SURAH AZ-ZARIYAT : AYAT 38-46

\"\"

Kisah Nabi Musa, Hud, Soleh Dan Nuh Dengan Kaum Mereka & Pengajarannya.

Full video : https://youtu.be/THpvVxcYNhU

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t bawakan kisah empat orang Nabi a.s yang berhadapan dengan kaum mereka yang degil keras kepala, tidak beriman.
  2. Iaitu Nabi Musa, Hud, Soleh Dan Nuh a.s dengan kaum mereka
  3. Serta apakah faedah pengajaran yang kita dapat dari feqah kehidupan ini.

AYAT 38- {DAN JUGA PADA (KISAH) NABI MUSA (TERDAPAT DALIL-DALIL YANG MEMBERI KEINSAFAN), – KETIKA KAMI MENGUTUSNYA KEPADA FIRAUN DENGAN MEMBAWA MUKJIZAT YANG NYATA.} (AZ-ZAARIYAAT 51:38)

  1. Bermula dari ayat ini Allah s.w.t peringatkan kisah nabi Musa a.s kepada kita.
  2. Padanya terdapat banyak ibrah dan pengajaran (ءَايَةٗ) yang kita dapat apabila Allah s.w.t hantarnya pergi berjumpa Firaun dengan bawa hujjah (بِسُلۡطَٰنٖ) yang benar lagi nyata.
  3. Terdapat 9 ayat (tanda mukjizat) yang terbesar ialah mukjizat tongkatnya!
  4. Firman Allah s.w.t:
    i- {Firaun menjawab: \”Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu mukjizat maka bawalah dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang benar\”.
    Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.
    Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang melihatnya.} (Al-A\’raaf 7: 106-108)

AYAT 39- {MAKA FIRAUN BERPALING INGKAR DENGAN BERDASARKAN KEKUASAANNYA SAMBIL BERKATA: \”(MUSA ITU) ADALAH SEORANG AHLI SIHIR, ATAU SEORANG GILA!\”} (AZ-ZAARIYAAT 51:39)

  1. Firaun berpaling melihat kepada pembantu dan bala tenteranya yang banyak dan gagah perkasa serta lengkap dengan alat senjata yang banyak!
  2. Lalu dia terus berkata dengan sombong dan mengingkari apa yang Musa bawa sambil menuduhnya sebagai seorang ahli sihir, atau seorang gila!

AYAT 40 {LALU KAMI (ADAKAN JALAN) MENGAMBIL FIRAUN BERSAMA-SAMA TENTERANYA, KEMUDIAN KAMI HUMBANKAN MEREKA KE DALAM LAUT, SEDANG IA BERKEADAAN TERCELA.} (AZ-ZAARIYAAT 51:40)

  1. Lalu akibat kesombongannya itu Allah bawa Firaun dan segala bala tenteranya, dihumbankan ke dalam laut (Laut Qalzum). Kisahnya sudah banyak sebelum ini.
  2. Maka binasalah mereka dalam keadaan tercela dan azab yang penuh penghinaan!

AYAT 41- {DAN JUGA PADA (KISAH) KAUM AAD (TERDAPAT PERKARA-PERKARA YANG MENJADI IKTIBAR), – KETIKA KAMI HANTARKAN KEPADA MEREKA ANGIN RIBUT YANG TIDAK MENGANDUNGI SEBARANG KEBAIKAN;} (AZ-ZAARIYAAT 51:41)

  1. Kaum Ad satu bangsa Arab, yang menempati sebelah Hadramaut, Yaman Lama dulu.
  2. Pada kisah mereka juga terdapat tanda-tanda yang dapat menjadi iktibar dan pengajaran.
  3. Allah telah hantarkan kepada mereka angin ribut yang tidak mengandungi sebarang kebaikan (ٱلرِّيحَ ٱلۡعَقِيمَ), tetapi mengandungi azab dan kemusnahan mereka.
  4. Firman Allah s.w.t:
    {Lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang nahas malang, kerana Kami hendak merasakan mereka azab seksa yang menghina dalam kehidupan dunia; dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat lebih besar kehinaannya; sedang mereka tidak diberikan pertolongan (menghindarkan azab itu).} (Fussilat 41:16)
  5. Hadis dari Ibnu Abbas r.a, Rasulullah S.A.W bersabda, \”Aku diberi pertolongan dengan angin timur, sementara kaum Ad dibinasakan dengan angin barat.\” [HR Bukhari & Muslim].

