Surah Al-Muddaththir : Ayat 49-56

\"\"

LARI DARI QURAN BAGAIKAN HIMAR, CADANGAN KAFIR TIDAK DILAYAN & TAZKIRAH UNTUK YANG BERTAQWA.

Full video: https://www.youtube.com/watch?v=bAxyP1wvtQY

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t gambarkan satu anologi tentang bagaimana keadaan puak kafir yang lari dari al-Quran bagaikan himar (zebra) yang lari daripada singa.
  2. Kemudian orang kafir bagi cadangan agar al-Quran dihantar kepada setiap seorang dari mereka tetapi cadangan mereka tidak dilayan.
  3. Allah juga nyatakan bahawa al-Quran itu adalah tazkirah (peringatan) untuk yang bertaqwa. Kita ambil hukum-hakamnya, lakukan apa yang diperintah & tinggalkan apa yang dilarangnya!
  4. Munasabah ayat:
    i- Dalam siri lepas bagaimana ahli syurga bertanya khabar tentang ahli neraka dan kenapa mereka dimasukkan ke dalam neraka. Lalu ahli neraka memberitahu 4 sebabnya.
    ii- Kemudian datanglah ayat ini- jika kamu sudah dengar begitulah keadaan orang bersalah kenapa kamu masih berpaling lari lagi dari peringatan al-Quran??
  5. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang mengambil peringatan dari al-Quran.

  1. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang mengambil peringatan dari al-Quran.

AYAT 49- {(KALAU DEMIKIANLAH HALNYA ORANG-ORANG YANG BERSALAH), MAKA MENGAPA MEREKA BERPALING LARI DARI PERINGATAN (AL-QURAN)?} (AL-MUDDATHTHIR 74:49)

  1. Allah s.w.t bertanya kepada orang kafir, kenapa setelah kamu tahu tentang apa yang akan berlaku ke atas orang-orang yang bersalah!
  2. Tetapi kenapa mereka masih lari berpaling tidak mahu beriman, tidak mahu terima kebenaran al-Quran & Rasulullah s.a.w.
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Dan orang-orang yang kafir berpaling dari menerima peringatan yang diberikan kepada mereka mengenainya.}
    (Al-Ahqaaf 46:3)

AYAT 50- {SEOLAH-OLAH MEREKA SEKAWAN KELDAI LIAR YANG LARI} (AL-MUDDATHTHIR 74:50)

  1. Mereka lari dari al-Quran seolah sekawan kuda belang (zebra) yang lari ketakutan dan begitu laju!
    – Himar (Keldai). Himar Wahsyi (Kuda Belang).

AYAT 51- {MELARIKAN DIRI (KETAKUTAN) DARI SINGA!} (AL-MUDDATHTHIR 74:51)

  1. Iaitu seperti kuda belang yang melarikan diri dari diterkam oleh singa. Dengan begitu laju & penuh ketakutan!

AYAT 52- {(MEREKA TIDAK MERASA CUKUP DENGAN PERINGATAN ITU) BAHKAN TIAP-TIAP SEORANG DI ANTARANYA MAHU SUPAYA DIBERI KEPADANYA LEMBARAN SURAT YANG TERBUKA (YANG DITURUNKAN DARI LANGIT UNTUK DIBACA OLEH MEREKA SENDIRI)} (AL-MUDDATHTHIR 74:52)

  1. Tidak cukup dengan al-Quran yang diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w, bahkan mereka mahu setiap orang dihantar & menerima sendiri kitab dari langit!
  2. Iaitu setiap orang mahu supaya diberi kepadanya lembaran surat yang terbuka yang diturunkan dari langit untuk dibaca oleh mereka sendiri tanpa perantaran sesiapa.
  3. Kata al-Wahidi rmh : Ketua Quraisy datang berjumpa Rasulullah s.a.w dan menuntut untuk menerima surat dari Allah s.w.t bahawa tuhan yang mereka sembah selama ini adalah batil, apa yang Nabi Muhammad s.a.w. bawa itu benar, bahawa hanya Tuhan kamu Muhammad yang betul dan kamu adalah rasul-Nya! Itulah tuntutan mereka!

*Tetapi Allah s.w.t menolak dan tidak menghiraukan permintaan karut ini!

AYAT 53- {SEBENARNYA! (BUKAN KERANA KEMAHUAN MEREKA TIDAK BERHASIL), BAHKAN MEREKA (TIDAK PERCAYA DAN) TIDAK TAKUT AKAN HARI AKHIRAT} (AL-MUDDATHTHIR 74:53)

  1. Tetapi itu hanya cadangan untuk mengelakkan tanggung-jawab mereka untuk beriman, bukan apa yang mereka mahu sebenarnya. Hanya helah untuk lari dari terima al-Quran.
  2. Punca sebenar mereka tidak beriman adalah kerana memang tidak percaya dan tidak takut akan hari akhirat! Bukan kerana permintaan atau cadangan karut mereka itu tidak dipenuhi!
  3. Banyak sudah mukjizat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. mereka lihat seperti bulan terbelah dan seumpamanya! Tetapi mereka minta lagi yang tak logik pada akal & adab seperti minta bukit Safa jadi emas, Makkah dipenuhi dengan sungai, tali air dan seumpamanya!
  4. Bagi Allah semua itu mudah dan boleh dilakukan tetapi jika selepas itu mereka masih degil tidak beriman, mereka akan dihancurkan sehancur-hancurnya seperti kaum terdahulu!
  5. Tetapi Rasulullah s.a.w yang Rahmatan lil-Alamin tidak mahu begitu, Baginda berharap agar ada nanti dari kalangan mereka atau keturunan mereka yang beriman! Dan inilah yang terjadi selepas Pembukaan Kota Makkah!

AYAT 54- {KETAHUILAH! SESUNGGUHNYA AL-QURAN ITU ADALAH SATU PERINGATAN (YANG SANGAT BESAR PENGAJARANNYA);} (AL-MUDDATHTHIR 74:54)

  1. Maka Allah s.w.t peringatkan sekali lagi! Al-Quran bukanlah { كَلَّآ} sebagaimana yang mereka sangka & tuduh.; sihir, sahir atau teori rekaan manusia!
  2. Sesungguhnya al-Quran itu adalah satu peringatan { تَذْكِرَةٌۭ } yang amat besar!
  3. Firman Allah stw:
    {(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.} (Saad 38:29)

AYAT 55- {OLEH ITU SESIAPA YANG MAHU (BERINGAT) DAPATLAH IA MENGAMBIL PERINGATAN DARIPADANYA.} (AL-MUDDATHTHIR 74:55)

  1. Maka sesiapa yang mahu ambil peringatan dari Allah maka hendaklah dia baca, pelajari, kaji & tadabbur, fahami & mengamalkan apa yang al-Quran bawa!
  2. Tidak cukup untuk rajin baca al-Quran sahaja, wajib memahami & beramal dengannya dalam segenap kehidupan kita!
    Baca al-Quran semangat tapi aurat masih tidak tertutup sempurna, baca al-Quran kuat tetapi tetap amalkan riba dan seumpamanya!
    Amalkan apa yang kita baca!
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang mengandungi amaran) ini menjadi peringatan oleh itu sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya dapatlah ia mengambil jalan yang membawa kepada Tuhannya (dengan iman dan taat).}
    (Al-Muzzammil 73:19)

AYAT 56- {DAN (DALAM PADA ITU) TIADALAH MEREKA DAPAT BERINGAT MELAINKAN JIKA DIKEHENDAKI ALLAH; DIA LAH TUHAN YANG BERHAK DIPATUHI PERINTAHNYA, DAN DIA LAH JUA YANG BERHAK MEMBERI KEAMPUNAN (KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN TAAT).} (AL-MUDDATHTHIR 74:56)

  1. Mereka yang mendapat taufiq hidayah & peringatan dari al-Quran ini adalah mereka yang mendapat taufiq dari Allah dengan kehendak-Nya!
  2. Allah s.w.t lah Tuhan yang berhak ditakuti-Nya (أَهْلُ ٱلتَّقْوَىٰ- bertaqwa kepada-Nya): dengan mengikut perintah-Nya & jauhi larangan-Nya.
  3. Dia juga yang berhak memberi keampunan { وَأَهْلُ ٱلْمَغْفِرَةِ}, mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya yang beriman dan beristighfar kepada-Nya.
    Maka jangan lupa sentiasalah beristighfar kepada Allah dalam hidup kita terutamanya selepas solat.
  4. Kata Ibnu Juzai rhm.:
    i- Allah s.w.t berhak kita takuti: kerana azab-Nya yang dahsyat.
    ii- Allah s.w.t berhak kita harapkan rahmat & pengampuan-Nya: kerana Allah Maha Pengampun, Maha Mulia, luasnya keampunan, limpah kurnia Allah.

Syaitan itu tiada kerja lain melainkan untuk merosakkan manusia!

PENUTUP & FAEDAH:

  1. Ayat 49- {(Kalau demikianlah halnya orang-orang yang bersalah), maka mengapa mereka berpaling lari dari peringatan (Al-Quran)?}- dalam ayat ini Allah s.w.t cela, cerca & keji orang yang lari dari al-Quran.

Persoalan: Kenapa Allah s.w.t kata mereka lari dari al-Quran. Sedangkan dalam satu ayat lain Allah kata Dia yang palingkan hati mereka:
{Kemudian mereka berpaling pergi (dengan meninggalkan majlis Nabi); Allah memalingkan hati mereka (daripada iman), disebabkan mereka kaum yang tidak (mahu) mengerti.} (At-Taubah 9:127)

Jadi jika Allah yang palingkan hati mereka, kenapa pula Allah s.w.t nak marah jika mereka tak terima? Ini berbalik kepada isu taqdir.

Jawapan:
Allah s.w.t itu Maha Kaya & Adil:
i- Pertama manusia diberi akal. Ia untuk guna berfikir bukan dalam perkara dunia saja.

ii- Diutuskan rasul untuk memberi ajaran & peringatan.

iii- Bersama dengan rasul diturunkan juga kitab membawa peringatan.

Jalan atau lorong untuk kebaikan untuk taqwa sudah ada- kenapa kamu pilih yang tidak baik? Inilah hujjah yang ditegakkan.
Setiap perkara itu kita kena fikir & timbang dengan akal & otak yang waras!

  1. Ayat 50- {Seolah-olah mereka sekawan keldai liar yang lari,} & Ayat 51- {Melarikan diri (ketakutan) dari singa!}- Allah buat satu bandingan analogi larinya mereka dari al-Quran, tidak mahu dengar tidak mahu terimanya; seolah kuda belang lari dari pemangsa mereka!

Ini adalah satu perbandingan yang cukup cantik. Kerana orang yang jahil tentang Allah & Rasulullah s.a.w lari dari al-Quran seperti larinya haiwan yang liar itu dari pemburunya! Mereka tidak fikir dan perhati apa- belum dengar & tengok lagi sudah tolak dan lari!

Kita manusia jangan tolak peringatan lebih dari zebra, baru terima link kuliah sudah marah & tolak, sedangkan tidak pernah dengar pun apa yang disampaikan, akan tetapi telahpun menyangkal sedangkan tidak tahu menahu apakah yang disangka dan dikhuatiri salah itu.
Inilah dikatakan menolak dengan membabi buta!

Moga Allah buka hati kita, lapangkan dada kita untuk mendengar & menerima yang terbaik!
Jangan terus tutup pintu perbincangan, maka mata & hati pun akan tertutup terus!

  1. Ayat 52- {(Mereka tidak merasa cukup dengan peringatan itu) bahkan tiap-tiap seorang di antaranya mahu supaya diberi kepadanya lembaran surat yang terbuka}- mereka si kafir minta supaya Allah s.w.t memberi surat atau kitab kepada setiap seorang dari mereka! Bukan guna rasul atau perantaraan!

Kata ulama\’ tadabbur: Orang yang tidak mahu terima hujah orang, mereka akan reka hujah & teorinya sendiri! Walaupun teorinya itu amatlah tidak logik & lucu!

Kita juga harus berhati-hati, jangan samakan kita dengan Tuhan seperti layanan sesama manusia yang penuh dengan teori!
Semua perkara perlu ada usaha ia tidak akan berlaku sendiri!

  1. Ayat 54- {Ketahuilah! Sesungguhnya Al-Quran itu adalah satu peringatan (yang sangat besar pengajarannya);}- sesungguhnya al-Quran itu adalah satu peringatan yang sangat besar!

Tidak sekali-kali (كَلَّآ) di dini adalah satu bantahan yang besar!
Dua kali Allah gunakannya! Bahawa al-Quran ini bukan seperti tuduhan & dakwaan kamu tetapi ia adalah tazkirah dari Allah s.w.t!

Kita sekarang ini kena banyak menerima tazkirah dari al-Quran!

Kata ulama\’: Tazkirah yang paling besar, mantap & kuat kesannya ialah tazkirah dari al-Quran!
Betapa Rasulullah s.a.w, para sahabat, para ulama\’ salafus-soleh dan ulama\’ sekarang yang faham al-Quran semuanya menangis apabila mereka baca al-Quran.

Kesan al-Quran itu amat hebat, orang dulu boleh menangis, orang sekarang boleh menangis, yang faham menangis yang tak faham pun ikut menangis sama!
Tetapi jika baca dengan tidak menghayatinya maka kita akan kerugian satu nikmat yang besar iaitu nikmat tadabbur al-Quran!

Smeoga Allah s.w.t lapangkan dada kita, buka hati kita, curahkan cahaya al-Quran dalam diri kita dan jadikan al-Quran sebagai satu taman yang indah dalam hati kita yang sentiasa subur!
Serta agar ia dapat membimbing kita sehingga ke syurga!

  1. Ayat 56- {Dia lah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya, dan Dia lah jua yang berhak memberi keampunan}.
    Allah kata di sini Dia Yang Esa Yang Tunggal saja berhak ditakuti { أَهْلُ ٱلتَّقْوَىٰ}, tanpa sekutu syirik kepada-Nya.

Ayat ini satu galakan kepada orang yang derhaka & maksiat untuk tinggalkan segala dosanya bertaqwa kepada Allah. Takut kepada Allah dengan menjalankan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Jangan bimbang, segala dosa-dosa kamu yang lampau akan diampuni-Nya kerana Allah juga Maha Pengampun { وَأَهْلُ ٱلْمَغْفِرَةِ} akan memberi pengampunan!

Taqwa maknanya seolah kita jadikan tembok dinding antara kita & kemurkaan Allah s.w.t dengan menjalankan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya dan perkara maksiat.

Perkataan Taqwa (ٱلتَّقْوَىٰ) dalam al-Quran kadang-kadang disandarkan samada:
i- Kepada Allah; seperti takutlah kepada Allah!
Jika disandarkan kepada Allah maka bererti hanya Allah sajalah yang berhak & wajib kita takuti, takut akan kemurkaan dan kemarahan-Nya.

ii- Kadang-kadang Allah sandarkan perkataan taqwa itu kepada azab-Nya atau tempat azab.

Seperti firman-Nya:
a- {Maka takutilah api neraka- فَٱتَّقُوا۟ ٱلنَّارَ} [Al-Baqarah: 24].
b- {Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat)- وَٱتَّقُوا۟ يَوْمًۭا} [Al-Baqarah: 281].
*Inilah dua gaya bahasa yang Allah s.w.t guna dalam al-Quran ini.

Alhamdulillah tamatlah sudah kita tafsir & tadabbur surah al-Muddaththir.

Ya Allah dengan pengajian ini, jadikan kami ahli Taqwa & ahli Maghfirah-Mu, yang sentiasa bertaqwa & minta ampun kepada-Mu, orang yang banyak bangun beribadat kepada-Mu, yang sentiasa basah lidahnya berzikir kepada-Mu.

Juga mudah-mudah Ramadhan ini dapat kita isi dengan penuh kebajikan & kebaikan!

Powered by BetterDocs