View Categories

SURAH AD-DHUHA : AYAT 1-4

\"\"

MUQADDIMAH INTISARI SURAH, MUNASABAH & ALLAH BERSUMPAH DENGAN DHUHA, TIDAK AKAN TINGGAL MUHAMMAD S.A.W & AKHIRAT LEBIH BAIK.

Full video : https://youtu.be/athAn4kanZY?si=0WZnxCUcSD_ASmjt

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Selasa 07 Muharram 1445H bersamaan 25hb Julai 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Adh-Dhuha – سورة الضحى.
  2. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Adh-Dhuha – سورة الضحى adalah surah ke-93 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang keenam-belas dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-Lail – سورة الليل.
    Mengandungi 11 ayat yang pendek.
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Adh-Dhuha – سورة الضحى yang bermakna {Waktu Dhuha} kerana pada awal surah ini Allah s.w.t bersumpah dengan waktu pagi dhuha dan waktu malam bahawa Allah s.w.t sekali-kali tidak membiarkan Rasulullah s.a.w & tidak membencinya sebagaimana tohmahan kaum kafir Quraisy samada pada waktu siang atau malam! Allah s.w.t sentiasa menjaga Rasulullah s.a.w pada setiap masa.
  2. Surah ini juga dikenali dengan nama وَٱلضُّحَىٰ – ayat pertama dengan penuh.
  3. Hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a tentang Muaz bin Jabal r.a yang bersolat Isya berama Rasulullah s.a.w kemudian dia kembali kepada kaumnya dan menjadi imam bagi mereka.

Dia yang membaca surah yang panjang dalam solat Isya bersama penduduk kampungnya sedang kebanyakan mereka adalah pekebun yang merasa kepenatan kerana mereka telah bekerja kuat pada siangnya! Lalu timbullah masyaqqah lalu para sahabat itu pergi mengadu kepada Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w menasihatinya agar jangan membuat fitnah kepada manusia dan menganjurkan membaca beberapa surah yang sederhana panjangnya, antara yang disebut namanya ialah surah Asy-Syams – سورة الشمس, surah ad-Dhuha, & Surah Al-Lail – سورة الليل dan beberapa lagi seorang yang sederhana pendek. [HR Bukhari & Muslim].

KELEBIHAN SURAH :

  1. Kisah sebelum turunnya surah ad-Dhuha ini:-
    i- selepas wahyu yang pertama & kedua- wahyu tidak turun dari langit buat beberapa lama, yakni terhenti seketika buat beberapa lama sehingga baginda berdukacita & dilanda keresahan. Iaitu keresahan yang bukan sedikit, tetapi sehingga menganggu fikiran dan jiwa Baginda s.a.w.

ii- Reaksi musyrikin Makkah pula apabila mengetahui perkara ini, mereka mula mengejek Nabi s.a.w dengan mengatakan bahawa Tuhan Muhammad telah meninggalkannya dan tidak sayang kepadanya lagi.
Iaitu membuat momokan dan serangan emosi, inilah ilmu strategi syaitan untuk merosak & menjatuhkan orang yang dimusuhi!

iii- Tentunya Nabi s.a.w amat sedih tentang perkara itu. Tambahan pula, baginda takut kalau-kalau ada kesalahan pada diri baginda sehinggakan Baginda tidak diberikan wahyu lagi. Maka dengan penurunan Surah Ad-Dhuha ini, Allah s.w.t memberi berita gembira kepada Baginda s.a.w bahawa Allah tidak akan membiarkannya dan tidak juga membencinya!

  1. Persoalan: Ada perbincangan ulama\’ yang mengatakan sunat kita bertakbir selepas membaca surah ini. Ini kerana katanya selepas terputus wahyu dan datang balik wahyu dengan turunnya surah ad-dhuna ini, para sahabat amat gembira lalu nertakbir menunjukkan kegembiraan mereka.
    Khilaf ulama\’ dalam hal ini. Ada dalam kitab Imam Syafei mengatakan elok, tetapi tidak datang dari Rasulullah s.a.w atau para sahabat.
  2. Kata Ibnu Kathir rhm.: Tiada riwayat untuk menghukum sedemikian- yang ada hanya didengar atau diriwayat- maka tidak ada sanad.sandaran yang jelas dari Rasulullah s.a.w, hanya dari kitab atau dari para Qurra- pembaca al-Quran, ulama\’ Makkah ambil dari ulama\’ Madinah. Wallahu a\’lam.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Memberikan semangat kepada Nabi s.a.w supaya jangan menghiraukan tuduhan jahat musuh yang menentang Islam kerana Allah s.w.t tetap akan menolongnya & akan menjadikan kesudahan perjuangannya lebih baik daripada peringkat awal!

Bahkan Allah yang Maha Kuasa akan memberikannya kejayaan yang besar di dunia & akhirat sehinggakan Baginda berpuas hati & redha dengan anugerah yang diberikan Allah.

  1. Setelah itu diterangkan satu persatu nikmat yang diberikan sepanjang perjalanan hidup Nabi s.a.w.
    i- Pada mulanya Rasulullah s.a.w adalah seorang yatim lalu diberi perlindungan di bawah peliharaan jagaan datuknya Abdul Mutalib.

ii- Selepas kewafatannya dijaga pula oleh bapa saudaranya Abu Talib.

iii- selepas perkahwinan Baginda dengan Sayyidah Khadijah, Baginda mendapat kasih sayang dan sokongan penuh dari isterinya yang setia, yang cerdik lagi bangsawan, mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah & makhluk juga.

UM Khadijah telah mengorbankan diri & hartanya untuk membantu perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w kepada Islam.

  1. Selepas dewasa didapati Baginda tercari-cari jalan yang benar, maka diberi petunjuk dengan wahyu al-Quran. Apabila berumur 39 Tuhan Baginda mulai mencari-cari jalan untuk menyelamatkan dirinya dan ummah. Ini yang membawanya untuk menyendiri di Gua Hira\’, jabal Nur yang bersejarah itu.
  2. Demikianlah juga ketika Nabi s.a.w seorang yang miskin pada awalnya kemudian diberi kekayaan melalui perniagaan sehinggalah Baginda dikenali sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya.
  3. Selain dihiasi dengan sifat yang mulia & akhla yang terpuji yang menjadi kunci kejayaan dalam hidup. Sehinggakan orang Quraisy Makkah memberi gelaran al-Amin kepada Baginda s.a.w iaitu seorang benar, amanah & berintegriti.
    Ini kerana Baginda s.a.w tidak pernah bercakap bohong, menipu, khianat, janji palsu serta segala yang buruk.
    Akhlaknya amat menyenangkan hati orang yang pernah berurusan dengannya.
  4. Atas dasar iman & akhlak yang mulia ini, Rasulullah s.a.w telah membina masyarakat selama 13 Tuhan di Makkah kemudian sambung dengan mujtama\’ Madani di Madinah.

Inilah perkara awal yang perlu kita letak dalam agenda hidup kita iaitu jangan bercakap bohong, menipu, khianat, janji palsu, jangan menghina & menzalimi orang; barulah kita mampu & tidak malu untuk kita mendakwa mahu membina masyarakat Madani sebagaimana yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w!

  1. Akhirnya diperintahkan kepada Rasulullah s.a.w untuk menzahirkan nikmat Tuhan yang tidak ternilai itu dengan mengerjakan amal kebajikan sebagai tanda bersyukur kepada Allah s.w.t
  2. Sebenarnya apa yang diperintahkan kepada Rasulullah s.a.w juga ditujukan kepada umatnya secara umum. Baginda Rasulullah s.a.w sudah pasti yang patut menjadi qudwah & uswah yang wajib kita ikuti!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah Allah menyebut bagaimana Allah menjaga, melindungi dan memberi perhatian & kasih sayang yang besar kepada Rasulullah s.a.w.
    Ini kerana Allah s.w.t yang memilih & melantik Baginda s.a.w sebagai utusan kepada manusia ini maka pasti Allah yang jaga & beri segala keperluan yang diperlukan oleh Baginda s.a.w!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Ayat ini menyatakan kemuliaan kedudukan Rasulullah s.a.w yang amat tinggi di sisi Allah s.w.t & di sisi manusia seluruhnya.
  2. Untuk membatalkan anggapan & tuduhan jahat puak kafir yang mengatakan bahawa wahyu telah terputus kepada Rasulullah & Baginda dibiarkan terkontang-kanting seorang diri oleh Allah s.w.t.
  3. Allah s.w.t memperingatkan kepada Rasulullah s.a.w beberapa sudut nikmat supaya kita sentiasa ingat kepada SIAPA yang memberi nikmat kepada kita (المنعم)!
  4. Memberi petunjuk, membimbing dan mengajar Rasulullah s.a.w agar sentiasa berada atas akhlak yang mulia, sentiasa bersyukur atas nikmat Allah.

Antara ciri-ciri nikmat itu ialah amat prihatin dan sentiasa berbuat baik kepada anak yatim kerana Baginda sendiri adalah anak yatim.
Juga agar Baginda sentiasa cakna & ambil berat, tidak abaikan orang yang memerlukan pertolongan & bantuan.

MUNASABAH SURAH ADH-DHUHA – سورة الضحى DENGAN SURAH AL-LAIL – سورة الليل SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Lail – سورة الليل:

  1. Surah al-Lail yang lepas diakhir dengan ayat: { وَلَسَوْفَ يَرْضَىٰ} iaitu {Kamu akan redha & berpuas hati dengan anugerah Allah s.w.t}.

ii- maka Allah s.w.t bawa pula dalam ayat ini bahawa { وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰٓ} Allah akan beri lagi nikmat & anugerah kepada Nabi s.a.w sehingga Baginda redha akannya!

  1. Allah sebut dalam surah al-Lail: { وَسَيُجَنَّبُهَا ٱلْأَتْقَى} bahawa orang yang bertaqwa (muttaqin) akan dijauhkan dari neraka!

ii- dalam surah ini pula Allah s.w.t hitung, sebut beberapa nikmat yang dikurniakan kepada ketua para Muttaqin iaitu Rasulullah s.a.w.

Alhamdulillah itu antara nikmat yang besar yang disebut oleh para ulama\’ tafsir tentang kaitan dua surah ini.

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {DEMI WAKTU DHUHA,} (ADH-DHUHA 93:1)

  1. Allah s.w.t bersumpah demi waktu Dhuha!
  2. Bilakah waktu Dhuha ini? Iaitu pertengahan waktu pagi sebelum matahari panas lagi.
  3. Ia waktu pagi selepas naiknya matahari iaitu sehingga habis waktu isyrak yang diharamkan solat padanya. Iaitu minimalnya 15 min – maksimumnya 24min bahkan ada setengah taqwim meletakkan 28 min.

Jika ada keuzuran & darurat boleh ambil yang minima, tetapi jika tiada masyaqqah elok kita tunggu sehingga waktu yang maksimum itu.

  1. Sabab nuzul ayat ayat:
    Selepas terputus wahyu buat beberapa ketika, Rasulullah berasa sedih & tidak sihat lalu Baginda tidak bangun untuk bertahajjud selama dua malam itu!

Jiran-jirannya yang kafir tahu & dengar perbuatan Rasulullah s.a.w kerana rumah mereka dekat-dekat. Mereka tahu jika Baginda bangun dan solat atau senyap tidak bangun solat & baca al-Quran.

Hadis dari Jundab bin Abdullah berkata:
\”Nabi pernah sakit hingga tidak dapat menunaikan solat tahajud selama satu atau dua malam.
Mengetahui hal itu, seorang wanita menghampiri beliau sambil berkata dengan nada mengejek, \’Wahai Muhammad, sepertinya syaitanmu (Jibril) sudah mulai meninggalkanmu!\’\”
Berkenaan dengan kejadian itu Allah kemudian menurunkan Surah Adh-Dhuha ayat 1-3. [HR Bukhari & Muslim].

  1. Bukan Allah s.w.t tinggalkan Rasulullah s.a.w cuma berehat seketika daripada wahyu agar Rasulullah s.a.w lebih mengharap dan rindu untuk menerima wahyu & bertemu dengan malaikat Jibril a.s.

AYAT 2- {DAN MALAM APABILA IA SUNYI-SEPI.} (ADH-DHUHA 93:2)

  1. Kemudian Allah s.w.t bersumpah dengan malam apabila ia tenang, sunyi & gelap gelita.
  2. Dalam surah ini Allah s.w.t mulakan dengan waktu Dhuha dulu kemudian malam, berbeza dan sebaliknya dengan surah al-Lail. Kita akan tengok pebincangannya dalam fawaid nanti, Insya\’Allah.

AYAT 3- { (BAHAWA) TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD) TIDAK MENINGGALKANMU, DAN IA TIDAK BENCI (KEPADAMU, SEBAGAIMANA YANG DITUDUH OLEH KAUM MUSYRIK).} (ADH-DHUHA 93:3)

  1. Allah bersumpah dengan siang & malam ini untuk menyatakan bahawa Tuhan tidak meninggalkan Rasulullah s.a.w ataupun membenci Baginda s.a.w!
  2. Itu adalah tuduhan jahat yang direka oleh puak kafir musyrikin kepada Rasulullah s.a.w untuk menyerangnya!

AYAT 4- {DAN SESUNGGUHNYA KESUDAHAN KEAADAANMU ADALAH LEBIH BAIK BAGIMU DARIPADA PERMULAANNYA.} (ADH-DHUHA 93:4)

  1. Allah s.w.t menjamin dan berjanji bahawa keaadaan Rasulullah s.a.w adalah lebih baik bagi Baginda daripada permulaannya.
  2. Munasabah ayat ini dengan tiga ayat sebelumnya:
    i- membawa makna bahawa tuduhan yang mengatakan wahyu terputus adalah tidak mungkin. Allah hanya beri rehat sekejap supaya Rasulullah s.a.w bertenang dan menunggu supaya bertambah semangat & kerinduan Baginda.

Ini kerana jika tiada lagi wahyu maka tiadalah lagi Rasulullah s.a.w. Wahyu hanya akan tamat dengan kewafatan Baginda s.a.w. kerana itu apabila Rasulullah s.a.w wafat para sahabat menangis kerana malaikat Jibril tidak akan lagi datang ke rumah Rasulullah s.a.w.

ii- Ayat ini juga menjadi dalil kemuliaan & keagungan Rasulullah s.a.w. Baginda lalu berasa besarlah tugas & jawatannya sebagai seorang rasul yang disayangi Allah s.w.t. Lalu Allah s.w.t ingatkan Baginda; itu hanya di dunia- di akhirat kelak lebih besar pangkat dan kedudukan kamu!

iii- Allah juga mengingatkan Rasulullah s.a.w bahawa Baginda akan melalui fasa kehidupan yang berbeza-beza. Bermula dari seorang anak yatim- kepada seorang pemuda, peniaga kemudian sebagai seorang nabi & rasul serta ketua negara di Madinah dan kamu akan mati.

Tetapi ingat itu semua hanya di dunia dan hanya kecil jika dibandingkan dengan akhirat yang lebih besar & tinggi kedudukannya.

  1. Begitulah kata ulama\’ tafsir; Pahala di akhirat lebih baik bagimu daripada apa yang kamu dapat di dunia ini! Tetapi ingat kehidupan kita di dunialah yang aklan menentukan kebahagiaan kita di akhirat. Dunia tidak berpisah dengan akhirat sebagaimana fahaman sekular yang sesat.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Demi waktu dhuha,} & Ayat 2- {Dan malam apabila ia sunyi-sepi.}- Allah s.w.t bersumpah dengan waktu Dhuha & waktu malam apabila ia menyelubungi.

Allah bersumpah atas nikmat-Nya yang dianugerahkan ke atas Rasulullah s.a.w. nikmat yang banyak sehingga Baginda redha & senang hati, iaitu antaranya:
i- nikmat menjadi Nabi & nikmat menjadi rasul.

ii-nikmat mendapat pertolongan & penuh perlindungan.

iii- nikmat Allah menjaga Nabi penuh kasih-sayang dan menjaganya daripada segala keburukan.

Surah ini menyatakan kemuliaan dan kedudukan Nabi di sisi Allah dan ke seluruh alam ini.

  1. Ayat 3- { (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).}
    Allah bersumpah dengan waktu dhuha dan malam untuk menolak & membatalkan tuduhan jahat kaum musyrikin yang menyerang Rasulullah s.a.w.

Allah bersumpah bahawa Dia tidak akan tinggalkan Nabi S.A.W sebagaimana dakyah & propaganda tohmahan yang disebarkan oleh puak media kafir Quraisy bahawa Rasulullah telah dibenci oleh Allah s.w.t kerana itu Baginda telah tidak bangun solat malam buat beberapa waktu.

Maka Allah mahu batalkan tuduhan jahat musyrikin ini bahkan bersumpah bahawa Allah amat memuliakan Nabi S.A.W.

  1. Ayat 1- {Demi waktu dhuha,}- kenapa Allah s.w.t bersumpah dan sebut waktu Dhuha ini?

JAWAPAN :
Kerana ia adalah waktu yang sudah cerah, permulaan kepada hari itu yang mana manusia sedang mulai keluar untuk kehidupan, jika subuh masih gelap lagi & tak kenal lagi orang! Dhuha sudah ada cahaya & belum panas lagi. Sudah boleh nampak.

Jadi munasabah Allah bersumpah dengan waktu dhuha ini kerana ia permulaan manusia mula buat kerja & keluar rumah ke sana sini.

Ini memberi makna bahawa dakwah ini bermula pada waktu pergi untuk disebrakan kepada masyarakat di sleuruh dunia.

Juga turunnya wahyu untuk menunjukkan kepada Rasulullah s.a.w bahawa dunia ini cerah secerahnya sehinggalah tiba hari Kiamat itu apabila waktu maghrib!

Soalan:
Kenapa dalam surah ini Allah s.w.t mulakan dengan waktu dhuha dulu kemudian malam, berbeza dan sebaliknya dengan surah al-Lail yang dimulai dengan waktu malam dulu baru siang?

JAWAPAN :

i- asal kejadian dunia adalah gelap- bermula dengan malam, kemudian Allah s.w.t cipta matahari maka cerahlah alam ini!

ii- Surah ini dimulakan dengan dhuha kerana ia adalah waktu yang mulia & hebat; waktu orang keluar bekerja mencari rezeki.

Maka dakwah kita juga perlu bermula dari waktu dhuha kemudian diteruskan sehingga malam. Para pendakwah mulakan usaha dakwah sejak dari muda lagi, ketika tenaga & kudrat masih fresh dan bersemangat!
Apabila kita tua dan makin tua lalu akan mati selepas melalui banyak pengalaman yang mematangkan kita dalam dakwah.

iii- Surah al-Lail menjelaskan tentang kejadian perjalanan alam ini. Manakala surah adh-Dhuha ini menyatakan perjalanan dakwah Nabi s.a.w.

  1. Ayat 3- {(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).}- Allah bersumpah dan menafikan bahawa Dia telah benci & meninggalkan Rasulullah s.a.w.

Lalu Allah s.w.t turunkan ayat ini untuk menjawab tuduhan jahat puak kafir Quraisy yang mengatakan wahyu telah terputus, Baginda ditinggalkan terkontang-kanting oleh Allah s.w.t. tanpa bimbingan dan panduan dari Allah s.w.t.

Ia juga untuk menunjukkan bahawa al-Quran itu datang dari Allah s.w.t bukan rekaan Rasulullah s.a.w! Apabila Baginda diasak dan ditohmah oleh pika kafir Baginda tidak dapat mmberikan al-Quran kerana wahyu itu bukan dari sisinya bahkan ia adalah dari Allah Azza wa Jalla.

Jika ia hanyalah rekaan & dari Rasulullah s.a.w pasti apabila diminta Baginda akan dapat memberinya pada bila-bila masa saja! Tidak perlu menunggu wahyu sebenar turun dari langit, dari Allah s.w.t!

  1. Ayat 4- {Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.}- balasan & pahala di akhirat adalah lebih baik & tiada bandingan dengan atas dunia ini!

Menerangkan bahawa balasan di akhirat tiada bandingannya; ia amat & lebih besar daripada apa yang ada atas dunia ini!

Atas dunia ini sudah ada & nampak kesan balasannya, contoh orang yang akhlak mulia akan mulia, orang yang hormati ibu bapa akan berkat hidupnya, orang yang bercakap benar & jujur akan dimuliakan; tetapi itu semua adalah kecil berbanding dengan balasan di akhirat kelak!

Ini kerana di akhirat esok tidak akan putus & tiada akhirnya! Panjang mana umur kita di dunia ini tetap akan berakhir & mati meninggalkan dunia ini!

Kata ulama\’: Dunia negara tempat ujian; tetapi akhirat adalah negara tempat menerima balasan.

Ya Allah jadikanlah kami orang yang mendapat bimbingan, kasih sayang & panduan dari Mu ya Allah. Lalu di akhirat kami akan mendapat anugerah yang besar yang layak untuk bersama para nabi & siddiqin dalam syurga-Mu!

Powered by BetterDocs