AYAT 42- {ANGIN ITU TIDAK MENINGGALKAN SESUATUPUN YANG DIREMPUHNYA, MELAINKAN MENJADIKANNYA (HANCUR) SEPERTI DEBU.} (AZ-ZAARIYAAT 51:42)

  1. Angin itu memusnahkan semua benda yang dirempuhnya, segala bangunan dan manusia yang ingkar derhaka itu!
  2. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan ingatlah (Hud) saudara kaum Ad ketika dia mengingatkan kaumnya tentang bukit-bukit pasir dan sesungguhnya telah berlalu beberapa orang pemberi peringatan sebelumnya dan setelahnya (dengan berkata), \’Janganlah kamu menyembah selain Allah, aku sungguh khuatir nanti kamu ditimpa azab pada hari yang besar\’.} (Al-Ahqaf: 21)

ii- Nabi mereka ialah Nabi Hud a.s- {Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud.} (Al-A\’raaf 7:65)

AYAT 43- {DAN JUGA PADA (KISAH) KAUM THAMUD (TERDAPAT PERKARA-PERKARA YANG MENJADI PELAJARAN) – KETIKA DIKATAKAN KEPADA MEREKA: \”BERSENANG-SENANGLAH KAMU HINGGA KE SUATU WAKTU (YANG TERMAKLUM)!\”} (AZ-ZAARIYAAT 51:43)

  1. Juga dari kisah kaum Thamud, puak nabi Soleh a.s. Yang menempati Madain Soleh, iaitu di al-Ula Arab, Saudi sekarang ini.
  2. Mukjizat nabi Soleh ialah keluar seekor unta ajaib yang besar dari batu, bergilir hari minum air telaga dengan mereka serta mengeluarkan susunya untuk mereka minum. Tetapi sebagai kaum yang jahat dan ingkar mereka tidak puas hati lalu membunuh unta itu walaupun sudah diberi amaran oleh Nabi Soleh a.s.
  3. Melihat perbuatan buruk mereka itu lalu nabi Soleh berkata kepada mereka: \”Bersenang-senanglah kamu hingga ke suatu waktu yang termaklum!\”
  4. Kata para ulama\’ berseronoklah (تَمَتَّعُواْ) kamu ini ialah di dunia ini sehingga tiba tempoh ajal kamu. Berapa lama? Atas waktu tempoh masing-masing.

Kata para ulama\’ seperti al-Farra\’, al-Wahidi, al-Qurtubi dan lain-lain:
i- maksudnya berseronok (تَمَتَّعُواْ) itu ialah tiga hari selepas perbuatan jahat mereka itu. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t:
{Mereka kemudiannya menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi Soleh kepada mereka: Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang demikian itu, ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan\”.} (Hud 11:65)

ii- kata ulama\’ lain pula; bukan tiga hari tetapi sehingga tiba ajal mereka.

AYAT 44- {MAKA MEREKA MEMBESARKAN DIRI TERHADAP PERINTAH TUHANNYA, LALU MEREKA DISAMBAR PETIR (DENGAN TIDAK DAPAT MELARIKAN DIRI), SEDANG MEREKA MELIHATNYA.} (AZ-ZAARIYAAT 51:44)

  1. Puak Thamud ini derhaka kepada Allah s.w.t, derhaka takabbur tidak mahu ikut dan terima dakwah nabi Soleh. Bahkan mereka melanggar perintah larangannya.
  2. Lalu Allah s.w.t hantar azab-Nya, mereka disambar petir halilintar, mereka tidak dapat melarikan diri walaupun mereka telah melihat tanda kedatangan azab itu.
  3. Kata ulama\’ tafsir maksud {sedang mereka melihatnya- وَهُمۡ يَنظُرُونَ}- iaitu mereka menunggu dalam masa tiga hari yang Nabi Soleh janjikan tadi.
    Apapun puak mereka hancur binasa semuanya.
  4. Firman Allah s.w.t:
    {(Ingatlah), kaum Thamud telah mendustakan (Rasulnya) dengan sebab perbuatan derhaka mereka yang melampaui batas;
    Ketika orang yang paling jahat di antara mereka menerima perintah dari mereka (supaya membunuh unta yang menjadi mukjizat),
    Maka berkatalah Rasul Allah (Nabi Soleh) kepada mereka: \” (Janganlah kamu ganggu) unta betina dari Allah itu, dan (janganlah kamu menyekatnya daripada mendapat) air minumnya (supaya kamu tidak ditimpa azab)!\”

(Setelah Nabi Soleh memberi amaran) lalu mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Ia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya).} (Asy-Syams 91: 11-14)

AYAT 45- {DENGAN YANG DEMIKIAN, MEREKA TIDAK DAPAT BANGUN LAGI, DAN MEREKA JUGA TIDAK MENDAPAT PERTOLONGAN.} (AZ-ZAARIYAAT 51:45)

  1. Mereka tidak dapat lari menyelamatkan diri atau mendapat bantuan pertolongan dari mana-mana lagi!
  2. Kita lihat kepada perbezaan antara dua kaum ini:
    i- kaum Thamud mati dengan tempikan suara yang kuat lalu mati semuanya, ini kerana mereka buat rumah dalam bukit. Jika datang angin tidak akan memberi kesan bahkan mereka dapat berlindung dalam bukit itu dengan selamat!

ii- kaum Ad pula mereka tinggal dalam bangunan tinggi, maka bila datang angin boleh meruntuh dan membinasakan segala bangunan mereka itu.

