SURAH AL-BURUJ : AYAT 17-22

\"\"

IKTIBAR DARI KEBINASAAN FIRAUN DAN THAMUD, PUJIAN KEPADA AL-QURAN & LAUH MAHFUZ.

Full video : https://youtu.be/VFKqN7tA9Aw?si=fEdNaJ6u5aMhOmZb

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kekuatan boleh mengambil tindakan ke atas hamba-Nya yang derhaka & tidak mahu beriman seperti Firaun & kaum Thamud.
  2. Maka kita ambillah iktibar dari kebinasaan Firaun Dan Thamud, walaupun pada zaman kita Allah s.w.t tidak akan ambil tindakan segera dengan menurunkan azab di atas dunia lagi seperti kaum yang terdahulu!
  3. Allah nyatakan keadaan & pujian kepada Al-Quran- al-Quranul Majid iaitu al-Quran yang mulia! Allah muliakan zat al-Quran itu sendiri & Allah muliakan orang yang belajar, fahami & beramal dengan al-Quran.
    Maka sesiapa yang nak jadi mulia maka duduklah dengan al-Quran.
  4. Munasabah ayat:
    i- setelah Allah sebut tentang kisah ashabul-Ukhdud yang kejahatan mereka membunuh orang beriman dengan mencampakkan mereka ke dalam parit api.
    Serta Allah nyatakan kejahatan orang kafir pada setiap masa.

ii- maka dalam ayat ini Allah nyatakan kepada Rasulullah s.a.w apakah sudah sampai kepada kamu tentang tentera-tentera iaitu kaum nabi-nabi yang terdahulu yang Allah s.w.t telah musnahkan mereka kerana mereka kufur dengan Allah & para rasul-Nya a.s.

AYAT 17- {SUDAHKAH SAMPAI KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) PERIHAL (KEBINASAAN YANG TELAH MENIMPA) KAUM-KAUM YANG MENENTANG (RASUL-RASUL YANG DIUTUSKAN KEPADA MEREKA)?} (AL-BURUJ 85:17)

  1. Sudahkah sampai kepada mu wahai Muhammad s.a.w tentang cerita (tentera) kaum terdahulu yang menentang para rasul mereka a.s, lalu Allah s.w.t ambil tindakan ke atas mereka?
  2. Kata Imam Ibnu Kathir rhm.: ayat ini adalah untuk menguatkan Ayat 12 yang lepas {sesungguhnya }- yakni apabila Allah s.w.t ambil tindakan ke atas orang yang zalim & syirik derhaka kepada Allah, Allah akan ambil tindakan yang keras ke atas mereka untuk menunjukkan kekuasaan & kekuatan-Nya.

AYAT 18- { (MEREKA ITU IALAH KAUM) FIRAUN, DAN THAMUD (KAUM NABI SOLEH).} (AL-BURUJ 85:18)

  1. Antara contoh mereka itu ialah:
    i- Firaun, raja Mesir yang zalim yang menentang nabi Musa a.s & menindas Bani Israil.

ii- kaum Thamud yang menentang & mengingkari Nabi mereka iaitu iaitu nabi Soleh a.s.
Kesan peninggalan mereka ini masih ada lagi di al-Ula Arab Saudi, dalam Mantiqah (daerah) Madinah; iaitu lebih-kurang 400km dari bandar Madinah.

  1. Kenapa Allah bawa kisah Firaun ini sebagai contoh selepas kisah ashabul-ukhdud?
    Ini kerana persamaan antara dua kisah ini agak besar kita akan lihatnya dalam fawaid nanti.
  2. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t juga:
    {Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)?
    Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh?
    (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing).} (Al-Fajr 89: 9-11)
  3. Tempat ini tidak digalakkan untuk pergi melawat, melancung bersuka-suka saja, kerana Rasulullah s.a.w telah berpesan jika kita melalui/masuk tempat orang yang kena laknat hendaklah kita menangis.

Jika kita pergi hendaklah untuk mengambil iktibar & pengajaran.

  1. Manakala bangunan yang telah dibina oleh Firaun yang kukuh & handal itu adalah piramid-piramid yang masih kekal sehingga ke hari ini!

AYAT 19- { (KAUMMU WAHAI MUHAMMAD, BUKAN SAHAJA MENOLAK AJARANMU), BAHKAN ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU TERUS TENGGELAM DALAM KEADAAN MENDUSTAKAN KEBENARAN;} (AL-BURUJ 85:19)

  1. Tetapi malangnya kafir Quraisy tidak mengambil pengajaran & iktibar atas apa yang telah menimpa Firaun dan kaum Thamud.
    Lalu mereka terus mendustakan al-Quran, tidak percaya kepada kebangkitan semula, tidak percaya adanya syurga & neraka.
  2. Mereka Quraisy tahu & telah lihat kesan-kesan peninggalan kaum yang dilaknat ini dalam rehlah kafilah perdagangan mereka, tetapi apabila hati telah tertutup begitulah!

AYAT 20- {SEDANG ALLAH, DARI BELAKANG MEREKA, MELINGKUNGI MEREKA (DENGAN KEKUASAANNYA)!} (AL-BURUJ 85:20)

  1. Allah s.w.t tahu semua perbuatan mereka, Allah s.w.t lihat kepada semua amalan mereka dan akan membalasnya dengan azab yang setimpal!
  2. Ilmu pengetahuan Allah s.w.t meliputi semua perkara, maka sesiapa yang masih degil keras kepala, tunggulah saat kebinasaannya! Sebelum itu buatlah apa yang kamu suka & nak!

AYAT 21- { (SEBENARNYA APA YANG ENGKAU SAMPAIKAN KEPADA MEREKA BUKANLAH SYAIR ATAU SIHIR), BAHKAN IALAH AL-QURAN YANG TERTINGGI KEMULIAANNYA;} (AL-BURUJ 85:21)

  1. Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya:
    i- al-Quran ini mulia, terpelihara dari ditukar atau diubah. Allah telah menjaminnya!

ii- dalam al-Quran Allah s.w.t kata ada manusia yang selamat & ada yang celaka.

iii- ada kaum yang menyakiti orang Islam dengan zalimnya.

iv- maka kita orang beriman wajib kena terima & redha dengan semua ketetapan yang Allah s.w.t buat dalam al-Quran.

  1. Jadi al-Quran ini menjadi sebab besar untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w & semua orang yang beriman!
  2. Allah jawab di sini bahawa al-Quran adalah:
    i- bukan seperti sangkaan puak kafir; bukan sihir, syair atau rekaan Nabi s.a.w.

ii- ia adalah al-Quran yang agung, luas maknanya, luas ilmu & hidayat yang terkandung dalamnya. Terlalu banyak keberkatan & kebaikan dalam al-Quran.

AYAT 22- { (LAGI YANG TERPELIHARA DENGAN SEBAIK-BAIKNYA) PADA LAUH MAHFUZ.} (AL-BURUJ 85:22)

  1. Dimanakah al-Quran ini? Iaitu al-Quran yang terpelihara dengan sebaik-baiknya di Lauh Mahfuz.
  2. Munasabah ayat:
    i- Allah s.w.t telah nyatakan bahawa al-Quran yang sempurna tiada sebarang keraguan & penyelewangan padanya;

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t sebut dimanakah duduk al-Quran ini. Iaitu di Lauh Mahfuz yang tinggi, tiada siapa yang boleh ubahnya terkawal dengan penuh rapi!
Syaitan pun tidak sampai ke situ.

  1. Ada dua bacaan untuk ayat ini
    { فِى لَوْحٍۢ مَّحْفُوظٍۭ}:
    i- jika mahfuz dibaca baris bawah { مَّحْفُوظٍۭ}- ia menjadi sifat kepada Lauh itu, iaitu al-Quran berada di Lauh yang terpelihara.

ii- jika mahfuz dibaca baris depan { مَّحْفُوظٌ}- ia menjadi sifat kepada al-Quran sendiri, iaitu al-Quran yang terpelihara.

  1. Kata al-Wahidi rhm. maksudnya { مَّحْفُوظٍۭ}: yang tersimpan di Lauh Mahfuz, di sisi Allah s.w.t itu ialah Ummul-Kitab (Kitab Utama) yang darinya disalin lembaran-lembaran yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w oleh malaikat. Ia terkenal dengan nama Lauh Mahfuz yang terjaga daripada syaitan, dari ditambah & dikurangi.

ii- ada yang kata al-Quran ini tidak tertulis sepenuhnya, hanya sebahagian, apabila Allah s.w.t berfirman baru malaikat menulisnya!

  1. Al-Quran ini adalah Kitab yang mulia, dari Allah s.w.t, dibawa turun sebagai wahyu oleh ketua malaikat Jibril a.s kepada Nabi yang paling mulia pada malam yang mulia iaitu Lailatul-Qadr.
  2. Maka untuk menjadi mulia juga, kita jadikan al-Quran sebagai panduan hidup, maka al-Quran akan jadi peneman menerangi di dalam kubur, membawa kita kepada syurga Allah Azza wa Jalla di akhirat kelak.

Ya Allah jadikanlah kami ahli Quran, orang yang istimewa di sisi Allah s.w.t!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 17- {Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal (kebinasaan yang telah menimpa) kaum-kaum yang menentang (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka)?}
    & Ayat 18- { (Mereka itu ialah kaum) Firaun, dan Thamud (kaum Nabi Soleh).}-

Allah sebut dua contoh kaum yang dibinasakan di sini iaitu Firaun dan kaum Thamud.

Kata ulama\’ tadabbur: Cerita tentang dua kaum yang dibinasakan oleh Allah s.w.t ini ada dua faedah:
i- ianya untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w yang sentiasa diancam dan dikhianati oleh kaum musyrikin Quraisy serta menguatkan semangat Rasulullah s.a.w untuk menentang mereka.

Ini kerana Allah telah menolong rasul-rasul-Nya yang telah lalu, Allah telah musnahkan Firaun & kaum Thamud yang menentang Nabi Musa & nabi Soleh a.s.

Maka Allah yang kita menyembah & memuji-Nya ini jugalah yang akan memberi pertolongan kepada Rasulullah s.a.w.
Ini tidak syak lagi akan memberi kekuatan semangat & azimah kepada Rasulullah s.a.w untuk terus berdakwah menyampaikan risalah & menghadapi kaum yang menentang!

ii- cerita-cerita ini juga menjadi amaran kepada kaum Quraisy yang telah mendustakan Rasulullah s.a.w!

Ingatlah Allah s.w.t perhati & lihat semuanya, Allah akan ambik tindkaan ke atas kamu sebagaimana kaum terdahulu, tunggulah!

  1. Ayat 17- {Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal (kebinasaan yang telah menimpa) kaum-kaum yang menentang (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka)?}
    & Ayat 18- {(Mereka itu ialah kaum) Firaun, dan Thamud (kaum Nabi Soleh).}-

Allah sebut di sini cerita tentang { حَدِيثُ ٱلْجُنُودِ -kaum-kaum yang menentang } iaitu Firaun dan Thamud.

Persoalan- kenapa Allah s.w.t sebut kaum/tentera sedangkan Firaun hanya dia seorang, satu induvidu- Thamud tak apalah memang satu kaum yang ramai.

JAWAPAN :
i- maksud Firaun di sini ialah Firaun dan pengikutnya. Kerana semua kaumnya bangsa Qibti itu sangat taat setia kepada raja mereka Firaun, mereka melawan kaum Nabi Musa iaitu Bani Israil yang mereka kuasai.

ii- ia untuk menunjukkan betapa besarnya tindakan Allah s.w.t terhadap orang kafir yang derhaka, keras kepala menentang para rasul- kerana Allah sifat-Nya adalah; Ayat 16- {Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakinya.}

Jadi ayat ini adalah sekaligus memberi ketenangan kepada Rasulullah s.a.w serta memberi isyarat agar Baginda s.a.w bersabar kerana mereka semua akan dimusnahkan sebagaimana Firaun & Thamud.

Apa yang berlaku kepada orang terdahulu akan berlaku juga kepada orang yang terkemudian, jangan sedap hati ingatlah bahawa kita ini sentiasa dibawah pengawasan & pemerhatian Allah s.w.t!

  1. Ayat 17- {Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal (kebinasaan yang telah menimpa) kaum-kaum yang menentang (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka)?}
    & Ayat 18- { (Mereka itu ialah kaum) Firaun, dan Thamud (kaum Nabi Soleh).}-

Kenapa Allah s.w.t pilih dan sebut Firaun secara individu di sini?


JAWAPAN :

Ini kerana ada beberapa persamaan antara watak Firaun & kaum ashabul-Ukhdud dalam kisah yang lepas:

i- Firaun jahat & melampuai batas, dia mengaku sebagai Tuhan.
Begitu juga raja penggali parit (ashabul-Ukhdud mengaku sebagai Tuhan.

ii- Firaun telah mengazab bani Israil dengan membunuh anak lelaki mereka & membirakan hidup perempuan. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.} (Al-Baqarah 2:49)

Ashabul-Ukhdud ini juga telah membunuh semua orang yang beriman, lelaki atau perempuan hatta kanak-kanak sebagaimana kisah bayi yang bercakap menguatkan iman ibunya!

Tetapi keganasan manusia hari ini lebih teruk daripada zaman Firaun yang bunuh anak lelaki, Arab jahiliyah bunuh anak perempuan, tetapi manusia sekarang campak semua bayi lelaki atau perempuan.

iii- Allah s.w.t bagi kepada para utusan-Nya beberapa mukjizat sebagai tanda kebenaran mereka. Nabi Musa tongkatnya menjadi ular & tanngan yang becahaya, tetapi Firaun tetap keras kepala & lawan!

Dalam kisah ashabul-Ukhdud juga pemuda (Ghulam) itu telah menunjukkan kepada raja & kaumnya beberapa tanda yang besar, seperti orang buta menjadi celik, mereka juga menolaknya!

iv- Firaun tidak mampu membunuh Nabi Musa a.s, walaupun telah beberapa kali mencubanya!

Raja ashabul-Ukhdud juga telah cuba membunuh Ghulam itu beberapa kali, di bawa ke atas bukit, ke laut dan lain-lain, tetapi semuanya gagal!
Ghulam balik semula mengadap raja!

Tetapi kerana hati sudah tertuutup raja itu tetap tidak nampak kebenaran!

V- ahli sihir Firaun yang ramai itu, apabila melihat mukjizat Nabi Musa a.s terus sujud & beriman kepada Tuhan Musa & Harun. Iaitu Allah s.w.t.

Dalam kisah Ghulam itu pula, semua penduduk yang melihat peristiwa Ghulam itu dibunuh dengan nama Tuhannya, terus beriman & rela mati dibunuh oleh raja yang kafir!

Maka zahirlah sebab kenapa Allah s.w.t pilih kisah Firaun untuk dibandingkan dengan ashabul-Ukhdud, betapa ajaib & lengkapnya al-Quran!
Jika bukan dari sisi Allah s.w.t pasti akan terdapat banyak kesilapan & percanggahan!

  1. Ayat 19- {(Kaummu wahai Muhammad, bukan sahaja menolak ajaranmu), bahkan orang-orang yang kafir itu terus tenggelam dalam keadaan mendustakan kebenaran;}- Allah nyatakan di sini bahawa keadaan orang mukmin & kafir sepanjang zaman akan berterusan begini!

Mereka akan terus kufur & melawan, mendusta, mengingkari, berterusan sehingga ke hari Kiamat.

Maka sabarlah wahai para pendakwah dan orang yang beriman, tunggulah sehingga janji Allah itu tiba! Inilah sunnatul-dakwah- pertembungan antara pencinta al-Quran & Sunnah dengan mereka yang sukakan amalan yang pelik akan berterusan. Maka kita jangan berputus asa untuk menyampaikan kebenaran walaupun tidak mendapat sambutan.
Kerana ramai itu tidak semestinya benar, bagitulah pengikut para anbiya\’ itu tidak pernah ramai.

  1. Ayat 21- {(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya;}- Allah sifatkan al-Quran itu sebagai mulia { قُرْءَانٌۭ مَّجِيدٌۭ}.

Al-Quran itu bukan mulia ia saja, sebagai Kalamullah sudah pasti ia mulia.

Tetapi kebaikannya melangkau kepada orang yang menjadi ahli al-Quran- orang yang baca al-Quran dengan baik, belajar & memahaminya; Allah akan angkat darjatnya!

Ahli Quran kena jaga akhlak, sifat, pembawaan, penampilan dan peribadinya.
Jangan bawa sifat seperti orang awam, muliakan diri kita tidak perlu ikut trend & orang ramai!
Mulia kita dengan al-Quran maka akhlak kita wajib mengikut akhlak dalam al-Quran.

Jangan al-Quran hanya menjadi satu hobi atau adab, tetapi roh & manfaatnya tidak masuk ke dalam jiwa!

Ayat ini juga sebagai isyarat kepada firman Allah s.w.t ini:
{Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.} (Al-Hijr 15:9)

Allah s.w.t yang turunkan al-Quran maka Dia juga yang jaganya; tiada siapa boleh ubah al-Quran, tukarnya atau hinanya!

Yang bolehnya menjajah minda umat Islam untuk jauh dari al-Quran & tidak mengamalkannya!

Janganlah sampai kita menjadi seperti kata-kata ini:
\”Banyak orang yang membaca al-Quran sedangkan al-Quran melaknatnya.\”

Iaitu baca saja tidak beramal dengan isi kandungannya.

Ya Allah jadikanlah kami dari ahli al-Quran, orang yang mendengar segala nasihat ke arah kebaikan, jadikanlah al-Quran itu penyejuk mata kami, penerang dalam kubur & pemandu kami ke syurga-Mu.

Hari ini hari Jumaat, jangan lupa;
i- baca surah al-Kahfi,
ii- perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w,
iii- pergi awal ke masjid bagi lelaki.

Powered by BetterDocs