SURAH AL-QALAM : AYAT 8-16

\"\"

LARANGAN IKUT KARENAH PUAK KAFIR, PERANGAI BURUK MEREKA & ANCAMAN BUAT MEREKA.

Full video : https://youtu.be/uLewDCjk7O8

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t peringatkan larangan kepada Rasulullah s.a.w agar jangan ikut karenah puak kafir.
  2. Allah s.w.t juga menyebut beberapa sifat keji, perangai buruk mereka puak kafir. Terdapat 9-10 sifat yang disebut dalam ayat siri ini.
  3. Juga dibawa amaran ancaman buat mereka, serta buat orang beriman agar menjauhkan diri daripada sifat-sifat keji & buruk ini!
  4. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelum:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan sifat orang kafir terhadap Rasulullah s.a.w, mereka melemparkan tuduhan jahat dan mendustakan Baginda.
    Sedangkan Allah s.w.t telah memberi anugerah khas kepada Baginda dengan menyatakan bahawa Baginda adalah pemilik akhlak yang mulia!

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t beri peringatan dan pesanan kepada Rasulullah s.a.w agar jangan sekali-kali berlunak & layan karenah mereka yang kacau dan khianat ini!

AYAT 8- {OLEH ITU (BERPEGANG TEGUHLAH PADA AJARAN ISLAM YANG SEDANG ENGKAU AMALKAN, DAN) JANGANLAH ENGKAU MENURUT KEMAHUAN ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN (AGAMA ALLAH).} (AL-QALAM 68:8)

  1. Dalam ayat ini Allah perintahkan agar Rasulullah s.a.w berpegang teguh dengan ajaran Islam dan jangan sekali-kali berlunak dengan puak kafir!
    Jangan ikut karenah dan pujukan mereka untuk bertolak ansur dengan agama mereka.
  2. Sebagaimana Allah telah anugerahkan kepada Rasulullah s.a.w agama yang benar, nikmat yang besar dan akhlak yang mulia maka jangan sekali-kali taat kepada puak kafir kerana mereka bukan orang yang layak diikuti & bersikap lunak!
  3. Sifat buruk pertama mereka ialah mendustakan agama Allah! Lalu Allah s.w.t menyuruh lawan dan jangan berlunak dengan mereka walaupun secara zahirnya mereka nampak baik!
  4. Firman Allah s.w.t:
    {Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.} (Al-Furqaan 25:52)

AYAT 9- {MEREKA SUKA KALAULAH ENGKAU BERTOLAK ANSUR (MENURUT KEMAHUAN MEREKA), SUPAYA MEREKA JUGA BERTOLAK ANSUR BERLEMAH-LEMBUT (PADA ZAHIRNYA TERHADAPMU).} (AL-QALAM 68:9)

  1. Mereka sangat berharap agar kamu dapat bertoleransi menurut kemahuan mereka dalam bab agama, menunjukkan tolak ansur. Supaya mereka pun dapat bertolak asnur kepada kamu secara zahirnnya juga!
  2. Puak kafir Quraisy sangat berharap agar Rasulullah bertolak ansur dengan agama mereka.
    Apa yang mereka mahu ialah:
    i- Nabi s.a.w jangan bercakap tentang syirik. Jangan larang untuk ikut agama mereka.

ii- jangan sebut tentang kelemahan tuhan sembahan mereka.
iii- jangan mengutuk dan memperbodohkan tok-nenek mereka yang sembah batu kayu dulu.

iv- berlunak dengan tuhan-tuhan palsu mereka, sekali-sekali pergi ke gereja atau kuil tempat ibadat mereka!

  1. Jika Rasulullah s.a.w terima apa yang mereka mahu, berlunak dalam perkara agama pegangan mereka, mereka juga akan berlunak sangggup berlembut dengan Rasulullah!
  2. Mereka berjanji tidak akan kacau lagi dakwah Nabi, mereka tidak akan lagi buat tuduhan palsu terhadap Rasulullah s.a.w dan bermacam janji, hanya pada zahirnya sahaja!
  3. Kata al-Qurtubi rhm.: Jangan sekali-kali kita cenderung kepada amalan (ritual) agama kafir kerana ia boleh membawa kepada syirik kepada Allah!
    Jika orang yang pergi itu pandai agama mungkin boleh bezakannya tetapi bagaimana dengan masyarakat biasa yang jahil, pengikut yang hanya ikut-ikut???

AYAT 10- {DAN JANGANLAH ENGKAU (BERKISAR DARI PENDIRIANMU YANG BENAR, DAN JANGAN) MENURUT KEMAHUAN ORANG YANG SELALU BERSUMPAH, LAGI YANG HINA (PENDAPATNYA DAN AMALANNYA), } (AL-QALAM 68:10)

  1. Allah perintahkan Rasulullah s.a.w agar tetap teguh atas pendirian dan dakwahnya yang benar!
  2. Jangan terpengaruh, menurut kemahuan orang yang suka bersumpah, pada zaman Rasulullah s.a.w sudah ramai geng kaki sumpah yang main-main bersumpah palsu dengan nama Allah!
  3. Mereka ini bersumpah untuk menzahirkan seolah mereka bersama Rasulullah s.a.w, bertoleransi; sedangkan peribadi mereka adalah buruk & hina sekali.
  4. Kata ulama\’: Siapa yang banyak bersumpah maka banyaklah pembohongan mereka! Mereka berhajat kepada sokongan manusia maka mereka sangup bersumpah dan buat apa saja. Inilah manusia yang walaupun nampak hebat hakikatnya amatlah hina!
  5. Ramai ulama\’ tafsir menamakan tokoh-tokoh kaki sumpah yang hina pada zaman Rasulullah s.a.w ini sebagai:
    i- Al-Walid bin al-Mughirah
    ii- Al-Akhnas ibn Shuraiq al-Thaqafi (الأخنس بن شريق الثقفي )
    iii- Al-Aswad bin Abdi Yaghus
    iv- Abu Jahal – (عمرو بن هشام المخزومي)
    Mereka adalah ketua Quraisy yang kaki sumpah tetapi perangai mereka amat hina.
  6. Kita dalam dunia sekarang ini pun jangan mudah percaya kepada orang yang suka bersumpah.
    Kerana biasanya apabila dapat apa yang diingini mereka tidak akan penuhi sumpah mereka itu!

AYAT 11- {YANG SUKA MENCACI, LAGI YANG SUKA MENYEBARKAN FITNAH HASUTAN (UNTUK MEMECAH BELAHKAN ORANG RAMAI),} (AL-QALAM 68:11)

  1. Sifat keempat mereka ialah suka mencaci, mencela dan mencari keaiban orang. {هَمَّازٍۢ}.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji (هُمَزَةٍۢ لُّمَزَةٍ),
    Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya;} (Al-Humazah 104: 1-2)
  3. Sifat buruk mereka lagi yang kelima ialah suka menyebarkan fitnah & hasutan, {مَّشَّآءٍۭ بِنَمِيمٍۢ} menjadi batu api untuk memecah belahkan orang ramai dan masyarakat.
    Sanggup menjatuhkan orang lain untuk naik diri dia.
  4. Daripada Huzaifah bin Yaman R.A, bersabda Rasulullah s.a.w:

(لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ)

\”Tidak akan masuk syurga batu api (memecah belahkan orang ramai). [HR Bukhari & Muslim].

ii- Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah s.a.w telah melalui dua buah kubur lalu bersabda:
\”Sesungguhnya kedua penghuni kubur ini sedang diazab dan tiadalah keduanya diazab pada sebab yang besar.

i- Adapun salah seorang daripadanya adalah dia tidak membersihkan diri daripada kencing.
ii- Dan adapun yang seorang lagi adalah berjalan dengan namimah (mengadu domba). [HR Bukhari & Muslim].

AYAT 12- {YANG SERING MENGHALANGI AMALAN-AMALAN KEBAJIKAN, YANG MELANGGAR HUKUM-HUKUM AGAMA, LAGI YANG AMAT BERDOSA,} (AL-QALAM 68:12)

  1. Mereka juga menyekat dan sering menghalangi amalan-amalan kebajikan
    {مَّنَّاعٍۢ لِّلْخَيْرِ}.
    Mereka tidak suka buatnya juga menghalang orang lain daripada membuatnya!
    Bakhil untuk beri harta kepada orang yang memerlukan.
    Ada bajet tetapi tidak diturunkan kepada orang ramai kerana bakhil atau kerana berdendam!
  2. Ada juga ulama\’ kata maksudnya menyekat orang daripada Islam, daripada beriman & beramal soleh. Keduanya adalah bahaya samada sekat harta atau amal soleh.
  3. Sifat ketujuh mereka juga melampaui batas {مُعْتَدٍ}, melanggar hukum-hakam agama & Syari\’ah Allah s.w.t!
    Samada dia zalim kepada orang atau, sekat kebajikan orang dia sendiri melanggar perintah perintah Allah Azza wa Jalla, melanggar batasan hudud.
  4. Mereka juga seorang yang banyak dosa, banyak buat kejahatan {أَثِيمٍ } samada sesama manusia atau kepada Allah s.w.t. Ini adalah sifat kelapan.

AYAT 13- {YANG JAHAT KEJAM, YANG SELAIN ITU TIDAK TENTU PULA BAPANYA.} (AL-QALAM 68:13)

  1. Mereka juga seorang yang kejam & kasar, keras hatinya {عُتُلٍّۭ}.
    Suka berbalah & berbantah-bantah, sentiasa ingin memang tidak kira betul atau salah.
    Ini adalah sifat kesembilan.
  2. Sabda Rasulullah s.a.w:
    \”Mahukah kamu aku beritahu tentang sifat ahli neraka? Mereka itu; keras perangainya, berjalan dengan sombong & takabbur!\” [HR bukhari & Muslim].
  3. Mereka juga tidak jelas keturunannya {زَنِيمٍ}, tidak tahu siapa bapanya, yakni dia nisbahkan dirinya kepada kabilah yang bukan asalnya. Dengan kata lain anak zina & dari keturunan yang buruk!
  4. Ada ulama\’ yang menyenaraikan mereka yang {زَنِيمٍ} ini ialah:
    i- al-Walid bin al-Mughirah
    ii- al-Akhnaf bin Thaqif
  5. Inilah masalah & perangai manusia sehingga ke hari ini; yang suka nisbahkan dirinya kepada orang yang masyhur dan terkenal untuk menumpang glamour atau ambil kesempatan & peluang!

AYAT 14- {ADAKAH KERANA IA SEORANG HARTAWAN DAN RAMAI ANAK-PINAKNYA (MAKA IA MENDUSTAKAN AGAMA KAMI)?} (AL-QALAM 68:14)

  1. Mereka bersifat buruk dan sombong itu puncanya kerana mereka mempunyai harta yang banyak dan ramai anak keturunan.
    Lalu mereka berasa kuat, gagah & kaya!

AYAT 15- {APABILA DIBACAKAN KEPADANYA AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, IA BERKATA: \”(INI IALAH) CERITA-CERITA DONGENG ORANG-ORANG DAHULU KALA\”.} (AL-QALAM 68:15)

  1. Apabila dibaca ayat-ayat al-Quran ini kepada puak kafir ini mereka berkata dengan sombong bahawa ia hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala!
  2. Mereka nak tolak hujjah al-Quran & ajaran Rasulullah s.a.w dengan ilmiah tidak mampu, lalu mereka guna hujjah mendustakan dan menolaknya.

AYAT 16- {(ORANG YANG BERSIFAT DEMIKIAN, AKAN DIDEDAHKAN KEHINAANNYA) – KAMI AKAN ADAKAN TANDA DI ATAS HIDUNGNYA (YANG BERUPA BELALAI ITU). (AL-QALAM 68:16)

  1. Allah s.w.t beri amaran keras bahawa orang yang jahat itu akan ada tanda di atas hidungnya dan akan dikenali di kalangan manusia. Allah akan beri tanda secara fizikal!
  2. Ulama\’ kata ianya samada:
    i- akan ditanda secara terus atas hidung dengan api!

ii- dikatakan al-Walid bin al-Mughirah tercedera atas hidungnya dengan pedang pada hari peperangan Badar, maka tanda itu dapat dilihat dengan jelas dan dikenali!

iii- yang lebih umum lagi orang kafir itu akan dihitamkan mukanya pada hari Kiamat.

iv- ada ulama\’ kata tandanya ialah kehinaan atas dunia ini dengan sifat buruknya, yakni apabila orang tengok mukanya orang akan ingat akan penipuan dan sifat buruknya.
Wallahu a\’lam, hanya Allah yang tahu bagaimana tanda itu.

  1. Semua sifat buruk ini; jika buruk pada zaman Rasulullah s.a.w, buruklah juga pada zaman kita inipun!
    Ia juga akan muncul sepanjang zaman, jika ada pada zaman Nabi s.a.w, akan adalah juga pada zaman kita ini!
    Jangan kata amaran dan peringatan Allah s.w.t hanya untuk orang zaman dulu sahaja!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 8- {Oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang engkau amalkan, dan) janganlah engkau menurut kemahuan orang-orang yang mendustakan (agama Allah).}- ulama\’ tadabbur kata perkataan {فَلَا} – {oleh itu janganlah engkau} menunjukkan bahawa tertib/susuanan larangan dari Allah s.w.t ini bermula dari awal surah lagi sehingga kepada ayat yang kita baca ini!

Allah nyatakan kepada kita 10/12 sifat golongan jahat lagi sesat, maka jangan sekali-kali kamu dekati puak atau golongan ini, jika tidak kamu akan termasuk dalam kumpulan mereka juga!

Ada riwayat kata puak kafir hantar bapa saudaranya Abu Talib & Utbah pergi berjumpa Rasulullah s.a.w untuk berlunak kepada mereka dalam bab agama & pegangan mereka!

Allah s.w.t bertegas, pesan dan larang dengan keras bahawa jangan sekali-kali ikut kemahuan mereka dan bertoleransi dengan mereka! Ini kerana mereka ada agenda khas!

  1. Ayat 9- {Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu).}- agenda mereka iaitu jika Rasulullah s.a.w berlembut dengan mereka, mereka juga akan berlembut dan bertolak-ansur dengan Islam.

Tetapi Allah s.w.t dengan tegas telah melarangnya dalam ayat sebelumnya!
Maka ulama\’ tadabbur kata; tidak harus bagi orang mukmin berlembut dalam bab aqidah, perjalanan agama walaupun atas apa sebab sekalipun.

Gelaran kepada puak yang berlembut dan beri kebebasan kepada puak kafir ini dipanggil golongan sekular (علمانية) yang memisahkan antara agama & hidup, pentadbiran dan segalanya!

Hati-hatilah para pendakwah & pemimpin jangan terlalu berlembut atas nama toleransi nanti masyarakat menyangka kamu mengiktiraf agama lain!
Maka kekeliruan akan lahir dengan sebab kamu!
Jangan sampai tergadai agama, jual prinsip semata-mata untuk menunjukkan sikap toleransi.

  1. Ayat 10- {Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), } – dalam ayat ini Allah tegaskan jangan ikut kaki sumpah ini dan orang yang berakhlak buruk! Orang yang beriman tidak harus banyak bersumpah kecuali dalam perkara yang amat penting dan memerlukan.

KATA PEPATAH ARAB :

من أكثر الأيمان هان عليه الرحمن
Sesiapa yang banyak bersumpah, akan tiada harga lagi nama Allah baginya!
Kedudukannya akan jatuh di mata manusia.

  1. Ayat 13- {Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya.}- orang yang kasar & keras jiwannya, suka melaga-lagakan orang dan suka buat huru-hara, maka kita jauhkan perangai ini & jangan ikut sekali-kali!
    Mereka bukan saja jahat perangai, tetapi buruk juga keturunannya!
  2. Ayat 16- {(Orang yang bersifat demikian, akan didedahkan kehinaannya) – Kami akan adakan tanda di atas hidungnya (yang berupa belalai itu).}- Allah s.w.t akan letakkan tanda ke atas hidung orang yang buruk perangai itu.

KATA ULAMA\’ INI SAMADA :

i- nampak secara fizikal- seperti yang terjadi pada zaman Rasulullah s.a.w. Iaitu al-Walid telah tercedera hidungnya dalam peperangan Badar, maka apabila dibaca ayat ini orang akan teringat kepadanya!

ii- ada kata bukan tanda secara fizikal, tetapi apabila orang tengok muka si penjahat yang berperangai buruk ini, orang ingat dia sebagai penipu & penjahat.

Terdapat amat banyak faedah daripada ayat-ayat ini tetapi kita ambil setakat yang sempat dan sesuai, Insya\’ Allah.

Powered by BetterDocs