View Categories

(39) Surah Al-Ma’idah : Ayat 106-108

ARAHAN MENULIS WASIAT, TERMASUK KETIKA MUSAFIR & KEWAJIPAN SAKSI MENUNAIKAN AMANAH.

FUll video : https://youtu.be/isQJaiwLNMU?si=Z0gZbpsx7f0l8kUL

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 106 sehingga 108.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menyatakan tentang arahan menulis wasiat, apabila dia rasa sudah dekat nak mati atau ada tanda-tandanya.
    Samada wasiat tentang hutangnya dengan orang, niat nak waqafkan harta atau sebagainya.
  1. Allah juga nyatakan jika wasiat ketika musafir dan tiada orang muslim untuk menjadi saksinya, boleh mengambil orang bukan muslim sebagai saksi.
  1. Kemudian diingatkan kewajipan para saksi jangan cuai & leka untuk menunaikan amanah, wasiat yang dibuat oleh si mati.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang keadaan selepas mati yang mana kita akan kembali kepada Allah & dan akan dihisab!

    ii- Kemudian datang ayat ini tentang wasiat, sesiapa yang tahu, yang menjadi saksi tentang wasiat hendaklah bertanggungjawab & telus menyatakan kebenaran.
    Jangan kamu sembunyikan kerana kita semua akan kembali kepada Allah dan akan dihitung dan dihisab!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 106- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! APABILA SALAH SEORANG DI ANTARA KAMU HAMPIR MATI, KETIKA (IA MAHU) BERWASIAT, HENDAKLAH WASIATNYA ITU DISAKSIKAN OLEH DUA ORANG YANG ADIL DI ANTARA KAMU, ATAU DUA ORANG LAIN (YANG BUKAN SEAGAMA) DENGAN KAMU, JIKA KAMU DALAM PELAYARAN DI MUKA BUMI LALU KAMU DITIMPA BENCANA SAKIT YANG MEMBAWA MAUT. KALAU KAMU RAGU-RAGU TENTANG KEJUJURAN KEDUA SAKSI ITU, HENDAKLAH) KAMU TAHAN MEREKA SESUDAH SELESAI SEMBAHYANG, KEMUDIAN MEREKA (DISURUH) BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH (DENGAN BERKATA: “DEMI ALLAH) KAMI TIDAK AKAN MENJUAL SUMPAH KAMI UNTUK MENDAPAT SESUATU HARTA BENDA, WALAUPUN ORANG ITU DARI KAUM KERABAT, DAN KAMI TIDAK MENYEMBUNYIKAN (KETERANGAN YANG KAMI KETAHUI) SEBAGAI SAKSI (SEBAGAIMANA YANG DIPERINTAHKAN OLEH) ALLAH, (KERANA JIKA KAMI MENYEMBUNYIKANNYA) TENTULAH KAMI DENGAN ITU TERMASUK DALAM GOLONGAN ORANG-ORANG YANG BERDOSA”.} (AL-MA’IDAH 5:106)

  1. Wahai orang beriman jika kamu terasa sudah ada tanda-tanda nak mati dan mahu membuat wasiat; maka hendaklah diambil dua orang muslim sebagai saksi wasiat itu.
  1. Asal saksi itu ialah mesti orang muslim yang baik & dipercayai.
    Jika diragui dan disyaki ada tanda penipuan; boleh memanggil mereka selepas solat asar dan meminta mereka bersumpah akan kebenaran wasiat itu!
    Hanya jika ada keraguan & unsur khianat.
  1. Tetapi jika kamu dalam musafir yang susah untuk menjumpai orang muslim seperti seperti dalam pelayaran; maka boleh diambil dua orang bukan muslim yang boleh dipercayai sebagai saksinya!
    Ini hanya dalam keadaan darurat apabila ketiadaan orang beriman.
  1. Ini adalah hukum kewajipan membuat wasiat & mengadakan saksi untuknya! 
    Jika zaman sekarang perjanjian yang dibuat secara legal & rasmi.
  1. Sabab Nuzul ayat:
    Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA yang bersumber dari Tamim Ad-Dari sendiri:
    Bahawa dua orang Nasrani yang bernama Tamim Ad-Dari dan ‘Adi bin Badda’ sering pergi ke Syam berdagang sebelum mereka masuk Islam. 
    Ikut bersama mereka seorang maula dari Bani Salim yang bernama Badil bin Abi Maryam yang juga membawa dagangan serta membawa sebuah bejana (bekas) yang dibuat dari perak. 
    Dalam perjalanan Badil bin Abi Maryam sakit dan ia berwasiat kepada kedua orang itu agar harta peninggalannya nanti disampaikan kepada ahli warisnya. 

    Berkatalah Tamim: “Ketika ia meninggal kami ambil bejana dari perak dan kami jual dengan harga seribu dirham, dan wangnya kami bagi dua. (Iaitu Tamim bersama ‘Adi bin Badda’). Setelah itu kami sampaikan amanat warisan itu kepada ahli warisnya, mereka cam kehilangan bejana perak dan bertanya kepada kami, dan kami katakan bahawa Badil tidak meninggalkan selain yang telah kami serahkan”. Setelah Tamim masuk Islam, ia merasa berdosa dari perbuatan itu kemudian mendatangi ahli waris Badil dan mengaku terus terang serta menyerahkan wang sebanyak lima ratus dirham, dan bakinya sebanyak lima ratus dirham lagi ada pada kawannya (‘Adi bin Badda’). Maka pergilah ahli warisnya itu beserta ‘Adi menghadap Rasulullah SAW. Rasulullah minta bukti-bukti tuduhan terhadap ‘Adi itu, tetapi mereka tidak dapat memenuhinya. Kemudian Rasulullah SAW menyuruh mereka meminta ‘Adi bersumpah, dan dia pun bersumpahlah. Maka Allah menurunkan ayat ini (Al-Maidah ayat 106-108). Maka berdirilah Amru bin al-‘Ash dan seorang lainnya bersumpah untuk menjadi saksi bahawa mereka membeli bejana itu dari mereka berdua tadi, sehingga diputuskan agar diambil yang lima ratus dirham lagi dari ‘Adi bin Badda’. [HR at-Tirmizi].

    Ulama’ tadabbur kata : YANG diambil kira ialah umum lafaz umum bukan sebab turun ayat, maka ayat ini untuk sesiapa saja, setiap muslim kena tulis wasiat & kena ada saksinya!
  1. Kata seorang ulama hadis & tafsir, ‘asy-Sya’bi: Seorang lelaki meninggal dunia di Daqwaqa’ (دقوقاء) satu bandar di antara Irbil & Baghdad di Iraq. Tempat ini masyhur sebagai tempat munculnya Khawarij. Pada ketika itu tiada orang muslim untuk menjadi saksinya dan dua orang ahli kitab menjadi saksi kematiannya dan mereka membawa barang peninggalannya dan serah kepada Abu Musa al-Asy’ari RA serta menceritakan kejadian itu. Abu Musa berkata: Perkara ini tidak berlaku pada zaman Nabi SAW (saksi bukan muslim). Lalu dia memanggil dua orang ahli kitab itu untuk bersumpah selepas solat asar akan kebenaran amanah yang disampaikan, bahawa mereka tidak tipu & kelentong, terimalah amanah ini. Selepas mereka bersumpah, Abu Musa pun menerima persaksian mereka itu walaupun mereka bukan orang Islam. [Athar ini riwayat Abu Daud & Abdur-Razak & Dar Qutni- sahih].
  1. Mereka juga bersumpah jika mereka berbohong & khianat akan persaksian itu, menyembunyikan keterangan yang diketahui sebagai saksi atau menyembunyikannya; maka tentulah dengan itu mereka akan termasuk dalam golongan orang-orang yang berdosa!

AYAT 107- {KEMUDIAN JIKA DIDAPATI BAHAWA KEDUA SAKSI ITU (SESUDAH BERSUMPAH) ADA MELAKUKAN DOSA (KERANA BERDUSTA ATAU MENGKHIANATI DALAM PERKARA YANG MEREKA MENJADI SAKSI ITU), MAKA HENDAKLAH DUA ORANG YANG LAIN MENGGANTIKAN TEMPAT MEREKA DARI WARIS-WARIS SI MATI LEBIH DEKAT, YANG LEBIH BERHAK (MENUNTUT DAN MEMBERI KETERANGAN YANG SEBENARNYA), KEMUDIAN MEREKA BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH (DENGAN BERKATA): “DEMI SESUNGGUHNYA, PERSAKSIAN KAMI LEBIH BERHAK DITERIMA DARIPADA PERSAKSIAN KEDUA SAKSI ITU (YANG TELAH NYATA BERDUSTA), DAN KAMI TIDAK MELAMPAUI BATAS, (KERANA JIKA KAMI BERBUAT DEMIKIAN) TENTULAH KAMI DENGAN ITU TERMASUK DALAM GOLONGAN ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (AL-MA’IDAH 5:107)

  1. Kemudian Allah mengajar lagi, jika terserlah, zahir nampak dua saksi itu berbohong, sembunyikan harta si mati atau menukar wasiat; selepas mereka bersumpah maka mereka akan menanggung dosanya! 
  1. Ketika itu jika kita meraguinya, boleh kita mengambil saksi lain iaitu dua ahli waris si mati atau mereka yang dekat dengannya untuk menjadi saksi atas wasiat itu! 
    Mereka itu juga kena bersumpah bahawa spersaksian mereka betul, manakala saksi yang awal tadi berbohong!
  1. Itu zaman dulu, saksi kafir pula tu; tetapi pada zaman kita hari ini pun banyak berlaku penyelewengan dalam persaksian. 
    Apabila mati seorang ibu, anak-anak yang menjaga menyembunyikan harta atau barang kemas ibu yang ada dengannya! 
    Yakni penipuan & khianat di kalangan adik-beradik sendiri semata-mata kerana nakkan harta dunia.

AYAT 108- {(HUKUM-HUKUM DAN PERATURAN MENJADI SAKSI) YANG TERSEBUT ITU ADALAH JALAN YANG LEBIH DEKAT UNTUK MEREKA MEMBERI KETERANGAN PERSAKSIAN MENURUT CARA YANG SEBENARNYA, ATAU UNTUK MEREKA MERASA TAKUT AKAN DITOLAK SUMPAH MEREKA (KEPADA WARIS-WARIS SI MATI) SESUDAH MEREKA BERSUMPAH (YANG AKAN MENDEDAHKAN KECURANGAN MEREKA). OLEH ITU BERTAQWALAH KEPADA ALLAH, DAN DENGARLAH DENGAN PATUH (SEGALA PERINTAHNYA), DAN (INGATLAH) ALLAH TIDAK MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA KAUM YANG FASIK.} (AL-MA’IDAH 5:108)

  1. Allah nyatakan bahawa perintah bersumpah yang dikenakan ke atas persaksian yang meragukan & disyaki tadi adalah lebih hampir untuk menjadikan mereka (saksi-saksi) takut berbohong & bercakap benar. 
  1. Jika mereka ada iman dalam hati mereka atau agama walaupun yang bukan Islam, mereka tidak akan berani khianat & berbohong dengan mudah.
    Atau jika mereka bersumpah juga & masih diragui, kita boleh tukar dan ambil saksi lain seperti keluarga mereka pula untuk bersumpah & bersaksi ke atas mereka! 
    Yakni tidak akan lepas juga jika berbohong & khianat!
  1. Kerana itu Allah kata di akhir ayat: {Oleh itu bertaqwalah kepada Allah, dan dengarlah dengan patuh (segala perintahNya), dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.}
    Fasiq di sini bermakna orang yang lari keluar dari ketaatan kepada Allah SWT & keluar dari mengikut Syari’ah Allah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 106- {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu…}-