  1. Begitulah hikmah kebijaksanaan Allah s.w.t, sesuatu kaum itu dibinasakan mengikut kebiasaan mereka.
    i- seperti Firaun yang bangga dengan sungai-sungainya yakni air; maka Allah binasakannya dengan tenggelam dalam laut.

ii- Qarun yang takabbur atas muka bumi Allah telan dalam perut bumi sekali dengan harta-hartanya!

AYAT 46- {DAN KAUM NUH (KAMI JUGA TELAH BINASAKAN) SEBELUM ITU; SESUNGGUHNYA MEREKA ADALAH KAUM YANG FASIK – DERHAKA.} (AZ-ZAARIYAAT 51:46)

  1. Juga kaum Nuh sebelum semua kaum lain ini! Mereka juga telah dibinasakan kerana mereka juga adalah kaum yang fasik & derhaka. Nabi Nuh adalah nabi pertama yang didustakan oleh kaumnya.
  2. Kenapa kaum nabi Nuh datang akhir sedangkan mereka adalah yang terawal?

Hikmahnya;
i- Allah s.w.t ceritakan dulu kaum-kaum yang dibinasakan dengan alat kebinasaan yang didatangkan khas; seperti tempikan malaikat, angin taufan dan seumpamanya.

ii- barulah dikuti dengan kumpulan yang dibinasakan dengan sebab hidup iaitu AIR sebagai sumber kehidupan.
Air bukan sahaja boleh menjadi sumber kehidupan manusia tetapi juga sebagai sumber kebinasaan mereka.

  1. Allah membinasakan mereka dengan ditenggelamkan dalam air bah yang besar sebagaiman firman-Nya:
    i- {Dan (demikian juga) kaum Nabi Nuh, ketika mereka mendustakan Rasul-rasul Kami, Kami tenggelamkan mereka, dan Kami jadikan mereka satu tanda (yang menjadi contoh) bagi umat manusia; dan Kami sediakan bagi sesiapa yang zalim; azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (Al-Furqaan 25:37)

ii- {Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah ia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka).} (Al-\’Ankabuut 29:14)

  1. Mereka dibinasakan kerana mereka adalah kaum yang kufur lagi fasiq, keras kepala dan tidak dengar kata!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 40 {Lalu Kami (adakan jalan) mengambil Firaun bersama-sama tenteranya, kemudian Kami humbankan mereka ke dalam laut, sedang ia berkeadaan tercela.}- Ayat ini menunjukkan betapa besarnya kuasa Allah s.w.t dan betapa hinanya Firaun yang mengaku jadi Tuhan, mengaku sungai Nil mengalir di bawah kuasanya.

Lalu Allah ambil mereka dan campak Firaun & tenteranya ke dalam laut, menenggelamkan dalam keadaan tercela dan terhina (مُلِيمٞ).

Satu lagi Allah sebut perkataan (مُلِيمٞ). dalam firman-Nya tentang kisah nabi Yunus a.s:
{Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.
(Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat.
(Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut).
Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak (مُلِيمٞ)..
Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih),
Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.} (As-Saaffaat 37: 139-144)

Ulama\’ tadabbur buat perbincangan apa beza antara dua (مُلِيمٞ) ini. Kenapa Nabi Yunus walaupun dalam keadaan terhina dia selamat?
Ini kerana Nabi Yunus adalah seorang yang beriman dari asal, sentiasa bertasbih berzikir maka dia terselamat dari perut ikan.
Allah kata jika tidak kerana dia bertasbih, dia akan terus berada dalam perut ikan sehingga hari Kiamat.

ii- tetapi Firaun hina tidak beriman ketika hidup tetapi apabila hampir mati tenggelam itu dia cuba beriman.
Firman Allah s.w.t:
{Sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): \”Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)\”.} (Yunus 10:90)

  • Hinanya orang yang beriman jika dia tersilap kemudian bertaubat dia akan selamat Insya\’ Allah.
    Tetapi orang kafir yang baru mahu beriman di saat akhir di penghujung nyawanya tidak akan diterima taubatnya oleh Allah.

