SURAH AZ-ZARIYAT : AYAT 31-37

\"\"

MALAIKAT NYATAKAN TUJUAN DATANG UNTUK BINASAKAN KAUM LUT & PENGAJARAN KEPADA ORANG LAIN.

Full video : https://youtu.be/CO7vZcMQPzw

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini sekali lagi menceritakan tentang Nabi Ibrahim a.s dan tetamunya. Rumah Nabi Ibrahim ini di laluan perjalanan, tempat tetamu singgah. Kerana itu ia sentiasa ada makanan untuk dihidangan kepada tetamu.
  2. Selesai malaikat memperkenalkan diri, Nabi Ibrahim bertanya kepada malaikat apakah tujuan besar mereka datang itu.
  3. Malaikat lalu menyatakan kepada Ibrahim bahawa mereka ditugaskan oleh Allah s.w.t untuk pergi kepada kaum Lut di Qura Sadum dan membinasakan mereka yang kufur dan melakukan perbuatan terkutuk.
  4. Munasabah ayat: Setelah nabi Ibrahim tahu bahawa yang datang itu adalah malaikat, yang membawa khabar gembira kepadanya akan mendapat anak. Tetapi Ibrahim syak bahawa mereka ada tugas yang lebih besar lagi kerana mereka datang dalam satu kelompok yang ramai, bukan hanya seorang.

Lalu Ibrahim bertanya kepada mereka:
Apakah tugas atau misi besar kamu (خَطۡبُكُمۡ) sebenarnya?
Malaikat lalu menceritakan apakah yang diperintahkan oleh Allah terhadap mereka. Mereka dalam perjalanan menuju kepada kaum Nabi Lut yang penduduknya telah melakukan dosa besar!

AYAT 31- {NABI IBRAHIM BERTANYA: \”(SELAIN DARI ITU) APA LAGI TUGAS PENTING KAMU WAHAI UTUSAN TUHAN?\”} (AZ-ZAARIYAAT 51:31)

  1. Setelah malaikat memperkenalkan diri mereka, nabi Ibrahim a.s bertanya kepada malaikat apakah lagi tugasan penting mereka selain dari datang membawa khabar gembira kepadanya.

AYAT 32- {MEREKA MENJAWAB: \”SESUNGGUHNYA KAMI DIUTUS KEPADA SUATU KAUM YANG BERDOSA (UNTUK MEMBINASAKAN MEREKA);} (AZ-ZAARIYAAT 51:32)

  1. Malaikat menjelaskan bahawa mereka diutus untuk pergi membinasakan suatu kaum yang berdosa. Iaitu kaum Nabi Lut di Qura Sadum yang mengamalkan perbuatan seks luar tabi\’i atau senang kata zaman sekarang ini perbuatan LGBT.
  2. Allah s.w.t beri gambaran penuh kejahatan mereka dalam firman-Nya ini:
    {Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: \”Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?
    \”Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas\”.
    Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: \”Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri\”.
    Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan.
    Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.} (Al-A\’raaf 7: 80-84)
  3. Ayat ini menunjukkan bahawa kaum nabi Lut yang memulakan perbuatan homoseks (seks sesama jenis) ini. Tidak pernah ada kaum lain dari penduduk alam ini sebelum mereka yang melakukannya!!!!
  4. Tetapi perbuatan jahat; dosa dan maksiat itu apabila telah bermula ia tidak akan berakhir dan pupus.
    Walaupun kaum nabi Lut telah dibinasakan sepenuhnya secara total, semua mati dalam azab yang membinasakan, perbuatan LGBT ini timbul balik bahkan berleluasa balik dan diiktiraf oleh mereka yang kafir sekarang ini!
  5. Semoga Allah s.w.t memelihara kita semua, anak cucu keturunan kita, para pelajar kita agar terselamat dari fitnah dan perbuatan jahat ini, apa yang zahir atau batin darinya!
  6. Maksudnya perkataan (خَطۡبُكُمۡ) adalah satu tugas yang besar! Malaikat memberitahu kepada nabi Ibrahim akan tugas mereka ini kerana Nabi Ibrahim adalah seorang nabi juga, utusan Allah atas dunia pada masa itu.
  7. Sedangkan dari sudut strateginya kita tidak boleh membocorkan maklumat atau rahsia yang dibawa kepada orang yang tidak berkenaan, dikhuatiri akan diketahui musuh atau orang yang akan diserang itu, maka sia-sialah perancangan.

Zaman kita ini telah berlaku kebocoran maklumat yang amat mendukacitakan, tidak kira dari agensi kerajaan atau pihak berkuasa sendiri!

AYAT 33- {\”SUPAYA KAMI MENIMPAKAN MEREKA DENGAN BATU-BATU DARI TANAH (YANG DIBAKAR),} (AZ-ZAARIYAAT 51:33)

  1. Mereka akan dihujan dengan batu daripada tanah (طين). Yakni batu asli, bukan batu ais atau sebagainya.
  2. Ayat ini dijelaskan melalui firman Allah ini:
    i- {Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.
    Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.} (Hud 11: 82-83)

ii- {\”Sesungguhnya kami (diutuskan) untuk menurunkan atas penduduk bandar ini azab dari langit, disebabkan mereka melakukan kejahatan (kufur dan maksiat)\”.} (Al-\’Ankabuut 29:34)

  1. Diterbalikkan bumi ke atas mereka kerana kehidupan mereka yang sonsang dan terbalik dari fitrah kebiasaan tabi\’i manusia.

AYAT 34- {\”BATU-BATU ITU DITANDAKAN DI SISI TUHANMU, UNTUK MEMBINASAKAN ORANG-ORANG YANG MELAMPAUI BATAS (DALAM KEINGKARANNYA)\”.} (AZ-ZAARIYAAT 51:34)

  1. Batu itu pula sudah ada tanda (مُّسَوَّمَةً) iaitu ditanda di sisi Tuhan untuk menyiksa orang yang berdosa.
  2. Terdapat beberapa pendapat tentang batu yang ditandaini:
    i- Kata Qurtubi rhm.: Di batu itu ada garisan yang berwarna putih & hitam.
    ii- ada kata garisan warna hitam & merah.
    iii- sudah dikenali oleh malaikat bahawa ia adalah batu azab.
    iv- ada kata setiap batu itu sudah ditanda dengan nama setiap LGBT itu!
    v- ada yang lebih umum bahawa Allah sudah tahu batu itu diperuntukkan untuk membinasakan kaum nabi Lut!

AYAT 35- {(SETELAH SAMPAI UTUSAN KAMI KE TEMPAT ITU), KAMI (PERINTAHKAN MEREKA) MENGELUARKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN YANG TINGGAL DI SITU.} (AZ-ZAARIYAAT 51:35)

  1. Allah s.w.t memerintahkan malaikat untuk mengeluarkan dulu mereka yang beriman dari tempat itu! Allah selamatkan mereka yang betul-beriman, keluar dari Qura Sadum ini.
  2. Nabi Ibrahim telah bertanya dan mengingatkan malaikat tentang Lut dan ahlinya yang beriman.
  3. Firman Allah s.w.t tentang ini juga:
    i- {\”Oleh itu, bawalah pergi keluargamu pada waktu malam serta ikutlah di belakang mereka; dan janganlah seseorang pun di antara kamu berpaling (ke belakang); serta pergilah terus ke arah yang diperintahkan kamu menujunya\”.} (Al-Hijr 15:65)

ii- {\”Melainkan keluarga Nabi Lut; sesungguhnya kami akan menyelamatkan mereka semuanya, –
\”Kecuali isterinya; kami telah tentukan (menurut keputusan Tuhan) sesungguhnya ia dari orang-orang yang tinggal (menerima kebinasaan)\”.} (Al-Hijr 15: 59-60)

Iaitu isteri Nabi Lut yang menjadi talibarut kepada golongan LGBT ini. Tetapi dia bukan termasuk dalam golongan yang melakukan perbuatan keji itu, hanya penyokong!

AYAT 36- {(SESUDAH DIPEREKSA) MAKA (UTUSAN) KAMI TIDAK MENDAPATI DI SITU MELAINKAN SEBUAH RUMAH SAHAJA YANG ADA PENDUDUKNYA DARI ORANG-ORANG ISLAM (YANG BERIMAN KEPADA NABI LUT).} (AZ-ZAARIYAAT 51:36)

  1. Setelah memeriksa kampung itu, malaikat dapati tidak ada orang yang beriman kecuali sebuah rumah sahaja, iaitu rumah Nabi Lut a.s sendiri.
  2. Jelas di sini Allah bezakan antara orang Islam (ٱلۡمُسۡلِمِينَ) dan orang yang beriman (ٱلۡمُؤۡمِنِينَ).
    i- rumah orang Islam (ٱلۡمُسۡلِمِينَ) hanya sebuah iaitu rumah Nabi Lut a.s dan ahli keluarganya yang termasuk isterinya yang bersimpati dan menyokong kaumnya!

ii- manakala yang diselamatkan hanya mereka yang benar-benar beriman (ٱلۡمُؤۡمِنِينَ).

  1. Maka isteri Nabi Lut turut binasa walaupun pada zahirnya dia muslim (ٱلۡمُسۡلِمِينَ) tetapi dia tidak benar-benar beriman (ٱلۡمُؤۡمِنِينَ)! Ini kerana hanya orang yang benar-benar beriman akan selamat dari azab Allah s.w.t!

AYAT 37- {DAN KAMI TINGGALKAN DI NEGERI ITU (TIMBUNAN BATU-BATU YANG TELAH MENGHUJANI DAN MEMBINASAKAN MEREKA), SEBAGAI TANDA (YANG MENDATANGKAN KEINSAFAN) BAGI ORANG-ORANG YANG SEDIA TAKUT KEPADA AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AZ-ZAARIYAAT 51:37)

  1. Yakni Allah s.w.t tinggalkan di Qura Sadum kesan-kesan kebinasaan mereka sebagai iktibar kepada orang selepasnya. Itulah akibatnya bagi orang menderhakai Allah s.w.t dan melakukan perbuatan keji.
  2. Maka orang yang beriman dan berfikir ambillah iktibar peringatan dari apa yang berlaku.
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya.
    Dan sesungguhnya negeri kaum Lut yang telah dibinasakan itu, terletak di jalan yang tetap (dilalui orang).
    Sesungguhnya keadaan yang demikian, mengandungi satu tanda yang memberi kesedaran kepada orang-orang yang beriman.} (Al-Hijr 15: 76-77)

ii- {Dan demi sesungguhnya, Kami telah (binasakan bandar itu dan telah) tinggalkan bekas-bekasnya sebagai satu tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang-orang yang mahu memahaminya.} (Al-\’Ankabuut 29:35)

  1. Kerana itulah sebahagia ulama\’ tafsir mengatakan tempat binasa kaum nabi Lut ini sekarang telah menjadi Laut Mati, di sempadan antara Jordan dan Palestin sekarang ini. Laut yang tiada hidupan dan tumbuhan di dalamnya kerana terlalu tinggi kandungan garamnya.
  2. Tetapi sekarang menjadi pusat pelancongan dan perubatan. Kita orang yang beriman kena ingat jangan tiru puak kafir itu, jadikannya sebagai satu tempat untuk kita ambil iktibar dan peringatan.
  3. Informasi: Laut Mati (Bahasa Ibrani: ים המלח‎; Bahasa Arab: البحر الميت; Bahasa Inggeris: Dead Sea) merupakan tasik air masin yang terletak di sempadan Jordan dan Tebing Barat (Palestin):

i- Pantainya berada di kedudukan serendah 418 m di bawah aras laut yang merupakan kedudukan terendah di atas daratan dunia dan juga tasik masin yang terdalam dengan kedalaman 330 m.

ii- Airnya mempunyai kemasinan kedua tertinggi di dunia selepas Laut Asal di Djibouti dengan kemasinan sebanyak 33.7 %. Ini lebih kurang 8.6 kali lebih masin dari laut biasa. Oleh sebab itu tiada satu pun hidupan yang boleh hidup di dalamnya dan kapal tidak boleh berlayar di atas permukaannya.

iii- Tasik ini berukuran 67 km panjang dan 18 km lebar. Cabang sungai utamanya ialah Sungai Jordan.

iv- Laut Mati surut dengan kadar yang pantas; luas permukaannya hari ini ialah 605 km2 (234 batu persegi) dan pernah mencapai 1,050 km2 (410 batu persegi) pada tahun 1930.

7. Kita berdoa kepada Allah s.w.t agar kita semua selamat dari terjebak dari penyakit yang amat keji dan terlaknat ini lalu mendapat azab yang dahsyat!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 31- {Nabi Ibrahim bertanya: \”(Selain dari itu) apa lagi tugas penting kamu wahai utusan Tuhan?\”}- Ibrahim bertanya apakah tugasan para malaikat itu. Ini menunjukkan tiada siapa yang tahu perkara ghaib kecuali Allah!
    Nabi Ibrahim juga pada awalnya tidak cam bahawa tetamunya itu ialah malaikat.
    Maka sesiapa yang mengaku tahu benda ghaib adalah dakwaan yang batil!
    Sedangkan para nabi dan rasul pun tidak tahu ilmu ghaib kecuali yang diwahyukan Allah kepada mereka apatah lagi manusia biasa.

ii- Ibrahim juga sebagai tuan rumah mengangkat hidangan dan menyambut dulu tetamu itu sebelum bertanya apakah tujuan mereka. Ini adalah antara adab menerima tetamu. Sebagai tuan rumah yang pemurah, bagi makan dulu sebelum bertanya tujuan datang.

  1. Ayat 32- {Mereka menjawab: \”Sesungguhnya Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (untuk membinasakan mereka);}- yakni mereka datang ke rumah Ibrahim dengan penuh beradab sambil mereka membawa satu misi serangan yang amat besar dan dahsyat. Mereka memberitahunya kepada Ibrahim kerana dia adalah seorang Rasul Allah, Khalilullah dan orang yang penting dalam dunia pada hari itu, maka dia berhak mendapat maklumat itu!

Jika kepada orang yang tidak berkenaan jangan kita beritahu atau bocorkan rahsia-rahsia & strategi yang tidak sepatutnya!

Kaedah: Bukan semua benda yang kita tahu kita maklumkan kepada orang, kita hanya maklumkannya kepada orang yang berkenaan saja!

Tetapi malangnya pada hari ini tiada rahsia lagi, segala plan dan perancangan rahsia hatta oleh badan kerajaan pun bocor. Bila nak buat serbuan atau sekatan tempat maksiat atau jenayah, semua dah selamat lari melepaskan diri kerana sudah dapat maklumat yang dibocorkan!
Perangai seperti pengintip dan tali barut seperti isteri Lut ini ramai sekarang.

Malaikat memberitahu tugas mereka kepada nabi Ibrahim kerana dia berhak mengetahuinya! Dia juga pastilah seorang yang benar dan amanah!

Persoalan; kenapa Allah s.w.t hantar satu pasukan malaikat? Tidak cukupkah hanya satu malaikat sahaja?

Hikmahnya; Kerana Allah s.w.t mahu menunjukkan bahawa Dia berkuasa dan mempunyai tentera dan jentera yang kuat dan ramai, bekerja untuk memberi kebaikan atau untuk membinasakan, bila-bila masa untuk bertugas menurut perintah Allah s.w.t!

Seperti dalam peperangan Badar, walaupun tentera musuh tidak ramai, tetapi Allah s.w.t hantar ribuan malaikat untuk menolong.
Hikmahnya untuk memberi kekuatan dan semangat kepada Rasulullah s.a.w dan tenteranya.

  1. Ayat 35- {(Setelah sampai utusan Kami ke tempat itu), Kami (perintahkan mereka) mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ.}- ulama\’ tadabbur kata; keberkatan iman itu akan menyelamatkan seseorang. Maka sesiapa nak selamat dia kerana beriman. Ini juga menunjukkan beza antara iman & Islam saja, iman itu yang betul-betul mantap dalam hati manakala Islam itu yang zahir.

Ayat 36- {(Sesudah dipereksa) maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi Lut).} Allah juga sebut bahawa hanya sebuah sahaja rumah (غَيۡرَ بَيۡتٖ) orang Islam (مِّنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ), yang lain semuanya kafir!

Ayat ini memberi motivasi kepada para pendakwah agar sabar dan tabah. Kadang-kadang kita berdakwah agar orang kembali kepada al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. tetapi menjadi pelik dan orang terasing dalam masyarakat.
Kita mahu menyelamatkan akidah ummat ini dari terjebak dengan perkara mungkar dan khurafa, tetapi dianggap asing dan melawan arus; SABAR.

Lihatlah satu kaum dan negeri di Qura Sadum, hanya sebuah rumah sahaja yang beriman dengan dakwah Nabi Lut a.s!!!!!
Biarlah sedikit tetapi benar daripada ramai tetapi sesat.

  1. Ayat 33- {\”Supaya Kami menimpakan mereka dengan batu-batu dari tanah (yang dibakar),}- untuk menyatakan bahawa ia adalah batu sungguh (حِجَارَةٗ مِّن طِينٖ) bukan batu ais dan lain-lain. Ia juga mempunyai tanda (مُّسَوَّمَةً). Samada tanda sebagai batu yang membinasakan atau batu yang ditanda khas dengan nama setiap seorang pendosa itu.

Ayat ini juga menunjukkan hukuman bagi orang yang melakukan perbuatan LGBT sonsang ini adalah hukuman rejam dengan batu; sama sebagaimana hukum berzina bagi orang yang muhsan (sudah pernah kahwin)! Sebab dalam kes kaum nabi Lut ini mereka dilontar yakni direjam dengan batu yang ditanda! Bukan hanya dipenjara dan didenda!

Kata Syeikh Syanqiti ini adalah hujjah bahawa hukuman bagi perbuatan homoseks (seks sesama jenis) ini adalah rejam dengan batu!

Kata Ibnu Kathir rhm.; Disisi mazhab Hanafi hukumnya: Mereka ini dibawa naik ke atas bukit yang tinggi lalu ditolak turun dan dilontar dengan batu.

Tetapi mazhab lain berpendapat hanya cukup direjam dengan batu sehingga mati.

  1. Ayat 37- {Dan Kami tinggalkan di negeri itu (timbunan batu-batu yang telah menghujani dan membinasakan mereka), sebagai tanda (yang mendatangkan keinsafan) bagi orang-orang yang sedia takut kepada azab seksa yang tidak terperi sakitnya.}- begitulah kebiasaannya, setiap kaum yang dibinasakan itu Allah tinggalkan kesannya.

Contoh- Kaum Firaun ada kesannya, kaum Nabi Soleh & kaum Lut ini juga ada kesannya.

Tujuannya agar orang beriman yang datang selepasnya akan sentiasa nampak dan ingat lalu mengambil pengajaran dan iktibar dari kejadian itu!

Supaya orang yang beriman ambil perhatian, orang yang derhaka pula insaf dan berhenti dari kejahatan mereka kerana sudah ada akibatnya.

Tetapi apa boleh buat Allah juga sudah nyatakan bahawa ia hanya akan mendatangkan kesan & keinsafan bagi orang-orang yang sedia takut kepada Allah dan azab seksa-Nya.

Ya Allah jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang sentiasa berfikir dan mengambil peringatan dari segala tanda yang Engkau berikan!

Powered by BetterDocs