SURAH AL-QAMAR : AYAT 1-2

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, KELEBIHAN DAN MUNASABAH & MUKJIZAT BULAN TERBELAH.

Full video : https://youtu.be/fc39O5ySkmg

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Ahad 19 Rabi\’ul Awwal 1444H bersamaan 16hb Oktober 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Qamar – سورة القمر.
  2. Surah Al-Qamar adalah surah ke-54 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah An-Najmir, di awal juz ke 27, mengandungi 55 ayat.
    Termasuk dalam kumpulan surah Mufassal (المفصل) surah yang pendek.
  3. Para ulama\’ tafsir sepakat (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

Tetapi ada juga sebahagian ulama\’ yang mengatakan kecuali tiga ayatnya turun di Madinah iaitu ayat 44, 45 & 46 adalah Madaniyyah.

  1. Sebagaimana kata al-Qurtubi rhm.: Ijma\’ ulama\’ mengatakan Surah Al-Qamar – سورة القمر adalah Makkiyyah keseluruhannya.
  2. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Qamar – سورة القمر yang bererti (bulan) kerana pada awal surah Allah s.w.t telah menegaskan bahawa telah hampir saat kedatangan hari Kiamat dan terbelahnya bulan.

Yakni lebih hari Kiamat telah dekat dan akan berlaku pada masa akan datang berbanding dengan umur yang telah berlalu.

ii- dinamakan juga sebagai Surah Iqtarabat- telah dekat- { ٱقۡتَرَبَتِ}- diambil dari kalimat pertama yang dibuka surah ini.

iii- dinamakan juga sebagai Surah Iqtarabatis-Saah- telah dekat Hari Kiamat- { ٱقۡتَرَبَتِ ٱلسَّاعَةُ }- diambil dari ayat pertamanya berdasarkan sebuah hadis yang akan dibaca nanti.

KELEBIHAN SURAH & CIRI-CIRI KEISTIMEWAANNYA :

1- Antara Sunnah ialah membacanya pada rakaat kedua pada solat hari raya.
Dalil riwayat dari Ubaidillah bin Abdillah bahawa:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ سَأَلَ أَبَا وَاقِدٍ اللَّيْثِيَّ مَا كَانَ يَقْرَأُ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الأَضْحَى وَالْفِطْرِ فَقَالَ كَانَ يَقْرَأُ فِيهِمَا بِق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ وَاقْتَرَبَتْ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ .

\”Sesungguhnya Umar bin al-Khattab r.a telah bertanya kepada Abi Waqid al-Laithi tentang ayat apa yang dibaca oleh Nabi s.a.w dalam solat sunat Aidul Adha dan Aidul Fitri.
Lalu dia menjawab \”Nabi s.a.w membaca Surah Qaf & Surah al-Qamar dalam kedua-dua solat tersebut.\” [HR Muslim, no.891].

  1. Maka para pelajar kita yang yang nak jadi imam kena hafazlah surah-surah ini sebagaimana Sunnah Nabi s.a.w ini.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Memberikan peringatan dan amaran dengan pelbagai cara kepada golongan yang kufur & ingkar terhad apa yang Rasulullah s.a.w sampaikan kepada mereka. Mereka juga mendustakan keterangan yang berhubung dengan hari Kiamat dan apa yang akan berlaku pada hari itu.
  2. Ditegaskan juga bahawa setiap perkara akan mencapai kesudahannya dengan apa yang ditentukan oleh Allah s.w.t: iaitu yang benar akan berakhir dengan kemenangan & kejayaan manakala yang salah buruk padahnya.
  3. Untuk menyedarkan golongan yang masih berdegil dalam keingkaran & kekufurannya, lalu diceritakan perihal nabi yang telah lalu dan kaum masing-masing serta balasan buruk yang telah didapati oleh golongan yang ingkar semasa mereka masih hidup di dunia selain azab siksa yang akan dikenakan pada mereka di akhirat kelak.
  4. Allah menegaskan kekuasaan-Nya yang mutlak mencipta sesuatu menurut takdir & ketetapan yang telah ditentukan serta cara melaksanakannya adalah cepat & sekelip mata; kun fayakun.
  5. Kemudian diulangi amaran kepada golongan yang ingkar bahawa mereka akan ditimpa akibat yang buruk jika mereka masih berdegil dalam keingkarannya, kerana setiap perkara yang mereka lakukan akan ditulis dalam kitab amal serta setiap perkara yang besar atau kecil tetap tercatat.
  6. Surah ini diakhiri dengan menerangkan balasan sebaiknya yang akan didapati oleh mereka yang beriman dan beramal soleh, yang tetap mengerjakan suruhan Allah & meninggalkan larangan-Nya.

Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai,
Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.} (Al-Qamar: 54-55)

Ya Allah jadikan kami dari kalangan mereka ini!

OBJEKTIF/MAQASID SURAH TAFSIR MUHARRAR :

  1. Antara kepentingannya ialah Allah ceritakan ketetapan-Nya ke atas makhluk ini, antara ciri yang sangat zahir adalah Allah pilih untuk beri pertolongan kepada orang mukmin dan dibiarkan tidak diberikan pertolongan kepada orang kafir!

TAJUK-TAJUK SURAH :

  1. Amaran tentang Kiamat sudah hampir & rakaman tentang puak kafir yang menolak tidak mamhu menerima Islam dan menentang kebenaran (الحق) yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
  2. Lalu Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w agar meninggalkan mereka setelah Baginda menjalankan tugasnya berdakwah membimbibing & mendidik mereka. Sehinggalah datang ketetapan dari Allah samada Allah membinasakan mereka atau Allah buka pintu hatinya menerima Islam.

Contoh: Abu Jahal yang mati dalam kafir & Abu Sufyan yang beriman.
Begitulah kita para pendakwah tugas kita hanya menyampaikan dan jangan mudah kecewa.

  1. Amaran kepada puak kafir terhadap apa yang akan mereka hadapi pada hari Kiamat; iaitu kehinaan, penyesalan dan siksa yang tiada kesudahannya.
  2. Allah sebut cerita tentang umat terdahulu yang telah mendustakan nabi-nabi mereka seperti kaum Nuh, Ad, Thamud, Firaun dan lain-lain.
    Apa yang mereka rasai dari azab dek kerana pendustaan mereka serta kehancuran dan kebinasaan yang Allah timpakan ke atas mereka!
  3. Allah s.w.t cela puak kafir yang tidak ambil iktibar dari amaran tersebut serta apa yang mereka akan terima akibatnya di hari akhirat yang penuh penghinaan & siksaaan.
  4. Allah nyatakan kekuasaan-Nya & hikmah kebijaksanaan-Nya, semua yang berlaku adalah dengan takdir & ketetapan Allah s.w.t. Segala kehendak Allah semuanya terjadi, kita tidak boleh lari dari ketetapan Allah & segala yang berlaku adalah meliputi ilmu-Nya.
  5. Allah s.w.t tutup surah ini dengan menyampaikan khabar gembira kepada orang yang bertaqwa dengan mendapat akibat yang baik & kemuliaaan yang disediakan kepada mereka sebagaimana ayat yang dibaca tadi.

MUNASABAH SURAH AL-QAMAR – سورة القمر DENGAN SURAH AN-NAJMI SEBELUMNYA :

Terserlah ia dari tiga sudut :

  1. Sepakat akhirnya Surah An-Najmi (ayat 55) dengan awal permulaan Surah Al-Qamar – سورة القمر tentang hampirnya hari Kiamat. Seolah siri yang bersambung, cuma ditambah tandanya terbelah bulan dalam surah ini.
  2. Eloknya nama & indahnya susunan antara An-Najmi – النجم & Al-Qamar -القمر iaitu bulan & bintang sebagaimana nama asy-Syams & al-Lail, ad-Dhuha & al-Fajri dan lain-lain surah.
    Ini menunjukkan bahawa ia datang dari sumber yang satu iaitu Allah yang Esa.
  3. Diperincikan dalam surah ini keadaan umat terdahulu yang binasa, manakala dalam Surah An-Najmi – سورة النجم menceritakan sebab kebinasaan mereka adalah kerana mendustakan rasul-rasul, manakala akan diperincikan dalam Al-Qamar – سورة القمر ini, Sebagaimana kesinambungan beberapa surah lain sebelum ini: surah Al-A\’raf yang datang selepas al-An\’am, Asy-Syu\’araa\’ selepas al-Furqan dan seperti surah Saad yang datang selepas Yaasin.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 1- {TELAH HAMPIR SAAT (KEDATANGAN HARI KIAMAT) DAN TERBELAHLAH BULAN.} (AL-QAMAR 54:1)

  1. Yakni telah hampir saat kedatangan Kiamat dengan masa depan berbanding dengan umur dunia yang telah berlalu.
  2. Ini kerana selepas Rasulullah s.a.w tiada lagi nabi & rasul yang lain.
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya.} (Al-Anbiyaa\’ 21:1)
  4. Nabi S.A.W bersabda: \”Jarak antara aku diutuskan dengan tibanya Hari Kiamat adalah seperti ini.\”
    Anas R.A berkata, \”Rasulullah S.A.W menggabungkan antara jari telunjuk dengan jari tengahnya.\” (HR al-Bukhari & Muslim)

AYAT 2- {DAN KALAU MEREKA (KAUM MUSYRIK MEKAH) MELIHAT SESUATU MUKJIZAT, MEREKA BERPALING INGKAR SAMBIL BERKATA: (INI IALAH) SIHIR YANG TERUS MENERUS BERLAKU.} (AL-QAMAR 54:2)

  1. Mukjizat yang mereka ingkari ini ialah terbelahnya bulan. Walaupun mereka telah saksikannya dengan mata kepala mereka sendiri, mereka katakan pula ia adalah satu sihir!
  2. Menurut hadis-hadis yang sahih peristiwa terbelahnya bulan adalah sebagai salah satu mukjizat Rasulullah s.a.w serta telah disaksikan oleh Rasulullah s.a.w & para sahabat & kaum musyrik penduduk Makkah.
  3. Sabab nuzul ayat: Hadis Rasulullah s.a.w tentang bulan terbelah:
    i- Hadis riwayat Abdullah bin Masud ra., ia berkata: Bulan terbelah menjadi dua pada masa Rasulullah saw., lalu Rasulullah saw. bersabda: Saksikanlah oleh kalian. (Sahih Muslim No.5010)

ii- Hadis riwayat Anas ra.: Bahwa penduduk Makkah meminta kepada Rasulullah saw. untuk diperlihatkan kepada mereka satu mukjizat (tanda kenabian), maka Rasulullah saw. memperlihatkan kepada mereka mukjizat terbelahnya bulan sebanyak dua kali. (Sahih Muslim No.5013)

iii- Hadis riwayat Ibnu Abbas ra.: Sesungguhnya bulan pernah terbelah pada masa Rasulullah s.a.w.. (Sahih Muslim No.5015)
iv- Dari Anas ibnu Malik:

َ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ أَهْلَ مَكَّةَ سَأَلُوا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُرِيَهُمْ آيَةً فَأَرَاهُمْ الْقَمَرَ شِقَّتَيْنِ حَتَّى رَأَوْا حِرَاءً بَيْنَهُمَا

Dari Anas bin Malik r.a, bahawa penduduk Makkah meminta kepada Rasulullah s.a.w untuk menunjukkan tanda-tanda (mukjizat). Maka Baginda memperlihatkan kepada mereka di mana bulan terbelah menjadi dua bahagian hingga dapat terlihat gua Hira dari celah di antaranya\”. (HR. Bukhari) No. 3579. Sahih).

iv- Dari Abdullah ibnu Mas\’ud r.a, berkata: \”Pada zaman Rasulullah S.A.W bulan telah terbelah dua, benar-benar terlihat dua belahannya, satu di bukit sebelah kanan, satu di bukit sebelah kiri. Orang-orang kafir berkata Muhammad telah melakukan sihir anak Abu Kabsyah.
Ada yang berkata kalau sihir dilakukan, maka yang kena sihir adalah kita di sini, dan sihir tidak mungkin terkena kepada semua orang di tempat lain.\” (HR Al-Bukhari).

  1. Kenapa mereka nisbahkan Rasulullah s.a.w kepada Abu Kabsyah? Siapakah dia?
    i- Dia adalah seorang lelaki dari bani Khuza\’ah yang menyalahi cara puak Quraisy menyembah berhala iaitu dengan menyembah bintang Syi\’ra seperti dalam surah sebelum ini.
    Apabila Rasulullah s.a.w menyeru puak Quraisy untuk menyembah Allah s.w.t yang Esa mereka menyerupakan Baginda dengannya dan nisbahkan Baginda kepada Abu Kabsyah.

ii- ada juga yang mengatakan dia adalah datuk Nabi s.a.w dari sebelah ibunya. Lalu mereka kaitkan Rasulullah s.a.w dengan ajaran datuk mereka itu, yakni bukan wahyu dari Allah s.w.t!

PENUTUP :

  1. Puak kafir keras kepala, maka dengan izin Allah s.w.t, bulan terbelah dua untuk menyokong dakwah Rasulullah s.a.w setelah orang Makkah meminta buktinya. Tetapi masalahnya walaupun mereka telah saksikannya mereka kata sihir pula!
  2. Kata Ibnu Kathir: berlakunya peristiwa ini pada zaman Rasulullah s.a.w telah sabit dari hadis-hadis yang mutawatir dengan sanad yang sahih serta sepakat ulama\’ & dari Ibnu Mas\’ud r.a:
    Ibn Mas\’ud berkata: \”Lima pertanda (Hari Kiamat) yang telah berlalu iaitu runtuhnya kaisar Rom, (munculnya) asap Ad-Dukhan, tragedi penyiksaan Al-Lizam & Al-Batsyah, (terbelahnya) bulan Al-Qamar.\” [HR Bukhari & Muslim]. (Tafsir Ibn Kathir-4/262)

Ia adalah salah satu mukjizat Rasulullah s.a.w yang jelas dan telah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w!

  1. Daripada Ibnu Umar r.a, dia berkata:
    \”Kami duduk di sisi Rasulullah S.A.W dan waktu itu matahari sudah dilitupi oleh gunung Quaiqi\’an (di Makkah) setelah Asar, Nabi bersabda: \”Tiadalah umur kamu jika dibandingkan dengan umur orang dahulu kecuali seperti sisa siang hari yang sudah berlalu.\” (HR Ahmad)
  2. Untuk mengetahui tentang tanda-tanda Kiamat boleh lihat Kuliah Kitab: Berakhirnya Dunia ini:
    https://www.youtube.com/watch?v=Qcuq_wu-kGw…

Powered by BetterDocs