    Ayat ini adalah disyariatkan & digalakkan untuk setiap orang yang beriman hendaklah menulis wasiat, jangan bermudah, lagha dan tak cakna tentangnya. 
    Jika ada banyak harta & urusan yang perlu; jangan menangguh dan ambil mudah tentang isu wasiat kerana kematian adalah rahsia Allah. 
    Walaupun wasiat itu dibuat ketika seseorang hampir nak mati, berada di katil hodpital; tetapi selama akalnya masih waras kita hendaklah menerimanya. 
    Wasiat juga seeloknya dibuat dengan bertulis dan disaksikan juga.
    Kisah di Utara Thailand di mana seorang tukang rumah bukan Islam yang didakwah oleh pendakwah memeluk Islam di hujung usianya, tetapi tidak sempat mengisytiharkan secara rasmi.
    Dia hanya sempat berwasiat kepada anak isterinya untuk diuruskan jenazahnya secara Islam. 
    Tetapi malangnya keluarga yang lain seperti ibu bapa tidak mahu menerima wasiat itu dan berkeras untuk menguruskan mayatnya ikut agama asal mereka.
    Pihak Islam tidak dapat berkeras & buat apa kerana tiada wasiat & bukti yang rasmi serta di dalam negara kafir.
    Kita berdoa kepada Allah agar syahadahnya diterima, Allah ampunkan dosanya dan selamat daripada api neraka! 
  1. Ayat 106- {… ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, …}-

    Allah perintahkan agar setiap wasiat ada dua saksi.
    Allah perintahkan agar ada dua orang lelaki Islam sebagai saksi akan wasiat itu, atau jika tiada lelaki boleh juga wanita. 
    Dua orang wanita menyamai seorang lelaki.

    Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {… dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.} (Al-Baqarah 2:282)

    Syarat saksi itu orang yang adil iaitu orang yang beriman, soleh, jujur, baik & amanah. 
    Bilangan saksi itu penting serta wasiat itu mestilah tidak melebihi satu pertiga. 
    Nasihat kepada para dermawan jika mahu mewaqafkan tanah atau harta untuk masjid atau sebagainya, buatlah secara rasmi dan bertulis, tukar nama segera di pejabat tanah jika ada kesempatan atau jika susah lagi untuk tukar nama, buat surat perjanjian rasmi dulu dengan guna peguam atau disaksikan oleh saksi yang dipercayai. 
    Tidak boleh pesan secara lisan sahaja atau tunggu orang buat untuk kita nanti, langkah keselamatn mesti dimabil!
    Jika harta kita sudah jatuh ke tangan orang jangan harap lagi untuk mereka bersedekah dan infaq atas nama kita; mereka pun akan sayang & bakhil akan harta seperti tuanya yang dulu juga! 
    Mak ayah yang tidak sedekah, simpan harta untuk anak-anak; lihatlah anaknya nanti akan bakhil begitu, nak simpan harta untuk anak dia kelak pula! 

    Akhirnya harta tersimpan turun temurun tak sampai pahala kepada tuannya!
    Realiti yang berlaku di banyak tempat, anak-anak ambil balik tanah yang ibu bapa mereka telah waqafkan kepada masjid kerana nama geran masih tidak ditukar! 
    Sedangkan masjid masih ada & digunakan lagi! Allahu al-Musta’an.
  1. Ayat 106- {… hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang lain (yang bukan seagama) dengan kamu, jika kamu dalam pelayaran di muka bumi lalu kamu ditimpa bencana sakit yang membawa maut.}-

    Jika tiada orang Islam boleh orang kafir menjadi saksi bagi wasiat atau harta orang muslim.
    Ayat ini menunjukkan bahawa harus menggunakan saksi bukan Islam jika tiada orang Islam pada masa itu.. dalam bab harta boleh! 
    Jika jelas mereka tiada kejahatan yang nyata, daripada tiada saksi lain yang baik ada walaupun bukan Islam yang baik!
    Ayat ini juga harus bagi musafir, travel bersama orang kafir jika tiada orang lain atau memang itu peraturannya selagi tidak membawa mudharat atau bahaya!
    Tetapi beringat dan jagalah hubungan serta bersikap adil dalam menilai orang. 
    Bukan semua kafir itu yang jahat & khianat kepada orang Islam.
  1. Ayat 106- {… Kalau kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi itu, hendaklah) kamu tahan mereka sesudah selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh) bersumpah dengan nama Allah.}-

    Lepas solat panggil saksi yang diragui itu untuk bersumpah!
    Ulama’ kata: Semua orang yang menjadi saksi kena bersumpah, samada saksi Islam atau bukan Islam.
    Elok kita pilih waktu yang dapat memberi kesan ke atas jiwa seseorang itu seperti selepas solat. 
    Solat dalam masalah ini ulama’ kata: Adalah solat asar!
    Ini kerana waktu asar ini kesan & sentiment dalam jiwa manusia.

    Dipilih waktu selepas solat kerana:
    i- Keagungan solat itu sendiri. Orang yang solat biasanya orang yang baik!

    ii- Dalam solat itu pastilah dia akan berfikir- selepas sembah Tuhan takkan aku nak menipu pula!

    iii- Solat itu dapat mencegah manusia daripada perkara keji & mungkar, maka semoga ia dapat menghalang si saksi daripada cuba menipu dan menutup kebenaran.
    Ada ulama’ tambah lagi; sumpah itu selepas solat asar dekat dengan minbar, juga biar dia terasa kebesaran tempat juga untuk menambahkan kegerunan dan rasa takut untuk buat perbuatan mungkar.
  1. Ayat 106- {… kemudian mereka (disuruh) bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata: “Demi Allah) kami tidak…}-

    Sumpah itu adalah dengan nama Allah. 
    Bila ada keraguan kena bersumpah dengan nama Allah.
    Perlu bersumpah dengan nama Allah SWT agar lebih terasa berat, takut dan gerun untuk tipu dan berbohong. 
    Sumpah seseorang yang bersaksikan keagungan Tuhan dan membesarkan syahadah akan menambahkan keimanan dalam hati.
    Sumpah ini adalah apabila ada keraguan & bila kita syak. 
    Jika tiada keperluan, kita pun sudah yakn tidak syak apa; maka tidak payah bersumpah kerana sumpah dengan nama Allah adalah sesuatu yang bukan boleh dibuat main.
    Jika si saksi itu tidak tahu bahsa Arab, boleh saja mereka bersumpah di dalam bahasa mereka yang difahami!
    Allah juga membesarkan syahadah (persaksian ini) dengan menyebut diakhir ayat
    {… dan kami tidak menyembunyikan (keterangan yang kami ketahui) sebagai saksi (sebagaimana yang diperintahkan oleh) Allah..},
    Yakni sebagai saksi Allah takkan nak bohong lagi!

Infaq kita minggu ini masih lagi untuk Tabung Gerakan Dakwah di Jepun.
Wakaf masjid di Wakayama boleh disalurkan kepada:
Maybank: Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia
No. Akaun: 5621-0669-8737 
Rujukan: Wakaf.

Kisah Rehlah DDAAM ke Utara Thailand- 25hb – 29hb Oktober 2024.
Secara ringkas ke tiga bandar besar (wilayah) di utara dan kampung sekitarnya:
i- Chiang Mai, melawat kawasan & masjid yang ditimpa banjir besar seperti kita pada tahun 2014 dulu. 
Tidak ramai orang Islam, dakwahnya dipelopori orang China di mana seorang pendakwah dari China yang bernama Abdur Rahman Moo.
Dia yang Islam lari dari komunis di sana datang bawa dakwah di Chiang Mai. 
Kerana itu majoriti masjidnya bermazhab Hanafi. Dan ada pusat dakwah Islam di situ.

ii- Chiang Rai & Phayao, di sini ada beberapa pusat dakwahnya, dipelopori oleh orang Islam dari selatan Thai (Fatani) yang bergabung dengan pendakwah dari Malaysia. 
Antara yang terawal ialah Ustaz Wahab.
Kemudian datang seorang non-muslim yang mahu memeluk Islam serta bawa pendakwah ini masuk ke kampung-kampungnya!

Alhamdulillah Islam tersebar sehingga ke Phayao kerananya.
Dengan sebab jasanya itu dia namakan Toriq (jalan). AAM tambah al-Fatih (Pembuka). 
Penduduk asalnya ialah orang bukit yang rupanya seperti orang Tibet. 
Kerajaan Thailand ini walaupun ia beragama Budha tetapi sangat terbuka.
Dibenarkan masuk sesiapa saja & apa agama saja untuk berdakwah di negaranya. 
Jadi alhamdulillah di beberapa tempat ada masjid dan pusat Islam secar kecil-kecilan.
Tetapi masih menyedihkan kerana hanya amat sedikit bilangan orang Islam & orang kafir terlalu ramai. 
Tujuan dakwah kita ini ialah untuk menyelamatkan seramai mana mungkin manusia daripada kekufuran, insya’ Allah.

Untuk cerita lanjut boleh baca di FB Abu Anas Madani.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs