SURAH AR-RAHMAN : AYAT 10-13

\"\"

ALLAH S.W.T RENDAHKAN BUMI UNTUK KEMUDAHAN MAKHLUK-NYA & DIJADIKAN PELBAGAI JENIS BUAHAN DAN BIJIRIN.

Full video : https://youtu.be/lEO2vCGdOA4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan bahawa Dia rendahkan bumi ini untuk manusia duduk di atasnya dengan pelbagai sumber makanan dari buahan & bijirin.
  2. Juga serta pelbagai lagi nikmat yang tidak terhitung, maka nikmat Allah yang mana lagi kamu dustakan wahai manusia?
  3. Semua itu kerana Allah mahu kita bersyukur atas nikmat yang dianugerahkan itu. Jika tidak bersyukur akan jadi penderhaka, maka tunggulah saat kebinasaan, samada Allah s.w.t ambil tindakan atas dunia lagi atau azab di akhirat kelak!
  4. Munasabah ayat:
    i- Setelah Allah sebut dalam ayat tentang nikmat-nikmat yang diberi kepada manusia, diangkat-Nya langit di sebelah atas & diberi keadilan atas bumi ini.
    Nikmat ini menunjukkan kepada kekuasaan Allah Azza wa Jalla, kerana yang tidak ada kuasa tidak mampu nak beri nikmat kepada orang lain.

ii- Dinyatakan juga tertegaknya langit & bumi ini dengan keadailan. Maka jika kamu perintah bumi ini maka gunakanlah kuasa dengan adil & telus, penuh integriti, tunaikan hak & amanah.
Jangan ingat kita ada kuasa kita boleh mengaut keuntungan dunia, buat apa saja berselindung di sebalik pakaian rasmi dan pelbagai salah guna kuasa lagi. Ini adalah peringatan.

iii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t ceritakan betapa Allah s.w.t cipta manusia, kemudian Dia ambil berat tentang keperluannya; disediakan tempat untuk hidup, rezeki untuk makan minum. Betapa bumi ini diciptakan dengan rata & rendah supaya manusia senang untuk hidup di atasnya.

AYAT 10- {DAN BUMI PULA DIJADIKANNYA RATA UNTUK KEGUNAAN MANUSIA DAN MAKHLUK-MAKHLUKNYA YANG LAIN:} (AR-RAHMAAN 55:10)

  1. Yakni Allah s.w.t rendah & ratakan bumi ini untuk kegunaan manusia dan segala makhluk lain (لِلْأَنَامِ) hidup di atasnya.
  2. Kata al-Mawardi, tentang kalimah ( الْأَنَامِ) ini ada tiga penjelasan oleh para ulama\’:
    i- ada kata- manusia sahaja,
    ii- manusia & jin,
    iii- semua makhluk-makhluk yang bernyawa; manusia, jin & haiwan.
    Tidak elok nama Khairul-Anam yang bererti sebaik manusia- nama yang mengangkat seseorang.
  3. Kata Ibnu Asyur rhm. makna (وَضَعَهَا) pula ialah:
    i- Allah letakkan bumi ini di bawah tapak kaki kita.
    ii- ini supaya kita dapat mengambil faedah kegunaan daripadanya.

AYAT 11- {TERDAPAT PADANYA BERBAGAI JENIS BUAH-BUAHAN DAN POHON-POHON KURMA YANG ADA KELOPAK-KELOPAK MAYANG;} (AR-RAHMAAN 55:11)

  1. Di atas bumi ini terdapat pelbagai jenis pokok yang berbeza pula warna, rasa & baunya.
    Contoh; buah rambutan dan durian saja sudah ada pelbagai jenis, rasa dan grednya!
  2. Maksudnya (فَاكِهَةٌ) buah-buahan yang berasal dari perkataan (فكه) iaitu apabila senang hati, ini kerana kita makannya sebagai buah (dessert) bukan untuk kenyang seperti makanan asasi tapi cuma untuk berlazat-lazat dan menikmatinya sahaja.
  3. Firman Allah s.w.t: { فَظَلْتُمْ تَفَكَّهُونَ…..}
    {Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggalah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal,} (Al-Waaqi\’ah 56:65)
  4. Kemudian Allah sebut pula ada juga pohon-pohon kurma/tamar (النَّخْلُ) yang ada kelopak-kelopak mayang (ذَاتُ الْأَكْمَامِ). Iaitu buah yang berbungkus dalam sarung atau mayangnya sebelum keluar.
  5. Kenapa Allah s.w.t sebut khas pokok tamar ini? Kata ulama\’: Ini kerana buah tamar adalah satu buah yang mereka amat kenal & menjadi makanan rasmi/ruji mereka, dari dulu sehingga sekarang.
  6. Ia adalah satu makanan yang mengenyangkan bagi sebahagian orang seperti Arab, kerana itu ia termasuk juga dalam buah yang dikenakan zakat. Kerana itu disebut khas kerana ia adalah kategori khas bukan seperti buah-buahan lain.

AYAT 12- {DEMIKIAN JUGA TERDAPAT BIJI-BIJIAN YANG ADA JERAMI SERTA DAUN, DAN TERDAPAT LAGI BUNGA-BUNGAAN YANG HARUM;} (AR-RAHMAAN 55:12)

  1. Allah ciptakan atas bumi ini juga biji-bijiran yang ada jerami & daun.
  2. Tumbuhan berjerami (وَالْحَبُّ ذُو الْعَصْفِ) ialah mempunyai daun yang kering dan tangkai jerami. Bijirannya diambil makan oleh manusia manakala jeraminya biasanya di makan oleh haiwan ternakan juga haiwan lain seperti gajah (haiwan herbivor).
  3. Munasabah ayat: Allah s.w.t telah sebut antara makanan yang melazatkan seperti buah-buahan, Allah sebut pula makanan yang mengenyangkan yang menjadi makanan asas/ruji kepada manusia seperti bijiran yang berjerami ini. Iaitu seperti gandum, barli, beras dan lain-lain iaitu makanan asas/ruji.
  4. Jerami ini juga disebut dalam firman Allah s.w.t ini:
    {Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu (كَعَصْفٍ) yang dimakan ulat.}
    (Al-Fiil 105:5)
  5. Juga terdapat bunga-bunga yang harum (وَالرَّيْحَانُ).

Perkataan ini juga mempunyai beberapa bacaan seperti baris atas atau bawah. Panjang perbincangannya.

  1. Ada ulama\’ kata (وَالرَّيْحَانُ) ini:
    i- semua pokok, bunga atau buahan yang ada bauan.
    ii- ada ulama\’ yang kata maknanya rezeki.
  2. Hadis dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, maksudnya:
    \”Sesiapa yang dipelawa minyak wangi janganlah dia menolak.\” (HR Muslim)

AYAT 13- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN (WAHAI UMAT MANUSIA DAN JIN)?} (AR-RAHMAAN 55:13)

  1. Maka nikmat Tuhan kamu yang mana lagi kamu dustakan wahai manusia & jin?
  2. Kenapa hanya manusia & jin bukan semua makhluk? Ini kerana hanya manusia dan jin yang ada taklif iaitu tanggung-jawab Syara\’; yang akan dipersoalkan di Akhirat kelak.
  3. Dalam surah ini diulang ayat { فَبِأَيِّ آلَاءِ….} ini sebanyak 31 kali.
  4. Diriwayatkan kisah seorang panglima perang yang gagah perkasa bernama ar-Rabi\’ bin Ziyad al-Harithi (Arabic: الربيع بن زياد الحارثي ) Gabenor Khurasan, panglima yang menakluk negeri Sigistan, Dia sempat berkhidmat di bawah empat Khalifah ar-Rasyidun dan beberapa orang khalifah Bani Umayyah.
    Pada suatu hari dia datang berjumpa Sayyidina Ali r.a mengadu tentang saudara lelakinya, Asim yang sudah tidak mahu dunia, pakai baju lusuh dan hanya mahu menjadi ahli ibadat (jadi tok wali) tidak mahu bercampur orang.
    Maka Ali suruh memanggilnya datang. Asim pun datang dalam keadaan rambut & misai janggut yang kusut masai, wajah yang keruh dan pakaian yang lusuh.
    Lalu Ali bertanya kepadanya:
    \”Kenapa kamu ini?? Tidakkah kamu malu kepada isteri kamu dan tidak kasihankan anak-anak kamu? Allah s.w.t halalkan kepada kamu benda yang baik, izinkan kamu guna benda-benda yang halal? Kamu tak ingatkan Allah s.w.t telah berikan kepada manusia nikmat ini? Lalu Ali baca firman Allah s.w.t ini:
    {Surah ar-Rahman: ayat 10 sehingga ayat 22.}
    Dia pun menjawab:
    Wahai Ali aku tengok kamu pun bersederhana dalam pakaian dan makanan, bukan berhias seperti raja-raja hebat yang lain?
    Ali menjawab pula:
    Apa kamu ini! Allah telah perintahkan kepada pemimpin jangan tunjuk kemewahan! Aku tidak boleh bermewah atau melampau sedang rakyat aku masih lagi ada yang miskin & susah!\”
    [Kisah dipetik dari: Tafsir al-Muharrar; J36, m/s 210. Talbis Iblis m/s 180].

Allah s.w.t ajar kepada kita, bahawa Dia bagi semua nikmat yang disebut tadi supaya kita gunakannya kemudian kita puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Jika tidak mahu bermewah dan guna semuapun, ambil dan gunakanlah sekadar keperluan, jangan kita mengharamkan benda yang dihalalkan oleh Allah.

Maknanya siapa yang meninggalkan nikmat yang Allah anugerahkan atas dunia ini, maka bermakna dia telah berkeras dan melampau (syadid) terhadap dirinya sendiri dalam kehidupan atas dunia ini.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 10- {Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain:}- ini sebagai dalil semua benda atas dunia ini halal kecuali ada dalil khas yang mengatakannya HARAM. Inilah kaedahnya dalam bab kehidupan kita; makan minum amalan perbuatan dan semuanya.

Yakni kata ulama\’: Asalnya semua benda atas dunia ini HARUS kecuali ada dalil yang mengharamkannya.
Tetapi ada juga yang mengatakan sebaliknya, iaitu: semua Haram kecuali ada dalil kata HALAL!

TETAPI dalam bab ibadat: Kita tidak boleh buat, pandai-panda sendiri; kecuali ada dalil yang menyuruhnya. Tidak ada rekaan dalam ibadat! Nak reka kapal terbang boleh tetapi tidak ibadat!

  1. Ayat 11- {Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada kelopak-kelopak mayang;}- Allah kata di sini Dia jadikan atas bumi ini:
    i- buah-buahan
    ii- pokok tamar.

Persoalan: kenapa buah-buahan disebut secara umum dengan nama buah (فَـٰكِهَةٌۭ) tetapi tamar disebut nama pokoknya (وَٱلنَّخْلُ).

Jawapan:
i- pokok buah-buahan lain pokoknya lemah walaupun buahnya sendiri itu hebat- contoh pokok anggur, buahnya bila dah jadi kismis atau jus masyhur dan tahan lama, tetapi pokoknya lemah dan mudah mati kering.
ii- tetapi tamar itu selain buahnya yang masyhur, pokoknya sendiri juga ada keistimewaan dan kegunaan yang tersendiri.

  1. Ayat 13- {Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?}- dalam ayat ini Allah s.w.t sebut:
    i- Tuhan kamu (رَبِّكُمَا)- yang mencipta & beri rezeki kepada kamu.
    Ayat ini Allah s.w.t tujukan kepada jin & manusia (رَبِّكُمَا).

Setelah Allah sebut dan bilang nikmat-Nya Allah ingatkan manusia banyak lagi nikmat Allah yang tidak disebut. Antara nikmat Allah yang telah kita bincangkan secara agak terperinci ialah di dalam surah an-Nahli.

  1. Ayat 13- {Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?}- Allah sebut dan ulang ayat ini sebanyak 31 kali dalam surah ar-Rahman ini.

Pecahannya:
i- 8 kali setelah Allah sebut keajaiban ciptaan makhluk-Nya.

ii- 7 kali Allah sebut setelah menyebut ayat-ayat tentang neraka & huru hara azabnya. Sesuai dengan pintu neraka yang ada 7.

iii- 8 kali pula setelah Allah sifatkan dua Syurga (جَنَّتَانِ) & penduduknya. Iaitu sama dengan 8 pintu syurga.

iv- 8 kali lagi setelah Allah sebut tentang nikmat dua syurga yang lain (وَمِن دُونِهِمَا جَنَّتَانِ), selain daripada dua syurga yang sudah disebut tadi.
Sesiapa yang beriman dengan 8 yang pertama maka dia akan mendapat 8 yang kedua & selamat dari 7 pintu neraka!

  1. Ayat 13- {Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?}- semua yang Allah s.w.t anugerahkan nikmat kepada kita ini adalah semata-mata ihsan & belas kasihan dari Allah s.w.t!

Allah bertanya kepada kita sebanyak 31 kali, dengan nikmat mana lagi yang kita mahu kufurkan???

Ya Allah jadikan kami hamba-Mu yang sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat-Mu, lalu mendapat redha-Mu dan Syurga yang kekal abadi kelak!

Powered by BetterDocs