SURAH AL-MURSALAT : AYAT 1-7

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH DAN FADHILAT & ALLAH BERSUMPAH DENGAN ANGIN DAN MALAIKAT.

Full video : https://youtu.be/mABvyXgOkU4?si=CJzViWJ1p8KN_zqz

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Sabtu 24 Ramadhan 1444H bersamaan 15hb April 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Mursalat – سورة المرسلات
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya.
    Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-Mursalat – سورة المرسلات adalah surah ke-77 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-Insan- سورة الإنسان – surah yang kesebelas & terakhir dalam juz ke 29, mengandungi 50 ayat yang pendek-pendek.
  4. Ulama\’ tafsir mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    Surah Al-Mursalaat – سورة المرسلات yang bermakna {Utusan} yang dihantar oleh Allah s.w.t untuk menjalankan tugas.
    Ini kerana pada awal surah dan ayat-ayat seterusnya Allah s.w.t bersumpah bahawa segala yang dijanjikan-Nya tetap akan berlaku! Tidak dapat nak lari lagi.
  2. Ada juga sebahagian ulama\’ memanggilnnya { وَٱلْمُرْسَلَـٰتِ عُرْفًۭا}.
    Kata Ibnu Asyur rhm., pada zaman sahabat, surah ini masyhur dengan nama- { وَٱلْمُرْسَلَـٰتِ عُرْفًۭا}.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menegaskan bahawa apabila alam yang terbentang luas ini dihancurkan & akan diganti dengan alam baru iaitu alam Akhirat.

Kita akan melalui 3 alam iaitu:
i- alam dunia semasa hidup ini.

ii- selepas mati iaitu alam kubur yang dikenali dengan nama alam Barzakh.

iii- kemudian selepas Kiamat ada alam Akhirat yang kekal abadi.

Tambahan satu lagi zaman kita ini ada pula alam-maya.

  1. Rasul-rasul ditentukan waktunya untuk dipanggil menjadi saksi kepada umatnya & pada saat itu, setiap manusia akan menerima balasan masing-masing.
    Semoga Allah selamatkan kita dari segala perkara yang tidak baik!
  2. Allah juga mengingatkan bahawa Dia yang mengurniakan nikmat wujud kepada manusia serta Dia Yang Maha Berkuasa pula membangkitkannya semula pada hari Kiamat.

Setelah dihimpunkan segala manusia pada hari Pembalasan itu, lalu ditegaskan kepada orang yang ingkar inilah hari pemutus yang menentukan siapa yang benar & siapa yang salah!
Oleh itu jika kamu mempunyai sebarang tipu helah untuk melepaskan diri, maka cubalah!

  1. Manakala orang yang beriman akan diberi balasan nikmat yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga & bahkan tidak pernah terlintas di hati manusia!
    Semoga kita termasuk dalam golongan ini!

FADHILAT SURAH :

  1. Surah ini ayatnya turun dalam jumlah yang satu sahaja iaitu sebanyak 50 ayat sekaligus, bukan berperingkat.
  2. Dalilnya; kata Ibnu Mas\’ud r.a:
    Sewaktu kami bersama Rasulullah s.a.w di dalam sebuah gua (di Mina)- turun surah ini kepada Baginda s.a.w, lalu aku terus belajar (hafaz) surah ini. Sesungguhnya mulut Rasulullah s.a.w basah dengan ayat-ayat al-Quran.
    Aku tidak tahu apakah ayat terakhirnya samada:
    { وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱرْكَعُوا۟ لَا يَرْكَعُونَ} atau
    { فَبِأَىِّ حَدِيثٍۭ بَعْدَهُۥ يُؤْمِنُونَ}.
    [HR Ahmad, Ibnu Hibban dan lain-lain].

Boleh lihat dalam buku Makkah; Kelebihan & Sejarah tentang sejarah Gua al-Mursalat ini.

  1. Kata Ibnu al-\’Arabi rhm.: Ini adalah antara surah yang menjadi keajaiban al-Quran kerana surah ini turun semasa Rasulullah s.a.w berada di dalam gua.
  2. Surah ini juga merupakan surah yang terakhir Rasulullah s.a.w baca sebagai imam di dalam solatnya sebelum jatuh sakit.
  3. Dalilnya: Hadis riwayat Ummu al-Fadhli binti al-Haris r.a.:
    Solat terakhir Rasulullah s.a.w menjadi imam ialah solat maghrib, 4 hari sebelum wafatnya. Sewaktu solat maghrib tersebut, diriwayatkan bahawa baginda telah membaca surah Al-Mursalat. Itulah solat terakhir baginda menjadi imam. [Sahih Bukhari no. 4429, Jami\’ Tirmizi no. 308 & Sunan Nasai no. 985]
  4. Dalam satu riwayat lain kata Ummu Fadhli r.a: Ini adalah surah yang terakhir (al-Mursalat) yang aku dengar Rasulullah s.a.w baca dalam solat maghrib sebelum kewafatannya. [HR Bukhari & Muslim].

MUNASABAH SURAH AL-MURSALAT – سورة المرسلات DENGAN SURAH AL-INSAN – سورة الإنسان SEBELUMNYA;

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Insan- سورة الإنسان

  1. Dalam Surah Al-Insan Allah s.w.t memberi jaminan balasan syurga kepada golongan al-Abrar & pada akhir surah, dijanjikan azab yang cukup dahsyat disediakan bagi orang yang zalim.

ii- Dalam permulaan Surah Al-Mursalat – سورة المرسلات ini Allah s.w.t bersumpah dengan beberapa makhluk-Nya seperti angin dan malaikat bahawa apa yang Allah janjikan untuk hamba-Nya yang kafir dengan neraka & bagi orang beriman dengan syurga.
Allah sebut juga beberapa peristiwa yang akan berlaku pada hari Kiamat nanti!

  1. Dalam Surah Al-Insan Allah s.w.t sebut sedikit saja cerita tentang orang kafir yang cintakan dunia & tinggalkan akhirat tetapi cerita panjang tentang orang mukmin & golongan al-Abrar.

ii- dalam surah Al-Mursalat ini adalah sebaliknya; Allah s.w.t perincikan tentang kisah orang kafir dan hanya sebut secara ringkas & sedikit tentang orang mukmin!

Hubungan antara surah-surah ini sangat mantap, isi kandungannya konsisten & gaya bahasa yang indah tidak jemu bagi membaca.

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {الأبرار}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah Allah mahu menakutkan puak kafir & amaran kepada mereka agar jangan sekali-kali kufur.

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t bersumpah dengan beberapa makhluk-Nya bahawa Kiamat pasti akan datang tanpa syak lagi! Lalu Allah s.w.t sebut beberapa kejadian huru-hara Kiamat agar kita beringat & bersiap sedia.
  2. Allah s.w.t bawa beberapa dalil bahawa manusia akan dibangkitkan semula. Beberapa ciri-cirinya ialah penciptaan bumi & kejadian manusia itu sendiri.
  3. Allah s.w.t bawa janji buruk, azab kepada orang yang mendustakan al-Quran & Allah gambarkan bentuk azab yang disediakan bagi mereka di akhirat.
  4. Allah s.w.t gambarkan sifat orang mutaqqin, bagaimana akhir kesudahan mereka & balasan kemuliaan yang akan mereka terima di akhirat kelak.
  5. Satu keajaiban tentang orang kafir yang keras kepala, degilnya mereka tidak mahu beriman kepada Allah Azza wa Jalla.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {DEMI (MAKHLUK-MAKHLUK) YANG DIHANTARKAN BERTURUT-TURUT (MENJALANKAN TUGASNYA),} (AL-MURSALAAT 77:1)

  1. Allah s.w.t bersumpah demi makhluk-Nya (angin) yang dihantarkan berterusan untuk menjalankan tugasnya.
  2. Bagi menegaskkan bahawa hari Kiamat tetap akan berlaku maka Allah s.w.t bersumpah dengan makhluk-Nya & tugas mereka yang sedemikian tetapi tidak disebut dengan jelas apakah makhluk itu!
  3. Ada beberapa pendapat tentang apakah { وَٱلْمُرْسَلَـٰتِ} yang diutuskan Allah ini:
    i- ada ulama\’ kata angin.
    ii- ada yang kata malaikat.
    iii- ada yang kata para rasul yang diutuskan.
    iv- ada yang kata ayat 1-3 tentang angin.
    v- ada yang kata ayat 4-6 tentang malaikat.
  4. Firman Allah s.w.t tentang beberapa tugas angin:
    i- ejen pembiak tumbuhan/proses pendebungaan:
    {Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; } (Al-Hijr 15:22)

ii- angin yang tolak awan:
{Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu.} (Al-A\’raaf 7:57)

AYAT 2- {JUGA YANG MEREMPUH MARA DENGAN SEKENCANG-KENCANGNYA,} (AL-MURSALAAT 77:2)

  1. Iaitu angin yang kencang (ٱلْعَـٰصِفَـٰتِ)- ribut taufan.
  2. Kerana itu ada riwayat Rasulullah s.a.w apabila melihat angin terus berdoa:
    \” اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا رِيَاحًا وَلا تَجْعَلْهَا رِيحًا –
    Jadikanlah ia angin yang membawa kebaikan dan jangan jadikan ia angin yang membawa kemusnahan.\”
  3. Angin ini ada banyak jenis, ada yang sepoi-sepoi bahasa dan lembut (الرياح), ada yang kencang & memusnahkan seperti ribut & taufan (الريح).

AYAT 3- {DAN DEMI (MAKHLUK-MAKHLUK) YANG MENYEBARKAN (PENGAJARAN DAN PERINGATAN) DENGAN SEBARAN YANG SESUNGGUH-SUNGGUHNYA,} (AL-MURSALAAT 77:3)

  1. Serta demi makhluk (malaikat) yang telah menyebarkan apa yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t. Ada ulama\’ kata yang dimaksudkan ini ialah malaikat!
  2. Kata Ibnu Asyur rhm.:
    i- Ayat 1 & 2 adalah tentang sifat angin,
    ii- manakala ayat 3, 4 & 5 adalah untuk malaikat!

AYAT 4- {SERTA YANG MEMISAHKAN (ANTARA YANG BENAR DENGAN YANG SALAH) DENGAN PEMISAHAN YANG SEJELAS-JELASNYA,} (AL-MURSALAAT 77:4)

  1. Iaitu malaikat yang bawa maklumat & ilmu yang memisahkan antara haq & batil.
    Iaitu Jibril a.s yang bawa wahyu kepada para anbiya\’.

AYAT 5- {LALU MENYAMPAIKAN PENGAJARAN DAN PERINGATAN (KEPADA MANUSIA),} (AL-MURSALAAT 77:5)

  1. Mereka malaikat juga menyampaikan wahyu Allah kepada rasul-rasul-Nya yang memperingatkan kepada mereka perkara haq yang mesti perjuangkan & diamalkan.

AYAT 6- {UNTUK MENGHAPUSKAN KESALAHAN ORANG-ORANG YANG BERTAUBAT SERTA MEMPERBAIKI KEADAAN DIRINYA, DAN UNTUK MENAKUTKAN ORANG-ORANG YANG INGKAR – DERHAKA;} (AL-MURSALAAT 77:6)

  1. Wahyu yang dibawa oleh malaikat itu juga untuk menegakkan hujjah ke atas makhluk-Nya & memberi amaran tentang azab-Nya bagi makhluk-Nya yang keras kepala tidak mahu beriman!

AYAT 7- {(SUMPAH DEMI SUMPAH) SESUNGGUHNYA SEGALA YANG DIJANJIKAN KEPADA KAMU TETAP BERLAKU.} (AL-MURSALAAT 77:7)

  1. Sumpah demi sumpah ini bahawa semua yang Allah s.w.t janjikan itu benar & akan berlaku tanpa sebarang syak & keraguan.
  2. Iaitu untuk menguatkan hujjah bahawa Kiamat akan berlaku, hari perhitungan & pembalasan akan berlaku, maka tunggu ambillah apakah nasib kamu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Demi (makhluk-makhluk) yang dihantarkan berturut-turut (menjalankan tugasnya),}- Allah s.w.t hantar utusan-Nya secara berturut-turut (عُرْفًۭا).

Kata ulama\’ utusan itu ada beberapa jenis:
i- dalam bentuk keagamaan yang diredhai-Nya seperti hantar malaikat kepada rasul-Nya lalu mereka menyampaikan tugasnya, ini adalah utusan dari sudut agama.

ii- utusan dari sudut umum seperti Allah hantar malaikat hafazah untuk menjaga kita manusia.

iii- Allah hantar syaitan untuk menyesatkan puak kafir!

  1. Ayat 2- {Juga yang merempuh mara dengan sekencang-kencangnya,}- utusan yang Allah hantar ini sangat laju & kencang pergerakannya (ٱلْعَـٰصِفَـٰتِ).

Ini samada angin yang kencang yang datang merempuh atau malaikat yang turun naik dari langit & bumi dengan laju dan kencang ketika menjalankan tugas mereka.

  1. Ayat 3- {Dan demi (makhluk-makhluk) yang menyebarkan (pengajaran dan peringatan) dengan sebaran yang sesungguh-sungguhnya,} – ini untuk menyatakan wahyu Allah s.w.t itu sudah tersebar luas di muka buni ini.

Malaikat bawa dari Allah, disampaikan kepada para rasul, rasul-rasul itu menyampaikan kepada umat mereka & Rasulullah s.a.w kepada seluruh manusia & jin.

Maka tiada alasan dengan kejahilan atau tidak tahu lagi tentang Islam atau tentang Rasulullah s.a.w yang bawa dakwah & ajaran agama ini! Tidak ada hujjah lagi & tidak akan diterima bagi mereka yang lahir dalam negara Islam apatah lagi dalam keluarga Islam!
Risalah sudah tersebar, tidak dapat menafikan lagi bahawa dia tidak tahu!

Kecuali orang yang memang tidak sampai sungguh dakwah ini kepadanya, maka kita kena ajarlah!

  1. Ayat 5- {Lalu menyampaikan pengajaran dan peringatan (kepada manusia),}- kerja malaikat & rasul adalah untuk menyampaikan pengajaran & peringatan kepada manusia!

Malaikat ini kerjanya turun naik & pergi mari, seperti malaikat peronda yang ada di mana-mana, dia akan melawat ke majlis ilmu, masjid dan di mana saja. Kemudian akan menulis & menghantar laporannya.

Hadis Rasulullah s.a.w:
وصلُّوا عليَّ فإنَّ صلاتَكُم تبلغُني حَيثُ كنتُمْ

Dan berselawatlah ke atasku, sesungguhnya selawat kamu akan sampai kepadaku dimana sahaja kamu berada.\” (HR Abu Daud)
Yakni malaikat perondalah ini yang akan sampaikannya.

Sekarang ini tidak sempat malaikat membuat laporan, tetapi manusia sendiri yang menyebarkan segala perbuatannya, yang baik atau buruk, sebentar saja seluruh dunia boleh melihatnya!

  1. Ayat 6- {Untuk menghapuskan kesalahan orang-orang yang bertaubat serta memperbaiki keadaan dirinya, dan untuk menakutkan orang-orang yang ingkar – derhaka;} – kata ulama\’ ayat ini menunjukkan betapa sempurnanya keadilan Allah s.w.t, betapa ihsan dan belas kasihan Allah s.w.t terhadap hamba-Nya.
    Jika mereka buat salah lalu insaf & segera bertaubat maka Allah s.w.t akan ampun & hapuskan dosanya { عُذْرًا}.

Kenapa Rasulullah s.a.w memilih sifat Allah {العفو} untuk berdoa-
اللَّـهُـمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُـحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: \”Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.\”

Beza antara makna al-Ghafur (الغفور) & al-Afwa (العفو):
i- Ghafur maknanya akan maafkan, tetapi kesannya dan perasaan nak marah tidak suka masih ada. Jika Allah maafkan, mungkin dalam rekodnya masih ada, wallahu a\’lam.

ii- tetapi al-Afuww- maaf & hapuskan segalanya, tiada ingatan & kesannya lagi.

Betapa sempurnanya keadilan dan ihsan Allah kepada kita cuma kita kadang-kadang sombong berat mulut untuk beristighfar & minta ampun kepada Allah!

Allah s.w.t juga sebut dalam ayat { نُذْرًا}- yakni jika kamu tidak hirau & tak dengar juga selepas segala ingatan & amaran ini maka itu adalah salah kamu sendiri bukan salah orang lagi!

HUKUM :

Menutup mulut (seperti pakai mask) semasa solat adalah dilarang jika tiada keperluan (batuk, selesema teruk dan seumpamanya), bagi lelaki dan perempuan! Jika pakai mask, nak solat kena buka melainkan orang yang menguap boleh tutup mulutnya sekejap, atau jika bersin.
Jika tidak apa-apa maka ia adalah makruh & dilarang!

Powered by BetterDocs