SURAH AS-SAFF : AYAT 10-13

\"\"

PERNIAGAAN DENGAN ALLAH, CIRI-CIRINYA & PERTOLONGAN ALLAH S.W.T.

Full video : https://youtu.be/DwF8uUTyfpE

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah tentang perniagaan dengan Allah s.w.t Ini adalah satu perniagaan yang tidak akan rugi.
  2. Kecuali kita sendiri yang merugikannya dengan tidak ikhlas kepada Allah s.w.t!
  3. Allah juga nyatakan ciri-ciri perniagaan ini apakah sifat dan kriterianya.
  4. Kemudian Allah s.w.t nyatakan harga atau bayarannya yang begitu besar; iaitu syurga dan segala nikmatnya yang tidak terhitung.
  5. Allah s.w.t juga memberi jaminan bahawa Islam akan menang dengan pertolongan Allah.
  6. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat-ayat yang lepas Allah s.w.t menyebut tentang banyaknya pertolongan kepada Rasulullah s.a.w dan sesiapa yang menentangnya akan binasa.

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t beri satu galakan dan tunjuk-ajar satu perniagaan yang cepat dan menguntungkan. Pulangannya laju dan cepat.

Contoh- seorang sahabat yang baru beriman pada waktu paginya kemudian terus pergi berjihad lalu mati syahid tanpa sempat solat satu waktupun! Terus mendapat ganjaran pahala seperti para syuhada\’ lain.

AYAT 10- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! MAHUKAH AKU TUNJUKKAN SESUATU PERNIAGAAN YANG BOLEH MENYELAMATKAN KAMU DARI AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA?} (AS-SAFF 61:10)

  1. Allah s.w.t menyeru dan memberi arahan kepada orang yang beriman. Jika kamu orang beriman maka celiklah mata dan bukalah telinga!
  2. Allah s.w.t menawarkan satu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya!

AYAT 11- {IAITU, KAMU BERIMAN KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, SERTA KAMU BERJUANG MEMBELA DAN MENEGAKKAN AGAMA ALLAH DENGAN HARTA BENDA DAN DIRI KAMU; YANG DEMIKIAN ITULAH YANG LEBIH BAIK BAGI KAMU, JIKA KAMU HENDAK MENGETAHUI (HAKIKAT YANG SEBENARNYA).} (AS-SAFF 61:11)

  1. Ciri-ciri perniagaan itu ialah:
    i- Keimanan yang mantap dan sepenuhnya terhadap Allah & Rasul-Nya. Hati yang yakin dan anggota mematuhinya dengan melakukan apa yang diperintah.

ii- kemudian berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri sendiri.

  1. Allah huraikan lagi dalam firman-Nya ini:
    {Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.} (At-Taubah 9:111)
  2. Hadis daripada Abu Zar, Jundub bin Junadah R.A, katanya, aku bertanya:
    \”Wahai Rasullullah, apakah amalan yang paling afdhal?\”
    Maka dijawab oleh Rasulullah S.A.W:
    \”Beriman kepada Allah S.W.T dan berjihad dijalannya.\” [HR Bukhari & Muslim].

Serta banyak lagi hadis-hadis yang menyebut tentang kelebihan jihad.

  1. Dua perkara besar ini: Beriman dan berjihad ini lebih baik bagi kamu di dunia & Akhirat jika kamu tahu kelebihan dan hakikat sebenarnya.
  2. Ulama\’ kata maksudnya perkataan
    (ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ)
    lebih baik bagi kamu:
    i- iaitu sesuatu amalan yang paling baik bagi kamu.
    ii- beriman dan berjihad adalah amalan yang terbaik yang kamu buat!
  3. Dalil banyak lagi juga perkara yang lebih baik:
    i- Nabi S.A.W pernah ditanya, \”Apakah amalan yang paling dicintai disisi Allah S.W.T? Nabi menjawab \”Solat pada waktunya. Kemudian berbuat kepada dua ibu bapa.\” [HR Bukhari & Muslim].

Yakni adakala Rasulullah s.a.w jawab begitu dan begini, kerana mengikut keadaan orang yang bertanya. Ini kerana amalan yang terbaik dalam Islam adalah banyak dan mengikut suasana.

AYAT 12- {(DENGAN ITU) ALLAH AKAN MENGAMPUNKAN DOSA-DOSA KAMU, DAN MEMASUKKAN KAMU KE DALAM TAMAN-TAMAN YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI, SERTA DITEMPATKAN KAMU DI TEMPAT-TEMPAT TINGGAL YANG BAIK DALAM SYURGA \” ADN \”. ITULAH KEMENANGAN YANG BESAR.} (AS-SAFF 61:12)

  1. Jika kamu beriman kepada Allah & Rasulullah serta berjihad fisabilillah apakah yang kamu dapat?
  2. Sebagai balasannya Allah s.w.t akan pertamanya:
    i- ampunkan dosa kamu
    ii- sembunyikan dosa-dosa kamu
    iii- selamatkan dari api neraka & azabnya.
  3. Kemudian balasan kedua ialah:
    i- Allah s.w.t memasukkan kamu ke dalam syurga.

ii- Sifat syurga itu amat indah dan penuh nikmat seperti taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Allah gambarkan syurga dengan keindahan!

  1. Balasan ketiga:
    i-serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga \”Adni\”, iaitu syurga yang kekal.

ii- Kamu tidak akan berpindah atau keluar darinya selama-lamanya!

  1. Ulama\’ membincangkan pula maksudnya { وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةًۭ}- tempat tinggal yang baik:
    i- luas dan indah.
    ii- kekal selamanya
    iii- tidak akan rosak.
  2. Kesimpulannya- semua nikmat dan keindahan syurga yang tidak dapat digambar dan disebut! Allah sudah menyediakan segala nikmat yang mata tidak pernah tengok, telinga tidak pernah dengar dan hati tidak pernah terdetik!
  3. Tugas kita periksa dan pastikan apakah perbuatan dan amalan kita mengikut apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk melayakkan kita menjadi ahli syurga yang dijanjikan ini!
  4. Inilah harapan dan cita-cita kita, jadi sekarang inilah waktu untuk berusaha dan merebut segala peluang pahala yang Allah tawarkan agar kita tidak terlepas dari meraihnya!
  5. Allah s.w.t kata: Itulah kemenangan yang besar!
    Selamat dari segala azab dan layak mendapat segala nikmat yang Allah sediakan!
    Jika kamu mahukannya semua balasan di akhirat ini; maka jangan lupa dan lagha di dunia ini!

AYAT 13- {DAN ADA LAGI LIMPAH KURNIA YANG KAMU SUKAI, IAITU PERTOLONGAN DARI ALLAH DAN KEMENANGAN YANG CEPAT (MASA BERLAKUNYA). DAN SAMPAIKANLAH BERITA YANG MENGEMBIRAKAN ITU KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AS-SAFF 61:13)

  1. Ayat ini pula adalah limpah kurnia yang Allah kurniakan di dunia lagi pula bagi orang yang beriman dan berjihad!
  2. Setelah kamu beriman dan berjihad dengan yakin kepada Allah s.w.t maka kamu akan mendapat kemenangan atas dunia ini, balasan yang dinanti-nantikan:
    i- iaitu pertolongan dari Allah (نَصْرٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ) kemenangan atas musuh-musuh kamu.

ii- dan kemenangan yang cepat masa berlakunya (وَفَتْحٌۭ قَرِيبٌۭ ۗ). Kamu akan membuka negara-negara yang menjadikan luasnya kawasan pemerintahan dan pentadbiran negara Islam.

  1. Ulama\’ membicangkan maksudnya kemenangan atau pembukaan yang cepat ini (وَفَتْحٌۭ قَرِيبٌۭ ۗ):

i- Pembukaan Kota Makkah pada Ramadhan Tahun ke-8 H.
Ini adalah satu kemenagan yang besar, ranapnya empayar Syirik di Makkah, berhala dan patung-patung dimusnahkan, tersungkurnya behala dan tersungkur jiwa manusia yang syirik kepada lah!
Para pemuka musyrikin ramai yang telah binasa. Ini adalah kemenangan yang amat besar kepada kesabaran Rasulullah s.a.w selama 20 tahun.

ii- ada ulama\’ yang mengatakan selepas Makkah ada pula pembukaan negara Parsi & Rom. Iaitu penjajah Rom yang ada di bawah empayar Syam, bukan yang di Itali.

  1. Ayat ini dihuraikan dengan firman Allah s.w.t:
    {Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; –
    Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.} (Al-Hajj 22: 40-41)
  2. Kemudian Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w menyampaikan khabar gembira ini kepada orang-orang yang beriman: kemenangan segera atas dunia ini & akan datang balasan syurga di Akhirat kelak!
  3. Firman Allah s.w.t:
    { Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.} (Muhammad 47:7)
  4. Pada akhir zaman kita ini begitu sukar untuk mencari orang yang berprinsip dan berintegriti amat sukar!
    Sebagai orang yang beriman kita hiasilah diri kita dengan keimanan dan integriti ajaran Islam yang indah & sempurna!
    Istiqomahlah diri kita atas ajaran Islam, dengan Sunnah Nabi s.a.w.

Maka kita hati-hatilah dalam segenap sikap dan tindak-tanduk agar kita tidak menjadi manusia yang rugi di dunia & muflis di Akhirat kelak!

Kita minta berlindung dari Allah s.w.t agar Allah tidak meninggalkan kita tanpa diberi bimbingan dan panduan!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 10- {Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?}- Allah s.w.t mulakan ayat ini dengan menyeru orang yang beriman!

Kenapa? Supaya semua orang yang beriman dengar dan ambil perhatian!

Kata Abdullah bin Mas\’ud r.a:
Apabila kamu mendengar Allah memulakan ayat dengan seruan ini {Wahai orang-orang yang beriman!}, kamu akan dapati akan ada arahan yang Allah mahu kita buat dan ada keburukan yang dilarang. [Ibnu al-Mubarak- Kitab az-Zuhdi]

Dalam ayat ini Allah panggil kemudian Dia tanya!
Ayat ini menunjukkan bahawa perniagaan ini tidak akan mendapat keuntungan kecuali mengikut jalan yang yang ditunjukkan oleh Allah dan Rasulullah s.a.w!
Ambil jalan lain; kamu akan sesat dan kerugian!

  1. Ayat 10- {Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?}- Allah sebut perniagaan (تِجَـٰرَةٍۢ) yang dapat menyelamatkan kamu dari azab neraka.

Maksudnya Allah s.w.t akan jadikan pahala itu seperti satu perniagaan, orang berniaga pasti dia nak untung. Maka Allah buat anologi orang yang beriman dan berjihad seolah melakukan perniagaan dengan Allah s.w.t yang menguntungkan!

Maka sesiapa yang berniaga dengan Allah s.w.t akan mendapat balasan:
i- Allah redha.
ii- masuk syurga.
iii- selamat dari neraka.

SOP atau syarat perniagaan ini WAJIB IKHLAS kerana Allah s.w.t. Kena letakkan keikhlasan itu di depan sekali! Jika tidak ia akan menjadi sangat bahaya!

HADIS AMAL YANG TIDAK IKHLAS :

Sabda Rasulullah s.a.w:
\”Sesungguhnya orang pertama yang diadili pada hari kiamat adalah orang yang mati kerana syahid di jalan Allah. Diperlihatkan kepadanya kenikmatan yang ia perolehi di dunia, lalu iapun mengakuinya.
Kemudian ditanya kepadanya: Apa yang engkau perbuat dengan nikmat tersebut? Ia menjawab: Aku berperang untuk-Mu Ya Allah, sehingga aku syahid. Allah berkata: Engkau dusta! Engkau berjihad supaya dikatakan engkau seorang yang berani. Dan itu telahpun dikatakan orang padamu. Kemudian diperintahkan para Malaikat untuk menyeret orang itu atas wajahnya, lalu dilemparkan ke neraka.
Kemudian orang yang menuntut ilmu, ia juga mengajarkannya serta membaca Al Quran. Ia diperlihatkan kepadanya kenikmatan yang ia dapatkan di dunia, lalu ia pun mengakuinya.
Kemudian Allah berkata kepadanya: Apa yang engkau perbuat dengan nikmat itu? Ia menjawab: Aku menuntut ilmu dan mengajarkannya, aku juga membaca Al Quran kerana Mu ya Allah.
Allah pun berkata: Engkau dusta! Engkau menuntut ilmu agar disebut alim (orang yang berilmu), engkau membaca Al Quran supaya disebut qari\’ (ahli membaca Al Quran), dan orang telahpun mengatakannya.
Kemudian diperintahkan para Malaikat agar menyeret atas wajahnya dan dilemparkan ke dalam neraka.
Dan juga orang yang Allah berikan ia kelapangan rezeki dengan bermacam harta benda. Ia diperlihatkan kenikmatan yang ia peroleh di dunia, lalu ia pun mengakuinya.
Allah berkata kepadanya: Apa yang engkau perbuat dengan nikmat itu?
Dia menjawab: Aku tidak pernah meninggalkan suatu jalan kebaikan kecuali aku berinfaq kerana Engkau ya Allah\’.
Allah berkata: Engkau dusta! Engkau melakukan itu supaya disebut dermawan dan orang telahpun mengatakan itu.
Kemudian diperintahkan malaikat agar menyeret di atas wajahnya dan ia dilemparkan ke dalam neraka\” (HR. Muslim No: 1905)

  1. Ayat 11- {Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu;}- Allah s.w.t kata kamu beriman dan berjihad.

Kata ulama\’: Antara kelebihan beriman dan berjihad itu adalah antara jalan untuk menghapuskan dosa-dosa walaupun dosa besar!
Orang yang beriman tetapi melakukan dosa besar, lalu dia pergi berjihad, maka Allah hapuskan dosanya itu dengan sebab iman dan jihadnya!

Ulama\’ tafsir kata: Paksi utama surah as-Saff ini adalah tentang jihad, Allah s.w.t ulang tiga kali tentang kelebihan jihad dan balasannya dalam ayat ini.

  1. Ayat 11- {serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu;}- kenapa Allah s.w.t menyebut berjihad dengan harta dulu baru dengan jiwa-raga. Dalam ayat-ayat lain juga begini biasanya.

KATA ULAMA\’ :

i- Ayat ini menjadi dalil harus dan disuruh untuk berjihad dengan harta! Jika kamu tidak dapat hadir secara fizikal maka sumbangkan harta kamu fisabilillah.

ii- harta adalah sesuatu yang disayangi dan dikasihi oleh seseorang, tetapi tidak lebih dari nyawa. Jadi dimulakan dengan sesuatu yang kurang dulu baru yang lebih tinggi nilainya supaya tidak terasa beratnya!

Mula-mula berjihad dengan harta akhirnya dengan jiwa-raga sendiri, Insya\’ Allah!

  1. Ayat 13- {Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.}- orang yang beriman apabila nak mati malaikat akan datang untuk beri khabar gembira tentang syurga yang dijanjikan!

Itulah yang kita harap dan citakan agar kita mendapat keampunan dan keredhaan Allah s.w.t!

KATA ULAMA\’ :

Ayat ini juga menunjukkan mukjizat al-Quran yang boleh menceritakan kepada kita perkara yang akan berlaku pada masa akan datang!

Ayat ini juga sebagai galakan untuk kita berjihad fi-sabilillah dan ikhlas kerana Allah s.w.t dalam segenap amalan kita.

Powered by BetterDocs