View Categories

(42) Surah Al-Ma’idah : Ayat 116-120

ALLAH BEBASKAN ISA DARI TUDUHAN NASARA, ISA HANYA MENJALANKAN TUGAS TAUHID & DOAKAN KEBAIKAN.

Full video : https://youtu.be/d1lVEODpaNk?si=PkK5d-kIiCeOohFC

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 116 sehingga ayat terakhir iaitu ayat 120 dalam juzu’ ketujuh. 
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan bagaimana Allah membebaskan Nabi Isa AS dari tuduhan jahat nasara, yang menganggapnya sebagai Tuhan.
  1. Sedangkan Nabi Isa hanya menjalankan tugasnya sebagai seorang rasul, untuk mengajak manusia ke arah tauhid kepada Allah Azza wa Jalla sejak dari dia lahir sehingga dia mati.
  1. Nabi Isa juga sentiasa mendoakan kebaikan kepada umatnya. 
    Itulah sikap para nabi yang tidak berdendam dengan kaum mereka tetapi masih mempunyai rahmat & kasih sayang untuk menyelamatkan mereka dari azab Allah SWT!
  1. Maka kita sebagai pendakwah kena belajar juga ilmu ini, ilmu kasih sayang sesama manusia, ajak mereka beriman kepada Allah.
    Jika yang sudah beriman untuk mantapkan iman mereka dengan tauhid yang murni, ikut Sunnah Nabi SAW dalam amalan & kehidupan, semoga selamat di dunia & Akhirat.
  1. Kemudian di akhir ayat Allah kata semua yang di dunia ini milik-Nya. 
    Sesiapa yang langgar perintah akan dapat bala; siapa yang taat itulah orang yang bahagia!
    Semoga kita termasuk dalam golongan yang taat ini. 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 116- {DAN (INGATLAH) KETIKA ALLAH BERFIRMAN: “WAHAI ISA IBNI MARYAM! ENGKAUKAH YANG BERKATA KEPADA MANUSIA: JADIKANLAH DAKU DAN IBUKU DUA TUHAN SELAIN DARI ALLAH? ‘ ” NABIISA MENJAWAB: “MAHA SUCI ENGKAU (WAHAI TUHAN)! TIDAKLAH LAYAK BAGIKU MENGATAKAN SESUATU YANG AKU TIDAK BERHAK (MENGATAKANNYA). JIKA AKU ADA MENGATAKANNYA, MAKA TENTULAH ENGKAU TELAH MENGETAHUINYA. ENGKAU MENGETAHUI APA YANG ADA PADA DIRIKU, SEDANG AKU TIDAK MENGETAHUI APA YANG ADA PADA DIRIMU; KERANA SESUNGGUHNYA ENGKAU JUALAH YANG MAHA MENGETAHUI PERKARA-PERKARA YANG GHAIB.} (AL-MA’IDAH 5:116)

  1. Ingatlah ketika Allah SWT berfirman kepada Nabi Isa AS dihadapan nasrani & semua, apakah kamu pernah menyuruh manusia untuk menjadikan diri mu & ibumu sebagai Tuhan yang disembah selain daripada Allah?
  1. Ayat ini adalah ayat tempelak, ditanya Nabi Isa untuk mencela & menghentam puak nasrani yang sebenarnya melakukan perbuatan sesat & karut itu, mendakwa Nabi Isa sebagai Tuhan & ibunya juga.
  1. Nabi Isa menafikannya dengan berkata: {“Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)!} serta memberi hujjah bahawa jika sungguh dia berkata begitu, pastilah Allah SWT akan mengetahuinya! 
    Tidak layak baginya untuk mendakwa sedemikian, dia hanya menyampaikan apa yang Allah perintahkan Allah kepadanya.
  1. Dia juga memulangkan ilmu pengetahuan & kekuasaan kepada Allah SWT:
    i- Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku,

    ii- Sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu;

    iii- Kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    Maksudnya:
    {Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,} [Qaaf 50:16].

    Yakni Allah tahu apa yang kita khayalkan dalam hati & apa yang diucapkan oleh lidah kita!

