SURAH AN-NAJMI : AYAT 26-30

\"\"

MALAIKAT TIADA KUASA SYAFAAT, KAFIR MENGATAKAN MALAIKAT ANAK PEREMPUAN TUHAN & TINGGALKAN GOLONGAN YANG SESAT.

Full video : https://youtu.be/7EERfJCCqqk

MUQADDIMAH :

  1. Dalam ayat-ayat siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang dakwaan puak kafir yang mengatakan malaikat anak perempuan tuhan. Kerana itu kononnya mereka menyembah malaikat .
  2. Allah membatalkan dakwaan mereka itu dengan menyatakan bahawa malaikat yang begitu besar dan pelik kejadiannya pun tiada kuasa syafaat, apatah lagi patung berhala rekaan mereka yang tidak berkelip mata atau bergerak setapak pun itu!
  3. Setelah Rasulullah s.a.w menjalankan tugasnya dengan sempurna dan sepenuhnya, maka Allah memberi arahan agar tinggalkan golongan yang sesat, yang tidak mahu menerima kebenaran.
  4. Munasabah ayat:
    i- Setelah Allah s.w.t kecewakan & putuskan pengharapan mereka untuk mendapat kebaikan dari penyembahan berhala yang tidak dapat memberi apa-apa pertolongan & syafaat, tidak dapat mendekatkan diri kepada Allah.

ii- Allah s.w.t sebut pula tentang malaikat yang begitu ramai di langit, tetapi tetap tidak dapat memberi syafaat & pertolongan kepada sesiapa tanpa izin Allah s.w.t.

  1. Syarat untuk syafaat itu ada dua:
    i- keizinan dari Allah s.w.t kepada pemberi.
    ii- Allah s.w.t redha kepada golongan penerima juga, dari kalangan ahli Tauhid!

AYAT 26- {(GOLONGAN YANG MUSYRIK MENGHARAPKAN PERTOLONGAN BENDA-BENDA YANG MEREKA SEMBAH ITU) PADAHAL BERAPA BANYAK MALAIKAT DI LANGIT, SYAFAAT MEREKA TIDAK DAPAT MENDATANGKAN SEBARANG FAEDAH, KECUALI SESUDAH ALLAH MENGIZINKAN BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA DAN DIREDHAINYA.} (AN-NAJM 53:26)

  1. Kaum musyrikin itu mengharapkan apa yang mereka sembah itu dapat memberi pertolongan kepada mereka, memberi manfaat & faedah, menunaikan permintaan mereka!
  2. Tetapi Allah menghapuskan sangkaan mereka itu dengan buat bandingan sedangkan malaikat yang begitu ramai di langit dan besar kejadiannya tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali dengan keizinan Allah.
  3. Hanya sesiapa yang Allah s.w.t izin sahaja dapat memberi syafaat pertolongan.
  4. Firman Allah s.w.t:
    i- {Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)} (Al-Baqarah 2:255)

ii- {Dan tidak berfaedah syafaat di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan Allah, (maka orang-orang yang hendak memohon syafaat terpaksa menunggu izin itu dengan penuh perasaan takut dan bimbang) sehingga apabila dihapuskan Allah perasaan takut dari hati mereka (dengan pemberian izin itu) bersukarialah mereka dengan bertanya-tanyaan sesama sendiri: \”Apakah yang telah dititahkan oleh Tuhan kamu?\” Sebahagian di antara mereka menjawab: \”Tuhan telah menitahkan kebenaran\”; dan Dia lah jua Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar kekuasaan-Nya.} (Saba\’ 34:23)

iii- {Dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah; dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azab-Nya.} (Al-Anbiyaa\’ 21:28)

5. Kata ulama\’; isu syafaat in sempit. Walaupun para malaikat yang ramai & dekat dengan Allah s.w.t, tetap tidak dapat memberi syafaat kepada seseorang TANPA izin & redha Allah s.w.t! Apatah lagi mengharapkan berhala-berhala kaku sembahan & ciptaan mereka itu, jauh sekali!

6. Begitu juga mereka yang mencari syafaat memohon doa dari orang yang telah mati, juga tidak benar! Tidak ada jalan tengah atau perantaraan untuk memohon dari Allah s.w.t.

AYAT 27-{SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG TIDAK BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT SAHAJALAH, YANG TERGAMAK MENAMAKAN MALAIKAT ITU DENGAN NAMA PEREMPUAN.} (AN-NAJM 53:27)

  1. Hanya orang yang tidak beriman kepada hari Akhirat tergamak mengatakan bahawa malaikat itu perempuan dan mendakwanya sebagai anak perempuan Tuhan juga!

2 Munasabah ayat: Setelah dinyatakan berhala sembahan mereka tidak dapat memberi manfaat, mereka ambil keputusan untuk sembah malaikat pula!

  1. Mereka menyembahnya dengan sangkaan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan! Alasan mereka juga kerana malaikat itu besar, ramai & dekat kepada Allah!
  2. Kita wajib meminta terus kepada Allah s.w.t tanpa menggunakan perantaraan yang boleh membawa kepada kesesatan & kebatilan!
  3. Firman Allah s.w.t:
    { وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ}
    \”….Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku adalah dekat.\” (Al-Baqarah: 186)

AYAT 28-{SEDANG MEREKA TIDAK MEMPUNYAI SEBARANG PENGETAHUAN MENGENAINYA. MEREKA TIDAK LAIN HANYALAH MENGIKUT SANGKAAN SEMATA-MATA, PADAHAL SESUNGGUHNYA SANGKAAN ITU TIDAK DAPAT MEMENUHI KEHENDAK MENENTUKAN SESUATU DARI KEBENARAN (IKTIQAD).} (AN-NAJM 53:28)

  1. Sedangkan puak kafir itu tidak ada dalil & hujjah serta ilmu yang dapat membuktikan akan kesahihan dalam dakwaan mereka!
  2. Semuanya tiada asas samada dari kitab terdahulu atau dari rasul dahulu yang mengatakannya, tada maklumat, hanya dakwaan dan rekaan mereka semata-mata!
  3. Allah s.w.t nafikan mereka ada ilmu dan maklumat tentang kejadian malaikat itu, hanya satu sangkaan (ٱلظَّنَّ) yang dusta tanpa ilmu & keyakinan!
  4. Maka Allah putuskan; sangkaan itu jauh sekali daripada kebenaran iktikad- maka hendaklah kamu jauhinya! Ia tidak menegakkan kebenaran dan boleh membawa kepada keburukan.
  5. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Sabda Nabi S.A.W:

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ، وَلاَ تَحَسَّسُوا، وَلاَ تَجَسَّسُوا، وَلاَ تَبَاغَضُوا، وَلاَ تَدَابَرُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا ‏

Maksudnya: Jauhilah daripada berprasangka buruk, kerana prasangka buruk merupakan dusta yang besar. Dan janganlah melihat kesalahan orang lain, dan janganlah suka mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah saling membenci, dan janganlah memutuskan hubungan persaudaraan (atau berkonspirasi) akan tetapi jadilah kamu semua sebagai hamba Allah yang bersaudara.\” [HR al-Bukhari (6724)].

AYAT 29-{OLEH ITU, JANGANLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) HIRAUKAN ORANG YANG BERPALING DARI PENGAJARAN KAMI, DAN TIDAK MAHU MELAINKAN KEHIDUPAN DUNIA SEMATA-MATA.} (AN-NAJM 53:29)

  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- setelah Allah nyatakan binaan sangkaan mereka adalah batil & sesat, juga apabila Rasulullah s.a.w telah menyampaikan kepada mereka dakwah yang berterusan, diberi ilmu & maklumat yang lengkap & sempurna, maka;

ii- berpaling, tinggalkanlah mereka yang tidak mahu menerima ajaran kamu & al-Quran itu! Iaitu jangan berfikir & runsing lagi untuk menyelamatkan mereka dari kesesatan & kemurkaan Allah s.w.t!

  1. Begitu juga kita hari ini, jika kita sudah berdakwah & mengajar, hidayah petunjuk sudah disampaikan, mereka masih degil & keras kepala, maka jangan kecewa & sedih itu adalah kerja Allah s.w.t!
  2. Dakwah kena berjalan & teruskan cuma jangan menjadikan kegagalan mendakwah mereka itu memberi kesan buruk atas dakwah kita! Kita tinggalkan mereka teruskan dakwah kepada yang lain.
  3. Begitu juga dalam dakwah kepada kafir & negara kafir, ada 3 pilihan:
    i- terima Islam.
    ii- tidak terima tetapi duduk di bawah pemerintahan Islam dengan aman.
    iii- mahu lawan juga- maka perangilah mereka!
  4. Ini semua kerana mereka tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata, jika terima Islam banyak halangan & sekatan ke atas nafsu mereka.

AYAT 30-{ (KEPENTINGAN DUNIA) ITULAH SAHAJA TUJUAN TERAKHIR DARI PENGETAHUAN YANG DICAPAI OLEH MEREKA. SESUNGGUHNYA TUHANMU, DIA LAH JUA YANG LEBIH MENGETAHUI AKAN ORANG YANG SESAT DARI JALANNYA, DAN DIA LAH JUA YANG LEBIH MENGETAHUI AKAN ORANG YANG MENDAPAT HIDAYAH PETUNJUK.} (AN-NAJM 53:30)

  1. Mereka ini hanya mengejar & mencari kehidupan dunia.
  2. Allah s.w.t tahu siapa yang sesat & tersasar dari jalan-Nya.
  3. Munasabah ayat- setelah Allah s.w.t nyatakan apa yang ada pada orang kafir itu:
    i- maka Allah s.w.t nyatakan bahawa Dia tahu siapa yang sesat & siapa yang mendapat hidayah.

ii- lalu perintah agar Rasulullah s.a.w tinggalkan mereka itu sedangkan Baginda amat loba & tamak mahukan mereka beriman dan menerima Islam. Ini kerana Allah s.w.t tahu siapa yang sesat & tidak, maka Nabi s.a.w jangan runisng & bimbang lagi!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 26- {(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit,}- disebut malaikat sebagai penghuni langit untuk:

i- menunjukkakan kemuliaan & ketinggian malaikat yang berada di langit yang tinggi.

ii- malaikat dekat dengan Allah, tahu segala rahsia & arahan Allah s.w.t kepada mereka.

iii- tetapi ketahuilah mereka tetap tidak dapt memberi syafaat & pertolongan kepada manusia tanpa izin & kuasa dari Allah s.w.t!
Kata ulama\’: maka jika malaikat yang begitu besar & hebat ini tidak dapat memberi pertolongan apatah lagi makhluk lain seperti manusia yang telah mati atau hidup, atau benda kaku tidak bernyawa atau bergerak!

Maka jangan campakkan diri kita dalam risiko yang begitu bahaya yang boleh membawa kepada larangan Allah s.w.t!

  1. Ayat 26- {syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhaiNya.}- dari ayat in kita boleh dapat hukum bahawa syafaat itu:
    i- hanya dengan izin Allah s.w.t kepada pemberinya.
    ii- redha Allah kepada penerima itu juga.

Kata ulama\’ kecuali dalam kes bapa saudara Rasulullah s.a.w- Abu Talib yang diringankan azabnya di dalam neraka dengan syafaat Rasulullah s.a.w walaupun dia tidak mendapat keredhaan Allah (bukan orang beriman).

Malaikat pun ada yang mendapat kuasa & izin Allah untuk memberi syafaat.

  1. Ayat 28-{ padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).} – kenapa dalam ayat ini dikatakan sangkaan- zhan (ٱلظَّنَّ) itu tidak dapat sampai kepada darjat ilmu yang benar, sedangkan dalam Feqah ada masalah yang dibina hukumnya berdasarkan sangkaan (ٱلظَّنَّ) juga?

JAWAPAN :

i- ini kerana zhan yang dilarang di sini ialah zhan banyak ikut sangkaan & hawa nafsu sahaja.

ii- manakala dalam feqah, hukum zhan itu terbit dari kajian kepada dalil-dalil & penelitian kepada hukum-hukum.

ii- Zhan (ٱلظَّنَّ) itu pula ada dua jenis:
a- syak yang sama taraf- 50-50. Seperti dalam ayat ini juga firman Allah s.w.t:
{Kamu berkata: ` Kami tidak mengetahui apa dia hari kiamat itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua (إِن نَّظُنُّ إِلَّا ظَنّٗا), dan kami tidak sekali-kali meyakininya \’.\”} (Al-Jaathiyah 45:32)

ii- zhan yang ada ilmu yang yakin seperti dalam beberapa ayat al-Quran ini:
i- {Dan yakinlah (وَظَنُّواْ) mereka bahawa tidak ada sebarang jalan untuk mereka melepaskan diri (dari azab seksa).} (Fussilat 41:48)
ii- {Berkata pula orang-orang yang yakin (يَظُنُّونَ) bahawa mereka akan menemui Allah: \”Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar\”.} (Al-Baqarah 2:249)

  1. Ayat 29-{Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan orang yang berpaling dari pengajaran Kami, dan tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata.}- tinggalkan lah mereka yang lari dari al-Quran & dakwah Nabi s.a.w.
    Rasulullah s.a.w itu seperti seorang pakar perubatan hati manusia.

Mengikut susunan peraturan doktor dalam ilmu perubatan:
i- penyakit yang boleh diubati dengan mengubah diet pemakanan.
ii- jika tak jadi juga baru diberi ubat.

iii- tak jadi juga maka rawatan terakhir ialah guna besi panas (الكي) seperti rawatan kemoterapi pada zaman kita ini!

Seperti juga dakwah & ubat hati yang diajar olehh Rasulullah s.a.w:
i- zikir- iaitu sebut dan ceritakan tentang kebaikan & kebenaran.

ii- beri dalil untuk berfikir melihat kepada tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t!

Firman Allah s.w.t:
a- {Patutkah mereka (ingkar dan) tidak mahu memikirkan (dengan fikiran yang siuman bahawa) sahabat mereka (Muhammad) tidak sekali-kali mengidap penyakit gila (sebagaimana yang mereka tuduh itu), bahkan ia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) yang memberi amaran yang jelas.} (Al-A\’raaf 7:184)

b- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.} (Yunus 10:101)

c- {(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?} (Al-Ghaasyiyah 88:17)

iii- bagi amaran & ancaman atau perangi mereka akhirnya!

  1. Ayat 30-{(Kepentingan dunia) itulah sahaja tujuan terakhir dari pengetahuan yang dicapai oleh mereka. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.}- dalam ayat ini Allah s.w.t ceritakan tentang keadaan manusia, ada yang menerima ada yang tidak.

Orang yang menolak dakwah Rasulullah s.a.w ialah mereka yang mahu Dunia saja.
i- Mereka tidak mendapat ilmu kerana mereka tolak & tak mahu menerima ajaran dakwah Rasulullah, maka tinggalkanlah mereka!
In kerana Allah s.w.t mengetahui semuanya, siapa yang sesat & siapa yang mendapat kebenaran, tetapi kita tidak tahu sebab yang terjadi dibawah ilmu Allah.

Contoh paling jelas, lihat Abu Sufyan r.a, 20 tahun menentang melawan Rasulullah s.a.w, akhirnya masuk Islam dan menjadi salah seorang sahabat yang masyhur.
Maka teruskan dakwah jangan kecewa!

ii- juga larangan agar jangan ikut ajaran yang sesat.
Bagaimana kita nak tahu mana yang sesat mana yang tidak? Timbangla antara dua pengajian, dengar & periksalah, ajaran & amalan yang dibawa, mana lebih hampir & bertepatan dengan al-Quran & Sunnah kita terima.

Jangan taksub membuta, tutup telinga & hati daripada mengkaji & menilai terlebih dahulu.

Powered by BetterDocs