2. Ayat 41- {Dan juga pada (kisah) kaum Aad (terdapat perkara-perkara yang menjadi iktibar), – ketika kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang tidak mengandungi sebarang kebaikan;}- ulama\’ kata satu benda adakalanya menjadi baik adakalanya tidak baik. Angin ini ada yang membawa khabar gembira sebab turunkan rahmat namun angin juga membinasakan sebab sikap derhaka mereka.
Angin bukan sahaja membawa debunga bunga tetapi membawa ribut taufan yang mengganas.

Firman Allah s.w.t: {Atau siapakah yang menunjukkan jalan kepada kamu dalam gelap-gelita darat dan laut, dan yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmat-Nya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Maha Tinggilah keadaan Allah dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya.} (An-Naml 27:63)

Angin boleh menjadi dua dimensi mengikut kesan apa yang dibawanya.

  1. Dalam Al-Quran Allah sebut angin kadang dengan mufrad (ٱلرِّيحَ) kadang dengan jamak (ٱلرِّياحَ). Kenapa?
    Ini kerana biasanya bila sebut angin yang membinasakan digunakan mufrad (singular), jika angin yang baik membawa rahmat menggunakan jamak (plural).

Kata Ibnu Athiyah rhm. dalam al-Quran semuanya bila sebut angin yang membinasakan digunakan lafaz mufrad (singular), jika angin yang baik membawa rahmat menggunakan lafaz jamak (plural). Kecuali satu sahaja iaitu dalam Surah Yunus ayat 22 menggunakan lafaz mufrad (ٱلرِّيحَ).
{Dia-lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, (بِرِيحٖ طَيِّبَةٖ).} (Yunus 10:22)

Allah menggunakan lafaz mufrad tetapi disambung dengan perkataan baik, iaitu angin yang baik {بِرِيحٖ طَيِّبَةٖ }.

Ini kerana tengok kepada suasana ayat, kapal bahtera yang besar pastilah perlukan satu angin yang satu & besar tetapi baik, bawa manfaat.

  1. Ayat 42- {Angin itu tidak meninggalkan sesuatupun yang dirempuhnya, melainkan menjadikannya (hancur) seperti debu.}- tiada benda yang angin yang angin tu masuk kecuali dibinasakan.
    Sebagaimana dalam ayat lain juga:
    {\”Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya\”. (Setelah azab itu menimpa mereka) maka menjadilah mereka (punah ranah) – tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.} [Al-Ahqaf 46:25].

Tetapi bukit-bukit yang disekitarnya tidak binasa.
Ini kerana angin itu dihantar hanya untuk binasakan kaum \’Ad dan bangunan yang mereka bina sahaja, bukan untuk membinasakan bukit-bukit & gunung-gunung dan makhluk lain.

Ada setengah orang salah guna ayat ini untuk mengatakan bahawa hadis semua yang bid\’ah itu sesat adalah tidak merangkumi semuanya kerana ada bid\’ah yang tidak sesat.
Kena ingat bahawa bid\’ah hanya dalam perkara agama bukan hal-hal kehidupan yang lain.
Mereka cuba mencari hujjah untuk menafikan bahawa (kullu) iti lafaz umum, semua bid\’ah itu sesat!

5.Ayat 45- {Dengan yang demikian, mereka tidak dapat bangun lagi, dan mereka juga tidak mendapat pertolongan.}- ini adalah satu kehalusan lafaz kesenian al-Quran.
Mereka tidak mampu nak bangun (فَمَا ٱسۡتَطَٰعُوا) langsung tidak dapat bangun, bila kena azab mereka tidak mampu nak bangun.
i- Ini kerana makna Istita\’ah – adalah kemampuan yang menunjuk kepada suatu tuntutan. Iaitu mereka langsung tidak boleh bangun yakni tiada kemampuan untuk bangun.

ii- Ia berbeza dan lain dengan kudrat (قدرة) yang bererti kuasa, mereka mungkin ada kuasa tetapi tiada kemampuan.

Contoh- orang yang berkuasa, ada duit & sihat tubuh badan tetapi tiada kemampuan untuk pergi haji kerana tiada kuota.

iii- Beza antara dua kalimah dalam surah al-Kahfi ini:
a- mereka lansung tiada kemampuan (فَمَا ٱسۡتَطَٰعُوا)
b- satu lagi yang lebih ringan, mereka tidak mampu (ٱسۡطَٰعُوٓاْ)
Firman Allah s.w.t: {Maka mereka tidak dapat (فَمَا ٱسۡطَٰعُوٓاْ) memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat (وَمَا ٱسۡتَطَٰعُواْ) menebuknya.} (Al-Kahfi 18:97)

Allah bezakan dalam dua perbuatan ini, mereka tidak mampu nak lompat, apatah lagi nak tebuknya, lagilah mereka tidak mampu.

Beginilah indah dan telitinya al-Quran yang merupakan satu mukjizat dari Allah Azza wa Jalla!

Powered by BetterDocs