYA.} (AL-MA\’AARIJ 70:39)

  1. Allah menjawab dengan tegas! Tidak mungkin sama sekali- mereka dapat masuk syurga. Tidak mungkin masuk syurga dengan angan-angan dan cita-cita semata-mata.
  2. Wajib beriman kepada kepada Allah dan rasul serta beramal soleh yang diredhai Allah s.w.t!
  3. Kamu kena kenal siapakah diri kamu itu! Allah telah jadikan kamu daripada air-mani yang kamu sedia maklum tentangnya!
  4. Bila kita tahu diri kita ini lemah maka kita kena buat pergantungan terhadap Allah s.w.t Yang Maha Berkuasa dan Kuat.

AYAT 40- {MAKA AKU BERSUMPAH DENGAN (KEBESARANKU) TUHAN YANG MENGUASAI (SELURUH ALAM, MELIPUTI) TEMPAT-TEMPAT TERBIT (MATAHARI DAN BULAN BINTANG) DAN TEMPAT-TEMPAT TENGGELAMNYA, – SESUNGGUHNYA KAMI BERKUASA.} (AL-MA\’AARIJ 70:40)

  1. Allah s.w.t bersumpah dengan zat-Nya yang mulia, Tuhan yang Menguasai seluruh alam.
  2. Termasuk tempat-tempat terbit matahari dan bulan bintang dan tempat-tempat tenggelamnya mereka itu juga.
  3. Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Berkuasa.

AYAT 41- {(MEMBINASAKAN MEREKA, SERTA) MENGGANTIKAN MEREKA DENGAN MAKHLUK-MAKLUK YANG LEBIH BAIK DARI MEREKA; DAN KAMI TIDAK SEKALI-KALI DAPAT DIKALAHKAN ATAU DILEMAHKAN.} (AL-MA\’AARIJ 70:41)

  1. Jika mereka kufur ingkar, Allah s.w.t tetap Berkuasa untuk:
    i- membinasakan mereka.

ii- serta menggantikan mereka dengan makhluk lain yang lebih baik daripada mereka.
Sebagaimana Allah s.w.t telah membinasakan umat terdahulu yang telah kufur ingkar.

  1. Tiada siapa yang kufur, yang ingkar, yang derhaka, yang buat maksiat ini dapat melepaskan diri daripada kekuasaan Allah s.w.t! (وَمَا نَحْنُ بِمَسْبُوقِينَ)
  2. Tiada siapa boleh halang apabila Allah s.w.t nak ambil tindakan dan tiada siapa boleh sekat apabila Allah s.w.t mahu beri kebaikan.

AYAT 42- {OLEH ITU, BIARKANLAH MEREKA (WAHAI MUHAMMAD) TENGGELAM DALAM KESESATANNYA DAN LEKA BERMAIN-MAIN (DALAM DUNIANYA), SEHINGGA MEREKA MENEMUI HARI YANG DIJANJIKAN KEPADA MEREKA (UNTUK MENERIMA BALASAN)!} (AL-MA\’AARIJ 70:42)

  1. Maka wahai Nabi Muhammad s.a.w, usah peduli lagi kepada mereka, biarakanlah dalam kebatilan dan ikut hawa nafsu mereka, bermain leka dalam dunia!
  2. Ayat ini turun setelah Rasulullah s.a.w melalui proses dakwah yang begitu berat dan mencurahkan segala usaha dan tenaga Baginda s.a.w dalam tempoh yang mencukupi!
  3. Yakni wahai para pendakwah; Kita mesti usaha dan teruskan tugas dakwah setakat kemampuan kita, jangan pula tak buat apa-apa.
  4. Biarkan mereka sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka untuk menerima balasan nanti!
    Serahkan kepada Allah s.w.t untuk menghukum mereka.

AYAT 43- {IAITU HARI MEREKA SEGERA KELUAR DARI KUBUR MASING-MASING MENUJU (KE PADANG MAHSYAR) DENGAN KEADAAN SEOLAH-OLAH MEREKA BERKEJARAN KE (TEMPAT) BERHALA-BERHALA (YANG MEREKA SEMBAH DAHULU),} (AL-MA\’AARIJ 70:43)

  1. Iaitu pada hari mereka keluar daripada kubur masing-masing menuju ke Padang Mahsyar dalam keadaan berkejaran dan bersegera.
  2. Seolah seperti mereka berlari kepada berhala mereka semasa hidup atas dunia dulu!

AYAT 44- {SAMBIL PANDANGAN MEREKA TUNDUK, SERTA MEREKA DILIPUTI KEHINAAN; ITULAH HARI YANG TELAH DIJANJIKAN KEPADA MEREKA.} (AL-MA\’AARIJ 70:44)

  1. Tetapi keadaan mereka pada waktu itu dalam kehinaan, pandangan mereka tunduk penuh ketakutan dan kehinaan.
  2. Begitulah orang yang kafir, yang derhaka kepada Allah s.w.t. yang buat dosa dan maksiat kepada Allah s.w.t semasa hidupnya dulu!
  3. Kita bimbang jika amal ibadat kita hilang begitu saja dengan sebab masalah hati yang tidak ikhlas kepada Allah s.w.t!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 36- {Maka apakah yang menyebabkan orang-orang kafir, yang menentangmu (wahai Muhammad) datang berkejaran ke sisimu.} & Ayat 37- {(Sambil mereka) berkumpul berpuak-puak di sebelah kanan dan di sebelah kirimu.}- puak kafir itu datang melingkungi dekat Rasulullah s.a.w bukan kerana mahu dengar dengan sungguhnya, hanya jenguk-jenguk kemudian buat ulasan dengan mengejek-ngejek dan perlian.

Ini adalah sama seperti setengah manusia hari ini; apabila diberi link kuliah tertentu- bukan mahu buka telinga dan hati untuk cuba mendengar bahkan terus marah dan menolak tanpa menilainya, inilah orang yang sombong dan takut kepada bayang-bayang sepertimana puak Quraisy ini!

Inilah halangannya yang akan menjadikan mereka manusia yang kecewa pada kemudian hari!

  1. Ayat 38- {Patutkah tiap-tiap seorang dari mereka berharap supaya dimasukkan ke dalam Syurga yang penuh nikmat (sedang ia tidak beriman)?} & Ayat 39- {Tidak sekali-kali! (Mereka yang kufur ingkar tidak akan dapat memasukinya). Sesungguhnya Kami telah menciptakan mereka dari apa yang mereka sedia mengetahuinya.}- puak kafir itu tamak untuk masuk syurga tanpa melihat kepada keadaan diri mereka iaitu tidak beriman & kufur kepada Allah s.w.t!

Kata ulama\’ tadabbur; Apabila kita nampak kaitan antara harapan dan angan-angan seorang yang masuk syurga tanpa dia mengenali & kaji dirinya, maka ini adalah satu kaitan yang cukup besar.

Seorang manusia itu kena sedar siapa dirinya, apabila kita tahu kita lemah kita kena bergantung kepada Allah s.w.t!

Allah s.w.t telah berikan kepada kita pendengaran dan penglihatan untuk kita berfikir dan cari ilmu makrifat!
Betapa penting untuk mencari ilmu.

Apabila seorang manusia itu tidak sedar dirinya, rasa dirinya sempurna dan hebat, orang lain semuanya lemah, maka ketika itu manusia akan kecundang & rosak, tidak akan dapat ilmu dan makrifat serta keredhaan Allah s.w.t!

  1. Ayat 40- {Maka Aku bersumpah dengan (kebesaranKu) Tuhan yang menguasai (seluruh alam, meliputi) tempat-tempat terbit (matahari dan bulan bintang) dan tempat-tempat tenggelamnya, – sesungguhnya Kami berkuasa.}- dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut {tempat-tempat terbit matahari dan bulan bintang dan tempat-tempat tenggelamnya ) secara jamak (plural) iaitu: {ٱلْمَشَـٰرِقِ وَٱلْمَغَـٰرِبِ }

Di dalam al-Quran apabila menyebut tentang {tempat-tempat terbit matahari dan bulan bintang dan tempat-tempat tenggelamnya)

ini adakalanya Allah s.w.t sebut secara:
i- secara jamak (plural) seperti dalam ayat ini.
{Tempat-tempat terbit matahari dan bulan bintang dan tempat-tempat tenggelamnya ) – {ٱلْمَشَـٰرِقِ وَٱلْمَغَـٰرِبِ }

ii- secara dua (مثنى): {ٱلْمَشْرِقَيْنِ وَٱلْمَغْرِبَيْنِ} seperti dalam firman-Nya:
{(Dia lah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat.} (Ar-Rahmaan 55:17)

iii- secara tunggal-mufrad (singular):
{ ٱلْمَشْرِقِ وَٱلْمَغْرِبِ}
seperti dalam firman-Nya:
{Dia lah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.} (Al-Muzzammil 73:9)

Apakah bezanya?

JAWAPANNYA :

Perhatikan hikmah yang cukup mendalam dalam berbezanya penggunaan kalimah ini. Berbezanya kalimah adalah mengikut tempatnya. Ini adalah keagungan al-Quran yang turun dari Allah s.w.t Yang Maha Berkuasa!

i- Penggunaan jamak (جمع) – kerana matahari itu tidak naik dalam satu tempat yang sama saja, stesennya berbeza mengikut musim dalam setahun itu.

ii- Jika tunggal (مفرد) ia menunjukkan kepada arah, iaitu Tuhan yang di sebelah timur & Tuhan di sebelah barat!

iii- Jika penggunaan dua (مثنى) iaitu dua tempat naik & dua tempat turunnya – iaitu ia naik dari awalnya dari bawah timur kemudian apabila betul-betul berada di tengah langit lain pula kedudukannya. Begitu juga jika dilihat keadaan naik turun matahari pada musim panas & musim sejuk, adalah dua keadaan yang berbeza. Wallahu a\’lam.

Semua perbezaan ini Allah sebut bukan untuk kita baca sahaja, di sana ada perbezaan yang Allah mahu untuk kita tadabbur, berfikir dan hayati akan kekuasaan & kebesaran Allah s.w.t! Semuanya menunjukkan kepada keagungan Allah s.w.t!

  1. Ayat 42- {Oleh itu, biarkanlah mereka (wahai Muhammad) tenggelam dalam kesesatannya dan leka bermain-main (dalam dunianya), sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan)!}- biarkan mereka dengan dunianya, biarkan terus dalam kebatilan seketika wahai Rasulullah s.a.w, sehingga kita jumpa hari yang dijanjikan samada masuk kubur atau di padang mahsyar.

Kata ulama\’ tadabbur ini adalah satu amaran keras dan peringatan yang besar! Betapa Allah s.w.t mengarahkan Rasulullah s.a.w meninggalkan mereka dalam kesesatan mereka selepas Baginda berdakwah, beri nasihat & peringatan dan bawa hujjah yang mencukupi kepada mereka!

Serahkan kepada Allah untuk membalasnya! Iaitu apabila Allah s.w.t yang Maka berkuasa akan berhukum dan menjatuhkan hukuman ke atas mereka.

Maka kita orang yang beriman jangan sampai Allah s.w.t biarkan kita begitu saja, sentiasalah kita kembali kepada Allah. Jangan terbiar di dunia dan akhirat, hidup di dunia pun susah apatah lagi di akhirat.

Untuk menasihati orang agar beristiqomah dan kembali kepada agama bukanlah sesuatu yang mudah & senang.

Wahai para pendakwah; sentiasa kita berusaha untuk menyampaikan ilmu yang benar kepada masyarakat agar mereka kembali kepada Allah s.w.t!

  1. Ayat 43- {Iaitu hari mereka segera keluar dari kubur masing-masing menuju (ke Padang Mahsyar) dengan keadaan seolah-olah mereka berkejaran ke (tempat) berhala-berhala (yang mereka sembah dahulu),}- mereka berkejaran keluar menuju ke Padang Mahsyar.
    Allah s.w.t kata dalam ayat ini bersegera (سِرَاعًۭا) iaitu seolah mereka sudah tahu ke mana hendak pergi.

Timbul persoalan, sedangkan dalam ayat lain sebaliknya, mereka seolah terumbang-ambing tidak tahu ke mana hendak dituju?

Sebagaimana firman Allah s.w.t ini:
{(Pada saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.} (Al-Qamar 54:7)

JAWAPAN :

Sesungguhnya hari Kiamat itu panjang masanya seolah 50 ribu tahun, dan berbeza keadaannya (أحوال).

Ada waktunya iaitu pada awalnya mereka keluar seolah tidak mahu ke mana hendak dituju, selepas keadaan menjadi reda seketika, mereka orang baik-baik tahu ke mana hendak dituju dan boleh melihat satu sama lain serta mencari orang yang mereka sayangi.

Allah s.w.t tutup ayat ini dengan ayat penamatnya: {itulah hari yang telah dijanjikan kepada mereka.}- seolah jawapan kepada ayat pertama yang ditanya oleh orang kafir, apa yang kamu tanya tadi { سَأَلَ سَآئِلٌۢ} secara mengejek tentang bilakah azab itu {بِعَذَابٍۢ وَاقِعٍۢ} maka inilah jawapannya.

Maka Allah ceritakan bahawa Kiamat itu begitu begini, semua ayat yang ada dalam surah al-Ma\’arij ini seolah menjawab persoalan yang ditanya oleh orang kafir dalam ayat pertamanya.

Ulama\’ kata ikatan antara awal surah dan akhir surah cukup mantap kerana ia adalah dari Allah s.w.t yang Maha Berkuasa. Jika al-Quran itu bukan dari Allah, kamu akan dapati fakta yang bercanggah dan maklumat yang tidak betul!

Al-Quran ini makin dikorek & digali, makin banyak kefahamannya, makin banyak akan ditemui faedah dan mukjizat keitimewaannya!

Ya Allah lapangkan dada kami untuk belajar dan mengkaji al-Quran, untuk beramal dengannya dan Sunnah Nabi-Mu s.a.w.

Powered by BetterDocs