SURAH AL-WAQI\’AH : AYAT 10-26

\"\"

AS-SABIQUN AL-MUQARRABUN KATEGORI AHLI SYURGA TERBAIK DAN NIKMAT SYURGA YANG DISEDIAKAN

Full video : https://youtu.be/yeWVFZl4nqs

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan kepada kita tentang kumpulan yang terbaik iaitu tentang As-Sabiqun Al-Muqarrabun iaitu kategori ahli syurga yang paling utama.
  2. Juga tentang nikmat syurga yang disediakan kepada mereka dari pelbagai jenis.
  3. Munasabah ayat:
    a- Sebelum ini Allah s.w.t telah nyatakan bahawa manusia pada hari Kiamat nanti akan terbahagi kepada 3 golongan iaitu:
    i- golongan yang baik (مَآ أَصْحَـٰبُ ٱلْمَيْمَنَةِ).
    ii- golongan tidak baik (أَصْحَـٰبُ ٱلْمَشْـَٔمَةِ).
    iii- golongan yang terbaik iaitu (وَٱلسَّـٰبِقُونَ).

b- Kemudian dalam siri ini mula diceritakan setiap satunya secara tererinci dimulakan dengan kumpulan As-Sabiqun Al-Muqarrabun yang terbaik ini.

  1. Surah al-Waqiah ini adalah sebuah surah yang membincangkan tentang keadaan (أحوال) dan huru-hara (أهوال) pada hari Kiamat.

AYAT 10- {DAN (PUAK YANG KETIGA PULA IALAH) ORANG-ORANG YANG TELAH MENDAHULUI (DALAM MENGERJAKAN KEBAIKAN DI DUNIA), – YANG AKAN MENDAHULUI (MENCAPAI BALASAN YANG SEBAIK-BAIKNYA DI AKHIRAT KELAK);} (AL-WAAQI\’AH 56:10)

  1. Ini adalah kumpulan ketiga yang disebut selepas dua golongan ini:
    i- golongan yang baik (مَآ أَصْحَـٰبُ ٱلْمَيْمَنَةِ).
    ii- golongan tidak baik (أَصْحَـٰبُ ٱلْمَشْـَٔمَةِ).
    *Allah s.w.t terus jelaskan sifat mereka golongan yang terbaik iaitu (وَٱلسَّـٰبِقُونَ) secara terperinci.
  2. Mereka ialah orang yang laju, mendahului manusia lain semasa atas dunia dulu dalam mengerjakan kebaikan.
  3. Maka mereka juga orang yang akan laju dan mendahului manusia lain mencapai balasan yang sebaik-baiknya, menuju ke syurga di akhirat kelak.
  4. Ayat ini ditafsir dengan firman Allah s.w.t:
    {Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya.} (Al-Mu\’minuun 23:61)

AYAT 11- {MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG DIDAMPINGKAN (DI SISI ALLAH),} (AL-WAAQI\’AH 56:11)

  1. Allah gelar mereka sebagai orang yang dekat (ٱلْمُقَرَّبُونَ). Yakni tempat duduk mereka di akhirat kelak dekat dengan Allah s.w.t iaitu di sisi-Nya.
  2. Lalu mereka ini tinggi kedudukannya (المكانة) serta tingi tempat duduknya (المكان).
  3. Allah s.w.t dekatkan mereka dengan-Nya kerana mereka laju menerima Islam & iman, cepat melakukan kebaikan dan amal ibadat., maka lajulah juga mereka ke syurga!
  4. Maka untuk meraih gelaran ini, kita pun lajulah cuba beramal apabila mendengar sesuatu itu Sunnah dan amalan Nabi s.a.w yang sahih.

AYAT 12- {(TINGGAL MENETAP) DI DALAM SYURGA-SYURGA YANG PENUH NIKMAT.} (AL-WAAQI\’AH 56:12)

  1. Tempat tinggal mereka itu ialah syurga yang penuh nikmat yang tidak terhitung & tersebut.
  2. Nikmat itu pula dua-dua secara fizikal dan mental. Hati tenang serta badan menikmati segala anugerah nikmat Allah tanpa ragu dan bimbang!
  3. Nikmat itu pula kekal abadi tidak putus-putus.

