HAWARIY MENGAKU BERIMAN, MINTA HIDANGAN MAKANAN DARI LANGIT & AMARAN ALLAH SEKIRANYA TIDAK BERIMAN.
Full video : https://youtu.be/bKJmZa9ZEl4?si=aHZUa9brNWoGaw4d
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 111 sehingga 115, dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan bagaimana Allah beri ilham kepada al-hawariy, pengikut setia Nabi Isa AS yang mengaku beriman.
- Kemudian untuk memantapkan aqidah & keyakinan mereka; mereka minta agar Nabi Isa minta dari Allah agar diturunkan hidangan makanan dari langit.
- Lalu Nabi Isa minta dari Allah & Allah perkenankan untuk turunkan makanan; tetapi Allah beri amaran keras sekiranya tidak beriman & ingkar juga selepas itu, Allah akan timpakan azab yang dahsyat ke atas mereka.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang mukjizat-mukjizat yang diberi kepada Nabi Isa AS, iaitu lapan nikmat.
ii- Maka datang ayat ini Allah ceritakan dua lagi nikmat yang dianugerahkan kepada Nabi Isa iaitu:
a) sahabat setia yang membantu dalam perjuangannya.
Ini amat penting dalam setiap perjuangan perlu kepada penolong & pengikut setia.
b) hidangan (ma’idah) dari langit untuk pengikutnya!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 111- {DAN (INGATLAH) KETIKA AKU ILHAMKAN KEPADA ORANG-ORANG HAWARIYYIIN (SAHABAT-SAHABAT KARIB NABI ISA): “BERIMANLAH KAMU KEPADAKU DAN KEPADA RASULKU!” MEREKA MENJAWAB: “KAMI TELAH BERIMAN, DAN SAKSIKANLAH, BAHAWA SESUNGGUHNYA KAMI ORANG-ORANG ISLAM (YANG MENYERAH DIRI KEPADA ALLAH).”} (AL-MA’IDAH 5:111)
- Allah mengingatkan ketika Dia memberi ilham {أَوْحَيْتُ} kepada orang jujur dari kalangan pengikut Nabi Isa AS, Allah campakkan ke dalam hati mereka iman kepada Allah, Nabi Isa dan rasul-rasul yang lain juga.
Ini pentingnya para pendakwah untuk ada pengikut setia yang mendokong & menghalang kemudharatan atasnya.
Supaya tersebar ilmu yang benar.
- Inilah nikmat yang kesembilan, Allah permudahkan kepada Nabi Isa untuk medapat pengikut & sahabat setia yang akan menolong & menyokong perjuangan dakwahnya!
- Puak hawariyyun berkata bahawa mereka telah beriman kepada Allah & kamu saksikanlah wahai Nabi Isa bahawa kami beriman serta tunduk patuh berserah diri kepada Allah sepenuhnya!
Iaitu mereka zahirkan iman dengan amalan anggota juga!
AYAT 112- {DAN (INGATLAH) KETIKA ORANG ORANG HAWARIYYIIN BERKATA: “WAHAI ISA IBNI MARYAM! DAPATKAH KIRANYA TUHANMU BERKENAN MENURUNKAN KEPADA KAMI SATU HIDANGAN DARI LANGIT?” NABI ISA MENJAWAB: “BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH JIKA BENAR KAMU ORANG-ORANG YANG BERIMAN”.} (AL-MA’IDAH 5:112)
- Setelah jelas dan mantap iman mereka, hawariyyun bertanya kepada Nabi Isa AS apakah Allah akan perkenankan jika mereka meminta diturunkan kepada mereka satu hidangan makanan dari langit!
Mereka bertanya kepada Nabi Isa dulu, bolehkah jika mereka ingin minta.
- Nabi Isa terkejut mendengarnya dan menasihati mereka dengan berkata: “Bertaqwalah kamu kepada Allah jika benar kamu orang-orang yang beriman.”
- Yakni jika kamu sudah beriman dan percaya kepada Allah kenapa mahu minta bukti & sesuatu yang diluar kebiasaan lagi?
Apakah kamu belum benar-benar yakin akan kekuasaan Allah?
Tidak cukupkan bukti & mukjizat yang sudah ada?
AYAT 113- {MEREKA BERKATA: “KAMI HANYA INGIN HENDAK MAKAN DARI HIDANGAN ITU (UNTUK MENGAMBIL BERKAT), DAN SUPAYA TENANG TENTERAM HATI KAMI, DAN JUGA SUPAYA KAMI KETAHUI DENGAN YAKIN, BAHAWA SESUNGGUHNYA ENGKAU TELAH BERKATA BENAR KEPADA KAMI, DAN SUPAYA MENJADILAH KAMI ORANG-ORANG YANG MENYAKSIKANNYA SENDIRI.”} (AL-MA’IDAH 5:113)
- Mereka hawariyyun menjawab bahawa bukan mereka tidak beriman & tidak percaya cuma untuk meyakinkan lagi dan:
i- Hanya ingin hendak makan dari hidangan itu untuk mengambil berkat, dan supaya tenang tenteram hati kami.
ii- Juga supaya kami ketahui dengan yakin, bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada kami,
iii- Dan supaya menjadilah kami orang-orang yang menyaksikannya sendiri.
AYAT 114- {ISA IBNI MARYAM (PUN BERDOALAH KE HADRAT ALLAH DENGAN) BERKATA: YA ALLAH, TUHAN KAMI! TURUNKANLAH KIRANYA KEPADA KAMI SATU HIDANGAN DARI LANGIT, UNTUK MENJADI HARI RAYA BAGI KAMI, IAITU BAGI KAMI YANG ADA HARI INI DAN BAGI ORANG-ORANG KAMI YANG DATANG KEMUDIAN, DAN SEBAGAI SATU TANDA (MUKJIZAT) DARIPADAMU (YANG MENUNJUKKAN KEBESARAN DAN KEKUASAANMU); DAN KURNIAKANLAH REZEKI KEPADA KAMI, KERANA ENGKAU JUALAH SEBAIK-BAIK PEMBERI REZEKI”.} (AL-MA’IDAH 5:114)
- Nabi Isa AS pun melayan permintaan mereka itu lalu Baginda berdoa kepada Allah SWT supaya perkenankan permintaan hawariyyun meminta hidangan yang turun dari langit!
- Nabi Isa meminta kepada Allah apa yang diingini seraya menyatakan terus sebab permintaannya itu:
i- Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit,
ii- Untuk menjadi hari raya bagi kami,
iii- Iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian,
iv- Dan sebagai satu tanda mukjizat daripadamu yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaan-Mu;
v- Dan kurniaan itu sebagai satu rezeki kepada kami,
- Nabi Isa tutup doanya dengan berkata bahawa sesungguhnya Allah jualah sebaik-baik Pemberi rezeki.
AYAT 115- {ALLAH BERFIRMAN: “SESUNGGUHNYA AKU AKAN MENURUNKAN HIDANGAN ITU BERULANG-ULANG KEPADA KAMU, KEMUDIAN SESIAPA DI ANTARA KAMU KUFUR INGKAR SESUDAH (TURUNNYA HIDANGAN ITU), MAKA SESUNGGUHNYA AKU AKAN MENYEKSANYA DENGAN AZAB SENGSARA YANG TIDAK PERNAH AKU SEKSAKAN SESEORANG PUN DARI SEKAMU MAKHLUK”.} (AL-MA’IDAH 5:115)
- Allah SWT perkenankan doa Nabi Isa dan berjanji akan menurunkan hidangan itu berulang-ulang kepada mereka selama mana mereka mahu!
Apabila Allah berjanji & kata-kata-Nya benar!
Makanan itu dikatakan roti dan lauknya sama ada kuah daging atau ikan.
Ulama’ kata: Tidak ada keperluan dan manfaat untuk kita tahu apakah menunya secara tepat!
- Tetapi makanan itu turun & ada syaratnya;
i- Habiskan makanan itu jangan membazir.
ii- Jangan simpan dan khianatinya.
Tetapi mereka khianatnya lalu diazab oleh Allah.
Kerana itu Nabi Isa dia tidak mahu minta tetapi kerana umatnya dari kalangan hawariyyun yang minta maka diapun minta juga dari Allah!
- SOP perkenankan permintaan juga berat;
Allah juga memberi amaran keras sesiapa di antara mereka yang kufur ingkar sesudah turunnya hidangan itu, maka sesungguhnya Allah akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Allah seksakan seseorang pun dari sekalian makhluk.
Ada ulama’ kata : Mereka telah disumpah menjadi monyet & babi kerana ingkar selepas itu.
- Inilah dua lagi tambahan nikmat yang dikurniakan kepada Nabi Isa a.a:
i- Yang kesembilan: Adanya sahabat dan teman setia yang baik.
ii- Yang kesepuluh: Turunnya hidangan dari langit!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 111- {Dan (ingatlah) ketika Aku ilhamkan kepada orang-orang Hawariyyiin (sahabat-sahabat karib nabi Isa):…}-
Allah ilhamkan kepada golongan hawariyyun iaitu sahabat Nabi Isa AS.
{وَإِذْ أَوْحَيْتُ إِلَى ٱلْحَوَارِيِّـۧنَ}.
Apabila disebut wahyu {أَوْحَيْتُ} dalam al-Quran ia mempunyai dua makna:
i- Wahyu Syar’i, khas untuk para nabi & rasul, yang Allah turunkan dengan perantaraan malaikat.
ii- Dengan makna ilham untuk manusia biasa saja tidak ada malaikat apa.
Boleh Allah beri ilham kepada siapa saja.
Sepertimana firman Allah SWT ini:
i- Allah beri ilham kepada ibu Nabi Musa AS: {وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ أُمِّ مُوسَىٰٓ}
{Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:” Susukanlah dia;…} (Al-Qasas 28:7)
ii- Allah beri ilham kepada lebah untuk makan: {وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى ٱلنَّحْلِ}
{Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.} (Al-Nahl 16:68)
- Ayat 111- {Dan (ingatlah) ketika Aku ilhamkan kepada orang-orang Hawariyyiin (sahabat-sahabat karib nabi Isa): “Berimanlah kamu kepadaku dan kepada RasulKu!” Mereka menjawab: “Kami telah beriman, dan saksikanlah, bahawa sesungguhnya kami orang-orang Islam (yang menyerah diri kepada Allah).”}-
Puak hawariyyun ini apabila Allah beri ilham untuk beriman mereka terus respon menyahut dan menyatakan bahawa mereka adalah orang yang beriman juga orang yang telah Islam- {ءَامَنَّا وَٱشْهَدْ بِأَنَّنَا مُسْلِمُونَ}.
Dalam ayat ini Allah menyebut Iman dulu sebelum Islam, ini kerana iman itu dalam hati tidak nampak tetapi Islam itu zahir boleh dilihat!
Maka jika kamu mengaku beriman maka zahirkan, tunjukkannya dengan cara amalan kamu (Islam).
Beriman dengan Allah juga tidak sempurna jika tidak beriman dengan Rasul.
Maka para ulama’ kata : Islam & Iman ini:
i- Jika disebut berasingan ia dengan makna yang satu- seorang mukmin itu pastilah orang muslim.
ii- Jika disebut bersama, maknanya lain-lain, beriman itu dalam hati manakala Islam itu secara zahirnya, yang boleh nampak dilihat oleh orang lain.
- Ayat 112- {Dan (ingatlah) ketika orang orang Hawariyyiin berkata: “Wahai Isa Ibni Maryam! Dapatkah kiranya Tuhanmu berkenan menurunkan kepada kami satu hidangan dari langit?”}-
Hawariyyun tanya Nabi Isa jika mereka minta apakah Tuhan akan terima & kabulkan permintaan mereka itu!
Mereka ini beradab sebelum meminta, hawariyyun bertanya kepada Nabi Isa dulu sebelum meminta dari Allah.
Nabi Isa pun bertanya & menasihati mereka, untuk apa kamu meminta itu, apakah belum cukup yakin & beriman kepada Allah???
Mereka pun menjawab balik dengan memberi hujjah yang akhirnya dapat diterima oleh Nabi Isa AS {Mereka berkata: “Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu (untuk mengambil berkat), dan supaya tenang tenteram hati kami,}.
{Mereka berkata: “Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu (untuk mengambil berkat), dan supaya tenang tenteram hati kami,}.
Mereka juga minta dengan ikhlas bukan dengan niat nak uji, nak provokasi atau tidak percaya kepada Nabi Isa AS.
Lalu Nabi Isa pun berdoa kepada Allah meminta sebagaimana permintaan mereka.
Kisah ini hampir sama dengan permintaan Nabi Ibrahim AS yang meminta untuk melihat bagaimana Tuhan menghidupkan sesuatu yang telah mati, bukan kerana tidak percaya tetapi untuk memantapkan lagi iman & keyakinannya tentang perkara itu.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: {Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”. Allah berfirman: “(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Al-Baqarah 2:260)
Ini kerana melihat sendiri dengan mata kepala tidak sama dengan hanya mendengar cerita dari orang lain.
- Ayat 114- {Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit,…}-
Lalu Nabi Isa AS pun berdoa dan bertawassul kepada Allah dengan penuh pengharapan dan menyatakan sebab permintaannya itu.
Nabi Isa bawa dalam permohonannya dua maslahah dunia & Akhirat:
i- Untuk menjadi hari raya bagi mereka, untuk bergembira dan
ii- Sebagai satu rezeki kepada mereka.
iii- Dan sebagai satu tanda mukjizat, yang menunjukkan kebesaran dan tanda kekuasaan Allah.
Kata ulama’ : Setiap benda yang pelik & ajaib. Yang diluar daripada kebiasaaan; maka ia menjadi tanda kekuasaan Allah SWT, tak kira dari sudut makanan, keadaan, bala bencana atau sebagainya.
Maka kita kena sentiasa ingat akan Allah & jangan berani melawan hukum Allah.
- Ayat 115- {Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu berulang-ulang kepada kamu, kemudian sesiapa di antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara…}-
Allah menjawab bahawa Dia akan perkenankan doa Nabi Isa AS iaitu turunkan hidangan dari langit; tetapi dengan syarat.
Sesiapa yang langgar syarat itu sesiapa di antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara.
Perbincangan: Adakah Allah turunkan atau tidak hidangan itu:
i- Majoriti ulama’ kata: Turun. (At-Tobari & ibnu Kathir ) Kerana apabila Allah telah berjanji Dia akan tunaikannya.
ii- Ada juga ulama’ yang kata: Tidak jadi turun (Mujahid & al-hasan al-Basri) kerana Allah beri syarat.
Kenapa hawariyyun minta makanan bukan benda lain???
Ada beberapa pendapat tentangnya:
i- Kerana keperluan nak makan, kerana dikatakan pengikut Nabi Isa AS yang ikutnya setiap kali keluar ini amat ramai – sehingga 5000 orang.
ii- Untuk meyakinkan hati mereka bahawa Nabi Isa itu benar dari Tuhan.
iii- Untuk ilmu, yakni apabila Nabi Isa minta & Allah perkenankan maka sahlah dia nabi!
iv- Untuk menjadi saksi bahawa makanan itu dari Allah SWT.
Tetapi apa boleh buat mereka tetap kufur nikmat setelah hidangan itu turun; lalu Allah sumpah mereka menjadi monyet & babi!
Maka kita ambillah iktibar & pengajaran dari kisah ini, jangan minta yang pelik-pelik dan cukuplah kita beriman dengan apa yang telah dibawa oleh al-Quran & Sunnah Nabi SAW.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.