PARA RASUL DITANYA TENTANG UMATNYA, PELBAGAI NIKMAT ALLAH ANUGERAHKAN KEPADA NABI ISA & KAFIR MENUDUHNYA SEBAGAI SIHIR.
Full video : https://youtu.be/72pXbfCQepc?si=1JItQrWCgAjhSWM9
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 109 dan ayat 110.
- Dalam siri ini Allah SWT menyatakan bahawa para rasul akan ditanya tentang umatnya masing-masing tentang kesan hasil dakwahnya.
- Kemudian Allah sebut pelbagai nikmat yang Allah anugerahkan kepada Nabi Isa AS.
Dalam ayat ini ada lapan nikmqt yang yang disebut.
- Apabila dibawa keterangan-keterangan yang nyata & mereka tidak dapat melawannya, orang kafir menuduh Nabi Isa AS sebagai ahli sihir.
Begitulah para rasul AS itu dituduh sebagai ahli, sihir, gila & kepada Rasulullah SAW ditambah satu lagi sebagai penyair untuk menjauhkan orang ramai!
Begitu juga pada hari ini ada pendakwah yang dituduh & dilabel dengan gelaran tertentu untuk menjauhkan orang ramai dari mereka yang mengajak kepada al-Quran & Sunnah.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang harus mengadakan dua orang saksi dalam wasiat.
Allah perintahkan kepada mereka untuk bertaqwa & tunaikan amanah dengan sebaiknya.
ii- Kemudian datang ayat ini Allah nyatakan bahawa Allah akan kumpulkan semua manusia & rasul-rasul pada hari Kiamat nanti dan ditanya tentangnya.
Maka jika kamu tidak tunaikan tanggung-jawab & kesaksian dengan amanah- ingat di hadapan kita hari Kiamat, di mana segalanya akan dibentangkan untuk pengadilan & pembalasan!
Maka jangan berani cari pasal jika nak selamat!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 109- { (INGATLAH) HARI (KIAMAT YANG PADANYA) ALLAH MENGHIMPUNKAN RASUL-RASULNYA LALU BERTANYA: “APAKAH PENERIMAAN YANG DIBERIKAN KEPADA KAMU (OLEH UMAT-UMAT KAMU DAHULU, KETIKA KAMU MENYAMPAIKAN SERUAN AGAMA ALLAH)?” RASUL-RASUL ITU MENJAWAB: “TIDAK ADA BAGI KAMI PENGETAHUAN YANG SAH TENTANG ITU, (PENGETAHUAN YANG TEPAT ADALAH TERTENTU BAGIMU), KERANA SESUNGGUHNYA ENGKAULAH SAHAJA YANG MAHA MENGETAHUI AKAN SEGALA PERKARA YANG GHAIB.”} (AL-MA’IDAH 5:109)
- Allah mengingatkan akan hari Kiamat di mana padanya akan dikumpulkan segala rasul-rasul-Nya di Akhirat kelak; lalu Allah akan tanya mereka tentang umat mereka.
Yakni rasul sudah buat kerjanya cuma ditanya kesan hasilnya, siapa yang beriman & menentangnya dari kalangan mereka.
Setakat yang ada riwayat; rasul-rasul berjumlah 313 atau 315 orang.
Manakala para nabi pula berjumlah 124,000 orang. Wallahu a’lam.
- Sebagaimana firman Allah SWT:
{Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-rasul itu.} (Al-A’raaf 7:6)
- Para rasul ini menjawab dengan penuh adab sopan & tinggi penghormatan; bahawa mereka tidak tahu hakikat sebenar atau pengetahuan yang tepat tentang siapa yang sahih benar-benar beriman secara zahir-batinnya atau secara zahir saja yakni munafiq.
- Para rasul ini beradab dengan Allah dengan menyerahkan ilmu & perkara ghaib itu kepada Allah SWT semata-mata.
Hanya Allah saja yang tahu semua itu.
AYAT 110- { (INGATLAH) KETIKA ALLAH BERFIRMAN: “WAHAI ISA IBNI MARYAM! KENANGLAH NIKMATKU KEPADAMU DAN KEPADA IBUMU, KETIKA AKU MENGUATKANMU DENGAN RUHUL-QUDUS (JIBRIL), IAITU ENGKAU DAPAT BERKATA-KATA DENGAN MANUSIA (SEMASA ENGKAU MASIH KECIL) DALAM BUAIAN DAN SESUDAH DEWASA; DAN (INGATLAH) KETIKA AKU MENGAJARMU MENULIS MEMBACA, DAN HIKMAT PENGETAHUAN, KHASNYA KITAB TAURAT DAN KITAB INJIL; DAN (INGATLAH) KETIKA ENGKAU JADIKAN DARI TANAH SEPERTI BENTUK BURUNG DENGAN IZINKU, KEMUDIAN ENGKAU TIUPKAN PADANYA, LALU MENJADILAH IA SEEKOR BURUNG DENGAN IZINKU; DAN (INGATLAH KETIKA) ENGKAU MENYEMBUHKAN ORANG BUTA DAN ORANG SOPAK DENGAN IZINKU; DAN (INGATLAH) KETIKA ENGKAU MENGHIDUPKAN ORANG-ORANG YANG MATI DENGAN IZINKU; DAN (INGATLAH) KETIKA AKU MENGHALANGI BANI ISRAIL DARIPADA MEMBUNUHMU, KETIKA ENGKAU DATANG KEPADA MEREKA DENGAN MEMBAWA KETERANGAN-KETERANGAN (MUKJIZAT), LALU ORANG-ORANG YANG KAFIR DI ANTARA MEREKA BERKATA: “BAHAWA INI HANYALAH SIHIR YANG TERANG NYATA.”} (AL- MA’IDAH 5:110)
- Kemudian Allah mengingatkan lagi ketika Dia menyeru Nabi Isa bin Maryam AS dan mengingatkan Isa & ibunya akan nikmat yang banyak yang telah dianugerahkan kepada mereka!
Ulama’ seperti Ibnu Atiyah & Qurtubi kata : Ini berlaku pada hari Kiamat.
Ibnu Kathir berkata ia boleh jadi seruan semasa di dunia atau di Akhirat.
Isa dibinkan kepada ibunya kerana memang dia tidak mempunyai bapa.
Manusia lain yang ada bapa tidak perlu buat begitu.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWTSWT tanya kepada para rasul apa yang mereka dapat dari kaum masing-masing;
Kemudian datang ayat yang mencela orang yang derhaka menentang rasul-rasul mengikut umat masing-masing.
Golongan yang paling teruk dicela adalah nasrani yang mengaku ikut Nabi Isa AS tetapi sebenar tidak ikut.
Inilah manusia celaka kerana Nabi Isa suruh sembah Allah tetapi mereka sembah Isa!
ii- Maka datang ayat ini Allah sebut beberapa nikmat yang dianugerahkan kepada Nabi Isa AS.
Ini menunjukkan bahawa Nabi Isa itu hamba & makhluk Allah bukan Tuhan!
Dalam ayat ini saja ada lapan nikmat yang disebut!
- Antara nikmat kepada Nabi Isa itu ialah:
i- Allah hantar malaikat Jibri turun dari langit untuk memberi bantuan kepada Isa apabila memerlukannya!
Bahkan malaikat Jibrillah yang meniup roh untuk menjadikannya dulu.
ii- Nabi Isa dapat berkata-kata dengan petah lagi sejak dari bayi sehingga ke dewasa atau tua.
Semasa bayi ialah apabila menjawab tuduhan jahat yang dilemparkan oleh orang ramai kepada ibunya yang membawa pulang anak tanpa bapa.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: {Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?”} (Maryam 19:29)
{ قَالَ إِنِّى عَبْدُ ٱللَّهِ ءَاتَنىَ ٱلْكِتَـٰبَ وَجَعَلَنِى نَبِيًّۭا}-
Maksudnya: {Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi.} (Maryam 19:30)
Semasa tua atau dewasa apabila diturunkan dari langit di akhir zaman sebelum Kiamat untuk membunuh dajjal, mematahkan salib dan lain-lain sehingga Islam kembali cemerlang.
iii- Seorang yang boleh menulis & membaca. Berbeza dengan Nabi Muhammad SAW yang memang dijadikan tidak membaca & tidak menulis untuk mengelakkan tuduhan bahawa Baginda meniru Nabi Isa.
iv- Allah ajarnya hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil.
Seorang yang bijak, ada ilmu pengetahuan yang baik.
v- Dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku;
vi- Dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak (penyakit kulit, kusta) dengan izinku;
vii- Dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu; ketika ada keperluan untuk tanya tentang harta yang hilang.
Kerana itu kata ahli syair:
“Saudaramu Isa telah menyeru orang mati lalu dia bangun; Engkau pula (Nabi Muhammad SAW) telah menghidupkan betapa banyak hati manusia yang telah mati dengan cahaya iman!”
viii- Dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, yakni bila orang kafir nak bunuhnya Allah jaga Nabi Isa dengan menghalang kemudharatan ke atasnya!
Mereka nak bunuh Nabi apabila seorang nabi itu bawa hujjah keterangan, risalah & dalil akan kebenaran!
- Kenapa pelik-pelik mukjizat yang Allah berikan kepada Nabi Isa AS ini?
Untuk menjadi fitnah ujian kepada kaumnya yang mengatakannya Tuhan atau anak Tuhan. Maka Allah uji lagi mereka dengan diberi kuasa seolah Tuhan untuk menambahkan kesesatan mereka!
TETAPI ingat Allah nyatakan semua itu dengan izin dan kuasa yang Allah berikan kepadanya, bukan dengan kuasanya sendiri!
- Tetapi malangnya walaupun selepas membawa lapan bukti & keterangan-keterangan mukjizat yang jelas lagi nyata yang Nabi Isa bawa kepada mereka; lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata & menjawab sepatah saja: “Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata.”
Begitulah keadaan manusia yang telah tertutup mata & hati mereka daripada menerima kebenaran!
Wal-‘iyazubillah!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 109- {(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya lalu bertanya: “Apakah penerimaan yang diberikan kepada kamu (oleh umat-umat kamu dahulu, ketika kamu menyampaikan seruan agama Allah)?”}-
Kita semua manusia wajib ingat akan hari Kiamat yang huru-haranya begitu besar.
Ini supaya kita tengok apakah manusia telah menyahut seruan nabi masing-masing yang datang kepada mereka!
Ayat ini juga menunjukkan kelebihan para rasul AS; Allah tanya soalan itu sebagai memuliakan & ingin menzahirkan para nabi itu telah menjalankan tugas mereka.
Tanya itu kerana hanya nak tengok berapa orang telah terima & beriman.
Begitu juga para pendakwah hari ini, jalankan tugas kamu, buatlah kerja.
Kelak jika Allah tanya berapa orang telah terima Islam kerana mu, maka kita jawablah sebagaimana yang telah dijawab oleh rasul ini.
- Ayat 110- {(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu…}-
Allah kata Dia beri nikmat kepada Nabi Isa & ibunya. Kemudian disebut pula satu persatu, didetailkan nikmat itu supaya kita lebih nampak & terasa akan nikmat-nikmat itu.
Allah ungkit nikmat ini supaya kita lebih bersyukur, kerana kita tahu semua nikmat & anugerah yang kita dapat ini dari Allah, jika Allah tak beri kita tak akan dapatnya!
Maka apabila kita dapat nikmat yang baru hendaklah makin bersyukur bukan kata makin bangga takabbur & lupa diri.
Antara nikmat yang Allah sebut di sini ialah:
{dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil;}- ini nikmat ilmu yang amat besar.
Nikmat ilmu amat besar kerana sebagaimana kata ahli fikir:
i- Ilmu yang baik ia akan menjaga kita, tentang baik-buruk & halal,haram.
ii- Manakala harta makin banyak kita, kita yang makin kena jaganya!
Maka dalam ayat ini Allah detailkan nikmat yang diberi-Nya.
Ada dalam ayat yang lain tidak disebut secara khusus hanya umum.
Firman Allah SWT:
i- {Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu;…} (Faatir 35:3)
ii- {Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu kembang ramai…} (Al-A’raaf 7:86)
Banyaklah cara Allah mengungkit nikmat itu agar manusia sedar & makin bersyukur akannya!
Ingat nikmat ingat syukur kepada Allah!
- Ayat 110- {… dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: “Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata.”}-
Allah ingatkan Nabi Isa antara nikmat-Nya ialah Allah jaga & lindunginya dari dibunuh!
Firman Allah SWT:
{Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.} (Al-Hajj 22:38)
Timbul persoalan: Jika Allah jaga para nabi & rasul ini kenapa Rasulullah SAW pernah berdarah dan luka-luka wajahnya?
Kenapa ada nabi-nabi dari kalangan bani Israil yang dibunuh?
Kenapa ada di kalangan nabi & rasul yang sakit dan ditimpa kesusahan.
Jawapan:
Allah beri ujian & mereka disakiti kerana Allah nak angkat darjat mereka kepada darjat yang lebih tinggi.
Sebagaimana firman Allah SWT:
i- {(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulil-Azmi” (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu);…} (Al-Ahqaaf 46:35)
ii- {Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka…} (Al-An’aam 6:34)
Hadis – UM Aisyah RA berkata: Aku tidak cemburu melihat orang lain mati dengan mudah kerana aku telah melihat Rasulullah SAW sangat sakit ketika nak wafat.
Ini untuk angkat darjatnya lagi.
Allah kata apabila apabila kamu bawa keterangan yang nyata dari Allah, orang akan tolak & lawan!
Kita hari ini beginilah cabaran & ujian yang dihadapi oleh para pendakwah yang mengajak orang kepada al-Quran & Hadis, ajak manusia beramal dengan Sunnah Nabi SAW, jika mereka lawan juga, cuba nak sekat dengan pelbagai cara, repot & label, jika ianya dianggap sebagai jenayah yang menetang arus, menyalahi masyarakat, maka kita rela ambil yang diperintah Allah, apa Sunnah yang diajar oleh Nabi SAW.!
Allah yang Maha Mengetahui, kita serahkan kepada Allah.
Teruskanlah perjuangan, kita hadapi dan sabar disamping berdoa kepada Allah agar Allah jaga daripada perkara yang tidak baik!
Begitulah mehnah & tribulasi dalam berdakwah, dalam perjuangan tiada yang senang!
Sabarlah wahai para pendakwah, para rasul dulu pun telah disakiti oleh umatnya!
Kita bersabarlah semoga mendapat keredhaan Allah & layak mendapat syafaat Nabi SAW di Akhirat kelak!
Para rasul & ulama’ terdahulu betapa ramai yang telah dihukum & disakiti kerana menyampaikan kebenaran!
Orang yang berpegang dengan kebenaran seolah berpegang dengan bara api!
- Ayat 109- {… Rasul-rasul itu menjawab: “Tidak ada bagi kami pengetahuan yang sah tentang itu, (pengetahuan yang tepat adalah tertentu bagiMu), kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala perkara yang ghaib.”}-
Dalam ayat ini para rasul bersifat tawadhuk dengan Allah, bahawa mereka tidak tahu yang batin atau hakikat sebenar apa yang ada dalam hati manusia lain.
Apakah ayat ini seolah kontra dengan ayat ini:
Maksudnya: {Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?} (An-Nisaa’ 4:41)
Dimana ayat di atas seolah para rasul ini menafikan kesaksian mereka terhadap umat manusia?
Sedangkan dalam ayat ini Allah kata para rasul akan dibawa untuk menjadi saksi bagu umat masing-masing?
Jawapan: untuk mengumpulkan antara dua ayat ini ada beberapa pandangan:
i- Nabi bersifat tawadhuk dengan Allah, mereka tidak tahu hakikat sebenar, hanya tahu setakat yang zahir, apa yang batin dalam hati manusia mereka tidak tahu, hanya Allah yang tahu.
ii- Semasa hidup mereka tahu selepas mati mereka tak tahulah lagi, serah kepada Allah Yang Maha Mengetahui segalanya.
Inilah taujih, nak campur antara dua ayat yang nampak seolah berbeza maksudnya.
- Ayat 110- {(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika….}-
Dalam ayat ini Allah sebut beberapa nikmat yang banyak yang dikurniakannya kepada Nabi Isa AS.
Allah nyatakan nikmat-Nya kepada Nabi Isa AS, tiba-tiba yang terakhir Allah kata puak kafir kata:
{… lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: “Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata.”}-
orang kafir mengatakan semua nikmat (mukjizat) yang Nabi Isa ada itu adalah kerana dia seorang ahli sihir!
Kenapa Allah sebut nikmat-nikmat-Nya (lapan yang disebut) kemudian seolah dibawa pengingkaran pula?
Atau apakah ia adalah nikmat yang kesembilan????
Jawapan:
Ini kerana setiap orang yang diberi nikmat oleh Allah SWT akan dibenci, didengki lalu diingkari oleh orang lain.
Maka sembunyikanlah perancangan & stretegi kamu kerana setiap orang yang dapat nikmat itu akan dibenci & didengki oleh orang!
Jadi orang kafir ini apabila melihat nikmat Nabi Isa yang banyak & keterangan dan kebenaran yang jelas; apabila mereka tidak dapat lawan hujjahnya, mereka tuduhnya ahli sihir pula untuk menjauhkan orang ramai darinya!
Yakni kamu bawalah hujjah & keterangan sebanyak manapun jika orang tidak mahu terima mereka tetap tidak akan terima bahkan akan buat tuduhan!
Nabi Isa dituduh ahli sihir, ada nabi-nabi lain yang dituduh sebagai gila- bahkan Nabi kita Muhammad SAW dituduh dengan ketiganya sekali, ahli sihir, orang gila & penyair!!!!
Jika setakat kita ajak orang beramal dengan al-Quran & Sunnah dituduh juga oleh orang dengan macam-macam maka itu hanya kecil.
Ya Allah kami memohon dengan nama-Mu yang indah & sifat-Mu yang maha tinggi, bantulah kami untuk menyampaikan yang benar, ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi SAW yang SAW serta tafsir al-Quran sebagaimana ajaran para Salafus-Soleh.
Jaga dan peliharalah kami jika ada orang nak buat kejahatan dan tipu daya.
Semoga kami diberi kekuatan untuk terus berkata & menyampaikan yang benar, lidah ini tidak bisu dari menyampaikan yang haq.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.