SURAH AL-MURSALAT : AYAT 8-15

\"\"

KEADAAN BINTANG, LANGIT DAN BUKIT PADA HARI KIAMAT, HARI IJTIMA\’ PARA RASUL & PENDUSTA DIBINASAKAN.

Full video : https://youtu.be/T84VPYyHRH4?si=5lOSFks5Jp6U6V1O

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan beberapa fenomena pada hari Kiamat iaitu keadaan bintang, langit dan bukit.
  2. hari ijtima\’ para rasul, Allah s.w.t kumpulkan mereka untuk menjadi saksi ke atas umat-umat mereka yang dahulu bagaimana; ada yang beriman ada yang kufur, ada yang menerima ada yang menentang melawan!
    Semua akan didedahkan & akan dihukum!
  3. Maka pada hari itu para pendusta dibinasakan.

AYAT 8- {OLEH ITU, APABILA BINTANG-BINTANG (BINASA DAN) HILANG LENYAP;} (AL-MURSALAAT 77:8)

  1. Allah s.w.t gambarkan beberapa fenomena pada hari Kiamat, iaitu:
    i- apabila bintang-bintang binasa dan hilang lenyap cahayanya!

AYAT 9- {DAN APABILA LANGIT TERBELAH;} (AL-MURSALAAT 77:9)

  1. Langit pula terbelah & terbuka habis.
  2. Sebelum ini langit tidak boleh dinaiki dengan sewenang-wenangnya, ia mempunyai pintu yang dijaga oleh malaikat pada setiap lapisannya!
  3. Hatta ketika Jibril a.s bawa Rasulullah s.a.w naik ke langit ketika peristiwa Isra\’ Mikraj kena minta izin untuk naik!

AYAT 10- {DAN APABILA GUNUNG-GANANG HANCUR LEBUR BERTERBANGAN;} (AL-MURSALAAT 77:10)

  1. Segala bukit & gunung-ganang yang besar dan kukuh sebelum ini juga hancur lebur lalu berterbangan seperti debu.
  2. Munasabah ayat:
    i- dalam surah yang lepas Allah s.w.t ceritakan bahawa matahari & bulan dikumpulkan sekali & hilang cahayanya!

ii- dalam ayat ini diceritakan tentang kebinasaan bintang, langit & gunung pula.

AYAT 11- {DAN APABILA RASUL-RASUL DITENTUKAN WAKTUNYA UNTUK DIPANGGIL MENJADI SAKSI TERHADAP UMATNYA, (MAKA SUDAH TENTU MANUSIA AKAN MENERIMA BALASAN MASING-MASING).} (AL-MURSALAAT 77:11)

  1. Pada hari itu juga para rasul dikumpulkan untuk menjadi saksi bahawa mereka telah menyampaikan dakwah yang diwahyukan kepada umat masing-masing!
  2. Firman Allah s.w.t tentang ini juga:
    {(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya lalu bertanya: \”Apakah penerimaan yang diberikan kepada kamu (oleh umat-umat kamu dahulu, ketika kamu menyampaikan seruan agama Allah)?\” Rasul-rasul itu menjawab: \”Tidak ada bagi kami pengetahuan yang sah tentang itu, (pengetahuan yang tepat adalah tertentu bagiMu), kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala perkara yang ghaib\”} (Al-Maaidah 5:109)
  3. Kita akan menjadi saksi bahawa semua para rasul itu telah menjalankan tugas mereka menyampaikan ajaran & dakwah kepada kaumnya walaupun mereka menafikannya!

AYAT 12- { (JIKA DITANYA): KE HARI YANG MANAKAH (PERKARA-PERKARA YANG BESAR) ITU DITANGGUHKAN?} (AL-MURSALAAT 77:12)

  1. Lalu ditanya sehingga bilakah para rasul itu akan berkumpul?

AYAT 13- { (JAWABNYA): KE HARI PEMUTUSAN HUKUM.} (AL-MURSALAAT 77:13)

  1. Allah menjawabnya: iaitu sehingga pada hari pemutusan hukuman (لِيَوْمِ ٱلْفَصْلِ), iaitu apabila Allah s.w.t mahu memutuskan perbicaraan (hisab) kepada hamba-Nya, pada hari Dia mahu menjatuhkan hukuman & pembalasan kepada mereka.
  2. Manusia terbahagi kepada dua; yang beriman & yang kufur.
    Yang beriman juga terbahagi kepada beberapa tahap pula: Golongan yang terawal, al-Muqarrabun, al-Muttaqqin, al-Abrar dan lain-lain.
  3. Ya Allah semoga kita termasuk dalam golongan yang diredhai Allah s.w.t. dan minta perlindungan dari Allah dari termasuk dalam golongan yang dimurkai Allah!
  4. Firman Allah s.w.t juga:
    {Inilah hari pemutusan hukum (yang menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah). Kami himpunkan kamu bersama orang-orang yang terdahulu (dari kamu).} (Al-Mursalaat 77:38)

AYAT 14- {DAN APA JALANNYA ENGKAU DAPAT MENGETAHUI KEDAHSYATAN HARI PEMUTUSAN HUKUM ITU?} (AL-MURSALAAT 77:14)

  1. Kemudian Allah s.w.t tanya { وَمَآ أَدْرَىٰكَ} bagaimanakah kamu dapat mengetahui kedahsyatan hari pemutusan hukum itu? Apakah ia?
  2. Firman Allah s.w.t juga:
    {Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?
    Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?
    (Hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain, dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.} (Al-Infitaar 82: 17-19)
  3. Kita akan disoal akan segala perbuatan & amalan kita atas dunia ini!
    Antaranya dari mana kamu dapat harta kamu & kepada apa kamu belanjakannya??
    Ilmu yang kamu dapat, belajar tinggi- apakah kamu beramal & manfaatkannya?
    Umur yang Allah beri apa yang kamu buat dengannya!
  4. Ingatlah dosa akan melahirkan dosa, maksiat akan melahirkan maksiat- Allahu al-Musta\’an.
  5. Firman Allah s.w.t juga:
    {Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya),
    Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam?} (Al-Mutaffifiin 83:6)

AYAT 15- {KECELAKAAN BESAR, PADA HARI ITU, BAGI ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN (APA YANG DIJANJIKAN OLEH RASULNYA)!} (AL-MURSALAAT 77:15)

  1. Ini adalah ayat yang diulang beberapa kali dalam surah ini setiap lepas episod.
    Ini yang pertama- Allah kata kecelakaan besar pada hari itu bagi orang yang mendustakan Rasulullah s.a.w & kebenaran.
  2. Iaitu azab, kebinasaan & kecelakaan bagi orang yang mendustakan ayat-ayat Allah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 8- {Oleh itu, apabila bintang-bintang (binasa dan) hilang lenyap;}- kata ulama\’ apabila disebut {apabila- فَإِذَا}- ia menunjukan sesuatu yang akan berlaku dengan pasti!

Ia adalah jawapan kepada desakan pertanyaan orang kafir dalam ayat sebelum ini yang bertanya bilakah akan berlaku Kiamat & kebangkitan semula ini!
Mereka memerli dan bertanya dengan niat menyakiti & mendustakan Rasulullah s.a.w.

Maka Allah s.w.t jawab bahawa hari itu akan berlaku dan bintang-bintang akan hilang cahayanya, langit terbelah, bukit-bukau hancur! Jika kamu tidak mahu percaya juga tunggulah!

  1. Ayat 8- {Oleh itu, apabila bintang-bintang (binasa dan) hilang lenyap;}
    Ayat 9- {Dan apabila langit terbelah;}
    Ayat 10- {Dan apabila gunung-ganang hancur lebur berterbangan;}-
    dalam tiga ayat ini Allah s.w.t membawa perkataan {apabila-إِذَا}- bagi setiap ayat- bukan hanya disambung dengan perkataan (dan- وَ} seperti dalam ayat lain sebelum ini {al-Qiyamah ayat 7-9}.

Di mulai dengan {apabila-فَإِذَا}- bintang hilang cahaya kemudian diulang lagi kalimah {apabila-إِذَا}- {apabila langit terbelah dan apabila gunung-ganang hancur lebur berterbangan} dalam ayat yang kedua & ketiga seterusnya untuk menyatakan betapa penting & besarnya peristiwa yang akan berlaku itu!
Kita kena lihat kepada setiap satu peristiwa berlainan yang berlaku itu!

Isunya berbeza, bintang, langit & bukit semuanya lain & tidak sama, ini menunjukkan peristiwa yang amat besar, kerana itu tidak digunakan hanya perkataan (dan- وَ} tetapi diulang {apabila-إِذَا}- bagi setiap satu peristiwa itu!

  1. Ayat 13- {(Jawabnya): Ke hari pemutusan hukum.}- tunggu sehingga selesai hari pemutus hukum! Semua saksi datang baru mulakan perbicaraan!

Ulama\’ kata apa yang kita dapat pengajaran dari ayat ini ialah para hakim jangan gopoh dalam menjatuhkan hukuman, mesti tunggu selesai perbicaraan dari kedua belah pihak, pendakwaan & pembelaan!

Seorang hakim tidak boleh menjatuhkan hukum berdasarkan ilmunya tetapi kena berdasarkan hujjah yang dikemukakan oleh kedua pihak masing-masing!

  1. Ayat 15- {Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (apa yang dijanjikan oleh Rasulnya)!} – apabila kita mahu menggalakkan orang (ترغيب) buat sesuatu atau mahu beri amaran (ترهيب) kepada orang dari melakukan sesuatu, kita kena ulang-ulang peringatan itu baru orang ingat, ikut & akan buat! Ini kerana ulangan itu akan menguatkan lagi pesanan yang mahu disampaikan!

Adakalanya ulang benda sama itu menunjukkan kelemahan atau tidak fasih tetapi ada waktunya juga ulangan itu untuk menguatkan lagi kesannya!

  1. Ayat 15- {Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (apa yang dijanjikan oleh Rasulnya)!}- datangnya ayat ini bagi setiap pengakhiran episod cerita dalam surah ini. Ini kerana setiap jumlah mempunyai cerita atau isunya yang tersendiri!

Contoh celaka {وَيْلٌۭ} yang pertama ini ialah tentang adanya perbicaraan di akhirat eklak, maka celakalah sesiapa yang tidak percayakannya!

Munasabah Allah s.w.t ulang balik amaran ini bahawa sesiapa yang mendustakan apa yang dijanjikan Allah & Rasul-Nya; maka nerakalah bagi kamu!

Kata ulama\’: ayat ini diulang mengikut setiap jumlah ayat yang Allah s.w.t bersumpah untuk memperkukuhkan lagi kenyataannya. Seolah setiap episod itu satu cerita lain yang tidak berulang! Ia mencela kepada apa yang berlaku!
Sebagai amaran, jika kamu tidak percaya juga; maka tunggulah akibatnya iaitu kecelakaan!

Kita tunggu apakah isu yang kedua Allah nak ceritakan dalam surah ini! Serta amaran untuk orang yang berani mendustakannya! Allah s.w.t tidak buatnya dengan sia-sia setiap ayat & perkataan dalam al-Quran itu ada faedah dan sebabnnya!

SOALAN HARI IN I:

Apa yang perlu dilakukan jika sudah solat witir pada awal malam bersama imam di masjid lain. Kemudian dia pergi solat tahajud dengan imam di masjid lain. Apa yang perlu dilakukan apabila imam solat witir? Sedangkan tiada dua witir dalam satu malam?

JAWAPAN :

Jangan undur diri & rugikan pahala; selesaikan tahajud dengan imam!
Teruskan solat dengan niat tahajjud lagi (bukan witir) serta bangun apabila imam bagi salam menjadikan solat kita dua rakat sunat.

Sama juga jika sudah solat witir dengan imam di masjid, boleh kita bangun solat tahajud pula di rumah cuma jangan lagi solat witir!

Ya Allah semoga kami terdiri dari golongan yang mendapat kebajikan pada malam Lailatul-Qadr dengan ibadat yang sebaiknya!

Powered by BetterDocs