AYAT 117- {“AKU TIDAK MENGATAKAN KEPADA MEREKA MELAINKAN APA YANG ENGKAU PERINTAHKAN KEPADAKU MENGATAKANNYA, IAITU: `SEMBAHLAH KAMU AKAN ALLAH, TUHANKU DAN TUHAN KAMU ‘ DAN ADALAH AKU MENJADI PENGAWAS TERHADAP MEREKA (DENGAN MEMBENARKAN YANG BENAR DAN MENYALAHKAN YANG SALAH) SELAMA AKU BERADA DALAM KALANGAN MEREKA; KEMUDIAN APABILA ENGKAU SEMPURNAKAN TEMPOHKU, MENJADILAH ENGKAU SENDIRI YANG MENGAWASI KEADAAN MEREKA, DAN ENGKAU JUALAH YANG MENJADI SAKSI ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-MA’IDAH 5:117)

  1. Nabi Isa terus menafikan perbuatan yang dibuat oleh nasrani ini. 
    Dia tidak pernah mengatakan kecuali apa Allah perintahkan kepadanya iaitu kepada tauhid yang murni; mengajak manusia menyembah Allah semata-mata, tidak kepada yang lain!
  1. Nabi Isa juga mengatakan: Selama dia berada bersama mereka di bumi sebelum diangkat ke langit, Nabi Isa menjadi pengawas keadaan mereka, membenarkan apa yang benar dan menyalahkan yang salah.
  1. Kemudian apabila dia diangkat ke langit oleh Allah, tidak lagi bersama mereka pengikutnya, maka selepas itu Allah sendirilah yang mengawasi keadaan mereka.
  1. Hadis- riwayat Abdullah bin Abbas RA: 
    Pada suatu hari Rasulullah SAW berkhutbah menyampaikan nasihat kepada manusia: 
    “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kalian akan dikumpulkan menuju Allah SWT dalam keadaan tidak memakai kasut, bertelanjang dan tidak berkhatan.
    Kemudian Baginda membaca firman Allah ini:
    {Sebagaimana kami sudah memulakan penciptaan pertama, begitulah Kami akan mengulanginya. Itulah suatu janji yang pasti Kami tepati. Sesungguhnya Kamilah yang akan melaksanakannya.} (Al-Anbiya’: 104).
    “Ketahuilah sesungguhnya makhluk pertama yang diberi pakaian pada hari Kiamat ialah Ibrahim AS. 
    Ketahuilah sesungguhnya beberapa orang daripada umatku akan didatangkan lalu mereka diambil menjadi golongan kiri (ahli neraka), aku berkata, ‘Wahai Tuhanku, mereka ummatku.’
    {Dikatakan, ‘sesungguhnya engkau tidak tahu apa yang mereka lakukan sejak peninggalanmu? ‘
    Lalu aku mengucapkan seperti perkataan seorang hamba soleh, ‘Aku menjadi saksi ke atas mereka selagi aku bersama mereka namun tatkala Engkau wafatkan aku, Engkaulah yang mengawasi mereka dan Engkaulah Maha Menyaksikan terhadap segala sesuatu’.} (Al-Maidah: 117).
    “Lalu dijawab, Mereka sentiasa kembali ke belakang (murtad) sejak engkau tinggalkan mereka.”
    (HR al-Bukhari: No. 4625).

    Yakni sepeninggalan Rasulullah SAW mereka ini telah mengubah perjalanan agama & ibadat, buat apa yang Baginda tak ajar, tidak seperti yang Baginda tinggalkan.
  1. Inilah yang kita takut, reka ibadat yang Nabi tak ajar, maka atas dasar apa kita nak jawab apabila malaikat soal nanti! 
    Marilah kita ikut Sunnah Nabi SAW yang sahih dalam amalan kita, biarlah kita terasing atas dunia ini jangan terasing di Akhirat kelak tidak dapat duduk bersama golongan yang diredhai Allah SWT!
  1. Pada akhir ayat Nabi Isa AS berkara: Ya Allah, Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu, yang zahir yang batin, yang besar atau kecil!

AYAT 118- {“JIKA ENGKAU MENYEKSA MEREKA, (MAKA TIDAK ADA YANG MENGHALANGINYA) KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA ADALAH HAMBA-HAMBAMU; DAN JIKA ENGKAU MENGAMPUNKAN MEREKA, MAKA SESUNGGUHNYA ENGKAULAH SAHAJA YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.”} (AL-MA’IDAH 5:118)

  1. Kemudian Nabi Isa sebagai seorang yang nabi yang lemah-lembut & menyayangi umatnya; mengucapkan ayat rayuan kepada Allah supaya mengasihani umatnya yang bersalah:
    i- Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu;

    ii- Dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
  1. Hadis kisah Rasulullah SAW dengan ayat-ayat ini:
    Pada suatu malam Baginda SAW bangun malam dan membaca ayat ini: {Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).} [Ibrahim 14: 36].

    Kemudian Baginda SAW membaca ayat 118 ini pula:
    {Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}

    Selepas membaca dua ayat ini Rasulullah SAW mengangkat tangannya dan berkata sambil menangis sehingga basah janggutnya: Ummatku! Ummatku! Lalu Allah SWT berkata, “Wahai Jibril, pergilah kamu kepada Muhammad dan ketahuilah bahwa Tuhanmu Maha Tahu. Bertanyalah kamu kepada Muhammad, apa yang menyebabkan dia menangis?” Maka Jibril mendatangi Nabi Muhammad SAW dan bertanya kepadanya apa yang membuatnya menangis. Kemudian, Nabi SAW menjawab, bahwa dirinya sangat mengkhawatirkan umatnya kelak di akhirat nanti. Setelah itu, Malaikat Jibril menyampaikan apa yang telah dikatakan Nabi SAW kepada Allah SWT. Allah SWT berkata lagi, “Wahai Jibril, pergilah kamu kepada Muhammad dan katakanlah kepadanya kata-kata ini: Sesungguh, Aku (Allah) akan memberikan syafaat kepada umatmu dan Aku tidak akan membiarkanmu.”
    [HR Muslim].
  1. Hadis kedua: Abu Zar RA meriwayatkan bahawa pernah Rasulullah SAW bangun malam kemudian membaca ayat ini banyak kali sambil menangis sehingga ke subuh:
    {Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} [HR Ibnu Majah]

    Betapa Rasulullah SAW menangis kerana bimbangkan akan nasib umatnya kelak, tidak sampai ke kolam & syurga Allah!
    Ya Allah jadikan kami dari kalangan hamba-Mu yang berpegang dengan al-Quran & mengikut Sunnah Nabi SAW serta jauh dari segala bid’ah & kesesatan.
  1. Maka boleh kita buat begitu, kita ambil satu ayat yang amat menyetuh perasaan dan dapat memberi kesan kepada perasaan kita lalu membacanya berulang kali semasa ibadat qiyamullail kita, sehingga kita menangis dengan penuh keinsafan! Ayat-ayat ini adalah termasuk dalam ayat tangisan orang soleh.
  1. Adapun riwayat yang menyatakan bahawa Nabi SAW ketika hendak wafat berada di atas pangkuan anaknya Sayyidah Fatimah RA sambil sambil menyebut: Umatku! Umatku! adalah tidak sahih. 
    Kerana riwayat yang sahihnya adalah wafat ketika berada di atas riba UM Aisyah di rumahnya! 
    Hadis ini ditukar oleh puak syi’ah yang mahu menafikan keistimewaan UM Aisyah RA.
  1. Begitulah Rasulullah SAW menangis bimbang takut ummatnya tidak ikut Sunnah; kita hari ini nak bawa & ajak orang ikut Sunnah akan dilabel & digelar dengan pelbagai tuduhan jahat untuk menjauhkan orang ramai!

