View Categories

Surah ‘Abasa : Ayat 33-42

HARI TEMPIKAN SUARA YANG DAHSYAT, SEMUA LARI MEMBAWA DIRI & DUA WAJAH PADA HARI KIAMAT.

Full video : https://youtu.be/-96OVwdwUlM?si=T8CLMus7m8r3s-39

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang terakhir bagi surah ini Allah SWT meceritakan tentang Hari tempikan suara yang dahsyat {ٱلصَّآخَّةُ}, iaitu hari Kiamat.
  1. Pada hari itu semua manusia lari membawa diri masing-masing, tidak hiraukan lagi akan orang lain sama ada ibu bapa, pasangan atau anak-anak sendiri.
  1. Allah juga gambarkan manusia terbahagi kepada dua Wajah Pada Hari Kiamat. 
    Iaitu wajah yang gembira cerah bersinar {مُّسْفِرَةٌۭ} & wajah yang kusam gelap berdebu { غَبَرَةٌۭ} & { قَتَرَةٌ}!
  1. Munasabah ayat:
    i- Setelah Allah nyatakan bahawa objektif ciptaan manusia dan makhluk lain ini ada tiga:
    a) Dalil kepada tauhid keesaan Allah SWT.

    b) Dalil Qudrah {kekuasaan}- Allah SWT sangat berkuasa untuk menghidupkan balik manusia,

    c) Sesungguhnya Allah SWT Tuhan yang berbuat baik kepada hamba-Nya, dengan memberi pelbagai nikmat & kemudahan yang diberi. 
    Maka tidak layak untuk orang yang berakal menolak kebaikan itu dengan berbuat syirik kepada-Nya serta takabbur keras kepala daripada menerima arahan Allah SWT.

    ii- Maka untuk menyatakan bahawa manusia ini akan dikembalikan kepada Allah SWT dengan menggambarkan suasana hari Kiamat ini, Allah SWT bawa Ayat 33 ini & seterusnya kepada kita.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 33- {KEMUDIAN (INGATLAH KEADAAN YANG BERLAKU) APABILA DATANG SUARA JERITAN YANG DAHSYAT,} ‘ABASA 80:33)

  1. Allah SWT mengingatkan kita akan keadaan suasana yang dahsyat iaitu apabila datang suara jeritan yang dahsyat {ٱلصَّآخَّةُ}, iaitu tiupan sangkakala yang kedua pada hari Kiamat. 
  1. Setelah menerangkan nikmat-Nya mengadakan manusia & segala keperluan nya, maka sebagai peringatan agar manusia jangan kufur nikmat itu bahkan disyukuri dengan iman & taat.
  1. Lalu dengan ayat ini & ayat-ayat berikutnya diterangkan pula tentang huru-hara hari Kiamat agar manusia bersedia dengan iman & taat untuk menghadapinya.
  1. Diterangkan tentang huru-hara hari Kiamat ini supaya manusia bersedia dengan iman & taat untuk menghadapinya.
  1. Antara ciri-ciri hari Kiamat ialah tempikan suara yang begitu dahsyat ini {ٱلصَّآخَّةُ}. 
    Ulama’ kata : Ini adalah tiupan serunai Israfil bagi kali kedua.
    Dalam bahasa Arab jika sesuatu perkataan itu susah disebut menggambarkan betapa beratnya ia.

AYAT 34- {PADA HARI SESEORANG ITU LARI DARI SAUDARANYA,} (‘ABASA 80:34)

  1. Semua manusia akan lari daripada orang lain kerana tersangat huru-hara & takut pada hari itu. Tiada siapa mahu peduli kepada siapa, setiap orang dalam kegawatan akan diri masing-masing.
  1. Firman Allah SWT:
    {Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka, dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan.} (Al-Mu’minuun 23:101)

AYAT 35- {DAN IBUNYA SERTA BAPANYA,} (‘ABASA 80:35)

  1. Bahkan lari dari ibu bapa juga. 
  1. Iaitu pada waktu mula-mula keluar daripada kubur ini tiada siapa boleh memberi pertolongan atau sfayaat kepada sesiapa pun!