AYAT 13- {(DI ANTARANYA) SEKUMPULAN BESAR DARI UMAT-UMAT MANUSIA YANG TERDAHULU;} (AL-WAAQI\’AH 56:13)

  1. Sebahagian besar daripada golongan ini ialah umat-umat manusia yang terdahulu.
  2. Ada beberapa pandangan ulama\’ tentang {مِّنَ ٱلْأَوَّلِينَ} ayat ini:
    i- iaitu umat-umat para rasul & nabi terdahulu. Kita kena ingat sudah berapa ramai nabi-nabi & rasul sebelum Nabi kita Muhammad s.a.w.

ii- umat Nabi Muhammad yang terawal dan terdahulu, golongan sahabat, tabi\’en dan yang selepas mereka para ulama\’ salafus-soleh.

AYAT 14- {DAN SEBILANGAN KECIL DARI ORANG-ORANG YANG DATANG KEMUDIAN.} (AL-WAAQI\’AH 56:14)

  1. Serta sedikit dari kalangan orang terkemudian.
  2. Ada beberapa pandangan ulama\’ tentang (الآخرين) dalam ayat ini juga:
    i- iaitu umat Nabi Muhammad
    ii- umat Nabi Muhammad yang terakhir atau akhir zaman iaitu termasuk kita juga.
    Manusia yang kemudian ini, mereka tidak ramai.
  3. Jangan runsing jika ia adalah pendapat kedua kita masih termasuk juga dalam golongan ini cuma bilangannya sedikit- tidak ramai. Sudah tidak ramai bilanganya.
  4. Perbahasan tentang pembahagian ini panjang sekali, tetapi kita tidak perlu berfikir banyak; kerja kita hanya carilah sifat atau ciri-ciri orang yang sedikit itu, bagaimanakah amalan dan sifat mereka.
  5. Lalu kita hendaklah berusaha bersungguh agar termasuk dalam golongan ini Insya\’ Allah.

Ya Allah jadikanlah kami dari golongan yang sedikit ini!

AYAT 15- {(MEREKA DUDUK DI DALAM SYURGA ITU) DI ATAS TAKHTA-TAKHTA KEBESARAN YANG BERTATAHKAN PERMATA;} (AL-WAAQI\’AH 56:15)

  1. Antara nikmat yang mereka dapat dari anugerah Allah s.w.t itu ialah perhiasan yang indah, mereka duduk di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata.
  2. Iaitu majlis mereka sambil duduk atas katil, takhta singahsana dari emas permata.

AYAT 16- {SAMBIL BERBARING DI ATASNYA DENGAN BERHADAP-HADAPAN.} (AL-WAAQI\’AH 56:16)

  1. Sambil berbaring dengan selesa dan berhadap antara satu sama lain; yakni berhadap muka, tiada seorang pun yang duduk di belakang orang lain atau lihat kepala orang lain.
  2. Yakni menunjukkan luas dan lapangnya majlis mereka itu sehinggakan semua boleh duduk berhadap satu sama lain.

AYAT 17- {MEREKA DILAYANI OLEH ANAK-ANAK MUDA LELAKI YANG TETAP KEKAL (DALAM KEADAAN MUDANYA), YANG SENTIASA BEREDAR DI SEKITAR MEREKA,} (AL-WAAQI\’AH 56:17)

  1. Mereka juga mempunyai pelayan yang siap-sedia berkhidmat untuk melayani keperluan mereka setiap masa.
  2. Pelayan ini ialah pemuda yang tetap kekal muda, tidak tua, tidak bertambah usia dan tidak berubah penampilan mereka.
  3. Begitulah keadaan semua ahli syurga, tidak tua & tidak akan mati, ini kerana di dalam syurga tidak ada matahari, maka tidak ada siang & malam, masa dan waktu tidak akan bergerak.

AYAT 18- {DENGAN MEMBAWA PIALA-PIALA MINUMAN DAN TEKOH-TEKOH SERTA PIALA ATAU GELAS YANG BERISI ARAK (YANG DIAMBIL) DARI SUNGAINYA YANG MENGALIR.} (AL-WAAQI\’AH 56:18)

  1. Mereka membawa piala-piala (gelas berkaki kecil) dengan tekoh yang indah.
  2. Isi kandungannya adalah berisi arak yang diambil sungai yang mengalir. Ini adalah arak yang halal tidak lagi haram.

AYAT 19- {MEREKA TIDAK MERASA PENING KEPALA DAN TIDAK PULA MABUK DENGAN SEBAB MENIKMATINYA.} (AL-WAAQI\’AH 56:19)

  1. Sifat arak yang halal ini tidak memberi darurat dan keburukan. Tidak menyebabkan pening & kemabukan!

AYAT 20- {DAN JUGA (DIBAWAKAN KEPADA MEREKA) BUAH-BUAHAN DARI JENIS-JENIS YANG MEREKA PILIH,} (AL-WAAQI\’AH 56:20)

  1. Mereka juga dihidang buah-buah dengan pelbagai pilihan yang banyak. Apa saja yang dikehendaki boleh dipilih.

AYAT 21- {SERTA DAGING BURUNG DARI JENIS-JENIS YANG MEREKA INGINI.} (AL-WAAQI\’AH 56:21)

  1. Juga daging burung yang apa saja yang mereka ingin makan.
  2. Berdasarkan ayat ini pakar diet pemakanan kata elok makan buah-buahan dulu sebelum makan makanan yang berat.
    Wallahu a\’lam.
  3. Hadis- dari Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang makna al-Kauthar.
    Maka Baginda s.a.w menjawab:
    \”Al-Kauthar adalah sebuah sungai yang dianugerahkan oleh Allah kepadaku di Syurga. Lebih putih dari susu, lebih manis dari madu, ditepinya terdapat burung yang lehernya seperti leher unta.\”
    Para sahabat bertanya, \”Alangkah nikmatnya wahai Rasulullah!
    Maka, baginda bersabda,\”Yang memakannya lebih merasakan nikmatnya berbanding yang sekadar mendengar saja.\” [HR at-Tirmizi].

AYAT 22- {DAN (MEREKA DILAYANI) BIDADARI-BIDADARI YANG CANTIK PARASNYA,} (AL-WAAQI\’AH 56:22)

  1. Mereka juga mempunyai pasangan atau pelayan dari kalangan bidadari.
    Mereka ini dicipta khas sebagai penghuni syurga.

AYAT 23- {SEPERTI MUTIARA YANG TERSIMPAN DENGAN SEBAIK-BAIKNYA.} (AL-WAAQI\’AH 56:23)

  1. Sifat dan kecantikan mereka: Indah seperti mutiara yang tersimpan sebaiknya.
  2. Yakni tidak terdedah kepada pandangan mata orang lain apatah lagi yang bukan mahram seperti kita atas dunia ini.
    Yakni tidak ada sesuatu yang dapat menggangu kesuciannya.
  3. Aurat dan maruah terjaga, tidak keluar ke sana sini tanpa keperluan seperti wanita-wanita yang bebas di atas dunia ini.

AYAT 24- {(SEMUANYA ITU) SEBAGAI BALASAN BAGI (AMAL-AMAL BAIK) YANG MEREKA TELAH KERJAKAN.} (AL-WAAQI\’AH 56:24)

  1. Ini adalah balasan yang diterima kerana amalan yang kamu buat.
  2. Walaupun kita masuk syurga dengan limpah kurnia Allah s.w.t, tetapi darjat di dalam syurga masih dikira berdasarkan amalan yang kita kerjakan di atas dunia ini!

AYAT 25- {MEREKA TIDAK AKAN MENDENGAR DALAM SYURGA ITU PERKATAAN YANG SIA-SIA DAN TIADA PULA SESUATU YANG MENYEBABKAN DOSA;} (AL-WAAQI\’AH 56:25)

  1. Di dalam syurga tidak ada bunyian atau perkataan yang sia-sia & tidak bermanfaat apatah lagi yang dusta & bohong.
  2. Mulut tidak bercakap benda yang tidak baik, telinga juga tidak mendengar benda yang tidak baik. Apatah lagi yang menyebabkan dosa, tidak ada lansung dalam syurga!
  3. Maka antara sifatnya orang yang baik itu wajib tabayyun – minta penjelasan & tathabbut- pastikan maklumat itu betul.

AYAT 26- {MEREKA HANYA MENDENGAR UCAPAN: \” SELAMAT! SELAMAT! \” (DARI SATU KEPADA YANG LAIN).} (AL-WAAQI\’AH 56:26)

  1. Mereka hanya mendengar dan mengucapkan perkataan yang baik saja.
  2. Mereka mengucapkan: \” Selamat! Selamat! {سَلَـٰمًۭا سَلَـٰمًۭا} dari satu kepada yang lain.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 10- {Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), – yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak);}- yakni orang yang cepat menerima arahan, menerima iman, maka merekalah orang yang cepat ke syurga.

i- Allah sebut tentang kedudukan mereka yang tinggi iaitu (مكانة/منزلة) serta tempat mereka yang tinggi di dalam syurga (مكان/منزل).

ii- di sini disebut keadaan dahulu sebelum tempat.
Kata pepatah: Pilih jiran dulu sebelum bina rumah. (الجار قبل الدار)

iii- sebagaimana doa Asiah isteri Firaun di dalam al-Quran:
رَبِّ ٱبْنِ لِى عِندَكَ بَيْتًۭا
{Iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: \”Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim\”;} (At-Tahriim 66:11)

iv- jadi dari ayat ini kita faham orang yang baik ialah orang yang laju dan cepat menerima Islam, menerima kebenaran.
Manakala orang yang lambat dan terakhir ialah orang yang tidak menerima Islam dan mundur ke belakang. Ikut Islam kita akan maju ke depan.

Kata Umar al-Khattab r.a: Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan sebab Islam.

  1. Ayat 14- {Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian.}- dari ayat ini ulama\’ telah membuat dua tafsiran, samada:
    i- bandingan antara umat nabi-nabi terdahulu dengan umat Nabi Muhammad s.a.w. atau;

ii- bandingan sesama umat Nabi Muhammad s.a.w, antara golongan awal (salafus-Soleh) dan golongan terkemudian selepasnya.

a) Apapun ayat ini menjadi contoh dalil kelebihan umat terdahulu atau golongan salafus-Soleh iaitu golongan yang terawal daripada umat ini; seperti golongan sahabat, tabi\’en dan selepasnya.
Umat yang kemudian in bukan tidak baik tetapi ramai yang tidak baik daripada yang baik. Kerana terlalu banyak fitnah dan kemungkaran yang berlaku.

b) ayat ini juga menjadi khabar gembira kepada kaum muslimin bahawa peluang mereka untuk menjadi golongan (ٱلسَّـٰبِقُونَ) ini masih ada peluang dan ruang, walaupun tidak ramai tetapi masih ada tempat.

Golongan dahulu mereka cepat; apabila dengar al-Quran mereka terus ikut dan beramal, dengar ajaran Nabi s.a.w terus mengamalkannya.
Kita pun hendaklah begitu juga, bersegera dan jangan menangguhkan dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan.

  1. Ayat 16- {Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.}- sambil berhadap satu sama lain.

Kata ulama\’; Antara kesempurnaan nikmat dan kegembiraan ialah apabila seseorang itu bersama orang yang disayanginya sambil menghadap dan nampak muka antara satu sama lain. Tiada orang yang melihat kepala atau belakang orang lain.

Ini juga menunjukkan betapa luasnya syurga!

  1. Ayat 17- {Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka,}- mereka dilayan oleh pemuda yang kekal muda & tidak berubah umur & penampilannya.
    Persoalan: Kenapa disebut khas sifat ini sedangkan semua benda di dalam syurga adalah kekal?

JAWAPAN :
Kerana para pemuda (وِلْدَٰنٌۭ) ini kekal muda remaja, tidak berubah atau bertambah umur mereka. Sentiasa muda remaja kekal abadi begitu. Remaja atau kanak-kanak begitulah, tidak akan tua atau dewasa, tiada perubahan.

Kerja mereka ialah berkhidmat melayan ahli syurga, khadam bagi ahli syurga yang dicipta khas.

  1. Ayat 20- {Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,}- ulama\’ kata ini dalil yang menunjukkan kita boleh pilih buah apa saja yang kita mahu.
    Bukan tertentu sahaja, apa yang tak mahu tak payah makan.
    Tidak syarat untuk makan apa yang ada saja dekat mereka. Boleh pilih sendiri; ini makna {يَتَخَيَّرُونَ}, pilih yang terbaik, yang mereka mahu dan suka.

Begitulah jika kita mahu beli buah atau apa saja, sepatutnya kita kena lihat dulu dan boleh pilih sendiri yang mahu.
Tetapi ada setengah penjual tidak membenarkannya bahkan kena ambil yang dia sudah tetapkan!
Adakalanya buah itu dicampur dengan dengan yang tidak baik dan sudah rosak.

Kita pun sebagai pembeli jangan terlalu cerewet, memicit-micit sehingga merosakkan pula buah jualan orang!
Yakni kedua pihak kena jujur dan telus dalam berjual-beli.

Insya\’ Allah kita sambung pula dalam siri yang akan datang tentang golongan yang lain pula.

Powered by BetterDocs