AYAT 119- {ALLAH BERFIRMAN: “INILAH HARI (KIAMAT) YANG (PADANYA) ORANG-ORANG YANG BENAR (PADA TUTUR KATA DAN AMAL PERBUATAN) MENDAPAT MANFAAT DARI KEBENARAN MEREKA; MEREKA BEROLEH SYURGA-SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA SELAMA-LAMANYA. ALLAH REDA AKAN MEREKA DAN MEREKA PULA REDA AKAN DIA. ITULAH KEJAYAAN YANG AMAT BESAR”.} (AL-MA’IDAH 5:119)

  1. Allah SWT menjawab lagi kata-kata Nabi Isa yang mendoakan akan umatnya tadi!
  1. Pada hari Kiamat ini akan terzahirlah siapa yang benar-benar beriman, mereka akan mendapat manfaat hasil dari kebenaran itu dengan mendapat balasan syurga!
  1. Munasabah ayat ini:
    i- Apabila Nabi Isa AS berdoa & membuat rayuan kepada Allah SWT;

    ii- Allah menjawab bahawa Isa kamu jangan bimbang. 
    Akan terserlah kelak siapa yang benar dalam dakwaan beriman kepada Allah, yang benar mengikut ajaran nabinya, maka mereka akan selamat! Allah redha kepada mereka, mereka juga redha dengan anugerah Allah! 
    Itulah hari terdedah segala rahsia!
  1. Maka marilah kita perbetulkan hati & niat kita! 
    Mengembara mencari manusia dengan kaki; tetapi mengembara mencari keampunan Allah adalah dengan hati!
  1. Hadis yang panjang riwayat dari Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    “… pada hari Kiamat kelak Allah zahirkan Zat-Nya yang mulia dan berkata kepada hamba-Nya, (orang beriman yang dapat masuk syurga) kamu mintalah apa saja nescaya Allah akan perkenankan. Maka ahli syurga hanya minta keredhaan Allah kerana semuanya sudah cukup di dalam syurga!… maka Allah berfirman: Saksikanlah kamu semua ahli syurga bahawa Aku telah redha kepada kamu semua. [HR At-Tabarani dan lain-lain-sanadnya baik].

AYAT 120- {ALLAH JUALAH YANG MENGUASAI ALAM LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG ADA PADANYA; DAN DIA LAH JUA YANG MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-MA’IDAH 5:120)

  1. Allah tutup surah yang mulia ini dengan menta’kidkan bahawa:
    i- Allah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya;

    ii- Dan Dia-lah jua yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
  1. Yakni Allah kata: Kamu jangan bimbang, segala yang di langit & yang di bumi kepunyaan-Ku, syurga & neraka Aku yang punya, semua makhluk di bawah kekuasaan-Ku; apabila Aku dah redha kepada kamu, apa lagi yang kamu mahu! 
    Jika kamu tahu segala kekuasaan milik Allah maka kamu tidak akan berani derhaka & maksiat lagi kepada Allah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 116- {Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah?}-

    Apabila Allah bertanya kepada Nabi Isa AS apakah kamu kata kamu & ibumu adalah Tuhan & mengajak manusia menyembahmu?
    Nabi Isa menafikannya dan memberi hujjah bahawa jika dia berkata begitu pastilah Allah SWT yang terlebih dahulu akan mengetahuinya!
    Kata ulama’ : ayat ini mengisbatkan bahawa salah satu sifat Allah SWT itu ialah ilmu, mengetahui segala sesuatu.
    Ilmu Allah meliputi yang zahir & yang batin, yang telah lepas & akan datang.

    Maka apabila kita tahu Allah Maha Mengetahui segala sesuatu:
    i- Maka teruskanlah perjuangan menyampaikan kebenaran, jangan peduli apa yang orang kata asalkan kita mendapat keredhaan Allah SWT.
    Kita perbaiki hati & perbetulkan niat kita dalam perjuangan.
    Jangan peduli cabaran & karenah orang yang cuba menyekat & menghalang kebenaran.

    ii- Jika kita yakin kita di bawah ilmu & pengetahuan Allah; kita tidak akan berani untuk buat perkara yang menyalahi peraturan Allah Azza wa Jalla.
    Yang kita bimbang hari ini kita tahu Allah tahu tetapi buat tak tahu! 
    Kerana itu kikta berani buat maksiat, perkara mungkar dan lain-lain.
  1. Ayat 118- {“Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”}-

    Nabi Isa AS adalah antara rasul yang ulum-azmi, iaitu yang punya ketahanan yang tinggi dalam menghadapi ujian dan cabaran dalam dakwah perjuangan. 
    Nabi Isa AS serahkan urusan umatnya kepada Allah SWT. 
    Jika Allah azab mereka- mereka adalah hamba-Nya yang berdosa! 
    Jika Allah ampunkan mereka juga boleh saja kerana Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Kuasa.
    Kita juga wajib serahkan diri dan segala urusan & peraturan hidup kita kepada Allah SWT! 
    Kita tidak boleh tanya kepada Allah tetapi Allah yang akan bertanya, menyoal kepada kita nanti!
    Jika kurang ikhlas perbetulkan niat kita.

    Kata ulama’ : Manusia ini terbahagi kepada dua keadaan:
    i- Ada manusia yang diazab Allah SWT

    ii- Ada yang diampunkan oleh Allah SWT!
    Sebagaimana doa yang sering dibaca dalam solat jenazah.
    Maka kerja & usaha kita adalah mencari apa saja yang boleh membawa kepada keampunan Allah SWT!
  1. Ayat 119- {Allah berfirman: “Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka;…}-

    Pada hari Kiamat ini siapa yang benar dalam iman & tauhid akan selamat.
    Ulama’ kata : Ayat ini adalah galakan untuk menjadi orang yang benar sama ada dalam tauhid, yang murni & benar ada, kenapa kita nak cari yang boleh membawa kesusahan & kesesatan!
    Orang yang benar ialah orang yang betul-betul beriman kepada Allah SWT & benar-benar mengikut Sunnah Nabi SAW. 
    Hanya ini ukuran & pegangan kita, al-Quran & Sunnah Nabi SAW.
    Manakala orang yang ingin membuang orang yang berpegang dengan al-Quran & Sunnah dari golongan ahli Sunnah kerana sependapat sejenama dengan dia; adalah perbuatan orang yang sonsang!
    Maka Nabi Isa siapa yang betul maka itu adalah orang yang benar. 
    Ya Allah jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang benar!
  1. Ayat 116- {Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah?…}-

    Allah bertanya kepada Nabi Isa AS. Apakah kamu yang mengajak manusia agar menyembah kamu & ibumu?
    Kenapa tanya Nabi Isa, kenapa Allah tak tanya puak nasrani yang membuat dakwaan itu???

    Jawapan ada beberapa:
    i- Maksudnya soalan ini ialah untuk mencela puak nasrani yang membuat dakwaan itu.
    Untuk memalukan mereka kerana mereka buat dakwaan sesuatu yang tidak ada!

    ii- Juga sebagai ayat sindiran; menyatakan bahawa mereka inilah yang jahat yang mereka-cipta dakwaan Tuhan tiga, Tuhan anak dan lain-lain itu.

    iii- Supaya Nabi Isa AS tidak bercakap banyak, hanya menyatakan bahawa dakwah & ajarannya adalah kepada tauhid, menyembah Allah yang Esa!

    iv- Allah nak zahirkan bahawa pengikut Nabi Isa telah khianat, terutama para pendeta & rahib yang jahat, yang telah mengubah perjalanan agama, yang menyebabkan manusia jadi syirik; mengatakan Nabi Isa adalah Tuhan!
  1. Ayat 117- {… dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.}-

    Nabi Isa kata dia menjadi saksi kepada umatnya semasa dia ada bersama mereka. Selepas dia tiada, dia tidak tahu lagi, dan Allah-lah jua yang akan menjadi saksi ke atas mereka.
    Para rasul menjadi saksi kepada umatnya selama mereka ada! 
    Selepas itu mereka serahkannya kepada Allah SWT!
    Manakala Rasulullah SAW menjadi saksi ke atas semua umat yang terdahulu melalui wahyu dari Allah SWT!
    Kita pula menjadai saksi kepada semua umat yang terdahulu dengan iman kita kepada Rasulullah SAW.
    Pada akhir ayat Allah menyatakan besarnya kelebihan orang yang benar & dunia ini semuanya adalah milik Allah SWT.

Alhamdulillah pada pagi ini khatamlah kita kuliah tafsir Surah Al-Ma’idah bagi kali kedua tahun 2024 ini dengan 42 siri.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs