SURAH AL-LAIL : AYAT 5-11

\"\"

GOLONGAN YANG INFAQ DAN BERIMAN LAWAN SI BAKHIL DAN DERHAKA: SEMUANYA DISEDIAKAN BALASAN.

Full video : https://youtu.be/4u_DZ0I3B2Q?si=3aflXNWYLagjPKg4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang dua golongan manusia iaitu:
    i- Pertama golongan beriman yang infaq yang pemurah mengeluarkan hartanya pada jalan kebaikan. Ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara, dengan harta, ilmu atau tenaga pertolongan.

ii- Maka kita pilihlah jalan mana yang kita nak buat, lorong kebaikan mana yang kita nak buat agar kita mendapat kebaikan dengan izin Allah Azza wa Jalla.

  1. Allah juga nyatakan kumpulan yang sebaliknya iaitu yang tidak baik, golongan bakhil dan derhaka: Yang imsak (memegang) hartanya daripada dikeluarkan ke jalan kebaikan, tidak dilaburkan ke jalan Allah s.w.t!
  2. Semuanya disediakan balasan. Usaha kita buat ini ada macam-macam ada yang baik ada yang buruk maka begitu jugala balasannya!
  3. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelum ini Allah s.w.t bersumpah dengan makhluk-Nya serta usaha manusia itu amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya.

Allah nyatakan makna perbezaan pelbagaian amalan manusia dari sudut yang baik & buruk serta balasannya begitu juga- pahala & siksaan.

ii- maka dalam ayat ini Allah nyatakan penjelasan:
a) orang yang bertaqwa dan memberi kepada jalan kebaikan itu adalah orang yang baik amalannya.
b) orang yang berasa terkaya dari rahmat Allah dan bakhil adalah orang yang buruk amalannya.

AYAT 5- {JELASNYA: ADAPUN ORANG YANG MEMBERIKAN APA YANG ADA PADANYA KE JALAN KEBAIKAN DAN BERTAQWA (MENGERJAKAN SURUHAN ALLAH DAN MENINGGALKAN SEGALA LARANGANNYA),} (AL-LAIL 92:5)

  1. Allah s.w.t gambarkan dalam ayat ini bahawa orang yang baik itu ada 3 sifatnya:
    i- orang yang memberikan { مَنْ أَعْطَىٰ} apa yang ada padanya ke jalan kebaikan.
    ii- dan bertaqwa {وَٱتَّقَىٰ} dengan mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
  2. Ada sebahagian ulama\’ seperti Abdullah bin Mas\’ud ra. yang mengatakan ayat ini maksudnya ditujukan kepada manusia pertama yang beriman kepada Allah & Rasul-Nya dari kalangan lelaki iaitu Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq dan semua orang beriman yang ikut jejak beliau dalam menginfaq hartanya fi-sabilillah tanpa had!
    *Maka dia layak mendapat anugerah yang besar ini!
  3. Sifat kedua ialah bertaqwa kepada Allah s.w.t! Ada orang yang banyak infaq tetapi bab ibadat tidak dijaga, auratnya tidak kemas tertutup dan lain-lain kekurangan.
  4. Makna taqwa ialah: menjadikan tembok dinding pemisah antara dia dengan azab Allah s.w.t!
    Mengerjakan suruhan Allah s.w.t & meninggalkan segala larangan-Nya!

AYAT 6- {SERTA IA MENGAKUI DENGAN YAKIN AKAN PERKARA YANG BAIK,} (AL-LAIL 92:6)

  1. Ini adalah sifat yang ketiga: iaitu ia mengakui dengan yakin segala perkara yang baik
    {وَصَدَّقَ بِٱلْحُسْنَىٰ}.
  2. Antara perkara yang baik { الْحُسْنَىٰ} itu ialah:
    i- kalimah tauhid:
    { أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ}

ii- mengakui & yakin adanya syurga!

iii- yakin kepada segala perkara yang dijanjikan Allah s.w.t yang elok yang kita kena jaga.

Semua ini kembali kepada satu maksudnya- kesemuanya merangkumi dalam husna- kebaikan.

  1. Firman Allah s.w.t juga tentang ini:
    i- {Dan mengapa kamu tidak membelanjakan harta benda kamu pada jalan Allah? – Padahal Allah jualah yang mewarisi langit dan bumi (serta segala isinya). Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Makkah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. Dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu kerjakan.

Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan (selain itu) ia akan beroleh pahala yang besar!} (Al-Hadid 57: 10-11)

ii- {Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati\”.} (Al-Kahfi 18:88)

AYAT 7- {MAKA SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MEMBERIKANNYA KEMUDAHAN UNTUK MENDAPAT KESENANGAN (SYURGA).} (AL-LAIL 92:7)

  1. Maka Allah s.w.t akan permudahkan baginya jalan ke arah kebaikan iaitu jalan yang akan menyampaikannya ke syurga.
  2. Iaitu Allah s.w.t akan permudahkan hatinya, perasaannya dan segala gerak kerjanya untuk buat amal yang dapat bawa ke syurga!
  3. Hadis riwayat Ali bin Abu Talib r.a bahawa Rasulullah pernah memberi tazkirah di kubur:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ يَوْمٍ جَالِسًا وَفِي يَدِهِ عُودٌ يَنْكُتُ بِهِ فَرَفَعَ رَأْسَهُ فَقَالَ:
‏\”مَا مِنْكُمْ مِنْ نَفْسٍ إِلاَّ وَقَدْ عُلِمَ مَنْزِلُهَا مِنَ الْجَنَّةِ وَالنَّار.\”
‏ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ فَلِمَ نَعْمَلُ أَفَلاَ نَتَّكِلُ.
قَالَ: ‏\” لاَ اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ لِمَا خُلِقَ لهَ ثُمَّ قَرَأَ: ( فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى). ‏

Maksudnya: Kami berada dalam proses pengebumian jenazah di perkuburan Baqi\’ al-Gharqad. Kemudiannya Nabi S.A.W datang kepada kami lalu Baginda duduk, dan kami pun duduk di sekeliling baginda. Bersama dengan Nabi sebatang kayu lalu baginda memusing musingkannya daripada atas ke bawah.

Kemudian baginda bersabda: \’\’Tidak ada seorangpun daripada kamu, tidak ada satu jiwa yang bernafas melainkan telah ditulis akan kedudukannya di syurga atau neraka.
Serta telah dituliskan sama ada dia derita ataupun bahagia.

Maka seorang lelaki berkata: \”Wahai Rasulullah, tidakkah patut kita sekadar berserah kepada apa yang telah tertulis untuk kita dan kita meninggalkan beramal?
Jawab Baginda S.A.W:.Tidak.
Maka sesiapa dari kalangan kita yang merupakan golongan yang bahagia, ia akan membawanya kepada amalan golongan yang bahagia.
Dan sesiapa dari kalangan kita yang merupakan golongan derita (celaka) maka itu akan membawanya kepada amalan golongan yang derita\’\’.

Maka sabda baginda S.A.W: \’\’Adapun golongan yang bahagia, akan dipermudahkan mereka untuk beramal dengan amalan golongan yang bahagia. Manakala golongan yang derita, akan dipermudahkan untuk beramal dengan amalan golongan yang derita\’\’.

Kemudian baginda membaca ayat: \’\’Maka sesiapa yang diberikan (kurniaan) dan dia bertakwa..\’\’ [HR al-Bukhari (1362)].

  1. Inilah yang kita takut, macamana kita nak tahu apakah kita akan menjadi orang baik atau tidak baik?
    Usahakan untuk menjadi orang yang baik dan perbanyakkan amal soleh serta banyakkan berdoa dengan doa-doa yang diajar agar istiqomah.
  2. Antara doa-doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w:

i- يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ –
\”Wahai Tuhan yang Maha membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.\”

ii- اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ-
\”Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari terseleweng dari landasan yang benar setelah mendapat hidayah.\”

iii- اللَّهُمَّ أَعِنِّى عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ-
\”Ya Allah, bantulah aku dalam mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperbaiki ibadahku.\”

iv- رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوْبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ-

\”Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan setelah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia).\”

BACALAH PADA SETIAP PAGI PETANG & SIANG MALAM!

AYAT 8- {SEBALIKNYA: ORANG YANG BAKHIL (DARIPADA BERBUAT KEBAJIKAN) DAN MERASA CUKUP DENGAN KEKAYAAN DAN KEMEWAHANNYA,} (AL-LAIL 92:8)

  1. Kemudian Allah s.w.t bawa pula 3 sifat bagi golongan yang sebaliknya iaitu orang yang bakhil lagi kedekut { مَنۢ بَخِلَ} dalam infaq fi-sabilillah dan berbuat kebajikan.
  2. Bakhil ini bukan hanya soal duit atau harta, tetapi amalannya juga bakhil.
    Bakhil ini samada:
    i- jika dia orang berharta- sayang dan tidak infaq hartanya fi-sabilillah.

ii- jika dia orang berilmu- bakhil tidak mahu mengajar menyampaikan ilmunya tanpa mendapat upah atau pulangan yang banyak dan melampaui batas.
Orang minta nasihat pun kena bayar.

iii- atau bakhil dari sudut amalan-sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w sendiri ialah orang yang apabila mendengar nama Rasulullah s.a.w disebut- dia tidak berselawat ke atasnya.

  1. Sifat kedua: Dia juga sombong dan takabbur, merasa cukup { وَٱسْتَغْنَىٰ } dengan kekayaan dan kemewahannya lalu dia berasa:
    i- tidak perlu kepada rahmat & pertolongan Allah s.w.t!

ii- lagi dia tidak melakukan ketaatan kepada Allah lagi kaya atau besar kemasukan hartanya! Bahkan menganggap amal ibadat dapat mengganggu pekerjaannya.

  1. Contoh merasa cukup { وَٱسْتَغْنَىٰ} ini bagi orang Islam & beriman:
    i- tidak peduli dengan tawaran pahala yang ditawarkan oleh Allah tentang pahala sunat seperti solat rawatib dan lain-lain.

ii- tidak mahu bercukur kepala selepas umrah atau haji kerana sayang rambut dan lain-lain alasan yang remeh- sedangkan Rasulullah s.a.w mendoakan rahmat Allah kepada mereka sebanyak 3 kali!

  1. Dia juga tidak peduli kepada orang lain yang memerlukan bantuannya.

AYAT 9- {SERTA IA MENDUSTAKAN PERKARA YANG BAIK,} (AL-LAIL 92:9)

  1. Ini adalah sifatnya yang ketiga iaitu mendustakan perkara yang baik. {وَكَذَّبَ بِٱلْحُسْنَىٰ}.
  2. Yakni- tidak percaya kepada hari Kiamat, tidak percaya kepada syurga, tidak percaya kepada undang-undang Islam yang begitu indah dan adil, serta pelbagai kesombongan lagi!

AYAT 10- {MAKA SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MEMBERIKANNYA KEMUDAHAN UNTUK MENDAPAT KESUSAHAN DAN KESENGSARAAN;} (AL-LAIL 92:10)

  1. Jangan kita bermudah-mudahlah dengan tawaran pahala, kerana harta kita akan rosak jika kita tidak infaq, jaga ketaatan kepada Allah atau tidak rasa berhajat kepada rahmat Allah, serta mendustakan kebenaran.
  2. Maka urusannya akan disusahkan- kemuncak kesusahan itu ialah neraka samada bagi orang kafir azab yang kekal atau sementara bagi orang yang beriman- wal-iyazu billah.
  3. Maka Allah permudahkan untuknya jalan untuk keburukan iaitu dengan menyebabkan dia suka kepada kepada perbuatan yang tidak baik maka dia akan mudah sampai ke neraka- wal-iyazu billah.
  4. Kata Syeikh Ibnu al-Qayyim rhm., Allah permudahkan jalan ke arah keburukan itu dengan dua cara iaitu:
    i- Allah sekat atau halang antara dia dan sebab-sebab untuk dapat kebaikan.
    Maka atas lidah, hati dan perbuatannya adalah keburukan belaka!

Contoh: Kita dah kemukakan kepada masyarakat ini amalan Sunnah yang sahih yang Nabi s.a.w buat, tetapi masih mahu amalkan amalan yang diajar oleh orang lain!
Sudah ditunjukkan jalan yang baik tetapi tetap pilih jalan yang lain lagi, masih lagi tidak mahu bersihkan hati daripada sifat dendam, hasad dan seumpamanya.

ii- Allah s.w.t halangnya daripada mendapat pahala yang mudah dan simple. Contohnya pahala ke masjid, ambik wuduk dari rumah, baca doa-doa dan lain-lain, buat baik kepada orang dan seumpamanya- semua ini mudah! Tetapi tidak mudah baginya untuk melakukannya!

Hanya Allah s.w.t sahaja yang dapat membantu kita menghadapi masalah yang ada ini!
الله المستعان

AYAT 11- {DAN APAKAH PERTOLONGAN YANG DAPAT DIBERI KEPADANYA OLEH HARTANYA APABILA IA TELAH TERJERUMUS (KE DALAM AZAB SEKSA HARI AKHIRAT)?} (AL-LAIL 92:11)

  1. Orang yang bakhil tidak mahu infaq dan zakat maka di Akhirat kelak tiada siapa yang dapat menolongnya. Tiada guna hartanya yang dikumpul dan disayangi selama ini, yang dia bakhil dengannya atas dunia ini!
  2. Dengan sebab bakhilnya juga dia tidak akan mendapat rahmat Allah s.w.t lalu dicampakkan ke dalam neraka Jahannam- wal-iyazubillah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 5- {Jelasnya: adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya),}
    Ayat 6- {Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik}.
    Ayat 7- {Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga).}- dari tiga ayat ini kita dapati bahawa orang yang benar, bersedekah dan melakukan ketaatan, Allah permudahkan jalan nya ke syurga.

Kata ulama\’, AGAMA (الدين) ini duduk atas 3 paksi iaitu:
i- buat yang disuruh
ii- tinggal yang dilarang
iii- membenarkan apa yang dikhabar dan diperintahkan oleh Allah s.w.t.

Iaitu ada dua tuntutan:-
i- tuntutan melakukan perintah Allah dan apa yang baik.
ii- tuntutan untuk meninggalkan apa yang dilarang, yang tidak baik- inilah makna taqwa kepada Allah!

  1. Ayat 5- {Jelasnya: adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya),} &
    Ayat 8- {Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya,}- daripada dua ayat ini Allah bawa dua perbandingan iaitu:

i- menginfaq {أَعْطَىٰ} vs bakhil {بَخِلَ}
ii- bertakwa {ٱتَّقَىٰ} vs merasa cukup {ٱسْتَغْنَىٰ}. Istaghna bermaksud tidak mengharap pertolongan Allah, berasa terkaya, cukup dengan apa yang dia miliki.

Persoalan:
Kenapa Allah s.w.t bawa dua sifat berbeza ini, bertaqwa lawannya terkaya? apakah mungkin seorang manusia itu berasa kaya (tidak perlu) akan rahmat Allah? Yakni dalam konteks orang yang beriman.

JAWAPAN :

i- orang yang bertaqwa dia menjiwai perlunya kepada rahmat dan berhajatnya kepada pertolongan Allah s.w.t- maka dia akan sebar dan bahagikan apa saja yang dia ada samada ilmu, hartanya dan apa saja miliknya pada jalan Allah s.w.t!
Dia juga tidak akan melakukan perkara yang dibenci Allah s.w.t!

ii- manakala apabila seseorang itu hilang sifat taqwanya, akan datang perasaan {ٱسْتَغْنَىٰ} tidak berasa perlu kepada rahmat Allah s.w.t, sifat merasa terkaya, takabbur & sombong ini!

Berasa membebankan untuk berbuat baik, sedekah atau bayar zakat!
Ingatlah sekali Allah sentap dan tarik semua nikmat itu baru kita tahu tinggi rendah dunia ini!

  1. Ayat 7- {Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga).} &
    Ayat 10- {Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan;}-
    dari dua ayat ini jelas bahawa yang baik Allah s.w.t akan permudahkan kepada jalan yang baik, yang tidak baik sebaliknya akan dipermudahkan kepada jalan yang tidak baik.

Ayat ini menjadai dalil bahawa taufiq dan hidayah untuk kita menjadi baik itu di bawah kuasa Allah s.w.t, begitu juga jika Allah nak biarkan kita tidak ada kebaikan juga di bawah kuasa-Nya.

Maka jangan sekali-kali kita berasa terkaya daripada bimbingan, petunjuk & hidayah Allah; berasa tidak perlu kepada rahmat dan pertolongan Allah s.w.t!

Jangan dipandang dengan perasaan iri atau terpengaruh dengan orang kafir atau orang derhaka yang kaya dan senang atas dunia ini- itu adalah istidraj dari Allah s.w.t- lagi kufur lagi kaya, lagi jahat & zalim lagi berkuasa, lagi kuat penipu lagi banyak penyokong!

  1. Ayat 5- Ayat 6-& Ayat 7- Allah s.w.t sebut bahawa sesiapa yang beriman & bertaqwa, berbuat baik dengan melakukan ketaatan, Allah akan permudahkan jalan ke syurga.

Persoalan:
Ayat ini menunjukkan siapa yang buat baik akan dapat pahala & balasan baik dan syurga Allah s.w.t. Apakan ini menafikan keikhlasan manusia dalam beribadat?

JAWAPAN :

Tidak sekali-kali, segala kebaikan yang kita dapat atas dunia ini serta janji syurga di akhirat kelak; ini merupakan khabar gembira yang segera, yang Allah sampaikan kepada kita dan ia tidak menafikan Ikhlas!

Ingatlah segala kebaikan dunia yang kita dapat atas dunia ini adalah khabar gembira segera di dunia. Cuma jangan sombong & takabbur atas dunia ini!

Siapa baik dan buat baik, balasannya syurga, segala kebaikan Allah akan puji. Balasan gembira dan pengharapan syurga tidak menafikan keikhlasan itu. Bukan seperti pandangan ahli tasauf yang mengatakan tidak boleh minta syurga- sedangkan Rasulullah s.a.w suruh kita mintanya!

Sebagaimana kita buat baik kemudian orang puji. Kita tidak mengharapkannya apatah lagi meminta dipuji, maka ia adalah satu penghargaan.

  1. Ayat 8- Ayat 9- & Ayat 10- iaitu tentang golongan yang sebaliknya pula. Iaitu orang yang tidak beriman, tidak bertaqwa & tidak mahu ikut perundangan Islam, riba rasuah menipu buat belaka.

Jika manusia yang begini, yang menentang Allah tetapi kaya raya, itu adalah istidraj. Iaitu Allah S.W.T beri kekayaan & kesenangan dunia walaupun dia tidak beriman atau beramal soleh kerana Allah tidak lagi redha kepadanya. Maka Allah permudahkan jalan di dunia dan jalan ke neraka.

Maka jangan kita terpengaruh dan terkesan dengan mereka ini kerana dapat kekayaan dan kesenangan dunia; tapi Allah uji mereka supaya dia makin sombong makin tidak sedar! Allah permudahkan kehidupannya atas dunia ini serta memudahkan juga jalan ke neraka baginya!

Kita berdoa agar Allah permudahkan jalan kita semua jalan ke arah kebaikan & syurga; bukan jalan maksiat yakni jalan ke neraka!

Powered by BetterDocs