AYAT 36- {DAN ISTERINYA SERTA ANAK-ANAKNYA;} (‘ABASA 80:36)

  1. Juga dari isteri / suami dan anak-cucunya. Tidak akan dicari dan tidak dipedulikan juga pada hari Kiamat. 

AYAT 37- {KERANA TIAP-TIAP SEORANG DARI MEREKA PADA HARI ITU, ADA PERKARA-PERKARA YANG CUKUP UNTUK MENJADIKANNYA SIBUK DENGAN HAL DIRINYA SAHAJA.} (‘ABASA 80:37)

  1. Ini kerana pada hari Kiamat setiap orang sibuk untuk menyelamatkan dirinya sendiri, tidak tahu hendak ke mana.
  1. Pada hari itu mereka menghadapi isu besar yang menyusah & menakutkan diri mereka sendiri sehingga tiada masa untuk berfikir atau mencari orang lain!
  1. Hadis dari Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: 
    “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kalian akan dikumpulkan menuju Allah SWT dalam keadaan tidak memakai kasut, bertelanjang dan tidak berkhatan. Seorang perempuan berkata: “Wahai Rasulullah! Alangkah malunya! Kami akan saling melihat kepada sesama kami?!” Maka Baginda menjawab: “(Ketika itu) manusia disibukkan dengan urusan masing-masing.” [HR at-Tirmizi].

    Yakni manusia masing-masing sibuk dengan urusan sendiri & tidak akan hiraukan orang lain atau keadaam sekelilingnya lansung!

AYAT 38- {MUKA (ORANG-ORANG YANG BERIMAN) PADA HARI ITU BERSERI-SERI,} (‘ABASA 80:38)

  1. Pada hari itu wajah & muka orang yang beriman cerah berseri-seri. 

AYAT 39- {TERTAWA, LAGI BERSUKA RIA;} (‘ABASA 80:39)

  1. Mereka tertawa gembira, sangat suka kerana telah mendapat keredhaan & kemuliaan dari Allah SWT!
  1. Keluar daripada kubur mereka terus berkumpul di bawah bayangan Arasy Allah SWT.
  1. Firman Allah SWT:
    i- {Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati).} (Al-Insaan 76:11)

    ii- {Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.} (Al-Insyiqaaq 84:9)
  1. Ya Allah jadikanlah kami daripada golongan ini yang gembira & berseri wajahnya pada hari Kiamat.

AYAT 40- {DAN MUKA (ORANG-ORANG YANG INGKAR) PADA HARI ITU PENUH BERDEBU,} (‘ABASA 80:40)

  1. Manakala wajah golongan yang kedua; orang yang ingkar, orang kafir yang tidak percaya kepada Allah & al-Quran, penuh berdebu.

AYAT 41- {DILIPUTI OLEH WARNA HITAM LEGAM DAN GELAP-GELITA.} (‘ABASA 80:41)

  1. Wajah mereka juga hitam,legam & gelap gelita, na’uzubillah!
  1. Firman Allah SWT:
    i- {(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): “Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”.} (Ali-‘Imran 3:106)

    ii- {Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

    Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.} (Yunus 10: 26-27)

AYAT 42- {MEREKA ITU IALAH ORANG-ORANG YANG KAFIR, YANG DERHAKA.} (‘ABASA 80:42)

  1. Mereka itulah dari golongan:
    i- Orang-orang kafir yang derhaka {هُمُ ٱلْكَفَرَةُ}, yang hatinya tidak beriman kepada Allah SWT.

    ii- juga puak jahat {ٱلْفَجَرَةُ} yang berani buat segala benda haram, langgar segala perintah & larangan Allah SWT!
  1. Kata Syeikh al-Biqa’i : Golongan {ٱلْفَجَرَةُ} ini ialah kumpulan yang hidup mewah, golongan bangsawan atau VVIP, kekayaan dan kedudukan mereka menjadikan mereka takabbur, sombong angkuh di dunia.
    Maka Allah SWT kumpulkan mereka di akhirat kelak dengan wajah yang gelap & penuh berdebu! Inilah balasan yang setimpal.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 33- {Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat,}-

    Iaitu pada hari Kiamat, datang suara dahsyat apabila berlaku tiupan sangkakala.
    Allah SWT bawa kepada kita di sini perkataan yang baru untuk menyatakan keadaan orang yang dibangkitkan semula pada hari Kiamat.
    Sebelum ini Allah SWT nyatakan kejadian manusia dan nikmat rezeki yang mereka dapat di atas dunia dulu.
    Kemudian dibawa ayat ini bermula dengan huruf (فَ) dengan makna maka. Untuk menunjukkan cepatnya dunia ini berlalu, mati atau Kiamat boleh datang & berlaku bila-bila masa saja. 
  1. Ayat 34- {Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya,}
    Ayat 35- {Dan ibunya serta bapanya,}
    Ayat 36- {Dan isterinya serta anak-anaknya;}-

    Semua orang lari dari semua orang yang dikenali & disayanginya dulu. 
    Tidak hirau & peduli kepada orang lain selain daripada dirinya sendiri lagi!
    Kalau manusia yang paling dekat & rapat (anak-isteri, ibu bapa) dengan kitapun lari, apatah lagi orang lain, jangan harapnya! 
    Tiada lagi manusia yang dapat membantu, tiada siapa nak tolong siapa, semua akan lari apabila mula-mula keluar daripada kubur!
    Ini kerana tempoh Kiamat itu panjang & lama, maka ini adalah kisah pada permulaan Kiamat. 
    Selepas hisab & pengadilan baru manusia berkumpul, boleh cari satu sama lain & juga memberi syafaat atau menumpang kesolehan dengan izin Allah SWT!
  1. Ayat 37- {Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.}-

    Setiap orang cemas & sibuk menyelamatkan diri sendiri sehingga tidak sempat untuk memikirkan tentang orang lain! 
    Sebagaimana dalam hadis di atas, pada hari itu semua manusia sibuk tidak sempat bertanya khabar atau melihat kepada orang lain, masing-masing bawa diri!
    Ayat ini memberi gambaran kepada kita; kalaulah 5 kategori orang yang paling rapat dengan kita inipun lari, apatah lagi orang lain! 
    Ia memberi pengajaran kepada kita agar jangan mengharapkan kepada orang lain! Masing-masing jaga diri & buat persiapan untuk menghadapinya.

    Lihat & tadabbur ayat ini, ada 10 sifat Allah bezakan antara lelaki & perempuan kerana kita masing-masing akan berpegang dengan amalan sendiri:
    {Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, 
    dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, 
    dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, 
    dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, 
    dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, 
    dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), 
    dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, 
    dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, 
    dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, 
    dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak.
    Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.} (Al-Ahzaab 33:35)

    Begitulah pada peringkat awalnya, selepas dari itu kita akan dapat berkumpul balik Insya’ Allah!
  1. Ayat 38- {Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri,}-

    Awal-awal Allah memberi khabar gembira terus kepada mereka yang beriman dan taat ini. 
    Allah ceritakan bahawa ada antara hamba-hamba-Nya di akhirat kelak yang wajahnya bercahaya. Insya’ Allah bercahaya terus sehingga ke syurga.
    Firman Allah SWT lagi tentang tambahan nikmat yang mereka dapat:
    {Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya.} (Al-Qiamah 75: 22-23)
  1. Ayat 40- {Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu,}
    Ayat 41- {Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita.}-

    Allah SWT sebut hanya dua jenis muka golongan pada hari Kiamat itu cerah & gelap, Allah SWT tidak sebut selain daripada itu!
    Dalam ayat ini Allah juga kata bahawa mereka itu sifatnya: Ayat 42- {Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka.}- orang yang kafir { ٱلْكَفَرَةُ} dan jahat { ٱلْفَجَرَةُ}.
    Persoalan kenapa Allah SWT sebut juga orang jahat sedang sudah disebut kafir?
    Jawapan:
    i- ini kerana kafir itu maknanya rosak dari sudut iktiqad.

    ii- manakala jahat ini pula dari sudut perbuatan yang jahat & zalim.
    Maka Allah SWT kembarkan dua sifat ini; sudahlah kafir, jahat pula!
    Kita minta berlindung dengan Allah SWT dari segala sifat buruk & jahat ini!

Alhamdulillah, tamatlah kita Surah ‘Abasa ini bermula dengan teguran Allah SWT dari segi adab dan akhlak dengan sesama orang Islam. 
Kemudian diakhiri dengan kisah hari Kiamat yang amat dahsyat dan manusia masing-masing sibuk dengan hal dirinya, tidak peduli lagi akan sesiapa pun!
Ya Allah selamatkan kami semua pada hari yang amat dahsyat & penuh huru-hara itu dengan menjadi golongan yang berwajah cerah berseri kerana mendapat keredhaan & nikmat-Mu!
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs