SURAH AT-TAHRIM : AYAT 1-2

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH & TEGURAN KEPADA NABI S.A.W DAN CARA MELEPASKAN SUMPAH.

Full video : https://youtu.be/ZW9evG7uAYk

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Sabtu 28 Jumadal Thani 1444H bersamaan 21hb Januari 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah At-Tahrim – سورة التحريم
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah At-Tahrim adalah surah ke-66 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-Talaq – dalam juz ke 28, mengandungi 12 ayat. Termasuk dalam kumpulan surah Mufassal (المفصل), iaitu surah yang pendek, iaitu sedikit ayatnya.
  4. Ijma\’ ulama\’ menukilkan bahawa surah ini Madaniyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
    Kerana ia menceritakan tentang zaujat Rasulullah s.a.w para Ummul Mukminin yang telah berkumpul di Madinah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah At-Tahrim – سورة التحريم yang bermakna {Mengharamkan} kerana pada awal surah ini Allah s.w.t menegur Rasulullah s.a.w yang mengharamkan atas dirinya iaitu menyekat sesuatu yang halal ke atas dirinya.
    Untuk menjaga hati isterinya, Rasulullah s.a.w telah bersumpah untuk tidak akan makan atau buat sesuatu yang asalnya halal baginya.

ii- lalu dalam ayat ini Allah s.w.t terus menegur Rasulullah s.a.w. bahawa perbuatannya itu salah.

iii- perkara yang mahu ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w itu TIDAK disebut dalam al-Quran tetapi ada disebut dalam hadis tentang sebab turun ayat yang akan kita dengar nanti.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menerangkan tentang sebahagian isteri-isteri Rasulullah yang terlanjur merancang sesuatu perkara kerana didorong oleh perasaan cemburu terhadap madunya yang lain sehingga menimbulkan satu masalah yang menyusahkan Rasulullah s.a.w.
    Perbuatan mereka itu ditegur oleh Allah s.w.t dan diarahkan untuk mereka bertaubat.
  2. Setelah menerangkan tentang perihal para isteri Nabi s.a.w dan memberi ingat kepada mereka tentang perbuatan menyalahi Nabi s.a.w, lalu diingatakan kepada seluruh umat Islam untuk menyelamatkan diri & keluarga masing-masing dari melanggar perintah agama.

Setiap seorang wajib mempelajari dan mengajar anak-isteri serta keluarganya akan ajaran & adab peraturan Islam supaya dia dan keluarganya terselamat dari kemurkaan Allah & azab-Nya.

  1. Kemudian mereka diperintahkan untuk bertaubat kepada Allah s.w.t dengan taubat nasuha; semoga mereka diampunkan dan dibersihkan daripada kotoran dosa.
  2. Kemudian Allah perintahkan Rasulullah s.a.w supaya berjihad menentang orang kafir yang menceroboh dan menyekat perkembangan Islam. Juga supaya Baginda bertindak terhadap orang munafiq dengan mengenakan hukum yang sesaui dengan perbuatan yang mereka lakukan.
  3. Surah ini diakhiri dengan diberikan dua misal perbandingan:
    i- bagi orang-orang kafir mengenai dua orang wanita yang telah ditakdirkan menjadi kafir walaupun mereka isteri para nabi iaitu isteri Nabi Nuh & Nabi Lut a.s

ii- serentak itu diberi juga misal perbandiangan bagi orang-orang yang beriman iaitu tentang dua orang wanita yang telah ditakdirkan menjadi orang yang beriman, iaitu isteri Firaun- Sayyidah Asiah & Sayyidah Maryam, ibu Nabi Isa a.s.

Meskipun mereka berada di kalangan orang yang kafir tidak beriman. Seperti Asiah yang hidup bersama Firaun yang kejam di istananya yang gah.

Itulah keajaiban taqdir Allah s.w.t ke atas hamba-Nya, jangan rasa pelik kuasa Allah s.w.t mengatasi segalanya.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah Allah nyatakan beberapa pedoman, panduan yang berkait dengan keluarga.

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah ceritakan tentang apa yang berlaku antara Rasulullah s.a.w dan beberapa orang isterinya iaitu Sayyidah Aisyah, Hafsah dan teguran Allah s.w.t terhadap Rasulullah s.a.w & isteri-isterinya yang mulia. Allah s.w.t juga mempertahankan Nabi-Nya s.a.w.
  2. Allah tujukan seruan kepada orang mukmin dan Allah perintahkan kepada mereka agar manjaga diri & keluarga daripada api neraka yang dahsyat.
  3. Allah perintahkan untuk kita bertaubat dengan taubat nasuha, taubat yang benar-benar taubat.
    Serta Allah nyatakan kesannya yang baik; sesiapa yang bertaubat Allah s.w.t ampunkan dosanya dan akan masukkannya ke dalam syurga.

Ya Allah jadikan kami dari golongan yang bertaubat (من التوابين) dan ahli syurga.

  1. Allah perintah Nabi s.a.w untuk berjihad, berperang melawan orang kafir dan munafiq.
  2. Ditutup surah ini dengan Allah buat bandingan tentang dua bandingan:
    i- bandingan bagi orang yang beriman iaitu isteri Firaun yang kafir, Asiah yang walaupun duduk dalam istananya beriman kepada Allah s.w.t! Allah tampar muka Firaun yang angkuh dan sombong, orang paling dekat dengan dia beriman, Musa a,s dibawa dan dibela dalam istananya.
    Serta tentang Maryam binti Imran ibu kepada Nabi Isa a.s.

ii- serta bandingan yang menyedihkan tentang dua orang lagi wanita iaitu isteri nabi Nuh & Isteri Nabi Lut yang kafir.

Begitulah walaupun isteri tuan guru, pak Syeikh atau pak lebai jika tidak belajar, jika tidak ikut apa yang dibawa oleh al-Quran dan Rasulullah s.a.w, mereka tidak akan ada jaminan untuk selamat.

MUNASABAH AT-TAHRIM- – سورة التحريم DENGAN SURAH AT-TALAQ – سورة الطلاق SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah at-Talaq dengan Surah At-Talaq.

  1. Dalam Surah At-Talaq & surah at-Tahrim ini Allah s.w.t mulakan dua surah ini dengan seruan yang ditujukan kepada Nabi s.a.w, dengan menyebut: { يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ}.
    Yang pertama apabila kamu ceraikan seorang wanita; yang kedua kenapa haramkan apa yang Allah halalkan?
  2. Kedua Surah ini ada kaitan yang sama iaitu dua-duanya membincangkan tentang hukum yang berkait dengan wanita:
    i- surah at-Talaq tentang hukum perceraian dan iddah wanita, haknya dalam iddah seperti nafkah tempat tinggal, elok perhubungan dan lain-lain.

ii- dalam surah at-Tahrim pula Allah s.w.t ceritakan beberapa sikap sebahagian wanita dari kalangan Ummahatul-Mukminin, para isteri Rasulullah s.a.w serta bagaimana Baginda melayan mereka dengan baik dan lemah-lembut, penuh nasihat & bimbingan.

  1. Surah at-Talaq berkait dengan perceraian, iaitu pengharaman semula selepas penghalalan. Sebelum kahwin haram, selepas kahwin halal, apabila tidak serasi boleh bercerai, selepas bercerai maka haram semula.

ii- dalam surah at-Tahrim ini adalah pengharaman apa yang dihalalkan Allah s.w.t melalui sumpah (al-Ila\’).
-Serta menamatkan pertikaian di antara sebahagian daripada isteri Nabi s.a.w, maka dibawa surah ini untuk membesarkan kedudukan para isteri Nabi s.a.w.

-Serta peranan & kedudukan wanita yang amat besar iaitu tentang dua wanita yang beriman walaupun duduk dengan kafir & dua orang wanita yang kafir walaupun menjadi isteri dan duduk dengan Nabi a.s.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 1- {WAHAI NABI! MENGAPA ENGKAU HARAMKAN (DENGAN BERSUMPAH MENYEKAT DIRIMU DARIPADA MENIKMATI) APA YANG DIHALALKAN OLEH ALLAH BAGIMU, (KERANA) ENGKAU HENDAK MENCARI KEREDAAN ISTERI-ISTERIMU? (DALAM PADA ITU, ALLAH AMPUNKAN KESILAPANMU ITU) DAN ALLAH SEMEMANGNYA MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AT-TAHRIM 66:1)

  1. SEBAB NUZUL :
    Ayat ini sehingga ayat 5 membayangkan tentang kisah yang diceritakan dalam hadis Bukhari tentang Rasulullah s.a.w yang selalu singgah untuk minum madu yang ada banyak di rumah salah seorang isterinya Sayyidah Zainab bt Jahsy.
    Maka hal ini menimbulkan cemburu dihati UM Aisyah r.a. Kita lihat hadis yang diriwayatkannya sendiri.
  2. Dari UM Aisyah R.A berkata:

كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم يشرَبُ عسلًا عِندَ زينبَ بنتِ جحشٍ، ويمكُثُ عِندَها، فواطَيتُ أنا وحفصَةُ على : أيَّتُنا دخَل عليها فلتقُلْ له : أكَلتَ مَغافيرَ، إني أجِدُ منك رِيحَ مَغافيرَ، قال: (لا، ولكني كنتُ أشرَبُ عسلًا عِندَ زينبَ بنتِ جحشٍ، فلن أعودَ له، وقد حلَفتُ، لا تُخبِري بذلك أحدًا

Maksudnya: \”Rasulullah S.A.W meminum madu di rumah Zainab binti Jahsy R.A (isteri Nabi S.A.W) dan Baginda S.A.W duduk sekejap dirumahnya (rumah Zainab).
Lalu aku (Aisyah R.A) dan Hafsah R.A berpakat untuk mengatakan sesiapa di antara kita yang bertemu dengan Rasulullah S.A.W dahulu perlu berkata kepada Baginda S.A.W:
Adakah engkau makan buah Maghafir? Sesungguhnya aku mendapati bau Maghafir (sejenis makanan yang berbau) daripada engkau?\”

Maka Rasulullah S.A.W bersabda: \”Tidak, aku telah meminum madu di tempat Zainab binti Jahsy, namun aku tidak akan kembali lagi padanya.

Aku telah bersumpah dan janganlah engkau menyampaikan hal ini kepada seorang pun\”. [HR al-Bukhari & Muslim].

Ini kerana Rasulullah s.a.w tidak suka jika mulutnya berbau tidak elok, kerana Jibril a.s selalu turun untuk menyampaikan wahyu kepada Baginda s.a.w.

Setelah itu, turunnya ayat Allah s.w.t ini:
{Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu.}
Sehingga firman Allah S.W.T: {Serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman.}

Lalu Baginda S.A.W diminta untuk membayar kafarah di atas sumpahnya dan kembali minum madu.

ii- kisah atau sebab kedua ialah tentang hadis ini:
Kisah ini telah diriwayatkan atau diceritakan oleh Dhahhak R.A:

أَنَّ حَفْصَةَ أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ، زَارَتْ أَبَاهَا ذَاتَ يَوْمٍ وَكَانَ يَوْمَهَا، فَلَمَّا جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَرَهَا فِي الْمَنْزِلِ، أَرْسَلَ إِلَى أَمَتِهِ مَارِيَةَ الْقِبْطِيَّةِ، فَأَصَابَ مِنْهَا فِي بَيْتِ حَفْصَةَ، وَجَاءَتْ حَفْصَةُ عَلَى تِلْكَ الْحَالِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَتَفْعَلُ هَذَا فِي بَيْتِي وَفِي يَوْمِي؟ قَالَ: «فَإِنَّهَا عَلَيَّ حَرَامٌ، وَلَا تُخْبِرِي بِذَاكَ أَحَدًا» . فَانْطَلَقَتْ إِلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا فَأَخْبَرَتْهَا بِذَلِكَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: {يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ}إِلَى قَوْلِهِ: {وَصَالِحُ الْمُؤْمِنِينَ} فَأُمِرَ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْ يَمِينِهِ، وَيُرَاجِعَ أَمَتَهُ\”.

Maksudnya: \”Bahawa Hafsah telah menziarahi ayahnya pada suatu hari dan ketika itu adalah gilirannya bersama Rasulullah S.A.W. Apabila Rasulullah S.A.W pulang ke rumah, Baginda S.A.W tidak melihatnya di rumah.

Kemudian Baginda S.A.W mengutuskan kepada hambanya Mariah al-Qibtiyyah. Setelah itu, Rasulullah S.A.W telah bersama dengannya di rumah Hafsah (menggaulinya).
Tidak lama kemudian, Hafsah pulang ketika Rasulullah S.A.W dalam keadaan tersebut.
Hafsah berkata: \”Wahai Rasulullah S.A.W, adakah engkau melakukan hal ini di rumahku dan ketika giliranku?\”

Maka Rasulullah S.A.W menjawab: \”Sesungguhnya dia (Mariah) haram ke atasku dan janganlah engkau memberitahu kepada sesiapa akan hal ini\”.

Hafsah keluar ke rumah Aisyah R.A lalu menceritakan apa yang telah berlaku.

Setelah itu, turunnya ayat Allah S.W.T: {Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu.} sehingga firman Allah S.W.T: {Serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman.}

Lalu Baginda S.A.W diminta untuk membayar kafarah di atas sumpahnya dan kembali kepada hambanya\”. [HR an-Nasa\’ei & Ibnu Majah]

  1. Maka yang mana satu sebab turun ayat ini?
    Pendapat ulama\’:
    i- Kisah kedua iaitu kisah Hafsah & Mariyah lebih benar & terpilih iaitu ayat ini turun dengan sebab Mariyah.
    Pendapat ini disokong oleh Ibnu Athiyah, Ibnu Hajar rhm. & ulama\’ mutakhir seperti Al-Qasimi.

ii- Manakala Ibnu Kathir berkata: Boleh jadi kedua peristiwa ini terjadi dan boleh dijamakkan .
Ulama\’ mutakhir seperti Asy-Syaukani juga setuju dan mengatakan bahawa elok dijamakkan dua kisah ini!

  1. Hukum ini juga disebut dalam firman Allah s.w.t:
    {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.} [Al-Maidah: 87].
  2. Kerana Rasulullah s.a.w itu seorang nabi yang maksum (terpelihara daripada dosa dan kesalahan) maka jika tersilap sikit Allah s.w.t akan terus menegurnya. Dalam kes ini Allah s.w.t menegur Rasulullah s.a.w yang mengharamkan sesuatu Allah halalkan semata-mata kerana hendak mencari keredhaan isteri-isterinya.
  3. Kerana benda itu telah berlaku maka Allah nyatakan Allah telah ampunkan kesilapanmu itu dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani bagi hamba-Nya yang insaf & bertaubat.
    Ini adalah satu khabar gembira bagi orang mukmin.

AYAT 2- {SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MENETAPKAN BAGI KAMU (WAHAI NABI DAN UMATMU, UNTUK) MELEPASKAN DIRI DARI SUMPAH KAMU (DENGAN MEMBAYAR DENDA – KAFFARAH); DAN ALLAH IALAH PELINDUNG YANG MENTADBIRKAN KEADAAN KAMU, DAN IA MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AT-TAHRIM 66:2)

  1. Oleh kerana Rasulullah s.a.w telah bersumpah secara tersilap, maka Baginda kena melepaskan diri dari sumpahnya dengan membayar denda – kaffarah. Inilah ketetapan yang Allah buat ke ats Rasulullah s.a.w dan umatnya.
  2. Allah s.w.t ajar cara melepaskan diri- membatalkan (kaffarah) daripada sumpah yang tidak benar atau tersalah dalam firman-Nya ini:
    {Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.
    Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu,
    atau memberi pakaian untuk mereka,
    atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari.
    Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur.} [Al-Maidah: 89].
  3. Kaffarahnya ialah dengan:
    i- memberi makan dengan kenyang kepada 10 orang miskin.
    ii- atau memberi pakaian kepada 10 orang miskin.
    iii- atau membebaskan seorang hamba.
    iv- jika tidak ada atau tidak mampu maka kena puasa selama tiga hari dengan niat bayar kaffarh sumpah!
  4. Itulah cara untuk melepaskan sumpah jika:
    i- sumpah itu tidak dapat ditunaikan, sesiapa yang bersumpah perlu membayar kafarah. Ini kerana sumpah wajib ditunaikan, jika tidak berdosa.

ii- jika sumpah yang dilafazkan itu bercanggah dengan hukum syarak atau boleh memudaratkan diri atau keluarga (seperti kisah Rasulullah s.a.w ini), disunatkan untuk membatalkannya dengan membayar kafarah juga.

  1. Tetapi ingat jangan main-main dengan sumpah menggunakan nama Allah. Sumpah palsu adalah dikutuk oleh Allah s.w.t.

Sumpah yang \’lagha\’ ini adalah kebiasaan kita. Ia sebagaimana kebiasaan dalam kalangan orang Arab yang selalu menyebut lafaz sumpah seperti \’La Wallahi\’, \’Bala Wallah\’ atau seumpamanya\’.
Mereka menggunakan perkataan itu untuk menekankan suatu perkara, bukannya bersumpah.

  1. Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَن حَلَفَ علَى يَمِينٍ، فَرَأَى غَيْرَها خَيْرًا مِنْها، فَلْيُكَفِّرْ عن يَمِينِهِ، ولْيَفْعَلْ

\”Sesiapa yang bersumpah (untuk melakukan sesuatu), kemudian dia berpendapat bahawa keadaan (perkara) sebaliknya lebih baik daripada melakukan sumpah itu, maka hendaklah dia membayar kaffarah sumpahnya dan bolehlah dilakukan (apa yang dianggapnya lebih baik itu).\” [HR Muslim].

Seperti sumpah memutuskan silaturrahim- kena batalkan dengan bayar kaffarah.

  1. Pada akhir ayat Allah nyatakan Allah s.w.t Pentadbir, Pembela dan Penjaga kita, maka kita serahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah s.w.t!
  2. Manakala sumpah palsu ((اليمين الغموس adalah sesuatu yang buruk dan dibenci Allah s.w.t, dia tahu dia tidak mampu buat tetapi dia bersumpah juga, main-manin dengan nama Allah.
    Ada ulama\’ kata ia tidak dapat dibatalkan dengan bayar kaffarah!
  3. Allah s.w.t Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana, tiada siapa boleh mempertikaikan hukum & undang-undang Allah s.w.t, semuanya ada hikmah dan maslahah untuk hamba-Nya dalam pentadbiran dan hukum-Nya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Wahai Nabi!}- pertamanya kita kena tahu bahawa Allah s.w.t tidak akan panggil Rasulullah s.a.w dengan namanya (wahai Muhammad) tetapi dengan gelarannya samada {Wahai Nabi-يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ } atau {Wahai Rasul- يَـٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ}.

Apakah pula bezanya antara dua panggilan ini??

JAWAPAN :

i- Jika Allah mahu perintahkan Rasulullah s.a.w menyampaikan sesuatu perintah atau hukum kepada umatnya maka Dia akan gunakan lafaz {Wahai Rasul – يَـٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ}.

ii- Tetapi jika mahu beritahu hukum & undang-undang khas kepada Baginda s.a.w seperti hukum talak & sumpah dalam kes ini, maka Allah s.w.t akan guna panggilan {Wahai Nabi-يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ } – yakni ayat khas & peribadi untuk Rasulullah s.a.w & keluarganya.

Begitu halus dan telitinya lafaz dalam al-Quran yang Allah s.w.t gunakan, segalanya ada maksud dan hikmah yang tersirat.

  1. Ayat 1- {Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu,}- ayat ini menjadi peringatakan dan larangan kepada orang mukmin jangan menghalalkan sesuatu yang haram atau mengharamkan sesuatu yang halal dengan mudah.

Apatah lagi untuk mencari keredhaan manusia seperti isteri atau ketua. Jika ia tidak ada kebaikan untuk agama jangan sekali-kali bersumpah, ia adalah perkara yang tidak patut dibuat!

  1. Ayat 1- {Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu}- ulama\’ Feqah kata sesiapa yang mengharamkan sesuatu yang halal maka ia akan menjadi seperti satu sumpah.

INGAT :

Sesiapa yang mengharamkan benda halal tidak akan jadi haram tetapi dia kena bayar fidyah sebagai kaffarah sumpahnya.

  1. Ayat 1- {Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu?}- Rasulullah s.a.w buat sumpah ini kerana Baginda mahu menjaga hati para isterinya serta tidak mahu gaduh-gaduh, mahu mencari keharmonian dalam rumahtangganya!
    Bukan kerana mahu melawan hukum Allah s.w.t!

Tetapi ia tetap tidak boleh maka Allah s.w.t tegur Rasulullah s.a.w dan Baginda kena bayar kaffarah untuk melepaskan kembali sumpah itu.

  1. Ayat 2- {Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi kamu (wahai Nabi dan umatmu, untuk) melepaskan diri dari sumpah kamu (dengan membayar denda – kaffarah);}- Allah s.w.t fardhukan ke atas Rasulullah s.a.w dan semua umatnya yang telah tersalah membuat sumpah untuk bayar kaffarah untuk merungkai dan membatalkan balik sumpah itu apabila telah sedar bahawa ia tersalah dan menyesal!

Tetapi ia hanya untuk sumpah yang benar, manakala sumpah palsu (اليمين الغموس) tiada jalan keluar daripadanya, terimalah kamu akibatnya.

Powered by BetterDocs